Monday, February 28, 2011

~ BOCOR ~


SEJAK akhir-akhir ini sering sahaja kedengaran kisah mereka yang namanya terkenal di dada akhbar menjadi mangsa kepada jenayah yang meraja di hiruk-pikuk kota ini. Melakukan hal lazim, kalangan mereka ini tentunya membuat laporan polis dan mengharapkan pembelaan. Hak semua orang selaku rakyat yang bernaung di tanah makmur ini.

Namun, bagaimana kalau pembelaan yang diharap itu bertukar menjadi hal yang lebih menakutkan? Ok, aku merujuk kepada kes seorang selebriti popular yang terlibat dengan kejadian rompakan baru-baru ini. Oleh kerana wajahnya yang dikenali di dada akbar, makanya apa sahaja yang terjadi kepadanya menjadi tumpuan ramai.

Lalu, apabila dia membuat laporan berkenaan kejadian yang menimpanya itu, maklumat dalam laporannya itu telah dibocorkan kepada pihak media. Hal inilah yang amat dikesalkan selebriti tersebut. Ini kerana pihak media yang mahu berkongsi cerita itu dengan orang ramai di luar sana atas alasan untuk dijadikan kejadian itu sebagai teladan dan sebagainya itu sebenarnya dalam masa yang sama bakal mengundang bahaya lain kepada mangsa tersebut.

Manakah tidak, apabila jumlah kerugian yang dialami didedahkan kepada umum, tentu sahaja penjenayah-penjenayah lain di luar sana galak merancang jenayah yang lain pula ke atas dirinya atau mana-mana selebriti lain yang dianggap sebagai ‘lubuk’. Kalau dia orang biasa, mungkin tidak ada masalah maklumatnya dikongsikan kerana tiada siapa yang mengenalinya.

Namun dek kerana wajah mereka ini dikenali di dada akhbar, makanya seleberiti-selebriti ini boleh diburu dan dicari atau ditemui tanpa sengaja dengan begitu mudah. Maka di sinilah situasinya menjadi berbeza. Di sinilah keselamatan mereka mudah terdedah kepada ancaman.

Justeru, aku bersetuju dengan pendapat selebriti tersebut yang mengatakan pendedahan maklumat kepada pihak media itu tidak harus terjadi. Bukan sahaja merujuk kepada kepentingan dirinya tetapi juga kepada selebriti lainnya. Bukan mahu menunjukkan mereka itu istimewa kerana status dalam masyarakat itu, tetapi ia lebih kepada faktor keselamatan yang mana situasi galakannya sangat berbeza dengan kalangan kita yang bukan menjadi tumpuan ini.

Kepada kamu dan kepada kita semua, mudah-mudahan lebih berhati-hati. Hiruk-pikuk kota ini terlalu mendedahkan kita kepada situasi yang tidak terjangkakan.

[Keadilan untok semua..]

Sunday, February 27, 2011

~ TAHEERA ROSHEENA & FYNN JAMAL ~

Taheera Rosheena - Autumn Leaves

Fynn Jamal - Suatu Pernah


AKU kongsikan persembahan Taheera Rosheena dan Fynn Jamal dengan kamu semua di sini. Pun begitu, mohon dimaafkan kerana kualiti rakaman video yang aku lakukan ini tidak begitu baik. Sekadar cukup untuk mendengar mereka.

[Dan.. aku mahu-kan lagi..]

~ LARUT DI MASKARA KE-25 ~


Taheera yang memikat...

Sepenuh perasaan.. Fynn Jamal membuat semua menjadi hilang..

Sungguh, persembahan Tri sangat istimewa..

AKU tidak berani untuk mengatakan Maskara ke-25 ini sebagai Maskara terbaik, tetapi sungguh aku sangat-sangat larut dalam persembahan Maskara kali ini.

Tasheera Rosheena Mohamed dengan tiga buah lagunya sangat memikat. Suara ibu hamil itu hanyut terus menusuk ke dalam hati sehingga membawa sekali aku ke dalam cerita lagu yang dia alunkan. Terutamanya saat mengumandangkan lagu 'Autumn Leaves'. Hilang seketika aku dari rumah pena dan terbang melayang menerawang jauh entah kemana. Arghh... indah sungguh. Lalu tercetus dalam hati, kenapa manusia berbakat sepertinya tidak tampil berkongsi apa yang dimilikinya itu dengan manusia sejagat di luar sana? Aku mohon sang penganjur, yakni Sindiket Sol-jah menjemput Taheera sekali lagi.

Selain Taheera, Fynn Jamal tentunya mengundang keterujaan yang tersendiri. Ini bukan kali pertama aku menonton persembahan sang pemuisi yang satu ini, namun auranya sering membuatkan aku merasa kali pertama. Alunan 'Suatu Pernah' berkesan dalam. Sepenuh rasa dia berikan dan sepenuh faham masuk ke hatiku. Dua lagu tidak puas, dan aku mahu lagi. Itulah yang mengikat sebenarnya.

Sebelum itu Fynn terlebih dahulu melatari persembahan Tri, yakni suaminya dengan empat buah lagu. Lagu yang judulnya 'Terima Kasih' itu agak lekat. Istimewanya Tri, persembahannya tidak sama seperti orang lain. Dia persembahkan dia. Itu yang menjadi unik. Seolahnya monolog dalam yang menarik terus kami yang mendengar ini agar tidak lari tumpuan atau terkalih pandangan. Dan mereka bertiga berjaya di situ.

Tidak kurang menarik juga, sang deklamator yang cukup bersahaja, Ridzuan Harun. Tidak pernah mendengar dia, melainkan hari ini. Terpikat. Bukan pada orangnya, tetapi pada puisinya. Lalu saat usai dia membacakan dua puisinya dan duduk di sebelah kiriku, aku ada rasa untuk mencuba-cuba bertanyakan tentang puisinya. Malah ada niat juga untuk meminta puisinya untuk disalin kongsikan di ruangan ini. Namun, sampai akhirnya aku hanya diam kerana perasaan segan itu menebal terus dan ia habis di situ.

Selain itu, persembahan dari Nuras dengan lagu-lagu jujur mereka juga cukup menyenangkan. Begitu juga dengan persembahan Petak dan Meta M. Tetapi paling menggamatkan suasana apabila tiba pada acara 'open mic' yang mana Aloy Paradoks dan Vovin tampil mengisi situasi. Kamu berdua memang terbaik. Aku ketawa habis dengan gelagat mereka ini, apatah lagi Fynn Jamal juga kemudiannya terseret menghangat suasana. Sungguh kamu memberi hiburan itu.

Usai Maskara aku menghirup secawan coffee sehingga jam 6 pagi bersama sahabat mei. Terpengaruh dengan keterujaanku, dia mohon membawanya bersama untuk menikmati maskara akan datang. Dan aku senyum sebesar hati. Mudah-mudahan, dia terbuka hati untuk mendeklamasikan puisi ciptaannya pada acara itu nanti. Dan Maskara akan mencipta sejarah. Aku tunggukan itu... :)

[Maskara sering men-jadi acara wajeb.. dan tidak dapat tidak..]

Saturday, February 26, 2011

~ ANUGERAH CINTA ~


TAJUK : Anugerah Cinta
KARYA : Nurmi Syakimi
CETAKAN : Pertama & Kedua (2010), Ketiga (2011)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 493
HARGA : RM19.90

“Kugapai cintamu biarpun hati sering dilukai…”

[Rasa yang hanya dapat di-rasa...]

Friday, February 25, 2011

~ TERIMA KASIH DAUN KELADI ~


TERIMA kasih daun keladi. Juga atas keprihatinan terhadap kesihatanku. Alhamdulillah, aku baik-baik sahaja. Tuhan masih mengizinkan untuk bernafas di buminya yang sangat indah ini...

[Rindu.. yang jarang di-sebot-kan aku, ta-tapi ada-lah yang paling ingin di-nyata-kan aku..]

Thursday, February 24, 2011

~ BANJIR DI HIRUK PIKUK KOTA ~


(Kredit foto: Bernama & mstar)

Hujan Lebat Di Ibu Negara, Beberapa Jalan Dinaiki Air
KUALA LUMPUR: Hujan lebat di ibu negara petang ini menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air akibat air melimpah dari beberapa batang sungai antaranya Sungai Gombak dan Sungai Bonus. Berikutan banjir kilat setinggi kira-kira 0.7 meter itu, banyak kenderaan ringan terperangkap di beberapa jalan-jalan utama di ibu negara.

Jurucakap Bilik Gerakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata antara jalan yang terjejas ialah Jalan Tun Razak bermula di hadapan Pusat Rawatan Pusrawi menghala ke Cheras.
Ekoran itu, kenderaan ringan tidak boleh melalui jalan tersebut namun kenderaan yang menghala ke arah Bulatan Pahang masih boleh dilalui di jalan tersebut.

Jalan-jalan lain yang dinaiki air ialah Jalan Ampang di hadapan Bangunan Risda dan Jalan Semarak. Selain itu, katanya 13 buah rumah dimasuki air iaitu 12 buah rumah di Taman Sri Rampai dan sebuah lagi di Taman P.Ramlee, Setapak.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata pihaknya menerima laporan air naik di Jalan Tun Razak dan telah menghantar tiga anggotanya untuk meninjau keadaan di sekitar Kampung Baru sebelum menghantar sebarang bantuan.

Jurucakap Trafik Kuala Lumpur pula berkata kesesakan berlaku di laluan seperti Jalan Ampang, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak kerana trafik bergerak perlahan. Keadaan tersebut dijangka berlanjutan sehingga 8 malam ini.

Jurucakap Lebuhraya Smart berkata Terowong Smart sudah ditutup sejak 4.20 petang tadi ekoran air yang sudah melimpah. Katanya lagi terowong ini dijangka akan dibuka dalam masa satu jam lagi selepas proses pengaliran air selesai. - BERNAMA

JALAN-JALAN yang dinyatakan merupakan laluan harianku untuk pulang ke rumah. Justeru, aku melencong arah dan menikmati makan malam percuma di Tony Roma's di Sunway Pryamid sehingga jam 10.00 malam.

[Mahu meng-hirop udara segar di-luar hirok pikok kota..]

~ BAIK PULIH ~


JALAN Ampang yang compang camping itu sudah ditar baru. Selesa. Tetapi kami ini masih tetap bercompang camping. Apa perlu kepada ditar baru juga?

[Tidak perenah rasa senang saat ber-compang-campeng]

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN PISCES ~


ALLAH selamatkan kamu
ALLAH selamatkan kamu
ALLAH selamatkan sahabat kecil
ALLAH selamatkan kamu..

Selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran buat sahabat kecil hari ini, 24 February bersamaan 21 Rabiul Awal. Mudah-mudahan sahabat ini lebih tabah mendepani hidup dan berlimpah kesejahteraan.

Lama tidak punya kesempatan untuk duduk menghirup secawan coffee dengannya. Masing-masing terhambat dengan urusan pekerjaan yang membuat ia menjadi berjarak. Meski begitu, persahabatan kami masih berlangsung manis dan tidak pernah bercompang-camping.

[Tidak perenah berobah..]

Wednesday, February 23, 2011

~ DAN BISU ~


RUMAH kami jadi senyap. Aku senyap di depan skrin ini. Kakak senyap mengadap bahan bacaannya. Abang senyap dengan lelapnya. Si kecil senyap dengan dunianya. Ruang depan senyap, kosong. Tinggal.

Kenyataan yang tidak terubahkan. Namun kami masih payah menerima itu. Lalu aku menelan 'puluhan kenapa' dan bisu...

[Terima kaseh untok bahu yang di-pinjam-kan..]

Tuesday, February 22, 2011

~ AKU DAN MASING-MASING ~

(kredit foto: filem Khurafat)

HARI yang menjadi ketakutan buat kami sekeluarga tiba juga. Lalu seluruh hari menjadi kelat dengan iringan air mata tanpa henti menerima kenyataan.

Adik menangis di riba. Esak yang tidak tertanggungkan. Hal yang jarang-jarang dia pamerkan secara terang-terang begitu kerana adik lazimnya suka menyembunyi seperti aku.

Hari ini tidak ada matahari merah, juga langit merah. Hanya mendung menutup hari dengan begitu gelap sehingga siang dan malam itu tiada beza.

[Tuhan, sunggoh kamu yang lebeh meng-erti...]

Monday, February 21, 2011

~ DAN SEKALI LAGI ~


MEMULAKAN pagi Isnin dengan mood yang tidak begitu baik. Sedih melihatkan keadaan unta hitam yang bercalar balar sebesar dua telapak tangan akibat sikap manusia yang pentingkan diri petang semalam.

Ia hanya disedari saat aku menjengah unta hitam kala acara amal ajlis anjuran tempat pekerjaan kami itu berakhir. Tiba sahaja di unta hitam, ia sudah bertanda jelas. Sakit hati dan sedih sudah tiada beza.

Tidak cukup dengan itu, ketika dalam perjalanan ke tempat pekerjaan awal pagi tadi juga menambah mood yang kelat. Sebuah motorsikal yang melulu merempuh cermin sisi unta hitam memberi kejutan yang bukan sedikit.

Kelat. Dan ia sangat merosakkan mood hari ini.

[Jangan hilang rasa...]

Sunday, February 20, 2011

~ MASKARA 25 ~


ACARA: Maskara 25
TARIKH: 26 Februari (Sabtu)
JAM: 8.00 Malam
TEMPAT: Rumah PENA
PERSEMBAHAN: Fynn Jamal, Tri, Meta M, Ridzuan Harun, Taheera Rosheena Mohamed, Petak dan Nuras.

MASKARA kembali lagi. Mudah-mudahan punya kesempatan untuk duduk menikmati persembahan indah dari mereka yang bukan sebarang ini.

[Hal-2 maskara memang sangat maskara..]

Saturday, February 19, 2011

~ BERJASA KASIH SAYANG ~


AKHIRNYA aku berjaya juga membawa sahabat mei untuk menikmati char kue tiaw kegemaran di TBR malam tadi. Biarpun manusia melimpah ketika kami tiba sekitar jam 12.15 itu, sahabat yang namanya cukup dikenali di dada akhbar ini tetap senang-senang sahaja.

Memandangkan ada cerita panjang untuk diperdengarkan, kami memanjangkan langkah ke tempat lazim menjadi pilihan, di RKA. Memang panjang ceritanya kerana kami duduk di bangku hujung itu bermula dari jam 1.20 pagi sehinggalah jam 10.30 pagi tadi. Yaa.. sama-sama bersekang mata kerana cerita yang terkongsi itu tidak punya episod yang boleh ditangguhkan.

Siapa sangka begitu perjalanan yang harus di lalui oleh sababat yang seorang ini. Aku mohon agar segala perancangan yang sedang dia aturkan itu berjalan baik. Aku tidak tahu apa yang ada di dalam hatinya, namun aku cukup faham tekanan yang sedang dia lalui itu. Bayangkanlah dalam tempoh yang semakin hampir itu, dia berdepan pula hal yang menyakitkan hati. Kenyataan yang dia telan satu-satu tanpa ada rungut.

Dia sentiasa kalah dengan manusia-manusia yang berjasa kasih sayang kepadanya dan aku faham itu. Mudah-mudahan ribut itu berhujung segera agar hatinya tidak menangis lagi. Cukup-cukuplah.

Hujung kepada cerita panjang kami hampir 10 jam itu, dia akhirnya membuat tekad. Bukan kerana tempias pengaruh dari aku, tetapi hasil kesimpulan dari rentetan peristiwa yang dia kendong beberapa hari terkebelakang ini. Aku menurutnya pulang ke rumah di FC dan kami kemudiannya menghalakan unta hitam ke lokasi yang begitu membuat debar buatnya. Ke jalan Ampang, ke Taman Nirwana, ke Pandan Mewah dan akhirnya ke Pekan Ampang. Alhamdulillah, akhirnya usaha kami berbaloi. Tuhan permudahkan. Melihat kekalutannya, aku merasa lucu. Kali ini dia benar-benar tekad. Lalu, terjadilah keputusan segera yang tidak dirancang-rancang.

Dek kerana wajahnya yang memang dikenali, ramai yang menegur tanya. Aku tahu ia agak merimaskan tetapi situasi itu memang tidak terelakkan. Cuma, aku harap ia tidak sampai terkongsi di dada akhbar sebelum tiba waktunya. Berilah dia ruang untuk bernafas tenang.

Jam 12.20 tengahari, aku baru punya kesempatan melihat bumbung rumah. Usai berganti pakaian tanpa sedikitpun lelap, aku memanjangkan langkah pula ke Istana Budaya sehingga jam 11.30 malam. Sempat juga meraikan hari ulang tahun sahabat yang namanya Aqua di sana (yang sepatutnya di rai dua hari lepas). Koboi sahaja, tetapi aku percaya dia tahu tentang keikhlasanku.

Memang rabak. Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku mampu bertahan membuka mata hampir 43 jam begitu. Huhuhu..

[Ber-jasa kaseh sayang dalam sa-buah persahabatan juga manis..]

~ GELORA ASMARA ~


TAJUK : Gelora Asmara
KARYA : Haryani Kamilan
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 514
HARGA : RM18.90

“Mata bertentangan, mautkan satu rasa. Rasa yang yang sukar untuk diungkapkan..”

[Tida' perenah meng-erti..]

Thursday, February 17, 2011

~ UNTUK IBU ~


IBU tidak perlu takut-takut lagi ke doktor untuk memeriksa tekanan darahnya seperti lazim selalu. Aku senang bila ibu tidak takut-takut lagi. Dan aku bertambah senang bila ibu memberi senyum paling manis saat dia dihulurkan hadiah ini.

[Kalau-lah mampu ku-bacha isi hati ibu setepat-nya...]

Wednesday, February 16, 2011

~ DIA YANG SEBENARNYA ~


MUNGKIN aku perlu berjaga terus dan bersiap siaga untuk ke tempat pekerjaan kurang lebih dua jam dari sekarang. Baru sahaja pulang ke rumah menghabiskan waktu luang dengan sahabat Mei di beberapa lokasi berbeza semenjak petang tadi.

Setelah kejadian samun yang menimpanya beberapa hari lalu, baru hari ini aku dapat menghubunginya dan mengetahui situasi sebenar dirinya. Malah dapat melihat sendiri kecederaan yang dialaminya itu. Walaupun hanya cedera ringan, tetapi bahagian kaki kirinya penuh bertanda luka. Lebih teruk daripada itu, sahabat dekat yang seorang ini mula fobia untuk keluar berseorangan dan tentunya menyulitkan keadaannya yang perlu banyak bergerak sendiri menguruskan kerjayanya.

Tinggalkan seketika soal itu kerana ada perkara yang menarik yang dia lakukan siang hari ini. Untuk orang yang hanya mengenalinya dari jauh atau secara luarannya, pasti sahaja mengganggap dia sang bangsawan yang galak menjaga status dan hanya gemarkan sesuatu yang bersifat kemilau sahaja. Nyatanya tidak, aku sudah lama tahu sisi sebenar sahabat yang seorang ini dan hari ini dia membuktikan lagi.

Dia tidak maklumkan apapun tentang perancangannya hari ini. Cuma dia hanya mohon aku menemankan dia ke suatu tempat. Katanya mahu berjumpa dengan kakak yang seorang ini di rumahnya. Ada sedikit urusan. Sekadar itu.

"Saya ni baru lepas kena samun, tetapi kalau awak tak rasa takut, boleh tak awak temankan saya jumpa kakak ni... "

Aku ketawa kecil dan bersetuju tanpa banyak tanya. Kami ke sana dengan menaiki unta hitamku itu. Tiba di alamat yang kami cari, mataku terus terpandang ke arah papan tanda yang ada di depan pintu rumah. 'Rumah Titian Kasih'. Dia hanya senyum dan terus meluru masuk ke dalam. Aku tidak berkata apa, hanya membalas senyum mengerti. Rupa-rupanya dia sering datang menyampaikan sumbangan untuk rumah ini. Aku tahu dia tidak suka jika tahu aku bercerita di sini, tetapi aku tetap mahu berkongsi tentang sikap pemurahnya itu.

Satu hal yang menarik juga pada hari ini, kami sama-sama berkesempatan solat berjemaah di Masjid TTAR. Buat pertama kali. Lokasi yang selalu dia pilih untuk mendengar kuliah agama rupa-rupanya. Sebaik sahaja kami melangkah masuk, ada dua orang makcik yang terus menyapanya mesra. Rupa-rupanya, keduanya adalah rakan jemaah sahabat ini di situ. Aku masih senyap dan tidak berkata apa sepatahpun tentang itu. Hanya memerhati.

Alhamdulillah, sempat kami mengerjakan solat maghrib dan seterusnya Isyak di sini dengan cukup senang. Usai bersalaman dengan jemaah lainnya, aku menghulurkan tangan kepada sahabat ini. Terasa lain dia menyambut salam itu. Dia kemudiannya menarik dan terus memelukku erat dalam telekung. Dan sungguh... babak itu telah membuatkan aku menitiskan air mata.

Hampir empat tahun kami bermasam muka kerana perselisihan yang tidak terjangkakan. Kemarahan yang begitu panjang dan keras sehingga merosakkan persahabatan kami. Dan alhamdulillah, hari ini aku cukup yakin kemarahannya terhadapku empat tahun lalu itu telah padam dengan penuh ikhlas. Sambutan Maulidur Rasul yang sangat manis.

Dari masjid TTAR itu, aku menurut ke lokasi kegemarannya. Dan kami menutur bual yang panjang sehingga jam empat pagi. Cerita kehidupan yang sarat terpinjam dengan hal-hal yang positif. Terima kasih untuk semua itu.

[Dan aku ter-kenang cherita di-tanah hijau dua minggu lepas... ermmm...]

Tuesday, February 15, 2011

~ DAN... MASIH MERUNGUT ~


HAMPIR seminggu yang lalu, aku sudah berjanji pada diri untuk tidak lagi merungut tentang kerja. Mahu senang-senang sahaja walaupun bergelumang dengan deretan kerja yang tidak pernah mahu habis. Mahu positif terus agak terelak tekanan membuat singgah. Namun, hari ini ia berulang. Sungguh hampir menangis aku kerana kepenatan. Kudrat yang sekerat ini tidak mampu untuk menampung semua itu.

Awal pagi, aku menyiapkan urusan kerja yang punya tarikh mati. Sepatutnya ia mati pada Jumaat ini, namun di atas sebab hal-hal desak berkaitan perpindahan tempat pekerjaan ke lantai baru, maka tarikh mati itu di awalkan pada Rabu ini. Makanya, hari ini aku harus menyiapkan semua itu sementelah esoknya cuti umum sempena Maulidur Rasul.

Jam 12.00 tengahari, bergegas pula ke Jalan Puchong dari bandar Anggerik untuk menguruskan satu acara besar anjuran jabatan kami. Acara ini adalah seratus-peratus diuruskan oleh kami sendiri. Lalu dari A-Z, aku harus mengambil peduli setiap inci perlaksanaannya. Acara itu berlangsung sehingga jam 6.30 petang.

Memeritkan untuk meredah sesak perut jalan raya untuk kembali semula ke tempat pekerjaan. Tidak dapat tidak. Ini kerana jam 8.30 malam aku dan rakan-rakan perlu mengemas dan memunggah segala barangan kami ke lantai baru. Meskipun masih di tempat yang sama, namun apabila perlu memunggah kotak-kotak yang melepasi ketinggianku pada susunannya, ia sungguh melelahkan. Kerja yang tidak tertampung untuk kudrat perempuan seperti aku barangkali.

Dan ia terlalu penat sehingga aku mahu menangis meski aku kelihatannya seperti tenang-tenang sahaja. Lalu usai semua itu, aku sepertinya mahu pengsan terus.

Salam Maulidur Rasul kepada semua.

[Sering me-lawan kudrat yang sa-kerat..]

Monday, February 14, 2011

~ MEMBACA ISI HATI ~



TIADA ketarikan yang istimewa dalam filem 'What Women Want' yang ditonton petang kelmarin. Cumanya subjek tentang kemampuan luar biasa membaca isi hati orang lain itu agak menarik.

Aku seketika terfikir, bagaimana kalau benar dalam dunia nyata kita mampu atau berusaha untuk mencuba sekurang-kurangnya, memahami isi hati orang lain. Yang dekat dan rapat dengan kita terutamanya.

Tentu sahaja segala perselisihan, pertengkaran atau pertembungan emosi dapat dielakkan. Memahami kehendak dan cuba memenuhi kehendak. Usaha untuk mencuba sekurang-kurangnya.

Dan aku berharap agar memperoleh kuasa luar biasa itu. Membaca isi hati! Kerana aku terlalu sayangkan mereka yang ada di sekelilingku hari ini. Dan tentunya tidak akan pernah mahu kehilangan mereka. Sungguh!

[Tulong aku..]

Sunday, February 13, 2011

~ YANG NAMANYA SAHABAT ~


SEPARUH hari mengisi keluangan dengan sahabat yang mamanya Dhani. Banyak hal yang terkongsi. Kecil dan besar.

Aku sangat lupa bila kami mula bersahabat rapat. Tetapi ada rasa percaya dan selesa yang hidup dalam tempoh yang tidak lama itu. Lalu hari ini terkongsi sebahagian hal kehidupanku buat pertama kali. Tidak mudah, tetapi terluah kerana dia sahabat yang memahami jelas. Aku juga cuba untuk begitu.

[Susah dan senang..]

Saturday, February 12, 2011

~ STREET VENDETTA ~


TAJUK : Street Vendetta
KARYA : Mazni Aznita
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 631
HARGA : RM19.90

“Cinta harus dikejar atau akan hilang di gugus-gugus waktu…”

[Kalau ia bukan men-jadi milek..]

Friday, February 11, 2011

~ SI GADIS 3 VENUS ~




SI GADIS

Wani Ardy/Fynn Jamal/Ana Raffali
(Hanya terdapat dalam CD komplimentari Tiga Venus)

Menjadi gadis itu memenatkan
Menjadi gadis itu merimaskan
Suatu kerja berat yang amat-amat membeban
Apatah lagi menjadi gadis yang ingin sendirian

Keterlaluan berani akan dikeji
Keterlaluan menangis akan dimaki
Perlu gagah dan tak reti tewas
Perlu kuat dihenyak, dicantas

Si gadis menelefonku malam itu
Teresak mencerita jiwa luluh
Dihiris bahasa tajam dari mulut
Si gadis tiada daya menutup

Lalu aku membalas
Bukan tugasmu memuas
Manusia berbeza
Minda tak akan sama

Si gadis terus meluah hampa hati
Perlakuannya salah serba serbi
Semakin keliru dengan mahu diri
Si gadis soal “bagaimana lagi?”

Lalu aku berkata
Biar nalurimu beraja
Mana hujung sempurna
Pada manusia

Kita gadis memang sering menyongsang rasa
Mana cinta, mana rasa, mana dia
Dengar sini; sabarkan dahulu
Simpankan air jiwa kamu
Hanya sidia itu

Lalu aku berkata
Biar nalurimu beraja
Mana hujung sempurna
Pada manusia

Perlu tabah
Perlu gagah
Usah resah
Usah goyah

Ayuh gadis
Berhentilah kau menangis.

[Dan senantiasa mengerti..]

~ BILA BINGIT HON TIDAK LAGI DIPEDULIKAN ~


TURUT bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas sahabat Mei petang semalam. Sahabat yang seorang ini menjadi mangsa kepada jenayah samun di tengah siang hari, di kala bingit hon mengisi hiruk-pikuk kota.

Mujurlah dia selamat dan hanya mengalami kecederaan kecil sahaja. Wang ringgit mampu dicari, nyawa di badan hanya itu yang ada. Justeru, untuk kamu di luar sana mudah-mudahan lebih berhati-hati dengan pergerakan orang di sekeliling. Disebalik rasa postif dan sangka baik, harus ada sedikit rasa curiga sebagai pelindung diri dan ingatan agar sentiasa berhati-hati mengatur langkah.
Risau. Dan masih gagal menghubungi sahabat itu untuk bertanyakan sendiri keadaaan dirinya.

[Kalau-lah mampu di-duga..]

Thursday, February 10, 2011

~ PERCUMA CERITA SEMALAM ~


MALU. Kali ini malu yang agak memalukan. Menggaru-garukan kepala yang tidak gatal, dan kemudiannya mematikan telefon bimbit hampir sehari suntuk.

Kali ini apa? Ermm.. kali ini, sebelum ini dan dan mungkin selepas ini aku masih tersilap menghantar SMS. Bukan sekali, bukan dua tetapi beberapa kali. Cumanya aku bernasib baik kerana SMS yang 'silap' itu kerap sampai kepada mereka yang dekat dan mengerti akan aku. Lalu ia tidak menjadi 'apa-apa'.

Namun, hari ini ceritanya menjadi lain apabila SMS kosong maksud itu sampai kepada orang yang salah dan daripada kosong itu ia telah menjadi penuh maksud. OK, usah tuturkan aku dengan sebarang pertanyaan kerana aku hanya akan menjawabnya dengan senyuman.

Kalut. Dan ia selalu dekat denganku. Walaupun kelihatannya aku ini tenang-tenang sahaja orangnya, namun hal yang sebenar adalah sebaliknya... Hahaha.. dan kerana kekalutan semalam juga, sehingga hari ini aku terasa mahu mematikan telefon bimbit. Ermm..

[Nasehat per-chuma..]

Wednesday, February 09, 2011

~ ENERGI POSITIF ~


ENAM hari termasuk dua hari tambahan aku tidak menjejakkan kaki ke ruang pekerjaan. Berehat panjang. Dan hari ini aku perlu kembali menjalani kembali rutin itu.

Namun, hari ini rasanya lain. Energinya lebih positif. Terasa seperti menghadapi hari pertama persekolahan. Bunyinya seperti lucu, tetapi itulah yang aku rasa pagi ini.

OK. Aku mulakan dari kosong kembali. Ingat, menghargai apa yang perlu dihargai.. :)

[Heyy Koishie, aku suka me-lehat kamu dengan senyom yang begini..]

Tuesday, February 08, 2011

~ MEMINJAM CERITA JUJUR ~


BANYAK hal yang sama aku kongsikan dengan sabahat dekat yang ku gelar Aqua ini tanpa disedari. Kebetulan barangkali. Kesukaan perihal alam semulajadi, kecintaan terhadap seni kreatif, kecenderungan kepada hal membidik dan beberapa hal lainnya. Sahabat yang sering membuat senang.

Hari ini dia memberikan aku senyum yang banyak. Senyum melalui penulisan 'selambanya' di ruang kecintaannya, di blog yang hanya sekali pernah aku singgah dulu. Dulu. Bukan tidak ada keinginan tetapi berkongsi cerita secara berdepan dengannya lebih hidup fikirku. Atau sebab sebenarnya adalah kerana aku sering sahaja lupa url blog kesayangannya itu. OK, itu yang paling jujur.

Hari ini, entah bagaimana aku singgah ke situ. Membaca dan memahami satu persatu cerita yang dia kongsikan. Dia membuat aku ketawa, memaksa aku tersenyum dan mengusik hatiku supaya menangis juga. Begitu dia menyentuh aku dengan deretan cerita jujurnya. Ahh.. begini isi dalam sahabat ini rupa-rupanya. Sahabat yang seringnya aku jumpa dengan gelak ketawa dan senyum panjang setiap masa. Rupa-rupanya punya sisi yang lain.

Sungguh, melalui pembacaan dan perkongsian penulisan jujurnya, aku telah terpinjam satu cerita kehidupan yang besar. Malah, dia memberi persepsi baru untuk aku melihat dan merasa dengan lebih jelas terhadap sesuatu. Umpama memperoleh semangat baru yang telah sedia ada.
Terima kasih Aqua! Dan.. heyyyy.. aku ada untuk kamu pinjamkan bahu, sungguh!

[Hargai untok yang meng-hargai, bukan..]

Monday, February 07, 2011

~ LEBIH DARI 15 JAM ~ ~


BERSIAP-siap untuk ke tempat pekerjaan setelah melalui cuti yang panjang. Kepala masih berat setelah aku meletak lena lebih dari 15 jam siang hari semalam.

Setelah bersiap siaga untuk turun dari rumah, sungguh kepala terasa berat. Terawangan-awangan. Aku membatalkan hasrat untuk ke tempat pekerjaan. Entah cuti pada saat-saat akhir begini diterima encik boss atau tidak. Tegar.

Dan hari ini mendapat tambahan dua hari lagi.

[Sahabat mei tahu cherita.. lalu ada nasihat per-chuma yang perelu aku per-timbang-kan dari dia..]

Sunday, February 06, 2011

~ MAHU LEPAS ~


ALHAMDULILLAH... Tuhan masih panjangkan umur dan aku masih mampu bernafas pada saat ini.

[Cherita se-malam yang maseh tidak lepas..]

Friday, February 04, 2011

~ CERKAS ~


TAJUK : Cerkas
KARYA : Ahli Keluarga Sindiket Sol-jah
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Sindiket Sol-jah
HALAMAN : 104
HARGA : RM15

“Kadang-kala, lagi ringkas orang tulis, lagi lambat kita baca – sebab, sambil kita kita baca, sambil itulah kita fikir. Berfikir menjadikan kita lambat. Sementelahan, Malaysia sememangnya mempunyai banyak tukang fikir. Lalu, menjadikan kita semakin lambat,”

[Men-jadi terapi...]

Thursday, February 03, 2011

~ BOSAN ~


BOSAN. Aku hanya menghabiskan masa sepanjang hari ini di rumah. Mundar-mandir. Cuba melakukan sesuatu untuk menghilangkan kebosanan. Mengemas rumah, bilik, mengubah kedudukan meja, kerusi, komputer dan semuanya. Bosan.

Akhirnya timbunan buku-buku lama ini juga yang menjadi penyelamat. Aku mengadap sederetan buku-buku lama yang ada dalam simpanan dari petang hari tadi sehinggalah saat ini. Masih dengan keterujaan biarpun bacaan ini merupakan ulangan yang entah keberapa kali. Namun, keterujaannya tetap tidak berkurang.

Mahu keluar melihat langit merah. Sungguh aku mahu!

[Bosan]

~ SELAMAT TAHUN BARU CINA ~


GONG XI FA CAI...
Untuk teman jiwa dan keluarga. Semoga tahun arnab ini memberikan lebih rezeki dan tuah.

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

[Ber-beza..]

Wednesday, February 02, 2011

~ DARI ATAS BUKIT AMPANG ~


INDAH. Aku melihat seluruh Kuala Lumpur yang bersimbah cahaya dari atas bukit Ampang yang menyenangkan ini. Tinggi. Sayup... Sepatutnya tenang dan mengasyikkan. Tetapi oleh kerana aku bersama sekumpulan teman-teman yang 'gila', suasananya jadi lain dengan bingit mereka.

Tidak dirancang, tiba-tiba sahaja aku menggangguk untuk menyertai mereka di sini. Sementelah aku agak kebosanan dengan dengan urus pekerjaan yang berderet-deret mengisi jadual harian itu. Lalu sehabis urus di tempat pekerjaan kurang lebih jam 8.00 malam, aku memutus untuk menyertai teman-teman ini.

Aku pernah ke sini, sekali. Bersama teman jiwa. Tempat ini menjadi kegemaran tetapi tidak sering punya kesempatan. Saat aku bergembira bersama-sama teman-teman ini, lelaki itu sedang meraikan perayaan tahun baru bersama keluarganya di sana. Gong Xi Fa Cai.

[Sangat ter-ingin untok me-lihat langet merah dari atas bukit ini...]

Tuesday, February 01, 2011

~ TIDAK PERLU DIRANCANG ~


LAMA tidak punya kesempatan melakukan sesuatu yang aku suka. Urusan pekerjaan yang menghambat sering sahaja membuat halang. Kehidupanku menjadi terhad apabila aku hanya melakukan hal yang serupa pagi, petang, siang malam hampir setiap hari.

Dulu, ketika arwah D masih ada, kami sering sahaja punya keluangan melakukan hal-hal yang membuat manis. Dicelah kesibukan urusan pekerjaannya yang menghimpit, kami mencuri kesempatan untuk lari menghirup udara segar di luar hiruk-pikuk kota.

Selalunya tidak pernah dirancang. Kami akan lakukan apa yang ingin kami lakukan tanpa perlu sibuk begitu dan begini. Itu yang menyeronokkan. Pernah kami ke bandar Ipoh semata-mata kerana mahu menghirup secawan coffee di sana. Manis.

Dan beberapa hari ini, aku sepertinya teringin mahu menghirup udara segar sambil membidik kehijauan ladang teh di tanah tinggi sana. Atau melihat langit merah dalam nafas yang cukup tenang. Lari seketika dari hiruk pikuk kota yang membuat bingit setiap hari.

Kalau sahabat dekat yang seorang ini (Al fatihah buat kamu, D..) masih ada, tentu sahaja aku sudah berada di sana. Sahabat yang banyak berkongsi hal-hal yang sama denganku atau mungkin yang banyak memahami dan cuba memahami lalu terjerat dengan hal yang sama... hahaha..

Mungkin kerana hal itu, teman jiwa sangat menjauhi arwah. Ermm....

[Errmm.. aku begitu merindui lelaki itu.. Al Fatihah....]