Thursday, June 30, 2011

~ MENONTON ~


PETANG semalam aku agak awal meninggalkan lantai pekerjaan. Sedikit dengan kesempatan aku menyinggah ke Taman TAR. Tempat selalu yang disinggahi kala tiada arah tujuan. Berlama-lama di situ sehingga tiba waktu berbuka puasa. Melihat dan memerhati sekumpulan makhluk ciptaan Allah itu membuat libur dengan keletah mereka. Namun, resahnya tidak juga mahu berkurang.

[Terima kasih Sahabat mei]

Wednesday, June 29, 2011

~ DAN TIDAK LEBIH ~


IA hanya soal kecil hati dan tidak lebih. Dan hanya rajuk, bukan amarah. Hanya sedih, bukan sesalan.

[Everyone hear what you say... Friends listen what you say... Best friends listen to what you don't say...]

Monday, June 27, 2011

~ TETAP MERAH ~


TERKENANG kata ibu suatu masa dahulu. Kalau merah yang aku mahukan, merahlah yang aku cari meski apa pun yang terjadi. Tidak hitam, tidak juga putih. Ibu kurang senang itu.

Seminggu yang lalu, aku usahakan sesuatu untuk seorang sahabat. Namun dek kerana janji kosong seorang manusia, urus yang sepatutnya berjalan lancar itu menjadi kalut. Aku terpaksa meminta bantuan beberapa orang kawan, juga menemu jalan buntu kerana kesuntukan waktunya.

Lalu, separuh hari semalam aku habiskan masa di Pasar Seni Kuala Lumpur untuk membuat urus baharu. Tidak hanya di situ, tetapi terpanjang langkah pula ke Kompleks Pertama atas urusan yang sama. Gigih meredah sesak jalan raya dan hujan lebat membasah. Dan masih semuanya gagal!

Tetapi aku masih berdegil mahukan yang 'merah' itu...

[Haros bagi-mana yaa..]

Sunday, June 26, 2011

~ 7 HARI MENCINTAIKU ~



TAJUK : 7 Hari Mencintaiku
KARYA : Siti Rosmizah
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : SR Publication Sdn Bhd
HALAMAN : 1048
HARGA : RM32.90

“Silap aku juga, kerana jatuh cinta.. insan sepertimu seanggun bidadari… Seharusnya aku, cerminkan diriku… Sebelum tirai kamar aku buka, untuk mengintaimu..."


[Dan selama itu..]

Saturday, June 25, 2011

~ ROSAK ~


SEPANJANG hari ini, mood sebenarnya tidak begitu baik. Hal selisih faham dengan teman jiwa tengahari tadi membuat kacau.

Aku tidak dapat memanjangkan langkah ke selatan semenanjung tanahair dan dia pula tidak punya kesempatan untuk berdamping di hiruk pikuk kota ini. Bukan sengaja mencari helah, tetapi benar ada aral yang melintang pukang. Dia harus faham itu, tetapi lelaki sepet ini bertindak sebaliknya. Lalu soal remeh itu akhirnya menjadi punca kepada kekalutan segala ini.

Serabut. Dan semuanya mahu membuat simpul. Melayan resah yang berselirat di kepala, aku sengaja memilih perut jalan raya yang paling sesak hari ini untuk pulang ke rumah. Sengaja mahu berlama-lama di perut jakan raya sambil kepala berkerja keras menyimpulkan sesuatu. Itu lagak selalu aku kala berdepan situasi tidak keruan begini.

Tiba ke rumah, aku menyibukkan diri. Mengemas bilik tanpa sempat menunggu hari esok. Dan dalam kekalutan itu, aku tanpa sengaja telah memasukkan shawl merah yang baharu dibeli semalam bersekali dengan cucian kumpulan pakaian putih.

Kamu dapat mengagak hasilnya bukan??? Nahhh... rosak semuanya. Aku terduduk. Marahkan diri sendiri. Dan aku masih marah kala jari-jari ini bercerita di sini. Bagaimana yaa..

[Kacau..]

Thursday, June 23, 2011

~ MOHON ~


SERABUT. Dan mohon agar hari ini memberi sedikit tenang. Mohon agar manusia disekeliling menyumbang hal-hal yang postif. Mohon agar sahabat-sahabat memberi senang.. aminn..

[Mau dudok me-lihat mata-hari merah..]

Wednesday, June 22, 2011

~ SANGKA ~

MENJADI pendengar. Hampir separuh malam aku meluangkan untuk itu kepada seorang teman. Kekecewaannya terlalu melimpah sehingga mempengaruh segala sesuatu yang berkelilingnya. Arghh.. lelaki kalau sudah kecewa bahananya lebih menakutkan dari yang lazim wanita pamerkan.

Syakwasangka itu mampu membunuh. Itu yang mampu aku katakan. Teman ini banyak membuat andaian dan anggapan. Malah terlalu meyakini apa yang dirasakannya itu punya asas kebenarannya. Lalu kesimpulan demi kesimpulan dibuatnya sendiri.

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Buat pertama kalinya mungkin aku memberanikan diri untuk bersuara. Keberanian itu datang bukan kerana mahu membela orang yang dituju kemarahan itu yakni sahabat dekatku sendiri, tetapi kerana mahu membetulkan sedikit persepsi yang kejap lekat di genggaman hatinya.

"Jangan terlalu melihat kepada kekurangan orang lain sedang diri juga mungkin tidak terkecuali itu. Jangan terlalu menumpu kepada faktor-faktor yang menarik untuk sebuah peralihan rasa, tetapi tumpukan juga kepada hal-hal yang menolak.."

Sesi luahan itu akhirnya menjadi sesi perdebatan. Yang postif.. dan yang matang.. dan bukan menjurus kepada ketegangan yang lain.

Ermm.. Nada kalau silap tuturannya akan menjadi hal yang mampu mengubah maksud asal. Bahasa kalau tidak kena pemilihannya, mampu membuat kemarahan menjadi lebih besar. Emosi kalau tidak ditangani dengan akal, bahananya mampu merosak jiwa.

[Senan-tiasa coba men-jaga nada dan bahasa...]

Tuesday, June 21, 2011

~ TENGGELAM DALAM BINGIT ~

SERABUT. Dan sungguh kecamukannya membuat aku hilang segala tumpuan pada ketetapan yang perlu.

Dari lantai pekerjaan yang berselirat dengan urus pekerjaan, aku disogok untuk memanjangkan langkah menurut seorang teman keluar mencari bingit sekitar langit sehingga malam pekat. Hal yang bukan dalam pilihan teratasku dalam situasi biasa.

Namun, kali ini aku benar-benar membiar diri tenggelam dalam bingit itu. Bingit sebingit-bingitnya. Sehingga butir suara melalui bahasa yang dituturkan langsung tidak dapat aku hadam jelas. Bingit itu menggegar degup jantung tanpa disedari.

Kurang lebih dua jam aku membiar diri diseksa bingit yang mendengung itu. Pulang ke rumah, aku terus terlentang meletak lena dengan kepaksaan yang maha kejam.

Dan..... sebenarnya bingit itu tidak pernah mengurangkan apa pun.. Simpul itu tetap simpul!

[Hadap saja..]

Monday, June 20, 2011

~ GAGAL MENTAFSIR ~

MENJADI kelaziman saat mahu berangkat, aku akan memeluk tubuh kecil ayah memohon restu untuk segala yang terlakukan. Aku menyalaminya seperti biasa dan aku memeluk juga seperti biasa. Seperti selalu dan tiada yang lainnya dari aku.

Namun tidak buat ayah. Kali ini dia memelukku erat dan lama dari biasa. Seperti tidak mahu melepaskan. Aku diam tidak berkata sepatah apa. Malah, konon tidak menyedari hal yang lain dari biasa itu. Perlahan-lahan ayah meleraikan pelukan itu apabila ada yang menunggu giliran di belakang. Ada rasa. Dan rasa itu dijelaskan lagi dengan pandangan matanya yang sayu itu.

Malang sekali aku gagal menterjemah isi rasa yang mungkin mahu disampaikan ayah. Kekecewaankah? Kebahagiaankah? Ketakutankah? Atau mungkin kecurigaankah?

Ayah... kamu lelaki yang memperkenalkan aku kepada dunia. Dan... membantu aku untuk terus mengenal dunia. Tidak akan pernah mahu memilih....

[Ter-kenang saat 'di-ajar' ayah suatu masa dahulu... Jadi-lah aku manudia ber-guna sa-perti hari ini..]

Sunday, June 19, 2011

~ TERLALU MUJUR ~


SEPARUH hari di lantai hospital, separuh hari di lantai bengkel kereta. Merenung sang doktor yang merawat ibu, dan menilik juga sang mekanik yang merawat unta hitam. Dua hal yang berbeza, tetapi wujud keserupaannya.

Alhamdulillah. Syukur pada Tuhan kerana masih mengizinkan nyawa melekat di badan kami. Syukur kerana aku masih berpeluang bernafas di bumi Tuhan yang indah ini, masih punya peluang juga bertmu lagi kamu di ruang ini dan masih punya kesempatan untuk memperbaiki diri menjadi yang lebih baik.

Malam Jumaat yang lalu, ketika dalam perjalanan menuju ke kampung halaman nun di pantai timur semenanjung tanahair, unta hitamku tiba-tiba membuat liar. Sistem brek yang gagal berfungsi baik membuatkan kami sesak nafas menghitung nasib.

Tiada sebab, dia punca yang jelas dan pasti. Ia tiba-tiba berlaku begitu sahaja. Hampir sahaja aku melanggar palang tol yang merentang kerana gagal memberhentikan unta hitam pada ketepatan yang sepatutnya.

Peliknya ia hanya berlaku kurang lebih 3km. Dan selepas itu ia kembali ke asal. Jinak dan sempurna tanpa sebarang helah.

Lalu untuk mematikan kecurigaan yang menimbal-nimbal itu, aku heretkan juga unta hitam untuk diselongkar punca dan sebab. Namun kata sang yang merawat, ia dalam keadaan baik-baik sahaja. Cuma mungkin sedikit keletihan dari sang unta yang setia itu.

Aku angguk.. dan angguk lagi. Apa sahaja yang dituturkan sang yang merawat itu diangguk sahaja. Mana mungkin aku menggeleng kerana satu-apapun yang dia perkatakan itu tidak aku ketahui kejelasannya. Lalu, kalau dikatakan itu 'A' maka 'A' lah aku.. dan begitulah sebaliknya.

[Dan bila ada yang ber-gurau tidak kena tempat, aku men-jadi marah.. kemarahan yang 'ter-barai'... ]

Saturday, June 18, 2011

~ TUAN RUMAH PEMBANTU RUMAH ~


TAJUK : Tuan Rumah Pembantu Rumah
KARYA : Orkid Adtliyne
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Fajar Pakeer Sdn Bhd
HALAMAN : 517
HARGA : RM21.00

“She’s my maid. Not yours..”


[Dan... chenta itu ada di-mana-2..]

Friday, June 17, 2011

~ HAL-HAL BISU ~

PAGI bisu, petang bisu, malam bisu. Begitu situasi kami adik-beradik sepanjang hari ini. Diam.. dan hanya hati yang dibiar bicara. Sungguh yang dibicarakan hati itu tidak pernah terdengarkan, namun aku cukup yakin tutur yang di dalam sana itu punya persamaan antara kami.

Yaa... kami berperang resah hal yang sama. Hal penderitaan dan kesakitan ibu. Hal situasi di mana ibu bertarung nyawa untuk hidup. Hal yang membuatkan kami seolah putus nyawa menunggu di bilik empat segi yang kosong tanpa menjanjikan harapan yang pasti. Hal yang membuatkan aku berusaha menjadi kuat agar mampu ditumpangi emosi buat yang lainnya.

