Saturday, July 30, 2011

~ SETIA HUJUNG NYAWA ~


TAJUK : Setia Hujung Nyawa
KARYA : Fatin Nabila
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 469
HARGA : RM19.90

“Aku hanya ingin bersamamu kerana aku telah terlanjur mencintaimu…”

[Dan me-nanti takdir-nya...]

Friday, July 29, 2011

~ HAL KECUAIAN ~


BERULANG-ALIK. Semuanya kerana kecuaian diri sendiri. Entah mahu marah, entah mahu berlucu atau apa yang harus direaksikan. Nyatanya aku telah menempuh kesesakan lalu lintas yang panjang selama kurang lebih 1 jam atas untuk separuh perjalanan ke rumah di bandar bunga tanjung dan kemudiannya menambah jam lagi untuk berpatah balik ke lantai pekerjaan dan seterusnya jam lagi untuk kesesakan berganda memandu ke arah bandar bunga tanjung sekali lagi. Arghh..

Ceritanya bermula di stesen minyak pada separuh perjalanan ke rumah dari lantai pekerjaan. Aku berhenti untuk mengisi minyak yang sudah mula 'berkelip' dek merentasi kesesakan teruk pada separuh perjalanan pulang itu. Sepatutnya aku lakukan hal itu pada sebelah pagi tadi, namun dek kerana mengejar masa tepat ke lantai pekerjaan, aku membuat tangguh.

Tiba di stesen tersebut, sang petugas pantas siap siaga untuk memberi khidmat. Sedang aku terkial-kial mencari wallet untuk mengeluarkan isinya. Hilang!! Tiada!! Oh Tuhan... langsung aku teringat aku meninggalkan wallet itu di satu ruang terbuka di lantai pekerjaan akibat leka mengatur bual pada sebelah tengaharinya sebaik pulang menjamah hidangan di luar.

Terdiam senyap. Mengeluh dan membuat fikir apa harus aku tindakkan.. Mahu atau tidak, aku harus berpatah balik ke lantai pekerjaan dan merelakan diri untuk mengharungi kesesakan lalu lintas yang berganda itu. Yaaa... kesesakan ke arah bandar anggerik yang menentang arus itu tentunya lebih hebat berbanding arah ke pusat bandaraya pada waktu puncak begini.

Nyatanya, aku tidak berdepan pilihan. Lalu gelisahnya bukan kepalang. Pertamanya, isyarat minyak di kereta sudah berkelip laju menanda ia mungkin akan keras terus kalau tidak disini baharu. Sedang di tangan kosong RMnya. Keduanya, wallet yang aku maksudkan itu tercicir jelas di tempat yang paling terbuka dengan risiko. Benar, tidak banyak isi dalamnya tetapi ia masih boleh menampung hari dan dokumen penting lainnya kalau hilang, mungkin berkelana juga potensinya.

Lalu, aku memperjudikan nasib memandu dan meredah kesesakan lalu lintas yang berganda itu kembali ke lantai pekerjaan dengan minyak kereta pada tahap zon kosong itu. Malu.. kerana terpaksa menggunakan laluan kecemasan sewenangnya untuk kepentingan diri sendiri. Mungkin aku dihamun keras pengguna yang lainnya kerana bertindak begitu, namun aku benar perlu sampai tepat. Lalu kurang lebih jam 8.50 malam, aku tiba ke lantai pekerjaan setelah mengangkat kaki sekitar jam 6.15 petang sebelumnya.

Mujur, ia masih di tempat asal ia ditinggalkan. Isinya aku kurang pasti, namun ia menamat gelisah yang bersarang keras. Dan kurang lebih 20 minit jam 11, baharulah aku melihat bumbung rumah. Dan sungguh... ia sangat memenatkan. Pengsan!!!

[Jika ia adalah bayaran ter-hadap se-suatu yang lain-nya..]

Thursday, July 28, 2011

~ MENGALIH KEKUSUTAN ~



MEMILIH untuk menonton 'Larry Crowne' hanya kerana Julia Roberts, dan ia tidak lebih. Meski perlahan perjalanan ceritanya, ada hal yang tercuri pantas. Hal yang berkisar tentang 'memperbaiki'. Begitu barangkali.. Speech 217. Aku harus terjebak itu. Namun, apakah kurang 'itu', akan bermaksud kurang nilai diri?

OK. Sebenarnya aku mahu menonton pementasan teater pada mulanya. Itu rancangan awal, tetapi ia tidak disempurnakan. Atau yang paling sebenarnya mahu meminjam bahu. Itu keinginan besar, tetapi ia tidak terpinjam.

Lalu aku memilih mengadap layar lebar lagi (berselang hari) untuk mengalih kekusutan. Mudahan tidak terhidu sang yang meneman itu.

[Layar lebar itu sa-kadar untok meng-alih..]

Tuesday, July 26, 2011

~ KUDRAT YANG SEKERAT ~


URUS pekerjaan menghambat keras. Pusingan waktu 24 jam itu seperti sangat melelahkan untuk dilalui tenang seperti lazim selalu.

Segalanya harus tersegera pantas. Lima hari bekerja itu tersedia urus pekerjaan yang punya dua tarikh mati. Tidak terkejar kudrat yang sekerat ini. Malah terduduk mendengar kata sang pengepala, ia akan berlarut sehingga habis Ramadan ini.

Lalu, maafkan aku kawan andai lupa bertanya khabarmu. Andai cuai mengingat janjiku.. atau mungkin tertutup kesempatan mendengar cerita kalian itu.

[Tetap mau men-churi kesempatan itu...]

~ TERAPI SI NIMROD ~


BANYAK perkara yang tidak begitu menjadi membuat damping dalam sehari dua ini. Yang mahu, yang ingin, yang suka, yang impi juga yang mimpi terjadi sebaliknya. Ermm..

Lalu Isnin hari ini berlangsung agak berat. Namun masih mencuba untuk membina energi positif. Sayang sekali rasa positif itu digoyang keras seawal pagi apabila beberapa hal membuat uji. Mengacah marah senyap di dalam sana. Soal urus pekerjaan yang membikin nyamanku hilang bertempiaran.

Lalu sepanjang hari aku menghabiskan masa bersenang-senang kosong biar tahu urus pekerjaan beratur membuat damping. Bosan. Dan sungguh aku maksudkan itu.

Lalu usai pekerjaan, sedikit pun tanpa perancangan aku mengadap layar lebar. Menanti muncul 'Mr Popper's Penguins' sebagai terapi. Aku ketawa tanpa henti. Bukan kerana si pelucu Jim Carrey tetapi kerana kumpulan comel penguin yang sangat memikat.. Kapten, Loudy, Bitey, Stinky, Lovey dan Nimrod. Dan aku paling sukakan Nimrod kerana kelucuannya mirip benar sahabat yang meneman ini.. hahaha..

Kelihatan keenamnya sama sahaja. Namun andai kamu memberi perhati dan mengenali baik mereka, pasti sahaja dapat dibezakan setiapnya berdasarkan karektor. Nahhh... begitu juga halnya dengan pergaulan dalam kehidupan seharian. Andai kita fokus dan mengenali baik mereka yang dekat berkeliling, pasti sahaja kita akan tahu yang mahu dan yang tidak mereka tanpa perlu diberitahu.

Dalam pengetahuanku, cerita ini terpinjam daripada sebuah novel popular karya Richard dan Florence Atwater yang diterbitkan pada tahun 1938 yang lalu dengan judul yang sama. Kebezaannya sedikit di sana dan sini, namun ia masih melatari hal-hal kekeluargaan yang membuat manis.

Paling membuat lekat, babak-babak perselisahan faham sang peneraju utama, Tom Popper (Jim Carrey) dengan anak gadisnya, Janie (Madeline Carroll). Tidak banyak yang diminta sang anak.. hanya sedikit perhatian dan pengertian daripada sang bapa. Tidak mengapa jika tidak mampu menyelesai, namun berilah sedikit pengertian. Dan apabila hal semudah itu menjadi gagal, makanya hal-hal yang tidak nyaman akan kerap membuat damping.

Aku pernah membicarakan soal ini di dalam beberapa entri yang lepas. Bukan soal nilai yang menjadi perkiraan, tetapi soal kesanggupan. Bukan soal kemampuan untuk menyelesai, tetapi soal keprihatinan dan kefahaman yang diberikan. Aku tersenyum.., manis kerana sang penulis berkongsi pandangan yang sama denganku.

Benar, 'Mr Popper's Penguins' arahan Mark Waters (Freaky Friday) merupakan komedi keluarga yang klise, tetapi kelucuan sang penguins yang mengerti itu merobah mood menjadi manis. Dan sungguh ia menjadi terapi yang hebat apabila aku senang-senang sahaja mahu melepas tawa.

[Terima kaseh Nimrod... kamu men-jadi terapi stress untok hari ini...]

Monday, July 25, 2011

~ KERANA AKU INI QAYS YANG MERINDUKAN BULAN... ~


KERANA AKU INI QAYS YANG MERINDUKAN BULAN

Kelmarin,
Kutemu para darwis
Di padang kasur mimpiku

Kata mereka kepadaku:
Wahai Qays!
Gugahkanlah rasa cintamu itu
Menjadi sekalung doa dan relung tasbih
Kerana dalam kehidupan ini
Telah dihabiskan segenap manusia mencari sesuatu
Yang bahkan tidak disuratkan buat mereka.

Kataku kembali:
Duhai tuan-tuan,
Kerana aku tidak menemukan sebarang kebutuhan
Untuk melupakannya
Maka tinggalkanlah aku di sini menjadi perindu

Seorang Gibran di hilir malam
Seorang Attar di lengkung langit
Dan seorang Rumi di sawang mimpi...

Kerana hanya dengan ini
Aku dapat mengintai bulan yang kejauhan...

Puisi indah ini aku petik dan pinjam daripada naskah 'Perempuan Yang Patah Hati' tulisan Rasyidah Othman. Lekat dan larut isinya.

[Kalau punya kesempatan men-dengar sendiri sang penules-nya meluncor puisi ini untok di-per-dengar-kan, tentu ber-lari aku ke-situ..]

Sunday, July 24, 2011

~ MATAHARI MERAH DI TANAH PULAU ~


SUDAH beberapa kali rancangan untuk menghirup udara segar dan mengintai langit merah di celah debur ombak tersangkut gelincir. Rancangan untuk ke tanah pulau itu tertangguh lagi. Sedang sepatutnya aku berada di sana pada hari ini sehingga Selasa depan. Ermm...

Menggamit. Dan aku sangat mahukan itu untuk ketika serabut panjang membuat damping. Tidak sahaja urus pekerjaan yang berselirat menguji kudrat, tetapi juga tekanan kiri yang menginjak rasa.

Dann.. andai sahabat yang namanya BR yang sudah ke seberang benua itu ada, pasti sahaja dia akan mengerti dan mengumpan langit merah itu.

Ahhh... langit merah!!!

[Hari ini sempat hanya secawan coffee di-tepi sungai Melaka..]

Saturday, July 23, 2011

~ LELAH YANG SENYAP ~


HARI ini, suasana rumah agak kelam kabut. Malamnya berlangsung majlis doa selamat untuk satu hal yang dipermudahkan Tuhan kepada kami seisi keluarga. Majlis ini tertunda dari minggu lalu dek hal-hal yang tidak terjangkakan.

Kali ini, hanya tenaga kami empat kerat ini sahaja yang membuat urus segala persiapan untuk majlis. Kasihan kakak kerana masaku yang ada terlalu terhad untuk menghulur bantu. Sehari sebelum yakni Jumaat malam aku bergeladangan di lantai pekerjaan sehingga jam dua pagi menyiapkan kerja-kerja yang punya tarikh mati.

Sedang hari ini pula hanya sempat membantu sekadar perlu kerana terlibat dengan urus pekerjaan yang tidak terelak sehingga lewat petang. Urusan pekerjaan yang agak kejam mengikat aku beberapa minggu terkebelakang ini.

Ermm.. apapun, syukur alhamdulillah.. Semuanya berjalan seperti yang dirancang. Majlis berakhir dengan sempurna dan manis. Dan.. pengsan terus kerana sehingga ke lewat malam masih berada di jalan raya memandu ke sana dan sini. Apapun, senang apabila kesyukuran itu terkongsi. Aminn..

[Lelah me-nolak lena senyap sa-hingga mata-hari tegak di-atas kepala..]

~ CUCUR BAWANG & KOPI 'O'


TAJUK : Cucur Bawang & Kopi ‘O’
KARYA : Hasrudi Jawawi
CETAKAN : Pertama (2011), Kedua (2011), Ketiga (2011) dan Keempat (2011)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 709
HARGA : RM25.90

“Siapa sangka cucur bawang telah mempertemukan mereka dalam satu ‘sketsa perang’ tepi jalan. Dari insiden itu, mereka bagaikan dijodohkan untuk bersua lagi…”

[Milo kotak dan sambal sardin..]

Friday, July 22, 2011

~ CANCER SANG GENIUS ~


SALAM ulang tahun kelahiran buat sahabat sang genius yang seorang ini pada hari ini, 22 Julai 2011. Mudah-mudahan hari ini menjadi permulaan yang baik buatnya untuk memulakan langkah yang lebih menguntungkan dalam segala hal keperluan hidupnya.

Doa kesejahteraan semoga dia memperolehi segala apa yang dimpi detikkan. Dipermudahkan Tuhan dalam perjalanan dan pencarian yang telah atau akan bermula. Panjang umur, murah rezeki hendaknya.

Allah selamatkan kamu

Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan sahabat genius
Allah selamatkan kamu.

Paling jujur, sahabat yang seorang ini banyak meminjamkan hal yang positif kepadaku. Sungguh dengan rasa terima kasih.

Selamat Hari Jadi.

[Maseh menunggu janji lengkong... :) ]

~ MASKARA 29 ~

ACARA: Maskara 29
TARIKH: 23 Julai 2011 (Sabtu)
TEMPAT: Rumah Pena, Jalan DBP, KL
MASA: 8.00 Malam
ANJURAN: Sindiket Sol-jah
PERSEMBAHAN: Rahimidin Zahari, Besline, Noraida Daud, Khalida Ismail, Shyrudin, Nik Adam dan Terkukur.
TIKET: Masuk percuma

MASKARA datang lagi. Acara yang seringnya dalam senarai menungguku. jika tidak pada aral yang melintang pukang, pasti sahaja kelibatku akan kelihatan di rumah Pena sana. Bersila laga lutut untuk menikmati naskah indah yang dibaca kawan-kawan yang kita suka.

Jika kamu punya kelapangan pada ketetapan yang berikut itu, ayuh curi kesempatan ini untuk sama menikmati apa yang mereka ingin kongsikan.

[Menunggu kalau-2 punya peluang...]

Thursday, July 21, 2011

~ SERABUT AMARAH YANG MEMBUAT LARUT ~

(Gambar sekadar hiasan)

TIDAK bernasib baik tetapi di dalam masa yang sama sebenarnya bernasib baik juga! Tengahari siang tadi, aku di tahan sang polis trafik. Pengalaman pertama kali sepanjang beberapa tahun menjadi pemandu berlesen di jalan raya. Yaa... pertama kali! Membayar saman memang sudah beberapa kali, tetapi semua itu untuk kesalahan orang lain dan bukan dari aku.

Justeru, inilah pengalaman pertama seumpamanya untuk diri sendiri. Kesalahan pertama, tidak memakai tali pinggang keledar dan keduanya kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

OK. Aku mengakui silap diri kerana melakukan hal yang menyalahi undang-undang dan mungkinnya membahayakan diri sendiri dan orang lain juga. Justeru, saat diberi isyarat supaya berhenti di bahu jalan dengan ekspresi wajah penuh keangkuhan oleh tuan yang beruniform itu, aku seperti tenang-tenang sahaja situasinya.

Tenang bukan kerana tidak kisah dengan uniformnya tetapi kerana bersedia untuk berdepan sebarang hukuman. Atau itu mungkin juga bukan situasi tenang, tetapi situasi pasrah dan menyerah.. dan malas berfikir apa yang lain kerana situasi diri yang sedang serabut seratus.

Saat diminta menunjukkan kad pengenalan diri dan lesen memandu, aku menutur kata maaf. Pendek, tetapi jelas. Sekadar itu dan tidak lebih. Aku tidak menjelaskan kenapa dan mengapa (atau mencipta satu alasan logik untuk membuat lolos), tidak merayu memohon agar tidak disaman atau yang seumpama dengannya.

Pertamanya sebab aku tahu, aku memang melakukan kesalahan dan keduanya sebab aku berada dalam keadaaan yang menekan ketika itu. Perasaan malas untuk menambah-nambah fikir itu besar di situ. Lalu, hadap sahajalah apa sahaja yang mahu berlaku.

Lalu tuan yang beruniform ini dengan suara yang tinggi dan keras memberi ceramah percuma kepadaku. Begitu dan begini. Malah memberitahu untuk hal yang sudah sedia aku tahu iaitu jumlah bayaran kompaun yang akan dikenakan kepada aku jika dia mengeluarkan saman untuk dua kesalahan itu. Aku angguk perlahan tanda faham dan seolah membenarkan dengan rela tindakannya untuk menyaman.

"Dahlah buat kesalahan (menggunakan telefon bimbit), nampak saya pun buat tak tahu saja. Terhegeh-hegeh nak letak telefon..."
Aku diam memandang kosong ke wajahnya. Dia mungkin menanti aku membela diri atau berkata sesuatu yang munasabah untuk dia lepaskan aku atau seumpama dengannya, tetapi aku hanya membuat muka yang pasrah diatas segalanya. Sehinggalah akhirnya dia menutur, "awak nak saya saman tak ni?" Pun aku hanya keras di situ tanpa memberi reaksi apa walaupun sebenarnya sangat lucu mendengar soalan itu.

Namun dia akhirnya membenarkan aku meneruskan perjalanan tanpa mengambil sebarang tindakan. Sungguh, aku tidak tahu kenapa tuan ini tidak mengeluarkan saman itu kepadaku (bukannya mahu dia membuat tindakan itu, cumanya tertanya kenapa... kerana aku tidak membela apa..). Apa mungkin kerana dia merasa kasihan melihat wajahku yang kusut berserabut seratus itu? Atau dia sememangnya dalam keadaan mood yang baik dan berhati gembira saat itu? Doa kesejahteraan untuknya..

Ermm.. pun begitu agak kasihan juga kepadanya kerana aku langsung tidak menutur ucap terima buatnya. Huhuhu.. Lupa. Dan sungguh aku tidak tipu itu. Ohh.. aku sememangnya tiada di dalam keadaan fokus.

Sebenarnya itulah aku. Seperti yang kamu mungkin tahu melalui beberapa entri yang lepas, dalam beberapa hari ini aku berada di dalam keadaan yang sangat menekan berpunca hal-hal kemarahan. Lazim selalu, bila dalam situasi begitu aku akan menjadi serabut seratus dan hilang fokus dalam pemelakuan terhadap sesuatu. Akan adalah kejadian-kejadian yang tidak masuk akal yang terjadi kepadaku susulan dari itu.

Lalu hal semudah mengenakan tali pinggang keledar yang tidak pernah aku tinggalkan itu boleh terjadi senang. Memandu laluan yang beratus kali aku rentasi itu juga boleh menjadi tersasar tumpuan dan pelbagai yang seumpamanya. Larut di dalam serabut itu. Parah bunyinya.. tetapi itulah kenyataan seorang aku. Justeru, aku sangat amat mengelak di dalam situasi yang membawa punca itu.

[Perenah mem-beli dan mem-bawa pulang kasot yang sama belah (kanan) dan tidak sa-pasang ketika larot serabot..]

Wednesday, July 20, 2011

~ KEKALAHAN EMOSI ~


UNTUK pertama kali aku ada (memaksa) keberanian untuk bangun berdiri, menyatakan sesuatu dan menjelaskan sesuatu untuk menyelamatkan sesuatu.

Tetapi ia tetap tidak berhasil baik atas percubaan itu.

Akur. Dan ia mungkin jadi yang terakhir.

(Maseh mahu menyelamat-kan janji.. ]

Tuesday, July 19, 2011

~ MENGGELENG.. ~


OK. Hari ini mood tidak dalam keadaan yang baik. Lazim selalu aku lambat pulih. Justeru hari ini aku hanya membuat hal sendiri. Tidak banyak membuat tutur atau memberi tindak balas pada keliling.

Sementelah hari ini kami dihadap dengan urusan kerja berlimpah yang punya tarikh mati. Maka sepanjang harilah aku menggunakan alasan 'kesibukan' itu untuk menutup situasi sebenar diri yang bermacam fikir.

"Menangis ker?"
"Haa..? Ehh tada laa kenapa? (Senyum)
"Muka macam baru lepas menangis.."

Dan aku menyambutnya dengan tawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dan memang benar, aku belum ada rasa mahu menangis untuk hal sebegini. Hal paling remeh, harus menangis untuk apa? Meski hatiku nipis tetapi tidaklah sebegitu rapuh... (barangkali...)

Yang benarnya begini. Aku lazimnya sukar menyembunyi rasa yang di dalam. Meski tidak aku sebutkan walau sebutir bicara, aku pasti mereka yang dekat mampu menangkap resah hati. Sementelah senyum terhulur bukan senyum dari dalam sana... bukan dari dalam hati. Lalu pasti sahaja aku tertangkap mudah.

Menjadi kebetulan saat aku sedang berfikir melulu, muncul sahabat mei membuat panggilan dari corong telefon bimbit. Perbualan ringkas petang tadi itu terus sahaja menjadi sesi motivasi panjang apabila aku menjelas situasi diri. Tanpa dirancang-rancang. Lebih dari biasa. Dan aku juga tidak menyangka akan terkongsi sesi sebegini.

[Dan sunggoh, aku tidak se-kebal yang di-harap-kan...]

Sunday, July 17, 2011

~ MEMBUAT RINDU LAGI ~


SEMALAM patutnya menurut rancangan, kami mengadakan sedikit majlis doa selamat di rumah. Menjemput orang-orang surau untuk mengaminkan kesyukuran kami seisi keluarga sempena satu hal yang telah dipermudahkan Tuhan.

Namun kita hanya merancang, dan Yang Di atas Sana jua yang menentukan segala. Perancangan itu tertunda seminggu akan datang dek hal-hal yang tidak terelakkan.

Lalu tanpa dengan perancangan juga, kami membuat hala ke pantai timur semenanjung tanahair. Menjenguk ibu dan ayah yang berkalang rindu. Mahu memeluk bukan hanya pada mimpi. Mahu membalas senyum bukan dengan berjauhan batu.

Ayah seperti selalu. Sekadar berkata sepatah dua. Lebih banyak berinteraksi melalui riak wajah dan bahasa badannya. Garangnya masih tidak berkurang. Ketegasannya masih kekar tidak terusik. Segala yang mahu aku tanyakan lebih melalui ibu. Hal-hal yang terlalu selalu ku kira.

Ibu pula sudah tidak segagah sebelumnya. Sejak turun naik tangga rumah sakit berganti minggu dan bulan, ibu banyak meninggalkan kebiasaannya. Kudrat menyekat, katanya menjelas. Aku mengangguk tanda mengerti. Sedikit tidak aku pamerkan luluh di dada. Sebaliknya membuat senyum, menutur janji dan segala yang manis aku persembahkan. Mohon sampai ke jiwanya.

Kali ini hanya sempat meluangkan kurang lebih 21 jam bersama mereka. Jam 7 pagi... kami sudah siap siaga untuk kembali ke hiruk pikuk kota. Membuat rindu lagi sehingga ada kesempatan yang mampu dicuri.

[Juga ter-kenang umi yang entah apa per-khabaran-nya..]

Saturday, July 16, 2011

~ GELAK TERGOLEK ~


TAJUK: Gelak Tergolek
KARYA: Wan Azlan
CETAKAN: Kelapan (April 2011)
PENERBIT: Kaki Novel Enterprise
HALAMAN : 396
HARGA: RM18


[Dan... tanges di-dalam-nya..]

Thursday, July 14, 2011

~ MASIH BERBAKI ~


DAN satu lagi skru dikeluarkan. Masih berapa banyak lagi??? Sengsaranya hanya aku tahu. Saat ia mula menjadi tamu sehingga titik ia mengucap selamat tinggal.

Aku tidak menutur apa meski sang doktor muda itu banyak melontar tanya. Begitu selalu sikap dinginku bila berdepan mereka. Ermm..

[Cherita kemalangan lalu itu kembali jelas ter-lihat di-mata sa-perti pilem yang sedang ligat ber-putar di pawagam..]

Wednesday, July 13, 2011

~ KEKAL PRINSIP ~


FACEBOOK. Menjadi sesuatu yang janggal apabila seseorang itu mengatakan dia tidak punyai akaun laman sosial yang satu ini pada zaman ini. Atas apa jua alasan dia memiliki akaun itu, itu soal kedua. Paling persoalannya, dia tidak ketinggalan menyertai laman itu.

OK. Aku tidak terkecuali dalam soal itu. Namun, ia sekadar ada. Aku tidak berkecenderungan penuh untuk memaksimakan penggunaannya sepaling yang mungkin. Alasannya biar aku simpan sendiri.

Justeru, rakan-rakan dalam senarai itu hanya terbilang jari yang benar aku kenal bertentang mata. Selebih adalah manusia baharu yang menghulur silaturrahim. Ya benar, aku tidak berkongsi yang sebenar aku di situ. Bukan bererti aku terahsia akan sesuatu, cuma itu keselesaanku. Ada yang mengerti, tidak kurang juga membuat soal yang banyak.

Yang membuat soal banyak itu termasuklah lelaki bermata sepet itu. Tiba-tiba sahaja beriya mahu menyelongkar isi akaun laman sosial milik aku itu yang selama ini tidak pernah dia kisahkan setelah awal dulu aku nyatakan tidak akan berkongsi untuk hal itu. Malah aku juga menggunakan nama yang langsung tidak terjejak siapa. Dan beberapa hari lalu entah kenapa dia bersoal tentang itu.

Paling jujur, tiada apa yang harus tercuriga di akaun bermilik aku itu. Sementelah aku bukan pelayar tegarnya. Berselang minggu hari hanya satu dua yang berganti. Paling minimal berkongsi ku kira. Segalanya terbilang jari. Namun aku tetap kekal prinsip untuk tidak membenar penyelongkarannya itu. Lalu hal itu pencetus ketegangan kerana disangka aku mahu menutup sesuatu.

Dan begitulah lelaki ini yang penuh dengan rasa curiga meski mengenali aku terjauh dari hal semua itu. Dan mengapa saat hari ini? Sedang lama dia ketahui aku sememang punya laman sosial penampung liburan ini.

[Dan sa-hingga hari ini, ruang 'jari-jari bercerita' ini tidak ter-hidu dia. Juga tidak ter-jejak mereka yang dekat lain-nya...]

Tuesday, July 12, 2011

~ TIDAK SEMBORONO ~


DAN secawan coffee di awal pagi. Ada yang mahu meminjam bahu dan aku tidak bersoal. Kali ini lebih berat dan aku nyatanya tidak berani bersuara semborono.

Hidup ini ada timbal baliknya. Masing-masing ada bahagian yang telah ditentukan bahagiannya. Justeru, andai kesengsaraan yang tergalas hari ini, jangan tidak percaya ada sinar yang akan membuat ganti kemudian hari.

Terkenang terus isi 'Perempuan Yang Telah patah Hati'.

[Senan-tiasa ada untok kamu yang nama-nya sahabat..]

Sunday, July 10, 2011

~ PEREMPUAN YANG PATAH HATI ~


TAJUK: Perempuan Yang Patah Hati
KARYA:
Rasyidah Othman
CETAKAN: Pertama (June 2011)
PENERBIT: Jargon Books
HALAMAN: 39


Pada suatu malam, bulan telah berkata padaku,
"Jikalau dia sering membuatmu menangis, mengapa tidak kau tinggalkan sahaja dirinya?"

Seraya itu, aku memandang bulan dan berbisik kepadanya,
"Duhai bulan, akankah kau pernah bisa meninggalkan langitmu?"


Antologi puisi indah yang sangat menusuk dalam. Di baca kali pertama aku mendapat hal yang pertama, dibaca kali kedua aku mendapat hal yang kedua dan begitulah sebaliknya. Justeru, aku membacanya berkali-kalinya dengan rasa besar hati untuk berkali-kali juga memperoleh yang ada tersirat itu. Manis.

Bukan satu, bukan dua... malah beberapa tajuk yang menarik dengan dalam hati tumpuku. Ringkas, tapi menusuk. Dan sungguh, aku amat sukakan itu.

Tidak mudah memperolah naskah begini. Pernah satu-dua yang kutemui hanya di acara Maskara. Itupun ia adalah hal-hal yang jarang.

[Antologi sendiri...]

Saturday, July 09, 2011

~ KAMBING HITAM ~



(Kredit foto: www.mstar.com.my)


BERSIH. Memang bersih Kuala Lumpur dikerjakan mereka gara-gara memenuhi tuntutan perjuangan pemimpin yang kononnya teragung itu.

Mungkin aku tidak mengerti, mungkin aku ini tidak bersifat patriotik.. atau segala apa mungkin lagilah. Namun patriotikkah mereka dengan menumpahkan perjuangan membabi buta dengan menyertai perhimpunan haram yang kononnya halal atas nama perjuangan itu? Menghalalkan keganasan dan menyusahkan pihak lain hanya kerana memenuhi keinginan sang pemimpin yang bercita-cita tinggi itu?


Ibu kota digempur dengan hal yang mereka katakan perjuangan itu. Demonstrasi jalanan melumpuhkan perjalanan harian penghuni kota. Malah memberi ketakutan yang bukan sedikit kepada yang lainnya di sekeliling.

Malah malam tadi saat mahu pulang ke rumah sehabis urus pekerjaan, aku terperangkap dengan kesesakan jalan raya yang amat hebat. Perjalanan pendek dari bandar anggerik ke bunga tanjung itu menjadi empat kali ganda jaraknya daripada biasa. Bayangkanlah, jam 7.30 aku mula memandu pulang dan hanya kurang lebih jam 1.00 pagi aku dapat melihat bumbung rumah.

Dan hari ini, berita-berita 'perjuangan' mereka memenuh segenap ruang. Yang marhainnya digempur begitu rupa kederatnya, sedang sang bangsawan tersenyum menontonnya sebagai liburan. Terselit juga sang idola yang namanya Pak Samad bersama. Aku tidak pernah menyalahkan dia. Mungkin ada sesuatu yang keras menariknya ke dalam sana.

Siapa aku untuk mengulas segala ini... Sekadar melepas yang dirasa.. yang mungkin benar pada tempatnya, mungkin juga jengkel menyimpang kebenaran.

[Bagi-mana yaa perasaan sang isteri dan sang anak sa'at mau ma-lepas-kan sang suami atau bapa mereka keluar romah ketika ini? Apa-kah pergi dan pulang mereka sa-baek semporna mereka sa-bagi-mana mereka sebelom-nya?
]

Friday, July 08, 2011

~ DRAMA ~


ADA manusia yang membuat drama siang hari semalam. Aku menerima hadiah istimewa sempena hari ulang tahun kelahiranku. Tidak manis untuk menolak, tetapi tidak wajar juga mahu menerimanya kerana hari ulang tahun itu masih jauh beberapa bulan lagi kehadapan. Dan dia tahu tentang itu.

[Meng-hargai itu buleh dalam bentok apa sahaja...]

Thursday, July 07, 2011

~ ADA RINDU ~


BENARLAH kata orang, bila seseorang yang kita sayangi itu tiada di depan mata, baharulah kita menghargai kehadirannya. Melihat segala kebaikan dan kelebihan yang dia miliki.

Hal yang serupa juga turut membuat damping kepadaku. Sepanjang hari ini aku terkenangkan BR, sahabat yang sudah terbang ke benua sebelah sana atas tuntutan pekerjaannya. Sudah mula ada rasa yang mengharapkan dia menghubungi aku di sini untuk bercerita dan bertanya khabarseperti lazim selalu.

Lelaki yang pernah putus cinta berat ini seorang yanng sangat mengerti. Walaupun terkadang dia kelihatan seperti mendengar kosong, aku tahu dia tidak pernah tertinggal kisahnya. Jujurnya, sebelum ini aku hanya mencarinya saat berkeladak resah. Saat mahu meminjam bahunya atas sesuatu yang membuat serabut. Dan selebihnya mungkin bukan dia.

Dan hari ini, ada sesuatu yang membuatkan aku terkenang tentang sahabat ini. Terkenang bagaimana dia kerap menunggu di bawah rumah ketika masih di rumah lama hanya kerana mahu aku menurutnya menghirup secawan coffee. Bagaimana dia terpaksa menjadi pendengar kepada kisah membosankan antara aku dan teman jiwa, juga soal-soal serabut lainnya.

Rindu. Mungkin itu sebenarnya yang mula dirasai aku. Sedang selama ini, tidak pernah aku berlebih rasa begitu. Kini setelah kebiasaan-kebiasaannya jauh ditinggalkan, aku mula melihat segala keberuntungan itu.

Lalu aku mengirimkan satu catatan ringkas di kotak emelnya. Tiada apa yang berat, ia sekadar hal persahabatan.

[Janji mahu me-lehat mata-hari merah belom ter-tunai..]

Wednesday, July 06, 2011

~ KEBERGANTUNGAN ~


DIKALANGAN adik-beradik perempuan, aku rasa akulah yang paling berdikari. Tetapi apabila bersama rakan-rakan, aku sebenarnya paling tidak berdikari diantara mereka. Malah sering juga direndah-rendahkan hanya kerana situasi itu. Ermm..

OK, begini... Sejak dari kecil lagi, ayah sering membataskan pergerakan anak-anak perempuannya. Apa sahaja berkaitan dunia luar akan diuruskan ayah atau dibantu abang atau adik lelaki. Kami tidak mendapat atau amat jarang sekali berpeluang melakukannya sendiri. Situasi itu tanpa disedari telah membentuk kami menjadi seorang yang penakut dan mungkin juga tidak yakin terhadap kemampuan diri sendiri.

Kakak mungkin lebih parah daripada aku sendiri. Setelah berkahwin dunia luarnya banyak dibantu oleh suaminya yakni, abang iparku. Tiada paksaan, dia sendiri merelakan. Mungkin kerana telah terbiasa dengan cara ayah sebelumnya. Kakak bukanlah suri rumah sepenuh masa, dia adalah wanita bekerjaya yang terlibat sepenuhnya dengan dunia luar, tetapi sikap kebergantungannya kadang-kala mengalahkan wanita yang berstatus suri rumah sepenuh masa.

Beberapa kali di dalam bulan ini, hidupnya menjadi sangat kelam-kabut gara-gara abang berturutan terlibat dengan tugasan di luar daerah. Malah esok pagi, abang akan terbang ke Vietman beberapa hari. Dia tidak lalu makan. Bukan kerana resah berpisah dengan abang, tetapi resah memikirkan bagaimana dia mahu ke tempat pekerjaan. Bergelisah kerana seumur hidupnya menetap di hiruk-pikuk kota ini, sekalipun dia tidak pernah menaiki teksi dan dia perlu lakukannya untuk beberapa hari ini. Menaiki teksi baginya umpama mempertaruh nyawa. Ketakutannya lebih dasyat daripada diacukan pistol yang terus mengadap ke jantungnya.

Sejak kelmarin dia tidak habis membuat helah agar aku mengambil cuti bagi membolehkan aku mengantar dan menjemputnya dari tempat pekerjaannya untuk beberapa hari ini. Sementelah waktu pekerjaan kami punya beza ketara. Dan aku menjadi satu-satunya pilihan dia bergantung harap. Ermm..

Ia baharu tentang teksi dan belum lagi soal selainnya. Tentu sahaja kamu dapat mengagak sendiri situasinya jika soal-soal yang lebih besar membuat damping. Bunyinya seperti lucu, tetapi itulah kenyataannya kawan! Itulah kakak.. dan itulah juga aku barangkali.

[Di-hantui rasa ber-salah amat apa-bila sang peng-hulor bantu ter-paksa meng-ambil choti sa-paruh hari gara-2 menyelesai uros remeh-ku malam tadi.. dan sunggoh aku mohon ma'af untok itu..]

Monday, July 04, 2011

~ CARIK-CARIK BULU AYAM ~


DULU ibu slalu cakap, kalau adik-beradik yang suka bergaduh, kena bagi minum air rebusan tali pusat masing-masing untuk baikkan mereka. Katanya itu petua orang tua-tua yang telah diamalkan zaman-berzaman.

Menggeleng-gelengkan kepala. Mungkin betul, mungkin juga tidak.. aku sendiri kurang pasti. Adik selalu bergaduh dengan kakak dulu. Aku pula sebagai pemerhati dan sesekali diminta menjadi orang tengah. Bosan dengan sikap mereka yang seperti anjing dengan kucing, ibu selalu bercerita tentang air rebusan tali pusat itu. Malah beberapa kali juga ibu mengugut untuk memberi mereka minum air rebusan itu.

Selepas beberapa kali ibu menyatakan hal itu, mereka tidak lagi bergaduh. Sebaliknya hubungan menjadi bertambah baik. Aku kurang pasti apakah mereka tidak lagi bergaduh kerana takut dengan ugutan ibu itu ataupun sememangnya telah 'merasa' air rebusan itu tanpa pengetahuan mereka.

[Charek-charek bulu ayam, akhir-nya ber-chantom juga...]

Sunday, July 03, 2011

~ DERU OMBAK ~


MEMBACA 'Padang Bulan' dan 'Cinta Di dalam Gelas' karya Andrea Hirata dengan penuh tenang di gigi pantai BBR. Lari jauh dari kebisingan untuk menikmati deru ombak yang seakan memahami isi hati.

[Menunggu Mata-hari Merah..]

Saturday, July 02, 2011

~ CINTAKU CINTAMU SATU ~


TAJUK: Cintamu Cintaku Satu
KARYA: Ana Sofiya
CETAKAN: Pertama (2011)
PENERBIT: Fajar Pakeer Sdn Bhd
HALAMAN: 468
HARGA: RM20.00

“Katakan kepadanya, aku rindu dia. Katakan kepadanya, aku damba belainya…”


[Menunggu...]

Friday, July 01, 2011

~ BUKAN DENGAN AGENDA ~


DUA hari lepas, aku menurut kesempatan berkunjung ke rumah anak-anak HIV positif di Cheras.

Saat selangkah berada di depan pintu masuk rumah yang didiami oleh sembilan anak-anak ini, hati berdebar kencang. Sayu melihat mereka berlari menyambut aku dan beberapa yang lainnya di depan pintu. Senyum selebar alam seolah bertemu putera/puteri kayangan.

Selama kurang lebih empat jam bersama mereka, banyak hal yang terpinjam. Bukan sahaja tentang mereka, tetapi tentang rakan-rakan yang turut menyertai. Aku tidak tahu apa yang ada di dalam hati mereka, tetapi dari mata kasar.. terlihat jelas kehadiran mereka hari ini sepertinya atas agenda lain. Dan sungguh, sakit mataku menyaksikan drama-drama hipokrit mereka. Aku sangat maksudkan itu.

Aku sendiri berat hati pada awalnya untuk bersama-sama mereka kerana sudah mengagak hal seumpama ini akan terjadi. Kalau sekadar mahu datang tunjuk baju cantik, kasut mahal dan segala keberuntungan yang dimiliki... aku rasa di sini bukanlah tempatnya!!! jangan jadikan anak-anak ini sebagai alat untuk mengangkat status 'mulia' mereka di mata umum.

Tujuan sebenar kami ke sini adalah untuk menjenguk dan memberi sedikit kegembiraan buat anak-anak ini. Lalu jika jelas niat menyimpang, usah memaksa diri dan membuang masa di sini. Bunyinya agak keras, tetapi itu suara sebenar yang ada di dalam dan kalau ia boleh diperdengarkan kepada mereka.

"Kakak ni bawak kereta sendiri.. pakai baju cantik.. Mesti kakak ada rumah besarkan.. seronoknya kalau kita pun dapat macam tu.."

Aku diam mendengar luah si kecil berbaju Melayu hijau ini kepadaku spontan. Dia paling riang. Paling banyak bertanya dan paling teruja dengan kehadiran kami. Yang dalam hatinya, aku kurang pasti... tetapi yang terserlah di wajahnya, sungguh dia kelihatan begitu gembira tanpa lekang senyuman dari bibir manisnya. Sedih mengenangkan apa yang sedang mereka lalui saat ini. Apa lagi tentang masa depan mereka kelak... ermm..

AKU: Makanlah rendang ni.. KS yang masakkan tau. KS tu yang pakai baju brown tu.. Sebelah di yang baju hitam tu mak dia.
ANAK INI:
Oo... patutlah selalu duduk dekat-dekat. Cantikkan KS tu.. mak dia pun cantik.

AKU
: Mak KS selalu teman KS ke mana-mana.

ANAK INI:
Oo.. dia tu, anak mak ehh?

AKU
: Takdelaa.. mak dia teman sebab risau kalau KS sorang-sorang. Kat KL ni kan macam-macam boleh jadi..

ANAK INI:
Tapi mak saya tak macam tu pun.. bestlaa dia.. patutlah dia nampak macam anak manja jer..


Aku merenung wajah mulus anak berusia 10 tahun ini. Seperti ada sesuatu yang sedang dia fikirkan. Walaupun tidak banyak bercakap, dia sangat memerhati setiap satu antara kami. Sesekali dia membetulkan tudung di kepalanya apabila menyedari tingkah senyapnya itu diperhati aku.

Saat mahu pulang, kami dihantar sehingga ke kereta. Dengan lambaian.. dengan senyum paling manis.. dan dengan sedikit pesanan.

"nanti kakak datanglah lagi.. boleh teman kita borak.. kat sekolah diorang semua tak nak borak dengan kita.. kita bosanlah..."

Sayu.. Aku mengangguk-angguk.. tanpa sedar memberi harapan dan membuat janji.. ermmm.. doa kesejahteraan buat mereka semua. Mudah-mudahan Tuhan memberkati kehidupan mereka.

[Muhon kamu yang mem-bacha entri ini agar meng-hadiah-kan doa kesejahteraan buat mereka... aminn]