Thursday, September 15, 2011

~ TUJUH JAM ~


BERMULA jam 12.15 malam sehinggalah 7.20 pagi tadi, aku dan sahabat Mei terpaku dikerusi dan meja RKA setelah lama tidak berkunjung ke sini. Kurang lebih tujuh jam, kami menutur bual daripada malam hitam pekat sehinggalah matahari keluar memulakan hari. Mujur sahaja aku memulakan urus pekerjaan lewat dua jam dari ketetapan selalu.

Memang begitupun selalu kami bila punya kesempatan untuk berkongsi cerita. Bagai biasa aku banyak mendengar, dia banyak bercerita. Sesekali dia mohon diberi pandangan dan kerap juga berharap aku dapat membetul situasi keras yang dia depani.

Cerita aidilfitri lalu sedikit meruntun hati. Dan hal yang sama masih dilaluinya secara berulangan. Namun kerana jasa terjunjung di kepala malah budi menjadi darah daging, dia melihat segalanya dengan hal-hal yang cerah. Meski sentiasa dengan budi, dia tidak terlolos dikhianati dan disakiti meski dengan sauadara sendiri.

Tekun mendengar hal-hal patah hatinya sehingga kepada cerita rumah baharunya. Menariknya aku menjadi antara tetamu pertama yang di bawa ke sana. Justeru, aku menawarkan diri untuk membantunya untuk urusan itu. Sementelah kudratnya yang sekerat itu tentu sahaja tidak tertampung untuk hal itu.

Dia mahu lari daripada hal-hal patah hati itu. Lalu merancang untuk melakukan sesuatu dalam pelarian itu. Aku menyokong seluruh dan berdoa Tuhan izinkan kemahuannya itu terlaksana. Juga tidak pernah putus mendoakan agar suatu hari nanti dia akan dipertemukan dengan manusia yang benar-benar menghargainya dengan sepenuh rasa jujur.

Jam 7.45 aku menurunkan sahabat ini betul-betul di depan rumahnya. Dia terus mendongak matahari yang mula keluar menunjuk diri. Seolah ada energi baharu yang tersalur ke dalam dirinya. Dia menoleh sekali lagi dan seolah ada janji dalam diri untuk merobah rasa-rasa kelat itu dengan benar-benar seluruh kali ini.

[Terima kaseh atas pem-berian duit raya dan hamper raya... sahabat ini tidak mahu kalah..]

No comments: