Friday, October 14, 2011

~ DEGUP KENCANG ~


DEGUP kencang yang tidak mahu berhenti. Mengganggu seluruh hari semalam. Senyapku berlebih biasa.

Sehabis waktu pekerjaan, lelaki sepet datang berdamping. Jauh dari selatan semenanjung tanahair. Menghidu hal-hal pecah yang tidak mampu aku tutup itu. Pecah yang bukan biasa. Namun, aku sedaya tidak menyebut hal itu dengannya. Tidak mahu dia terpengaruh dan melihat 'orang' yang aku maksudkan itu dengan pandangan yang negatif. Apatah lagi dia juga pernah mengingatkan aku tentang itu.

Justeru, cukup hanya dalam tahuku semata. Apapun hitamnya saat ini, hal-hal putih yang pernah diberikan 'orang itu' sebelum ini masih kekal ada. Kerana.. aku masih tahu membezakan.

[Doa kesejahteraan untuk semuanya..]

Thursday, October 13, 2011

~ KALI INI TIDAK SAMA ~


MENGEJUTKAN. Dan sungguh, aku hilang kata. Bagaimana seseorang yang pada hemat kamu merupakan sahabat dekat yang dipercayai tetapi sebaliknya di belakang kamu? Bermulut manis menyenangkan kamu, tetapi yang paling benar segala itu bertentangan tanpa pengetahuan kamu?

Dan aku sedang laluinya. Bukan calang-calang, tetapi yang aku katakan dekat selama bertahun itu. Mungkin ini entri terakhir yang aku tulis tentang dia.

Dia berlakon hebat, tanpa sedikit pun tahu aku sudah jelas segalanya.. Ermm.. begitu berat pandangan dia terhadap aku rupa-rupanya (tidak pernah terlintas). Apapun, meski pecah rasa yang seribu, baik buruknya dia... tetap aku simpan tanpa sedikit kebocoran kepada sesiapapun yang pernah atau akan mengenalinya. Benar-benar simpan untuk diri sendiri. Aku tidak akan memilih seperti apa yang dia lakukan, insya-Allah.

[Pertama kali sa-umpama-nya.. lalu ia ter-kesan dalam.. ]

Wednesday, October 12, 2011

~ MENCURI BULAN ~

AKU melihat dengan mata besar. Hal-hal yang sebelum ini sengaja tidak aku lihat. Hal-hal yang aku tutup untuk aman.

Lalu, hari ini aku putuskan tidak mahu lagi mencuri bulan.

[Ter-kuis berat..]

~ PESONA THE SECRET LIFE OF NORA ~












Tuesday, October 11, 2011

~ SEKETIKA DARI BINGIT ~


TIBA-tiba tanpa dirancang usul, aku memutus untuk tidak ke lantai pekerjaan hari ini, yakni mengambil cuti. Dan ia pada saat akhir setelah bersiap siaga. Tiada urus atau hal yang mendesak. Cuma, aku tiba-tiba rasa hilang tumpu. Mahu senyap. Dan ia hanya sekadar itu, tidak lebih.

[Kamu ber-lakun kepada orang yang ter-lalu jelas tentang lakunan kamu!]

Monday, October 10, 2011

~ LELAH ~


"Perempuan ini, sebenarnya tidak perlu banyak untuk dirinya. Tetapi pada saat kamu berasa dia meminta terlalu banyak, ketahuilah, dia bukan meminta untuk dirinya sendiri, tetapi sebenarnya apa yang dimintanya itu adalah untuk kamu, agar kamu menjadi lelaki yang sempurna, lelaki melengkapi kekurangannya."

[Langit merah meng-gamit ]

Sunday, October 09, 2011

~ BAHASA KESENYAPAN ~


SEBAIK sahaja usai urus pekerjaan di luar hiruk pikuk kota siang tadi, aku terus menghalakan unta hitam ke putrajaya. Seorang diri.

Banyak hal yang berkecamuk dan serabut yang berselirat seratus di kepala. Dari soal teman jiwa yang semakin menjadi sang pencuriga sehinggalah tingkah sahabat dekat yang mengundang tanya yang banyak. Aku ke jambatan naga. Menunggu langit merah dari awal ia menyapa sehingga hilang bersembunyi seketika seperti mana lumrahnya..

Kurang lebih jam 6 aku berada di situ, sehinggalah bulan naik membuat hampar. Senyap. Paling senyap. Pulang ke rumah dan menjadi sang pemimpi.

[Kalau-lah bahasa kesenyapan ini mampu di-dengar meng-erti...]

Saturday, October 08, 2011

~ SEPTEMBER YANG PERTAMA ~


TAJUK : September Yang Pertama
KARYA : Antasya Balkis
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 581
HARGA : RM22.90

“Dia yang asing bagiku, rupanya itulah cinta pertamanya… Dibisikkan pada bayu laut bahawa dia mencintai Mithali sehingga air mata mengalir membasahi pipi…”

[Dan... Oktober datang lagi..]

Friday, October 07, 2011

~ HILANG KE MIMPI ~


LAMBAKAN kerja di lantai pekerjaan semalam menghambat lelah yang panjang. Lalu saat pulang ke rumah aku hanya mahu hanyut di mimpi.

Namun, saat masuk ke 'dunia' itu, skrin telefon berkelip-kelip. Nama seorang sahabat muncul di situ. Beberapa hari dia senyap, rupa-rupanya berada di tanah seberang. Dan bagai biasa, pasti sahaja kerana membawa rajuknya.

Terkongsi hal-hal senyap beberapa hari lalu. Namun kerana lelah diri begitu mengacah-acah, aku beberapa kali hilang ke mimpi. Mahu mendahului mimpi itu terus, tentunya tidak sampai hati kerana sahabat ini sedang memerlu untuk menumpang bahu.

Lalu, aku menurut dan acara bual melalui skrin telefon bimbit itu berlarut entah ke jam berapa sehingga aku hilang terus dalam mimpi.

Awal pagi ini, aku kembali meneliti isi bual kami itu. Dan... urat tawa membawa getar yang panjang saat membaca kembali apa yang aku katakan di skrin telefon bimbit itu. Hal-hal merepek di bawah sedar yang mana berlangsung saat aku diacah lelah untuk bermimpi. Dan sahabat itu beberapa kali mengusul tanda tanya apabila isi bualku menyimpang terus daripada hal yang dia bentangkan.

Arghh.. Koishie.. kamu membikin hal yang paling lucu dan harus membuat pembetulan yang panjang... :)

[Jangan pula ia men-jadi punca rajok lagi.. hahaha]

Thursday, October 06, 2011

~ TIKAMLAH SECARA BERDEPAN.. ~


HARU biru. Mereka menikam-nikam sendiri. Di depan aku!!! Dan aku hanya memerhati meski jelas keduanya cuba mempengaruhi aku untuk menyokong dan menyebelahi.

Dan sungguh, aku terasa amat-amat bersyukur, mereka yang dekat berkelilingku belum ada yang sampai ke tahap itu. Belum ada (atau tidak terlihat aku) yang sanggup mengkhianati sahabat sendiri begitu rupa.

Perbualan serius dengan seorang rakan di lantai MV petang semalam itu langsung tidak melekat dalam kepala. Sengaja aku tidak ambil pusing kerana tidak pernah mahu terlibat dalam sengketa mereka. Justeru aku hanya mendengar segala luah rasanya. Begitu dan begini. Tetapi ia cukup sekadar itu. Sama ada ia beralas kebenaran atau tidak, aku jelas tidak menyenangi hal-hal pengkhianatan begini.

Dan... entah bagaimana kebetulannya, beberapa jam terdahulu sebelum itu orang yang dimaksudkan sang penutur turut membuat perbualan serius denganku tentang usul yang serupa. Juga dengan nada dan bahasa yang sama. Juga hal-hal yang buruk tentang si penutur tadi di canang-canangkan. Dan pada akhirnya, meninggalkan pesanan yang sama supaya aku menjauhkan diri dari si penutur itu. Begitu dan begini.

Mengapa aku yang mereka pilih untuk menjadi saksi? Ermm...

Menggeleng-gelengkan kepala. Dan terfikir, mengapa sampai begitu kesudahan mereka, sedang sebelumnya menjalin persahabatan dengan begitu harmoni. Hanya kerana tidak tercapai kehendak atau terguris terluka hati untuk suatu hal, maka pilihan mereka adalah dengan MENGKHIANATI. Betapa mereka sedikitpun tidak punya rasa bersalah atas perlakuan yang sebegitu terhadap sahabat sendiri. Sangat tragis kukira!!!

Dan sekali lagi, mujur... sehingga hari ini aku belum diperlakukan begitu. Dan mohon, agar ia terkekal begitu pada hal-hal yang akan datang, insya-Allah.

[Kalau benar salah laku-nya, tikam-lah dia secara ber-depan... ]

Wednesday, October 05, 2011

~ MENJADI ORANG LAIN ~


DUDUK, bangun. Duduk... bangun.... bangun.. duduk dan bangun lagi. Tidur! Akhirnya skrin berkelip. Sahabat dekat yang kini tercelah di seberang benua sana menyapa.

AKU: Bila nak balik ni?
BR: Yerlaa.. rindu nak menunggu awak depan rumah dan paksa pergi minum..

Aku ketawa besar setelah begitu serius amat sejak awal perbualan. Sering sahaja dia tiba-tiba muncul di depan rumah tanpa sebarang isyarat agar aku tidak punya alasan untuk menolak pelawaaannya keluar menghirup secawan coffee. Taktik berkesan yang selalu digunakan lelaki yang kini sudah jauhh di bumi sebelah sana itu.

Menjadi lain untuk orang lain. Barangkali itu yang mereka mahukan.

[Lalu, baharu-lah aku untok hari ini.. dan se-lain-nya mungkin..]

Monday, October 03, 2011

~ DAN KETIKA IA SUDAH TAWAR ~


AKU percaya teman jiwa mengerti. Dia bukan sekejap mengenali aku. Malah sebahagian aku tidak menjadi hal yang asing buatnya. Begitu juga dia. Hal yang hanya kami yang mengerti, mungkin.

Siang hari tadi, lelaki sepet ini memberi sedikit kejutan. Kejutan dengan memenuh ingin yang pernah aku suarakan kepadanya beberapa ketika dulu (yaa.. aku sendiri kurang pasti bila waktunya..).

Namun, aku tidak teruja seperti mana yang mungkin dia bayangkan sebelumnya. Benar, aku tidak menolak dan menerimanya dengan senang hati. Apatah lagi bila melihat usahanya untuk hal itu. Namun ia hanya sekadar itu.

Dia tidak memberi saat aku penuh dengan rasa ingin. Dia tidak memenuh pada ketika aku bergalas teruja yang sarat. Tidak pada ketika aku benar perlu. Mungkin pada perkiraannya, ia sama sahaja pada bila-bila ketika, asal sahaja rupa-betuk-isi-gambarajahnya masih sama.

Dan ternyata dia silap.. biar semua itu masih sama, tetapi nilainya sudah tidak serupa. Keperluannya juga mungkin berbeza. Keterujaannya tidak ada seperti sebelumnya. Sudah bertempiaran lari.

Hal-hal seperti itu menjadi hal yang berat buatku (walaupun paling remeh pada mereka yang lainnya barangkali). Mungkin ia dipengaruhi oleh apa yang pernah aku lalui ketika zaman anak-anak. Di mana aku sering mendapat apa yang dimahukan selepas habis waktu perlunya.

Itu sebenarnya hal rahsia tentangku. Bertitik rahsia itu jugalah aku sering menanam dalam diri untuk tidak melaku hal serupa kepada yang di sekeliling apatah lagi yang dekat-dekat. Tidak mahu memberi rasa yang pernah aku rasakan sebelum ini.

[Langet merah yang meng-gamit... ]

Sunday, October 02, 2011

~ THE SECRET LIFE OF NORA @ PANGGUNG SARI, ISTANA BUDAYA ~


AKU sememangnya teruja saat mula diberitakan kisah ejen perisik terkenal, Nora Zain akan di bawa ke pentas teater. Lebih memberi impak apabila tahu ia akan dibawakan oleh produksi yang sememangnya terkenal dengan hasil kerja yang hebat, Enfiniti Vision Media yang diterajui oleh Datin Seri Tiara Jacquelina.

Lalu, pementasan The Secret Life of Nora yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 29 September yang lalu itu begitu ditunggu. Ketidak-sabaran sahabat dekat untuk menunggu juga membawa aku lebih awal menonton daripada kebiasaan selalu. Yaa... aku menonton pada malam pertama pementasannnya setelah mendapatkan tiket pada sebelah tengaharinya (29 September).

Hal yang pertama, tentu sahaja aku tercuri perhatian kepada binaan set pentasnya. Hebat. Dan itulah yang sering menjadi kelebihan Enfiniti yang mempunyai bajet tersendiri untuk merealisasikan apa yang mereka janjikan pada kertas. Paling aku tertarik pada set rumah Farouk (Tony Eusoff) yang juga menjadi tempat pertemuan di antara Roger (Ryan Silverman) dan Nora (Tiara Jacquelina). Khabarnya, untuk set itu sahaja belanjanya mencecah puluhan ribu.

Tahniah juga kepada Roslan Aziz sebagai pengarah muzik dan San Weng Onn selaku komposer lagu-lagu yang berkumandang sepanjang teater berdurasi kurang lebih dua jam setengah ini berlangsung. Alunannya sungguh-sungguh lekat di telinga. Tidak sekadar 'Siapa Dia' tetapi lagu-lagu seperti 'Kau Yang Menulis', 'Siapa Mahu Jadi Bintang', 'A Twinkle in the Dark', 'Terdedah Kepada Aku' dan lain-lainnya juga memikat.

Dan, menurut perhatianku... teknik nyanyian sang peneraju utamanya, Datin Seri Tiara juga semakin baik dan meyakinkan berbanding penampilannya (nyanyian) sebelum ini. Aku percaya, bukan sedikit usaha yang tercurah olehnya untuk hal ini. Dia berjaya di situ. Ia turut tersokong dengan gerak tari yang begitu menghiburkan daripada barisan yang terpilih itu. Dan semuanya seia sekata.

Sementara soal lakonan juga adalah hal yang paling banyak menyumbang kepada kejayaan pementasan ini. Baik Datin Seri Tiara, Ryan Silverman, Adibah Noor, Tony Eusoff dan yang lain-lainnya, mereka telah memberikan yang terbaik.

Pun begitu, aku merasakan The Secret Live of Nora ini bukanlah teater terbaik yang pernah aku tonton di Panggung Sari Istana Budaya ini. Malah, apa yang aku harapkan daripada teater ini tidak terzahir di dalam pementasan yang dipersembahkan lewat hari kelmarin.

Pertamanya dari aspek jalan ceritanya. Aku faham sekiranya Enfiniti tidak dapat/tidak mahu mengekalkan cerita asal Nora Zain atas alasan yang hanya mereka sahaja yang tahu. Namun, pastikan jalan cerita berkaitan 'penyiasat wanita' yang mereka uar-uarkan sebelum ini itu sampai taraf seperti mana pesona yang diberikan Nora Zain asal itu. Aku tidak dapat merasa aura 'spy' yang ada pada diri Nora yang dipersembahkan di pentas Panggung Sari itu, tetapi percaya kepada imej 'spy' yang ada pada poster The Secret Live of Nora itu. Mungkin aku salah, tetapi itu yang aku rasakan.

Paling membuat aku kecewa, tidak banyak babak yang menunjukkan aksi Nora sebagai 'spy'. Lalu di mana keistimewaan Nora selain kecantikannya dan aksi 'cute' yang dia pertontonkan? Penonton lebih banyak ditonjolkan dengan aksi Nora menyanyi dan menari termasuklah pada babak yang jelas aku lihat seperti pentas 'Burlesque' pada pembukaan babak kedua itu. Lalu kehebatan Nora yang mana satukah mahu di tolak ke depan sebenarnya?

Satu hal yang mencuit hati, ketika babak Nora dan Roger memanjat tiang setelah lift yang mereka naiki di tempat persembunyi Mr. J di New New World tersangkut, sekumpulan penari sedang hebat menonjolkan kebolehan mereka di bawah. Lalu tumpuan penonton terbahagi kepada dia. Sebahagian kepada Nora dan Roger dan sebahagian lagi di bawah. Pada perkiraanku, titik tumpu (sportlight) harus sepenuhnya kepada aksi berani Nora dan Roger itu. Aksi berbahaya yang rugi ya amat jika tidak dapat dinikmati jelas sang penonton.

Dan akhir sekali, entah kenapa aku melihat watak Mr. J itu seolahnya dari jelmaan dari Prof Klon (filem Cicakman) dan Khatijah itu dari watak Adibah Nor untuk teater muzikal Cuci (mungkin aku salah..).

Apapun, aku gembira dan terhibur sepanjang menonton 'The Secret Life of Nora'. Pementasannya akan berlangsung sehingga 16 Oktober ini dan berkemungkinan besar akan dilanjutkan pementasannya jika sambutan yang sama diberikan seperti mana teater-teater terbitan Enfiniti yang terdahulu.

*** Apa yang aku utarakan di sini hanyalah pandangan peribadiku semata-mata (yang menonton pada malam awal persembahan, yang mungkin ada perubahan pada persembahan kemudiannya) dan ia mungkin jauh berbeza dengan pandangan mereka yang arif dan pakar dalam bidang ini.

[Maseh ter-bayang P. Ramlee The Musical..]

Saturday, October 01, 2011

~ NIAN DI HATI ~


TAJUK : Nian Di Hati
KARYA : Elin Nadia
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 485
HARGA : RM19.90

“Berharap kasih ini tidak terhenti nadinya, walaupun nafas terakhir dihembus…”


[Dan kamu meng-erti yaa... ]