Wednesday, November 03, 2010

~ PERIHAL UBAT ~


AKU tunjukkan ubat yang diberikan sang doktor sudah tinggal setengah. Kakak mengangguk-angguk. Bererti aku meminum ubat tersebut mengikut aturannya. Aku senyum panjang. Arghhh.. dia melayan aku seperti anak kecil.

Hakikatnya, aku bukanlah anak-anak kecil. Dan hakikatnya juga aku tidak sukakan ubat tersebut dan sebenarnya ia menjadi setengah kerana aku telah menuangkannya keluar. Sungguh hanya sekali sahaja aku menelan ubat tersebut pagi semalam saat tidak tertahan bebelan kakak apatah lagi dalam sengsara menahan sakit. Dan... tentu sekali aku akan menolak untuk menelannya secara sukarela dan untuk kali kedua atau kali seterusnya apabila sangat tidak sanggup untuk menelan rasa dan baunya yang... huhuhuhu..

Terkenang satu cerita. Saat aku di tahan di katil hospital ketika terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu. Setiap hari, aku akan diberikan lebih lima jenis ubat untuk ditelan pada sebelah pagi, tengahari, petang dan malam. Hakikatnya aku tidak sukakan ubat.

Lalu, pelawat setia yang melawat aku setiap hari menjadi mangsa. KN akan membawa balik semua jenis ubat yang telah aku kumpulkan sejak awal pagi. Yaa.. dia terpaksa kerana aku mendesak dan mengugut. Jika dia menolak, aku tidak akan membenarkan dia melawat lagi. Lalu sahabat yang berpangkat kakak ini akur menyetujui.

Namun suatu hari, KN tidak datang melawat kerana pulang ke kampung halamannya, di Kuala Selangor. Lalu aku harus menghapuskan sendiri ubat-ubat yang diberikan cik dan puan jururawat itu. Lalu jam dua belas malam harinya, aku mengambil ubat-ubat yang sudah dibungkus rapi dengan tisu itu untuk dibuang melalui tingkap tepi katil. Aku lakukannya secara menikus. Perlahan-lahan aku membuka tingkap kaca itu dan cua menjengah ke bawah. Takut-takut ubat yang bakal dibuang itu akan jatuh ke tempat yang sesuai atau tidak.

Tiba-tiba seorang jururawat muda menjerit ke arahku dan mengejutkan beberapa pesakit yang berjiran katil di situ.

"Akak tahu adik tertekan, tapi kita orang Islam. Tak baik bunuh diri..."

Haaaaaaaaaaaaa???? Aku melopong dan ternganga mendengar kenyataannya itu. Tapi sempat juga aku campakkan bungkusan ubat-ubat itu ke bawah. Dan sehingga hari ini, aku masih ketawa besar apabila mengingatkan kejadian itu... :)

[Hamper sa-bulan berada di-katel hospital yang entah ke-berapa kali menerima kematian... ermm]

No comments: