Sunday, October 31, 2010

~ YANG TIDAK DIRANCANG-RANCANG ~


YANG tidak dirancang-rancang itu selalunya akan menjadi lebih seronok. Itu yang dilalui aku petang siang hari tadi dengan seorang sahabat yang namanya OL ini.

Meminjam banyak cerita dan yang tidak terjangkakan sepanjang mengisi setengah hari ini. Sesekali menumpang cerita dari orang genius membuatkan kita merasa turut genius sama. Meski aku hanya mengangguk-ngangguk, sesekali menggelengkan kepala dan melepas tawa walaupun tidak faham apa yang ditertawakan, aku rasa senang.

Jujurnya sepanjang bual dengan orang-orang genius yang berdua ini, aku merasa sangat kecil. Mereka berdua ini sangat besar tahunya tentang segala macam perkara. Sedang aku begitu sempit dalam tahu. Ohh kecil sungguh rasa. Namun terima kasih berkongsi tahu.

Memanjang langkah dari pelita KLCC itu, aku dan sahabat yang namanya OL ini menuju ke MV, sementara sang genius yang seorang lagi punya hal duniawinya yang tersendiri. Kami mengisi keluangan yang jarang-jarang sekali ada. Atau secara lebih tepatnya kami sebenarnya mahu bercerita tentang hal-hal yang tidak terkongsikan dengan orang lain sebenarnya. Lalu kesempatan itu menjadi sesuatu yang menyenangkan.

Jujurnya, aku selesa sekali untuk bercerita dengan sahabat yang seorang ini. Dia tidak perlu bertanya itu dan ini, kerana aku yang memang akan bercerita dan berterus-terang dengannya terutamanya hal-hal yang berat mulut ini untuk membuka kepada orang lain. Yaa.. kerana dia orang yang cukup menyelesakan dan aku taruhkan percaya yang banyak.

Paling aku kagumi dengan sahabat yang seorang ini, biar berat dan sarat lara yang tergalas di bahu dan terkepung di hatinya, dia sentiasa positif. Meski sesekali atau beberapa kali dia meluahkan resah hatinya di ruang tulis seumpama ini, dia nyatanya seorang yang kuat. Malah sentiasa dengan hal-hal lucu yang berbau sinikal. Aku selalu ingat dia tentang itu.

'Bagi laluan... bagi laluan... haaa lari..." hahahaha... dia seorang yang sangat lucu.. tapi genius. :)

[Mahu men-jadi genius jugaa.. ]

Saturday, October 30, 2010

~ PERGILAH AIR MATA ~


TAJUK : Pergilah Air Mata
KARYA : Hanni Ramsul
CETAKAN : Pertama (2010), Kedua (2010) & Ketiga (2010)
PENERBIT : Kaki Novel Enterprise
HALAMAN : 858
HARGA : RM28.00

“Akan ku lepaskan jua air mata ini pergi… jauh… sejauhnya… sehingga sepasang mata ini tidak mampu ingat pada hangat titisannya dahulu..”

[Akan ku-tahan... agar tidak ter-lihat-kan..]

~ KUNCI ~


TERHIMPIT dengan urusan kerja yang punya tarikh mati membuatkan aku hanya mampu meninggalkan ruang pekerjaan seawal jam 8.40 malam. Terus berkejaran ke BK untuk menjemput si kecil yang sepatut mengikut pesannya pagi tadi pada jam 6.30 petang. Aku terlambat dua jam..

Tidak cukup dengan itu, berlaku pula kesesakan jalan raya yang agak melampau yang berpunca daripada kemalangan di jalan Klang Lama yang menyaksikan sebuah kereta nasional terbang melangkaui pembahagi jalan dan menumbangi tiang lampu isyarat. Aku terlewat kurang lebih dua jam. Mujurlah si kecil tidak membuat rajuk kerana begitu dia mamaham aku, betapa dia jelas akan waktu pekerjaanku yang tidak menentu masa itu.

Tiba di rumah 30 minit kemudian. Lega dan menarik nafas yang panjang. Konon mahu merebahkan diri, merehatkan badan yang hampir lunyai sebaik sahaja tiba di rumah ini. Namun, sebaik tiba di depan rumah.... ermmmmmm... kunci rumah tidak menampakkan diri. Cicir entah di mana. Hah??? Cicir???

Aku keras cuba memaksa diri berfikir mengingat lokasi cicirnya. Tidak dengan keyakinan, sekadar memperjudikan nasib, aku kembali memandu ke runag pekerjaan di bandar anggerik dari bandar bunga tanjung. Yaaa... hujung ke hujung. Sekali lagi merempuh sesak jalan raya dalam pekat malam yang dingin.

Bergegas ke ruang parkir terakhir tadi, mengintai dan mengendap setiap tar yang baru siap dibikin itu. Setelah begitu teliti, tiba-tiba kelihatan gugusan kunci milikkku di tengah-tengah kotak parkir bergarisan kuning itu. Huhuhuhu.... terasa seperti mahu menjerit aku di situ. Perasaan yang sukar di jelaskan.

Cuai. Itu kesimpulannya. Justeru, jangan mengeluh dengan kesulitan yang berpunca dari diri sendiri itu.

[Aku memang sa-orang pe-lupa, ta-tapi yang benar-nya aku bukan sa-orang yang mudah men-cicir-kan..]

Friday, October 29, 2010

~ MENUTUP LUKA MEMBUAT LARA ~


HARI ini ke ruang pekerjaan dengan dagu yang bertampal plaster. Harap tidak menjadi perhatian kerana hal itu. Semalam ada sedikit kemalangan kecil berlaku membuatkan bahagian kiri dagu terhantuk, luka dan membengkak. Sedikit sahaja... cuma ia sedikit menekan apabila bahagian itu merupakan bahagian aku menjalani pembedahan ketika kemalangan dulu. Bahagian yang masih ada 'skru penyambung' di situ. Huhuhu..

[Pusat Perobatan Universiti Malaya banyak menyimpan cherita...]

Thursday, October 28, 2010

~ ANDAI KU TAHU ~


ANDAI KU TAHU
by ungu

Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ku akan memohon Tuhan
Tolong panjangkan umurku

Andai ku tahu
Kapan tiba masaku
Ku akan memohon Tuhan
Jangan kau ambil nyawaku

Aku takut akan semua dosa dosaku
Aku takut dosa yg terus membayangiku

Andai ku tahu
Malaikat-Mu kan menjemputku
Izinkan aku mengucap kata taubat pada-Mu

Aku takut akan semua dosa dosaku
Aku takut dosa yg terus membayangiku

Ampuni aku dari segala dosa dosaku
Ampuni aku menangis ku bertaubat pada-Mu
Aku manusia yang takut neraka
Namun aku juga tak pantas di surga

Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Izinkan aku mengucap kata taubat pada-Mu

Aku takut akan semua dosa dosaku
Aku takut dosa yg terus membayangiku

Ampuni aku dari segala dosa dosaku
Ampuni aku menangis ku bertaubat pada-Mu


[Halal-kan makan minom dan mohon di-maafi segala yang me-lekat resah dan marah..]

Wednesday, October 27, 2010

~ TIDAK MAHU TERKALAH EMOSI LAGI ~


"Masalah hari tu dah ok?" Tiba-tiba seorang teman bertanyakan aku hal beberapa minggu lalu. Mungkinnya kerana melihat aku yang kini kembali tampil bersemangat tanpa ada lagi wajah-wajah sugul mengisi hari. Aku menggangguk dan kemudiannya meyakinkannya dengan sebuah senyum panjang.

Hakikatnya, apa yang terjadi beberapa minggu lalu itu bukanlah satu masalah yang ada penyelesaiannya sebaliknya sebuah takdir yang tidak boleh tidak kami terima. Cumanya aku tidak mahu terus menjerat diri dengan kekecewaan yang panjang, lalu kami sekeluarga harus bergerak ke depan. Belajar untuk menerima kenyataan dan menguburkan rasa sugul yang tanpa silu datang membuat rentang itu. Ia tidak mudah, tetapi hanya itu pilihan yang kami ada.

Sampai bila mahu menurut lara hati? Lalu cukuplah tempoh tegang yang kami sekeluarga lalui selepas aidilfitri lalu itu. Hari ini, kami sungguh memperkuatkan diri dan hati agar tidak lagi meratap soal itu. Apa sahaja yang tertulis, itulah takdir kami.

Lalu, aku akan terus senyum.. melepas tawa dan menghindar diri dari kesugulan emosi yang panjang. Usah disoalkan sama ada ia benar dengan mahu atau sebaliknya... ermm.. Ia tetap sebuah senyum untuk dunia dengan harapan dunia juga turut memberi senyum.

[Tidak mau ter-kalah emosi lagi.. ]

Tuesday, October 26, 2010

~ MENJADI LUCU ~


KAKAK pulang ke kampung untuk beberapa hari. Menjengok ayah yang kesihatannya tidak menentu itu. Si kecil tidak dibawanya bersama kerana tidak mahu mengganggu urusan persekolahan. Justeru, aku diberi tanggungjawab kakak utuk menguruskan si kecil dalam tempoh itu.

Lucu. Yaaa... aku menggeleng-gelengkan kepala. Banyak perkara-perkara yang sepatutnya mudah menjadi susah buatku apabila perlu menguruskannnya sendiri. Perlu menjadi 'ibu' kepada si kecil yang sepertinya merasa lucu juga melihat kekalutanku menguruskan dirinya.

Rutin sedikit berubah. Paginya menguruskan urusan persekolahannya. Sarapannya, baju pakainya, menghantar dan menjemput dari sekolah dan sebagainya. Huh.. tunggang terbalik jadinya aku.

Pagi ini aku yang tidak pernah-pernah bersarapan ini memilih untuk bersarapan bersamanya. Megi tomyan menjadi menunya. Hahahha... memanglah dia bernasib malang kerana ibu saudaranya yang seorang ini tidak mampu menyediakan lebih daripada itu. Ehhh tidak juga. Menu itu atas permintaannya sendiri sebenarnya... :) :) :)

Sehabis pekerjaan, aku harus terus bergegas menjemputnya dari rumah pengasuh. Lalu segala rutinku untuk beberapa hari ini terpaksa ditinggalkan untuknya.

[Bagi-mana jika sudah punya anak sendiri dan perelu meng-uros-kan lebeh dari-pada itu?]

Monday, October 25, 2010

~ KEWAJIPAN KASIH SAYANG ~


KALI pertama berbual panjang sehingga beberapa jam dengan adik lelaki di talian telefon. Dia menutur bicara yang agak serius. Lalu aku juga cuba mendengar dengan cukup serius. Sejak kejadian tempohari, adik seperti sedikit lain. Aku menyedari itu.

Beberapa kali dia ulangi tidak mahu menyusahkan sesiapa. Tetapi berkali juga aku katakan, selagi aku kakaknya dia akan lebih menyusahkan jika tidak mahu melibatkan aku. Lama dia diam. Aku juga diam. Sudahnya telefon mendengar bicara angin membuat lalu.

[Bukan soal pengorbanan... ta-tapi ia perkara kewajipan kaseh sayang se-darah se-daging...]

Sunday, October 24, 2010

~ MENGEJAR LELAH ~

(kredit foto : filem lagenda budak setan)

HARI ini lelahnya agak berkejaran. Sedikit terlewat bertolak dari rumah ibu membuatkan aku agak mengejar masa. Unta hitamku bergerak lebih laju daripada biasa. Manakan tidak, jam 6 petang, aku harus sudah terpacak di lokasi acara penting yang menjadi tugasan wajib arahan en boss. Mujur sahaja isi perut jalan tidak membuat kacau. Justeru aku sempat tiba di hiruk pikuk kota seawal jam dua petang.

Nahh.. aku tanpa sengaja memberi kesempatan untuk menghirup secawan coffee bersama brad. Dan selain kata-kata manis yang sentiasa dia tuturkan, aku dihadiahkan sebuah vcd yang mengandungi rakaman wajah-wajah riangku yang diambil ketika kami melerai tekanan di tanjung karang, kuala selangor awal tahun dulu. Ia menjadi demikian indah apabila video itu disunting dengan cukup baik, apatah lagi dengan iringan lagu-lagu yang menggambarkan aku. Hadiah sempena hari ulangtahun kelahiran yang sangat-sangat istimewa buatku.... :)

"saya suka tengok awak ketawa-ketawa macam dalam vid ni... sebab selalu pun muka awak serius saja. Happy pun macam tu, sedih pun macam tu.. hiss.. So, saya buat video ini untuk awak tengok sendiri pasal awak dalam ni.."

Aku tersenyum sendiri dengan kenyataan itu. Entah senyum kerana ia ada kebenaran atau senyum kerana mahu menafikan penafsiran begitu.

Berkali-kali aku menonton rakaman video ini. Seronok melihat wajah-wajah riangku. Ia menjadi hadiah hari ulang tahun yang sangat dan paling istimewa. Simple sahaja tetapi punya nilai dan cerita yang tidak tergambar dengan kata. Heyyy... terima kasih kerana sering mahu membuat aku senyum.

[Mungkin perelu belajar lebeh senyom, lebeh ramah, lebeh ber-suara...]

Saturday, October 23, 2010

~ MEMANDU KE PANTAI TIMUR SEMENANJUNG TANAHAIR ~


KIRA-kira jam 1 tengahari tadi, aku memandu untuk pulang ke kampung halamanku di pantai timur semenanjung tanah air. Tidak dirancang-rancang dan ia berlaku kerana urus mendesak berkaitan kemalangan adik tempohari. Mujur sahaja lebuh raya terhindar sesak dan memberi lancar kepada perjalananku hari ini. Lalu empat jam lebih kemudiannya aku sudah siap siaga berada di depan ibu.

Malah, sebentar tadi ada makan malam istimewa. Khas dari ibu buat aku sempena hari ulang tahun kelahiran pada hari ini. Terima kasih ibu. Terima kasih kerana melahirkan dan menjadikan aku berguna seperti mana hari ini. Sungguh aku tidak begitu memberi kebanggaan buat ibu, namun aku tidak pernah berhenti berusaha untuk itu. Tentunya doa ibu sentiasa aku perlukan di setiap nafas yang dihela.

Jam sepuluh pagi esok, aku akan kembali berangkat ke hiruk-pikuk kota. Agak tergesa-gesa kerana pada sebelah petangnya, aku ditugaskan en boss untuk terlibat dengan urus pekerjaan penting di bandar anggerik. Arghh.. sungguh membuat lelah. Namun, apa pilihan yang ada? Mudah-mudahan semuanya berjalan baik.. aminnn...

[Unta hitam mem-beri isyarat lelah...]

~ SEMANGAT MEMBIDIK ~


TERIMA Kasih untuk teman jiwa yang memahami. Pemberian yang membuatkan aku senyum panjang. Mudah-mudahan ia mampu merakamkan saat-saat manis yang selalu kami harapkan selama ini. Yaaa... yang manis-manis... namun kerapnya juga aku membidik yang pahit-pahit. Arghh.. begitulah hidup, sukar untuk dibaca tafsir...

Semalam, walapun dengan mood yang agak terkacau dengan kejadian sesak jalan raya semalam, aku tetap meluang kesempatan meraikan hari ulang tahun kelahiran dan berdamping teman jiwa. Merai menurut selesa kami. Lelaki sepet ini masih tetap istimewa dan masih tetap mencuri sebahagian besar ruang di hati ini. Kali ini dengan kejutan, ooohh.. aku tidak sukakan kejutan. Dia seharusnya tahu itu. Namun bersokong rakan-rakan yang menurut serta, ia terjadi juga. Lalu, kerana hari ini istimewa maka aku menerimanya dengan berlapang dada. Tapi tolong jangan untuk kali kedua.
Dan sepasang sepatu indah pemberian dari manusia yang tidak terjangkakan. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Bukan kerana sepatu itu, tetapi kerana sang pemberinya. Ia bukan paling istimewa, tetapi ia paling tidak terjangkakan... :)

[Terima kaseh daun keladi...]

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN KOSHIE ! ~



JIKA sebelum ini aku mengucapkan selamat hari ulang tahun kelahiran untuk mereka yang dekat dalam hidupku, nahh.. hari ini aku ingin mengucapkan untuk diri sendiri... SELAMAT HARI ULANG TAHUN KOISHIE.

Alhamdulillah... Terima kasih Tuhan kerana masih panjangkan umur dan memberikan aku kesempatan untuk terus bernafas di bumimu dan menikmati segala apa yang kau ciptakan ini. Terima kasih kerana memberi aku kesempatan untuk hidup sehingga ke usia ini dan merasai bagaimana rasanya hidup hari ini.

Mudah-mudahan aku mampu menjadi berguna untuk seluruh mereka yang dekat denganku. Menjadi anak yang sentiasa mendahului ibu dan bapa, menyayangi adik-beradik seluruhnya, mengangkat rakan taulannya dan tentunya juga menjadi pecinta setia kepada manusia yang kekal menaruh kasih dan berdamping sejak beberapa tahun lalu.

Ia sudah menjadi istimewa dengan doa ikhlas kamu tanpa perlu kamu iringkan dengan pelbagai pemberian itu. Sungguh, memadai dengan doa kamu, mudah-mudahan sejahtera hidup yang bakal dilalui aku kelak.

Terima kasih untuk keluarga dan seluruh sahabat dekat yang tidak pernah lupa mahu mengirimkan doa sempena hari istimewa aku menjengah dunia ini. Terima kasih auntie phia, ibu arwah dr jiwa, mel, karl, suraya, om, tengku hadi, FA, Aril, suffian, kak nor, kak sue, rynn, ed, brad, sahabat mei dan ramai lagi yang tidak tersebutkan di sini. Sungguh aku hargai itu.

Untuk teman jiwa, kamu tentu tahu aku.

[Usah biasa-kan aku dengan kejotan... :)]

Friday, October 22, 2010

~ SARAT DAN SESAK ~


AKU bukanlah seorang pemandu yang mudah baran atau suka menghamburkan kata-kata kesat bila mana berdepan situasi yang menyesakkan di jalan raya. Bukan tidak pernah berdepan situasi itu, tetapi berkali dan tidak terkira dek tangan. Namun, ia tidak pernah menolak aku untuk bersikap seperti bukan aku.

Namun, hari ini kesabaranku sepertinya diacah-acah untuk bersuara keras atau melepas amarah dalam. Walhal, kejadiannya tidak seberat mempertaruhkan keselamatanku dalam pemanduan atau membahayakan nyawa. Puncanya sedikit sahaja, tetapi membuatkan rasa tekanan itu membuak dan menjentik baran untuk menonjolkan diri.

6.15 petang, aku keluar dari ruang pekerjaan. Hari ini aku tidak berlengah-lengah kerana banyak aktiviti dan janji yang mahu dipenuhi sehingga lewat malam nanti. Dari bandar anggerik, aku menyelusuri lebuhraya KESAS dan kemudiannya memasuki MRR2. Isi perutnya terlalu sarat dengan pelbagai muatan. Berat dan keras. Aku tidak mengeluh kerana itu hal yang lumrah di beberapa jalan di hiruk-pikuk kota ini, terutamanya apabila hari Jumaat.

Jam 8.00 malam (yaaa... dua jam perjalanan), aku tiba dipersimpangan untuk merentasi fly over ke Pandan Indah dan unta hitamku keras di situ. Sesaknya langsung tidak mengizinkan aku untuk merayap lagi. Kira-kira 500 meter daripada persimpangan lampu isyarat. Dan tentunya aku tidak boleh berpatah balik mahupun memilih alternatif lain kerana kesesakan di situ telah menutup segala ruang yang ada.

Hampir satu jam aku berada di situ hanya untuk jarak 500 meter sebelum melepasi persimpangan lampu isyarat untuk ke Pandan Indah berselang-seli dengan sikap kurang ajar beberapa pemandu yang memotong barisan dan sebagainya. Tiba pada jarak dua buah kereta lagi untuk sampai ke persimpangan itu, tiba-tiba ada dua lelaki yang berlagak seolah polis trafik ini telah mengambil beberapa kon dan menutup jalan di situ lalu mengarahkan aku menggunakan laluan sebelah kiri yang mana menuju ke Shamelin Perkasa. Ia berlaku setelah hampir satu jam aku tidak bergerak di situ dan hanya jarak dua kereta untuk aku sampai ke tempat yang dituju. Lalu, kesabaran aku benar-benar goyang, dann... aku mempertontonkan rasa itu kepadanya. Huh.. tewas kerana itu...

Jam 10.20 malam (yaaa ... setelah hampir empat jam memandu.. hampir menyamai jarak memandu untuk pulang ke kampung halaman), barulah aku berjaya melihat bumbung rumah di bandar bunga tanjung.. ermm... melalui hari yang sangat-sangat menguji dan aku tidak sukakannya.
Dan... mood sudah menipis untuk berdamping teman jiwa yang mahu meraikan hari ulang tahun kelahiranku yang sepatut mengikut janjinya pada jam 10.00 malam tadi. Ermm..

[Jadi-lah manusia yang tahu mem-pertimbang-kan kepentingan orang laen juga...]

Thursday, October 21, 2010

~ PUZZLE ~


PUZZLE. Selesai menyusun puzzle apabila cebisan terakhir itu diberikan sendiri tuan yang empunya badan. Aku tidak menganggap ia sebagai satu kemenangan, cuma merasa lucu apabila berhadapan dengan orang-orang yang kerap mahu menafikan satu hal yang nyata kerana bimbang dibaca tepat hatinya. Lalu dia berlari dan berpusing ke sana-sini sehingga akhirnya dia terlupa lalu memberi sendiri jawapan yang menjadi pelengkap keapda puzzle itu.

Sama seperti mana kejadian yang alu lalui hari ini. Rakan yang seorang ini beriya membentangkan prinsip dan falsafah hidupnya yang menggambarkan dia tergolong dalam kumpulan A. Sayang sekali, hujahnya goyah dan bicaranya tidak selari lalu jelas memperlihatkan dia sebenarnya dari kumpulan B.

Sebenarnya, aku tidak pernah mahu membuat kira sama ada dia berada dalam kumpulan mana sekalipun. Manusia tentunya tidak ada yang pernah sempurna. Ia juga tidak akan seluruhnya putih dan tentu juga tidakkan mungkin seluruhnya hitam. Itu kenyataan.

Justeru, usah mengsengsarakan diri dengan kepuraan yang berkesudahan menjadi lucu. Berterus-terang sahaja tentang pendirian kamu. Kamu berhak ke atas itu... Ini nasihat percuma dari aku.. :)

[Kamu ber-tutor keras sa-perti mahukan A, tetapi sebenar-nya kamu telah awal memileh B.. dan aku tahu itu.. :) ]

Wednesday, October 20, 2010

~ CERITA RAHSIA ~


" Tadi saya dah jumpa boss besar, mintak tukarkan saya ke jabatan lain.."

Aku melongo.. kemudiannya ketawa kecil kerana menyangka ia sekadar gurau sendanya. Namun bila dia mengulangi tutur yang sama dalam nada yang tegas, aku percaya ia bukan perkara main-main. Apatah lagi dia beberapa kali menutur pesan agar aku mengunci mulut kerana ketika tadi itu, aku menjadi orang kedua yang tahu mengenainya dan sekelian rakan-rakan lain langsung tidak mengetahui tentang ini. Aku dipilihnya untuk menyimpan cerita itu.

Adu rakan pekerjaan ini lagi, dia mahu mengalah kerana merasakan dirinya tidak sesuai berada dalam jabatan kami. Malah katanya selama empat bulan mencuba, ternyata dia gagal mencari keserasian. Lalu atas alasan tidak mahu menyusahkan orang lain, dia membuat putus untuk meninggalkan jabatan kami.

Aku agak terkejut apabila rakan ini mengakui sangat merasa tertekan sepanjang dia dalam jabatan kami. Tertekan apabila en boss sering menegurnya seolah terlalu banyak yang tidak kena tentangnya. Malah, pagi tadi juga, hal yang sama berlaku membuatkan dia bersugul sehingga petang harinya.

Sebagai rakan sepekerjaan, aku mengeluarkan pendapat dan menitipkan kata nasihat buatnya. Selebihnya, terpulanglah dia untuk membuat pilihan.

[Perenah me-rasa di-buli..]

Tuesday, October 19, 2010

~ EAT PRAY LOVE ~



AKHIRNYA... setelah tiga kali cubaan, aku berjaya juga untuk menonton filem yang amat dinantikan ini, Eat Pray Love lakonan Julia Roberts. Ia sekaligus untuk meriliskan tekanan yang bertimpa sejak beberapa minggu terkebelakang ini. Yaa.. meriliskan tekanan di depan layar lebar selain membawa diri melihat matahari terbenam.

Filem arahan Ryan Murphy ini mengangkat persoalan tentang pencarian diri dan kasih sayang. Tentang seorang wanita yang mencari ketenangan jiwa setelah apa yang dicarinya itu tidak ditemui di dalam rumah dan di samping orang yang dia kasihi selama ini. Sungguh Eat Pray Love banyak meminjamkan sesuatu yang positif selain keterujaanku melihat Liz Gilbert menyuap enak spaghetti yang sangat menggoda itu.

Menurut pengarah buku ini, pemilihan aktres popular Hollywood yang menjadi kesayangan ramai, Julia Roberts sebagai teraju utama filem ini merupakan satu pilihan yang tepat. Malah keberkesanannya membawakan watak Liz Gilbert itu turut mempengaruhi sebahagian besar perjalanan cerita filem ini.

‘Eat Pray Love’ mengisahkan tentang seorang wanita yang memutuskan untuk meninggalkan kehidupan sempurnanya untuk mengelilingi dunia bagi mencari ketenangan diri yang tidak pernah diperolehinya selama ini.

Meskipun memiliki segala yang diinginkan sebagai seorang wanita seperti suami, rumah dan kerjaya sebagai seorang penulis yang sukses, Liz tetap merasa kekurangan dan kehilangan sesuatu. Perasaannya menjadi tidak tenteram dan akhirnya mengganggu kerukunan rumah tangganya sehingga membawa kepada penceraian.

Selepas bercerai, Liz bertekad untuk mencari kebahagiaan yang didambakan selama ini dengan mengembara ke beberapa buah negara. Empat bulan pertama, dia memilih untuk menjalani kehidupan di Itali. Di sana, Liz tidak melepaskan keseronokan untuk berhibur dan menikmati segala makanan menarik yang menjadi sebutan di sana.

Empat bulan berikutnya, dia kemudiannya berada di India dan tertarik dengan kaedah meditasi masyarakat di sana yang berjaya memberikan ketenangan buatnya. Seterusnya, Liz melanjutkan perjalanannya ke Bali yang akhirnya menemukan dia dengan seorang lelaki Brazil, Felipe (Javier Bardem) yang telah berjaya mengembalikan rasa cinta ke dalam hatinya.

[Sa-perti mahu segera ke Italy... Ohh spaghetti...]

Monday, October 18, 2010

~ LOMBONG BIJIH BESI TERSOHOR ~

















BUKIT BESI 50 years Ago – Pictures Bukit Besi which is situated in the district of Dungun was once an important and famous iron mining place in Terengganu. The history of iron mining in Terengganu is one of the largest iron-mine in the world.

LATAR BELAKANG
Bukit Besi terletak di Daerah Dungun, 33km dari Bandar Dungun dan 77km daripada Kuala Terengganu. Bukit Besi menjadi terkenal kerana pengeluaran bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara. Bermula pada suku pertama abad ke-20. Perkembangan perusahaan perlombongan di Bukit Besi ini seiring dengan pertumbuhan perusahaan keluli di Jepun.

KRONOLOGI:
1916 - Ahli kajibumi Jepun, Mr. Kuhara datang ke Dungun membuat kajian di konsesi Chemuak, Ulu Dungun dan mendapati kawasan tersebut mengandungi bijih besi dalam jumlah yang banyak.

1927an - Syarikat Kuhara Mining Ltd. menjalankan aktiviti perlombongan secara tidak rasmi. Syarikat ini kemudiannya telah ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC).

1929 - 13 Januari - Kerajaan Terengganu mengeluarkan ‘mining lease’ secara rasmi kepada NMC. Kawasan seluas 1,080 ek. ini terdiri daripada M.L. 129, M.L. 130, M.L. 131 dan M.L. 132, iaitu pecahan daripada M.L. 75, kawasan yang telah dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada seorang kerabatnya, Tengku Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Sebelum ini, Tengku Abu Bakar pernah memberi kebenaran kepada Wong Sin, seorang pengusaha lombong untuk membuka lombong bijih timah di situ, tetapi tidak begitu berjaya. Apabila NMC mengakui kawasan tersebut mengandungi bijih besi, Wong Sin telah menjual hak melombong di situ kepada NMC pada bulan Oktober 1917 dengan bayaran sebanyak $50,000.00.

1930 - Pengurus lombong pertama, R.Kunada telah memulakan tugasnya pada bulan April 1930. Dalam tahun tersebut juga laluan keretapi Dungun - Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che Lijah. Beberapa tahun kemudian, pihak NMC terpaksa memberhentikan beberapa pekerja akibat kurangnya permintaan daripada syarikat-syarikat keluli di Jepun.

1934 - Keadaan pulih semula. Para pekerja yang telah diberhentikan, diambil bekerja semula, malah ditambah dengan pekerja-pekerja baru. Permintaan yang berterusan daripada syarikat-syarikat keluli di Jepun telah mendorong pihak syarikat meningkatkan pengeluaran.

1935 - Jumlah penduduk di Bukit Besi telah meningkat sehingga 6,000 orang (termasuk 3,000 pekerja).

1936 - Sebuah terowong yang dikenali sebagai Bukit Tebuk telah dapat disiapkan. Perjalanan melalui Bukit Tebuk dapat menjimatkan masa. Oleh itu tempat memunggah bijih dari Che Lijah telah dipindahkan ke Nibong. Para pekerja perlombongan di Bukit Besi ini terdiri daripada pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India dan Jepun.

1938 - Peperangan antara China dengan Jepun - menyebabkan pekerja-pekerja Cina berhenti beramai-ramai, akibat daripada hasutan dan sentimen anti Jepun. Ini menyebabkan syarikat perlombongan hampir lumpuh. Pihak pengurusan syarikat terpaksa mengambil pekerja-pekerja baru, sebahagian daripadanya diimport terus daripada India.

1945 - Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia ke II. Perusahaan perlombongan bijih besi oleh NMC berakhir.

1946 – 1949 - Darurat. Aktiviti perlombongan terhenti kerana tiada permintaan.

1948 - Ogos, kerajaan British memutuskan untuk menjual harta lombong Bukit Besi kepada Syarikat Eastern Mining and Metal Berhad (EMMCO).

Awal 1950an - EMMCO menjalankan aktiviti perlombongan secara besar-besaran, kesan daripada pemulihan peperangan dan permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat Jepun. Pengeluaran bijih digandakan untuk mendapat keuntungan besar dalam masa yang singkat. Aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti, kecuali hari Jumaat. Kepala keretapi juga telah diganti dengan yang baru, ditempah dari England. Jentera-jentera moden juga telah digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih. Dengan ini pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu, di samping mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Oleh itu tidak hairanlah jika pendapatan para pekerja perlombongan Bukit Besi ini menyamai atau lebih baik daripada para pekerja di jabatan kerajaan pada masa itu. Pihak EMMCO juga telah mewujudkan banyak jabatan, seperti pejabat pos, pejabat ukur, pejabat kebajikan masyarakat dan sebagainya di zaman kegemilangan Bukit Besi. Oleh kerana pengeluaran yang berterusan dengan jumlah yang besar, akhirnya bijih besi mula berkurangan dan akaun syarikat mula mencatatkan kerugian

1970 - 1 Oktober - Mesyuarat Lembaga Pengarah EMMCO membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit besi.

1971 - 8 September - Sektor perlombongan bijih besi ditutup. Ini memberi kesan bukan sahaja kepada penduduk di Bukit Besi, tetapi juga kepada Bandar Dungun. Bagi memastikan Bandar Dungun terus hidup, Kerajaan Terengganu telah membina sebuah cawangan ITM di sana. Pihak KETENGAH pula telah merancang pembangunan semula Bandar Bukit Besi. Berbagai kemudahan awam dan perniagaan, telah diwujudkan.

Bukit Besi telah meninggalkan beberapa artifek sejarah yang menjadi aset penting dalam industri pelancongan. Artifek-artifek seperti chimney, stock pile, washing plant / tin plant, crushing plant, tempat menyimpan bahan letupan dan sebahagian daripada kuarters masih tersergam hingga ke hari ini, walaupun telah mengalami berbagai kerosakan. Tasik Puteri yang wujud hasil daripada perlombongan bijih besi di Bukit Besi ini sedang dimajukan oleh KETENGAH sebagai kawasan rekreasi yang menarik. Sebuah Galeri sejarah juga diwujudkan bagi tatapan generasi muda.

[Sempat men-jejak-kan kaki dan me-lehat dengan mata sendiri kesan tinggalan pen-jajah di-sini be-berapa bulan lalu..]

Sunday, October 17, 2010

~ SELAMAT PENGANTIN BARU ~










SELAMAT pengantin baru buat angkasawan pertama negara, Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Halina Mohd Yunos yang melangsungkan perkahwinan mereka pada minggu lalu, pada tarikh yang unik dan istimewa, 10.10.10. Mudah-mudahan berbahagia dan selamat hingga ke akhir hayat... amin..

[Tumpang seri Dr Halina...]

Saturday, October 16, 2010

~ BISIKAN SYURGA ~


TAJUK : Bisikan Syurga
KARYA : Yani Rahma Nugraheni
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN : 343
HARGA : RM17.50

“Novel yang sarat dengan konflik hidup dan idealism ini menghadirkan kesaksian mengharukan tentang rahsia Ilahi dalam menyentuh jiwa-jiwa manusia yang lemah dan fana…”

[Muga ter-pelihara dalam restu..]

Friday, October 15, 2010

~ LARUT ~


"Perempuan jenis apa ni balik rumah jam 2-3 pagi? Keje apa sampai pagi macam ni? Kalau macam nilah gayanya, cari saja keje lain! Ayah tak suka, dan ayah nak AL berenti kerja segera."

Kata-kata ayah subuh hari tadi masih terngiang-ngiang di telingaku. Semuanya gara-gara aku terhambat dengan urusan pekerjaan yang punya tarikh mati lalu tersangkut di ruang pekerjaan sehingga jam 2.30 pagi semalam. Dan hanya setengah jam kemudiannya barulah aku tiba di rumah memandu seorang diri di saat embun sudah mula menitik ke bumi.

Selama ini, ayah hanya tahu aku sering pulang kerja lambat kerana hambatan urusan pekerjaan. Mungkin fikirnya, lambat yang dimaksudkan itu sekadar lewat 1-2 jam daripada waktu pekerjaan biasa. Lalu kejadian semalam yang bersaksikan dia itu membuatkan ayah tiba-tiba jadi berang dan hilang pertimbangan. Mujur saja ada ibu dan membuat tenang.

Banyak lagi kemarahan yang dihamburkan ayah kira-kira jam 6.20 pagi itu. Namun dek kerana aku terlalu mengantuk dan langsung tidak dapat membuka mata, makanya aku tidak dapat mengingat apa yang dituturkannya saat itu. Mamai. Aku bangun dan mengadap ayah saat ayah mengejutkan aku dari lena yang keras itu, namun sungguh aku tidak dapat menangkap butir bicaranya kerana diri masih hanyut dalam mimpi.

Hanya pada tengaharinya, aku menghubungi ibu dari tempat pekerjaan dan kembali bertanyakan hal itu, barulah aku tahu duduk cerita sebenar tentang insiden pagi tadi itu. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Lucu juga ada. Manakan tidak, aku terlalu mengantuk sehingga tidak menumpukan langsung pada kemarahana ayah. Sedangkan jika dalam keadaan yang biasa, tentu sahaja aku sudah menikus apabila ayah meninggikan suara. Apatah lagi jika ayah sedang mengamuk begitu.

Ermm... jujurnya, aku sendiri juga kurang senang apabila sering 'berkampung' di ruang pekerjaan hampir setiap minggu kala berdepan dengan urusan kerja yang punya tarikh mati itu. Namun, apakan daya kerana memang beginilah situasinya pekerjaanku buat ketika ini. Jam 8.30 pagi sudah siap siaga berada di tempat pekerjaan dan lewat malamnya atau awal paginya barulah meninggalkan ruang pekerjaan. Hanya beberapa hari sahaja dalam seminggu kami dibenarkan meninggalkan ruang pekerjaan setepat jam 6.00 petang. Hambatan pekerjaan yang tidak mampu terelakkan.

Mungkin benar kata ayah, juga ibu... aku perlu segera bertukar bidang pekerjaan. Mungkin di luar sana masih ada ruang dan peluang lain yang sedang menantiku. Seperti mana ruang dan peluang yang diperolehi adik baru-baru ini. Sehari selepas majlis konvokesyennya Isnin lalu, adik mendapat tawaran pekerjaan di sebuah syarikat cari gali terkemuka di ibu kota. Meski jawatan itu bukanlah jawatan tetap, namun tawaran yang diperolehi itu merupakan satu peluang untuknya menimba pengalaman yang tidak harus disia-siakan. Mungkin aku juga perlu memulakan langkah...

[Mungkin sudah cukop..]

Thursday, October 14, 2010

~ CINTA TIDAK BERTEMU RESTU ~

(kredit foto : filem lagenda budak setan)

CERITANYA berselang tangis. Tekun aku mendengar untuk menangkap butir bicaranya. Sungguh aku bersimpati dengan takdirnya. Sahabat April ini banyak benar berdepan ujian dan dugaan dalam dua tahun ini.

Beberapa hari lalu, panjang kami menutur bual. Segalanya berkisar tentang kisah berantakan rumah tangganya angkara keluarga mertua sendiri. Aku lebih banyak mendengar dan sesekali mengeluarkan pendapat bila masa rasa perlu kepada itu.

Bukan kerana dia teman dekat makanya aku seratus-peratus menyetujui apa sahaja yang tuturkan atau diputuskan dia. Cuma sebagai manusia yang punya akal waras dan tahu membuat pertimbangan, tentunya aku sendiri kurang bersetuju dengan tindakan keluarga mertua yang sebegitu rupa melayan dia. Padah apabila cinta tidak bertemu restu.

Ermm.. sudah dua tahun cinta mereka diasatukan. Meski tanpa rsetu ketika itu, apakah selamanya mahu menghukum mereka begitu? Apatah lagi sang zuriat menjadi pengaman dunia, menyatu sengketa yang lama keras membuat tembok jitu. Lenturkanlah sedikit ego, kuburkanlah sedikit kesombongan yang lama berlagu. Maruah tetap terpelihara, harga diri tetap ada. Jangan dirisaukan tentang itu.

Banyak cerita rahsia yang dia kongsikan. Dan banyak kali juga dia meminta aku berjanji dengannya agar segala cerita rahsia itu tidak bepindah kepada pengetahuan sesiapapun termasuk suaminya sendiri. Aku akur atas permintaan itu. Seperti selalu aku memegang janji untuknya. Kerana ini bukan sekali aku terkongsi cerita rahsia begitu. Dan mungkin kerana itu juga dia menaruh percaya yang banyak.

Cerita kehidupan yang begitu menyakitkan untuk dihadap. Namun, itulah asam garam yang harus kita tempuh selagi belum mati. Cumanya terpulang kita untuk menghadapinya dengan cara yang bagaimana. Aku tahu ia tidak semudah penuturan kata, namun selagi ada kudrat dan waras diri, hadapilah dengan wajar.

[Me-ngunchi diri..]

Wednesday, October 13, 2010

~ MELEPAS TEKANAN ~


TERIMA kasih untuk sahabat-sahabat yang memahami. Yang sudi meluangkan masa untuk melayan diri yang serba tidak kena beberapa hari terkebelakang ini.

Dua hari berturut-turut melepaskan tekanan dengan menonton di layar lebar sebaik habis waktu pekerjaan. Tidak menyelesaikan, tetapi sekurang-kurangnya terkalih sementara simpul-simpul yang membuat serabut. Itu yang sering 'digula-gulakan' sahabat dekat saat mahu memujuk aku melepas tekanan. Terima kasih Tuhan kerana memberikan aku sahabat-sahabat yang sering menyenangkan.

Alhamdulillah... aku kini kembali berdiri dengan tegak. Meski tidak begitu stabil dan gundah gulana masih membuat baki, sekurang-kurangnya aku tidak terus-menerus meratap nasib diri. Segalanya itu telah dijanjikan... dan akan aku terima dengan selapang-lapangnya hati. Cuma yang ku pohon agar kekuatan hati itu tidak terkacau-bilau.

Selain yang kelat-kelat itu, masih ada yang manis-manis membuat singgah. Jangan dilupakan tentang itu. Itu kata teman jiwa yang sentiasa mahu mengingatkan aku tentang keberuntungan lain yang aku miliki. Aku tahu dia tidak sekadar mahu menyenangkan hati, tetapi itulah kebenaran yang dia juga sematkan di hatinya.

[Mau dudok me-lehat mata-hari ter-benam di-pantai pelabohan klang sana..]

Tuesday, October 12, 2010

~ CEMERLANG ~


TAHNIAH untuk adik yang telah berjaya menamatkan pengajiannya dengan jayanya. Hari ini, kami sekeluarga meraikan kejayaan adik di majlis konvokesyennya.

Biarpun banyak hal-hal yang menguji dan membuatkan perasaan dan hidup kami sekeluarga tidak stabil seminggu-dua ini, hari kemenangannya tetap kami raikan. Tetap ayah, ibu, aku dan yang lainnya melupakan seketika hal-hal yang tidak mententeramkan kami itu buat sementara waktu.

Adik mendapat keputusan yang cemerlang walaupun bukanlah pelajar terbaik untuk kursus pengajiannya mahupun memenangi anugerah dekan. Cuma apa yang pasti, keputusannya begitu membanggakan kami sekeluarga.

Biar badan lesu dan mata hampir separuh mahu membuat tutup, aku tetap bersemangat untuk meredah lautan manusia dan bersama-sama mereka meraikan sang graduan. Tekenang saat-saat aku melalui hal yang sama di universiti tertua di Malaysia, Universiti Malaya yang tetap menjadi kebanggan sehingga kini.

[Jubah konvokesyen Universiti Malaya jauh lebeh chantek.... :) ]