Wednesday, April 27, 2011

~ LANGIT TUMPAH MEMADAM AMARAH ~


MEMULAKAN hari agak awal hari ini. Tidak ada sebab. Tetapi ia seperti telah disusun atur begitu rupa. Dan aku tidak mempersoalkan tentang itu.

Jam 6.40 pagi, berlokasi di unta hitam, ada komunikasi keras berlangsung. Ia terjadi begitu apabila ada hujah yang berlawan arus menampar-nampar sabar diri secara tiba-tiba.

Aku yang seringnya memilih untuk diam, hari ini membuka mulut. Suaraku meninggi, keras dan ada getar. Jarang aku bersituasi begitu, tetapi pagi ini dia benar menguji sabar diri. Lalu.. aku gagal.

Dan... aku tidak boleh memandang ke wajahnya saat itu. Bimbang akan tumpah air mata yang ditahan-tahan kerana amarah yang terlalu menguasai diri. Sungguh, aku sedih dan sangat-sangat kecewa dengan perlakuannya pagi ini.

Ironinya, saat menghalakan kembali unta hitam ke rumah dalam hiba itu langit tumpah. Mencurah-curah secara tiba-tiba. Dan aku membiarkan sahaja ia menyentuh pandangan unta hitam di bahagian depan. Biar begitu. Sebagaimana biarnya aku kepada air mata yang saat ini laju menuruni pipi. Tidak aku keringkan.

Jam 7.30 pagi, langit masih tumpah. Dan aku tidak mahu peduli. Aku mengatur langkah seolah matahari yang sedang bersimbah cahaya. Habis lencun pakaian rasmi yang harus aku sarungkan untuk majlis berkait urus pekerjaan kurang lebih beberapa jam tengahari nanti.

Manusia di kiri kanan yang tenang berteduh dari dibasahi berkali menoleh ke arahku. Seperti ada beberapa tanya yang sedang bermain di benak mereka. Dan aku tidak peduli tentang itu.

Biar sahaja langit yang tumpah ini menyimbah dingin hati yang sedang bergelumang amarah ini. Aku mengharap itu.

Pagi ini telah rosak dengan amarah itu. Yang tidak harus terjadi dari seorang aku. Lalu aku memutus untuk pulang membuat lena. Sekadar menidak amarah yang masih.

D, tolonglah dengar aku. Hiduplah kamu kembali untuk mendengar semua ini. Mohon pinjamkan bahu kamu D.. mohon...

[Saat jari-2 ber-cherita di-sini, aku masih lencon... diri dan hati]

No comments: