Sunday, September 12, 2010

~ TAKZIAH UNTUK SAHABAT JUNE DAN KELUARGA ~


"Bapak saya da takde. Innalillah..."

SMS ringkas aku terima daripada sahabat june pada jam 3.09 minit pagi sebentar tadi mengejutkan aku dari lena. Beberapa kali aku membaca SMS itu, bimbang mata tersilap membaca kerana masih mamai dalam lena. Ternyata itu perkataan yang memang tertera di skrin. Beberapa kali juga aku mencubit-cubit pipi, ternyata ia realiti dan bukan mimpi. Terdetik juga kalau ia sekadar gurauan (kerana sahabat ini memang suka bergurau), tetapi dia memang gila kalau inilah subjek gurauannya. Akhirnya aku menerima kenyataan itu.

Innalillah... Sudah sampai 'janjinya' dengan Yang Diatas Sana. Mudah-mudahan dipermudahkan sepanjang perjalanannya ke sana. Semoga roh arwah dicucuri rahmat serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah..

Doa aku juga agar sahabat dekat yang seorang ini tabah dan kuat berdepan situasi ini. Mudah-mudahan ibunya juga dalam keadaan yang serupa. Dua minit kemudiannya selepas menarik nafas yang paling dalam, aku terus sahaja menghubunginya untuk mengucapkan takziah. Suara sahabat ini tenang-tenang sahaja di hujung talian. Dia memang begitu dan selalu begitu. Namun, yang ada dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku mohon sangat Tuhan memberikan dia kekuatan demi ibu. Sungguh, aku mendoakan itu dengan rasa yang penuh ikhlas.

Menurut sahabat dekat ini, arwah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2 pagi tadi kerana sakit tua. Ibu berada di sisi arwah saat itu. Adik-beradik lainnya telah siap siaga berkumpul di rumah apabila menyedari kesihatan arwah begitu merosot beberapa hari ini. Dan kurang lebih satu jam tadi, arwah pergi meninggalkan mereka semua buat selama-lamanya. Dan aku menitiskan air mata tanpa sedar selepas berbual dengan sahabat dekat ini. Sebak dan sayu menguasai diri. Sesungguhnya, saat aku dan keluarga merasa diri dalam musibah dan bersedih dengan keadaan ayah, mereka sekeluaga lebih berat berdepan ujian. Ya Allah...

Aku mula terkenang hal-hal sebelum ini. Sahabat ini pernah berkecil hati denganku gara-gara aku memarahinya dan menasihatinya berkaitan hal kesihatan arwah ayah. Pernah juga dia merasa bosan kerana aku sering sahaja mahu menyibuk bertanyakan tentang kesihatan arwah ayah sehingga pernah dia menutur janji akan memaklumkan sesegera mungkin kepadaku andai sesuatu terjadi pada arwah. "Kalo bapak sy tak ok, Koishie org pertama sy bgtau.."

Aku ingat itu dan hari ini, sahabat ini menunaikan janji itu. Sepanjang perbualan 10 minit tadi, aku tidak tahu mahu memberi reaksi yang bagaimana. Mahu menenangkan dia, dia kedengarannya sudah cukup tenang (malah lebih tenang daripada aku sendiri). Mahu menyenangkan hatinya, tidak tahu pula bagaimana... Aku tahu, biar pada zahirnya sahabat ini kelihatannya seperti tabah dan kuat, namun jauh di sudut hatinya hanya Tuhan yang tahu. Dia sahabat dekat dan tentunya aku sangat mengenalinya walaupun tidak seluruh.

Jari-jari ini terus bercerita di sini sebaik sahaja usai berbual dengannya beberapa minit tadi lantaran mata sudah tidak mampu membuat lena. Hati sangat-sangat sedih dan sayu saat diberitakan tentang pemergian arwah. Apatah lagi aku tidak punya kesempatan untuk menziarah sahabat june dan keluarga kerana masih berada di kampung halaman yang mana kebetulan juga kami skeluarga berdepan situasi emosi apabila kesihatan ayah tidak mengizinkan sejak beberapa hari lalu seperti mana yang aku kongsikan dalam entri sebelum ini.

Al Fatihah untuk arwah AYAHANDA MOHAMAD.

[Mudah-mudahan ibu dapat mengawal emosi se-baek-nya..]

No comments: