Wednesday, November 30, 2011

~ KEGEMENTARAN ~


LEWAT malam tadi, kakak sudah berangkat pulang ke kampung halaman, nun jauh di pantai timur semenanjung tanah air. Abang lebih awal tiga hari sebelumnya. Dan.. aku masih di sini. Sedang mengatur-atur waktu untuk mencuri kesempatan melakukan hal yang sama. Hambatan urus pekerjaan mengikat ketat.

Yang ada di dalam hati ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dan aku berserah kepada ketentuan-Nya. Namun, mudah-mudahan semuanya dalam keadaan yang baik. Semuanya kembali ke asal. Itu doa yang paling kerap berselang saat.

Jangan disoalkan tentang ketakutanku. Usah ditanyakan tentang kegementaranku. Kerana yang paling lebih, ditanggung ibu. Dan, kami hanya mampu melihat.. meratap dan menangisi. Ampun Tuhan, sesungguhnya kau yang Maha Mengerti.

[Me-lihat dengan mata hati...]

Tuesday, November 29, 2011

~ KEMAHUAN ~


AKU dan kakak punya sikap dan perwatakan yang sangat jauh berbeza. Cara kami melihat sesuatu juga berbeza.

Kakak sering melihat aku sebagai seorang yang berdikari dan mampu memperoleh apa yang diingin dengan usaha sendiri. Sedang dia bergantung kepada mereka yang ada di kelilingnya untuk sesuatu.

Itu katanya, dan bukan aku. Aku melihat dia lebih daripada itu! Mungkin pada luarnya, kakak terlihat seperti itu. Namun di sebalik kebergantungannya terhadap sesuatu itu, dia sebenarnya seorang yang tekad dan memiliki daya juang yang tinggi. Hal itu beberapa kali terbukti meski tidak dia sedari.

Suatu ketika, kakak tidak pernah mengimpikan kerjaya sebagai seorang jururawat. Dia seorang yang takut dengan darah, dengan rumah sakit, kematian dan seumpamanya. Dia sering mahu menjauhi hal-hal itu. Namun, demi memenuh ingin ayah, dia menurut. Melawan ketakutannya dan tekad untuk memperoleh hal yang menjadi keraguannya sebelum itu. Nahh... dia berjaya mengatasinya dengan baik meski itulah hal yang paling mahu dia hindari.

Satu hal yang juga membuktikan tekad kakak mengatasi segala-galanya, dia kini sudah boleh memandu. Meski sudah memiliki lesen memandu di zaman pengajiannya dulu, kakak tidak pernah memandu kerana ketakutannya dengan kesibukan jalan raya terutamanya di kota besar ini. Lalu, dia hanya memperbaharui lesen memandu saban tahun. Namun kali terakhir dia memandu adalah pada hari ujian memandu bersama JPJ beberapa tahun lalu. Itu kali terakhir.

Namun baru-baru ini, saat abang ditugaskan untuk ke negara matahari terbit atas urusan pekerjaan untuk satu tempoh yang agak lama, kakak kembali berfikir tentang itu. Untuk segala hal, kakak harus berdiri di atas kakinya sendiri. Lalu, menyedari kesulitan itu, kakak tekad untuk kembali memandu. Lalu, dua minggu terakhir sebelum abang berangkat, dia benar-benar tekad untuk melawan ketakutannya dan berusaha sepenuh hati untuk kembali memandu. Nahhh... hari ini dia sudah mampu memandu sendiri untuk ke tempat pekerjaannya dengan penuh bergaya.

Aku menggeleng-gelengkan kepala dan tersenyum sendiri. Kakak sering melihat aku sebagai lebih. Namun ia adalah sebaliknya. Dia yang dilihat lemah pada sikap kebergantungannya itu sebenarya jauh lebih baik daripada aku yang dianggap lebih atas sikap keberdikarianku ini. Aku tidak punya daya juang yang tinggi atas sesuatu yang ingin atau tidak ingin aku miliki atau lalui. Dan sungguh, seringnya aku hanya berserah kepada keadaaan. Dan itu adalah hal yang barangkali amat menjengkelkan..

Itu hal yang kerap membezakan kami. Dan, aku harus melihat itu..

[Tekad men-jadi baharu]

Monday, November 28, 2011

~ HAPPY FEET 2 ~



AKHIRNYA, punya kesempatan untuk duduk menonton Happy Feet 2 di layar lebar. Bukan sekadar hiburan tetapi aku melihat lebih daripada itu.

Penguin-penguin comel itu menarik perhati yang banyak. Bukan kerana kebolehan mereka menari dan menyanyi dengan gaya yang cukup menghiburkan, tetapi kerana hal-hal moral dan cerita kehidupan yang mereka pinjamkan.

Tertarik dengan pesan si bapa, Mumble kepada anaknya, Erik, saat si anak melarikan diri kerana berjauh hati dengan kekurangan yang dimiliki, "melarikan diri bukanlah jalan penyelesaian terbaik...",

Ermm... dan ia benar!

[Lalu ter-lintas tentang Nimrod.. dan ia mungkin tidak haros sama sekali :( ]

Sunday, November 27, 2011

~ MENJADI BARU ~


SALAM tahun baru 1433H. Semangat baru, rasa baru, pandangan baru dan mudah-mudahan seluruhnya baru. Baru yang lebih baik dan menjadi titik tolak kepada perubahan yang menyenangkan untuk hidup yang akan datang.

Sekian banyak janji telah aku tuturkan sepanjang tahun yang lalu, namun aku masih tidak kemana. Masih kalah dengan hal-hal emosi dan toleransi yang tidak menyebelahkan aku.

Justeru mudah-mudahan kali ini, aku benar-benar mampu berhijrah menjadi baru. Melupakan hal-hal keras hari semalam dan melihat dengan manis hari-hari depan yang bakal dilalui. Tiada dendam atau sesal sebaliknya menerima ia sebagai pelajaran besar dalam hidup.

Hijrah itu perjuangan,
Hijrah itu pengorbanan..


[Bungkus kemas di-gobok..]

Saturday, November 26, 2011

~ NO WRONG NOTES ~







LARUT dan mempersonakan! Itulah yang dapat aku simpulkan usai menonton Konsert No Wrong Notes, yang dipersembahkan oleh sekumpulan anak muda dari Koir Kebangsaaan dan Koir Remaja Kebangsaan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebentar tadi.

Saudari Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal dan pengarah persembahan konsert ini ternyata bekerja keras untuk memastikan persembahan mereka ini memberikan pesona yang luar biasa kepada penonton yang hadir. Ya, mereka berjaya.

Mudah-mudahan pandangan masyarakat sebelum ni yang mengganggap persembahan koir sebagai suatu yang membosankan dapat diperbetulkan. Koir sebenarnya adalah satu persembahan yang sangat menarik dan mempersonakan. Ia bukan hanya tertumpu kepada lagu-lagu berunsur patriotik sahaja tetapi meliputi pelbagai genre dan rentak seperti klasikal, kontemporari, pop, tradisional dan seumpamanya.

Ini bukan pertama kali aku menonton persembahan mereka. Terdahulu sebelum ini aku pernah berada di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya untuk menyaksikan persembahan mereka melalui Konsert Cintakan Kedamaian. Di situ cinta mula tertumpah. Dan hari ini mereka terus meyakinkan aku bahawa cinta aku itu tidak harus berbelah bahagi kerana pesona luar bisa tetap ada pada mereka.

Dengan iringan pemuzik secara langsung, mereka mempersembahkan 18 buah lagu yang digubah kepada elemen jazz, latin dan raggae yang menjadi tema konsert pada malam ini. Antara lagu-lagu yang mencuri pesona adalah seperti The Pink Panther, Someone To Watch Over Me, Kiss From A Rosa, I'm Gonna Live Till Die, Dayung Sampan dan tidak ketinggalan juga lagu popular semasa seperti Dan Sebenarnya dan Senyum. Aku juga larut dalam alunan Fugue, Waltzing Maltida, Te Quiera dan Besame Mucho. Arghh... hampir seluruh sebenarnya yang mencuri hati.

Tidak sekadar itu, penyanyi terkenal era 70'an, Salamiah Hassan turut tampil membuat persembahan sebagai persembahan selingan dengan dua lagu. Dan bagai biasa, penyanyi genit yang sudah melewati usia 50'an ini tidak pernah gagal mencuri perhatian penonton dengan vokalnya. Kelebihannya yang tiada siapa mampu menyangkal termasuk aku.

Tahniah juga kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPK) bersama-sama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia Konsert yang bertindak sebagai penganjur acara yang sangat-sangat membanggakan ini.

[Suka gaya ter-sendiri Syafinaz kala me-mimpin per-sembahan Fugue dan Waltzing Maltida..]

~ SETIA MENANTI ~


TAJUK: Setia Menanti
KARYA: Fauziah Ashari
CETAKAN: Pertama (2011)
PENERBIT: Intens Idea International Sdn Bhd
HALAMAN: 568
HARGA: RM24.00

“Cintaku bernyawa dengan nafas setiamu..”

[Dan.. mungkin hanya me-nanti..]

Friday, November 25, 2011

~ DAN KETENTUAN ITU ~


REZEKI, ajal dan maut di tangan Tuhan. Dan aku menerima ketentuan itu.

[Cherita di-atas sana..]

Thursday, November 24, 2011

~ DOA ~


"Orang muslim yang mendoakan temannya secara diam-diam,
akan disambut malaikat dengan berkata:
Semoga untukmu juga.."
(Hadis Riwayat Muslim)

[Mudah-mudahan ter-golong dari kalangan itu..]

Wednesday, November 23, 2011

~ HAL-HAL YANG MEMIKAT ~


BEBERAPA hari jauh daripada hiruk pikuk kota membuatkan aku tenang seketika. Dikelilingi hal-hal yang menambat. Laut, ombak, langit merah dan seumpamanya. Ia tidak pernah gagal mencuri rasa.

Dan aku menjadi manusia yang tidak cukup. Keluangan yang hanya beberapa hari ini terlalu singkat untuk menikmati hal-hal yang sentiasa dalam mahu itu. Mudah-mudahan ada kesempatan serupa pada lain ketika.

Aku kembali dengan semangat baru... meninggalkan hal-hal lama, insya-Allah.

[Terima kaseh untok teman jiwa..]

Tuesday, November 22, 2011

~ TARIKH GENAP ~


AL-FATIHAH. Mudah-mudahan arwah D tenang bersemadi di sana. 21 November lima tahun lalu, sahabat dekat ini pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Pergi tanpa sempat aku berbuat apa-apa untuknya.

Meski masa berlalu dan membuat jarak, ingatan terhadap arwah tidak pernah berkurang. Malah tidak pernah ada pengganti yang mampu berada di tempatnya. Lalu saat mengadap laut lepas pada hari genap ini, hati sangat-sangat menjadi sayu. Arwah seperti bulan, sering menjadi pendengar setia.


30 minit perjalanan, kami tiba di tempat yang dituju. Debar semakin besar. Resah semakin bergelora. Kaki seperti berat melangkah. Adik arwah beberapa langkah mendahuluiku. Sesekali menoleh ke belakang memastikan aku ada menurutinya. Tiba adik arwah membuka pintu kawasan perkuburan yang redup melambai itu, langkahku seperti terhenti. Keras di situ. Adik arwah menarik tanganku lembut, mengangguk dan mengaturkan langkah perlahan melalui nesan2 yang bertuan. Ya Allah.... Ampunilah segala dosa-dosaku...

Akhirnya kaki adik terhenti di pusara yang masih merah tanahnya. Letaknya di tepi pagar, dibawah sepohon pokok yang redup menutup tanah. Aku mengawal diri. Aku mengawal emosi dengan kuat. Menadah tangan memohon pada Tuhan agar roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman.

Namun saat adik menghulurkan air dan bunga meminta aku menyirami pusara arwah, air mata yang kuat ku tahan itu akhirnya gugur juga. Semakin laju membasahi pipi dan esak tangisku juga semakin berlagu memecah kesunyian pusara arwah. Adik duduk memelukku. Cuba meredakan tangis yang semakin panjang itu. Beberapa ketika kami begitu. Adik yang sejak tadi tenang saja, turut berhujan air mata. Beberapa kali kedengaran suara halusnya minta aku bertenang dan menghentikan tangis.

Bagaimana aku mahu menghentikan tangis itu sedangkan aku terpaksa mengakui hakikat manusia yang begitu dekat di hati ini telah pergi meninggalkanku buat selama-lamanya... Dan saat ini aku sedang berdiri menyirami mawar di pusaranya. Bagaimana aku mampu melaluinya dengan emosi yang tenang....

Adik membantuku melalui saat2 itu. Kami bersama2 menaburkan bunga di pusara arwah dengan penuh airmata. Dengan penuh luluh di hati. Aku tidak mampu untuk lebih lama di situ. Airmata ini turun tanpa ada tanda mahu berhenti. Semakin laju... Aku tidak harus begini... tetapi aku tidak mampu mengawal diri. Maafkan aku D.. Maaf. Adik juga juga bersetuju untuk meninggalkan pusara arwah lebih awal. Tambahan pula waktu itu matahari sudah mahu menutup hari. Tidak elok dalam waktu yang begini, kami masih di pusara.

Sebaik berpaling untuk pulang, adik menggenggam tanganku erat. Dia cuba menenangkanku walaupun aku tahu di juga tidak tidak ada tenang. Beberapa kali aku menoleh kebelakang... Banyak perkara yang ingin aku perkatakan pada arwah D. Tapi... aku akan datang lagi. Aku akan terus mengunjungimu di sini. Insyaallah...


[Apa-kah pergi-ku kelak akan di-kenang?]

Monday, November 21, 2011

~ TENANG DAN PALING MINIMALIS ~













SAAT ini aku berada jauh beratus batu dari hiruk pikuk kota sana. Lari seketika dari hal-hal yang membuat serabut. Mungkin akan menghabiskan beberapa hari di sini.

Kali ini aku memilih tempat paling minimal, namun paling tenang dan paling membuat senyap. Benarlah kata teman jiwa, aku perlu berehat seketika dan meninggalkan lelah hal semalam dengan sebaiknya.

Dan sungguh, aku sangat tenang di sini. Lewat petang tadi, aku menunggu langit merah di gigi pantai yang hanya beberapa langlah dari tempat penginapanku ini. Sedikit kecewa kerana langit gelap terus, mahu tumpah. Namun ia sepertinya memberi janji untuk muncul pada esok hari.

Sepanjang malam aku menghabiskan masa mengadap langit gelap. Meski tiada bintang, ia tetap indah di tatap. Manakan tidak, bulan ada untuk mendengar luah hati.

Jari-jari ini bercerita di sini sambil ditemani bunyi ombak yang begitu keras usahanya di luar. Jelas di pendengaran, malah dinginnya menggigit terus ke tulang. Aghh.. sedikit tidak pada peduli.

Lama aku tidak punya kesempatan seperti ini. Kesempatan untuk membersihkan isi kepala yang sarat serta memujuk hati untuk kembali senang.

[Menerima kejotan dari-pada orang yang mahu di-buat kejotan...]

Sunday, November 20, 2011

~ TEATER BADAI SEMALAM ~






(kredit foto: www.mstar.com.my)
AKHIRNYA kesempatan tiba juga, menonton pementasan Badai Semalam di Panggung Sari, Istana Budaya. Lazim selalu aku akan memilih untuk menonton pada hari-hari awal pementasan, namun kali ini kesempatan itu tiba agak lewat.

Banyak urus yang membuat kacau, lalu aku memilih untuk mendahulukan hal-hal yang di papan atas. Pun begitu, aku tetap mencuri keluangan untuk menjadi sebahagian yang menonton pementasan yang khabarnya ditunggu ramai ini.

Naskah yang diadaptasikan daripada novel popular karya Khadijah Hashim ini bukan sembarangan. Ia punya nilai dan aura yang paling tersendiri. Usah disemboronokan kerana kisah dan jalan ceritanya telah lama lekat dalam perhatian sebahagian masyarakat. Sementelah novel ini pernah dijadikan naskah sastera di sekolah-sekolah.

Aku tidak melihat kepada barisan para pelakonnya kerana bagiku kejayaan sesebuah pementasan teater itu bukan diukur kepada besar atau kecilnya nama mereka. Apa yang lebih penting adalah bagaimana naskah itu dipersembahkan, bagaimana isi ceritanya difaham-ertikan.

Lalu aku tidak merasa Badai Semalam ini akan menjadi hebat hanya kerana adanya Aaron Aziz, atau berlaku unsur ketarikan kepada Erra Fazira. Nahh... aku masih dengan pendirian yang sama seusai menonton pementasan berdurasi kurang lebih dua jam itu. Aaron Aziz tidak sepenuhnya memperlihatkan Karim yang sebenar. Dan... Erra Fazira tetap Erra yang dipertontonkan di layar lebar mahupun kaca TV. Cuma Umie Aida yang kekal pada pesonanya. Juga penampilan pertama Emelda Rosmila sebagai Cik Mahani yang membuat hidup.

Pun begitu, jalan ceritanya masih lagi menarik kerana ia tidak mengusik terlalu banyak versi asalnya dari naskah novel. Kita masih ada rasa untuk mengidolakan watak Mazni itu meski yang dipersembahkan Erra tidak sampai pada tahapnya.

Justeru, ingin aku katakan Badai Semalam versi teater di tangan pengarah Khairunazwan hanya biasa-biasa sahaja. Adaptasi yang hanya sekadar itu. Ia tidak gagal, tetapi ia tidak memberi apa-apa pesona. Tidak juga menyamai apatah lagi mengatasi teruja versi novelnya.

Pun begitu, pujian untuk seluruh yang terlibat dalam pementasan teater ini atas ysaha mereka untuk memberikan yang terbaik.

[Ter-ganggu dengan babak-2 nyanyian dalam Badai Semalam yang kata-nya bukan sebuah muzikal..]

Saturday, November 19, 2011

~ BIARLAH YM BERBICARA ~




TAJUK : Biarlah YM Berbicara
KARYA: Hanni Ramsul
CETAKAN : Lima Belas (September 2011)
PENERBIT : Kaki Novel Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 582
HARGA : RM20.00

“Andai ada ingkar di hati, menepis wujud di sisi. Andai bibir kelu untuk hujani bicara indah pada kemarau hati… aku rela jemari menjadi pengganti, menarikan irama indah cinta kita. Biarkan saja YM yang terus berbicara…”



[Dan ber-cherita-lah jari-2..]

~ DOA KESEJAHTERAAN LELAKI SEPET ~



ALLAH SELAMATKAN KAMU...

Selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran buat teman jiwa. Semoga dipermudahkan segala apa urusan kehidupan. Dan sesungguhnya, peluang bernafas di bumi Tuhan ini mudah-mudahan di hargai sebaiknya.

Terima kasih kerana masih menjadi kamu yang adanya kamu. Terima kasih juga kerana menerima buruk baikku seperti mana adanya aku. Semoga saling melengkapi.

Allah selamatkan kamu... aminnnn.

[Cherita rumah opera... masih ligat ber-jalan]

Friday, November 18, 2011

~ 49 DAYS ~


DRAMA Korea '49 Days' mencuri perhati yang banyak. Penceritaannya, emosinya dan hal-hal yang dipinjamkan di dalamnya. Ia soal yang mudah tetapi sering menjadi tidak mudah pada akhirnya.

Mengisahkan tentang Ji-hyun yang terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum majlis perkahwinannya. Meski terselamat, dia terlantar koma. Ji-hyun hanya akan sedar dari koma dan kembali ke dunia realiti apabila ada tiga orang yang dekat dengannya selain kedua ibu bapa, yang menitiskan air mata dengan ikhlas kerana benar menyayanginya. 49 hari diberikan untuk usaha itu.

Sangka Ji-hyun, syarat itu terlalu mudah buatnya. Dia cukup yakin selama hari ini, dirinya dikelilingi sahabat-sahabat yang jujur menyayanginya... kerana itulah yang sering diperlihatkan mereka kepadanya. Justeru, untuk mendapatkan hanya tiga titik air mata daripada orang-orang yang menyayanginya itu bukanlah suatu yang sukar buatnya.

Namun, ketika usahanya memenuhi syarat ini dimulakan, barulah dia melihat satu-persatu pembohongan yang dilakonkan. Terlihat jelas sahabat-sahabat itu sebenarnya hanya bermuka-muka dengannya. Tidak pernah dengan ikhlas menyayanginya sebagaimana yang disangkakan. Dunia koma itu mendedahkan segala-galanya. Lalu tempoh 49 hari itu dirasakan terlalu singkat dan membebankan. Usahkan tiga titik, untuk memperoleh satu pun begitu menyeksakan. Itulah hakikat hidup.

Larut dalam emosi. Beberapa kali aku menitiskan air mata kerana terbawa-bawa kesedihan sang pelaku. Ia sepertinya terlalu dekat. Lalu. ada sahaja babak yang menyentuh hati. Ada sahaja tutur yang menjentik rasa. Ia membawa cerita realiti yang ada di keliling kita.

Merenung-renung sendiri. Mungkin hal serupa terjadi kepadaku. Berdepan dengan manusia yang bermuka-muka dan bermanis bibir di depanku. Hakikatnya semua itu jauh sekali menyimpang. Ermmm...tidak mengapalah... masing-masing punya alasan yang tersendiri atas segala laku yang menggerakkan mereka.. Dan aku terima alasan itu. Doa kesejahteraan untuk kamu!

[Malang kamu Ji-hyun... malang sa-kali..]

Thursday, November 17, 2011

~ KALUT ~

MENGGELENGKAN kepala. Rabu hari ini berlangsung dengan penuh kekalutan. Kekalutan yang dibikin aku sendiri.

Jam 7.30 malam, aku harus siap siaga di WW. Melunas urus pekerjaan yang dikepalai aku. Sekitar jam 4, langit tumpah. Berat. Lalu perjalanan tertunda terus sehingga kurang lebih jam 5. Lapan langkah keluar dari perkarangan lantai pekerjaan, perut jalan raya memuntahkan isinya dengan agak keterlaluan. Terperengkap aku di situ.

Tiba di tol pertama menuju ke tengah kota, unta hitam memberikan isyarat melalui ikon kecil yang pertama kali seumpamanya aku lihat berkelip di situ. Terus jadi kalut. Diasak tanya curiga, aku menghubungi seorang rakan ini untuk bertanyakan tentang itu. Katanya penuh yakin, itu hal biasa pada saat langit tumpah begini. Usah ambil peduli kerana ia akan kembali seperti biasa.

Biar hati masih ragu, aku memilih untuk percaya apa yang dikatakan rakan ini. Tapi masih kalut dan yakin ada yang tidak kena. Aku meneruskan perjalanan. Lalu, beberapa puluh langkah di depan, unta hitam tiba-tiba mengeluarkan kepul asap besar di bahagian enjin depan. Panik. Lalu aku yang sudah sedia ada kalut ini terus sahaja melompat turun dari unta hitam tanpa mempedulikan apapun. Aku biarkan unta hitam di tengah-tengah laluan yang sarat itu tanpa sempat berbuat apa.

Berdiri di tepi pemandangan sarat itu tanpa tahu berbuat apa. Hanya memerhatikan unta hitam dari jauh. Aku diberi arahan lisan oleh teman-teman yang diadu. Namun satu apapun aku tidak dapat mengenal pasti apakah yang dimaksudkan mereka. Manakan tidak, segala tentang unta hitam ini seringnya tidak dalam tahuku. Lalu tersadailah aku beberapa jam menadah langit tumpah.

Justeru, mahu atau tidak terbanglah sang penyelamat menghantar misi. Dia menggeleng-gelengkan kepala, aku juga menggelengkan kepala.. Rupa-rupanya rakan yang ditanya aku sebentar sebelum itu, kurang lebihnya seperti aku juga. Hahahha.

Ermmm.. apapun, ia tetap menjadi saat yang menakutkan. Dan bagaimana kalau terlewat lebih daripada itu?

[Barang-kali kerana ada salah laku yang di-lepas aku..]

Wednesday, November 16, 2011

~ KALI INI TIDAK SAMA ~



KALI INI TIDAK SAMA

Tidak ada calar
Garis luka
Tidak pada kasarnya
Kali ini tidak sama

Pada senyap
Tanpa terjangkau rasa
Melibas dengan keras
Kali ini tidak sama

Amarah menjunjung rasa
Tetapi tidak pada benci
Terguris bukan kepalang
Tetapi tidak sampai dendam
Dan sungguh,
Kali ini tetap tidak sama

Namun,
Bukakanlah pintu hatimu
Memaafkan segala tentang aku
Yang membenih kebencianmu
Dan… dari dalam sana
Kubukakan juga pintu hati
Untuk memaafkanmu
Dengan sepenuh rasa
Dan… Ia bukan sekadar kata.

[Me-lehat baru]

Tuesday, November 15, 2011

~ DI DALAM GOBOK ~


DIAM tidak diam, sudah genap sebulan aku tidak menulis di sini. Satu tempoh yang tidak pernah terjadi selama aku mendekatkan diri di sini sebelum ini. Dan ini pertama kali seumpamanya. Apa benar 'kejadian' itu besar mempengaruh? Itu yang disoal seorang kenalan dan sebenarnya juga menjadi soal kepadaku nun jauh di sudut hati sana.

Entah bagaimana harus aku mula perkataannya di sini. Namun, paling jujur (mungkin bunyinya menjengkelkan buat mereka... dan terpulang...) aku dengan sesungguhnya telah memaafkan segala apa yang menjadi calar kepadaku buat dalam tempoh itu. Dan demi Tuhan (dan aku tidak bermain-main dengan soal ini), aku juga bermohon agar dibukakan pintu hati 'mereka' itu untuk memaafkan juga segala apa kesalahan dan kesilapan yang telah aku lakukan selama ini.

Pesan yang paling jujur (dan sungguh), jika kebencian kamu terhadap sesuatu itu mengatasi segala-galanya, jauhilah... dan berhentilah 'berkata-kata' tentang sesuatu yang menjadi 'kebencian' itu. Agar ia tidak menambah sakit hati kamu, juga tidak merosakkan hati yang dimaksudkan kamu itu..

Pada hari ini (setelah meninggalkan hari-hari semalam), paling benar.. sedikitpun tiada kemarahan di hatiku. Cuma yang tidak aku sangkalkan, kesedihan masih membuat damping. Puas mengusir jauh, namun ia tetap mahu mengacah-acah dekat. Justeru, aku masih tidak mampu untuk berlagak biasa seolah tiada apa. Namun ia tidak bermaksud kemaafan itu berlaku tanpa keikhlasan (sebagaimana yang sering dibaca salah dengan sengaja).

Aku bukan menulis di sini untuk memperlihatkan aku sebagai mangsa, sebagai manusia putih yang sempurna segala (seperti yang difikirkan dengan sepenuh hati oleh 'mereka'), TIDAK!!! Tetapi sebagai aku yang memang aku... yang serba kurang dan yang tidak juga terkecuali daripada melakukan kesilapan. Justeru, mohon tidak dibaca salah nada dan maksud permintaan itu.

Mudah-mudahan, hari ni menjadi lebih baik untuk semua. Untuk aku, untuk kamu dan untuk semua kita.

[Aku maklom akan keberangkalian hal-2 keras begini, cuma tidak ter-piker ia datang-nya dari yang begitu dekat... Lalu ia men-jadi tragis.]

Thursday, November 03, 2011

~ BIARKAN IA BERLALU ~


TAJUK: Biarkan Ia Berlalu
KARYA: Sha Ibrahim
CETAKAN: Pertama (Oktober 2011)
PENERBIT: Kaki Novel Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN: 1140
HARGA: RM37.00
“Tak, Nadia tak akan berhenti selagi apa yang Nadia nak tak tercapai! Saat Nadia tahu siapa yang bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada arwah ayah dan keluarga kita, Nadia berjanji pada diri Nadia sendiri, Nadia tak akan berhenti selagi Nadia tak buat mereka yang bertanggungjawab itu merana! Itu janji Nadia!”


[Yang lepas... biar jadi sejarah]