Monday, January 31, 2011

~ GAGAL DIHUBUNGI ~

(kredit foto: filem khurafat)

ALHAMDULILLAH, pagi hari ini aku sedikit segar setelah seharian semalam terlentang lemah dengan kepala yang berat. Akibat menadah hujan dengan sengaja pada malam sebelumnya.

Teman jiwa membuat rajuk. Sepanjang semalam telefon bimbitku mati terus. Lalu aku gagal dihubunginya. Maka lelaki sepet itu mula membuat tafsirannya sendiri dan dia mendapat gambaran yang salah.

Sungguh, dengan keadaan semalam aku tidak punya kesempatan untuk membetul keadaan. Nah.. hari ini dia tidak mahu mempedulikan aku.

[Mungkin aku atau dia, perlu berobah...]

Sunday, January 30, 2011

~ MASKARA 24 ~


SEHARIAN memerah tenaga di acara besar anjuran tempat pekerjaan. Dalam tempoh sepuluh jam acara berlangsung itu, lelah kuat menghambat. Biarpun sesekali aku menyertai sahabat june 'mencuri tulang', namun sungguh kudrat yang sekerat ini tidak mampu menampung hambatan itu walaupun pada mata kasarnya aku seperti cukup tenaga untuk semua itu.

Jam enam petang, aku mulai resah. Urusan belum berakhir, sedang malamnya aku mahu memanjangkan langkah ke rumah pena untuk acara wajib, MASKARA 24.

"Ehh.. orang lain semunya berlari nak balik rumah kepenatan, kau ada acara lain lagi?"
"emm.. ni acara wajib, tak boleh tidak.. rugi kalau tak pergi"
"Seharian membanting tulang hari ni, bawak-bawaklah balik berehat.."

Jam 7.30 malam, aku menghalakan unta hitam ke rumah Pena. Tegar... demi MASKARA.

Kali ini, sahabat june menurut serta. Entah bagaimana, aku tiba-tiba mempelawa dia walaupun aku tidak pernah mahu membawa dia ke sini sebelum ini. Ada alasannya, dia sangat tidak sesuai di acara begini kerana jiwanya bukan untuk hal-hal begini. Lalu, aku hanya mahu mengelakkan dari kebisingan dia membuat rungut kalau acara yang disajikan membuat bosan kepadanya. Aku cukup pasti, sahabat ini bukan dalam haluan ini walaupun dia cuba berlagak sehaluan.. :)

Tinggalkan cerita sahabat yang kerap mahu membuat helah kepadaku itu kerana pengisian MASKARA 24 sempena ulangtahun kelima mereka lebih menarik untuk diperkatakan. Sungguh, lelah yang sarat dikendong dari tempat pekerjaan itu lerai sebaik aku bersandar hanyut menikmati persembahan demi persembahan di acara pertama mereka untuk tahun 2011 ini.

Paling memikat, persembahan monolog dari Aloy Paradoks. Entah kenapa aku meletakkan dia pada tangga pertama. Mungkin kerana kisah ayah barangkali. Kisah yang disampaikan hampir sempurna oleh Aloy. Masuk, lekat dan menyentuh terus perasaan yang di dalam ini. Aku menangis tersentuh. Tangisan yang hanya aku sahaja yang tahu kerana ia hanya berlaku 'di dalam sana'. Terima kasih kerana memberi rasa. (Al-fatihah untuk arwah ayahanda sahabat june.. dan doa kesejahteraan untuk ayah dan ayah-ayah kamu seluruhnya..).

Marini Rafar. Deklamasi puisi kamu membawa aku jauh. Apa pernah aku mendengar kamu sebelum ini? Bait-bait ungkapan puisi Lilin kamu itu punya makna yang sungguh dalam. Indah kalau aku juga dapat mengekspresikan apa yang ada di dalam seperti yang kamu lakukan. Kamu tidak perlu menjadi sesiapa yang lain, kerana kamu sudah hampir indah begitu. Ringkas, tapi lekat.

Juga persembahan yang memikat dari Azfar Allias. Pertama kali, aku mendengar namanya, pertama kali juga aku melihat persembahannya. Ohh.. kamu anak muda yang sungguh berbakat. Tiga lagu yang buat aku hanyut. Tapi senyum dengan banyak. Apa mungkin aku mampu mendengar kamu lagi selepas ini? Atau selepas kamu menjadi bintang seperti Anna Raffali yang dulunya juga ku dengar di MASKARA ini.

Sahabatnya yang mamanya Dhani, berkali memuji Asboon. Katanya Asboon memikat. Lalu berkali juga dia mencadangkan aku supaya mendengar Asboon. Justeru, nama Asboon bukan asing kepadaku walaupun ini pertama kali aku bertentang mata melihat persembahan mereka. Mungkin benar bagai di kata, mereka harus diberikan peluang di arus perdana. Namun, aku paling tertarik dengan sang pengetuk 'drum kotak', Lan Asboon yang memberikan bunyi yang memikat dengan gaya dan caranya yang tersendiri.

Selain itu, Adieyka Zainal, Nagalrak dan Rozinor Razali tentunya berjaya juga dalam misi mereka. Menjadi rezeki juga apabila tiba-tiba pada acara 'open mic', abang Pyanhahib yang sering aku lihat kelibatnya di acara MASKARA ini bermurah hati memperdengarkan puisinya kepada kami. Antara faham dan tidak, aku merasa indah.

Sebenarnya, ketika saudara Dinsham mengumumkan acara 'open mic' itu, aku membayangkan kalaulah aku punya keberanian untuk berdiri di depan itu membacakan puisiku sendiri. Keinginan yang kembali ada setelah aku dipaksa melakukan itu minggu lalu di acara ulang tahun seorang sahabat... ermmm..

Saat jari-jari ini bercerita di sini, badan tersangat lemah. Mungkin tenaga untuk hari ini telah digunakan dengan semaksimumnya membuatkan aku akhirnya kalah. Apatah lagi, aku dengan sengaja menyerah kepala kepada hujan saat pulang menghirup secawan coffee sepulang MAKSARA sebentar tadi. Tiba-tiba kepala menjadi berat pandangan semakin mengecil. Lalu, aku perlu berhenti.

[Akibat me-nadah hujan..]

Saturday, January 29, 2011

~ YA FATTAH; CINTA SAKTI


TAJUK : Ya Fattah; Cinta Sakti
KARYA : Noorfadzillah
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 454 Muka Surat
HARGA : RM17.90

“Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilangkan cintaku padamu…”

[Dengan seluroh jhiwa aku kata-kan...]

Friday, January 28, 2011

~ TOLONG INGATKAN AKU.. ~


"mrng. i pakai bj biru 2day.." 8.45am
"nk lunch.. ermm pasta."1.09pm
"so sleepy."
3.10pm
" huuuu.. raining.." - 4.32pm
"@starbucks - 7.17pm

Aku senyum. Beginilah cara dia bereaksi bila aku hanyut dalam hambatan urusan pekerjaan sehingga lupa untuk mengambil tahu itu dan ini tentang dia. Sederetan SMS-SMS yang bukan 'dia' pasti akan singgah di skrin telefon bimbit. Cara dia mengetuk kepala aku untuk mengingatkan aku yang mungkin mula 'lupa' orang-orang keliling yang sepatut.

Meski jauh jarak dan pandangan, kami bukanlah orang yang harus melaporkan itu dan ini setiap masa dan ketika. Justeru, bila dia bertindak begitu bererti ada yang tidak kena. Yaa.. aku hanyut. Namun ia bukan dalam perkiraan. Terima kasih kerana mengingatkan.

[Tolong ingat-kan aku...]

Thursday, January 27, 2011

~ RASA YANG DI DALAM ~


"Sepanjang tujuh bulan kerja sini, akak tengok u paling cool orangnya. Sekalipun tak pernah tengok u bising atau marah-marah..."

Aku senyum. Begitu aku dinilai. Sebenarnya, aku tidaklah setenang itu. Gelodak-gelora di dalamnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Cuma mungkin aku tidak memilih untuk mempamerkan kemarahan atau kebisingan itu secara lambak. Seperti berbikini di Bali kerana marahkan kekasih. Ohh.. Itu cerita lain.

Sepanjang minggu ini, aku terhambat dengan sederetan urusan pekerjaan yang menekan. Sejak awal minggu pada setiap hari aku hanya melihat bumbung rumah selepas jam 12.00 malam setelah keluar rumah pada paginya sekitar 6.35 pagi.

Semalam, aku dimohon bantu untuk menyiapkan satu tugasan. Ia perlu disegerakan atas permintaan pelanggan. Lalu, aku mengetepikan hal-hal wajib yang lain untuk mendahulukan yang ini. 'Bersilat' untuk menepati kehendak. Alhamdulillah terhasil seperti mana yang dimahukan.

Namun, petang tadi tiba-tiba aku dimaklumkan tugasan itu terbatal kerana sang pemberi tugas yang memohon pertolongan itu memberitahu dia tersilap melihat tarikh. Tugasan itu sebenarnya untuk bulan Mac nanti. Hah??? Kamu mengejar dan menekan aku dalam sederetan kekalutan yang lain dan akhirnya begini? Dan kejadian ini bukan pertama kali.

Aku duduk diam. Tidak memberikan sebarang reaksi. Nafas turun naik naik di dalamnya. Mahu menangis pun ada. Begitu tenangkah aku berdepan rasa yang begini?

[Sabar itu meningkat harga-nya apa-bila ia sering di-uji-uji..]

Wednesday, January 26, 2011

~ BERERTIKAH KEMAAFAN ~


BERERTIKAH KEMAAFAN

Mohon mengerti
Tapi tentu bukan kamu
Masih dengan biru
Yang fikirmu paling benar

Persis tuan tanah yang menjadi raja
Datang kala mahu,
Campaklah sahaja ke laut
Saat tidak berguna

Nanti datang beralaskan sesal
Kemaafan ada untuk dipohon bukan?
Lebih sekali
Apakah masih ada erti?
Atau yang mahu mengerti?

Lalu bercakaplah kamu
Untuk diamkan aku..
Yang akhirnya aku mengangguk
Dan kamu tahu itu aku..

[Kamu tahu aku..]

Tuesday, January 25, 2011

~ MERAH ~


KENAPA memilih merah?
Aku ditanyakan itu lurus.

"Darah mengalir merah, hati juga mengembang merah. Selagi hidup ia akan merah... "

[Semangat yang senanatiasa merah menyala..]

Sunday, January 23, 2011

~ AKU DAN KAMU ~


AKU DAN KAMU

Rasa itu mengejar
Punah dalam resah
Kehendak yang berbeza
Dari aku dan kamu

Peduli apa pada peluru
Cinta aku dan kamu kalis
Mengintai restu
Dari dulu sehingga hari ini

Kita hanya bermimpi
Sekadar angan pada bulan dan bintang
Kata yang kamu dan aku
Telan, kunyah dan hadam

Lalu di mana kamu dan aku hari ini?
Aku di Ampang
Kamu di selatan
Dan di mana-mana.


[Bukan di-pileh..]

Saturday, January 22, 2011

~ SEMILIR CINTA ~


TAJUK : Semilir Cinta
KARYA : Qismina Quraisyya
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 535 Muka Surat
HARGA : RM18.90

“Asmara ini tidak pernah didambakan tetapi kenapa tiba-tiba rindu mengetuk pintu hati?”

[Rasa yang di-dalam sana...]

Friday, January 21, 2011

~ BERPASANG MATA MENUMPU ~


KALI terakhir aku membaca puisi di depan khalayak ramai adalah ketika berada di bangku sekolah beberapa tahun dulu. Dipaksa guru mewakili sekolah bagi acara itu. Itu kali terakhir. Manis.

Dan selasa lalu, aku kembali memperdengarkan puisi di depan khalayak. Gemuruh bukan kepalang, seolah mata-mata yang menumpu itu mencuri seluruh kata senyap yang ada di dalam. Yaa.. untuk mereka yang mengenaliku dekat pasti sahaja tahu aku paling takut ditumpukan atas apa jua alasan.

Babak Selasa itu berlaku atas permintaan seorang yang menyambut ulangtahun. Lalu, puisi itu aku baca beriringkan getar resah yang bukan sedikit.

Senyum sendiri. Telah lama aku tinggalkan itu. Lantas terkenangkan kata sang penulis hebat yang seorang itu. Puisi itu adalah kata-kata jujur dari hati. Lalu apabila sesuatu yang jujur dipendengarkan, penyerapannya menjadi istinewa dan sampai terus ke hati. Tetapi itu untuk yang mengerti...

[Dan sa-lepas hujan...]

Thursday, January 20, 2011

~ RAJUK TETAP RAJUK ~



"Nahh.. hadiah merajuk."
"Bila masa pula saya merajuk dengan awak.."
"Memang bukan dengan saya... tapi sayalah orangnya yang selalu dapat tempias merajuk awak tuh"

AKU senyum. Terima kasih lelaki sepet kerana seringnya mahu memahami. Namun rajuk tetap rajuk kerana bukan dia yang berpunca rajuk.

[Ayumi ber-selang Ice Kacang Puppy Love sangat lekat dan dekat..]

Wednesday, January 19, 2011

~ SEPERTI JALAN AMPANG ~


KOREK-tampal... korek tampal. Setiap malam, ada sahaja kerja-kerja seumpamanya dilakukan di sepanjang Jalan Ampang ini. Lalu fizikalnya sudah menyakitkan mata. Keadaan jalannya kini sudah tidak sama rata. Bercompang-camping.

Ke kiri masuk lubang, ke kanan juga masuk lubang. Sudahnya, langgar sahaja dan tidak perlu mengelak apa-apa lagi. Setiap hari melaluinya sehinnga sakit badan dibuatnya. Sekejap melambung, sekejap terpelosok, sekejap tersembam. Keadaan kereta juga melalui hal yang sama. Tayarnya semakin rosak, alignmentnya sudah tidak selari.. Itu belum belum dihitung hal lainnya.

Dan... begitulah dengan persahabatan aku dengan seorang sahabat ini. Sudah menjadi seperti Jalan Ampang!!!

[Jalan Ampang senantiasa banyak cherita]

Tuesday, January 18, 2011

~ DAN, ITU BUKAN AKU ~


OK. Aku mohon maaf. Bukan maaf yang dijual lambak itu, tetapi yang benar dimaksudkan. Memang begini rasanya bila mana aku lakukan sesuatu yang memang tidak mahu aku lakukan. Rasa bersalah itu melingkari, membuat sesak sehingga nafas tercungap. Dan, aku tahu itu bukan aku. Tidak senang hati... dan ia panjang.


[Sering di-himpit untok tidak men-jadi aku..]

Monday, January 17, 2011

~ HAL YANG TERLEPAS ~


GAGAL. Beberapa hari terkebelakang ini aku sepertinya tidak begitu bijak mengurus masa. Banyak hal-hal yang aku terlepas atas alasan urusan pekerjaan yang menghimpit. Hakikatnya, aku sendiri yang gagal mengurus selia dengan baik hal-hal yang berada dalam tangan itu.

Diam. Senyap. Aku sedar sesuatu harus diperbaiki. Ermm... dan hari ini aku mahu mulakan. Tiada bersebab orang lain, melainkan berpunca aku sendiri.

Demikian hidup, usah terlalu menuding jari kepada orang lain. Ada hal-hal, kenyataannya dari diri sendiri sama ada dalam sedar atau sebaliknya.

[Mohon kemaafan untok segala yang ter-lepas-kan..]

Sunday, January 16, 2011

~ TOLONG INGATKAN AKU ~


TOLONG INGATKAN AKU
by ana raffali

Jangan disusun kata-kata penamat
Jangan disebut baris ayat keramat
Biar lenyap diserap sunyi
Biar senyap yang tak menyepi

Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama
Mari padamkan buku tiga lima
Biar luka sembuh sendiri
Biar lupa dimakan hari

Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa
Kau dampingi aku
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Bila marah merasuk minda
Kecewa menyelubungi jiwa
Aku lupa

Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa
Ku teringatkanmu
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Tolong ingatkan aku kisah kita
Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa

Tolong ingatkan aku
Kisah kita


[sering-kali lupa memandang belakang...]

Saturday, January 15, 2011

~ NAMAKU BUKAN MARIA ~


TAJUK : Namaku Bukan Maria
KARYA : Ibnu Ahmad Al-Kurauwi
CETAKAN : Pertama (2011)
PENERBIT : PTS Litera
HALAMAN : 410
HARGA : RM18.00

“Ada dirinya dalam kelompok burung-burung senja yang terbang bila pagi dan pulang sesudah dihalau matahari. Sejauh-jauh burung terbang, sesudah langit berbalam, akhirnya ke sarang juga pulang….”


[Bukan chenta dan air-mata...]

Friday, January 14, 2011

~ MAAF YANG DIJUAL LAMBAK ~


MEMOHON kemaafan dan memberi kemaafan itu adalah perkara yang paling manis jika ia berlaku dengan rasa yang ikhlas, rasa yang mengerti dan rasa yang menghargai. Dan ia juga menjadi sebaliknya jika maaf itu hanya sekadar tuturan untuk untuk melepaskan diri dari kesilapan atau kesalahan yang dilakukan.

Lebih malang, maaf juga dijadikan lessen untuk mengulangi kesilapan atau kesalahan yang ada. Alasannya mudah, mohonlah kemaafan selepas itu kerana memohon maaf adalah hal yang terpuji. Dan orang yang tidak memberi kemaafan pula adalah sebaliknya. Ermmm…

Usah dituturkan tentang kemaafan itu jika kamu sendiri tidak mengerti tentang apa itu kemaafan. Jangan jadikan istilah itu tiada maksud dan seterusnya menjadi tiada nilai. Sehingga tiba satu ketika, ungkapan itu hanya menjadi ungkapan kosong tidak bermakna. Itu nasihat percuma daripada aku.

“’Maaf’ kan dah dijual lambak… ”
“Boleh diguna di mana sahaja dan seberapa kerap yang mahu..”

[RM3 sa-longgok...? Bagi saya sa-puloh longgok...]

Wednesday, January 12, 2011

~ SAHABAT MEI YANG DULU ~


CERITA lima tahun lalu kembali aku kenang. Sejarah yang paling kelat berlaku antara aku dan sahabat mei. Beberapa tahun ‘singgung’ itu tidak mahu membuat lepas. Pun begitu, menyedari hiruk-pikuk itu berpunca aku (walau atas apa jua alasan), aku berusaha sepenuh jujur memulihkan persahabatan antara kami.

Alhamdulillah… yang keruh-keruh dulu kini sepertinya kembali jernih. Sehingga dapat aku melihat wajah sendiri di dalam kejernihan itu. Sepertinya cerita 2006 benar-benar pulih.. barangkali.. dan aku sangat mengharapkan itu.

Hari ini kami menghirup secawan coffee bersama. Larut dengan sederetan cerita hingga membawa kepada beberapa jam di tengah-tengah antara titik lokasi kediaman kami. Cerita-cerita jujur itu sangat melegakan.

Lebih manis, sahabat yang seorang ini kembali seperti mana dia yang pernah aku kenali seawal persabahatan kami, tujuh tahun yang lalu. Inilah dia yang sebenarnya.

Selain hal manis itu, ada insiden yang membuat lucu yang bukan sedikit juga. Ketika kami mahu beredar setelah beberapa jam larut, tiba-tiba seorang lelaki Korea datang menyapa dan meluahkan cinta pandang pertama kepadanya. Lalu, berlakulah satu babak ‘drama Korea’ seperti kamu tonton di kaca TV. Hahaha… Sebenarnya ia bukan pertama kali. Namun ia bukan bersebab namanya tersohor di dada akbar. Tetapi karektor hidupnya di luar.. barangakali..

[Terima kaseh untok pem-berian ‘mug merah’ (warna kegemaran) yang sangat comel ini..]

Tuesday, January 11, 2011

~ RAJUK YANG TIDAK BERKURANG ~


BUKAN sakit hati, tetapi kecil hati. Tidak sesekali juga kerana ego atau mempertahankan degil rasa, tetapi sekadar membuat rajuk sebagai protes singgung yang tidak terluahkan.

Mohon mengerti. Tidak banyak, sekadar perlu. Seperti aku juga yang boleh mengerti dan belajar mengerti. Atas nama persabahatan.

[Yang merah itu saga, yang kurik itu kundi..]

Monday, January 10, 2011

~ HATI MERAH, BANGUNAN MERAH DAN LANGIT MERAH ~



SELAMA lebih 14 jam berada di tanah hang tuah ini. Membuat damping teman jiwa yang merasa semakin terpinggir dek hambatan pekerjaan yang sederet membuat singgah beberapa minggu terkebelakang ini.

Lagak sepertinya baru pertama kali menjejak kaki di bandar bersejarah ini. Malah entah yang keberapa kali, aku masih tidak jemu untuk datang membidik bangunan merah ini. Tiada apa yang berubah di sini, segalanya masih sama. Sungguh, foto yang dibidik ini masih merakam hal yang serupa seperti bidikanku sebelum ini. Kalau lain, mungkin pada sudut bidikannya sahaja.

Sebenarnya, aku pernah merakam atau membidik lebih 10 kali deretan bangunan merah yang masih gah berdiri ini. Jangan ditanya kenapa, kerana aku sendiri kurang pasti. Yang aku tahu, ia memberi kepuasan kepada diri.

[Maseh suka dan tetap suka...]

Saturday, January 08, 2011

~ PRAHARA KEHIDUPAN ~


TAJUK : Prahara Kehidupan
KARYA : Fredy. S
CETAKAN : Pertama (1989)
PENERBIT : Bintang Usaha Jaya, Surabaya
HALAMAN : 221
HARGA : RM2.50

[Menurot meng-ikot mahu..]

Friday, January 07, 2011

~ YANG BUKAN SELALU ADA ~


TERLEPAS untuk menyertai dan duduk menikmati deklasmasi puisi Zaen Kasturi di Rumah Pena yang kini sedang berlangsung. Ermmmm... Tiada rezeki.

Lalu, aku menanti MASKARA yang bakal berlangsung hujung bulan nanti. Mudah-mudahan tiada aral yang membuat rentang. Sungguh.


[Memang bukan rezeki....]

~ BILA NOTE RM50 MULA BERTERBANGAN ~


TERNGANGA. Bukan sahaja aku, tetapi mungkin juga mereka yang turut berada di lokasi serupa denganku, petang tadi di Jalan Klang Lama.

Manakan tidak, saat masing-masing berkejaran untuk ke lokasi yang dituju, tiba-tiba jalan raya yang selalu sarat dengan kenderaan itu hari ini sedikit lain. Entah dari mana datangnya, beberapa keping note RM50 berterbangan di tar yang kering itu.

Unta hitam diperlahankan kerana yang lain-lain di depan juga bertindak serupa. Lalu aku menjengok jelas untuk memastikan apa yang dilihat itu benar atau hanya sekadar igau. Nyata kertas-kertas kecil yang berterbangan itu adalah note bernilai RM50. Bukan sekeping, bukan dua.. tetapi lebih daripada itu. Lalu ia mengundang ketarikan yang bukan sedikit.

Entah milik siapa. Dari cermin sisi dan cermin padang belakang, aku melihat ada yang sudah mula memberhentikan kenderaan mereka. Untuk tujuan apa, aku kurang pasti kerana aku tidak menunggu walau sesaat. Arghh.. kalau menurut logik akalnya, manusia mana yang mampu membiarkan sahaja wang ringgit tidak berpunya di depan mata begini tanpa sedikit keinginan?

Ia kisah benar dan bukan kisah di skrin TV mahupun di layar lebar. Di depan mata dan aku menyaksikan itu. Babak yang pertama kali seumpamanya bersaksikan aku.

[Sukar untuk hanya melihat...]

Thursday, January 06, 2011

~ SEBUAH KEHILANGAN ~


SEDIH. Rakan sepekerjaan dekat yang sering mahu mendengar dan didengar siang tadi telah membuat putus untuk meletakkan jawatan dan beralih angin.

Kami bukan dalam pasukan pekerjaan yang sama, namun kami punya kecenderungan yang sama. Lalu hal itu membuatkan kami menjadi menjadi dekat. Malah dia antara yang aku taruhkan percaya untuk hal-hal yang berat dari mulutku.

Sedih dan terasa dengan kehilangan itu, namun dalam situasi lainnya aku menumpang gembira kerana mungkin itu yang terbaik buat dirinya. Aku menghormati keputusannya mempertahankan prinsip. Juga mempertahankan haknya untuk bersuara dan tidak membenar dirinya diinjak sewenang. Tiada sesalan.

Sungguh, aku mendoakan yang terbaik buatnya. Mudah-mudahan dia memperoleh yang lebih baik. Sementelah dia punya kelebihan yang luar biasa. Arghh.. bumi Allah ini luas. Rezeki ada di mana-mana.

[Me-minjam semangat...]

Wednesday, January 05, 2011

~ MANMADAN AMBU ~


BUAT pertama kalinya dalam hidup, aku menonton cerita Tamil di panggung wayang. Gara-gara 'dipaksa' sahabat yang namanya OL ini. Rupa-rupanya selama ini dia merupakan penggemar filem-filem seumpamanya. Lalau aku menurut saja.

Awalnya kami mahu menonton The Tourist, namun takdir Mandaman menjadi ganti. Lucu. Aku menontonya seperti berlimpah minat walaupun sungguh ia tidak akan pernah menjadi pilihan kalau aku yang memilihnya. Buat pertama kalinya... dan ada yang seronoknya juga.

Mandaman Ambu untuk hiburan semata, namun ada juga yang membuat pinjam.

[Selepas, 'She's On duty )

Tuesday, January 04, 2011

~ SAHABAT MEI ~


AKU gagal lagi memenuh janji untuk menghirup secawan coffee bersama sahabat mei di rumahnya lantaran isi perut jalan raya yang melimpah luar biasa hebat pada hari ini. Lalu perjalanan kurang lebih satu jam lazim dari bandar anggerik ke bandar bunga tanjung ini menjadi hampir tiga jam.

Lalu hanya pada jam 10.45 malam barulah aku berjaya melepasi sesak itu. Selepas terbuai dengan hampir seluruh alunan Beethoven dan Mozart yang ada di dalam unta hitamku ini. Justeru, hasrat itu terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir seperti mana janji pada Ahad lepas. Entah dia marah, entah dia merajuk, aku sendiri kurang pasti.

Namun, ia bukan sekadar alasan. Sungguh, keadaan benar-benar tidak mengizinkan. Mungkin bukan hari ini.

[Cherita 2006 yang lalu mungkin sudah semboh.. mungkinlahhh.. ]

Sunday, January 02, 2011

~ TANPA HENTI ~


MINGGU ini, aku tiada cuti hujung minggu. Sabtu dan Ahad masih bergelumang dengan urusan pekerjaan yang telah dipertanggungjawabkan. Lebih keras dari biasa.

Hari ini, kami satu pasukan berkampung di lantai pekerjaan untuk menyudahkan hal-hal pekerjaan yang punya tarikh mati itu. Yaa.. di hari Ahad yang indah permai ini. Bermula jam 9.00 pagi dan sehingga jarum jam menunjuk ke pukul 11.00 malam, kami masih di sini.

[Se-tiap hari ber-cherita soal pekerjaan.. dan ia mula mem-bosan-kan.]

Saturday, January 01, 2011

~ SELAMAT DATANG 2011 ~


JUJURNYA 2010 banyak menduga kesabaranku. Banyak begitu dan begini sehingga membuat aku tercungap-cungap lelah duduk dan berlari. Mohon tidak disalah faham kerana ia bukan satu rungutan, jauh sekali sesalan. Segalanya itu sudah tertulis dan tentunya punya hikmah disebalik semua itu. Aku tahu dan sentiasa ingat itu.

Lalu, aku mengharapkan dan tidak putus juga berdoa agar 2011 memberikan suatu yang lebih baik buatku. Lebih baik.. ya aku bersungguh memohon itu!

Azam tahun baru? Dan biarlah aku berterus-terang, aku sudah berhenti berazam sempena tahun baru. Azam tahun lalau sendiri gagal dicapai. Mungkin tidak sampai hampir pun. Lalu apa perlunya kepada azam lagi?

[Selamat tinggal 2010 dan selamat datang 2011...]

~ MALAM TAHUN BARU ~


KALAU ditanyakan mahuku yang paling jujur untuk hari ini, tentu sahaja aku mahu berehat dan membuat mimpi sepuasnya di tilam empuk itu. Urusan pekerjaan beberapa hari terkebelakang ini sangat menyesakkan. Lalu keluangan yang ada begini, mahu aku rehatkan diri secukupnya.

Namun, aku sudah terlanjur berjanji dengan lelaki sepet yang seorang itu. Aku sudah terlalu banyak beralasan dengannya beberapa hari ini. Dan sungguh dia juga sudah terlalu banyak bertolak ansur denganku. Lalu aku perlu berlaku adil.

Sabtu dan Ahad esok harinya aku masih bergelumang dengan urus pekerjaan, jadi tidak dapat tidak, hari ini aku perlu mencuri keluangan yang ada. Rancangan menyambut tahun baru diteruskan biarpun lenaku hanya sempat kurang lebih tiga jam.

Tidak dengan percikan bunga api, tentu juga tidak asakan manusia bertalu yang ghairah dengan sambutan tahun baru tetapi kami melalui sesuatu yang lebih manis di negeri penuh adat itu. Terima kasih untuk Grace dan Jamey.

Banyak cerita. Langit sebenarnya penuh cerita pada malam ini, dan bukan bunga api. Bintang berbunyi, berlaga tanpa dijolok alih. Tolong bagi aku masa dan aku mahu bersedia untuk itu.

[Lebeh dari kenal..]