Saturday, May 07, 2011

~ AL-FATIHAH ~

HARI ini, 7 Mei 2011... aku menerima dua berita besar yang sama sekali bertentangan kesan perasaannya. Perkhabaran hiba dan perkhabaran bahagia. Ia datangnya dari dua sahabat yang sangat dekat kepadaku. Berita yang membuatkan aku terdiam, senyap dan menadah tangan memohon doa dari-NYA yang maha mengetahui segala-galanya.

Jam 10.31 pagi tadi, sahabat june menghantar khabar, satu-satunya abang yang dia miliki telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi. Terpempan aku mendengar berita yang langsungnya tidak terjangka itu. Yaa Tuhan.. bagaimana agaknya keadaan sahabat yang seorang itu menerima semua ini. Apatah lagi ia hanya berselang beberapa bulan selepas pemergian arwah ayahanda pada 2 Syawal yang lalu. Sunguh-sungguh aku mendoakan agar sahabat dekat ini tabah, kuat dan tidak putus sabarnya. Ya Allah, Ya Tuhanku.. aku benar-benar maksudkan itu. Salam takziah dari aku dan seisi keluarga, juga hadiah al-fatihah untuk arwah abang. Mudah-mudahan roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Aminn..

Dalam hiba dan sayu aku mengenang-ngenang situasi dan keadaan sahabat june itu, aku turut didatangkan perkhabaran yang sama sekali bertentangan daripada sahabat mei. Juga sahabat dekat yang aku tumpahkan setia dan percaya yang banyak. Khabar bahagia tentang penetapan hari besarnya yang akhirnya telah diputuskan tarikhnya. Hari besar yang akan menghujungkan segala permainan dugaan buatnya selama ini. Alhamdulillah, akhirnya dia memiliki apa sepatutnya menjadi kebahagiannya. Paling tidak tersangka, aku antara yang terbilang jari yang dipilihnya untuk hari besar itu.

Sepanjang malam ini, aku tidak putus memanjangkan doa buat dua sahabat ini. Mudah-mudahannya keduanya melalui ketentuan takdir ini dengan berlapang dada. Insya-Allah, aku akan sentiasa ada sebagai sahabat. Dan sungguh, aku maksudkan itu.

[Al-Fatihah...]

No comments: