Friday, December 24, 2010

~ SEDERET LAGI ~


BERATUR sederet. Ia bukan pertama kali. Lalu aku sudah terbiasa tekanannya. Situasi kalut, mengah dan resah bertubi apabila beberapa perkara besar menanti untuk diselesaikan secara berturutan atau lebih malang lagi secara serentak dengan kudrat yang sekerat ini.

Hal itu terjadi lagi hari ini. Dalam pada kalut dengan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan sejak Ahad lalu, mengadap pula beberapa hal yang perlu aku selesaikan dalam seletak lena ini.

Membuat nganga, urus pekerjaan yang punya tarikh mati itu diawalkan beberapa hari iaitu dari Khamis kepada Isnin. Ini kerana pada hari Selasa dan Khamisnya, ada keraian penting yang harus diutamakan. Justeru, segala masa yang ada pada hujung minggu ini mahu atau tidak, harus diisikan dengan hal-hal pekerjaan. Mesti!

Pun begitu.... perancangan yang sedang berlegar dalam kepala itu terhenti apabila mendapat panggilan dari ibu yang memohon aku pulang ke kampung halaman nun di timur semananjung tanah air sesegera yang mungkin. Tidak dapat tidak tanpa sebarang alasan. Yang aku tahu, ia bersebab rajuk adik keranaaku kerap menangguhkan cuti untuk meriliskan segala barang miliknya di dalam keretaku yang terlibat dalam kemalangan tempohari.

Menjadi kebetulan juga, petang siang hari tadi pihak bank menghubungiku untuk hadir ke sana bagi menyelesaikan beberapa urus penting berkaitan pelepasan hak milik kereta tersebut. Esok pagi? Urusan sepanjang hari? Ermm... mati!

Aku terduduk. Diam seketika. Mahu mencari penyelesaian terbaik dan memenuhi kesemua tuntutan yang mengadap itu. Tetapi bagaimana yaa... ermmm. Tidak adil untuk mengheret orang lain sekali dalam urusan-urusan mendesak begini. Cukuplah dengan kebergantungan banyak yang aku singgahkan selama ini.

Justeru.. kali ini biarlah aku mengadapnya sederet secara sendiri. Meski dengan berkosong dada tanpa sebarang tahu, esok pagi aku akan cuba menyelesaikan segala urusan dokumentasi dengan pihak bank sebaik yang mampu. Awal pagi Sabtunya pula, aku akan memandu pulang ke kampung halaman untuk memulih rajuk adik dan menyelesaikan secara total hal-hal yang memerlukan kehadiranku secara perlu. Yaa... Pertama kali memandu sejauh itu secara sendiri dan berseorangan. Mungkin aku perlu mencuba.. buat ketika ini, hanya itu sahaja pilihan yang aku ada.

Juga aku mengharapkan ada keluarbiasaan untuk aku mampu mencelah diantara waktu yang ada itu menyelesaikan urus wajib pekerjaan yang punya tarikh mati Isnin itu. Entah bagaimana, tetapi aku menadah untuk apa sahaja kebarangkalian itu.

[Tidak mau meng-heret... ]

No comments: