Monday, November 29, 2010

~ MEMBACA YANG TIDAK DIPERKATAKAN ~


JUMAAT lalu agak tertekan dengan urus pekerjaan. Terpaksa bersengkang mata di ruang pekerjaan mengadap kerja-kerja yang punya tarikh mati sehingga jam 2.40 pagi dan hanya tiba di rumah kurang lebih jam 4.00 pagi setelah terpaksa melalui sekatan jalan raya sebelum tiba di rumah. Pagi bertemu pagi. Saat keluar rumah paginya menunjukkan jam 6.20 pagi dan hanya kembali pada jam 4.00 paginya. Ermmm..

Saat kebosanan mengadap dan menunggu dan menunggu dan menungguuuu segala urusan yang bertarikh mati itu, nama sahabat mei tiba-tiba tertera di skrin telefon bimbit dan kami menutur bual sehingga jam 2 pagi.

Sahabat ini dalam sugul rupa-rupanya. Patutlah hati terdetik menanyakan khabarnya beberapa hari lalu. Dia menyuarakan rasa hati tentang pengorban yang di rasakan menyakitkan dirinya. Pengorbanan yang dipilihnya sendiri dan tidak dipaksakan sesiapapun. Dia tahu itu, tetapi situasi mengikat dirinya. Aku cuba mengerti tentang apa yang dia katakan hidupnya hari ini penuh dengan penipuan. Penipuan untuk sebuah pengorbanan.

Dari nada suaranya di hujung talian, sepertinya dia mahu lari daripada sesuatu tetapi kakinya terikat kemas. Lalu di situlah dia tersangkut sehingga hari ini. Melempar senyum yang kadang-kala tidak dia sedari hanyalah sebuah senyum yang tidak memberikan apa-apa indah.

Pun begitu dalam resah yang memalit diri, sahabat yang seorang ini seorang pendengar yang baik juga saat tiba giliranku untuk berkongsi kisah. Malah dia antara manusia paling positif yang pernah bergelar sahabat kepadaku. Kata-kata dan nasihatnya seringnya aku ambil peduli. Bukan kerana namanya yang tersohor di dada akbar itu menjadi ukuran tetapi kerana kebenaran dari apa yang diperkatakan. Dia sentiasa membuat aku ingin bercerita meski aku tahu dia tidak mampu membantu apa. Itulah kelebihan sahabat yang seorang ini.

Untuk sahabat mei, seperti kata kamu kelmarin, 'menjadi positif itu merupakan terapi terbaik untuk sesuatu kesakitan. Ketepikan juga ego diri kerana ia tidak pernah menjanjikan apa'.

[Apa-bila sahabat kamu mampu mem-baca apa yang tidak kamu per-kata-kan...]

No comments: