Tuesday, April 19, 2011

~ MENGACAH AMARAH ~ ~



UNTUK memastikan keadaan unta hitam benar-benar terpulih dari luka tragedi petang sabtu lalu, aku memanjangkan langkah membawa unta hitam membuat 'pemeriksaan kesihatan' di pusat kesihatan terpilih di seksyen 15, Shah Alam.

Biarpun jaraknya hanya beberapa langkah sahaja daripada lantai pekerjaan, aku baru pertama kali seumpamanya memilih untuk menggunakan khidmat mereka. Lalu untuk mengelakan kelambatan dan kesulitan lainnya, seawal 9.30 pagi, aku sudah siap di sana. Mengambil nombor giliran sebagaimana pelanggan lainnya dengan penuh tertib. Maryamah Karpov menjadi bekal mengisi keluangan yang ada diantaranya.

Menjadi kebetulan, dua rakan sepekerjaan juga turut menyertai atas tujuan yang sama. Aku memilih untuk menunggu sedang mereka harus bergegas ke lokasi lain atas urusan pekerjaan yang menghambat.

Jam berputar lambat... dan malas. 10.30 pagi... 11.30 pagi... 12.00 tengahari... yang bermilik rakan pekerjaan tadi keduanya sudah siap siaga menunggu sang tuan menjemput. Aku memanjangkan leher, melihat unta hitam masih di ruang sama tanpa tanda diusik alih. Jam bergerak lagi, 12.30 tengahari.. 1.00 tengahari..

Angin-angin amarah sedikit demi sedikit membuat singgah. Apatah lagi apabila melihat beberapa pemilik lain yang datangnya jauh kemudian daripada aku sudah boleh membawa pulang, sedangkan unta hitamku masih sepi di sana. Maha dasyat kelembapannya!!!

Aku menutup Maryamah Karpov dan mula bermundar-mandir di depan kakitangan pusat servis tersebut dengan air muka teramat serius tanda ketidakpuasan hati yang bersarang di dalamnya. Meski aku tidak mengeluarkan perkataan sepatahpun daripada mulut, aku sedar ada mata yang memerhatikan tingkahku. Ada mata yang sedar ada api amarah yang sedang hidup di dalamku.

Jam 1.30 tengahari, baharulah kulihat unta hitam dilayan rawat. Hanya empat jam selepas aku mendaftarkan diri? Dan aku perlu lagi menunggu sehingga jam 3.40 petang baharulah semuanya usai sempurna.

Mood sudah lari. Sungguh, aku orangnya bukan yang miskin sifat sabarnya. Kamu yang mengenali tentu sahaja tahu aku bagaimana aku. Namun hal-hal yang keterlaluan tanpa sebab munasabah begini memang mungkin sahaja mampu mengacah-acah rasa amarah itu. Dan benar, marahku kali ini berlebih daripada kemarahanku sabtu lalu.

Dua hari penuh masaku terkorban untuk hal-hal yang bukan dalam rancanganku. Urus pekerjaan tunggang telanggang dalam tempoh dua hari ini. Terkalih fokus dan tumpu dek kerana kusut serabut yang bergalang ganti.

Beratur hal-hal serabut yang mengekoriku berselang hari. Terduduk memikir nasib diri. Yaa.. seperti ada sumpahan yang terkirim kepadaku. Ampun, andai benar aku ada berbuat hal-hal yang terlalu.

Melepasi jam enam petang, aku tidak punya rasa untuk berganjak daripada kerusi di ruang pekerjaan. Keras aku di situ cuba memberi tenang pada diri setelah tercungap dengan nafas kemarahan berturut hari. Dan sungguh... aku amat penat.

Saat mengatur langkah pulang ke rumah, unta hitam tanpa dipinta mengalih arah. Dan aku mahu bersendiri seketika. Menarik nafas senyap dalam tenang. Serabut.

[Nyares mau ke-jambatan naga di-Putrajaya...]

No comments: