Thursday, March 03, 2011

~ BERTINDAN-TINDIH CUNGAP ~


SIANG hari semalam aku terduduk menangis di tepi tangga kerana terlalu merasa sakit hati dengan beberapa hal yang menekan. Owhh... lama aku tidak bersituasi begini. Situasi di mana aku gagal mengawal emosi dengan baik cara orang dewasa.

Beberapa hal yang tidak membuat senang telah menjamah aku. Dan jika kamu pernah mengenal aku di sini melalui jari-jari yang bercerita ini, ia bukan hal yang luar biasa. Memang lazim untuk aku berdepan dengan hal-hal yang bertimpa tangga begini. Jika ia datang satu, pasti sahaja akan terkembar dengan yang lain. Menghembap keras dan akhirnya lihat bagaimana sudahnya aku.

Adalah perkara biasa untuk aku menanggung kesalahan atas sesuatu yang tidak aku lakukan. Adalah perkara biasa untuk aku dipertanggungjawabkan untuk hal yang tidak aku tahu pokok pangkalnya. Adalah perkara biasa untuk melihat aku sebagai pengangguk yang sering sahaja perlu mengalah walaupun terkadang tanpa mahu. Adalah perkara biasa untuk kamu melihat bagaimana aku ditunjal-tunjal salahkan tanpa ada ruang nafas. Dan tentunya perkara biasa juga untuk kamu melihat aku diam tanpa berkata apa lalu pergi menanggung emosi basah di tepi tangga sana untuk bercerita sendiri kepada kepala-kepala batu di situ untuk mohon simpati dan mengerti.

Dan begitulah jadinya siang hari semalam itu. Aku dengan nafas yang turun naik menahan diri agar membuat pecah pada rasa. Mujur sahaja ada suara halus yang sering berbisik di telinga dan hati. 'Yang kamu itu kamu...'.

Menjadi kebetulan pula aku terhambat dengan urusan duniawi yang lainnya pada ketika yang sama. Soal karenah birokrasi yang menolak-nolak rasa sabarku. Berlari-lari ke sana sini untuk menyelesai urus yang paling mudah tetapi akhirnya menjadi paling susah atas cenderung rasa bongkak manusia yang kononnya hebat dengan pangkat darjatnya. Ahhh... hebat kamu itu bakal turut di bawa ke mati kamu yaa? Nahh... bergalilah liang lahad kamu itu nanti kerana ada yang mahu mencuri milik yang hebat-hebat itu!

Berselang jam pada sebelah petangnya pula, aku terhenyak dengan hal-hal yang menjengkelkan berkait urus pekerjaan. Kalau ada yang memudahkan, kenapa perlu menjadi sang kacau yang bergelisah mahukan kebisingan? Begitukah sang pengepala yang terhormat mencari liburannya? Kali ini aku senyum walaupun ia langsung tidak ada rasa yang menyenangkan. Senyum yang bukan aku. Senyum yang timbang katinya lebih murah daripada yang terjual lambak. Nah untuk kamu yang layaknya.

Bertindan-tindih serabutnya. Bersimpul seratus. Lalu dapat kamu melihat betapa kacau emosiku pada hari ini? Lalu, usah kamu datang dekat kerana semuanya pasti akan menjadi kelat tanpa langsung memikat. Arghhh... langit merah, kamu sahaja yang mungkin dapat senangkan aku ketika ini.

[Ampun Tuhan.. hanya kamu yang meng-erti segala isi dalam-nya...]

No comments: