Saturday, April 30, 2011

~ DIBIUS CINTA ~

TAJUK : Dibius Cinta
KARYA : Qash Irdina
CETAKAN : Pertama & Kedua (2011)
PENERBIT : Fajar Pakeer Sdn Bhd
HALAMAN : 466
HARGA : RM19.90

“Di kala mata bertentang mata, biarkan hati yang berbicara…”


[Dan... aku diam..]

Friday, April 29, 2011

~ PENYESALAN YANG TERTANGGUH ~


AKU ditanyakan seorang kawan tentang soal maaf. Soal bagaimana reaksi aku kalau aku yang berbuat salah. Apakah aku akan mengaku kesalahan, memohon maaf serta merta atau menunggu masa yang paling sesuai untuk melakukan itu?

OK situasi kalau aku yang berbuat salah bukan? Perkara pertama tentunya aku tidak akan menyimpan atau menangguh maaf (kecuali aku tidak menyedari tentang kesalahan itu... dan tolong ingatkan aku). Serta merta pada ketika itu juga aku akan usahakan maaf itu walaupun ketika itu ada gunung berapi yang bakal meletup dan meranap.

Aku bersedia berdepan segala kemungkinan. Apa sahaja. Dan sungguh, aku maksudkan itu. Kerana apa... kerana aku memang berbuat salah dan patut rasa bersalah. Dan tentu sahaja aku tidak akan mampu untuk bersenang-senang seolah tiada apa.

Andai tidak terdaya menutur secara berdepan bersua muka, telefon bimbit pasti menjadi perantara. Kalau tidak suara, pastinya teks tetap akan menyusul meluah kesal hati. Itu paling pasti. Dan sungguh, tidak mahu kemaafan yang tertangguh itu kelak akan merebah berat menjadi barah. Dan barah akan membawa kepada sengsara. Aku tidak mahu itu!!!

Jangan ditangguhkan rasa penyesalan (memohon kemaafan) itu walau seminit saat. Ini kerana dalam tempoh sedikit itupun, seribu satu macam rasa mahupun kejadian mampu merobah sesuatu. Apatah lagi sehari, seminggu, sebulan atau berbulan-bulan yang tentunya akan mengundang hati menjadi kelat dan payau.

Tidak merujuk kepada sesiapa apa, tetapi kepada diri sendiri. Sejarah adalah lampu suluh yang paling terang untuk hari esok!

[OK, aku me-mohon maaf untok seluroh kamu... dan aku maksod-kan itu..]

Thursday, April 28, 2011

~ DISEBALIK SEMPURNA ~


ORANG melihat dia sempurna. Serba cukup. Malah Tuhan memberi dia kelebihan yang bikin manusia lain menyimpan rasa cemburu padanya. Apa sahaja yang dia lakukan, tuturkan menjadi senang di mata yang memandang. Semuanya nampak indah.

Namun disebalik itu, hanya yang empunya badan sahaja yang mengerti. Betapa semuanya itu sering membuat kosong pada dirinya. Mengharap nanti hal yang tidak diperoleh kepadanya. Dari usia kecil sehingga saat menginjak dewasa dia masih terkial mencari. Mencari hal-hal yang lain kamu telah miliki awal.. Hal-hal yang kamu tidak nampak sempurnanya kerana terlalu melihat dia sempurna.

Sungguh, namnya tersohor di dada akhbar. Namun ia tidak pernah menjamin apa. Saat dia perlu, semua itu hilang meninggalkan dia senyap. Dia dimainkan dengan pilihan kasih sayangnya. Persahabatan juga mempermainkan dia dengan hal yang sengsara.

Itulah yang terluah sahabat mei Jumaat malam lalu. Aku terdiam senyap. Sepertinya juga mahu menitiskan air mata kerana kata-katanya sangat dengan kejujuran. Luahan hati yang mungkin boleh bikin kamu di luar sana mengerti dan mahu memeluknya erat.

"Hargailah keberuntungan awak dan keliling. Dan, doakanlah sesuatu yang indah untuk saya. Sedikit... saya mahu merasainya.."

Terkebil-kebil. Aku tidak tahu mahu memberi reaksi yang bagaimana. Sahabat yang seorang ini sayu dalam senyap. Mengenal dia, aku tahu ada hal besar yang sedang dia depani saat ini. Tuturnya, bahasanya... memperlihat ada sengsara yang datang membuat singgah. Cuma tidak dia katakan secara terang... kerana dia yang aku kenali seorang yang tegar jiwa, tidak pernah mahu kalah dengan hal-hal kasih sayang.

Sahabat, aku mengerti kamu!

[Aku yang tidak perenah sempurna tetapi tidak perenah mau sengsara..]

Wednesday, April 27, 2011

~ LANGIT TUMPAH MEMADAM AMARAH ~


MEMULAKAN hari agak awal hari ini. Tidak ada sebab. Tetapi ia seperti telah disusun atur begitu rupa. Dan aku tidak mempersoalkan tentang itu.

Jam 6.40 pagi, berlokasi di unta hitam, ada komunikasi keras berlangsung. Ia terjadi begitu apabila ada hujah yang berlawan arus menampar-nampar sabar diri secara tiba-tiba.

Aku yang seringnya memilih untuk diam, hari ini membuka mulut. Suaraku meninggi, keras dan ada getar. Jarang aku bersituasi begitu, tetapi pagi ini dia benar menguji sabar diri. Lalu.. aku gagal.

Dan... aku tidak boleh memandang ke wajahnya saat itu. Bimbang akan tumpah air mata yang ditahan-tahan kerana amarah yang terlalu menguasai diri. Sungguh, aku sedih dan sangat-sangat kecewa dengan perlakuannya pagi ini.

Ironinya, saat menghalakan kembali unta hitam ke rumah dalam hiba itu langit tumpah. Mencurah-curah secara tiba-tiba. Dan aku membiarkan sahaja ia menyentuh pandangan unta hitam di bahagian depan. Biar begitu. Sebagaimana biarnya aku kepada air mata yang saat ini laju menuruni pipi. Tidak aku keringkan.

Jam 7.30 pagi, langit masih tumpah. Dan aku tidak mahu peduli. Aku mengatur langkah seolah matahari yang sedang bersimbah cahaya. Habis lencun pakaian rasmi yang harus aku sarungkan untuk majlis berkait urus pekerjaan kurang lebih beberapa jam tengahari nanti.

Manusia di kiri kanan yang tenang berteduh dari dibasahi berkali menoleh ke arahku. Seperti ada beberapa tanya yang sedang bermain di benak mereka. Dan aku tidak peduli tentang itu.

Biar sahaja langit yang tumpah ini menyimbah dingin hati yang sedang bergelumang amarah ini. Aku mengharap itu.

Pagi ini telah rosak dengan amarah itu. Yang tidak harus terjadi dari seorang aku. Lalu aku memutus untuk pulang membuat lena. Sekadar menidak amarah yang masih.

D, tolonglah dengar aku. Hiduplah kamu kembali untuk mendengar semua ini. Mohon pinjamkan bahu kamu D.. mohon...

[Saat jari-2 ber-cherita di-sini, aku masih lencon... diri dan hati]

Tuesday, April 26, 2011

~ DEDIKASI ~



RASA terima kasih ini aku didedikasikan buat saudara BR, sahabat yang seharian membantu aku menguruskan unta hitam semalam. Sungguh aku maksudkan rasa terima kasih ini atas pengertiannya. Sahabat yang tidak pernah lari meninggalkan aku kala aku benar perlu. Dan dia bukan hanya mahukan yang manis-manis. Sebaliknya menerima baik seadanya aku.

[Sedang mengira pada jari... berapa yang ada dalam harap...]

Sunday, April 24, 2011

~ DAN KECELAKAAN ITU... ~



RUANG hospital yang senyap sunyi itu tiba-tiba bingar dengar esak tangis. Malah, ada juga sebahagian yang gagal mengawal emosi lalu meluah kecewa hati dengan raungan yang menggegarkan jiwa.

Aku masih kuat, masih belum mahu menangis. Masih keras hati menahan air mata dari tumpah. Masih kuat menahan resah jiwa yang bersarang jelas. Satu demi satu mangsa kecelakaan itu disorong masuk di ruang suram itu. Berlumuran darah. Lemah longlai, kaku keras. Aku menutup mata dan tidak sanggup untuk menatap. Beberapa kali aku mengelak diri.

Ternyata ia masih bukan adik. Masih bukan si nakal yang sering sahaja aku taruhkan rajuk marah selama ini. Masih bukan sosok tubuh kecil yang sentiasa ligat dengan helah kala dirinya diburu aku. Masih bukan dia.

Dan sungguh, aku makin takut. Makin kuat degup yang membuat kencang di dalam sana. Seperti mahu luruh jantung yang tergantung di dalamnya. Dan aku mendoakan adik baik-baik sahaja walaupun aku jelas akan situasi saat itu.

Lama aku menanti di situ, dan ia masih bukan adik. Sehingga akhirnya aku menangis menunggu-nanti.

"AL.. kenapa menangis ni.."

Si kecil menggoncangkan tubuhku. Beberapa kali. Terkebil-kebil dia memandang ke arahku yang beriya menangis. Tidak bertanya lebih, dia cuma memandang aku tanpa terkalih sedikitpun.

Mimpi!!! Sungguh seperti yang pernah aku katakan pada entri sebelumnya, aku sangat jarang mendapat mimpi. Dan kalau adapun, ia tidak pernah menjadi ingat pada saat terbuka mata menjengah realiti. Ia pecah, hilang... tanpa sempat aku menangkap maksud cerita.

Namun, kali ini ia terjadi lain. Aku dapat melihat, mendengar dan mengingat jelas isi ceritanya. Satu demi satu. Diam.

Aku berkongsi getar mimpi itu dengan seorang sahabat.

YY: Sampai sudah kau tak nampak adik kau?
AKU: Tak... tapi aku tahu aku ada kat hospital tu sebab adik ditimpa kecelakaan.
YY: Nampak sesiapa lagi yang kau kenal kat situ?
AKU: Tak... Cuma aku. Dan sampai aku buka mata pun, adik aku tak muncul2 jugak..
YY: Ermm... Mungkin bukan adik kau, tapi kau sebenarnya yang ditimpa kecelakaan itu. Mungkin kau tengah tunggu kau sendiri..
AKU: ???? Ermmmm..

[Dan.. muhon di-ampon-kan dosa aku ter-hadap kamu...]

Saturday, April 23, 2011

~ ANUGERAH CINTA ~



TAJUK: Anugerah Cinta
KARYA: Nurul’ Ain
CETAKAN: Pertama (April 2010)
PENERBIT: Kaki Novel Enterprise
HALAMAN: 586
HARGA: RM19.00

“Kehidupan memang tidak pernah sepi dengan masalah, tidak pernah sunyi dengan cabaran..”


[Dan... aku meng-adap sa-gala ka-tentuan..]

Friday, April 22, 2011

~ DOA... MENGERTI...."


DAN secawan coffee bersama sahabat mei. Lama hilang dek larut dengan urus pekerjaan yang saban hari mengikat waktu. Kami bercerita umpama bertahun tidak bersua muka lantaran banyak kejadian mahupun tragedi yang bersusun tangga yang mahu dikongsi cerita.

Dia masih serupa. Sentiasa memberikan energi positif dan sentiasa menggalakkan aku menuntut hak sendiri.

"Awak nih semua benda nak cakap dalam hati. Marah pun dalam hati. Macamlah orang boleh dengar..."


Dan terhambur tawa panjang mendengar rungutannya terhadapku itu. Memang benar ia tidak mungkin mampu didengar sesiapapun. Namun kesenyapan hati yang nyaring didalammnya itu boleh dibaca andai rasa mengerti itu ada pada tempatnya.

"Kahwin nanti jangan lupa bagitahu saya kalaupun awak taknak jemput.."
(aku memintas mengalih bicara).

"Mesti bagitahu sebab kita akan solat sama2 kat masjid tu dulu sebelum majlis akad saya bermula..." (dia membalas sambil tersenyum. Berkali dia menyatakan majlis itu akan terjadi paling ringkas. Dan aku percaya ia akan terjali paling manis kerana memorinya akan menjadi luar biasa).

Sahabat ini sentiasa dengan akalnya walaupun ada yang melihat dia dengan sudut pandang yang berbeza. Aku mendoakan yang terbaik buat sahabat ini. Mudah-mudahan perjalanannya dipermudahkan sebaiknya. Aminnn.

[Ber-doa agar sentiasa ber-keliling sahabat-2 yang meng-erti..]

Wednesday, April 20, 2011

~ LARUT DENGAN KITARO ~


KITARO...
Dan aku larut dalam alunannya. Ada energi yang masuk ke dalam sana membuat aku segar dan senang. Paling mujarab untuk mengusir serabut amarah.

[Maseh mau-kan Nina Simone... mungkin per-choma dari kamu.. :) ]

Tuesday, April 19, 2011

~ MENGACAH AMARAH ~ ~



UNTUK memastikan keadaan unta hitam benar-benar terpulih dari luka tragedi petang sabtu lalu, aku memanjangkan langkah membawa unta hitam membuat 'pemeriksaan kesihatan' di pusat kesihatan terpilih di seksyen 15, Shah Alam.

Biarpun jaraknya hanya beberapa langkah sahaja daripada lantai pekerjaan, aku baru pertama kali seumpamanya memilih untuk menggunakan khidmat mereka. Lalu untuk mengelakan kelambatan dan kesulitan lainnya, seawal 9.30 pagi, aku sudah siap di sana. Mengambil nombor giliran sebagaimana pelanggan lainnya dengan penuh tertib. Maryamah Karpov menjadi bekal mengisi keluangan yang ada diantaranya.

Menjadi kebetulan, dua rakan sepekerjaan juga turut menyertai atas tujuan yang sama. Aku memilih untuk menunggu sedang mereka harus bergegas ke lokasi lain atas urusan pekerjaan yang menghambat.

Jam berputar lambat... dan malas. 10.30 pagi... 11.30 pagi... 12.00 tengahari... yang bermilik rakan pekerjaan tadi keduanya sudah siap siaga menunggu sang tuan menjemput. Aku memanjangkan leher, melihat unta hitam masih di ruang sama tanpa tanda diusik alih. Jam bergerak lagi, 12.30 tengahari.. 1.00 tengahari..

Angin-angin amarah sedikit demi sedikit membuat singgah. Apatah lagi apabila melihat beberapa pemilik lain yang datangnya jauh kemudian daripada aku sudah boleh membawa pulang, sedangkan unta hitamku masih sepi di sana. Maha dasyat kelembapannya!!!

Aku menutup Maryamah Karpov dan mula bermundar-mandir di depan kakitangan pusat servis tersebut dengan air muka teramat serius tanda ketidakpuasan hati yang bersarang di dalamnya. Meski aku tidak mengeluarkan perkataan sepatahpun daripada mulut, aku sedar ada mata yang memerhatikan tingkahku. Ada mata yang sedar ada api amarah yang sedang hidup di dalamku.

Jam 1.30 tengahari, baharulah kulihat unta hitam dilayan rawat. Hanya empat jam selepas aku mendaftarkan diri? Dan aku perlu lagi menunggu sehingga jam 3.40 petang baharulah semuanya usai sempurna.

Mood sudah lari. Sungguh, aku orangnya bukan yang miskin sifat sabarnya. Kamu yang mengenali tentu sahaja tahu aku bagaimana aku. Namun hal-hal yang keterlaluan tanpa sebab munasabah begini memang mungkin sahaja mampu mengacah-acah rasa amarah itu. Dan benar, marahku kali ini berlebih daripada kemarahanku sabtu lalu.

Dua hari penuh masaku terkorban untuk hal-hal yang bukan dalam rancanganku. Urus pekerjaan tunggang telanggang dalam tempoh dua hari ini. Terkalih fokus dan tumpu dek kerana kusut serabut yang bergalang ganti.

Beratur hal-hal serabut yang mengekoriku berselang hari. Terduduk memikir nasib diri. Yaa.. seperti ada sumpahan yang terkirim kepadaku. Ampun, andai benar aku ada berbuat hal-hal yang terlalu.

Melepasi jam enam petang, aku tidak punya rasa untuk berganjak daripada kerusi di ruang pekerjaan. Keras aku di situ cuba memberi tenang pada diri setelah tercungap dengan nafas kemarahan berturut hari. Dan sungguh... aku amat penat.

Saat mengatur langkah pulang ke rumah, unta hitam tanpa dipinta mengalih arah. Dan aku mahu bersendiri seketika. Menarik nafas senyap dalam tenang. Serabut.

[Nyares mau ke-jambatan naga di-Putrajaya...]

Monday, April 18, 2011

~ KEMBALI SEPERTI ASALNYA ~




HARI ini, mahu atau tidak aku perlu mengambil cuti kecemasan untuk tujuan merawat kecederaan unta hitam. Benar ia tidaklah sampai si unta hitam tidak dapat mengatur langkah, cumanya aku sangat kasihan melihat luka yang ditanggungnya. Jika sebelum ini cederanya hanya sedikit, kali ini ia lebih besar dan dalam.

Yaa.. mungkin ada yang masih ingat, kurang lebih lima bulan lalu unta hitam pernah berdepan tragedi serupa. Saat itu ia pertama kali. Lalu ia memberi gugup resah yang bukan sedikit. Kali ini, aku sepertinya mudah menerima kenyataan betapa tiada rezekinya aku. Cuma sedikit rasa kasihan bila sahaja mengenang nasib diri-sendiri yang bertimpa malang yang tidak berbau itu. Dan selepas satu... satu... Kesemuanya aku. Lalu mungkin benar aku perlu minum air tujuh gunung barangkali untuk membuang badi itu.

Lalu, seawal jam 10.00 pagi, aku sudah siap siaga menunggu di depan pintu bengkel terpilih yang berlokasi di Jalan Penulis, Glenmarie, Shah Alam. Sungguh sudah kali kedua aku menjejakkan kai ke sini, aku masih gagal menghafalnya baik sehingga tersasar laluan dan tergelincir waktu pada ketetapan.

Mujur sahaja sang yang empunya putus memberi rasa kasihan buatku. Lalu meski cuaca gelap bertanda langit akan tumpah, dia tetap memberi kesanggupan. Malah harga yang diberi juga terunding baik atas dasar timbang rasa yang mengerti. Sebaik menyerahkan kunci, sesaat mereka tidak menunggu dan terus merawat unta hitam sebaik yang harus.

Lalu duduklah aku menunggu di celah-celah bingit segala macam perkakasan yang memberi hidup itu dengan penuh sabar. Menunggu aku di dalam hangat tanpa sedikit ada rungut. Lalu aku tegar bermundar-mandir sepanjang jam 10.00 pagi itu sehingga jam 6.00 petang sehingga usainya tanpa ke mana-mana.

Alhamdulillah. Ia hampir ke bentuk asal walaupun tidak sempurna. Terima kasih untuk tangan yang menghulur bantu. Atau paling tidak bertanya khabar atau rasa berkait soal itu. Terasa aku ada di keliling kamu apabila kamu merasa wujud aku.

Lapar, penat, gelisah berbaur menjadi sebati. Namun, sedikit rasa senang kerana semua itu aku uruskan sendiri tanpa ada cubaan menyusahkan sesiapa. Usah salah faham dengan apa yang aku tuturkan ini kerana tiada agenda lain di situ.

Mudah-mudahan ini kali terakhir aku membawa unta hitamku ke sana. Kirimkan sedikit doa kesejahteraan untuk aku di sini. Dan aku dahului dengan ucapan terima kasih.

Jam 6.30 petang, unta hitam sudah kembali senyum dan menyanyi riang dari bandar anggerik ke bandar bunga tanjung. Bertembung serindit di tepi jalan.

[Pasti sahaja ada sisi putih-nya selaen hitam yang sering di-lehat mata kamu tanpa jemu....]

Sunday, April 17, 2011

~ ALLAH SELAMATKAN KAMU ~



Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Adik...
Allah Selamatkan Kamu...


SELAMAT ulang tahun kelahiran buat adik yang sangat-sangat dikasihi pada hari ini, 17 APRIL. Semoga dirahmati, dilindungi dan dipermudahkan dalam kehidupan. Panjang umur dan murah rezeki tentunya. Mudah-mudahan dengan pertambahan usia ini, adik menjadi lebih matang, bertanggungjawab, menghargai kasih sayang dan berguna kepada mereka yang di keliling. Aminnnn...


Dengan musibah yang berlaku ke atas unta hitam semalam, aku tidak dapat memenuh beberapa janji yang terlafaz dulu buat adik. Pun begitu, aku masih mahu mendedikasikan seluruh hari ini untuk dihabiskan dengan adik untuk meraikan hari besarnya ini.

Soal serabut yang bertumpu pada unta hitam itu, aku ketepikan untuk seketika ini. Lalu, sepanjang hari ini aku tetap cuba untuk memenuh sebahagian janji.

[Doa ka-sejahteraan ini juga untok sa-orang lagi Aries yang ma-rai-kan hari-jadi pada 19hb April ini... dan juga si-Taurus pada 24hb depan... kaseh juga sama kamu sa-besar langit.]

Saturday, April 16, 2011

~ TERCAMPAK SEGALA ISI KANDUNG ~


ALHAMDULILLAH... aku tidak apa-apa. Tuhan melindungi dengan rahmatnya. Hanya unta hitam yang cedera dan perlu mendapatkan rawatan dengan secukupnya.

Termenung. Mungkin aku ini kena mandi air tujuh gunung atau tujuh bunga. Manakan tidak, sejak akhir-akhir ini ada sahaja hal yang tidak baik terjadi kepadaku. Atau mungkin ada yang mengirim sumpah kerana tingkahku yang mungkin ada menyinggung atau berbuat salah kepada sesiapa. Banyak dosa barangkali.

OK. Ceritanya begini. Petang tadi, kurang lebih jam 4, unta hitamku dilanggar dari belakang. Tercampak segala isi kandung di dalamnya termasuk aku. Terkejut, takut dan gementar serba ada. Beberapa kali aku menampar pipi. Ohh... aku tidak apa-apa, masih bernafas dan ada nyawa. Terima kasih Tuhan kerana kau menguji tidak lebih dari kemampuan yang aku ada.

Jenisnya aku seorang yang tidak suka berhujah-hujah. Tiada soal siapa yang salah atau benar. Asal sahaja selesai tanpa perlu merusuh-rusuh, itu sudah cukup baik. Luka unta hitam itu boleh dirawat, wangnya boleh dicari ganti. Bagaimana kalau luka itu bertanda pada aku? Atau ia lebih daripada itu? Apa mungkin wang selonggok itu boleh menjadi tukaran? Boleh membeli-beli dan membayar-bayar yang namanya nyawa?

Aku sedapkan hati dengan kenyataan begitu. Kata positif yang terpinjam dari sahabat mei yang seringnya ada memberi ingat. Aku sedapkan hati juga dengan kata-kata teman jiwa dua jam tadi bahawa segala apa yang terjadi hari ini sudah namanya takdir dan bagaimana aku mengelak sekalipun, ia tetap akan berlaku. Manusia siang tadi itu cuma menjadi penyebab kepada kejadian sahaja.

Aku angguk. Dan aku tidak merungut sedikitpun baik semasa mahupun selepas kejadian itu. Disebabkan itu juga, aku tidak memberitahu sesiapa termasuk teman jiwa, kakak, abang mahupun sahabat dekatku kala tragedi itu berlangsung. Biar sahaja aku selesaikan sendiri kerana aku tidak apa-apa. Unta hitam juga masih mampu berjalan, cuma luka tercedera sahaja.

Hanya setelah usai segala, barulah aku membuka cerita. Bagai biasa dan amat diduga, kakak bising meluah marah. Sekali lagi dia menganggap aku membelakanginya kerana tidak menghubunginya kala aku berdepan hal demikian. Kakak kecil hati. Dan sungguh, aku hampir menangis mendengar luah kakak itu kerana aku sangat tahu dia sayang dan bimbangkan keselamatanku. Sebenarnya, jauh di sudut hatiku kerana tahu dia kasihkan akulah, maka aku tidak mahu memberi gemuruh kepada hatinya. Sungguh, aku tidak berbohong soal itu.

Terima kasih untuk sahabat-sahabat yang mengambil berat bertanya khabar. Usah kirimkan bimbang gentar hati kamu, tetapi kirimlah doa selamat agar aku sejahtera dalam setiap saat dan ketika.

[Dan seperti yang perenah aku entri-kan beaberapa lama dulu, April kerap meninggal-kan sejarah yang tidak manis untok aku... Nahh.. ia menambah sejarah..]

~ BILA HATI KATA SAYANG ~


TAJUK : Bila Hati Kata Sayang
KARYA
: Marissa

CETAKAN
: Pertama (April 2011)

PENERBIT
: Fajar Pakeer Sdn Bhd

HALAMAN
: 447

HARGA
: RM18.00


“Aku hanya ingin kau tahu aku sayang padamu…”

[Dan.. aku tidak akan perenah ber-bohong tentang itu..]

Friday, April 15, 2011

~ TIDAK SAMPAI KE HATI ~


AKU menggeleng-gelengkan kepala dan lucu. Yang marah dan yang rajuk-rajuk itu terpulih sedia kala. Sahabat yang seorang ini memang sering mengambil hati. Kurang lebih seminggu selisih faham, semalam dia kembali membuat aku senyum.

Tidak besar, cuma hal remeh yang tidak terjangkakan. Nahh.. positifnya dia belajar menghargai hal sekelilingnya, apatah lagi yang benar sahabat padanya ini. Aku dan AA ini telah saling kenal. Telah kerap berselisihan marah dan rajuk. Namun kami masih senang-senang sahaja. Ini kerana kami mengerti kurang dan lebih secara dua pihak tetap dengan menimbang rasa.

Ia bukan soal balasan, cumanya tindak reaksi spontan manusia normal yang tentunya ada niat mahu memberi saat sering menerima. Percayalah aku, ia bukan bual kosong.

AA ada rasa mahu membaik-pulih walaupun harus berdepan rajuk. Dan aku tidak akan pernah menolak itu biar ada marah yang mengacah. Tentu sahaja aku juga tidak senang kalau beribut begini walaupun tidak tsunami. Lalu kami selamat sahaja adanya.

[Dan marah itu tidak perenah sampai ke-hati...]

Thursday, April 14, 2011

~ TAMAN EMPAT MUSIM ~















MALAM tadi aku terdedah dengan kepul asap nikotin dengan agak keterlaluan. Lalu tidur malamku terganggu hebat apabila paru-paru gagal mengepam seperti yang sepatutnya. Saluran pernafasanku menjadi sempit dan payah. Lalu, paginya aku gagal ke tempat pekerjaan seperti mana yang sepatutnya. Ermmm..

Saat matahari mahu tegak ke kepala menanda setengah hari, aku menghubungi rakan sepekerjaan melapor diri. Apatah lagi petang hari ini kami sepasukan perlu berada di Taman Empat Musim beberapa langkah dari lantai pekerjaan. Mulanya mahu menyatakan situasi diri yang tidak dalam keadaan sempurna energi, namun apabila mendengar penjelasan sang rakan ini akan keperluan kami sepasukan untuk berada di sana sempena acara anjuran tempat pekerjaan kami yang bakal berlangsung Mei nanti, aku anggukkan sahaja.

Kurang lebih jam 4 selepas langit tumpah, kami sepasukan sudah siap siaga berada di taman empat musim ini. Dan ternganga aku seketika apabila mendapat tahu kami perlu mengatur langkah ke setiap ceruknya untuk merangka percubaan-percubaan awal untuk acara kami kelak. Bukan aku tidak gemarkan hal sedemikian, cuma mungkin bukan untuk hari ini.

Namun aku juga tidak berhasrat untuk meminta pengecualian. Hal-hal begini bukan semua mahu memahami. Nanti disangka sengaja mahu mengelak diri. Lalu aku akur sahaja. Dalam hati hanya memanjat doa agar tidak terjadi hal-hal yang tidak terjangkakan.

Lelah yang tidak tersebutkan apabila kami perlu memanjat dan menuruni anak bukit, menelusuri denai-denai serta meredah hutan-hutan kecil selain melewati sawah buatan dan tasik ciptaan. Beberapa kali aku terpaksa berlari laju untuk mengelak diri jauh ditinggalkan.


[Dan mau larut sa-hingga embon ma-nitek ma-nyata hari baharu sudah ber-mula..]

Wednesday, April 13, 2011

~ MANUSIA-MANUSIA CEMAS ~



TIADA siapapun yang senang dengan sesak jalan raya yang membuat rentang hampir setiap ceruk di hiruk pikuk kota ini. Aku mendokong hal yang sama. Sejarak bandar anggerik ke bandar bunga tanjung itu pernah menjadi tiga jam perjalanannya jika yang sarat-sarat itu mahu membuat damping.

Lalu, sepanjang tempoh itu apa acara harus di isi? Segala macam dan jika kereta kamu disebelah unta hitamku tentu sahaja kamu akan menggelengkan kepala. Pun begitu kebosanannya, aku tidak sampai mahu menggunakan laluan kecemasan itu untuk melancarkan perjalananku.

Sudah namanya laluan kecemasan, dan ia harus untuk yang benar-benar dalam keadaan itu. Lalu, aku menganggap semua yang menggunakan laluan itu sebagai berada di dalam kecemasan. Dan sungguh, aku tidak membantah kerana aku memahami situasi 'kecemasan' itu.

Terkenang cerita seorang sahabat. Bapanya hampir sahaja gagal diselamatkan kerana terlambat tiba di hospital. Manakan tidak, laluan kecemasan yang sedia ada itu sudah penuh sesak dengan 'manusia-manusia cemas' yang sungguh mementingkan diri sendiri.

Apa mereka peduli kepada 'kecemasan' orang lain asal sahaja segala yang berkait 'kecemasan' mereka berjalan lancar tanpa ada ganggu. Lalu penuhlah laluan kecemasan itu dengan manusia-manusia yang mementingkan jiwa sendiri itu.

Dan kalau begitu sudah gaya mereka, tentu sahaja terbaca mudah peribadi mereka bagaimana orangnya bukan?

"Arghh.. bukan aku sorang sahaja yang guna laluan ini, orang lain pun guna juga..."

Lalu bagaimana kalau lebih sepuluh atau lima puluh atau mungkin lagi lebih yang mendokong detik hati yang sama? Dulu aku juga pernah melakukan hal serupa. Namun, bila kesedaran itu wujud aku berhenti membuat 'kecemasan' sendiri.

Mahu berhenti menjadi 'cemas', kerana jika kita menutup 'kecemasan' untuk orang lain, maka akan ada 'kecemasan benar'yang membuat damping kepada kita. Aku percaya itu.

[Di-lehat senantiasa cemas..]

Monday, April 11, 2011

~ REBAB BERBISIK ~


AKHIRNYA aku punya kesempatan untuk duduk menonton persembahan monodrama 'Rebab Berbisik' yang menampilkan satu-satunya 'Pakyung' unggul, Rosnan Abd Rahman sebagai teraju utamanya. Tiada kesangsian tentang bakat anak kelahiran Pokok Sena, Kedah ini kerana dia telah membuktikan kehebatannya di dalam sekian banyak persembahan Makyung yang pernah disertainya sebelum ini.

Persembahan yang julung kalinya di adakan di Istana Budaya ini dipentaskan di ruang Lambang Sari. Tentunya ia tidak segah Panggung Sari, namun suasananya lebih intim dan dekat. Lebih terasa, lebih memahami dan lebih masuk ke dalam persembahan itu dan aku sangat sukakannya.

Apapun, bagai sudah di duga untuk persembahan yang begini, bilangan para penontonnya tentu sahaja hanya terbilang jari. Hanya yang benar-benar jujur meminati persembahan begini sahaja yang tampil mengisi ruang. Yang lain-lainnya lebih memburu persembahan atau teater komersial yang menjual rupa paras serta populariti seseorang individu sahaja barangkali.

'Rebab Berbisik' yang menampilkan persembahan solo Rosnan ternyata bukan mudah. Apatah lagi monodrama ini menampilkan dirinya dengan empat watak yang berbeza. Sebagai Pak Su yang bergolak jiwanya, sebagai Mek Ning yang sentiasa mengerti, sebagai Ustaz Azri anak yang tidak mahu memahami dan sebagai Mimi atau Azmi yang jauh terpesong diri.

Dan sungguh, Rosnan berjaya meyakinkan penonton dengan semua karektor yang tergalas di bahunya itu. Aku sukakan watak Mimi atau Azmi. Rosnan begitu cantik dengan karektor itu. Dan mungkin kalau dia kerana suaranya, barangkali ada sahaja yang tertipu dan fikir dia perempuan sejati yang punya pesona. Tidak ada kekok, tidak ada hipokrasi sebaliknya dia berdiri yakin dengan apa yang ditutur gayakan. Tahniah, dan aku sungguh maksudkan itu.

'Rebab Berbisik' mengisahkan emosi Pak Su Mat, seorang pecinta seni Makyung. Pak Su dan isterinya, Mek Ning, yang merupakan seorang Primadona Makyung yang terhandal, di zaman kegemilangan Makyung sewaktu dahulu. Sekarang setelah Mek Ning sudah tiada, Pak Su terpaku memikirkan siapakah yang akan beliau wariskan seni tersebut. Pak Su dan Mek Ning mempunyai dua orang anak lelaki.

Monodrama 'Rebab Berbisik' ini mengupas konflik dan dilema kedua-dua anak Pak Su dan Mek Ning iaitu Mimi dan Azri. Kenapakah mereka menolak untuk mempelajari seni Makyung? Jawapannya hanya dengan menonton monodrama ini di Lambang Sari, Istana Budaya.

Kepada kamu yang belum menonton, kesempatannya masih ada. Malam ini merupakan persembahan terakhir 'Rebab Berbisik' apabila pihak Istana Budaya melanjutkan satu hari lagi persembahan di atas permintaan banyak pihak. Dapatkan tiket-tiket yang berharga RM32 dan RM52 di kaunter box office Istana Budaya.

[Me-lebar senyom apa-bila lagu OST filem 'Burlesque- juga men-jadi sa-bahagian yang di-perdengar-kan dalam persembahan ini...]

Sunday, April 10, 2011

~ WAKTU MENGUKIR RINDU ~


TAJUK: Waktu Mengukir Rindu
KARYA
: Sharina Wirdayu
CETAKAN
: Pertama (2011)
PENERBIT
: Fajar Pakeer Sdn Bhd
HALAMAN
: 428
HARGA
: RM18.90


“Hatinya kosong kali ini, sekosong-kosongnya. Ingin diisi dengan cinta seperti mana yang pernah dilakukan satu ketika dulu. Cintanya sudah ada, sudah berada di depan mata…”


[Entah yang benar-2 entah..]

Saturday, April 09, 2011

~ BILA MATA EMPAT TIDAK CUKUP ~


SIANG tengahari semalam, ada hal yang lucu dan sedih juga pada ketika yang sama berlaku ke atasku. Sungguh sudah bermata empat, nyata aku masih lagi tidak dapat melihat jelas. Atau mungkin juga bukan kerana salahnya mata, tetapi kerana fikirannya barangkali yang tidak berada di tempat yang mana aku berdiri.

Jatuh tersembam di kaki lima deretan lot kedai yang tentunya menjadi perhatian berpasang mata yang berjalan dalam membuat urus sendiri. Cuai sendiri melayan kekalutan dalam menguruskan beberapa hal berkait majlis yang dikepalai aku pada sebelah malamnya. Nahh.. begitulah jadinya...

Tidak sampai dua saat aku bingkas bangun membetulkan duduk diri. Ketika itu, di kepalaku hanya mahu mengelakkan diri jadi perhatian. Ahhh... malu bukan kepalang. Rakan yang meneman berkali menyata risau kerana jatuhku itu pada lantai keras yang memangnya memberi sakit yang bukan sedikit.

Tapi sungguh, ketika itu malu itu lebih besar perkiraannya daripada sakit yang dirasa. Lalu aku tidak membuat peduli hal lainnya. Namun, saat usai majlis pada malamnya dan ketika memandu pulang ke rumah, kesakitannya menggigit mengacah-ngacah. Malah, beberapa kali aku berhenti di hentian kerana lutut kiri itu seperti menangis minta aku mengerti.

Nahhh... pulang ke rumah dan memeriksa lutut kiri itu, ternyata ia sudah lebam dan membengkak. Sakitnya bukan kepalang. Beberapa teman minta aku membuat urut agar urat darahnya lancar kembali tidak terhenti. Tapi arghh.. fikirku, jatuhnya hanya sedikit. Paling remeh mahu dibesarkan akan membikin malu.

Namun, paginya kala membuka mata, bengkaknya semakin membonjol kasar. Sakitnya menggigit membuat acah. Dan... terdiamlah aku beberapa ketika. Mujur sahaja hari ini tiada urus pekerjaan yang menuntut tanggung.

[Yang kechil pada mata kita, mungkin besar ke-pada mata orang laen...]

Friday, April 08, 2011

~ MEMINJAM PENGERTIAN ~


TERIMA kasih. Memanjang emel kiriman seorang teman ini untuk dikongsi bersama di sini. Mudah-mudahan terpinjam.

Kenapa Aku Yang Diuji?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Kenapa Aku Tidak Memperoleh Apa Yang Dihajati?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
Surah Al-Baqarah ayat 216

Kenapa Ujian Seberat Ini?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
Surah Al-Baqarah ayat 286

Kepada Siapa Lagi Ingin Aku Harapkan?
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal."
Surah At-Taubah ayat 129

Sepertinya aku Tak Dapat Bertahan Lagi...
"…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
Surah Yusuf ayat 12

[Dan sunggoh...]

Thursday, April 07, 2011

~ CERITA TINGKAT 4 ~


BARU sahaja pulang dari tingkat 4. Tetapi hanya 10 minit. Sepertinya tidak akan ada lagi cerita tentang itu selepas ini. Tolong ingatkan aku.

[Sa-perti-nya akan benar habis..]

Wednesday, April 06, 2011

~ MASKARA 26 ~


(Kredit untuk gambar di atas yang aku pinjamkan tanpa kebenaran di laman Facebook anggota sindiket.. terima kasih)

MUNGKIN sedikit terlambat. Tetapi aku tetap mahu mencatatkan sesuatu tentangnya. Tentang Maskara 26 : 'Akar Showcase' yang aku hadiri seminggu yang lalu. Sepatutnya sahabat Mei turut sama menyertai sebagaimana inginnya tempohari, namun hambatan urus pekerjaannya yang kembali sederet beratur membuat nanti, ia terlepas acara. Mungkin pada kesempatan lain barangkali.

OK, kalau tidak kerana Asmidar Ahmad pun, aku tetap akan ada di Rumah Pena ini bagai selalu. Cuma dengan ada namanya, lebih menambah teruja diri. Sudah lebih tiga kali aku menonton persembahan penyanyi berbakat ini termasuk ketika di Gravy Baby, cafe milik pemuisi memikat, Fynn Jamal, pada Februari lalu. Dan memang dia tidak pernah mengecewakan. Untuk Maskara 26 ini, dia memilih rangkaian lagu-lagu Melayu Asli untuk diperdengarkan, sesuai dengan konsep 'akar' yang diketengahkan sebagai konsep Maskara kali ini. 'Gurindam Jiwa' dan 'Songkoknya Mereng' itu sangat menghiburkan. Aku tunggukan juga kalau-kalau bekas pelajar Aswara ini mahu melantunkan lagu 'Empat Dara', namun berkesudah hampa. Mungkin pada kesempatan lain barangkali.

Satu lagi nama yang mula mencuri perhatian beberapa masa terkebelakang ini, Tri Hadzir. Dia tersendiri dengan bakatnya dan aku sukakan itu. Malam ini Tri tampil mengulang lagu-lagu yang telah pernah dia persembahkan sebelum ini di Maskara yang terdahulu. Lagu-lagu yang sudah melekat di benak semenjak pertama kali aku mendengarnya. Namun sayangnya, malam ini feelnya tidak sepertinya yang pernah lelaki sosok kurus tinggi ini berikan. Sepertinya tidak sampai. Sedang aku pernah melihat persembahan terbaiknya sebelum ini. Mungkinnya kerana cinta hatinya, yakni Fynn Jamal tidak ada untuk mengiringinya malam ini. Atau mungkin juga kerana aku sendiri yang kurang feel kali ini kerana datang dalam keadaan kesihatan diri yang tidak begitu mengizinkan. Batuk, selsema dan demam.. ooh sungguh tidak menyelesakan. Lalu semuanya seperti tidak kena pada pertimbangan aku. Namun, demi Maskara, aku datang juga lantaran ia acara yang tidak harus dilepaskan mudah.

Sani Sudin mempertontonkan apa yang sudah biasa ditonton. Mungkin lainnya kerana tanpa dua sahabat akrabnya dari Kopratasa. Tetapi aku sangat sukakan lagu terakhirnya yang diangkat daripada puisi popular Zainon Ismail (ampun kalau aku tersilap menyebut namanya) itu. Hanyut tanpa sedar.

Tidak ketinggalan juga kepada Dewangga Sakti dan Amirah Ali yang turut membuat persembahan. Amirah sepertinya pernah aku temui sebelum ini tetapi entah di mana. Suaranya sesekali kedengaran seperti Farah Asyikin, tetapi mungkin sedikit tertinggal. Arghhh dia masih baharu, banyak lompong-lompong yang boleh dia perbaiki dalam tempoh perjalanannya. Dan sepanjang persembahan Amirah ini, aku tercuri perhatian kepada sang pemuda yang asyik memainkan seruling yang khabarnya hasil dari seni tangannya sendiri. Dan alangkah indahnya kalau dia tampil membuat persembahan solo dengan seruling emasnya itu.

Apapun, tahniah kepada seluruh Sindiket Sol-jah yang sentiasa bertungkus lumus memberikan ruang untuk acara ini. Usaha terpuji yang harus dipandang jelas semua. Kalaulah, tulisan ini di baca sang sindiket, aku mohon mengusulkan pada kesempatan akan datang, diberikan juga ruang kepada persembahan tarian tradisional untuk mengisi Maskara. Maklum sahaja persembahan begitu lazim selalu hanya boleh ditonton kala menghadiri acara rasmi kerajaan sahaja.

[Rindu dengan acara baca puisi... hanya kerap ada sa'at dunia di-timpa bencana sahaja.. ermm..]

Monday, April 04, 2011

~ DAN BAGAIMANA AKU? ~


SELAMAT berhijrah. Hari ini merupakan hari pertama buat dua orang sahabat yang memulakan dunia baru mereka apabila memilih untuk memulakan pekerjaan baru di tempat dan persekitaran baru. Seperti berjanji, keduanya melaku hal dan ketetapan yang serupa meski saling berbeza. Dan aku hanya memerhati.

Doa kesejahteraan buat sahabat yang namanya aqua dan sahabat kecil untuk penghijrahan ini. Mudah-mudahan mereka memperloleh yang lebih baik dan sempurna seperti mana yang mereka impi idamkan. Aminnn.

Dan bagaimana aku? Aku juga mahu berani seperti mereka. Berbuat sesuatu hal yang baru yang mungkinnya mampu mengubah rutin biasaku mengikut mahu. Sungguh dengan jujur, aku cuba mahu mengatur langkah baru seperti mereka, cumanya aku sering kali tidak cukup rasa berani untuk mengiring putus yang dibuat. Lalu seringnya terhalang sangkut apa yang dimahu diri.

Berdoa untuk tiba saat itu. Memulakan yang baru. Semuanya baru dan bukan ini sahaja.

[Dan aku maseh dalam barisan...]

Sunday, April 03, 2011

~ MASIH MAHU MENGERTI ~


KESEMPATAN berdamping. Terima kasih untuk teman jiwa yang masih mahu mengerti. Tidak akan pernah terjual itu. Sungguh.

[Senyom..]

Saturday, April 02, 2011

~ DI ATAS SEJADAH CINTA ~


TAJUK : Di Atas Sejadah Cinta
KARYA
: Habiburrahman El Shirazy
CETAKAN
: Keempat (2009)
PENERBIT
: Al Hidayah Publications
PENGEDAR:
Al Risalah Product Sdn Bhd
HALAMAN
: 299
HARGA
: RM15.90

“Ilahi, kasihanilah hamba-Mu yang lemah ini. Engkau Maha tahu atas apa yang menimpa diriku. Aku tak ingin kehilangan cinta-Mu. Namun engkau juga tahu hatiku ini tidak mampu mengusir pesona kecantikan seorang makhluk yang engkau ciptakan…”

[Hanya kamu..]

Friday, April 01, 2011

~ SELAMAT HARI MEMBESAR ~


ALLAH selamatkan kamu.. Allah selamatkan kamu.. Allah selamatkan Muhamad Dhani Adli... Allah selamatkan kamu...

Salam ulang tahun kelahiran yang kelima buat 'cinta hati' sahabat yang mamanya Dhani ini pada hari ini, 1 April. Mudah-mudahan anak kecil ini mampu berbakti dan berkasih sayang dengan sepenuh hati pada sang ibu yang sering sahaja mempertaruh seluruh hidup buatnya.

Paling sungguh juga, aku doakan semoga anak kecil ini membesar dengan budi yang besar, dengan kasih sayang yang jujur dan dengan senyum yang sebesar dunia. Jangan akan pernah lupakan yang pernah terberi 'ayah' dan 'mak' juga untuk hal yang serupa juga.

Selamat Hari Membesar.. :

[Anak kecil yang me-warisi genius sang ibu...]

~ WALAU SEMINIT ~


MENJADI perempuan Melayu Ampang! Yaa.. sekejap sahaja sudah genap setahun kami menetap di rumah baru ini. Tidak sempat terkalih. Terasanya seperti semalam kami meninggalkan KN yang penuh cerita itu.

Mudah-mudahan April menjanjikan sesuatu yang lebih indah, yang manis-manis semuanya. Dimulai dengan awal pagi tadi saat 1 April memunculkan diri, ada sesuatu yang manis telah terakam. Bukan April Fool, tetapi ia langsung memberikan senyum yang tercari lama.

Terima kasih untuk sahabat yang mengerti dan sentiasa ada saat aku mahu tanpa perlu aku berkata walau sepatah apapun.

Dan kata-kata seorang ibu lewat 50'an yang tidak dalam kenal dua hari lepas terngiang di telinga.. Benar katanya, walau seminit tertangguh, kelatnya menjadi beza besar...

"Banyak hal dan kejadian boleh berlaku dalam masa 24 jam, 12 jam, satu jam, setengah jam... malah dalam tempoh beberapa minit dan saat pun. Lalu, apabila ia sudah menjadi itu, tidak mungkin mampu terundurkan walau tangisan bertalu yang ditadah meluah rasa. Lalu saat kesempatan ada di dalam waras, selamatkanlah..... jangan sampai ada kehilangan. Apatah lagi yang mungkin tidak senang terkutip di manapun.. "

[Dan apa-bila ia men-jadi hari, minggu dan bulan.... dan bulan-2... kelat-nya menjadi besar beza.