Friday, September 30, 2011

~ THE SECRET LIFE OF NORA ~



MALAM pertama pementasan The Secret Life of Nora.. dan malam pertama ini juga aku berpeluang untuk menonton teater muzikal yang ditunggu ramai ini.

Usai menonton, aku berkongsi pandangan tentang isi persembahan dengan sahabat mei yang terlebih dahulu menontonnya sebelum ini. Dan kami sependapat. Namun, pendapat itu akan aku kongsikan pada entri seterusnya nanti.

[Ter-churi per-hatian kepada kacha mata besar yang di-pakai sang peneraju utama-nya pada kulit poster..]

Thursday, September 29, 2011

~ HANYUT KERAS ~


MEMERAH kudrat di luar kemampuan sepanjang hari semalam atas urusan pekerjaan membuatkan aku senyap hanyut di dalam lena yang keras. Terasa kasihan pada diri apabila seluruhnya mengadu kesakitan..

Dan... rentetan itu juga, aku dipersalahkan untuk hal ingin yang tidak aku dipenuhi pada ketikanya. Seorang teman membuat rajuk kerana aku menolak untuk menyertainya ke satu acara malam tadi. Malah, ia menjadi lebih kelat apabila beberapa panggilannya tidak terjawab aku. Bukan memilih dengan sengaja, tetapi aku hanyut keras sehingga ke awal pagi sementelah isi perut membuat 'rusuhan' di dalam sana hingga tiada daya untuk mengangkat muka, apatah untuk selainnya.

Lalu awal pagi ini aku membuka telefon bimbit dan dan membaca mesej rajuk yang sangat sejuk bunyinya. Ermm..

[Langit merah meng-gamit..]

Wednesday, September 28, 2011

~ MENUTUP ~


AKU tidak apa-apa. Mungkin benar ada usaha keras untuk menutup rasa. Namun, biarlah ia hanya hal yang di dalam sana. Cukuplah emosi yang berlimpah itu terluah kakak mahupun adik. Biar aku yang pinjamkan bahu untuk mereka. Aku percaya, ibu tidak akan apa-apa... dan kami semua juga tidak akan apa-apa.

Dan mujur ada yang dekat-dekat di keliling membuat bingar.. menarik aku agar jauh dari kolam emosi itu.

[Dan.. langet merah itu mampu men-jadi terapi..]

Tuesday, September 27, 2011

~ ISNIN YANG HARU BIRU ~


SEHARIAN Isnin yang haru biru. Dua hari ini aku bergalas tanggungjawab untuk menguruskan si kecil. Kakak dan abang terikat dengan urus pekerjaan di luar hiruk pikuk kota dan aku mengambil alih hal-hal perlu.

Berkejaran sejak awal pagi sehinggalah malam menutup hari. Terlambat meninggalkan lantai pekerjaan membuatkan aku terlambat juga tiba menjemput si kecil dari rumah si ibu sementara. Sementelah sesak jalan raya menambah kalut. Merasa bersalah yang amat sangat. Sedang hal sekecil ini aku tidak tepat menurut seluruh, bagaimana mahu menggalas semuanya.

Beberapa meter berjarak dari rumah, kami men jadi saksi kepada satu kemalangan berat. Sebuah motor yang terperosok masuk ke bawah perut kereta. Saat kami melintasi tempat kejadian, sang mangsa sedang diselamatkan. Dek kerana unta hitam yang perlahan membuat gerak, si kecil tanpa sengaja dengan jelas melihat dengan mata kepalanya keadaan mangsa di bawah perut kereta itu. Lalu, dia menggeletar dan menangis ketakutan untuk beberapa ketika. Dan, aku perlu mengatasi untuknya.

Pada ketika yang sama, seorang sahabat dekat pula sepertinya perlu dipinjamkan bahu. Beberapa hari ini, banyak hal yang bertimpa kepadanya membuatkan hatinya bergolak keras. Dan aku cuba untuknya... kerana sepanjang mengenalinya, aku sering tahu dia juga sentiasa mencuba yang terbaik untuk orang lain di sekelilingnya. Lalu dia berhak untuk hal serupa. Doa kesejahteraan untuknya. Mudah-mudahan Tuhan berkati seluruh dia. Aminn..

Dan... aku duduk mengadap skrin ini. Juga sebenarnya berdepan dengan hal-hal yang kurang menyenangkan beberapa hari ini. Cuma mujur satu simpul kekalutan, terlerai hari ini. Dan, aku diberi ruang untuk menutur apa yang mahu aku tuturkan.

[Me-minjam bahu..]

Sunday, September 25, 2011

~ TEATER JUTA-JUTA @ STOR TEATER DBP ~











MEMENUH janji untuk kebeberapa tempat pada hari ini. Biarpun jarak antara satu lokasi ke satu lokasi yang lain bukan sedengar laungan, aku menurut dengan senyum lebar. Hari-hari terakhir Syawal 1434H ini aku penuhkan dengan kesempatan yang manis. Sementelah pada minggu awalnya, aku tidak punya kesempatan yang baik untuk melakukan hal yang serupa.

Lokasi terakhir untuk hari ini adalah ke Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk duduk menonton teater Juta-Juta karya Fasyali Fadzly. Kali terakhir aku ke sini adalah beberapa bulan lalu ketika pementasana teater kanak-kanak, Kampung Semut.

Berbeza daripada teater-teater lain yang menggunakan ruang pentas yang sama di Stor DBP ini, karya terbitan MASK Team ini mendapat ruang publisiti yang agak baik di dada akbar. Malah aku juga tahu mengenai pementasan ini melalui sumber itu. Satu perkembangan yang agak baik untuk penggiat indie (disebutkan begitu) seperti mereka.

Menjayakan 12 watak dengan hanya menampilkan tiga orang pelakon. Begitulah hebatnya bakat dan kesungguhan yang dimiliki oleh tiga anak muda berbakat, Aloy Paradoks, Fazlina Hishamudin dan Anas Riduan. Kehebatan itu nyatanya tersokong atas karya baik dan kemas dari pengarah Fasyali Fadzly yang sebelum ini katanya pernah disebut melalui teater Kotak Hitam, Berani Mati dan Oedipus.

Skrip yang kemas, jalan cerita yang menarik dan persembahan yang terbaik. Itu hal yang sememangnya tidak dapat dinafikan sepanjang kurang lebih satu jam 15 minit tontonan. Cerita yang dipersembahkan dalam cerita. Teater dalam teater. Kata mereka, isi karya ini bukan berniat menyindir sesiapa. Namun sebagai khalayak yang tidak menontonnya dengan fikiran yang kosong, tentu sahaja mengerti jelas apa yang mereka mahu persembahkan.

'Juta-Juta' membuka hal-hal rumit di sekitar mereka selaku penggiat teater kecil-kecilan yang berdepan dengan pelbagai karenah dan hal-hal yang tidak munasabah dalam memperjuangkan karya seni mereka. Aku faham tentang 'tempat agung' Keraton Seni yang mereka maksudkan. Aku juga mengerti betapa kebanjiran teater-teater muzikal komersial banyak mengubah senario teater tempatan. Dan aku juga tentu amat maklum tentang ketidaksamaaan peluang yang diberikan kepada golongan yang berjuang atas nama bakat ini berbanding tuntutan komersial yang lain.

Memilih gaya santai bernada sinis yang tepat, teater ini sungguh menghiburkan. Dan wang RM20 yang dibayar untuk tujuan itu berbaloi-baloi menjadi tukaran. Sekali lagi tahniah untuk sang pengepalanya, Fasyali Fadzly serta tunjang utamanya, Aloy, Fazlina dan Anas.

Jujurnya aku tidak begitu mengenali Fasyali. Malah ini merupakan karya pertama yang menjadi tontonanku. Begitu juga dengan Anas yang amat asing. Fazlina hanya kenal pada nama kerana sering disebut dibeberapa laman blog yang tanpa sengaja disinggahi. Hanya Aloy Paradoks yang sudah beberapa kali aku lihat persembahannya. Tentunya bermula dari acara MASKARA di rumah PENA bersama teman-teman yang mengerti perjuangan seninya.

Untuk kamu yang mahu menikmati sendiri apa yang aku sebutkan di sini, persembahan mereka masih berbaki hari ini. Persembahan terakhir yang dilanjutkan atas permintaan penonton yang jarang-jarang sekali berlaku di Stor Teater ini.

Sedikit informasi untuk kamu:

TARIKH PERSEMBAHAN BERBAKI: 26 September2011
TEMPAT: Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur
MASA: 8.30 malam
TIKET: RM20 (sila hubungi Cik Ajune di 012 – 2789352 ATAU dapatkan di depan pintu masuk)

Sinopsis Teater Juta Juta:

Teater ini mengisahkan mengenai perjalanan seni tiga orang kawan baik yang bercadang mementaskan di sebuah panggung terhebat tanah air iaitu Keraton Seni. Mereka membuat sesi pembentangan untuk mendapatkan sokongan dan tajaan banyak pihak. Walau Bagaiamanapun, perjalanan seni mereka tidaklah semudah yang disangka.

Sedang membuat pembentangan idea di hadapan Pengarah Keraton, bakal penaja dan juga pengkritik teater terhebat tanah air, mereka mengimbau kembali bagaimana mereka bergelumang dengan senario teater tanah air sewaktu zaman belajar dahulu.

Mereka meneruskan perbincangan untuk mementaskan teater sehingga bertikam lidah dan menyalahkan pihak lain.

Selamat menonton!

[Terima kaseh untok sahabat mei yang menurot serta..]

Saturday, September 24, 2011

~ JANGAN SEBUT NAMAKU ~


TAJUK : Jangan Sebut Namaku
KARYA : Noorfadzillah
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 566
HARGA : RM22.90

Persaingan Engku Aleeyah dan Isabella demi merebut kasih Luqman tidak pernah surut. Engku Aleeyah, gadis Melayu sanggup melakukan apa sahaja demi mengikat kasih Luqman. Isabella gadis pemikir bebas, bermata runcing tidak ingin mengalah. Sehinggalah Isabella hilang ditelan bumi di hutan Kalawari. Lima tahun selepas tragedi itu, sesuatu telah kembali menghantui mereka selepas selesai malam reunion di sebuah hotel terkemuka. Satu demi satu teman-teman Luqman dan Engku Aleeyah hilang setiap kali bulan purnama penuh. Kehadiran Fatimah Az-Zahra menambahkan lagi kebuntuan pihak polis apabila maklumat yang cuba disampaikannya tidak logik dek akal. Apakah yang terjadi di sebaliknya?


[Dan tidak perenah apa-2...]

Friday, September 23, 2011

~ SURAT III: LEONARD ~

Di tingkap bilik, sambil naskah 'Perempuan Yang Patah Hati' di tangan, aku mengadap terus ke kerlipan bintang timur... dan menuturlah hati..


SURAT III: LEONARD

Duhai puspa hati,
Di pergelangan tanganmu itu
Kulihat ada syurga yang merias

Dan malam yang hadir di matamu itu kuintai
Ada kesedihan yang merekah
Menjadi puing-puing sepi
Di balik senja matahari

Ada bulan mati di hatimu sayang
Dan sisanya semakin menumbuh di kalbu
Beritahuku, bagaimana sekarang?

PUISI karya Rasyidah Othman yang dipetik daripada buku 'Perempuan Yang Patah Hati'. Sudah berulang kali aku mengulang baca (dan antara koleksi yang amat disukai..) buku bercetak 39 muka surat ini. Jatuh cinta dengan isi kandungnya.

[Dan naskah 'Perempuan Yang Patah Hati' maseh tidak lekang...]

Thursday, September 22, 2011

~ HOROSKOP ~


MASIH dalam situasi yang tidak menggembirakan beberapa hari ini. Namun aku 'dihiburkan' sahabat dekat yang seorang ini.

Lucu bila mana aku yang berserabut seratus ini cuba ditenangkan oleh sahabat yang berserabut seratus juga. Hahaha.. Sangat manis. Sebenarnya, ia bukan tentang mampukah serabut itu terpulih atau sebagainya, tetapi ia adalah tentang kesanggupan. Cerita tentang kesanggupan kamu terhadap sesuatu.

Sebaik pulang dari lantai pekerjaan, aku menghabiskan masa bersama sahabat yang sangat obses tumpunya kepada horoskop. Dia banyak menghiburkan aku hari ini sehingga aku mampu ketawa besar setelah beberapa hari berselirat kecamuk. Kami membincangkan teori zodiaknya dari jam 7.45 malam sehinggalah kurang lebih jam 2.00 pagi.

SM: Awak, saya risau nih... buku yang saya baca tu kata Taurus dengan Scorpio = Difficult. Maksudnya masalah.
AKU: Uikss..
SM: Haaaa.... Awak, kalau awak buat apa2 tak best kat saya, siapla awak (ketawa)

Aku menjadi semakin tertarik dengan pelbagai teori yang sahabat ini hujahkan. Dia mengkaji sepertinya mahu menyedia tesis besar yang akan dinilai barisan panel yang arif.. Aku menggeleng-gelengkan kepala, lucu.

Namun, paling sungguh aku semakin seronok dengan penjelasan dan contoh-contoh yang membenarkan kajiannya. Dia cukup menghafal horoskop selebriti dan mereka yang popular di dada akbar dengan mengaitkan dengan kejadian yang melibatkan mereka. OK, aku tabik itu.

AKU: Scorpio ni banyak yang negatif kan dari positif..
SM: Mana ada.. semua bintang balance jer semua... kecuali Capricorn... diorang ni memang banyak part2 positif..
AKU: Saya pernah baca buku yang kata, Scorpio ni degil dan keras kepala..
SM: Hehehe.. saya tambah lagi dua, sensitif dan perahsia.. sangat perahsia..
AKU: Haipp..
SM: Hahaha... Betulla... Tak tipuu. Nanti saya tunjukkan buku tu...

[Dan kenyataan-nya, ke-tiga-tiga bacha'an itu benar jika di-rujok kepada aku.. dan mungkin barang-kali tidak kepada Scorpio lain-nya..]

Wednesday, September 21, 2011

~ HILANG DARI RADAR ~


SERABUT seratus. Siang hari tadi aku hilang tumpu yang banyak kepada urus pekerjaan sederet. Membiarkan jam-jam pada siang paginya berlalu kosong. Ia menjadi keras dan serius. Tiada satu apa yang aku mampu lakukan sempurna saat itu.

Justeru, aku memutus mengambil cuti separuh hari. Malah aku tanpa mahu peduli keluar dua jam lebih awal dari ketetapan waktu separuh hari sepatutnya. Entah dari mana datangnya rasukan untuk melanggar yang termaktub itu.

Mahu hilang seketika daripada radar. Dan aku benar-benar mahukan itu. Lalu aku membuat singgah di beberapa tempat membuat kelapangan. Sedikit senang apabila mampu menarik nafas dalam. Hujungnya aku turut ke lantai pekerjaan lama, sekadar mencari bingar. Namun ia tetap tidak terlawan kesenyapan yang cukup serabut ini.

Menjadi satu hal juga apabila aku melaku hal di luar kebiasaan. Mengisi ketat perut dengan isi yang berlebih sebagai protes stress yang membuat damping. Dek kerana terlalu memaksa diri, dua jam selepas itu aku memuntahkan kembali isi dalam yang belum terhadam baik itu.

Dan... masih serabut. Ermmm...Kalaulah kamu masih ada D, pasti sahaja kamu ada saat ini untuk meminjamkan bahumu..

[Tolong... se-chawan coffee untok aku...]

Tuesday, September 20, 2011

~ INSYA-ALLAH ~


DAN Tuhan menguji. Lalu situasi emosi mengepung rasa dengan amat kejam. Aku mengerti ketekanan itu, namun jika aku juga turut larut, maka porak peranda itu lebih mendekat. Semoga kakak mahupun adik dapat bertenang.

[Mudah-mudahan ibu segera semboh... :(

Monday, September 19, 2011

~ DAN MUNGKIN ESOK ITU HARI KITA..~


AWAL lapan pagi siang hari tadi (ahad), nama sahabat mei tiba-tiba muncul di skrin. Luar pada kebiasaan. Mohon aku membantunya menyelesaikan beberapa urus. Mujur sahaja janji berdamping teman jiwa siang hari ini tertunda lantaran acara sang ibu lelaki bermata sepet itu mengambil tempat di negeri Hang Tuah.

Awal sembilan pagi, unta hitam siap siaga menelusuri perut jalan raya untuk membawa kami ke H. Villa - Pandan Jaya - Pavillion - RKA - RI - Carrefour Wangsa Maju dan kembali ke H.Villa menjejak ubatan untuk si pesakit yang memerlu. Separuh hari berkejaran untuk urusan itu. Tanpa lelah kerana percaya esok mungkin menjadi hari kami yang tentunya turut memerlu kepada bantu.

Dan terus sahaja aku terkenang hal yang serupa pernah dilakukan bersama sahabat yang membuat simpul hari semalam, di mana kami pernah terkial-kial mencari ubat untuk sakitnya ke beberapa tempat ketika sambutan perayaan tahun baru cina dua tahun lalu yang tentunya tidak mudah.

Turut mencuri keluangan, aku panjangkan untuk menemani sahabat yang tersohor namanya di dada akhbar ini berbuka puasa dan bersahur. Melihat caranya menghargai makanan sering sahaja membuat aku termalu sendiri. Betapa tidak aku mensyukuri nikmat dan keberuntungan diri yang diberikan Tuhan sedang ada manusia lain yang jauh tidak terkecap semua itu.

Sering sahaja sahabat ini meluah rasa tidak puas hatinya kerana aku tidak mampu menyainginya untuk menghargai nikmat makanan. Malah tidak menyumbang kepada keseronokannya apabila aku ini paling jelas bukan seorang yang 'pemakan' sebaliknya lebih banyak menikmati makanan hanya dengan pandangan.

Mengenali sahabat ini, dia yang seorang ini amat mementingkan makanan yang sihat. Pasti ada sahaja permintaan khas sebelum pesanan makanannya dibuat. Dan mungkin kelihatannya terlalu cerewet pada mata sesetengah orang, namun dia tahu apa yang dilakukannya. Menjaga kesihatannya dengan cara yang paling baik kerana tahu jika terjadi hal-hal yang memudaratkan, badan sendiri yang akan menanggung sedang yang berkeliling mungkin sekadar mampu menghulur simpati. Aku menyetujui penuh.

[Coba untok menerima sayor-sayoran di-dalam menu makanan..]

Saturday, September 17, 2011

~ KUSERU RINDU ITU ~


TAJUK : Kuseru Rindu Itu
KARYA : Hanni Ramsul
CETAKAN : Pertama (September 2011)
PENERBIT : Kaki Novel Enterprise
HALAMAN : 729
HARGA : RM26.00

Perkahwinan itu tiada kekurangan langsung. Hisyam bahagia menjadi suami kepada Idayu dan Idayu sepuluh kali bahagia bergelar isteri kepada lelaki yang dicintai sepenuh jiwanya itu, walau perkahwinan mereka bukan berlandaskan perasaan cinta pada mulanya.

Kebahagian hampir menjadi sempurna dengan kehadiran seorang anak lelaki yang cukup keletah. Namun, di pihak Hisyam bagai ada satu kekosongan di hatinya. Kekosongan yang dia rasakan perlu diisi dengan kehadiran seorang gadis manis yang bernama Maisara.

Maisara mengajarnya erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya apabila mata saling bertaut. Yakin, itulah cinta yang dicari, Hisyam nekad mahu bersama Maisara
.


[Hader-nya ter-kdang tanpa mahu..]

Friday, September 16, 2011

~ SELAMAT HARI MALAYSIA ~


SELAMAT HARI MALAYSIA. Mudah-mudahan negara yang tercinta ini aman makmur hendaknya dan bebas daripada cengkaman 'penjajah' selamanya.

[Istimewa untok yang me-rasa-kan istimewa..]

Thursday, September 15, 2011

~ TUJUH JAM ~


BERMULA jam 12.15 malam sehinggalah 7.20 pagi tadi, aku dan sahabat Mei terpaku dikerusi dan meja RKA setelah lama tidak berkunjung ke sini. Kurang lebih tujuh jam, kami menutur bual daripada malam hitam pekat sehinggalah matahari keluar memulakan hari. Mujur sahaja aku memulakan urus pekerjaan lewat dua jam dari ketetapan selalu.

Memang begitupun selalu kami bila punya kesempatan untuk berkongsi cerita. Bagai biasa aku banyak mendengar, dia banyak bercerita. Sesekali dia mohon diberi pandangan dan kerap juga berharap aku dapat membetul situasi keras yang dia depani.

Cerita aidilfitri lalu sedikit meruntun hati. Dan hal yang sama masih dilaluinya secara berulangan. Namun kerana jasa terjunjung di kepala malah budi menjadi darah daging, dia melihat segalanya dengan hal-hal yang cerah. Meski sentiasa dengan budi, dia tidak terlolos dikhianati dan disakiti meski dengan sauadara sendiri.

Tekun mendengar hal-hal patah hatinya sehingga kepada cerita rumah baharunya. Menariknya aku menjadi antara tetamu pertama yang di bawa ke sana. Justeru, aku menawarkan diri untuk membantunya untuk urusan itu. Sementelah kudratnya yang sekerat itu tentu sahaja tidak tertampung untuk hal itu.

Dia mahu lari daripada hal-hal patah hati itu. Lalu merancang untuk melakukan sesuatu dalam pelarian itu. Aku menyokong seluruh dan berdoa Tuhan izinkan kemahuannya itu terlaksana. Juga tidak pernah putus mendoakan agar suatu hari nanti dia akan dipertemukan dengan manusia yang benar-benar menghargainya dengan sepenuh rasa jujur.

Jam 7.45 aku menurunkan sahabat ini betul-betul di depan rumahnya. Dia terus mendongak matahari yang mula keluar menunjuk diri. Seolah ada energi baharu yang tersalur ke dalam dirinya. Dia menoleh sekali lagi dan seolah ada janji dalam diri untuk merobah rasa-rasa kelat itu dengan benar-benar seluruh kali ini.

[Terima kaseh atas pem-berian duit raya dan hamper raya... sahabat ini tidak mahu kalah..]

Wednesday, September 14, 2011

~ TIDAK PERNAH HILANG ~


AWAL pagi Syawal lima belas. Aku terpandang sekeping kad raya yang tertera namaku pada permukaan depannya di bawah kepingan beberapa surat (urusan pekerjaan) lain. Aku meneliti tarikh penghantaran yang tercatit di atasnya, 20 Ogos 2011... dan hanya selepas tiga minggu, baharulah aku berkesempatan untuk membuka dan membaca isi dalamnnya.

Aku tidak dapat mengecam jelas tulisan yang teratur indah dari sang pemiliknya itu. mengambil jalan singkat, aku cuba mencari nama yang empunya kiriman. Namun gagal kerana ia tidak ditulis di mana-mana bahagianpun di dalam kad putih bersih itu.

Lalu aku tumpukan penuh kepada isi kandungan yang tercatit di dalamnya. Ia tidak sebaris dua lazim biasa sekeping kad, tetapi berbentuk ucapan perenggan yang harus dihalus faham. Dan pada perkataan terakhirnya, aku tahu siapa sang pengirimnya.

Lalu terdiam, senyap untuk beberapa ketika. Menahan keras agar tidak tumpah walau setitikpun air jernih di pipi. Aku terlupa pada sahabat yang pernah dikirimkan Tuhan ini. Terlupa kerana amarah yang membakar itu dibiarkan tidak bersiram.

Justeru, apabila sang pengirim ini dengan begitu rendah hati mendahului yang tidak bersiram itu, aku dihambat rasa bersalah yang amat sangat. Aku tidak melihat sebagaimana dia melihat barangkali.

Tuhan kirimkan kembali dia pada Syawal Lima Belas ini dan aku bersyukur amat. Dengan seluruh hati aku mohon kemaafan paling jujur buat sang pengirim ini kerana membiarkan dia hilang. Dan hari ini, dia kembali meski aku tidak mencari...

Ermm.. benar, aku tidak mencari... tetapi aku tidak berhenti menunggu...

[Sa-buah kemaafan..]

Tuesday, September 13, 2011

~ MISI MEMBURU SMURF ~



TIBA awal di lantai pekerjaan pada hari ini. Bosan. Meski senyap, hati bercakap tanpa henti. Lalu, aku memilih untuk melakukan tugasan di luar. Malangnya, masih tidak terlepas dari lingkungan radar yang sama, bosan!

Usai urus pekerjaan yang berjela, aku melayan rasa bosan. Tiba-tiba teringatkan patung smurf yang terbawa ke mimpi malam tadi. Kebetulan McDonald menawarkan patung itu dengan set Happy Meal mereka. Lalu segera aku bergegas ke restoran makanan segera itu untuk memenuh tujuan.

Dari McDonald Shah Alam, ke e@curve, ke OUG, ke Kuchai Lama, ke Bangsar, ke Ampang Point dan berakhir di McDonald Petronas Kayu Ampang. Semuanya memberikan jawapan yang sama, "dah habis dahh.."

Kecewa ya amat!!! Namun McDonald Petronas Kayu Ampang memberi sedikit harapan,

McD: Kalau nak jugak, mungkin cik boleh datang lagi hari Khamis ni.
AKU: Khamis waktu mana? Pagi??
McD: Hehehe... bila2 pun boleh..
AKU: Hehehe... (termalu kerana mendedahkan ketidaksabaran diri dengan begitu jayanya..)

Errr... tapi sungguh aku amat mahukan patung itu.

[Se-sekali datang perangai di-zaman anak-2...]

Monday, September 12, 2011

~ DAN.. HATI AYAH.. ~

(kredit foto: filem gubra)

SEPANJANG hari aku di rumah auntie phia di TTDI (Ibu sahabat dekat yang kini sudah seperti ibu sendiri). Membantunya membuat persiapan dan melayan para tetamunya yang hadir sempena Rumah Terbuka Aidilfitri pada Syawal tiga belas ini. Kali ini turut disertai teman jiwa yang punya kesempatan untuk berdamping. Kasihan melihat auntie phia yang tidak menang tangan. Lagaknya kami ini umpama tuan rumah yang serba tahu.

Di celah kesibukan meraikan tetamu yang datang bertali arus, auntie phia sempat membuat aku gamam. Di ruang dapur yang hanya ada kami bertiga itu, wanita separuh abad itu membuka mulut.

AP: Kamu berdua ni bila laa nak kahwin... senang sikit hati auntie..
AKU: Alaa.. auntie susah hati ker.. Ok2.. Hari Jumaat ni kitaorang kahwin. Jemputla datang.. (aku berseloroh.. tetapi yang sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi)
AP: (Mengacah untuk mencubitku.)
TJ: (Tersengeh)
AP: Kawan dah lama.. kalau kahwin, auntie ingat mesti dah ada dua-tiga anak dah ni.
AKU: (Tersengeh..)

Gurau senda itu lekat. Meski kelihatan aku seperti tidak mengambil pusing butir bicara untie phia itu, jauh di sudut hati aku sebenarnya memikir itu. Kesudahan kami! Entah apa rupa takdir hari esok. Dan kalau benar, lelaki sepet ini memang tertulis tidak berjodoh denganku, harus bagaimana yaa..

Seorang sahabat dekat sering membuat pesan agar aku berani 'berdiri'. Sama ada dilihat atau tidak, tetapi keberanian untuk mencuba itu adalah sesuatu hal yang berharga untuk hak diri. Itu katanya dan aku simpan sehingga ke hari ini.

[Sa-moga sahabat mei segera semboh.. dan belom punya ke-sempatan untok men-ziarah..]

Sunday, September 11, 2011

~ AKU BUKAN MISTRESS ~


TAJUK : Aku Bukan Mistress
KARYA : Acik Lana
CETAKAN : Pertama (September 2011)
PENERBIT : Kaki Novel Enterprise
HALAMAN : 671
HARGA : RM22.00

Dua tahun menghambakan diri di dalam penjara yang dibina oleh Mikail dengan bertemankan dosa, Mya mula mencari arah hidupnya. Kehadiran Adam yang kejam, Shamil yang menagih janji silam, Suzanne yang menyakitkan hati dan Datin Adiba yang sinis membuatkan hidup Mya semakin sempait.

Sikap Mikail yang semakin aneh dari sehari ke sehari membuatkan Mya keliru. Dalam resah ada debar, dalam benci ada rindu, dalam marah ada tenang… Mikail mendera hati dan perasaannya.

Sampai kemuncaknya, Mya tekas. Dia mahu menoktahkan semua catatan noda dan dosa dalam diari hidupnya sebagai seorang perempuan simpanan, tapi bagaimana? Kaki ingin berlari menjauhi Mikail, tapi hati mengikat janji secara sembunyi.


[Me-mileh..]

Saturday, September 10, 2011

~ KAMI AKAN TETAP BERMUSUHAN ~


AKU pernah memberitahu kamu di sini sebelum ini, aku yaa amat tidak sukakan si meoww. Entah apa punca asal yang membuatkan aku dan adik-beradik perempuan lainnya termasuk ibu amat 'bermusuhan' dengan binatang yang satu inipun aku kurang pasti. Bertembungnya ibarat bertentang mata dengan sang harimau yang ganas. Dan aku masih merasakan begitu saat jari-jari ini bercerita di sini.

Beberapa jam tadi, si meow ini mengacah kemarahanku lagi. Seketika aku menghabiskan masa semeja dengan beberapa rakan lama sambil menjamah selera, si meow ini telah membuat onar. Mengacah cuit aku di kaki meja menyebabkan keterperanjatanku di luar kawal. Maka bersimbahlah semangkuk kuetiaw tomyam ke meja sambil menyinggah kepada baju, jeans dan shawl yang melekat di badan. Yaaa... Satu mangkuk dan ia cukup untuk membuat lencun kepadaku. Malah turut menarik perhatian beberapa pelanggan lain di meja-meja yang bersebelahan.

Aku pulang dengan rasa marah yang banyak. Satu kereta 'harum' dengan aroma tomyam, malah ruang lift yang ditumpangi beberapa saat itu juga sempat menangkap bau yang menyerap kejap itu. Dan, penumpang-penumpang ruang sempit itu juga turut beberapa kali memandangku seolah memberitahu ada tanda tanya di benak mereka apa sebenarnya yang terjadi kepadaku.

Huhuhu.. lama dulu pernah berlaku kejadian yang sama. Aku pernah tanpa sengaja menelengkup satu meja gara-gara terkejut dengan 'gurau senda' si meow ini. Marah. Dan, kami tetap akan menjadi musuh ketat!!!

[Cherita lama..]

Friday, September 09, 2011

~ DAN PADA 40KMJ ~


MALANG tidak berbau. Kemalangan kecil yang berlaku di rumah awal pagi tadi membuatkan kaki kanan sedikit tercedera. Pun begitu terpaksa juga menggagahkan diri ke lantai pekerjaan setelah lama bercuti panjang sempena Hari Raya Aidilfitri.

Mujur masih boleh menggerakkan unta hitam meski hanya pada kelajuan 40-60kmj sahaja. Dan apabila sebelah petangnya terpaksa mengharungi sesak jalan raya yang berat, aku terasa seperti mahu menangis. Mahu sahaja aku meninggalkan unta hitam di tepi jalan dan memilih pengangkutan awam untuk pulang ke rumah.

Lalu menyinggah di lantai pekerjaan lama dengan satu cerita lain.

[Barang-kali hukuman atas salah-ku pada sa-siapa dalam sa-hari dua ini...]

Thursday, September 08, 2011

~ THE SMURFS ~










DAN.. terima kasih untuk sang peneman... yang turut terheret dengan terapi hari ini (Tayangan 12.00 malam dan esoknya hari bekerja). Paling terima kasih juga atas kesanggupan untuk mendengar. Dan aku hargai itu.

Memilih 'The Smurfs'. Makhluk berwarna biru itu sungguh mencuit hati. Tidak sekadar hiburan semata, jika diamati dengan jiwa besar, mereka memberikan sesuatu untuk dipinjamkan.

Aku cukup senang dengan si Clumsy. Walaupun dianggap serba tidak kena dan sering menjadi punca kepada hal-hal kekecohan, dia sebenarnya seorang yang cukup menghiburkan. Malah pada akhirnya bertindak sebagai penyelamat kepada yang lainnya.

[Dan menyamai Nimrod.. ]

Wednesday, September 07, 2011

~ LEMANG ~



MENCARI lemang. Sejak Syawal pertama yang lalu, terkilan kerana tidak punya kesempatan untuk menjamah juadah yang menjadi mesti setiap kali menyambut aidilfitri ini. Menjadi kebetulan juga rumah-rumah yang dikunjungi juga tidak menyediakan juadah lemang.

Lalu, hari ini aku membawa unta hitam bersiar sambil mengintai-intai andai ada sang mengerti yang masih mahu mengasapkan isi buluh mereka. Yaa.. pada Syawal sembilan yang tentunya tidak mudah.

Dan aku pulang hampa!

[Ada rakan mem-pelawa ke-negeri penoh adat se-mata-2 kerana lemang..]

Tuesday, September 06, 2011

~ CERITA ULANGAN- ~


IA sekadar luah rasa hati. Dan tidak lebih. Dan aku memohon maaf andai ia tajam membuat luka. Dan kemaafan itu jujur dengan waras yang aku miliki ini.

Cerita ulangan itu akan tetap berulang kerana kamu dan aku sama-sama masih mengulanginya.

[Namun, ia maseh dengan peduli..]

Monday, September 05, 2011

~ DIKENANG AKU ~


BERITA tentang pemergian Allahyarham NORAMFAIZUL masih dalam ingatan. Sungguh aku tidak mengenali allahyarham, aku tertarik perhatian kepada luahan hati rakan-rakan dan kenalan terdekat arwah. Tentang kebaikan dan kemurniaan hati arwah semasa hayatnya.

Ia buat aku terfikir panjang. Jika ditakdirkan suatu masa aku dijemput Ilahi, apa ada kebaikan yang aku tinggalkan? Apa pernah hal-hal murni aku lakukan atau berikan kepada mereka yang dekat berkeliling atau yang jauh menadah perlu? Apa ada tutur manis yang dikenang tentang aku semasa hayat? Apa bentuk bicara mungkinnya yang akan di hela rakan-rakan dekat yang mengenali?

Ermm.... aku menyuarakan detik hati yang tidak mahu berhenti itu kepada teman jiwa saat kami tenang menghirup secawan coffee di remang petang Taman Melawati itu. Dia pantas tersenyum dan tanpa menunggu sesaat terus membilang satu-persatu hal-hal yang semuanya manis tentangku.

Aku memandang kosong ke arahnya. Dan... memilih untuk mengalih tajuk perbualan. Aku tahu dia sekadar mahu menyenangkan aku. Yaaa... sekadar mahu menyenangkan hatiku... Sedang jujurnya aku tahu, tidak pernah lebih jari sepuluh hal-hal positif yang aku miliki.

Lalu, apa nanti yang terbilang saat aku sudah meninggalkan semua kelak..?

[Tunjokki aku untok men-jadi murni sa-perti kamu..]

Sunday, September 04, 2011

~ AL FATIHAH - ALLAHYARHAM NORAMFAIZUL ~



KEMBALI ke hiruk pikuk kota setelah hampir seminggu bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman. Meski perjalanan hampir tujuh jam malam tadi cukup memenatkan, ada urus lain yang menanti pada awal pagi ini. Lalu seawal pagi aku sudah siap siaga dengan kudrat yang sekerat ini

Namun, dalam kesibukan memenuh janji yang ditutur, aku terpana dengan berita kematian seorang jurukamera BERNAMA TV, Allahyarham NORAMFAIZUL MOHD NOR yang mengikuti rombongan Misi Kemanusiaan - menghantar bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran di Mogadishu, Somalia, petang semalam.

Allahyarham dikatakan terbunuh akibat terkena peluru sesat pada jam 5.40 petang (waktu Somalia) ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan. Meski terdapat enam lagi penumpang lain di dalam kenderaan pacuan empat roda itu, ternyata maut memilih Allahyarham. Itulah yang dikatakan ajal. Ia tidak pernah terawal atau terlambat walau sesaat. Justeru, di mana pun kita berada saat itu, jika ketentuan ajal itu sudah dengan ketetapan, maka redhalah kita seadanya.

AL-FATIHAH untuk allahyarham dan salam takziah untuk seisi keluarga. Mudah-mudahan arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Usaha murni dan pengorbanan yang dilakukan arwah, hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya dan akan dikenang selamanya. Aminnn..

[Selamat hari ulang tahon kelahiran buat kakak. Pengorbanan dan kaseh sayang kakak tidak ter-banding sampai mati...]

Saturday, September 03, 2011

~ BAJU MELAYU ~


OK. Aku amat mudah jatuh suka kepada lelaki yang mengenakan sepasang baju Melayu lengkap, yakni bersongkok dan bersampin. Segak. Terutamanya baju Melayu tradisional yang tidak menerima sentuhan elemen-elemen moden yang pelbagai rupa itu. Dan hari ini ada lelaki yang menarik perhatian dengan hal yang serupa. Manis dan menawan. Persalinan kelabu itu sungguh memikat.

[Kurong Pahang yang menambat..]

Thursday, September 01, 2011

~ SYAWAL TIGA ~


AL-FATIHAH untuk arwah ayahanda sahabat June. Pada tahun lalu, pada Syawal ketiga inilah arwah dijemput Ilahi. Mudah-mudahan arwah tenang bersemadi di sana. Juga untuk arwah abang yang menyusulinya beberapa bulan kemudiannya yang tentunya juga tidak sempat bertemu Ramadan dan Syawal kali ini. Sesungguhnya siapa menduga Ramadan dan Syawal tahun lalu itu menjadi Syawal yang terakhir buat mereka berdua sekaligus. Mudah-mudahan sahabat june dan seluruh keluarga dapat melalui Syawal pertama tanpa mereka ini dengan sebaiknya.. Amin.

AL-FATIHAH juga untuk arwah D. Sudah lima tahun tanpanya. Juga untuk sahabat dekat, doktor jiwa yang sentiasa ada di hati sehingga saat ini. Semoga aman bersemadi di sana.

Semoga kamu juga dapat menghadiahkan AL-FATIHAH untuk mereka yang aku maksudkan ini. Aminn..

[Tidak perenah luntor dalam ingatan...]