Luluh hati melihat ibu terbaring di katil hospital yang entah berapa kali menerima kematian. Aku tahu ia menjadi ketakutan yang amat sangat buat ibu. Buat aku, dan buat semua kami adik-beradik. Tidak terbayangkan saat pisau tajam itu membelah tubuh ibu. Tidak juga tergambarkan bagaimana ibu menahan segala kesakitan itu secara bersendiri. Pasti tidak tentunya terelakan melihat ibu mengangguk pasrah pada segala yang harus dia lalui. Namun, apa daya aku? Apa daya kami?

Saat kecamuk mengisi emosi, pelbagai 'mungkin' yang menerjah masuk ke fikiran dan hati. Mohon tidak terjadi 'itu' saat kami berada di luar kesediaan. Berilah sedikit lagi masa untuk kami mempersiap diri. Aku mohon itu.

Alhamdulillah.. Akhirnya harapan itu hadir menunai janji. Lega bukan kepalang. Peluang dan kesempatan yang diberikan Tuhan ini harus tidak tersia. Aku mohon agar menjadi manusia yang tahu menghargai.. tidak sekadar untuk ibu, ayah atau saudara sedarah yang lainnya.. tetapi untuk mereka yang dekat berkeliling.. yang juga aku gelarkan sahabat. Aminn..

[Tidak mampu untok ber-kongsi peristiwa ke-sengsaraan yang di-lalui ibu di-ruang ini... namon aku yakin, kamu meng-erti hal-2 yang aku maksod-kan...]

Thursday, June 16, 2011

~ GELADAK RESAH ~


MALAM nanti, aku akan pulang ke kampung halaman, nun di pantai timur semenanjung tanahair. Mungkin untuk beberapa hari. Seluruh kami berkumpul menjenguk ibu yang mana kesihatannya tidak mengizinkan.

Beberapa hari ini, hati kami asyik remuk redam mendengar sengsara ibu yang bertarung sakitnya. Membuat hati kami tidak senang dan mengganggu banyak urusan dalam hal lainnya. Resah pagi, resah petang, resah malam.... resah dan resah. Berpura-pura senang dan tenang, sedang pada hakikat dihambat resah panjang yang tidak mahu berhenti.

Aku tidak putus berdoa, mudah-mudahan aku menjadi kuat untuk yang lainnya. Mahu menjadi yang meminjam bahu dan bukan sebaliknya. Kenyataan tetap kenyataan dan ia harus diterima dan dihadapi dengan hati yang terbuka.

[Kalau-lah hati ini mampu di-pertunton sa-perti skrin layar... lehat-lah bag-imana hebat gelora geladak-nya..]

Wednesday, June 15, 2011

~ KUNG FU PANDA 2 ~





FILEM: Kungfu Panda 2
GENRE: Animasi
PENGARAH: Jennifer Yuh
PELAKON: Jack Black (Po), Angelina Jolie (Tigress), Dustin Hoffman ( Shifu), Jackie Chan (monkey), Lucy Liu (Viper), Michelle Yeoh (Soothsayer), Jean-Claude Van Damme (Master Croc) dan lain lain.


AKHIRYA... setelah beberapa kali cubaan, aku berjaya juga menonton 'Kung fu Panda 2'. Ada cerita yang banyak disebaliknya dan aku sangat sukakannya. Sungguh.

[Terima kaseh untok yang mem-beri sedikit usaha..]

Tuesday, June 14, 2011

~ SELEPAS GENAP 30 HARI ~


SETELAH lebih 30 hari dihambat kerisauan penuh tanda tanya, hari ini ia terjawab. Dan jawapan itu diberikan oleh sang yang empunya badan yakni sahabat mei sendiri. Kesempatan itu ada, lalu sehingga jam tiga pagi aku terkongsi segala yang menjadi tanda tanya itu.

Seperti selalu yang aku kenali sahabat ini, dia senantiasa dengan energi positifnya. Tercampaklah dia ke cerun dan gaung mana sekalipun, semangatnya tetap masih mampu berdiri. Dia kental dan gigih mendepani segalanya. Entah daripada yang terpinjam dia.

Sahabat ini berdepan ujian getir, dan dia tabah menghadapi ketentuan. Kekuatan yang jarang-jarang dimiliki baik oleh orang-orang biasa seperti dia, seperti aku.. atau mungkin juga seperti kamu. Kalaulah aku yang berada di kasutnya, entah bagaimanana pertimbanganku. Mungkin sahaja mudah bertindak mengikut rasa dan melihat dunia dengan cukup sempit dan sesak.

Namun sebaliknya untuk sahabat yang seorang ini. Sungguh dia dilihat hanya gadis biasa, tetapi hal di dalamnya dia sangat luar biasa. Biar beratur susun hal-hal yang menduga-uji, namun dia masih tersenyum dan bercerita dalam gelak tawa kecil untuk tidak menyakitkan hati sendiri.

"Saya anggap semua ini adalah ujian buat saya. Malah saya yakin, saya diuji begini kerana Tuhan tahu saya mampu melaluinya..'

Aku mengangguk-angguk...

[Untok sa-buah rasa perchaya..]

Monday, June 13, 2011

~ AJARKAN AKU ~

MERAJUK. Dan sungguh... aku adalah manusia yang sering mahu dipujuk kala apa juga rajuk yang membuat singgah.

Namun ironinya, aku sangat tidak bijak dalam memujuk. Lalu hari ini ada yang telah berjauh hati dan membuatkan aku terasa seperti telah menyakiti. Dan sungguh, aku sangat ingin memujuk. Tapi, harus bagaimana aku..

[Dan karma itu..]

Sunday, June 12, 2011

~ SISIPAN CINTA MENGHARUM ~



TAJUK : Sisipan Cinta Mengharum
KARYA : Aima Armia
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : Fajar Pakeer Sdn Bhd
HALAMAN : 512
HARGA : RM21.00

“Kiranya kau telah hadir dalam mimpi semalam. Hadirmu itu satu kurniaan…”

[Me-nunggu takder..]

Saturday, June 11, 2011

~ MALAM PUISI PATRIOTIK @ RUMAH PENA ~

Saudara Ahmad Sarju


Saudara Isma Saring

Saudara Norakma & Dr Jessica Ong


Saudara Khalid Salleh


Saudari Norazimah


Saudara Amran Rashidi


Saudara Nordin @ Bob


Anak kecil berjiwa besar yang mencuri perhatian penonton apabila sering cuba meniru gaya sang pemuisi yang tampil membuat persembahan...


APA sahaja bentuk acara yang berkaitan bacaan puisi, aku sebolehnya tidak mahu gagal untuk menjadi sebahagian. Bukan semenjak mengenal Rumah PENA, tetapi lebih awal dari itu. Cumanya, Rumah PENA ini menjadi sinonim kerana hanya penggiat rumah ini sahaja yang mahu terus memelihara puisi menjadi hal seni yang terkagum di kota besar ini.

Kesempatan ini terisi dengan energi positif yang jauh meresap ke dalam jiwa. Mendengar Saudara Ahmad Sarju dengan 'P. Ramlee Hanya Seorang', Isma Saring dengan 'Sekadar Bertanya', Datuk Muda Taufik dengan 'Bacalah', saudara Norakama dan Dr Jessica Ong dengan 'Aksara Merdeka', saudara Mas Adiki & sang puteri dengan 'Mat Kilau Wira Pahang' sungguh membakar semangat dalam.

Begitu juga saat dengan Amran Rasyidi dengan 'Mencari Wira' dan Nordin @ Bob dengan 'Katalah Tuan'. Namun yang paling mencuri hati, tentu sahaja lantunan rasa dari saudara Khalid Salleh dan bekas juara sayembara puisi tersohor, Norazimah Abu Bakar yang tidak pernah gagal menawan rasa.

Mudah-mudahan acara seumpama ini mendapat pendedadah dan sokongan yang sewajarnya.

[Al-Fatihah buat aruwah saudara Amirul Faqir yang kembali ke-rahmatullah pada hari yang sama.. Moga rohnya di-cucori rahmat.. amenn..]

Friday, June 10, 2011

~ LUARAN ~

"Takkan ku pamer reput di dada..." Antara bait puisi tulisan Fynn Jamal, 'Suatu Yang Pernah' yang melekat saat pertama kali membacanya.

Halnya begitu juga aku. Yang dalam-dalam itu, biarlah kekalnya di dalam sahaja jika ia tidak mampu mengubah apa.

[Suatu yang perenah]

Thursday, June 09, 2011

~ KHABAR ~


JATUH. Bahu kiri bengkak dan lebam. Hujan lebat petang semalam membuat licin pada permukaan lantai rata di kawasan parkir rumah. Lalu entah dengan cuai yang bagaimana, aku tersembam mencium lantai beberapa langkah saat menuruni unta hitam malam tadi.

Dan saat mahu memulakan hari pada awal pagi ini, sakitnya tidak tertahankan. Mahu menangis sepertinya.

Dalam kalut itu, aku menerima panggilan jauh dari negara seberang benua sana. Buat pertama kali daripada lelaki yang aku rindui itu semenjak pemergiannya ke sana tempohari. Sahabat yang namanya BR ini menghubungiku untuk menanyakan khabar. Yaa.. semata-mata itu.

Lalu hal sekecil itu membuat aku jadi terharu yang teramat. Apatah lagi dia masih mahu bercerita tentang langit merah. Masih berjanji untuk menemankan aku melihat langit merah saat dia pulang ke tanahair nanti. Manis.

[Men-jadi besar kepada aku..]

Wednesday, June 08, 2011

~ AKU BAIK-BAIK SAJA ~


AKU jadi lucu bila kakak meleteriku dan menyuarakan rasa letihnya melihat rutin harianku. Malah hampir setiap hari sejak akhir-akhir ini dia mengingatkan aku tentang waktu tidur, tentang waktu makan, begitu dan begini. Entah apa yang merisaukannya. Menggeleng-gelengkan kepala... kakak, aku bukan anak kecil lagi.. :)

[BR jauh di-seberang benua sana.. Kalau tidak, dia-lah yang per-tama yang tidak akan me-nolak di-ajak me-neman aku me-lehat langet merah..]

Tuesday, June 07, 2011

~ PENCEROBOHAN CURIGA ~


KALUT. Laman bual yang bernamakan aku telah diceroboh orang. Menggunakan identiti aku dengan mengaburi penilaian orang lain. Tujuan perlakuannya sangat mencurigakan. Apatah lagi apabila bahasa bualannnya agak memalukan. Kasar, semborono dan turut memberi maksud yang kurang manis yang mungkinnya mampu mempengaruhi penilaian orang lain terhadap aku.

Diam. Mujur sahaja yang dihadapkan dengan pencerobohan ini adalah sahabat yang punya radar yang mampu untuk menghidu benarnya aku. Lalu aku terhindar dari penilaian semborno yang menakutkan. Bagaimana kalau ia dihadap kepada seseorang yang kurang jelas tentang aku? Pasti sahaja aku ditimbang dengan hal-hal yang bertentangan.

Namun, apabila mengenangkan isi perbualan sang penceroboh itu, aku tetap merasa malu. Hal-hal yang aku anggapkan sebagai kurang ajar kerana ia adalah hal yang menyentuh soal reputasi dan maruah diri. Mungkin bunyinya seperti keterlaluan apabila aku menjurus sehingga ke situ, namun kalau ditanya tentang perasaan, begitulah yang dirasa aku.

Apatah lagi tindak sang penceroboh itu sepertinya mengenal aku. Penciriannya dekat dan hampir tepat sekaligus mampu meyakinkan orang lain tentang kejelasan aku. Sungguh-sungguh menguis curiga.

Untuk sang penceroboh itu, aku ingin bertanyakan soalan maha mudah. Apa tujuan perlakuan demikian itu? Apa ada hal yang tidak terselesai pernah ada antara kami? Atau segala tidak tersengaja dengan niat? Mudah-mudahan mendapat petunjuk.

[Rasa ter-calar]

Monday, June 06, 2011

~ SEHINGGA AWAL PAGI ~


MEMINJAM bahu kepada seorang teman. Luah rasa yang membuat aku dihambat rasa serba salah yang melimpah banyak. Manakan tidak, keduanya sahabat. Saling aku kenali hati budinya. Lalu untuk menjadi orang tengah yang mengadili adalah suatu hal yang amat-amat tidak terlakukan aku.

"Orang muslim yang mendoakan temannya secara diam-diam, akan disambut malaikat dengan berkata: Semoga untukmu juga.." (Hadis Riwayat Muslim)

[Muhon aku men-jadi sang yang mengerti..]

Sunday, June 05, 2011

~ MENUNGGU KEBERANIAN ~


LANGIT merah di bumi Hang Tuah. Soal hati menjadi taruhan. Kali ini aku banyak mengangguk. Lelah dengan hal-hal gelisah yang membuat singgah.

Benar kata teman jiwa, keberanian perlu ada. Pengorbanan juga tidak terkecuali. Lalu semuanya menunggu aku memilih. Dan ia mungkin bukan mengikut mahu...

[Mem-buat resah]

Saturday, June 04, 2011

~ TERLANJUR MENCINTAIMU ~



TAJUK : Terlanjur Mencintaimu
KARYA : Syamnuriezmil
CETAKAN : Pertama (Mac 2011)
PENERBIT : Karya Seni Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 441
HARGA : RM18.00

“Cinta itu mudah datang kepada sesiapa yang bersedia menerima cinta..”


[Dan hilang juga..]

Friday, June 03, 2011

~ KESANGGUPAN ~


ISUNYA nampak remeh dan kecil, tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu. Bukan soal nilai sesuatu itu, bukan juga soal pilihan sesuatu itu.... tetapi soal kesanggupan. Itu yang mungkin dia tidak mengerti.

Kalau untuk hal semudah itu hatinya terlalu berat (kerana kepentingannya) atau perasaannya terlalu berkira (kerana keperluannya).. Bagaimana pula kalau hal selain itu? Aku cuma membayangkan, kalau untuk hanya hal sekecil itu pertimbangannya setinggi langit, bagaimana pula dengan hal besar yang membuat tuntut??? Bagaimana yaaa dia akan membuat pertimbangan...

Dan, sekali lagi ingin aku katakan... ia sebenarnya bukan soal nilai atau kepentingan sesuatu itu, tetapi ia lebih kepada soal kesanggupan kita terhadap sesuatu itu.

Lalu aku terimbas dialog tulisan Miera Mustaffa di dalam karya 'Nur Kasih' nya. Ia tentang kesanggupan kita memberikan sesuatu yang kita sayang kepada kepada orang lain. Kesanggupan yang menyaksikan kerelaan kita terhadap sesuatu itulah yang menjadi besar di situ.

[Dan ia sebenar-nya bukan tentang baju...]

Thursday, June 02, 2011

~ YANG REMEH TEMEH ~


MALAM tadi, aku tersadai di tepi lebuh raya persekutuan berhampiran bangunan KWSP, Petaling Jaya. Gagal untuk meneruskan pemanduan dan perjalanan kerana segala sesuatu yang melintas di depan mata menjadi lebih daripada satu.

Sejak petang lagi aku mendapat sakit kepala yang tiba-tiba. Mencengkam keras. Berputar segala apa yang lalu di depan mata. Lalu, tepat jam enam aku bercadang mahu pulang terus. Namun terpaksa memutus untuk mengambil sedikit masa berehat di lantai pekerjaan dengan harapan ia berkurang.

