Tuesday, November 30, 2010

~ APA IA JENAYAH BERAT... ~

(kredit foto : filem appalam)

PENDIAM. Memang aku bukan peramah orangnya, tetapi aku bukanlah juga pendiam. Aku tidak merasakan aku terlalu diam dan.... aku tidak suka dilabel begitu. Sungguh aku akui, aku tidaklah begitu bergegak gempita di ruang pekerjaan.. atau dikalangan rakan-rakan pekerjaan. Bukan kerana aku terlalu pendiam, cumanya aku tidak memilih untuk begitu. Mereka yang dekat pasti sahaja tahu aku bagaimana orangnya.

Siang tadi, ada seorang rakan satu lantai pekerjaan yang meluahkan pandangannya kepadaku. Katanya aku tergolong dalam lingkungan top 5 paling pendiam di lantai pekerjaan kami yang kakitangannya kurang lebih beratus-ratus orang tuh. Top 5???

Pantas aku bertanya, atas dasar apa? Apakah kerana aku jarang sekali mahu bergegak-gempita? Kerana aku tidak akan kelihatan dalam hal-hal penuh kebisingan? Kerana aku tidak bertempiaran menyertai acara mereka? Kerana aku tidak pernah mahu mengambil peduli cerita-cerita dan gosip mereka biarpun ia dibicarakan hanya disebelah kerusiku?

Atau kerana aku tidak banyak berkongsi kisah? Payah menyambung cerita mahupun tawa? Ermmm... atau mungkin juga kerana aku ini tidak tahu bergaul sehebatnya sehingga banyak nama mereka yang di lantai pekerjaan itu tidak dihafal aku. Apatah lagi hal mereka yang selainnya. Ermm... kerana itu aku terhitung dalam seperti itu barangkali.

Aku tidak pernah ada rasa mahu peduli dengan anggapan yang sebegitu sebelum ini. Cumanya, sejak akhir-akhir ini entah kenapa aku sangat tidak suka dilabelkan begitu. Ia terlihat sepertinya aku melakukan jenayah berat. Ermmm... lalu aku diatur untuk menjadi 'peramah' menurut perkiraan mereka.

[Mau ramah yang bagi-mana kamu? ]

Monday, November 29, 2010

~ MEMBACA YANG TIDAK DIPERKATAKAN ~


JUMAAT lalu agak tertekan dengan urus pekerjaan. Terpaksa bersengkang mata di ruang pekerjaan mengadap kerja-kerja yang punya tarikh mati sehingga jam 2.40 pagi dan hanya tiba di rumah kurang lebih jam 4.00 pagi setelah terpaksa melalui sekatan jalan raya sebelum tiba di rumah. Pagi bertemu pagi. Saat keluar rumah paginya menunjukkan jam 6.20 pagi dan hanya kembali pada jam 4.00 paginya. Ermmm..

Saat kebosanan mengadap dan menunggu dan menunggu dan menungguuuu segala urusan yang bertarikh mati itu, nama sahabat mei tiba-tiba tertera di skrin telefon bimbit dan kami menutur bual sehingga jam 2 pagi.

Sahabat ini dalam sugul rupa-rupanya. Patutlah hati terdetik menanyakan khabarnya beberapa hari lalu. Dia menyuarakan rasa hati tentang pengorban yang di rasakan menyakitkan dirinya. Pengorbanan yang dipilihnya sendiri dan tidak dipaksakan sesiapapun. Dia tahu itu, tetapi situasi mengikat dirinya. Aku cuba mengerti tentang apa yang dia katakan hidupnya hari ini penuh dengan penipuan. Penipuan untuk sebuah pengorbanan.

Dari nada suaranya di hujung talian, sepertinya dia mahu lari daripada sesuatu tetapi kakinya terikat kemas. Lalu di situlah dia tersangkut sehingga hari ini. Melempar senyum yang kadang-kala tidak dia sedari hanyalah sebuah senyum yang tidak memberikan apa-apa indah.

Pun begitu dalam resah yang memalit diri, sahabat yang seorang ini seorang pendengar yang baik juga saat tiba giliranku untuk berkongsi kisah. Malah dia antara manusia paling positif yang pernah bergelar sahabat kepadaku. Kata-kata dan nasihatnya seringnya aku ambil peduli. Bukan kerana namanya yang tersohor di dada akbar itu menjadi ukuran tetapi kerana kebenaran dari apa yang diperkatakan. Dia sentiasa membuat aku ingin bercerita meski aku tahu dia tidak mampu membantu apa. Itulah kelebihan sahabat yang seorang ini.

Untuk sahabat mei, seperti kata kamu kelmarin, 'menjadi positif itu merupakan terapi terbaik untuk sesuatu kesakitan. Ketepikan juga ego diri kerana ia tidak pernah menjanjikan apa'.

[Apa-bila sahabat kamu mampu mem-baca apa yang tidak kamu per-kata-kan...]

Sunday, November 28, 2010

~ TEATER NATRAH 2 TIDAK MAMPU MENYAINGI MUSIM PERTAMA ~



OLEH kerana aku menonton kedua-dua pementasan teater Natrah musim pertama dan Natrah musim kedua (sedang dipentaskan di Istana Budaya sehingga 5 Disember depan), makanya aku tidak dapat lari daripada membuat perbandingan tentangnya.

Dan sungguh, aku lebih menyukai Natrah musim pertama kerana ia lebih menyentap, menyentuh dan melekat di hati sehingga saat jari-jari ini bercerita di sini. Kebanjiran pelakon-pelakon yang 'punya nama' untuk musim kedua ini ternyata tidak banyak membantu melainkan sebagai umpan untuk menarik lebih banyak penonton terutamanya dari golongan generasi muda yang mungkinnya menggilai Aaron Aziz, Liyana Jasmay, Firz Fairuz mahupun Nabila Huda.

Oleh kerana kehadiran mereka yang ada nama besar ini, makanya sang pengarah 'terpaksa' memberikan atau memanjangkan dialog untuk mereka agar berbaloi kemunculan atau kehadiran mereka dalam Natrah 2 ini. Walhal jujur aku katakan dialog Liyana Jasmay sebelum babak pertandingan senaman di padang sekolah itu langsung tidak perlu. Jalan ceritanya tidak cacat kerana itu... malah pementasan tahun lepas tanpa babak atau dilaog itu tetap juga difahami penonton. Begitu juga dengan babak-babak yang membabitkan Ziela Jalil. Secara kesimpulannya, tanpa kehadiran pelakon-pelakon ini pada pementasan tahun lepas, Natrah tetap berjaya menggegar Panggung Sari Istana Budaya dengan kehadiran lebih 15,000 orang penonton beserta jualan tiket melebihi RM500,000 seperti mana yang dilaporkan akhbar tempatan.

Dari segi jalan ceritanya, tidak banyak yang berubah. Cuma penambahan beberapa babak yang mungkinnya untuk memberi lebih kefahaman kepada penonton tentang pemberontakan jiwa Natrah dan Mansor Adabi sendiri. Namun tidak semua penambahan yang dilakukan itu berjaya menarik perhatian penonton sebaliknya membuatkan pementasan kali ini agak meleret.

Paling aku kesalkan babak tarian Bollywood yang dipersembahkan oleh sang peneraju utamanya, Maya Karin sebagai Natrah dan Remy Ishak sebagai Mansor Adabi. Walau apa jua alasan sang pengarahnya, aku tidak dapat menerimanya dengan mudah. Babak ini mencacatkan penghayatan penonton terhadap keseluruhan Natrah. Malah ia secara tidak sengaja telah mencetuskan 'komedi' kepada kami yang menonton. Apakah itu yang dimaksudkan sang pengarahnya yang mahu mengurangkan ketegangan yang dirasakan penonton sepanjang pementasan Natrah yang berkisah berat itu??? Dan... mengapa mesti Bollywood?

Babak paling menarik untuk Natrah musim pertama dulu iaitu babak monolog pertembungan perasaan antara Che Aminah, Natrah dan Adelaine kali ini tidak begitu menjadi. Entah kenapa aku sendiri kurang pasti. Jika pada persembahan musim pertama aku mampu menghayatinya sehingga menitiskan air mata, tahun ini perasaannya tidak sampai ke situ. Mungkin Adelaine di tangan Susan Lankester tidak begitu menyentuh perasaan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Samanta Schubert.

Aku sukakan persembahan monolog. Namun, biarlah kena kepada kesesuaiannya. Monolog yang terlalu banyak dalam Natrah 2 ini mengundang kebosanan tanpa sengaja. Ada beberapa monolog yang aku rasakan tidak perlu. Cukuplah dua monolog berkesan yang dilantunkan oleh pelakon hebat Sofea Jane diawal dan diakhir cerita serta monolog pertembungan perasaan antara Che Aminah (Umie Aida), Natrah (Maya Karin) dan Adelaine (Samantha Schubert) seperti mana dalam Natrah pertama dulu. Justeru apabila untuk Natrah 2 ini, monolog Sofea itu telah dipecah-pecahkan kepada beberapa bahagian dan ditambah pula dengan monolog seorang pelakon lelaki di awal pementasan, monolog Umie Aida, monolog Susan Lankester, monolog Maya Karin, monolog Lutfya, monolog Sh Sofia dan monolog Remy Ishak.. ia agak meletihkan!!!

Aku juga ingin menyentuh tentang 'ending' untuk pementasan kali ini. Sejujurnya, aku memilih dan lebih menyukai 'ending' Natrah musim pertama. Aku bukanlah serba satu seperti pengkaji sejarah Natrah, Datin Fatini.. tidak juga yang bijak menafsir seperti mana sang pengarah tersohor yang namanya Eirma Fatima itu... namun kalau menurut pembacaan dan penelitian tentang Natrah yang aku tahu, 'ending' Natrah musim pertama itu lebih benar.. atau hampir benar. Kerana itulah ia lebih menyentap rasa. Kenyataan untuk sebuah kebenaran itu selalunya tidak dapat diterima ramai bukan?

Apapun, usah salah sangka dengan ulasanku ini. Natrah 2 tetap terbaik dan menarik di kalangan teater-teater yang pernah dipentaskan di Istana Budaya untuk tahun ini. Cumanya ia tidak dapat menandingi Natrah musim pertama. Itu sahaja. Sekalung tahniah untuk seluruh kumpulan kreatif terutama sang pengarahnya, Puan Eirma Fatima di atas usaha dan kesungguhan mempersembahkan Natrah 2 ini dengan cukup meyakinkan.

Tahniah dan pujian besar juga kepada pelakon tersohor, Datin Paduka Umie Aida yang ternyata berjaya mengekalkan momentum persembahan hebatnya itu baik untuk Natrah musim pertama, mahupun untuk musim keduanya. Lakonannya tidak mampu diganggu gugat sesiapa.

Untuk kamu yang punya kesempatan dan keluangan, singgahlah di Istana Budaya untuk menyaksikan sendiri pementasan teater Natrah musim ke-2 ini yang mula dipentaskan sejak 25 November lalu sehingga 5 Disember ini. Nilailah sendiri menurut pandangan dan rasa kamu dan sungguh ingin aku katakan, banyak yang terpinjam daripada kisah cinta dan air mata ini..

NATRAH mengisahkan tentang Huberdina Maria Hertogh, gadis Belanda yang diserahkan ibunya, Adeline kepada ibu angkatnya, Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan ayahnya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana ditawan tentera Jepun.

Maria Hertogh kemudian diberi nama Natrah dan menganut Islam. Apabila Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom Amerika Syarikat, lelaki itu balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya. Natrah ditemui Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh. Seterusnya berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa kandung Natrah. Che Aminah diwakili peguam bela Ahmad Ibrahim, menang kes rayuannya itu. Bimbang Natrah diambil keluarganya, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi, M.A. Majid di Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun dan Mansor Adabi pula 22 tahun.

Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin tetapi mengikut undang-undang Belanda, anak berusia 16 tahun ke bawah, bapanya masih berhak menentukan kehidupannya. Konflik agama dan isu penjagaan akhirnya tercetus dan menjadi rusuhan di Singapura.


PELAKON TERBAIK:
Datin Paduka Umie Aida
BABAK PALING MENARIK:
Monolog pertembungan perasaan Che Aminah-Natrah-Adelaine
LAGU PALING MENGHIBURKAN :
Lagu memperkenalkan Natrah sewaktu kecil
MONOLOG PALING MENYENTAP :
Lantunan Sofea Jane
BABAK TIDAK PERLU :
Tarian Bollywood Maya Karin & Remy Ishak
SET PALING MENARIK :
Kapal besar membawa Natrah ke Singapura

[Pandangan ini sa-mata-2 ber-dasar-kan kepada pemerhatian dan penilaian ketika menonton pada persembahan-2 awal teater ini. Namun, sa-perti mana yang di-kenal Eirma Fatima itu sering mau menukar tambah untok men-jadi-kan lebeh baek. Mungkin pada persembahan selepas tontonan-ku ini, banyak yang sudah berobah...]

~ PEMENTASAN TEATER NATRAH 2 ~












[Natrah bukan sa-kadar kesah..]

Saturday, November 27, 2010

~ AKU ADA KAMU ~


TAJUK : Aku Ada Kamu
KARYA : Lily Haslina Nasir
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : NB Kara Sdn Bhd
HALAMAN : 646 Muka Surat
HARGA : RM23.00

“Walau yang datang ramai beribu, hatinya lekat pada yang satu…”

[Mohon hingga ke-syorga..]

Friday, November 26, 2010

~ DIKEJUT MIMPI ~


TIBA-TIBA terjaga dari lena yang panjang. Arwah ayahanda sahabat june bertamu di mimpi. Mungkin kerana sebelum tidur tadi, aku terkenang cerita sahabat june tentang arwah, lalu ia terbawa ke mimpi.

Mohon dihadiahkan al-fatihah untuk arwah ayahanda sahabat yang seorang ini... aminn.

[Al-fatihah..]

Thursday, November 25, 2010

~ MEMILIH ~


"Ermm... tau tak Encik A nak kahwin lagi.. dengan kawan saya, D, kat Golok.."

Ternganga aku seketika saat adik membuka cerita. Encik A itu orangnya agak terkenal di kampung kami. Usianya sudah lebih 50 tahun barangkali. Dia seorang yang agak berpengaruh dan punya kedudukan di mata masyarakat kampung kami. Pengaruhnya aku lihat mungkin kerana keberadaannya dan kesuksesannya dalam perniagaan yang diceburinya. Aku tidak nampak selainnya.

Sementara D pula anak gadis yang usianya sebaya adik. Masih mentah dan anak-anak. Entah apa pertimbangannya, sehingga dia menerima lamaran Encik A sebagai isteri kedua (atau keempat pada bilangan perkahwinan sebenar lelaki itu).

"D ajak saya pergi sana (Golok) untuk tengok dia kawin. Mak dan ayah dia pun ikut sekali... Errrr... tapi jangan marah dulu sebab saya memang tak ada niat nak ikut punn.. takkan.."

Adik mohon aku menyimpan rahsia kerana katanya, hal itu tidak diketahui sesiapa kecuali dia. Dan selain itu, dia mengharap aku berkata sesuatu tentang hal itu. Tetapi aku memilih untuk tidak memberikan sebarang komen. Ermmm...

[Masing-2 dengan alasan..]

Wednesday, November 24, 2010

~ DENGAN JELAS ~


"aloo... lama i talak lampak sama u aa.."
"tauke.. u masih ingat i ker?
"mestilah i ingat.. manyak kecik laa sekarang, sudah jadi artis ka?"
"hahaha.. tauke jangan perli sama saya laa.."
"ros, u kasi free semua sama ini amoi.. dia saya punya kawan lama sudah banyak2 tahun.."
"hi tauke, bagi free... rugi laa u nanti... "
"ini bukan pasat rugi maa... ini pasat last i jumpa u tujuh tahun dulu maa.."
"kalau macam tu, i angkat satu kamera laaa.. free kann... "
"hahaha.. macam-macam laa u.."
"wahhhh... dasyat laa u.. bole ingat.. i pun sudah ingat2 lupa.."
"eloo kawan.. i punya kedai banyak orang keluar masuk.. tapi i boleh ingat u sebab selalu mahu senyum sama saya.."
"hahahaa... i senyum sebab u pun senyum sama saya.. sebab u punya senyumlah, i datang sini lagi bila tengok kedai ini masih buka.."
"i tau... i tauuu... tapi amoi... lu punya muka sama saja... talak belubah.. "
"i belum buat plastik surgery.. so, mestilahh masih sama lagi.."
"aloo kawan, banyak telima kasih sebab u masih mahu datang sini... 7 tahun wooo..."

Itu antara petikan perbualan yang berlangsung antara aku dan seorang uncle kedai gambar merangkap kedai fotostart baru-baru ini. Tiada apa insiden nostalgia yang membolehkan dia mengingat sosok seorang aku, tetapi lelaki separuh abad ini nampaknya menghafal aku.

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Sepertinya tidak percaya. Seperti mana adik juga tidak percaya. Mahu tahu benar apa yang membuatkan dia mengingat begitu... Mahu juga mengingat, tetapi aku mengingat tanpa keyakinan. Lalu ingatan itu tidak mendatangkan apa melainkan teka silangkata yang menanti diisi abjad untuk sebuah jawapan.

[Dejavu...]

Tuesday, November 23, 2010

~ SERABUT SERATUS ~


MOOD tidak begitu baik pada hari ni. Sungguh aku bukannya seorang yang moody atau berperilaku menurut emosi harian atau yang seumpama dengannya. Cuma dugaan beberapa hari ini begitu meletihkan. Justeru aku sepertinya sedikit keciciran dengan energi positifnya.

Bermula Selasa lalu sederet sehingga hari ini tanpa gagal, ada sahaja urus yang perlu aku kejari untuk menormalkan suasana. Yaaa.. setiap hari sejak itu sehingga hari ini. Bukan mahu merungut.. cuma kudrat yang sekerat ini sepertinya terhambat lelah lalu menghenyak rasa.

Hal-hal musibah yang berlaku sepanjang minggu lalu tidak aku kongsikan dengan sesiapa kecuali dengan mereka yang dekat. Justeru, apabila ia terbongkar pada hari ini, rakan-rakan mula bising begitu dan begini. Dan... mahu atau tidak, aku terpaksa membuka mulut bercerita.

"awak nih kena mandi bunga koishie... berderet2 ni haaa..." seorang rakan bersahaja membuat gurau.

"itulahh... memang kena mandi bunga nih.. agaknya saya ada buat benda yang tak kena sejak akhir2 ni kot.. itu yang jadik macam nih.." dan aku juga membalasnya dengan bersahaja.

Rakan dekat, AA juga berkecil hati tindakanku itu. Dan aku mohon maaf dengan sungguh-sungguh. Aku tidak berkongsi kerana aku benar tidak mahu menyusahkan dia. Ini kerana dia merupakan sahabat yang tidak pernah gagal untuk menghulurkan bantuan andai aku dalam musibah. Apa sahaja mengikut daya yang dia mampu. Justeru, kali ini aku tidak mahu menyusahkannya. Kali ini, biarlah aku cuba berdiri di atas kaki sendiri.

Sekali lagi aku ingin katakan, aku bukan orangnya yang suka berperilaku menurut emosi. Cuma hari ini aku serabut seratus dengan hal-hal yang menghimpit itu. Benar-benar serabut dan aku maksudkan itu.

[Namun, maseh senyom... dan tetap tenang di-mata kamu yang ber-tentang..]

Monday, November 22, 2010

~ MENGAWAL EMOSI BERLIMPAH ~


MERAIKAN hari ulangtahun teman jiwa yang tertunda beberapa hari dek kesibukannya dengan urusan pekerjaan di selatan semenanjung tanahair.

Meski mengisi masa berdamping siang hari tadi, aku merasa tidak berlaku adil kepadanya kerana ingatan hari ini hanya lekat kepada arwah D. Mana mungkin aku mampu bersenyum tawa pada tarikh ulangtahun pemergian sahabat paling dekat yang seorang ini.

Dan... lelaki sepet ini mungkin sukar untuk mengerti kalaupun aku nyatakan.

[Al Fatihah untuk arwah D..]

Sunday, November 21, 2010

~ DAN BILA EMPAT TAHUN PEMERGIAN ~


AL FATIHAH.... Dan hari genap empat tahun pemergian abadi arwah D, sahabat yang sangat besar menyumbang dalam kehidupanku sebelum ini. Semoga Tuhan merahmati kamu dan tenang bersemadi di sana. Aminn.

Awal pagi ini, aku tidak dapat melelapkan mata. Ingatan lekat pada kenangan bersama arwah. Berhasrat awal pagi esok untuk menjejak pusara arwah... Mudah-mudahan ia dapat memberi sedikit tenang. :(

Dan berikut ini adalah petikan luahan hati yang pernah jari-jari ni ceritakan di sini saat pertama kali diberitakan tentang pemergian arwah empat tahun lalu, yakni 21 November 2006.

30 minit perjalanan, kami tiba di tempat yang dituju. Debar semakin besar. Resah semakin bergelora. Kaki seperti berat melangkah. Adik arwah beberapa langkah mendahuluiku. Sesekali menoleh ke belakang memastikan aku ada menurutinya. Tiba adik arwah membuka pintu kawasan perkuburan yang redup melambai itu, langkahku seperti terhenti. Keras di situ. Adik arwah menarik tanganku lembut, mengangguk dan mengaturkan langkah perlahan melalui nesan2 yang bertuan. Ya Allah.... Ampunilah segala dosa-dosaku...

Akhirnya kaki adik terhenti di pusara yang masih merah tanahnya. Letaknya di tepi pagar, dibawah sepohon pokok yang redup menutup tanah. Aku mengawal diri. Aku mengawal emosi dengan kuat. Menadah tangan memohon pada Tuhan agar roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman.

Namun saat adik menghulurkan air dan bunga meminta aku menyirami pusara arwah, air mata yang kuat ku tahan itu akhirnya gugur juga. Semakin laju membasahi pipi dan esak tangisku juga semakin berlagu memecah kesunyian pusara arwah. Adik duduk memelukku. Cuba meredakan tangis yang semakin panjang itu. Beberapa ketika kami begitu. Adik yang sejak tadi tenang saja, turut berhujan air mata. Beberapa kali kedengaran suara halusnya minta aku bertenang dan menghentikan tangis.

Bagaimana aku mahu menghentikan tangis itu sedangkan aku terpaksa mengakui hakikat manusia yang begitu dekat di hati ini telah pergi meninggalkanku buat selama-lamanya... Dan saat ini aku sedang berdiri menyirami mawar di pusaranya. Bagaimana aku mampu melaluinya dengan emosi yang tenang....

Adik membantuku melalui saat2 itu. Kami bersama2 menaburkan bunga di pusara arwah dengan penuh airmata. Dengan penuh luluh di hati. Aku tidak mampu untuk lebih lama di situ. Airmata ini turun tanpa ada tanda mahu berhenti. Semakin laju... Aku tidak harus begini... tetapi aku tidak mampu mengawal diri. Maafkan aku D.. Maaf. Adik juga juga bersetuju untuk meninggalkan pusara arwah lebih awal. Tambahan pula waktu itu matahari sudah mahu menutup hari. Tidak elok dalam waktu yang begini, kami masih di pusara.

Sebaik berpaling untuk pulang, adik menggenggam tanganku erat. Dia cuba menenangkanku walaupun aku tahu di juga tidak tidak ada tenang. Beberapa kali aku menoleh kebelakang... Banyak perkara yang ingin aku perkatakan pada arwah D. Tapi... aku akan datang lagi. Aku akan terus mengunjungimu di sini. Insyaallah...

Catatan ini dibuat ketika aku buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke pusara arwah. Arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 21 November 2006. Namun berita itu hanya diketahui aku pada tarikh 13 Disember. Bayangkanlah.... bagaimana perasaanku saat itu. Dalam tempoh itu, terlalu aku berkejaran dengan hingar bingar pekerjaan dan keraian yang berlangsung ketika itu sehinggakan aku lupa mahu bertanyakan khabar tentangnya. Malah, panggilannya, mesejnya.. satu pun tidak ku jawab sehingga pada tarikh 13 Disember itu.

Pada tarikh yang aku merancang mahu bertemu dan berkongsi cerita dengannya setelah surut segala kesibukan dan setelah berakhir keraian yang dipertanggungjawab kepadaku secara besar. Dann... hakikat serta kenyataan yang langsung tidak terduga olehku, sahabat yang seorang ini telah pergi buat selama-lamanya. Ini sebuah kenyataan.. bukan mimpi... D sudah tiada.... AL FATIHAH..

[Dealova maseh tidak boleh dekat sewenang dengan-ku hingga saat ini...]

Saturday, November 20, 2010

~ KAU KEKASIHKU ~


TAJUK : Kau Kekasihku
KARYA : Faizura Mansor
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : Tintarona Publications Sdn Bhd
HALAMAN : 579
HARGA : RM27.00

“Harapan untuk hidup bahagia musnah apabila kekasih sudah beristeri. Dia ditinggalkan bersama rindu yang membara. Kamal, suami orang yang pernah menagih kasih daripadanya. Kini Kamal meninggalkannya demi kasihnya terhadap isteri...”

[Seperti cherita...]

Friday, November 19, 2010

~ MENJADI PELUPA KERANA CUBA MENGINGAT ~


AKU perlu risau bila ini terjadi... Bagaimana yaa, aku langsung terlupakan 19 November ini? Mohon.. sungguh maafkan aku untuk itu. Banyak hal-hal berat yang sederet membuat singgah kepadaku dalam sehari-dua terkebelakang ini. Lalu, kepalaku terlangsung dengan hal-hal untuk menyelesai urus segala itu.

Dan... aku terlupakan tarikh ini. Sungguh, aku menjadi pelupa yang paling besar sekali.

Selamat Hari Ulang tahun kelahiran buat teman jiwa yang masih mahu berkongsi rasa. Meminjamkan hal-hal yang menyenangkan meski kadang-kala sarat teruji itu dan ini. Lelaki sepet ini tegar jiwanya. Entah bagaimana mahu aku gambarkan dia. Ermmm...

Selamat Hari Jadi... Selamat Hari Jadi... Selamat Hari Jadi En. LKH.. Selamat Hari Jadi... :)Mudah-mudahan sentiasa diizinkan kesihatan dan dipermudahkan dalam segala urusan..

Aku menjadi ingat 19 November ini saat sedang mengatur bual panjang dengan sahabat dekat di Secret Recipe. Dek kerana kami memilih posisi di depan laluan utama jengahannya, maka aku aku dapat melihat jelas keluar masuk mereka yang membuat singgah. Meski perbualan kami Berlangsung rancak dengan usul dan perdebatan, aku sempat menyedari lebih sepuluh biji kek yang diusung keluar dalam tempoh kurang lebih tiga jam berada di situ.

"Mesti ramai orang yang sambut hari jadi hari ni kann... ramai jer yang beli kek.. ermm... ermm... OMG..."

Dan sungguh... aku perlu risau tentang itu. Patutlah begitu lelaki sepet itu memberi reaksi siang tadi. Namun, kerana dia mengerti aku terhambat hal-hal yang mendesak siang semalam dan siang hari ini, makanya dia membuat diam. Sementelah lagi dia tahu aku tidak akan memilih untuk ke mana jika ayah ibu membuat kunjung. Lalu dia tidak menyebut dan meminta apa.

[Men-jadi pe-lupa kerana coba mahu meng-ingat...]

Thursday, November 18, 2010

~ DAN SEMUANYA ANGGUK... ~


DI BENGKEL sepanjang hari! Sungguh pengalaman menyambut Hari Raya Aidil Adha yang pertama kali seumpamanya.

Awal sepuluh pagi, 10 Zulhijjah tadi aku terkial-kial mencari bengkel yang dimaksudkan. Agak sukar kerana aku sememangnya tidak terbiasa langsung kawasan persekitarannya. Sementelah pula aku hanya menguruskan seorang diri. Tidak mahu menyusahkan orang lain di hari raya aidiladha ini. Justeru, hanya rakan paling dekat sahaja yang tahu apa yang berlaku ke atasku dan unta hitam semalam.

Mujurnya, aku benar bernasib baik kerana bertemu dengan manusia yang ada rasa kemanusiaan yang besar. Mahu menghulur bantu meski tidak dalam kepentingan mereka. Baik sang persona yang membuat punca, mahupun sang doktor hebat di bengkel itu, mereka terelak daripada sifat bongkak dan menekan. Lalu aku terselamat dari dimangsakan.

Teman jiwa sibuk mahu mengetahui hal sebenar, lalu aku menghubungkan perbualannya di telefon bimbit dengan sang doktor bengkel. Beberapa minit mereka bertutur dalam bahasa ibunda mereka seperti memutus kata sepakat. Arghh... tidak bolehkah bertutur dalam bahasa yang difahami semua orang?? Marah.

Jam empat petang, segalanya siap siaga. Unta hitam terpulih cedera. Bergegas terus untuk pulang beraya.

Dan... aku mengadap bingar yang panjang. Kakak membuat rajuk kerana aku tidak memaklumkan kepadanya hal yang berlaku. Seolahnya membelakangkan dia. Ermm... bukan tidak memaklumkan, cuma lambat memaklumkan kerana tidak mahu dia tercuit resah. Apatah lagi, abang kini sedang berada di Vietnam sehingga minggu depan. Justeru, aku memutus untuk menyelesai sendiri.

Mudah-mudahan ini pengalaman pertama dan terakhirnya. Pelajaran hari ini aku simpan kemas..

[Ampang-PandanIndah-Glenmarie-PandanIndah-Ampang-PantaiDalam-Kepong-Ampang]

Wednesday, November 17, 2010

~ SALAM AIDIL ADHA ~


SELAMAT menyambut Hari Raya Aidiladha untuk seluruhnya yang meraikan hari istimewa ini. Mudah-mudahan pengertiannya difahami dengan sebaiknya dan dipergunakan dalam kehidupan seharian dengan hal yang benar. Aminnn..

[Hanya be-raya di-hirok-pikok kota meski memohon cuti panjang..]

Tuesday, November 16, 2010

~ MENDIAMKAN KATA HATI ~


MEMANG itu takdir yang tertulis untuk hari ini dan aku redha. Petang jam dua tadi, unta hitamku dicium sang persona berdentum membuat bingar. Terdiam. Dan sungguh itu pengalaman pertama kali seumpamanya semenjak mampu mengendali sang unta.

Beberapa minit aku diam di dalam. Tergamam. Juga mahu berfikir apa yang patut dilakukan dan bagaimana mahu berurusan dengan sang persona itu sebaik aku mengadapnya. Lelaki sebayaku itu bergegas turun dan memohon maaf atas kejadian dan tanpa berlengah sesaat mengakui kesilapannya. Sedikitpun aku tidak menunjuk reaksi marah atau tidak berpuas hati. Sedang dia mungkin menyangkakan aku akan menghamburkan sesuatu kerana kecuaian melampau yang dia lakukan dengan membahayakan nyawa dan menyusahkan orang lain itu.

Melihat aku tenang-tenang sahaja walaupun usai melihat kecederaan unta hitamku itu, dia sepertinya menarik nafas lega. Dia mula membuat beberapa panggilan. Itu lagak biasa mereka yang berdepan situasi begini barangkali. Aku tidak memilih untuk menghubungi sesiapa. Menunggu sahaja apa yang mahu dikatakan atau dicadangkan sang persona ini.

Cederanya tidaklah sampai unta hitam kesayangan ini tempang untuk bergerak, namun lukanya tidak harus dibiarkan.

Sepatahpun aku tidak membantah apa yang dicadangkan sang persona ini. Menurut penuh. Dia senyum dan mengangguk beberapa kali dan sungguh aku tidak dapat meneka maksud reaksinya yang begitu.

Tiba di lokasi yang dituju, perbincangan berlaku ringkas disaksikan sang doktor yang bakal merawat. Tidak lama, tidak banyak syarat dan peraturan kerana aku lebih banyak mendengar dan mengangguk. Lalu kejujuran berbalas kejujuran... mungkinn... ya kalau itulah yang terjadi esok pagi seperti mana yang dijanjikan.

Menurut persetujuan, di pagi hari raya esok unta hitamku perlu mendapatkan rawatan sang doktor yang terpilih. Dan sepanjang hari akan berhabisan waktu di sana. Aku mengangguk lagi.

Saat jari-jari ini bercerita di sini, kakak, abang mahupun ayah belum mengetahui soal ini. Takut untuk berterus-terang. Tidak mahu membuat mereka resah-gelisah. Bagaimana yaa...

[Rasa hati itu sekali lagi mem-benar-kan...]

~ PELAWAAN MENULIS ~


MAHU kembali menulis. Namun kesempatan untuk berbuat demikian tidak begitu mengizinkan. Sungguh, melihat kepada jadual pekerjaanku sekarang, aku sememangnya langsung tidak punya masa untuk hal-hal yang selain urus pekerjaan.

Beberapa minggu lalu, en boss di tempat pekerjaan lama serius menawarkan aku untuk menulis secara serius. Dan bayaran yang ditawarkan serius juga.. Ermm.. dan menjadi kebetulan, seorang kenalan dalam bidang yang sama juga menyuarakan hal yang sama kepadaku. Beriya-iya. Aku tidak memberi sebarang janji. Sungguh aku mengukur baju di badan sendiri.

Bila bercakap soal penulisan, bukan soal bayaran yang menjadi keutamaan, tetapi soal tujuan dan kepuasannya. Jika mahu sekadar menulis untuk bayaran itu, tidak perlu lebih sepuluh minit aku tentunya mampu membuat keputusan.

Lalu, beberapa hari ini aku masih berfikir tentang soal itu setelah kali terakhir menolak perlawaan serupa tahun lalu. Masih berfikir? Yaa.. ertinya aku mengambil perhatian tentang hal itu.

[Mau ter-lebeh dahulu ber-kongsi karya tulisan aku, Antalogi Puisi Dari Jiwa..]

Monday, November 15, 2010

~ TANYA SAMA HATI ~




TANYA SAMA HATI
by allahyarham Tan Sri P. Ramlee

Tanya pada pokok apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok angin yang goncang,
Tanya sama langit apa sebab hujan,
Nanti jawab langit tanyalah awan.

Awan nanti kata aku kandung air,
Sampai tempat sejuk aku pun cair,
Tengok dalam air nampak bayang-bayang,
Campak satu batu bayang pun hilang.

Tanya sama hati apa rasa sayang,
Adakah tandanya nampak dipandang,
Kumbang rayu bunga bulan dan bintangnya,
Punya tanda-tanda hubungan mesra.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.

Jikalau tidak kerana sayang,
Kuntuman kasih tak mungkin kembang,
Andainya jemu mengganti rindu,
Jambangan mesra tentulah layu.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.

[Dan.... bila aku men-jawab soalan dengan soalan...]

Sunday, November 14, 2010

~ INDAH DAN MENGASYIKKAN ~


KALAU punya pilihan, aku juga mahu memilih sebuah majlis yang ringkas dan indah begini. Simple but nice. Itu yang terdetik di hati saat menghadiri majlis pernikahan pasangan pengantin yang berlangsung indah di Villamay, Shah Alam.

Entah kenapa, aku merasa sangat tenang dan seronok sekali berada di majlis ini. Walhal ia hanyalah majlis kecil dan serba ringkas acaranya. Aku fikir baik begitu kerana ia terlihat lebih intim, tenang dan mengasyikkan. Asal sahaja ia menurut sah yang tergaris agama.

Tidak perlulah acara besar-besaran dengan tetamu yang berlimpahan, persiapan sehingga memudaratkan dan sebagainya. Bersaing untuk menunjukkan siapa yang paling hebat atas alasan ia merupakan majlis istimewa sekali seumpamanya dalam hidup. Bukankah bersederhana itu dituntut agama? Ermm... ramai orang semakin lupa tentang itu.

Lalu, aku turut memasang angan untuk mengadakan majlis yang serba ringkas begitu rupa kelak. Tidak perlu kepada acara pesta tiga hari tiga malam, sebaliknya cukuplah sekadar majlis yang sederhana tetapi indah dan terkenang kemas.

Untuk sang pengantin, SELAMAT PENGANTIN BARU...

[Tidak sabar me-nunggu majelis perkahwinan sahabat mei... kerana dia juga manusia sederhana..]

Saturday, November 13, 2010

~ DALAM DAKAPAN KASIHMU ~


TAJUK : Dalam Dakapan Kasihmu
KARYA : Syamimi Aminolah
CETAKAN : Pertama (2003) & Kedua (2004)
PENERBIT : Creative Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 440 Muka Surat
HARGA : RM19.90

[men-chari dan mem-baca yang ada di-dalam..]

Friday, November 12, 2010

~ HILANG TERUS ~


WMR sudah menjadi kenangan! Berita sedih yang harus aku terima setelah pegawai yang menguruskannya menghubungiku siang tadi. Bukan kerana harga nilainya, tetapi kepada cerita kehidupan yang terlalu banyak aku lalui dengan kereta itu.

Kemalangan teruk yang berlaku awal Oktober lalu melenyapkan segalanya. Yang pertama itu menjadi yang terakhir. Huh... hidupkan... Mahu atau tidak kenyataan harus diterima juga dengan berlapang dada.

Justeru, aku diberikan tempoh tertentu untuk menguruskan 'pelenyapannya'. Urusannya memerlukan kepada perkara itu dan ini yang harus aku lakukan secara bersendiri. Jika selalu ada yang menjadi kepala membuat urus, kali ini aku yang harus duduk paling depan, tidak dapat tidak.

Semua tidak tahu. Semua menjadi sukar. Semua mengundang serabut. Nahhh... inilah akibatnya apabila sering disenang-senangkan. Apabila hidup terlalu amat bergantung kepada kaki orang lain. Aku belajar tentang itu.

[Nilai sensitimental itu..]

Thursday, November 11, 2010

~ ULANGTAHUN KELAHIRAN SCORPIO ~


Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Sahabat Nov...
Allah Selamatkan Kamu...

Doa kesejahteraan untuk sahabat Nov yang menyambut hari ulang tahun kelahirannya pada hari ini, 11 November 2010. Mudah-mudahan peralihan usia ini memberi suatu yang lebih indah dan memberi semangat yang lebih kental agar dia lebih matang dalam mendepani hidup seharian. Juga mudah-mudahan Tuhan permudahkan rezeki dan mengizinkan kesihatan yang baik buatnya dan keluarga. Aminnn..

[Tidak dengan sebab laen...]

Wednesday, November 10, 2010

~ SKIMARAMA ~


SKIMARAMA... Itu gelaran untuk orang-orang yang lurus seperti aku barangkali. Tidak kisahpun digelar begitu kerana memang aku dalam kelompok itu.

Semenjak kecilpun aku sememangnya terikat dengan banyak perkara. Tidak semudah dan sebebas rakan-rakan lain yang sebaya. Baik berkaitan pelajaran mahupun hal-hal lainnya. Aku sentiasa terikat dengan itu dan ini yang berkaitan peraturan keluarga, atau peraturan ayah yang paling tepat barangkali.

Lalu aku tidak pernah berani untuk melanggar peraturan ayah walau atas apa jua alasan sekalipun. Tidak sekadar itu, aku juga tidak pernah mahu terlibat dengan apa-apa perlanggaran peraturan sesiapa juga. Menjadi seorang yang lurus dan hanya melalui 'pintu depan' sebagai laluan. Justeru, jangan harap aku akan menyertai apa-apa pakatan atau konspirasi. Lalu, rakan-rakan sering menyebut aku sebagai 'skima'. Hahaha..

Hari ini, aku masih orang yang serupa. Meski sudah di alam pekerjaan dengan usia yang menginjak dewasa, aku masih juga dalam kategori 'skima'. Bukan lagi kerana peraturan ayah yang tidak boleh itu dan tidak boleh ini, tetapi kerana kehendak aku sendiri. Mungkin kerana kebiasaan yang lalu.

Aku masih lagi orang yang setia pada peraturan. Aku masih lagi orang yang sukar untuk kamu ajak untuk menyertai konspirasi. Aku masih lagi orang yang paling gelabah apabila diacah dengan hal-hal yang tidak melalui 'pintu depan'... dan aku masih lagi orang yang penakut untuk bermain-main dengan hal yang salah. Lalu, rakan-rakan baru ini juga sering menyebut aku sebagai 'skima'... :)

Apapun, aku senang dengan aku hari ini. Mungkin kerana skima itulah, aku menjadi aku seperti yang kamu kenali hari ini. Mungkin kerana skima itulah aku terhindar daripada hal-hal yang memberat.

[Sering ter-dengar kata-2 aku sengaja mau me-nunjok baik, hanya kerana 'skimarama' aku ini.. ohh.. ter-pulang kamu..]

Monday, November 08, 2010

~ MOHON HEMBUSKAN ANGIN TENANG ~

(kredit foto : filem ombak rindu)

TURUN kebawah. Menggeledah unta hitamku. Kembali ke atas, menyelongkar bag yang sering diusung ke hulu dan ke hilir. Seluruh isi dalamnya aku keluarkan. Dan sekali lagi aku turun ke unta hitam. Mencari lagi kalau-kalau pandangan tidak terlihat sebentar tadi.

Termenung. Dan rasanya seperti mahu menangis. Esok pagi aku perlu mengadap kerja-kerja yang punya tarikh mati. Dan saat ini aku keciciran bahan terakhir untuk melengkapkan urus kerja yang harus berada di meja en boss sebelum tengahari esok. Dan ia hanya dalam tahu saat aku bersiap siaga untuk memulakan kerja akhir itu beberapa minit tadi.

Tidak aku salahkan sesiapa, tetapi cuai diri membuat onar. Sungguh ia pertama kali seumpamanya menimpa, namun resahnya seperti yang tidak termaafkan.

Ermm.. mungkin aku perlu berterus-terang di sini. Jujurnya, awal petang tadi aku melayan amarah yang membuat singgah. Marah yang sungguh ada dengan rasa. Marah kerana sikap seorang manusia yang segak dengan rasa megah diri itu. Lalu marah yang sepenuh perasaan itu membuatkan hatiku merasa tidak senang dan urus pekerjaanku sedikit terlucut rasa keihklasan. Nahhh... hasilnya inilahh..

Aku mengenali diri ini seadanya. Lazim selalu, jika aku membuat marah dengan sepenuh rasa, makanya hal-hal yang seumpama begini pasti akan membuat dekat. Dek kerana itulah, aku adalah seorang yang sangat mengelak rasa marah. Yaa... sepenuh usaha aku cuba mengelak. Namun, hari ini ia tidak terelakkan. Lalu... hadaplah rasa itu.

Pasti sahaja aku tidak mampu meletak lena sehingga pagi selagi bahan-bahan keciciran itu belum menunjuk diri. Tangan di dahi, mata berkelip-kelip. Bagaimana yaa beralasan dengan en boss? Sungguh alasan ini bukan atas rekaan tetapi bunyinya tetap klise... tetap tidak memberi satu rasa merelakan.. aduhh..

Tuhan, mohon dihembuskan sedikit angin tenang untuk aku yang benar dalam kalut yang sungguh-sungguh ini....

[Kirim-kan doa... iring-kan senyum... salam-kan keikhlasan.... nah tenang-2 sahaja nanti..]

Sunday, November 07, 2010

~ RUMAH AWANG ALAK BETATAR ~


SEMENJAK berpindah ke rumah baru April lalu, setiap hari aku meredah kesesakan di Jalan Ampang ini. Pagi dan petang. Wajib. Lalu, apa sahaja yang ada di sepanjang jalan ini, baik di kiri mahupun kanan mudah sahaja aku amati. Manakan tidak, berjam-jam aku 'meluangkan masa' setiap kali melaluinya.

Namun, yang paling menarik mata yang memerhati, tentu sahaja Rumah Awang Alak Betatar yang tersergam indah di jalan itu yang mana ia hanya beberapa langkah sahaja dari rumah sahabat mei yang pernah menyimpan kenangan manis itu.

Bukan sahaja mengundang ketarikan kepadaku, tetapi juga kepada adik. Setiap kali melalui jalan Ampang itu, setiap kali itulah kami tidak akan melepaskan peluang untuk mencuri pandang ke arah rumah itu. Malah sering juga tertanya-tanya siapalah agaknya pemilik rumah agam indah di lokasi paling sibuk ini.

Rumah itu sentiasa senyap dan kosong. Tidak pernah walau sekalipun terlihat kelibat manusia di situ. Namun, persekitarannya sentiasa bersih dan terjaga. Sentiasa indah dan mencuri pandang. Sentiasa membuat aku rasa teringin untuk menjejak ke dalamnya. Setiap kali melaluinya, setiap kali itulah keinginan itu ada. Yaa.. kalaulah ada peluang dan kesempatan untuk menjenguk isi dalamnya... ermmm...

Dan kenapa nama rumah itu Rumah Awang Alak Betatar? Ermm... dan bila aku mencari maklumat di internet, ini yang aku perolehi...

" pada 20 Ogos 2005 Rakyat Malaysia dan Brunei dikejutkan dengan berita perkahwinan Sultan Brunei dan Azrinaz. Azrinaz melangsungkan perkahwinan dengan baginda di Istana Sultan Brunei di Malaysia iaitu di Rumah Awang Alak Betatar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur..."

Alamakkk.. Istana hinggap Sultan Brunei rupa-rupanya... sungguh patik tidak tahu menahu langsung mengenainya... sungguh cetek pengetahuan patik.. ampun tuanku.. :)

"Sultan Muhammad Shah was the first Sultan of Brunei. He ruled Brunei from 1363 to 1402. He was the first Muslim ruler of Brunei as a result of his conversion to Islam in 1363 for his marriage to a Johorean-Temasik princess. Prior to conversion to Islam, he was known as Awang Alak Betatar."

[Mau rumah ber-tiang seribu..]

Saturday, November 06, 2010

~ TIGA WAJAH ~


TAJUK : Tiga Wajah
KARYA : Lamia Aimal
CETAKAN : Pertama (1997), Kedua (1998), Ketiga (2000), Keempat (2001) & Kelima (2003)
PENERBIT : Creative Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 485
HARGA : RM21.90

[Harapan yang mem-buat galau..]

Friday, November 05, 2010

~ SELAMAT PENGANTIN BARU ~


SELAMAT pengantin baru dan doa kesejahteraan untuk rakan-rakan dan kenalan yang bakal ke jinjang pelamin. Mudah-mudahan melalui fasa kehidupan baru dengan hal yang indah-indah.

Minggu ini sahaja aku menerima 3 kad undangan. Pada tarikh dan tempat yang berbeza. Mudah-mudahan ada kesempatan untuk menghadirkan diri bagi turut merai hari bahagia mereka.

"Kita bila lagi..?" tanya teman jiwa saat aku membuka cerita tentang itu kepadanya.
"Esok.. jomm..." jawabku laju dan spontan sambil ketawa kecil.

Dia turut tertawa. Tetapi aku tahu jauh di sudut hatinya, dia kurang senang dengan jawapan itu. Aku tahu itu. Namun, dia juga patut tahu situasi aku, situasi kami yang sebenarnya. Tuhan telah meletakkan satu hari untuk hal itu, cuma aku mahupun dia tidak tahu bila ketikanya. Lalu, kita doakan sahajalah yang terbaiknya untuknya. Aminnn...

[Tunggu cherita manis tentang majelis per-kahwinan sahabat mei...]

Thursday, November 04, 2010

~ KECIL HATI ~


KECIL hati. Dan sungguh aku maksudkan itu.

[Kenal.. dan sa-makin kenal..]

~ KECAMUKAN ~




PETANG hari ini, aku agak kacau. Tertekan dan terasa dihimpit sehingga sesak nafas dibuatnya. Beberapa kali aku melihat jarum jam bergerak di dinding putih itu. Lambat pula dia membuat pusingannya hari ini, kala aku memerlu dia laju berlari membuat tuju. Arghhh..

Lalu bagai biasa, sekeping kertas akan menjadi medan aku luahkan kecamukan. Memang begitu selalu aku. Jika dikumpulkan kertas contengan yang langsung tidak difaham itu, barangkali ia sudah boleh dibukukan sebagai saksi perasaan.

Sangat memerlukan seseorang untuk bercakap. Lalu aku mencari-cari sahabat yang mampu mendengar baik dengan alasan secawan coffee. Ermm... gagal. Itu yang sudah aku duga. Menggeleng-gelengkan kepala. Baru sahaja hati kecil mahu berdetik membuat rungut, suara dari dalam memintas laju, "jangan sesekali mengungkit..." yaa.. yaaa aku tahu itu dan aku bukan orang yang begitu.

Memutuskan untuk pulang ke rumah sahaja. Mahu membuat diam seketika. Lalu, unta hitamku laju menyelusuri jalan-jalan sesak yang membuat bingit. Namun entah kenapa, saat ia melintasi papan tanda bertulis PUTRAJAYA, tanpa sempat berfikir sesaat, aku terus membelok ke arah laluan itu.

Nahhhhhhh.... aku memandu sehingga ke putrajaya seorang diri pada malam ini. Tidak bercadang mahu memanggil sesiapapun kerana tidak mahu menganggu urus rutin mereka dengan cerita bosan aku pada malam ini.

Berhenti di tengah jambatan yang sering dalam singgah. Mengadap terus ke Masjid Putrajaya yang sayup-sayup dengan pancaran cahaya yang mengasyikkan. Menoleh ke belakang, masjid besi juga indah memberi senang dari pandangan yang jauh. Ermmm.. sejuk angin malam dari arah jambatan indah ini.

Mengharap nafas kembali tenang. Dann... kurang lebih satu jam selepas itu, aku kembali menghalakan unta hitam ke bandar bunga tanjung, 50 minit pada 120kmj.

[Me-layan kecamok sendiri, sa-kurang-2 nya tidak mem-beri tempias kepada yang tidak ber-dosa rasa..]

Wednesday, November 03, 2010

~ PERIHAL UBAT ~


AKU tunjukkan ubat yang diberikan sang doktor sudah tinggal setengah. Kakak mengangguk-angguk. Bererti aku meminum ubat tersebut mengikut aturannya. Aku senyum panjang. Arghhh.. dia melayan aku seperti anak kecil.

Hakikatnya, aku bukanlah anak-anak kecil. Dan hakikatnya juga aku tidak sukakan ubat tersebut dan sebenarnya ia menjadi setengah kerana aku telah menuangkannya keluar. Sungguh hanya sekali sahaja aku menelan ubat tersebut pagi semalam saat tidak tertahan bebelan kakak apatah lagi dalam sengsara menahan sakit. Dan... tentu sekali aku akan menolak untuk menelannya secara sukarela dan untuk kali kedua atau kali seterusnya apabila sangat tidak sanggup untuk menelan rasa dan baunya yang... huhuhuhu..

Terkenang satu cerita. Saat aku di tahan di katil hospital ketika terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu. Setiap hari, aku akan diberikan lebih lima jenis ubat untuk ditelan pada sebelah pagi, tengahari, petang dan malam. Hakikatnya aku tidak sukakan ubat.

Lalu, pelawat setia yang melawat aku setiap hari menjadi mangsa. KN akan membawa balik semua jenis ubat yang telah aku kumpulkan sejak awal pagi. Yaa.. dia terpaksa kerana aku mendesak dan mengugut. Jika dia menolak, aku tidak akan membenarkan dia melawat lagi. Lalu sahabat yang berpangkat kakak ini akur menyetujui.

Namun suatu hari, KN tidak datang melawat kerana pulang ke kampung halamannya, di Kuala Selangor. Lalu aku harus menghapuskan sendiri ubat-ubat yang diberikan cik dan puan jururawat itu. Lalu jam dua belas malam harinya, aku mengambil ubat-ubat yang sudah dibungkus rapi dengan tisu itu untuk dibuang melalui tingkap tepi katil. Aku lakukannya secara menikus. Perlahan-lahan aku membuka tingkap kaca itu dan cua menjengah ke bawah. Takut-takut ubat yang bakal dibuang itu akan jatuh ke tempat yang sesuai atau tidak.

Tiba-tiba seorang jururawat muda menjerit ke arahku dan mengejutkan beberapa pesakit yang berjiran katil di situ.

"Akak tahu adik tertekan, tapi kita orang Islam. Tak baik bunuh diri..."

Haaaaaaaaaaaaa???? Aku melopong dan ternganga mendengar kenyataannya itu. Tapi sempat juga aku campakkan bungkusan ubat-ubat itu ke bawah. Dan sehingga hari ini, aku masih ketawa besar apabila mengingatkan kejadian itu... :)

[Hamper sa-bulan berada di-katel hospital yang entah ke-berapa kali menerima kematian... ermm]

Tuesday, November 02, 2010

~ MENEKAN ~


RIBUT. Perbualan singkat dengan teman jiwa sebentar tadi mengheret kepada satu perselisihan panjang. Entah sejak bila dia menjadi lelaki yang curiga. Dan entah sejak bila dia mula belajar mendesak.

Memang semenjak beberapa hari terkebelakang ini, kami jarang punya kesempatan untuk berdamping kerap. Namun itu tidak bermakna, aku tidak peduli itu. Jarak, masa dan kesempatan tentunya bukan semudah pada perkiraan tangan sepuluh. Dia seharusnya faham. Tetapi hari ini dia menjadi tidak faham.

Malah kesihatanku yang tidak begitu baik pada hari ini tidak pula dia tanyakan atau ambil peduli. Curiga pula yang dijadikan ulam menekan rasa. Sekian lama aku tidak berdepan hal serupa dengan lelaki sepet yang seorang ini. ermm...

[Tidak rasa mahu mem-bela diri...]