Wednesday, May 11, 2011

~ DAN... JANJI ITU... ~.



RESAH menunggukan 14 mei ini. Beberapa hal berat sedang menanti pada tarikh itu. Entah bagaimana nanti, harus aku berkejaran melunaskan janji-janji untuk mereka semua.

Pada tarikh itu, seawal jam 6.30 pagi aku harus berada di lokasi perlu untuk satu acara berat berkait urus pekerjaan yang telah sekian lama dirancang atur. Lebih separuh hari aku perlu berada di situ melepas kudrat yang sekerat ini yang entahkan tertanggung entahkan tidak. Tidak terbayangkan. Namun itu tanggungjawab yang harus aku anggukkan. Tidak dapat tidak.

Seusai itu pula, aku perlu berkejaran dengan janji sahabat mei di lokasi yang berbeza. Biar agak terhimpit waktu, janji yang satu ini tidak akan aku biarkan untuk gagal. Hari besarnya dan aku tidak akan lepas untuk turut menjadi saksi.. Justeru, biar lelah mengasak keras, permintaan sahabat dekat yang seorang itu akan aku usahakan.

Dan menjadi kebetulan pula selepas itu, aku harus memandu pulang ke pantai timur semenanjung tanah air selama lima jam tanpa henti untuk berada di sisi ibu yang akan menjalani pembedahan pada petang hari keesokannya. Dan berita itu baharu diketahui petang hari semalam. Kakak menekan tanpa perbincangan yang wajar dan aku terhimpit dengan kata dua yang mengguris.

Dan... tanpa mahu membuat tegang, aku mengangguk sahaja dengan segala apa yang diaturkan kakak. Begitulah aku yang tidak akan bersoal-soal panjang untuk berdiri. Tidak mahu berjelas-jelas walaupun terkadang apa yang dimahukan mereka itu membuat berat padaku untuk mengangguk. Ermm..

Justeru, sabtu ini aku akan cuba untuk berkejaran melunaskan semua itu tanpa gagal. Semuanya pada 24 jam yang ada pada 14 Mei itu.

[Entah...]

No comments: