Wednesday, August 31, 2011

~ HARGA ~


HARI yang agak sibuk. Dan aku masih menjadi kepala tanpa ada pilihan. Terima kasih kasih atas bantuan, namun sedikit terkilan apabila tangan yang dihulur itu disusuli ungkitan kemudiannya.

Aku akui, kami adik-beradik tidak banyak tahunya. Juga tidak besar kemampuan kudratnya. Lalu kami banyak bergantung, apatah lagi dengan situasi ibu yang begitu.

Adik sepertinya disimbah amarah yang berat saat terhidu pembohongan laku sang peran itu. Aku pula tercabar rasa sabar yang cuba dipertahan. Entah kenapa beberapa hari ini banyak benar uji yang membuat singgah. Beratur juga duga yang membuat sebak di dada.

Dan hari ini masih Syawal Dua. Lalu ia tidak harus bersulam rasa yang kurang manis walau atas apa juga sebab dan alasannya. Itu pesan yang dititipkan seseorang buat kami..

[Mengadap kebenaran, beri-lah keberanian..]

Tuesday, August 30, 2011

~ DAN AIDILFITRI KALI INI... ~


KERJA-kerja rumah untuk persiapan hari raya hanya berakhir kurang lebih jam 6.00 pagi. Aku tertidur di sofa depan dengan langsir di tangan. Adik masih dengan timbunan persalinan pakaian raya yang mahu digosok. Adik lelaki pula bergelimpangan di ruang depan, kepenatan.

Lalu, kami semua terlepas solat sunat aidilfitri. Tidak sekadar itu, acara bersalaman yang lazimnya dilakukan awal pagi tertunda sehingga menjelang tengahari. Tidur 'mati' semuanya melayan lelah di mimpi yang keterlaluan lakunya. Ayah mengamuk, ibu diam... dan kami semua menadah.

Tiada acara bergambar-gambar seperti mana lazim. Tiada acara makan-makan seperti yang wajibnya. Manakan tidak, usai bersalaman memohon kemaafan dari ayah dan ibu (yang terlewat beberapa jam ke tengahari itu), rumah terus didatangi tetamu. Lalu ia terlarut panjang dalam kebisingan manis itu.

[Pesan sahabat mei sering mem-buat aku ma-rasa maseh dengan ke-beruntongan..]

~ SALAM AIDILFITRI, 1 SYAWAL 1432H ~


[Syukor alhamdulillah, maseh di-beri ka-sempatan ma-rai-kan aidil-fitri...]

Monday, August 29, 2011

~ DI LUAR RASA BIASA ~


ALHAMDULILLAH... aku selamat kembali ke kampung halaman di pantai timur semenanjung tanah air petang semalam, bertemu ayah bonda dan keluarga tercinta untuk meraikan Lebaran, 1 Syawal.

Sambutan raya kami pada tahun ini mungkin sedikit berbeza.. ermm mungkin banyak berbeza daripada tahun sebelumnya. Kakak tidak pulang kerana terikat dengan tugasan di tempat pekerjaan pada hari raya. Abang pula memenuh giliran di rumah keluarga mertua. Dan paling berat, paling besar, paling menjejas.. kesihatan ibu tidak mengizinkan.

Justeru, segala kebiasaan yang lalu-lalu itu tidak akan menjadi kebiasaaan lagi untuk kali ini. Namun aku dan adik-adik cuba membiasakan ketidakbiasaan itu. Lalu, semenjak pulang petang semalam, aku dan adik-adik cuba membuat persiapan untuk menyambut hari kebesaran sebaiknya. Segala persiapan diatur keras meski baharu bermula hari ini. Dari sekecil perkara sehingga sebesar urus kami aturkan.

Aku turut memanjat mengecat rumah, mengemas isi dalamnya, memastikan keperluan dapur mencukupi, mencari lemang dan ketupat untuk ayah (walau akhirnya ia tidak menjadi rezeki kami) dan beratur seratus satu macam pekerjaan lagi sehingga saat ini.

Lazim selalu, pada malam raya begini ibu dan kakak akan sibuk memasak di dapur. Nasi dagang, nasi impit, rendang, ketupat, lemang dan seumpamannya yang menjadi kewajipan. Namun, malam ini tiada! Juadah raya untuk esok hanyalah nasi minyak yang ditempah siap. Itu sahaja.

Justeru untuk menutup kejanggalan itu, kami menyibukkan diri membuat persiapan di dalam rumah yang sebenarnya kami sendiri tidak tahu untuk siapa.

[Dan... baju raya yang di-tempah juga tidak sempat siap sa-perti ke-tetapan-nya..]

Sunday, August 28, 2011

~ DEDIKASI BUAT AYAH BONDA ~


SALAM AIDILFITRI
by noh (hujan) & raihan

Terkenang Di Ketika Itu
Ku Dimanja Dan Disayang Selalu
Apa Saja Kemahuan Diri
Akan Cuba Dipenuhi

Walau Hidup Dalam Kesukaran
Kau Kan Cuba Untuk Membahagiakan
Demi Anak-Anak Yang Tersayang
Kau Berdua Kan Berkorban


Tetapi Baru Kusedari
Tidak Mungkin Kan Terbalas Budi
Pengorbanan Mu Tiada Ternilai
Hanya Tuhan Kan Membalasnya


Salam Aidilfitri
Ayah Bonda Yang Dicintai
Maafkanlah Anakmu Ini
Kerna Belum Cukup Berbakti

Pabila Menjelang Lebaran
Baju Baru Kan Disediakan
Walau Mungkin Kami Tak Mengerti
Keperitan Saat Itu

Namun Wajahmu Terus Barcahaya
Oh Sucinya Kasih Sayang Itu
Di Bibir Mu Kan Menguntum Senyum
Andai Anakmu Bahagia

Salam Aidilfitri
Ayah Bonda Yang Dicintai
Maafkanlah Anakmu Ini
Kerna Belum Cukup Berbakti
Di Aidilfitri,
Di Aidilfitri...

[Dan bila ke-beruntongan diri tidak di-hargai..]

Saturday, August 27, 2011

~ KAD RAYA PENGGANTI DIRI ~


TERIMA kasih untuk rakan taulan yang mengirimkan kad ucapan raya. Mengembalikan nostalgia di zaman dulu-dulu apabila tahun ini aku menerima kad raya berganda daripada kebiasaannya. Lama tidak bersituasi seperti ini sementelah kad raya tidak lagi menjadi pilihan utama pada zaman hari ini.

Rupa-rupanya masih ada yang memilih untuk memberikan ucapan melalui kiriman kad raya. Manisnya, ada antara kiriman yang datangnya dari rakan-rakan dekat yang bertemu selang sehari.

Dan hari-hari terakhir ini aku mengambil kesempatan untuk mengirim balas ucapan itu melalui cara yang sama meski punya pilihan melalui SMS, emel, facebook atau yang seumpamanya dengannya.

[Sa-muga silaturrahim kekal ber-panjangan... aminn.]

Friday, August 26, 2011

~ HANYUT HILANG ~


BERTEMPIARAN lena. Cerita petang semalam membuatkan aku menggeleng-gelengkan kepala. Dan itu terjadi.

Meninggalkan lantai pekerjaan setepat habis waktu pekerjaan untuk mengelakan sesak perut jalan raya bagi memenuh janji untuk berbuka puasa dengan seorang rakan. Namun belumpun menempuh suku perjalanan, mata mengacah-acah mahu menutup. Keras.

Entah kenapa ia berlaku dengan luar biasa begitu sepanjang hari ini membuatkan aku sepertinya mahu memarahi diri sendiri kerana banyak hal terganggu kerana hal itu. Mata mahu menutup sepertinya baharu sahaja aku menelan pil tidur untuk membuat lena yang panjang.

Terasa ia agak menakutkan diri sendiri, lalu aku memperlahankan kelajuan unta hitam. Manakan tidak, beberapa kali aku hanyut hilang dalam bersaat. Namun setiba di depan Pearl International Hotel, Jalan Klang Lama itu, aku memutus untuk berhenti terus. Jam tepat menunjukkan 6.10 petang.

Lena. Jauh aku menerawang mimpi entah ke mana dengan senang dan mudah tanpa perlu mendodoi diri payah seperti selalu. Yaa.. ia terjadi mudah biar aku berada di laluan sesak tidak bergerak di situ. Hanyut tanpa sedikit mempeduli bingit sekeliling.

Saat kembali membuka mata, jam menunjukkan 7.48 minit malam. ??? Dan waktu berbuka puasa juga sudah berlalu. Terus mencapai telefon bimbit dan bagai di duga berpuluh panggilan tidak berjawab mengisinya. Tentu sahaja sebahagiannya daripada rakan yang sedang menunggu untuk berbuka puasa. Dan aku mohon kemaafan untuk keresahan dan kebimbangan yang langsungnya tidak aku sengajakan untuk memberi.

Tiba di rumah, aku menyambung terus hanyut hingga ke awal pagi...

[Realiti di-mimpi..]

Thursday, August 25, 2011

~ TERSIA ~


AKU mengenali lelaki itu. Justeru, jika tidak diperincikan tentang sikap dan perlakuannya pun, aku mudah mengerti. Lalu apabila malam semalam aku dipinjamkan cerita panjang tentang dirinya yang meraja hidup, aku menjadi marah.

"Semenjak kahwin (tiga tahun lalu), sehinggalah sekarang sudah anak dua, dia tidak pernah memberikan saya duit belanja rumah dan anak. Malah, saya pula yang terpaksa menanggung makan pakainya. Gajinya entah kemana.. saya tidak pernah tahu tentang itu... Kalau tanya marah.. buat muka.. merajuk. Bergaduh sampai dua-tiga hari. Anak-anak langsung tidak mendekat.." ID membuka cerita dalam sebak yang jelas kedengaran di corong telefon itu.

Sakit hati mengenangkan sikapnya. Terlalu mahu menitipkan pesan buatnya. Bukan dengan rasa mencampuri urusan rumahtangga orang lain, tetapi lebih kepada rasa menjadi sebahagian. Lelaki ini tidak pernah mahu berubah. Daripada zaman dia hidup bujang, sehingga menjadi suami dan bapa, dia kekal dengan asal.

Sang isteri memohon bantuan. Meminta aku berkata sesuatu kepada lelaki itu tanpa mendedahkan dirinya sang pemberi rahsia. Menyedari tidak punya hak ke atas itu, aku tidak menutur sebarang janji.. Namun kerana aku mengenali lelaki itu, makanya aku diharapkan.

[Meng-hargai yang ber-keliling..]

Wednesday, August 24, 2011

~ HAL KEHIDUPAN ~


MENUTUR bual dengan si mei kerap sahaja membuat leka. Dia sering meminjamkan cerita tentang kehidupan yang seringnya membuat aku mensyukuri keberuntungan diri. Meski terlihat dia punya segala yang mampu diagung, hakikat sebenar dia jauh disebaliknya. Hal kasih sayang tentunya sering membuat porak peranda tenteramnya.

Beberapa waktu terkebelakang ini, dia kembali membuat usaha keras untuk melepas hal yang menjadi tekanan dan dalam masa yang sama mengejar kembali apa yang dia tidak acuhkan sebelum ini. Perkembangan positif dan cukup membuat senang.

Saat menjelang 1 Syawal ini, aku tahu dia mengingin dan mengharapkan sesuatu.. yang selama ini hanya realiti dalam mimpi. Lalu pada Ramadan dua puluh empat ini, aku paling jujur dan dengan penuh rasa rendah hati memohon agar mahunya itu terlaksana. Aminnn..

[Meng-ator sahor lagi esuk pagi....]

Tuesday, August 23, 2011

~ TANPA TAJUK 1 ~


TANPA TAJUK 1

Kerana aku ini hanyalah separuh dari perempuan-perempuan
Yang deritanya menggulung ke syurga,
Dan berpura pura menjadi utuh.

Cinta itu tak pernah mati
Melainkan angkara diri
Yang tidak tahu aturan cara untuk memeliharanya.

Cinta mati kerana kebutaan,

Ia mati kerana kesilapan,
Ia mati angkara pengkhianatan.

Cinta itu mati kerana ia telah terlalu menderita
Dan luka dalam kepanjangan waktu,
Ia meninggal kerana keletihan.
Ia meninggal kerana kesedihan,
Ia mengerut pilu kerana asingnya dunia,
Dan ia berangkatan musim
Kerana ia tahu ia akan mati di penghabisan.

Aku tidak tahu Cinta,
Mungkin segalanya akan baik-baik sahaja
Pada akhiran nanti.
Dan sekiranya masih seangkutan lagi
Derita derita kita ini tidak pergi,

Maka tidak mengapa Cinta,
Kerana itu alamatnya Tuhan masih belum mahu
Menitikkan kesudahan
Di dalam hati hati kita yang patah ini.

Puisi 'Tanpa Tajuk 1' ini merupakan puisi larut karya Rasyidah Othman yang aku petik dan pinjam daripada naskah 'Perempuan Yang Patah Hati'.

[Apa ada yang meng-erti??]

Monday, August 22, 2011

~ HARI TERAKHIR PADA BILA-BILA KETIKA ~


AL-FATIHAH. Siang tengahari tadi, aku menerima satu mesej pendek. Teks pemberitahuan dari seorang rakan yang menyampaikan berita pemergian seorang kenalan awal pagi semalam (Ahad). Aku tergamam. Senyap. Al Fatihah. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Aku tidak mengenali dekat arwah, tetapi telah ditakdirkan sempat berbuka puasa semeja dengannya petang kelmarin, Ramadan dua puluh (Sabtu). Itu pertemuan pertama dan terakhir kami.

SB: Sungguh, saya tak sangka dia dah pergi... semalam dia Ok jer. Tak ada apa22 pun.
AKU: Sudah janjinya dengan Yang Di atas Sana..
SB: Yaaa.. tapi terkilan sangat rasa.. tak sempat mintak maaf.. tak sempat beraya
AKU: Tapi.. sekurang-kurangnya awak sempat buka puasa dengan dia semalam kan...

Aku juga terkejut sebenarnya. Kami baharu sahaja berkenalan kelmarin. Dan dia banyak mengajak aku berbual, bercerita itu dan ini apabila menyedari aku seorang yang 'berat mulut'. Dan itu jadi yang terakhir.. ermm..

[Hargai yang dekat ber-keliling.. hari terakhir itu buleh ter-jadi bila-2 ketika sahaja..]

Saturday, August 20, 2011

~ MASA YANG BERLALU ~

(28 November 2009)

(20 Ogos 2011)

DUA tahun lalu, ketika aku sedang menunggu unta hitam dimandikan, perhatianku tertarik kepada sang atuk dan cucunya yang melintasi di depan tempat menungguku itu. Manakan tidak, keakraban mereka begitu mencuri hati.

Dan, hari ini... di tempat menunggu yang sama, aku sekali lagi dipertemukan dengan mereka. Huhh.. kebetulan yang sungguh tidak terjangkakan. Masih dengan keakraban yang sama, tetapi si kecil yang ditolak di stroller dua tahun lalu itu kini sudah mampu berjalan, manis dipimpin sang atuk yang masih sama lakunya.

Ketarikan itu membuat aku mencuri rakam foto mereka dalam diam seperti mana yang aku lakukan dua tahun lalu... :)

[Dan.. betapa masa itu ber-lalu tanpa sedar..]

~ PURNAMA MERINDU ~


TAJUK : Purnama Merindu
KARYA : Nora Isma Fuad
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 549
HARGA : RM22.90

“William Shakepeare, journey’s end in lovers meeting. Cinta menamatkan penantian ‘pungguk dan bulan’ yang berlaku dalam kehidupan watak-watak Kameel, Wulan, Rafique, Zara Orkhid dan Asmira..”

[Rasa itu ada dengan senyap..]

Friday, August 19, 2011

~ MIMPI ~


MIMPI
by maya karin

Andaikau
Andaiku
Ketika ini bertemu
Apa kan berlaku
Andaikau
Andaiku
Kembali lagi bertemu
Apakah nanti perasaanmu
Kawanku, cintaku yang lalu
Akankah kau kenang

Aku yang suatu dulu
Di hatiku mekar
Aku yang suatu waktu dulu
Melayari sanubari dan mimpimu

Pernahkah
Pernahkau
Bertanyakan ke hatimu
Khabarnya diriku

Pernahkah
Pernahku
Kunjung laman kenanganmu
Lalu menyemarakkan rinfu
Yang membara membakar
Merusuh meranap jantungmu

Aku...
Perlu tahu
Aku...
Di hatimu
Aku... Di manakah
Terletaknya...

[Dan aku ber-mimpi tentang kamu.. meski tidak ku ingen..]

~ KESEMPATAN ~


MENGISI kesempatan berbuka puasa dengan sahabat dekat hari semalam membuat lega. Sekurang-kurangnya dia tidak tertinggal untuk Ramadan 1342H ini. Dan ia mujur.

Usai itu, kami memanjangkan langkah meredah lautan manusia di tempat tumpuan. Usulku. yang disambut tanpa sebarang bantahan. Hal-hal lelah itu menjadi senyap kerana ia bukan selalu. Malah hanya setahun sekali menjejakkan kaki mungkinnya.

[Sa-orang lagi sahabat dekat, maseh ter-tinggal..]

Wednesday, August 17, 2011

~ SALAM NUZUL AL-QURAN ~


PERISTIWA Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad S.A.W ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.

Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi S.A.W, maka ia memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘Al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘Al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalamnya.

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan Al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi S.A.W, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada baginda S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq.

Maksudnya:

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

[Ber-lapang dada]

Tuesday, August 16, 2011

~ TERAPI LAYAR LEBAR ~




LAIN agenda asal, lain pula yang aku lakukan. Tetiba memillih untuk menjalani 'terapi' di layar lebar, lalu terus sahaja unta hitam menghala ke MV dari lantai pekerjaan.

Tidak berseorangan kerana aku ditemani sahabat yang mengerti. Meski tidak dijelas-jelas, dia terseret untuk menjalani hal yang sama.

Tepat pada keinginan terapi, 'Horrible Bosses' membuat kami melepas tawa yang bukan sedikit. Walau merepek pada yang akalnya, namun hal-hal yang mencuit membuatkan urat saraf yang bersimpul pada saat sebelumnya terpulih baik. Aku ketawa penuh.

[Ma-marahi dan di-marahi..]

~ SEOLAH TIADA APA ~


MENGANTUK. Berjaga selama 32 jam tanpa membuat lena sejak membuka mata awal jam tujuh pagi kelmarin sehinggalah kurang lebih jam lapan malam tadi. Beberapa kali saat memandu pulang dan mengharungi kesesakan melampau dari bandar anggerik ke bunga tanjung petang semalam, aku hampir hanyut.

Lalu saat tiba di rumah dan cuba mengasihani badan, aku terus hilang senyap dibuai mimpi sehingga ke pagi. Sedar-sedar sahaja, waktu imsak juga juga telah berlalu. Lalu , hanya milo kotak dan makanan ringan yang dijamah ketika berbuka puasa di kereta (masih tersangkut keras di jalan Tun Razak) malam tadi menjadi bekal untuk sepanjang hari ini.

OK. Aku sebenarnya tidak dalam keadaan baik beberapa hari ini. Tetapi berlagak seolah-olah semua baik dengan kelangsungan yang tiada gugatnya. Memperlakukan diri seperti biasa, sedangkan situasinya sangat tidak biasa. Yang tidak lepas bersarang di dada. Dan aku gagal.

Pun begitu, aku berusaha baik mengatasinya sedaya yang positif. Berubah. Dan itu janji!

[Lagi ber-sama teman-2 hari ini..]

Monday, August 15, 2011

~ MENUTUP RASA ~


HATI bergelisah. Ku usahakan keras untuk menutup rasa. Mudah-mudahan tiada yang terhidu. Biar hanya di dalam sana.

[Hanya mampu di-bacha pada yang tahu mem-bacha..]

~ MENEBUS HAL KELAT ~


SIANG hari kelmarin, aku dan sahabat mei punya keluangan yang panjang untuk mengatur bual. Meski berkejaran dengan urus pekerjaannya yang mengahmbat sehingga 19 ogos ini, sahabat ini masih sempat mencariku.

Kami berbincang tentang perancangan yang pernah dia suarakan beberapa tahun dulu. Perancangan untuk merakamkan sebahagian kisah hidupnya. Dengan jelas menyuarakan agar aku sudi membantunya serapat yang mungkin untuk merealisasikan hal ini. Tidak sekadar itu, sahabat ini juga mahu berkongsi pulangan denganku.

Aku melepas tawa kecil. Lalu kataku dengan jelas, kalaupun aku bersetuju untuk membantunya, adalah kerana dia sahabat dan tidak selainnya. Namun, dia memberi alasan mahu bekerja atas dasar profesional di mana bantuan atas kudratku harus berbayar. Aku geleng kepala, tidak setuju. Kalau dia mahu membayar, bukan aku orangnya.

Akhir dia mengalah. Namun tetap mahu aku menjadi yang paling kanan. Aku menyenarai beberapa nama yang punya kepercayaanku untuk memberi hasil yang baik. Sama ada yang mencerita, mahupun yang menvisualkan. Tidak jauh, yang dekat-dekat denganku juga.

Mudah-mudahan aku dapat membantunya dengan baik untuk hal-hal yang menggembirakan dirinya bagi menebus hal-hal kelat yang pernah terjadi dalam persahabatan kami lebih lima tahun dulu.

[Se-kechil tentang aku dia mampu ma-lehat.. itu lebeh-nya sahabat ini..]

Sunday, August 14, 2011

~ MENGISI KESEMPATAN ~


KESEMPATAN untuk duduk semeja berbuka puasa dengan teman-teman dekat pada hari ini amat menyenangkan. Kesempatan yang mungkinnya menjadi kali yang terakhir. Siapa tahu kan..

Itu yang kerap auntie phia tuturkan kepadaku setiap kali aku menyertainya menjamu anak-anak kurang bernasib baik pada bulan yang mulia ini. Kata-kata itu terkesan dalam dan seringnya aku segarkan dalam ingatan.

Hari ini, teman jiwa menyertai. Tidak sepertiku yang kekok kala menyertai rakan-rakannya, lelaki sepet ini sebaliknya. Mudah sahaja dia menyelesakan diri. Aku dan dia banyak yang berbeza tentunya. Seperti biru dan kuning bezanya kami, namun akhirnya bersatu di dalam hijau..

[Ter-kenang aruwah D.. Al-Fatihah.. sa-moga sejahtera di-sana.. aminn]

Saturday, August 13, 2011

~ BISIK BISIK GELORA ~

TAJUK : Bisik-Bisik Gelora
KARYA : Fauziah Ashari
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 598
HARGA : RM25.90

Banin Arumi atau Umi adalah gadis nakal dan lincah. Bapanya, Tuan Akalil menghantar dia ke kampung agar anaknya itu akan berubah tingkah laku kerana kampung mertuanya jauh daripada kota. Di kampung, Arumi telah bertemu dengan Jad Izzudin, seorang pemuda yang alim di hadapan keluarga namun amat nakal di belakang mereka. Suatu hari tanpa diduga Arumi dan Jad telah bertemu. Pertemuan itu telah menyatukan mereka ke alam perkahwinan. Namun, di hari pernikahan mereka, Arumi mendapat berita yang kedua-dua ibu bapanya menemui ajal dalam satu kemalangan jalan raya. Arumi mula membenci Jad yang dianggapnya sebagai punca semua malapetaka ini berlaku.

[Dan bila takdir itu di-hadap..]

Friday, August 12, 2011

~ DEKAT ~


MINGGU teman-teman. Pada minggu kedua Ramadan ini, aku banyak memilih untuk berbuka puasa bersama teman-teman dekat. Tidak beralasan untuk menolak pelawaan mereka kerana ia bukan sekali. Justeru, aku benar-benar memenuh.

Alhamdulillah.. hajat sebahagiannya dipenuhi. Mudah-mudahan, sehingga habis Ramadan ini, ada keluangan dan kesempatan berbuka puasa dengan semua mereka yang dekat-dekat. Yaa... mana tahu barangkali ini Ramadan terakhir buatku atau buat mereka... (Dan... sungguh, aku maksudkan itu).

Sahabat mei juga sedang mengatur waktunya. Kesempatan agak sempit buatnya, tetapi keinginan mungkin mengatasi. Lalu aku juga atas usaha yang sama. Dan teman jiwa juga membicarakan hal yang sama... ohh.. dan yang dekat lainnya juga mengusulkan kemahuan yang sama.

[Dan.. 'hal yang tiba-2' itu meng-undang tanya yang banyak.. kenapa yaa??]

Thursday, August 11, 2011

~ KEGEMENTARAN ~


AKU dan seorang rakan ini mengatur bual ringkas sementara menunggu urus kerja kami selesai. Perbualan santai. Aku meluahkan kekagumanku terhadap seorang manusia yang namanya cukup popular di dada akhbar. Tentang karismanya. Tetapi dalam masa yang sama aku jujur memberitahu agak gementar untuk bersapa dengan manusia ini kerana kurang ilmu di dada untuk dijadikan perisai andai ada serangan yang menguji.

Ironinya, ia terpalit sahabat mei. Aku senyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Begitu mereka melihat sahabat mei. Sedang yang benarnya, aku lihat pada sahabat ini adalah tentang ketegasan ke atas prinsipnya. Tidak lebih. Namun untuk yang tidak mengenalinya dekat, pasti sahaja mudah terbaca salah. Lalu pelbagai andaian membuat singgah.

[Sahabat mei ini tiba-2 muncol bila nama-nya di-sebot-2.. panjang umor..]

Tuesday, August 09, 2011

~ KAD RAYA ~


AWAL pagi semalam, aku menerima SMS dari seorang sahabat dekat. Memintaku memberikannya alamat lengkap untuk dikirimkan kad ucapan raya katanya. Manis... lalu membuat aku tersenyum panjang. Kurang lebih tiga tahun mengenalinya, pertama kali dia mahu berbuat begitu... :)

OK. Bercerita tentang kad raya, aku sememangnya dari bangku sekolah sehingga hari ini tidak pernah meninggalkan kad raya. Meski pelbagai medium baharu yang sudah menjadi pilihan untuk membuat tujuan itu, kad raya tetap kekal menjadi hal-hal yang manis.

Aku sehingga hari ini masih mengutuskan kad raya untuk ayah ibu, meski sentiasa berhubungan dengan mereka di telefon dan mengunjungi mereka di kampung. Begitu juga dengan sahabat-sahabat dekat berkeliling. Kad raya tetap menyusul meski hal-hal ucapan itu lebih mudah atau semakin menjadi pilihan dilakukan melalui SMS, BBM, Twitter, Facebook, Emel atau yang seumpama dengannya.

Malah sejak Sabtu lalu, kad raya untuk sahabat-sahabat dekat sudah mula beredar. Juga telah menerima kad raya pertama daripada seorang sahabat lama dari zaman uni petang semalam. Isinya cukup ringkas, tetapi ingatan yang diberikan (melalui kad tentunya) cukup besar ertinya.

[Ter-kenang-kan zaman kad raya yang punya 'kad balasan'...]

Monday, August 08, 2011

~ LETTER TO GOD ~


LETTER TO GOD

Aku sering terbangun dan menulis
Tentang malaikat dan syurga
Mimpi dan cinta..
Bolehkah Tuhan?

Petikan puisi indah masih dari naskah 'Perempuan Yang Patah Hati' karya Rasyidah Othman terbitan Jargon Books.

[Aku renong dalam-2..]

Sunday, August 07, 2011

~ RAMADAN TUJUH ~


RAMADAN tujuh. Alhamdulillah... sempena genap seminggu berpuasa untuk Ramadan 1432H ini, rumah kami mengadakan majlis berbuka puasa. Sekadar melahirkan kesyukuran dengan rezeki kami bertemu Ramadan lagi.

Syukur, segala yang dirancang berlangsung baik dan terima kasih untuk tetamu-tetamu yang datang pada majlis hari ini. Mudah-mudahan ada kesempatan dan rezeki lain untuk kita kongsikan bersama lagi selepas ini. Aminnn...

[Segala juadah hari ini ada-lah hasil air tangan kakak sendiri..]

Saturday, August 06, 2011

~ KASIH BENAR KASIH ~


TAJUK : Kasih Benar Kasih
KARYA : Aleya Aneesa
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 496
HARGA : RM21.00

“Mereka tak saling kenal, tetapi disuruh berkenal-kenalan. Jika sesuai boleh terus melangkah, jika tidak tarik saja diri. Lalu mereka mencuba dengan alasan, ‘Dia kosong, aku pun kosong..’….”


[Per-cobaan itu..]

Friday, August 05, 2011

~ KALAU SUDAH BUKAN REZEKI ~


LANGIT tumpah. Perut jalan raya semakin penuh dan padat. Bergerak tetapi sangat perlahan seperti kura-kura melangkah layaknya. Arghh.. hal-hal yang terlalu selalu dan bukan perkara yang harus dianehkan lagi.

Melintasi MV, aku terkenangkan persalinan yang mencuri pandang Ahad lalu. Melihat jam di tangan, pasti sahaja aku akan terlewat panjang kalau membuat singgah. Namun keinginan untuk memiliki persalinan itu besar dari biasa membuatkan aku tegar untuk singgah juga dan memejam mata pada kesesakan yang padat itu.

Dann.. alangkah kecewanya setiba di sana. Ermmm... persalinan yang diinginkan itu sudah diambil orang. Tidak berbaki. Ia membikin rasa terkilan yang banyak. Lalu untuk menutup rasa itu, aku mendapatkan persalinan lainnya. Warna yang kurang lebih samanya cuma lain dari jenis fabriknya.

Malang sekali, sebaik pulang ke rumah dan mencubanya berkali, hati langsung tidak terpaut. Ermm.. Aku kembali melipatnya seperti asal dibeli dan menyimpan kemas di almari. Mungkin di situ sahajalah duduknya barangkali.

[Ber-buka puasa di-kereta dengan hanya men-jamah kurma pem-berian autie phia dua hari lalu..]

Wednesday, August 03, 2011

~ KAMI YANG JAUH ~


AKU membaca kisah cinta pasangan yang namanya tersohor di dada akhbar yang membawa cinta indah mereka ke majlis ijabkabul. Indah dan manis.

Kata yang empunya diri, cinta enam tahun itu adalah cinta jauh. Cinta hiruk pikuk kota ke utara semenanjung tanah air. Dugaan bukan sedikit, kepayahan juga tidak pernah nipis. Namun, kejujuran menjadi tonggak segala. Kesetiaan itu menjadi menguat rasa percaya yang dalam. Lalu meski jarak menjadi pemisah nan satu, cinta itu tetap hidup di situ. Di hati yang dalammmmmm sana.

Aku tersenyum. Pernah tanya yang sama singgah kepadaku dan jawapan yang hampir itu juga terpacul dari bibirku. Cinta aku dan teman jiwa ini adalah cinta jauh. Cinta yang teruji. Cinta yang bergelombang penuh uji.

Kami masih belum karam dan tidak pernah berharap untuk itu. Kepercayaan itu masih menjadi nyawa meski ada yang mengacah-ngacah mencuba diri. Aku tetap di situ tidak berganjak. Mudah-mudahan dia juga... meski kadang-kala aku mengharap dia berpaling agar tidak terus dilambung gelombang... ermm..

Jodoh dan pertemuan itu paling pasti di tangan Tuhan. Aku tidak pernah berpaling untuk hal itu.

[Jauhi curiga..]

Tuesday, August 02, 2011

~ SEMPURNA PERTAMA ~


ALHAMDULILLAH... Sempurna Ramadan 1. Manis dan terlurus mengikut mahu. Mudah-mudahan terpanjang sehingga Ramadan lain yang masih berbaki.

Berpeluang berbuka puasa bersama ayah ibu juga pada puasa pertama adalah hal yang cukup sempurna buatku. Kesempatan itu dipermudahkan. Sedang sepatutnya tuntutan urusan kerja menahan aku di lantai pekerjaan pada siang hari tadi. Keinginan ibu mengetasi segalanya barangkali... :)

Lazim selalu, minggu pertama puasa, apatah lagi hari pertama puasa, kami akan berbuka puasa bersama-sama satu keluarga. Itu hal yang mesti dan tidak terelak. Mujur ia berpanjangan dengan pengertian. Lalu, carilah seribu tolakan asal sahaja kemestian itu tidak terlanggar.

Yang kurang manis, tetapi tidak pahit adalah cerita kehilangan ATM card secara tiba-tiba. Aku amat jarang atau mungkin tidak pernah kehilangan hal-hal seumpamanya. Mereka yang dekat pasti sahaja mengenal bagaimana teliti aku akan hal itu.

Namun, kecuaian itu akan sentiasa membuat singgah selagi kita bergelar manusia. Bagaimana kehilangannya, aku buntu memikir. Tiada jawapan. Potensi untuk keciciran juga rasaku sangatt sedikit peratusnya.. wallahualam.

Lebih membuat resah, ia hilang tepat saat gaji membuat kunjung. Arghh.. kalau sudah tiada rezeki apa yang mahu dikata lagi bukan?? Aku tidak banyak fikirkan tentang risiko wang itu, tetapi asyik memaksa fikir bagaimana kecuaian itu berlangsung.. bagaimana berlaku kehilangan itu.. Mujur atas saranan rakan-rakan sepekerjaan, aku segera membuat tindak membatal segala kemudahan yang punya kesempatan itu.

Ermmm.. terkial-kial pula mencari lokasi tepat yang haru dituju. Lokasi yang hanya kurang lebih 3-4 kilometer dari lantai pekerjaan itu pun tidak dapat aku temui. Semuanya mahu diharapkan bantuan. Semuanya tidak mampu dilakukan sendiri. Lalu aku akhirnya duduk diam di unta hitam kurang lebih setengah jam. Bertenang dan dalam masa yang sama cuba memaksa diri berdikari dan melakukan sendiri tanpa perlu mengharapkan bantuan.

Alhamdulillah... kesulitan itu berjaya diatasi baik. Ermmm... terima kasih untuk yang membantu dan mengerti..

[Kecuaian yang beratur begitu rupa dalam beberapa hari ini. Sederetan membuat singgah.. Terlalu selalu. Jika ia berlaku satu, pasti akan menyusulnya dan lagi.. resah!!!]

Monday, August 01, 2011

~ SALAM RAMADAN 1432H ~


SALAM pertama Ramadan 1432H. Mudah-mudahan dipermudahkan untuk melalui 29 Ramadan lainnya dengan sempurna dan dipertemukan Syawal yang paling nyaman.


HARAPAN RAMADAN
by raihan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Ku memohon pada Tuhan
diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan
Diterima amalan

Selangkah demi selangkah
Dengan rahmatMu oh Tuhanku
Ku tempuh jua....


[Salam Ramadan untok seluroh umat Islam...]