Rakan pekerjaan yang menyedari hal itu bersungguh mahu membantu menghantarku pulang ke rumah. Namun segan pula mahu menyusahkan dia meredah sesak jalan raya yang panjang untuk ke bandar bunga tanjung. Lainlah dia sahabat dekat yang sudah terbiasa mengerti.

Kurang lebih jam 8, aku memulakan perjalanan. Namun akhirnya memutus untuk berhenti di tepi lebuh raya kerana gagal meneruskan pemanduan dengan baik. Lalu, tersadai aku di depan bangunan KWSP itu kurang lebih 1 jam setengah. Malah sempat terlelap menahan cengkaman.

Mujur saat awal pagi ini, setelah meletak lena yang panjang malam tadi... aku kembali segar dengan energi yang baharu. Memulakan hari baharu dengan semangat yang cukup segar. Mudah-mudahan tiada bahasa atau hal-hal yang menyakiti sepanjang hari ini. Aminn..

[Men-jadi ber-dikari..]

Wednesday, June 01, 2011

~ AWAK DAN SAYA ~


LUCU. Hanya kerana 'awak-saya', aku dibaca bertentang. Begitu dan begini mengikut penafsiran mereka. Pun begitu, ia tidak aku kisahkan dan terpulang mereka untuk melihat bagaimana.

OK. Pada kamu yang mengenali, tentu sahaja tahu aku ber'awak-saya' dengan hampir semua kenalan. Ia terbiasa dan bukan sengaja dibuat-buat atas dasar kebezaan status seseorang itu kepada aku. Sejak dari kecil, perkataan 'aku' itu agak asing untuk kami gunakan sebagai pengganti diri walaupun bunyinya mungkin dianggap lebih mesra pada sesetengah orang.

Ia terbawa sehingga ke zaman uni. Uni di tengah kota besar menyaksikan ramai yang ber'kau-aku' dan ber'i-you. Namun, aku masih ber'awak-saya' dengan semua mereka yang menjadi kenalan lalu dianggap budak lurus dan naif. Yaa.. hanya kerana ber'awak-saya'.

Apapun, yang menjadi lucu apabila seorang sahabatku yang asalnya Melaka, yang terkenal sekali dengan 'gaya' bahasa mereka yang 'begitu' turut ber'awak-saya' denganku. Mendengar itu, dia diejek teman-temannya yang merasa amat canggung sekali mendengar itu. Disangkanya aku punya hal istimewa dengan sahabat ini kerana 'awak-saya' itu. Agaknya, orang-orang di sini, dibandar besar ini tidak biasa ber'awak-saya' kerana ia dianggap panggilan yang lurus.

Hari ini, meski telah memasuki alam pekerjaan dan bergaul dengan segala macam manusia dari segala bentuk latar belakang, aku masih selesa ber'awak-saya'. Dengan rakan kenalan baharu, rakan sepekerjaan, malah dengan sahabat dekat juga... itulah kata ganti diri yang lekat. Kata ganti yang bagiku begitu manis bersekali dengan rasa hormat. Hanya satu-dua orang yang 'tergelincir' kerana 'ketebalan' pengaruh mereka sukar ditembusi.

Beberapa minggu ini, atau kurang lebih sebulan yang lalu, aku berdepan masalah kerana 'awak-saya' ini. Manakan tidak, ada pula seorang teman yang sudah menyalah tafsir 'awak-saya' aku itu. Dia baharu mengenali dan mungkin tidak begitu tahu bagaimana aku. Mungkin aku satu-satunya rakan yang ber'awak-saya' dengannya, maka dia sudah membaca lain. Dia merasa istimewa dan seperti terasa aku mengistimewakannya kerana 'awak-saya' itu. Lucu. Begitu pula jadinya.

Dia menjadi lain dan sangat orang lain. Jatuh segan denganku, malah melayanku lebih dari layanan kepada yang lainnya. Pelik benar dia menerima 'awak-saya' aku itu. Lalu sejak itu, ia menjadi hal yang cukup meletihkan.

Dan aku masih ber'awak saya'.

[Bukan kerana luros..]