Tuesday, May 31, 2011

~ DAN MENGERTILAH AKU... ~


'takkan cmtu pon nak suh org gi kot'

Aku renung lama kata-kata itu, sehingga hari ini. Dan... aku tidak meminta apa, melainkan pengertian.

[Ia saperti selalu, sangat saperti yang di-duga..]

Monday, May 30, 2011

~ DAN LIMA TAHUN PEMERGIAN ITU... ~


DAN 30 Mei pada hari ini, genap lima tahun pemergiaan abadi seorang sahabat dekat yang sangat berbudi dalam seluruh hidupku sepanjang mengenalinya, Dr Jiwa. Mudah-mudahan arwah tenang bersemadi di sana dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Meski lima tahun berlalu, ingatan dan memori bersama arwah masih jelas dan lekat. Seperti segalanya berlaku semalam.

Mencari ibu arwah pada tarikh ini juga sudah menjadi kemestian sejak lima tahun lalu. Bukan mahu mengingatkan dia tentang hal kehilangan itu, cuma mahu memberitahu aku masih berkongsi tentang rasa-rasa itu.

Untuk ibu itu, aku masih ada di sini memegang janji. Sentiasa ada bila masa kala perlu selagi hayat di kandung badan.

Segala budi yang terhutang, tetap terhutang. Tiada umpamanya mampu kubalas, hanya doa kesejahteraan untuk arwah di sana. Aminn..

[Kamu tetap sahabat yang ter-sanjong... Al-Fatihah..]

Sunday, May 29, 2011

~ MASKARA 27 @ RUMAH PENA ~

Paradoks Band



Saudara Mohamad Farez

Saudara Vovin

Saudara Meor & Society


Acid Hadi


Rayza Mukmin


Saudara Mat Jan

MESKI beratur janji lain yang harus aku lunaskan, kesempatan untuk duduk berlaga lutut menyaksikan persembahan Maskara 27 di Rumah Pena, tentu sahaja tidak aku tinggalkan. Lalu, aku masih belum gagal untuk menyertai mereka mendengar dan menikmati naskah-naskah serta karya segar yang dilontarkan mereka.

Lamaaaaaa.... aku tidak nampak kelibat saudara Meor (Meor Yusof Aziddin Meor Hassan) membuat persembahan di acara Maskara ini. Kali ini dia muncul. Tetapi tidak lagi berseorangan kerana bersamanya muncul seorang anak gadis yang mencuri perhatian banyak orang dan juga seorang lagi rakan yang menyumbang banyak. Awalnya aku merasa pelik, kenapa saudara Meor muncul dengan gadis ini sedang dia sendiri mampu tegap dengan sendirian. Tentu-tentu juga suara lelakinya itu banyak memikat perasaan mereka di luar sana. Namun sebaik anak gadis ini membuka mulut dan melontarkan suaranya untuk lagu Jalan, Berani Bercinta dan Emas Bertahta Permata, mudah pula kami ni larut dalam alunannya. Persis bakat dari dari negara seberang suaranya membuat lekat. Aku mendengar baik.

Paradoks Band juga tidak terkalah. Pertama kali aku melihat persembahan mereka. Dan aku terbuai dengan lagu Sketsa. Indah liriknya dan menarik juga persembahannya. Mungkin mereka harus diberikan peluang untuk bergerak di arus perdana. Begitu juga dengan Acid Hadi yang punya kelebihannya yang tersendiri.

Antara lain yang turut membuat persembahan adalah Rayza Mukmin, Fahmie Freakmie dan Mohamad Farez. Tidak ketinggalan juga saudara Vovin (Misteri dengan Karipap Karipap Cinta) dan saudara Mat Jan yang berkongsi sebahagian tulisan dalam buku-buku terbitan Sindiket Sol-Jah.

Terlihat kelibat Marini Rafar. Mengharapkan dia turut membaca naskah, namun sehingga usai Maskara, dia hanya mengusung kameranya sahaja. Kecewa. Mudahan-mudahan Maskara 28 pada bulan Julai nanti, dia turut melantunkan rasanya.

Tahniah untuk sang Sindiket Sol-Jah atas usaha berterusan. Terima kasih juga kerana memberi ruang dan kesempatan begini kepada kami pecinta naskah-naskah luar biasa.

[Tunggu Nasha Aziz mem-bacha naskah di-Maskara..]

Saturday, May 28, 2011

~ PELUKAN CINTA ~


TAJUK : Pelukan Cinta
KARYA : Amisha Dania
CETAKAN : Pertama (Mac 2011)
PENERBIT : Kaki Novel Enterprise
HALAMAN : 401
HARGA : RM17


“Jika cinta tidak kesampaian, akan kuusung jiwa pasrah ini hingga ke akhir perjalanan. Jika jodoh kita ada, akan ku junjung cinta kita hingga ke akhir kehidupan…”


[Menunggu di-simpang..]

Friday, May 27, 2011

~ LEBIH JELAS ~


DEDIKASI khas untuk seorang sahabat yang sudi bersusah payah menyampaikan misi bantuan. Terima kasih kerana tidak pernah menakutkan aku. Dan aku jelas.

[Senang bagi kamu, mungkin susah amat untok aku..]

Thursday, May 26, 2011

~ GAGAL PADA MANFAAT ~


AKU dihubungi sahabat mei petang hari semalam. Berkongsi hasratnya yang mahu menyumbang bahan bacaan kepada sekumpulan anak-anak yang tidak bernasib baik. Dia menutur cadangan dan aku besar hati untuk membantu serta.

Kala jari-jari bercerita di sini, aku sedang menggeledah isi bilik mencari bahan-bahan bacaan munasabah untuk dikongsikan dengan anak-anak itu. Hampir tiga jam, ia tidak begitu berhasil baik. Betapa aku sangat kekurangan bahan bacaan yang bermanfaat atau bersesuaian untuk dikongsikan.

Menoleh ke kanan, puluhan novel-novel 'kosong' yang memenuhi rak. Disebelahnya pula bersusun buku-buku antalogi puisi yang tidak relevan. Berbundle-bundle majalah lawak Ujang memenuh separuh ruang, tidak juga ketinggalan puluhan komik-komik hiburan yang bersusun cantik di sisi.

Ermmm... Betapa bahan bermanfaat itu sangat kurang bersama aku selama ini rupa-rupanya. Lalu bagaimana mahu menyumbang untuk hal-hal yang positif.

[Apa aku juga jauh dari hal-hal yang positif..]

Wednesday, May 25, 2011

~ LIMA ~


AKU melihat angka 50,000 tertera pada jumlah hit ruang ini diawal pagi tadi. Angka yang bersamaan dengan usia lima tahun aku membuka lembar ini.

Yaa... 7 Mei lalu, genap lima tahun jari jariku bercerita secara terbuka di ruang ini. Berkongsi tentang aku dengan kamu di luar sana tanpa kita saling mengenali. Usah terkuis curiga, kerana jari-jari ini bercerita sekadar untuk melepas rasa hati dan ia tidak pernah lebih dari itu.

Mudah-mudahan ada yang terpinjam. Ketepikan yang jauh dari pertimbangan.

[Anak kechil lima tahon itu sudah tau mem-beza benar.. me-nutor bacha dengan jelas...]

~ BERPUTAR TANPA HENTI ~


PENAT. Bukan kerana hal-hal energi yang membuat aku tersadai senyap, tetapi penat kerana fikiran yang berputar tanpa henti membuat gelisah. Sepanjang hari semalam dalam situasi yang begitu.

Sebaik tiba di rumah, terus sahaja aku meletak lena. Senyap dibuai mimpi kosong sehingga ke pagi. Namun, sebaik membuka mata isi perut bergeladangan. Belum diisi sejak tengahari Isnin rupa-rupanya. Sekadar semangkuk ABC yang terjamah pada siang hari semalam.

Lupa. Lelah menutup segala.

[Penat minda..]

Tuesday, May 24, 2011

~ DAN KAMU BONDA ~



DAN KAMU BONDA…

Bonda I

Sayu melihat kamu
Lemah, sugul dan senyap
Ketakutan itu jelas pada kamu
Dan berganda pada aku

Kamu senyum
Senyum yang paling manis untuk aku
Seolah menutur pesan
Jauhi gusar dari hati

Tenang-tenang sahaja

Kenyataan itu pahit
Porak peranda kami melalui hari
Degup kencang membuat resah
Tidak berhenti..
Mengacah lelah

Doa…
Itu paling awal dan paling akhir juga
Mohon Yang Di Atas Sana mengerti
Mampu sediakah kami…

Bonda II

Sayu mendengar khabar kamu
Ketakutan, kekejutan, kehilangan
Hiba aku mengenangkan segala itu
Dan berganda pada kamu

Kamu pasrah..
Redha atas ketentuan takdir itu
Sungguh berat kehilangan
Satu-satunya sang putera
Pendokong harap
Yang mengiringmu ke pusara
Namun, ia terjadi sebaliknya

Kenyataan itu pahit
Tidak terbayangkan pecah hati kamu
Tangisnya umpama langit tumpah
Pilu tak tertanggung
Kamu telan dan hadam
Tanpa sedikit keluh dipertonton…

Doa…
Itu paling awal dan paling akhir juga
Moga tabah kamu itu tidak hanya di luar.
Dan.. hanya Tuhan yang maha mengetahui..


[Doa kesejahteraan untok seluroh bonda..]

Monday, May 23, 2011

~ PERPISAHAN ~


KALAU aku ini hilang pertimbangan dan kewarasan diri, tentu sahaja aku sudah memeluk erat sosok lelaki kurus tinggi itu. Pelukan tanda perpisahan yang pasti amat akan memberi kerinduan yang bukan sedikit.

Siang hari semalam, dia terbang jauh ke benua Eropah sana. Meski kami masih boleh berhubungan dengan pelbagai cara, namun ketiadaannya di sini tentu sekali memberi beza yang cukup besar. Benar-benar rasa hilang. Apatah lagi perpisahan ini dibikin dengan kejutan yang begitu rupa.

Aku tidak diberitahu jelas tentang pemergian BR ini, sahabat yang sering sahaja namanya aku sebutkan di ruang ini sebelum ini. Sahabat yang menjadi tempat aku meminjamkan bahu kala dalam kekacauan emosi. Ermm... Ia disengajakan untuk memberi kejutan kepadaku. Itu menurutnya yang tentunya sedikit menyakitkan hatiku.

Saat pertemuan terakhir di KLIA siang hari semalam juga memberi kesempatan pertama buatku berkenalan dengan keluarganya sepanjang kami bersahabat. Entah apa yang ada di fikiran ibunya, namun ia seperti dapat ku baca apabila dia seperti ingin mengenalku dekat. Dan aku menjadi bisu seperti selalu. Sangat gagal.

Pertemuan terakhir siang hari semalam itu sangat menyentuh rasa. Seperti dia memelukku erat dengan hatinya. Lalu, saat salam perpisahan itu dihulur, rasa yang di dalam sana pecah seribu. Basahnya hati seperti langit baharu sahaja tumpah .

AKU: Rasa hilang sangat2..
S: Sedih mengalahkan hilang boyfriend sendiri kenapa?


[Nilai per-sahabatan itu jauhhhhhhhhhhh tinggi dari segala-2 nya..]

Sunday, May 22, 2011

~ AL FATIHAH ~


AL FATIHAH dan salam takziah untuk mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh yang menimpa Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Cheras. Tragedi yang menyayat hati ini telah mengorbankan 16 nyawa.

Sama-samalah kita mendoakan agar keluarga yang terlibat tabah dan bersabar dengan ujian yang diterima. Juga mohon dihadiahkan Al-Fatihah buat anak-anak yang terkorban. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para syuhadah. Aminnn..

[Mudah-2an tragedi ini men-jadi per-ingatan ter-besar buat kita semua tentang hal-2 tidak ter-jangka-kan yang di-rencana Tuhan...]

~ TRAGEDI TANAH RUNTUH RUMAH ANAK YATIM ~

(Kredit Foto: www.mstar.com.my, www.bharian.com.my dan www.utusan.com.my)

NEGARA dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh yang menimpa Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di, Felda Semungkis, Batu 14, Cheras, jam 2.30 petang tadi.

Menurut laporan berita, tanah runtuh itu telah menimbus dan meranapkan hampir keseluruhan rumah anak yatim yang telah dibina lebih 10 tahun itu. Lebih membuat hiba apabila kurang lebih 29 orang penghuni yang terdiri daripada anak-anak berusia 8 hingga 17 tahun serta penjaga rumah berkenaan tertimbus dalam dan runtuhan itu.

Sehingga saat ini, operasi menyelamat masih diteruskan. Al-fatihah untuk anak-anak yang terkorban dan doa kesejahteraan untuk mereka yang terselamat daripada tragedi yang menyayat hati ini.

Untuk berita lanjut, ikuti laporannya di akhbar-akhbar utama.

[Al-Fatihah...]

Saturday, May 21, 2011

~ HANTARA KASIH TUHAN ~


TAJUK : Hantaran Kasih Tuhan
KARYA : Noor Fadzillah Omar
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : PTS Litera Sdn Bhd
HALAMAN : 531
HARGA : RM20.00


“Hantaran Kasih Tuhan benar-benar sebuah cerita yang sarat dengan sifat Islamiknya. Membawa pesan moral, kecintaan, inspirasi, makna hidup beragama dan hikmah bermanfaat dijadikan acuan landasan hidup…”
– Abd Latip Talib, Penuklis Novel Sejarah Islam.


[Menunggu hantaran hati...]

Friday, May 20, 2011

~ BILA BUDI DITIMBANG KATI ~



HUJAN renyai-renyai. Banyak benda yang sedang berlegar dalam kepala. Dan memang, kesenyapan itu lebih nyaring andai boleh di dengar.

Menyinggah di kawasan kediaman lama. Banyak cerita. Ermmm.. sudah genap setahun kami meninggalkan jejak. Tidak banyak lainnya walaupun banyak hal lain yang telah menjadi lain.

Kereta kehabisan minyak, lalu aku membelok ke stesen minyak berdekatan. Dan... Tayar kereta bermasalah. Menggeleng-gelengkan kepala. Perjalanan ke rumah masih jauh, masih separuh perjalanan lagi. Dan malam menuju larut. Habislah aku!

Terkial-kial aku cuba melakukannya sendiri. Gagal. OK aku tahu ia adalah hal yang paling mudah. Namun mudah buat kamu, tidak bererti mudah buat aku. Dua kali percubaan dan masih gagal. Ada yang namanya lelaki kebetulan berada di situ mahu menghulur bantu. Namun tingkahnya sangat mencurigakan. Aku tidak berani memperjudi. Senyum sahaja dan terus berlalu pergi.

Perlahan-lahan unta hitam bergerak menuju ke sebuah lagi stesen minyak. Aku memerhati kiri dan kanan. Sedang mahu turun dengan tujuan yang serupa, ada beberapa 'makhluk' Tuhan yang mengacah, dan aku membatalkan hasrat. Ermmm...

"OK, kurang lebih 10 minit saya sampai."

Seorang rakan yang langsung tidak ada kaitan dalam segala cerita hidup sudi untuk membantu. Aku rasa dia tidak mengharap sesuatu untuk itu.

[Spaghetti langet merah...]

Thursday, May 19, 2011

~ DEGUP KENCANG ~


MATA masih belum mahu lelap. Risau tentang temujanji ibu dengan sang doktor esok pagi. Berkali-kali aku menghubungi adik bertanyakan tentang hal itu. Berkali-kali juga dia menjelaskan hal yang sama. Esok, janjinya untuk melaporkan hal setiap minit kepadaku. Namun janji itu tetap tidak mampu untuk meredakan kegelisahanku.

Aku termangu-mangu dengan senaskah novel yang baharu dibeli... 'Hantaran Kasih Tuhan'. Beberapa hari buku itu tersadai tanpa di usik. Membelek-belek, namun tidak ada rasa untuk membaca isi dalamnya.

Skrin telefon bimbit menyala. Nama sahabat mei tertera. Skrin layar komputer juga berkelip-kelip. Nama seorang sahabat juga turut muncul. Serentak. Aku membawa telefon bimbit ke meja komputer.

Jika semalam aku didengar, kali ini giliran aku untuk mendengar. Berselang-selang antara msg di telefon bimbit dan msg di ruang FB. Dua orang yang berbeza dan dua kisah yang berbeza. Aku tidak menilai, aku hanya cuba untuk memahami. Hal-hal kehidupan yang tidak terjangkakan. Sekali lagi aku diamanahkan dengan hal-hal rahsia. Aku angguk. Mudah-mudahan Tuhan selamatkan aku.

Jarum jam bulat merah yang melekat di dinding kosong bilik aku tatap. Ia menunjuk nombor 3.30 pagi. Tepat. Sedang mata masih terbuka luas. Hati tetap juga mahu berdegup kencang. Ermmm..

[Rahsia demi rahsia..]

Wednesday, May 18, 2011

~ SECAWAN COFFEE LAGI ~


MENGHIRUP secawan coffee bersama sahabat yang namanya BR dari jam 8.00 malam sehingga jam hampir 2 pagi. Tiada ada yang berat, sekadar bual kosong tentang seharian aku yang berselirat serabut seminggu dua terkebelakang ini. Dan dia mengerti.

[Siang hari ini ada-lah hari yang berat buat-ku. Dan aku menunggu itu...]

Tuesday, May 17, 2011

~ TERLALU BUKAN AKU ~


JIKA kamu mengenali aku secara realiti di luar sana, aku tidak akan pernah mampu bercerita sepetah di sini. Tidak akan pernah mampu berkongsi segala hal dengan begitu mudah seperti mudahnya jari-jari ini bercerita di sini.

Makanya ruang ini menjadi medium yang paling ku harapkan untuk melepaskan hal-hal yang di tanggung di dalam sana yang tidak terluahkan dengan tutur kata. Yang tidak terkongsi dengan sesiapa yang aku kenali secara realiti.

Untuk tahu kamu, ruang ini hanya terkongsi kamu... dan ia tidak terhidu sesiapapun dari dunia sebenar aku. Kecuali sahabat yang mamanya Dhani dan si aqua. Itu yang aku harapkan supaya aku bebas bercerita, melepas segala rasa tanpa ada satu kekangan.

Namun, beberapa jam tadi seseorang dari dunia sebenar telah membuat aku berada dalam situasi kegusaran. Seolahnya dia menghidu aku di sini. Ia seperti tidak mungkin. Tetapi... andai benar terjadi itu, kamu mungkin tidak akan melihat aku berpetah-petah lagi di sini. Ermm..

Ini kerana mereka yang dekat-dekat di keliling tidak boleh menghidu aku di sini. Tidak boleh terlalu tahu tentang aku. Bukan sahaja teman jiwa... tetapi sesiapa sahaja yang mengenaliku dari dunia realiti.

Mudah-mudahan, apa yang sedang bermain di kepalaku saat ini tidak benar. Mohon mereka itu tidak menghidu aku di sini. Mohon aku yang salah menanggap.

[Apa yang di-tutor-kan itu, ter-lalu bukan aku !!! Itu-lah yang mem-buat aku mula meragu..]

Monday, May 16, 2011

~ BERDIRI UNTUK MEREKA.. ~


SUNGGUH. Perbualan ringkas dengan sahabat june ketika makan tengahari jumaat lalu amat membekas dalam. Lekat terus di dalam kepala sehingga saat jari-jari ini bercerita di sini.

Sahabat dekat ini berkongsi tentang hal-hal hiba yang dilaluinya bersama keluarga saat pemergian arwah abang tempohari. Aku mendengar tekun. Lekat di dalam hati sebenarnya, namun tidak aku tunjukkan kepada sahabat ini tentang getar yang menjalar saat dia tuturkan rentetan peristiwa itu.

Aku malah memberi senyum, sesekali melepas tawa dan berselang hujah sepanjang penceritaannya. Sebenarnya tingkah itu hanya untuk menutup kegusaran yang bersarang di jiwa. Mahu menyembunyi betapa hati aku tersentuh dengan babak-babak yang diceritakan itu. Betapa aku mengkagumi ketabahan ibu sahabat ini.. malah kekuatan dan kekentalan hati sahabat ini sendiri saat berdepan pemergian itu. Malah.... getar juga kerana membayangkan andai ibu yang aku cintai itu yang berada di situasi itu dan andai aku yang berdiri meratap takdir itu.

Mengimbas cerita pagi Sabtu lalu itu, sebaik menerima berita sedih kehilangan abang itu, aku sedaya cuba untuk memberi semangat kepada sahabat ini. Walaupun pada hakikatnya aku tidak tahu mencari perkataan terbaik untuk tujuan itu. Malah aku tidak tahu bagaimana mahu menghulur bantu. Yang aku tahu, aku tidak mahu melihat sahabat itu tenggelam dalam emosi keras yang memudaratkan.

Meski aku tidak tahu apa yang ada dalam hati sahabat ini, tidak juga perasaan yang sedang ibunya rasai, namun aku sangat yakin diri ini mengerti kehilangan yang mereka rasai. Dan itu sungguh.

Sebenarnya, dalam ketika yang sama saat berita hiba yang dikhabarkan sahabat june itu, kami sekeluarga juga sedang berhiba-hiba. Kesihatan ibu yang telah membuat gusar. Lalu, bertebaran resah memporak-perandakan seluruh kami. Betapa kami takut mendepani segala yang menakut-nakutkan itu.

Aku menyimpan senyap ketakutan itu di dalam hati. Malu untuk berkongsi cerita dengan sahabat june kerana hal kehilangan yang dia lalui bersama keluarganya jauhhhhhhh lebih berat dan hebat berbanding yang dilalui kami. Betapa aku berlagak tenang di depannya. Menutur nasihat dan kata semangat agar dia tabah mendepani takdir itu. Sedang pada hakikat, sahabat itu jauhhhh lebih besar jiwanya daripada yang aku miliki. Jauhhhhh lebih tenang mendepani hakikat kehidupan berbanding aku yang sentiasa bergelisah ditakutkan takdir. Yaa.. Tuhan hanya kamu yang lebih mengerti.

Andai 'kehilangan' itu benar dilalui kami... entah bagaimana keadaannya nanti. Aku terkenang saat 'jantung ayah berhenti' beberapa ketika dua tahun lepas. Ibu jatuh pengsan, kakak meratap sehabis daya, adik meraung tidak terjangkau warasnya, juga adik lelaki nakal yang sering membuat helah itu juga menangis sekuat hati... Dan... usah kamu tanyakan tentang keadaan aku.

Apabila bayangan itu yang dihantar Tuhan kepada kami, aku menjadi sangat takut. Lalu sejak kejadian itu, aku berjanji pada diri untuk menjadi kuat hati... kuat perasaan. Aku berjanji untuk tidak menyertai kakak atau adik yang akan meratap dan menolak ketetapan dengan begitu parah. Sebaliknya aku mahu menjadi orang yang mampu memberi bahu untuk mereka sandarkan rasa. Mahu menjadi orang yang mampu mereka gantungkan harapan. Mahu menjadi orang yang mampu memberikan mereka semangat serta memulih 'kerosakan' itu. Aku berjanji... dan aku sangat sedang berusaha ke arah itu.

Benar, sehingga umur ini.. kami adik beradik belum lagi diuji Tuhan dengan kehilangan insan-insan terdekat. Justeru, aku tidak pernah berdepan situasi yang seumpamanya. Dan kata-kata sahabat june tempohari (walaupun aku menyambutnya dengan senyum kecil) lekat terus di dalam kepala.. 'Tuhan masih belum menguji kami... kerana Dia tahu kami belum mampu mendepani hal-hal serupa itu..'.

[Mahu men-jadi sa-kuat itu juga...]

Sunday, May 15, 2011

~ AKU YANG KAU TINGGALKAN ~


TAJUK : Aku Yang Kau Tinggalkan
KARYA : Alina Haizar
CETAKAN : Pertama (Februari 2011)
PENERBIT : Kaki Novel Enterprise
HALAMAN : 759
HARGA : RM25.00

“Cinta Datang Tanpa Disedari… Walaupun Ditinggalkan, Cinta Tetap Bersemadi Di Dalam Hati..”


[Tidak perenah mau padam..]

Saturday, May 14, 2011

~ SELAMAT ULANG TAHUN TAURUS ~

Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu..
Allah Selamatkan Sahabat Mei
Allah Selamatkan Kamu...

SELAMAT hari ulangtahun kelahiran buat sahabat dekat yang seorang ini. Mudah-mudahan dipermudahkan jalan kehidupannya dan sentiasa dalam restu dan perlindungan yang di atas Sana. Dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur hendaknya.

Sahabat ini merencana dengan baik sekali, namun Tuhan adalah sebaik-baik perencana. Justeru, segala apa yang berlaku pada hari ini, ada sebab dan musabab yang tentunya hanya Dia sahaja yang tahu. Mudah-mudahan dia menerima perancangan yang telah ditetapkan ini dengan berlapang dada.

Ermmm... Dia sudah menjadi anak yang baik, adik dan kakak yang baik. Juga sahabat dan rakan yang baik... Justeru, aku percaya yang baik-baik itu pasti tidak akan meninggalkan dia jauh. Semuanya itu akan datang kepadanya memberi bahagia... insyaAllah.

[Sudah ter-tules bukan hari ini...]

Friday, May 13, 2011

~ DAN ENTAH... ~


BERAT badan naik! Gara-gara itu, rakan-rakan sepekerjaan yang terlalu sensitif dengan soal itu berharian mengatur diet. Sarapan tidak mahu, makan tengahari tidak terjamah. Risau pertambahan berat badan. Uhhhh..

Ermm.. tidak buat aku. Sepanjang umur, tidak pernah ada istilah diet buatku. Makan sahaja mengikut mahu sementelah masih diizinkan dengan kesihatan yang baik tidak terganggu. Itu prinsip mudahku yang mungkin sedikit menjengkelkan pada sesetangah orang barangkali.

Aku sendiri tidak tahu mahu mengukur sama ada berat badanku bertambah atau berkurang, melainkan ditegur rakan-rakan. Di rumah tidak pernah ada penimbang berat. Justeru, aku sendiri tidak tahu kalau bagaimana beratku bertambah atau berkurang. Cumanya aku meneka-neka kalau jam tangan kesayangan aku ini sedikit longgar atau ketat, makanya ada sesuatu yang sedang berlaku.

Sepenuh hari semalam, aku dan rakan-rakan satu pasukan akan berkejaran menguruskan hal-hal 14 ini. Tanpa sempat mahu melunjur kaki, ada sahaja yang menanti urus. Sudahnya kurang lebih jam 2.30 pagi baharulah aku sempat melihat bumbung rumah.

Lelah, hanyut dan larut. Lalu entah bagaimana aku mampu memilih beberapa jenis makanan berat yang jarang menjadi pilihan untuk mengisi perut. Dan... selesai 'semuanya' aku uruskan. Tidak pernah berselera besar begitu seperti mana yang aku lakukan tadi. Lalu berkata seorang rakan pekerjaan.. "Kenapa makan banyak sangat nih...nanti gemuk macam aku!..."

Entah kerana lapar... entah kerana kehabisan energi yang parah... entah kerana risau perihal sahabat mei... entah kerana dada berdegup kencang mendengar pembedahan ibu ditangguhkan kerana tekanan darah ibu luar biasa pada bacaan sang doktor yang memikul tanggungjawab.

Dan entah....

[Mahu makan cokelat... kata mereka cokelat mampu meng-gembira-kan hati...]

Thursday, May 12, 2011

~ SEKALI LAGI.. ~



BARU semalam aku melongsor bicara tentang janjiku memenuh hal indah sahabat mei sabtu ini. Namun, hari ini mendapat perkhabaran sebaliknya. Masih bersambung dugaannya. Apapun, aku yakin Tuhan punya perancangan yang lebih indah untuk sahabat dekat ini pada hari esok.. Aminnn..

[Sa-baek mana kita me-rancang.... ]

Wednesday, May 11, 2011

~ DAN... JANJI ITU... ~.



RESAH menunggukan 14 mei ini. Beberapa hal berat sedang menanti pada tarikh itu. Entah bagaimana nanti, harus aku berkejaran melunaskan janji-janji untuk mereka semua.

Pada tarikh itu, seawal jam 6.30 pagi aku harus berada di lokasi perlu untuk satu acara berat berkait urus pekerjaan yang telah sekian lama dirancang atur. Lebih separuh hari aku perlu berada di situ melepas kudrat yang sekerat ini yang entahkan tertanggung entahkan tidak. Tidak terbayangkan. Namun itu tanggungjawab yang harus aku anggukkan. Tidak dapat tidak.

Seusai itu pula, aku perlu berkejaran dengan janji sahabat mei di lokasi yang berbeza. Biar agak terhimpit waktu, janji yang satu ini tidak akan aku biarkan untuk gagal. Hari besarnya dan aku tidak akan lepas untuk turut menjadi saksi.. Justeru, biar lelah mengasak keras, permintaan sahabat dekat yang seorang itu akan aku usahakan.

Dan menjadi kebetulan pula selepas itu, aku harus memandu pulang ke pantai timur semenanjung tanah air selama lima jam tanpa henti untuk berada di sisi ibu yang akan menjalani pembedahan pada petang hari keesokannya. Dan berita itu baharu diketahui petang hari semalam. Kakak menekan tanpa perbincangan yang wajar dan aku terhimpit dengan kata dua yang mengguris.

Dan... tanpa mahu membuat tegang, aku mengangguk sahaja dengan segala apa yang diaturkan kakak. Begitulah aku yang tidak akan bersoal-soal panjang untuk berdiri. Tidak mahu berjelas-jelas walaupun terkadang apa yang dimahukan mereka itu membuat berat padaku untuk mengangguk. Ermm..

Justeru, sabtu ini aku akan cuba untuk berkejaran melunaskan semua itu tanpa gagal. Semuanya pada 24 jam yang ada pada 14 Mei itu.

[Entah...]

Tuesday, May 10, 2011

~ SELAMAT HARI IBU ~

SEBUAH kasih sayang, cinta, rindu yang tidak terbilang dengan kata, aku dedikasi khas buat ibu-ibu seluruh dunia sempena hari ibu lewat hari kelmarin.

Terutamanya buat ibu yang yang telah memperkenalkan aku kepada dunia, meminjamkan aku dengan rasa kasih sayang yang besar, menyerapkan kemanusiaan tulus dalam jiwa ragaku dan menjadikan aku seorang yang berguna. Seluruh raga, aku persembahkan.

Aku bukan anak manja ibu. Bukan anak yang tahu berbasa-basi memenangi hati ibu sepanjang minit yang ada. Tidak juga yang paling terbaik dimiliki ibu. Cumanya, aku sangat tahu.. aku adalah anak yang palingggg mencintai ibu sepenuh hati.

Terkenang zaman anak-anak yang telah ditinggalkan itu, aku senyum sendiri. Kasih sayang ibu itu membentuk kami demikian rupa. Biar tidak sama pada pembawakan diri, namun kami adik-beradik berkongsi hal yang satu. Hal kasih sayang ibu yang sangat mengikat jiwa kami sehingga ke hari ini.

Justeru, saat ibu terlantar di hospital beberapa minggu lalu disorongkan ke 'terowong' pengimbas itu, kami semua menangis seperti dunia ini telah pecah seribu. Kejadian paling besar yang bersaksi di depan mata. Kami sangat takut melihat itu. Dan sungguh, ibu juga paling takut berdepan saat itu. Meski tidak dia sebutkan perasaannya, kami jelas merasakannya.

Saat kejadian itu, hidup kami porak-peranda. Tanpa ibu begitulah aku, begitulah kakak.. begitulah adik mahupun abang. Dan juga ayah. Ayah menyayangi ibu dengan cara ayah yang tersendiri. Kami tahu itu.

UNTUK UMI, terlalu dekat jarak kita.. tetapi terlalu jauh kedekatan itu membuat rentang. Namun, percayalah, kasih sayang itu tidak akan pernah terpadam walau sesaat. Terima kasih untuk pengajaran hidup itu. Mudah-mudahan Tuhan merahmati umi dengan mengizinkan terus kesihatan buat umi.

Juga UNTUK BONDA yang berada nun jauh di utara semenanjung tanahair. Aku akan sentiasa terhutang dengan kasih sayangmu dan tidak akan pernah memungkiri janji untuk menjadi pengganti kepada cinta hati bonda yang telah pergi meninggalkan bonda. Yaa.. 30 mei ini genap lima tahun pemergiannya... bonda tetap bonda..

Tidak terlupakan juga UNTUK IBU SAHABAT JUNE yang baharu sahaja kehilangan permata hati, aku doakan kesejahteraan yang berpanjangan buatnya. Semoga kekuatan dan ketabahan akan sering membuat teman. Kasih sayangmu itu pasti berbalas rahmat yang panjang. Dan aku tahu, anak-anak yang dikandung ibu ini juga mengerti hal yang serupa.

[Untok seluroh-nya yang ber-gelar ibu... doa kesejahteraan buat kamu....Hanya Tuhan yang dapat mem-balas jasa dan pengorbananmu kepada kami anak-2 yang ter-hutang ini.. aminnn]

Monday, May 09, 2011

~ AL-FATIHAH ~

[Salam takziah dari kami sa-isi keluarga.., mudah-mudahan adik, kakak-2, ibu, isteri dan anak-2 yang arwah abang tinggal-kan, tabah menerima ketentuan ini.. aminnn]

Sunday, May 08, 2011

~ AL FATIHAH ~

[Sa-moga roh-nya di-cucori rahmat dan di-tempat-kan di-kalangan orang-2 yang ber-iman..]

Saturday, May 07, 2011

~ AL-FATIHAH ~

HARI ini, 7 Mei 2011... aku menerima dua berita besar yang sama sekali bertentangan kesan perasaannya. Perkhabaran hiba dan perkhabaran bahagia. Ia datangnya dari dua sahabat yang sangat dekat kepadaku. Berita yang membuatkan aku terdiam, senyap dan menadah tangan memohon doa dari-NYA yang maha mengetahui segala-galanya.

Jam 10.31 pagi tadi, sahabat june menghantar khabar, satu-satunya abang yang dia miliki telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi. Terpempan aku mendengar berita yang langsungnya tidak terjangka itu. Yaa Tuhan.. bagaimana agaknya keadaan sahabat yang seorang itu menerima semua ini. Apatah lagi ia hanya berselang beberapa bulan selepas pemergian arwah ayahanda pada 2 Syawal yang lalu. Sunguh-sungguh aku mendoakan agar sahabat dekat ini tabah, kuat dan tidak putus sabarnya. Ya Allah, Ya Tuhanku.. aku benar-benar maksudkan itu. Salam takziah dari aku dan seisi keluarga, juga hadiah al-fatihah untuk arwah abang. Mudah-mudahan roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Aminn..

Dalam hiba dan sayu aku mengenang-ngenang situasi dan keadaan sahabat june itu, aku turut didatangkan perkhabaran yang sama sekali bertentangan daripada sahabat mei. Juga sahabat dekat yang aku tumpahkan setia dan percaya yang banyak. Khabar bahagia tentang penetapan hari besarnya yang akhirnya telah diputuskan tarikhnya. Hari besar yang akan menghujungkan segala permainan dugaan buatnya selama ini. Alhamdulillah, akhirnya dia memiliki apa sepatutnya menjadi kebahagiannya. Paling tidak tersangka, aku antara yang terbilang jari yang dipilihnya untuk hari besar itu.

Sepanjang malam ini, aku tidak putus memanjangkan doa buat dua sahabat ini. Mudah-mudahannya keduanya melalui ketentuan takdir ini dengan berlapang dada. Insya-Allah, aku akan sentiasa ada sebagai sahabat. Dan sungguh, aku maksudkan itu.

[Al-Fatihah...]

Friday, May 06, 2011

~ MALAM PUISI GAZA II ~

Penyampian cek berserta sedikit cenderahati kepada saudara Ahmad Sarju.

Dato' Dr A. Samad Said

Liya Al Zahra (bertudung hitam) dan penyokong.
Hafiz Hamidun
Ismas Saring
e-sastera
Zain Kasturi
Tuan Hj. Norazman (sukarelawan misi kemanusiaan diserang di atas kapal Mavi Marmara)

SANGAT teruja. Beberapa jam tadi, aku punya kesempatan untuk singgah di Rumah PENA bersempana Malam Baca Puisi GAZA II.

Dan aku bertuah dapat menikmati puisi-puisi indah dan istimewa lantunan sang penyair yang nama mereka cukup besar untuk yang tahu. Paling mengundang keterujaan buatku, apabila nama ikon sepanjang zaman yang paling aku hormati dan kagumi, Dato' A. Samad Said turut bersama kami. Sungguh, aku bertuah berada di sini pada malam ni.

Selainnya, muncul juga saudara Ahmad Salju, Zaen Kasturi, Datuk Dr Razali, Ismas saring, Raja Rajeswari, Dr Jessica, Taufik Apandi, Rasanubari, Shamsudin Osman, Solihin Osman dan beberapa nama lagi.
Juga tidak ketinggalan saudara Hafiz Hamidun, penyanyi nasyid yang berjaya mencuri perhatianku kali ini. Puisinya untuk ibu-ibu Palestine itu sangat menyentap jiwa. Sangat benar pada penyampaian dan penghayatan yang diberikannya. Terima kasih untuk itu.

Juga turut mengisi malam ini ialah kumpulan nasyid UNICS, Liya Al-Zahra (Saudara muallaf yang sangat merdu suaranya dan mengerti lagu puisinya), Al Rijal, Muaz Zulkifli dan kumpulan e-sastera.

Penampilan khas juga dari Tuan Haji Norazman, sukarelawan yang pernah ditawan tentera Israel kala cuba memasuki GAZA untuk misi kemanusiaan pada Mei tahun lalu. Tuan Haji berkongsi pengalaman saat-saat beliau dan rakan-rakan yang menyertai misi tersebut diserang di atas kapal Mavi Marmara.
Alhamdulillah, mudah-mudahan kita meminjam sesuatu daripada apa yang dikongsikan pada acara ini.

[Sedeh apa-bila me-lehat acara peng-hargaan untok saudara Ahmad Sarju di-langsong-kan di- majlis yang ter-lalu rengkas begini... Mengapa dia tidak di-rai-kan dengan cara yang sa-wajar-nya? Secara paleng ter-hormat saperti mana yang di-kecapi nama-2 glamor yang ber-suson di-dada akhbar penoh lagak?]