Thursday, September 30, 2010

~ BAYANG HARI ESOK ~


PANDANG langit, lihat awan.... mahu lihat bayang hari esok. Apa masih ada senyum paling manis untuk untuk aku, untuk kami?

[Belajar menerima kenyataan dengan hati yang ter-buka..]

Wednesday, September 29, 2010

~ JADI GELAP ~


BILA rumah kecil yang selalu cerah itu jadi gelap, ia jadi senyap... suram dan sugul.

[Pejam mata..]

Tuesday, September 28, 2010

~ DEGUP KENCANG ~

(kredit foto : filem magika)

JANJIKU semalam mahu mengatasi hal emosi minggu lalu. Apatah lagi kami mula menerima kenyataan yang telah ditakdirkan itu secara perlahan-lahan. Namun jam empat semalam, kakak menguhubungiku di tempat pekerjaan dengan esak tangis berpanjangan di hujung talian sehingga satu butir bicaranya pun tidak aku fahami membuatkan aku kembali lelah. Rupa-rupanya kami mendapat perkembangan terbaru tentang hal itu yang membawa kepada kemungkinan-kemungkinan lain yang lebih menyakitkan.

Luluh hati mendengar semua itu. Lalu debar yang kembali kepada degup normal ini kembali membuat kencang. Lalu segala tumpuan kepada urusan pekerjaan semalam menjadi porak peranda. Kebetulan pula ketika kakak menghubungi petang semalam, aku agak kesibukan dengan urus pekerjaan dalam menguruskan persediaan acara penting di tempat pekerjaan.

Lalu di luar kawal, emosi jadi berlimpah. Dan buat pertama kalinya aku 'mempertontonkan' kemarahannku tanpa sengaja di depan rakan-rakan. Sungguh bukan sengaja mahu memberi tempias. Tetapi emosi berat itu benar-benar membuat rasa warasku bertempiaran lari. Ermmm..

[Sunggoh... aku perelu meng-hilang-kan diri sa-ketika... agar tidak mem-beri tempias kepada se-siapa...]

Monday, September 27, 2010

~ HIDUP TIDAK AKAN TERHENTI SEBELUM MATI ~

(kredit foto : filem lagenda budak setan)

SEPANJANG minggu lalu, emosi diri tidak begitu stabil. Malah sepanjang tempoh itu, aku hanya berkurung di rumah selain keluar ke tempat pekerjaan. Melarikan diri dari rakan-rakan. Membuat senyap semahunya. Pada rakan yang dekat, mungkin menyedarinya.. pada yang tidak, kesenyapan dan ketiadaaan aku tidak mengganggu rutin walau seinci.

Ermm.. untuk minggu baru ini, sebolehnya aku tidak mahu lagi bercakap hal-hal emosi yang memberi kejutan pada kami dan keluarga minggu lalu. Namun, bagaimana tidak mahu berfikir dan bercakap soal itu sedangkan itulah yang sedang kami hadapi saat ini. Kenyataan tetap kenyataan. Aku sangat mengharapkan ada keajaiban berlaku, tetapi ia tidak mungkin terjadi seperti mana dongeng di layar.

Apapun, terima kasih kepada sahabat yang mengambil berat, juga mengambil tahu. Terima kasih kerana mahu menghibur-hiburkan aku meski aku tidak berkongsi tentang itu. Terima kasih kerana mahu menyenangkan hatiku saat lara kejam membuat singgah ini. Juga untuk auntie phia yang memberi kata semangat untuk aku membina diri semalam. Sungguh, aku amat-amat aku hargai. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalasnya.

Terlintas rasa mahu meletakkan jawatan dan meninggalkan hiruk pikuk kota ini untuk menenangkan diri. Kalaulah hidup ini semudah itu...

[Mohon kemaafan kerana maseh ber-cherita hal emosi dalam diri...]

Sunday, September 26, 2010

~ MUZIKAL TUN MAHATHIR ~


KECEWA. Perkataan itu menggambarkan perasaanku sebaik sahaja usai menonton Muzikal Tun Mahathir di Panggung Sari, Istana Budaya, kelmarin.

Jujurnya, sebaik sahaja mendapat perkhabaran tentang rancangan untuk mementaskan kisah hidup tokoh idola sepanjang zamanku yakni, mantan Perdana Menteri yang disayangi, Tun Dr Mahathir Mohamad, aku cukup-cukup gembira dan berbesar hati. Malah, sentiasa menjadi tidak sabar untuk menunggu hari pementasannya.

Mungkin kerana harapan itu begitu tinggi terhadap teater ini, makanya aku atau pun penonton yang lain mahukan kesempurnaan untuk teater ini.. kalau tidakpun hampir sempurna. Malangnya, apa yang dipertontonkan kelmarin itu tidak terjadi seperti itu. Mesejnya tidak sampai. Tidak terlihatpun apa yang istimewanya tokoh yang seorang ini. Malah tidak keterlaluan kalau aku katakan teater ini gagal memperkenalkan Tun dengan sebaiknya kepada generasi baru yang mungkinnya tidak mengenali beliau.

Tiada apa yang berbekas melainkan rasa mengantuk untuk menunggu pementasan berakhir. Aku faham, mungkin banyak perkara dan fakta yang mahu dimasukkan dalam teater ini. Namun, apa gunanya jika dimasukkan semua fakta dan peristiwa itu kalau tidak diberi fokus dan seterusnya tidak memberi kesan kepada penonton? Apapun, aku sangat tersentuh dan hampir menitiskan air mata saat dipertontonkan kembali rakaman saat Tun yang dikasihi mengumumkan perletakan jawatan beliau dalam ucapan terakhirnya di Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, tujuh tahun lalu itu. Ermm...

Bagaimanapun, tahniah diatas usaha pihak produksi dan mereka yang terbabit dalam pementasan ini. Mungkin ia boleh diperbaiki diperindahkan pada masa akan datang.

[Tetap meng-kagomi karisma, ke-pimpinan dan ke-geniusan Tun Dr Mahathir...]

Saturday, September 25, 2010

~ GERHANA DI HATI ~


TAJUK : Gerhana Di Hati
KARYA : Dhieya Adlynna
CETAKAN : Pertama (2008)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 503
HARGA : RM18.90

“Cinta letaknya di hati. Meskipun tersembunyi, namun getarnya jelas sekali…”

[Yang di-dalam sana sukar untok di-teka tafsir...]

Friday, September 24, 2010

~ KAKITANGAN TM POINT YANG 'CEMERLANG' ~



BEBERAPA bulan lepas, aku asyik merungut dan tidak berpuas hati dengan TM Point. Tentang banyak perkara, terutamanya hal kakitangannya.

Hari ini, aku dipanjang emel dari seorang rakan yang juga mendapat kiriman emel berantai yang memaparkan salah seorang kakitangan TM Point dari bahagian kaunter sedang asyik melayari laman sosial Facebook ketika sedang bertugas.

Patutlah semua urusan begitu lambat dan mengambil masa untuk diselesaikan. Masalah Streamyx yang aku hadapi di rumah baru ini dari awal tahun sehingga masuk hujung tahun juga tidak selesai-selesai. Manakan tidak, masalah yang aku hadapi dicampak ke sana dan kemari. Bahagian ini bagi nama bahagian itu, bila dah hubungi bahagian itu di panjangkan pula ke bahagian lain. Bertangguh-tangguh dan sehingga kini masalah itu belum selesai. Bil streamyx masih berjalan walaupun aku langsung tidak mendapat perkhidmatan itu. Malah sehingga kini aku tidak pasti berapa jumlah yang terkumpul yang perlu aku bayar nanti.

Nah.. hari ini kita sama-sama lihat betapa 'prihatin dan cemerlangnya' kakitangan TM Point ini menjalankan tugasnya..

[Patot-lah urusan kaunter selalu lembab dan lambat...]

Thursday, September 23, 2010

~ TERIMA KASIH UNTUK BAHU ~


TERIMA kasih kepada sahabat yang namanya BR kerana sentiasa meminjamkan 'bahunya' saat aku memerlukan begini. Tidak perlu aku bercerita atau meminta-minta kerana dia tahu membaca aku. Doa kesejahteraan buat kamu.

[Juga mahu men-jadi sahabat seperti kamu..]

Wednesday, September 22, 2010

~ KESUGULAN EMOSI ~


RAKAN sepekerjaan menegur kesenyapan aku. Menyapa ketidakbermayaan aku yang jelas terpamer di wajah. Aku senyum sahaja. Senyum yang dibuat-buat kerana mahu menutup sugul yang ada di dalam sana. Sedaya aku mengalih topik perbualan kerana aku orangnya tidak mudah berkongsi hal-hal emosi dengan sewenangnya. Kecuali dia sahabat dekat yang mengenali siapa aku. Aku mencuba semampu agar kesugulanku tidak dijejaki rakan-rakan di tempat pekerjaan. Agar kekalahan emosi ini tidak disaksi sesiapa.

Namun aku ini bukanlah sang pelakon yang berjaya. Sugul diri tetap terlihat jelas. Lalu, baik sahaja membuat senyap dan lari seketika daripada mereka. Justeru, hal-hal rutin bertempiaran lari. Sedang cuba memulih sugul.

[Mudah-mudahan kami sekeluarga dapat men-depani segala tekanan ini..]

Tuesday, September 21, 2010

~ TUHAN MAHU MENGUJI DAN AKU MENGERTI ~


AKU tidak tahu bagaimana mahu memulakan entri kali ini. Entri resah-gelisah yang bertembung emosi berat. Bukan hal yang menjadikan aku tidak stabil semalam. Itu hanya secebis cerita yang sekadar menguis rasa secara datang dan pergi. Namun kenyataan yang perlu aku lalui pada hari ini, lebih berat daripada itu.

Hari ini, aku dan keluarga harus menelan satu kenyataan pahit dengan hati yang cukup luluh. Kenyataan yang berupa satu takdir yang telah ditentukan buat kami. Aku sekerasnya cuba membuat positif pada diri. Memikirkan pasti ada sesuatu yang lebih cantik dan indah yang menanti kami selepas ini. Namun, sungguh aku terlalu gagal untuk kuat berdiri mengumpul semangat. Kenyataan itu terlalu mematahkan.

Lazim selalu, aku menjadi orang yang kuat mendokong semangat diri dan mereka yang berkeliling. Tidak pernah jemu memberi rasa positif pada mereka yang sedang dilanda rasa gelap agar tidak melayan lara hati. Namun, hari ini aku sedikitpun tidak punya rasa itu. Kesabaran yang seringnya aku miliki besar sebelum ini menjadi terlalu nipis dan sepertinya mahu diterbang angin lalu. Aku menjadi hilang diri.

Jika selalu aku aku menenangkan kakak yang sedang menangis, memujuk adik yang berlinangan air mata, hari ini situasi itu tidak berlaku. Aku membiarkan mereka bertangis-tangisan kerana aku juga gagal mengawal emosi sendiri. Kalah dalam kekalahan perasaaan. Kami bertiga beresak-esakan tangis tanpa ada sesiapa memujuk. Entah bagaimana pula situasi ibu yang tidak boleh tidak menerima kenyataan ini...

Malah, jujur aku katakan saat jari jari ini meluah rasa di sini, air mata masih basah menghujani diri. "Koishie, kamu terimalah kenyataan ini walaupun ia sukar bagi kamu!" Berkali-kali aku membisikkan itu. Tetapi berkali-kali juga aku gagal menahan tangis. Patutlah sejak dari semalam, aku tidak senang duduk dan beresah-gelisah. Rupa-rupanya gerak hati itu mahu menyampai sesuatu.

Kalau tidak kerana telah terlebih dahulu mengambil cuti panjang sempena aidilfitri yang lalu, pasti sahaja aku mengambil cuti dan menghilangkan diri buat seketika. Mahu hilang dari semua orang. Tidak mahu mereka melihat aku yang sentiasa tenang dan positif diri ini tidak dalam keadaan yang stabil emosinya. Terlalu serabut dan terlalu berat kepala saat ini. 2010 terlalu banyak membuat berat kepada emosi kami. Bertimpa-timpa ujian membuat singgah. Bukan satu.. bukan dua... ermmm...

Namun, andai ini takdir yang sememangnya tertulis untuk kami sekeluarga, aku akur. Cuma.... mudah-mudahan kami tidak terus terkalah dengan emosi begini. Sungguh, aku pohon itu... :(

[Se-keras-nya coba me-muleh emosi bagi-mana aku sering me-mujok mereka yang ber-situasi sama...]

Monday, September 20, 2010

~ TIDAK STABIL ~


MOOD sangat-sangat tidak stabil. Tidak pernah ada agenda. Titik.

[Apa aku ter-silap mem-bacha nada..???]

Sunday, September 19, 2010

~ ABAH-ABAH ~




WALAU apapun penjelasan tentang kewajaran penggunaan 'abah-abah' untuk keselamatan anak-anak zaman ini, aku tetap dengan pendirian tidak bersetuju dengannya. Titik.

Kredit berita & foto : http://www.kosmo.com.my

Anak masih bebas bergerak

HAMPIR setiap kali keluar membeli-belah, pasangan Mohd. Azmi Mamat, 33, dan Salman Azztha Sulaiman, 32, akan menjadi perhatian. Sekali-sekala, ibu bapa kepada dua orang anak kecil itu turut didatangi orang yang tidak dikenali. Mereka ini sebenarnya tampil untuk memberi kata-kata sokongan.

Semuanya kerana tindakan kedua-dua ibu bapa moden itu mengikat anak-anak mereka dengan menggunakan abah-abah keselamatan (harness) setiap kali berada di luar rumah. Idea penggunaan kaedah itu ke atas kedua-dua orang anak mereka, Muhammad Adam, 4 dan Muhammad Daniel, 3, sebenarnya bersebab.

Di negara-negara Barat seperti Britain dan Switzerland yang pernah dikunjungi, senario ibu bapa ‘mengikat’ anak ketika keluar bersiar-siar merupakan satu perkara biasa. Tindakan itu juga tidak dilabelkan sebagai satu kesalahan besar.

“Kebetulan pula pada waktu itu, Adam sudah pun berusia setahun dan pandai berjalan. Jadi, apabila sekembali ke Malaysia, kami cuba mencari produk itu untuk anak-anak,” cerita Azmi yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan tempatan kepada Kosmo! baru-baru ini.

Keputusan pasangan itu bagaimanapun gagal apabila mereka mendapati di Malaysia belum ada produk abah-abah keselamatan yang dipakaikan pada bahagian dada si kecil. Tanpa berputus asa, Azmi mencuba nasib dalam enjin pencarian, Google. Dari situlah, dia mengenali satu jenama tempatan, Bumble Bee yang mengeluarkan abah-abah keselamatan untuk kanak-kanak.

Enam bulan selepas Adam dan Daniel memakai abah-abah, pasangan itu mengakui kelebihan dan keberkesanan produk itu bukan hanya untuk kanak-kanak tetapi juga bagi orang dewasa.

“Panjang tali untuk kawal jarak anak adalah sekitar 1.5 meter. Jadi, anak masih bebas berjalan, tetapi dalam lingkungan terkawal,” tambah Salman yang merupakan suri rumah sepenuh masa.
[Genap seminggu pemergian aruwah ayahanda sabahat june... AL-FATIHAH...]

Saturday, September 18, 2010

~ EMPAT JAM TANPA HENTI ~


SELAMAT kembali ke hiruk pikuk kota setelah memandu empat jam tanpa henti dari pantai timur semenanjung tanahair tengahari tadi. Menjadi kali pertama untuk kali ini apabila aku memandu hanya ditemani adik disebelah tanpa konvoi dari kakak mahupun abang seperti selalunya.

Abang terheret dengan urus pekerjaannya, manakala kakak terlebih dahulu pulang ke hiruk-pikuk kota Isnin lalu. Makanya, aku bersendiri memandu jauh untuk kali ini. Alhamdulillah, perjalanan kami selamat dan dipermudahkan.

Terbayang wajah ayah saat kami mahu meninggalkan rumah tengahari tadi. Terasa dinginnya pelukan ibu kala aku mengucapkan selamat tinggal siang tadi. Ciuman ibu masih basah di pipi kananku, renungan ayah masih jelas tertacap di dalam sanubariku. Kali ini, ayah tidak berpesan apa-apa. Tidak seperti selalu yang dia lakukan.

Cuma ibu membuka mulut;

"bawa kereta elok-elok.. dah sampai nanti bagitahu... ermm.. selalu-selalulah telefon ibu, ayahpun.."

*perlu memandu ke bumi hang tuah pula.. ermm..

[Al-Fatihah untok aruwah ayahanda sahabat june...]

~ JATUH CINTA LAGI ~


TAJUK : Jatuh Cinta Lagi
KARYA : Hanny Syazwany
CETAKAN : Pertama (2010), Kedua (2010)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 598
HARGA : RM19.90

“Cinta itu bukan untuk didusta. Hadirnya untuk memberi dan menerima… Hangatnya mendamaikan, Dinginnya melemaskan…”


[Al-Fatihah untok aruwah ayahanda sahabat june]

Thursday, September 16, 2010

~ SENANG DAN TENANG ~


TENANG. Dalam beberapa hari ini, rutin harianku sangat berubah. Tidak lagi berkejaran dengan urusan pekerjaan yang menghimpit dan tidak lagi sibuk menghabiskan waktu di luar dengan pelbagai hal yang memenatkan. Kesempatan cuti sempena aidilfitri benar-benar aku gunakan sebaiknya.

Kehidupan dalam tempoh seminggu ini tenang-tenang sahaja di samping ayah ibu dan adik-adik. Lebih terasa apabila aku langsung tidak keluar rumah dan 24 jam bersama mereka. Sementelah keadaan kesihatan ayah yang tidak mengizinkan, bukan sahaja aku, malah adik juga tidak keluar beraya. Bermula daripada membuka mata, sehingga saat mahu meletak lena kami hanya di rumah. Setiap kali menjamah hidangan makan pagi, sehinggalah pada makan malamnya, kami makan bersama-sama tanpa gagal. Setiap hari sejak seminggu yang lalu.

Lusa, yakni Sabtu ini aku akan kembali ke dunia asal. Dunia kesibukan yang tentunya mengubah 360 darjah rutin harianku.

[Al-fatihah untuk arwah ayahanda sahabat june..]

Wednesday, September 15, 2010

~ MOHON KESEJAHTERAAN ~


ALHAMDULILLAH... kesihatan ayah mula menunjukkan perkembangan yang positif. Sudah boleh bangkit dan makan sendiri tanpa bantuan ibu dan anak-anak. Sungguh kami seisi keluarga memanjat kesyukuran dan mudah-mudahan hidup kami dilimpahkan kesejahteraan. Amin.

Sehingga Syawal 6 yakni hari ini, kami sekeluarga tidak ke mana-mana dan hanya menghabiskan masa di rumah. Menunggu tetamu datang berkunjung. Itupun sekadar meraikan mereka seadanya dan tidak bersuasana seperti mana lazimnya.

Apapun, syukur alhamdulillah kami masih dipanjangkan umur dan diberikan peluang untuk menikmati Syawal ini. Mudah-mudahan masih ada rezeki pada tahun akan datang.

[Mohon di-hadiah-kan AL-FATIHAH untok aruwah ayahanda sahabat june..]

Tuesday, September 14, 2010

~ AYAHANDA DALAM KENANGAN ~


AYAHANDA DALAM KENANGAN
(dedikasi khas buat allahyarham ayahanda sahabat june)

Biru, merah, hitam, putih
Ada dalam hatinya
Aku tidak pernah tahu

Sakit, sihat, khabar dia
Itu yang menjadi tutur
Selalu dan kerap
Asal mahu rasa senang
Sama kasih yang namanya ayah

Semalam, semalam dan semalam
Tentang dia terus aku bicarakan
Meski sama kisahnya
Aku masih senang
Masih bicara lagi dan lagi
Sejak terkongsi hal kesihatannya

17 Ramadan lalu
Aku tuturkan lagi
Sihat, sakit, khabar dia
Tertulis takdir aku menjadi saksi
Zakat fitrah terakhir dirinya
Tidak aku tahu
Bila mana pagi 3 Syawal mengisi hari
Harum kemboja menebar salam

Meski bibir menutur sedar
Mohon sang anak kuat
Mahu si ibu tabah
Emosiku sendiri kalah
Sangat rasa hilang
Sungguh tidak pernah dekat

Ayahanda...
Al Fatihah buatmu
Dari aku, juga anak gadismu itu
Kami masih mahu menutur lagi
Tentang rindu
Tentang cerita lalu
Tentang ayahanda
Yang kini hanya dalam kenangan..


[Mohon sama-2 hadiah-kan al-fatihah untuk allahyarham ayahanda Mohamad...]

Monday, September 13, 2010

~ TENANG BERSEMADI ~


AL-FATIHAH.

Jenazah Allahyarham ayahanda sahabat june telah selamat dikebumikan tengahari semalam. Semoga arwah tenang bersemadi di sana dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Mohon kita sama-sama hadiahkan Al-fatihah untuk arwah. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat. Aminn..

Entah bagaimana duduk situasinya sahabat june dan dan keluarga saat ini. Mudah-mudahan mereka mendepani hal ini dengan kesabaran yang berganda, dan kelapangan hati yang paling waras. Ermmm... aku tidak dapat bayangkan jika aku yang berada di tempat sahabat june. Tidak tertanggung rasanya emosi itu. Namun aku tetap mahu mendoakan agar sahabat dekat yang seorang ini tabah dan kuat.

Mudah-mudahan juga selepas ini, sahabat dekat ini lebih banyak menghabiskan masanya dengan ibu dan kembali berpindah ke rumah ibu. Sungguh, aku doakan itu.

[AL-FATIHAH]

Sunday, September 12, 2010

~ TAKZIAH UNTUK SAHABAT JUNE DAN KELUARGA ~


"Bapak saya da takde. Innalillah..."

SMS ringkas aku terima daripada sahabat june pada jam 3.09 minit pagi sebentar tadi mengejutkan aku dari lena. Beberapa kali aku membaca SMS itu, bimbang mata tersilap membaca kerana masih mamai dalam lena. Ternyata itu perkataan yang memang tertera di skrin. Beberapa kali juga aku mencubit-cubit pipi, ternyata ia realiti dan bukan mimpi. Terdetik juga kalau ia sekadar gurauan (kerana sahabat ini memang suka bergurau), tetapi dia memang gila kalau inilah subjek gurauannya. Akhirnya aku menerima kenyataan itu.

Innalillah... Sudah sampai 'janjinya' dengan Yang Diatas Sana. Mudah-mudahan dipermudahkan sepanjang perjalanannya ke sana. Semoga roh arwah dicucuri rahmat serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah..

Doa aku juga agar sahabat dekat yang seorang ini tabah dan kuat berdepan situasi ini. Mudah-mudahan ibunya juga dalam keadaan yang serupa. Dua minit kemudiannya selepas menarik nafas yang paling dalam, aku terus sahaja menghubunginya untuk mengucapkan takziah. Suara sahabat ini tenang-tenang sahaja di hujung talian. Dia memang begitu dan selalu begitu. Namun, yang ada dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku mohon sangat Tuhan memberikan dia kekuatan demi ibu. Sungguh, aku mendoakan itu dengan rasa yang penuh ikhlas.

Menurut sahabat dekat ini, arwah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2 pagi tadi kerana sakit tua. Ibu berada di sisi arwah saat itu. Adik-beradik lainnya telah siap siaga berkumpul di rumah apabila menyedari kesihatan arwah begitu merosot beberapa hari ini. Dan kurang lebih satu jam tadi, arwah pergi meninggalkan mereka semua buat selama-lamanya. Dan aku menitiskan air mata tanpa sedar selepas berbual dengan sahabat dekat ini. Sebak dan sayu menguasai diri. Sesungguhnya, saat aku dan keluarga merasa diri dalam musibah dan bersedih dengan keadaan ayah, mereka sekeluaga lebih berat berdepan ujian. Ya Allah...

Aku mula terkenang hal-hal sebelum ini. Sahabat ini pernah berkecil hati denganku gara-gara aku memarahinya dan menasihatinya berkaitan hal kesihatan arwah ayah. Pernah juga dia merasa bosan kerana aku sering sahaja mahu menyibuk bertanyakan tentang kesihatan arwah ayah sehingga pernah dia menutur janji akan memaklumkan sesegera mungkin kepadaku andai sesuatu terjadi pada arwah. "Kalo bapak sy tak ok, Koishie org pertama sy bgtau.."

Aku ingat itu dan hari ini, sahabat ini menunaikan janji itu. Sepanjang perbualan 10 minit tadi, aku tidak tahu mahu memberi reaksi yang bagaimana. Mahu menenangkan dia, dia kedengarannya sudah cukup tenang (malah lebih tenang daripada aku sendiri). Mahu menyenangkan hatinya, tidak tahu pula bagaimana... Aku tahu, biar pada zahirnya sahabat ini kelihatannya seperti tabah dan kuat, namun jauh di sudut hatinya hanya Tuhan yang tahu. Dia sahabat dekat dan tentunya aku sangat mengenalinya walaupun tidak seluruh.

Jari-jari ini terus bercerita di sini sebaik sahaja usai berbual dengannya beberapa minit tadi lantaran mata sudah tidak mampu membuat lena. Hati sangat-sangat sedih dan sayu saat diberitakan tentang pemergian arwah. Apatah lagi aku tidak punya kesempatan untuk menziarah sahabat june dan keluarga kerana masih berada di kampung halaman yang mana kebetulan juga kami skeluarga berdepan situasi emosi apabila kesihatan ayah tidak mengizinkan sejak beberapa hari lalu seperti mana yang aku kongsikan dalam entri sebelum ini.

Al Fatihah untuk arwah AYAHANDA MOHAMAD.

[Mudah-mudahan ibu dapat mengawal emosi se-baek-nya..]

Saturday, September 11, 2010

~ DARI SAHABAT MEI ~


SMS ucapan salam raya daripada sahabat mei malam semalam aku renung lama. Tekun membaca setiap perkataan yang tertera di skrin telefon bimbit. Ucap maafnya agak menyentuh rasa. Apatah lagi bila mana ia menyentuh cerita pahit empat tahun lalu.

Aku juga memohon kemaafan yang sama. Sesungguhnya, setiap antara kita adalah manusia biasa yang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan. Justeru, jadikan ia pelajaran berguna untuk hari-hari depan yang bakal dilalui kita dan jangan sesekali mengulangi hal kesalahan yang sama.

Untuk sahabat mei, terima kasih kerana masih mahu bersahabat.

[Empat tahon lalu yang ter-lalu banyak cherita...]

~ OMBAK RINDU ~


TAJUK : Ombak Rindu
KARYA : Fauziah Ashari
CETAKAN : 1, 2, 3 (2002) & 4, 5, 6 (2003) & 7, 8 (2004) & 9, 10 (2005) & 11, 12 (2006) & 13, 14, 15 (2007), 16 (2008) & 17 (2009) & 18 (2010)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 563
HARGA : RM19.90

“Rinduku Umpama Ombak Yang Tak Berhenti, Kasihmu Bagai Pantai Yang Setia Menanti…”


[Merasa senantiasa ada...]

Friday, September 10, 2010

~ RAYA DAN EMOSI ~


RAYA kali ini agak berbeza buat kami sekeluarga. Kesihatan ayah tidak mengizinkan dan seluruhnya menjadi lain.

Sejak beberapa hari lalu, ayah terlantar. Meski keadaannya begitu, ayah masih berkeras mahu menghabiskan puasanya. Tak siapa dapat menghalang, termasuk ibu. Tiba waktu berbuka puasa semalam, ayah hanya menjamah ketupat pulut. Itu sahaja untuk mengalas perutnya. Bangun dan duduk ayah, dipangku ibu.

Hari ini, 1 Syawal mengisi ruang. Pagi yang hening... pagi yang sayu dan pagi yang penuh emosi. Pagi ini, ayah tidak ke masjid untuk menunaikan solat sunat aidilfitri seperti lazimnya. Dia benar-benar tiada kudrat. Aku tahu ayah sedih dan terkilan kerana itu.

Acara bermaaf-maafan menjadi sangat emosi kali ini. Jika sebelum ini air mata tumpah kerana terharu, kali ini ia menjadi lain. Air mata kali ini kerana emosi sedih yang tidak tertahankan. Ibu tiba-tiba menangis dengan penuh sedu-sedan dan kemudiannya berakhir dengan 'raungan' penuh emosi. Ibu sangat-sangat sedih dan gagal mengawal rasanya. Sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Air mata ayah mengalir tanpa henti. Juga dengan sedu-sedan. Kakak cuba menenangkan ibu, namun dia juga gagal mengawal emosinya. Aku hanya keras di suatu sudut bertentang posisi ayah dan ibu. Dan... aku juga kalah. Sangat kalah.

Ruang depan rumah kami ini menjadi bingar dengan tangisan dan esak sendu. Beberapa ketika ia berlangsung begitu sebelum suasananya menjadi hening dan senyap tanpa sebarang reaksi dan bunyi kecuali detik jam dan hembusan nafas. Sangat senyap. Keheningan hanya terpecah apabila suara tetamu menyampai salam dari luar rumah. Raya yang pertama kali seumpamanya begini. Ermmm....

Suatu kebiasaan kami di pagi raya juga adalah sesi bergambar kenangan-kenangan seisi keluarga. Itu adalah hal wajib yang menjadi tradisi kami. Foto-foto itu nanti akan menunjukkan apa yang sama dan apa yang kurang di kalangan kami setiap kali raya. Termasuklah ayah dan ibu juga. Namun, kali ini sesi itu tidak berlangsung buat pertama kalinya.

Dan memandangkan keadaan ayah yang tidak mengizinkan itu, kami sekeluarga memutuskan untuk tidak beraya ke mana-mana. Justeru, rutin menziarah saudara-mara dan rakan-taulan tidak berlaku untuk aidilfitri kali ini.

[Resah melihat emosi ibu...]

~ SALAM AIDILFITRI ~


ALLAHU AKBAR...
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI BUAT SEMUA.

Mohon kemaafan atas segala keterlanjuran kata, bahasa, emosi atau apa sahaja yang pernah terkongsi melalu ceritaku di sini. Mudah-mudahan dimaafi segala yang pernah membuah resah dan sakit yang melekat di hati sepanjang berkenalan di ruang ini. Maaf zahir dan batin.

[Aku dan raya maseh yang sama..]

Thursday, September 09, 2010

~ SESAK JALAN, SESAK EMOSI ~


PENAT. Petang semalam, hujan lebat membasah bumi Kuala Lumpur selama beberapa jam menyebabkan kesesakan jalan raya yang agak kritikal. Ketika itu aku dalam perjalanan menyinggah beberapa lokasi dari Ampang-Bangsar-Pantai Dalam-Jalan Puchong-Petaling Jaya-Cheras-Bandar Tasik Selatan-Pandan Indah dan kembali ke Ampang. Menyelesaikan beberapa urus selain bertemu rakan-rakan untuk beraya sebelum pulang ke kampung. Sudahnya aku terperangkap dengan kesesakan teruk dan membawa kepada berbuka puasa di kereta sahaja.

Berselang satu jam selepas itu, barulah tiba di rumah dan terus bersiap siaga untuk pulang ke kampung halaman di pantai timur semenanjung tanah air. Bersambung kembali pemanduan dan sekali lagi mengharung sesak jalan raya yang agak meresahkan. Bayangkanlah, hampir separuh perjalanan aku hanya boleh memandu dengan kelajuan 20-40kmj. Sudahnya waktu perjalanan ke kampung halaman yang sepatutnya hanya memakan masa selama kurang lebih lima jam itu bertambah menjadi tujuh jam.

Tepat jam 5 pagi, barulah tiba di perkarangan rumah. Rumah terang-benderang. Ibu sudah siap siaga bersahur dan aku buat pertama kalinya untuk Ramadan kali ini turut menyertai ibu sebelum meletak lena yang berat dan hanya kembali membuka mata empat jam selepas itu.

Kesihatan ayah tidak mengizinkan. Agak teruk kali ini. Ibu tidak membuat persiapan raya seperti mana lazimnya. Lalu, petang hari ini dan malam raya kali ini tidak ada apa yang kami sibukkan. Kecuali tentang ayah.

[Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin..]

Wednesday, September 08, 2010

~ SALING MENYALAMI ~


KESEMPATAN hari ini aku isikan dengan bertemu empat mata dengan rakan-rakan dekat yang punya keluangan yang sama. Manyalami dan memohon maaf dengan perkataan serta hati secara bertentang empat mata itu lebih melegakan buat aku. Justeru, sebelum pulang berhari raya malam nanti, aku mengisi keluangan yang ada ini dengan hal begini. Mudah-mudahan ia dari hati yang dalam.

Terima kasih untuk mereka yang mengutuskan salam raya melalui kiriman kad raya yang sungguh-sungguh membuat aku senang. Biar sekadar ucapan ringkas, ia sungguh membekas. Lalu, aku juga melakukan hal yang sama dengan mengutuskan kiriman untuk mereka dengan rasa yang berbunga. Mudah-mudahan ikatan silaturrahim yang terjalin akan terus kekal selamanya selagi hayat dikandung badan.

Apapun, hati sedikit terkilan dengan apa yang berlaku beberapa hari lepas. Tercuit rasa dengan bahasa tuturan seorang sahabat dekat. Tidak sepatutnya terjadi pada saat beberapa hari lagi mahu meninggalkan Ramadan dan menyambut Syawal tiba. Namun, bohong kalau aku katakan aku tidak mengambil hati soal itu kerana bila lidah menghunus.. tajamnya menusuk keras meluka robek isi dalam. Entah kenapa niat sering sahaja di tafsir salah, tingkah sering sahaja ditafsir bercanggah. Apapun, untuk sahabat ini, aku memohon jutaan ampun untuk segala-galanya. Sungguh ia dengan maksud.

[Ada janji dengan sahabat mei...]

~ INSHA ALLAH ~


INSHA ALLAH
by maher zain

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can’t see which way to go
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side

Insha Allah... Insha Allah... Insha Allah
Insha Allah You’ll find your way

Everytime you commit one more mistake
You feel you can’t repent
And that its way too late
Your’re so confused, wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side

Insha Allah... Insha Allah... Insha Allah
Insha Allah You’ll find your way
Insha Allah... Insha Allah... Insha Allah
Insha Allah You’ll find your way

Turn to Allah
He’s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don’t let me go astray
You’re the only one that showed me the way,
Showed me the way
Showed me the way

Insha Allah... Insha Allah... Insha Allah
Insha Allah We’ll find the way

[Men-jadi lekat]

Tuesday, September 07, 2010

~ PETANG RAMADAN DI PASAR CHOW KIT ~


"Pergilah balik berbuka dulu. Nanti Lepas habis menjual, mak belikan baju raya yaa.."

Kata seorang wanita yang lewat usia 40'an itu kepada anak lelakinya. Anak yang mungkinnya dalam usia 10 tahun itu terus tersenyum girang. Namun, dia masih mahu memegang gugusan petai yang ada di tangannya. Menolak untuk pulang berbuka sebaliknya mahu terus membantu si ibu menghabiskan barang jualan. Mahu menanti saat-saat pakaian rayanya dibeli nanti. Girang.

Aku melihat drama itu dengan perasaan yang penuh sayu. Bukan drama di TV tetapi drama realiti yang berlaku di depan mata saat diri menyinggah di kawasan pasar Chow Kit, petang Ramadan, Sabtu lalu.

Aku melihat wajah sayu ibu itu. Aku melihat wajah penuh harapan anak itu. Berganti-ganti dalam beberapa saat ketika langkah terhenti di situ. Aku melihat dan mendengar jelas kerana wajah-wajah itu jaraknya kurang lebih dua meter dari tempat aku berdiri. Lalu aku cuba mendekati anak itu...

[Harapan men-jadi sangat manis..]

~ MOOD KACAU ~

(kredit foto : lagenda budak setan)

SIANG tadi, separuh hariku menjadi terkacau dengan 'angin' yang tidak begitu baik. Hal pekerjaan yang sepatutnya tidak menjadi masalah, tetapi 'dimasalahkan' dengan sengaja sehingga membuatkan segala urusan lainku tersangkut.

"Ko kan orang kepercayaan dia..."
Jangan tuturkan aku ayat ini sebagai alasan kerana bunyinya terlalu menjengkelkan. Tolong, jangan!

[Mood : masam dan kusam]

Monday, September 06, 2010

~ MINGGU TERAKHIR RAMADAN ~


MINGGU terakhir Ramadan ini, aku banyak berbuka puasa bersama rakan dan sahabat dekat. Begitu pun selalu setiap tahun menjadi kebiasaan. Ia menjadi kesempatan yang sangat indah kerana tujuannya buka sekdar berbuka puasa tetapi juga kepada peluang bersua muka untuk saling bermaaf-maafan sebelum pulang beraya di kampung. Siapa tahu, kesempatan ini menjadi menjadi kesempatan terakhir.

Hari ini, esok sehingga Rabu, aku mengusahakan diri untuk berbuka puasa bersama sahabat-sahabat dekat yang sentiasa ada. Mencari sedikit keluangan meski terhimpit dengan urusan lain yang membuat halang.

Untuk mereka yang tidak sempat ku isi keluangan, mohon ampun dan maaf zahir dan batin. Mudah-mudahan di halalkan segala yang termakan dan terminum. Segala kesalahan dan kepincangan diri yang terpamer dengan sengaja mahupun tidak, harap dilupuskan dari mata dan hati melalui kemaafan yang pastinya amat-amat aku hargai dengan rasa penuh keikhlasan.

Aminnnnn.

[Ter-kenang saat ber-buka puasa ber-sama aruwah D, di-kampong baru pada minggu ter-akher Ramadan empat tahon lalu.. tanpa di-sangka itu men-jadi Ramadan ter-akher kami ber-dua... al-fatihah]

Sunday, September 05, 2010

~ ALAHAI KUIH RAYA ~





KAKAK seorang yang pakar memasak. Apa sahaja dia mampu sediakan dengan baik. Benar-benar dia mewarisi bakat dari ibu. Aku, adik dan seisi keluarga tahu tentang itu. Namun, kakak bukanlah pakar membuat kuih atau biskut raya. Berapa kali dia mencuba, dan berapa kali jugalah dia kecewa. Malah ia juga berakhir dengan kelucuan... juga trauma... hahaha.

Beberapa hari lalu, kakak 'memaksa' aku membantunya menyediakan kuih raya. Aku akur sahaja sebagai tanda sokongan walaupun tahu ia pastinya akan berlangsung serupa seperti mana kejadian-kejadian pada Ramadan yang lepas. :)

Nahhhh... meminta aku membantu umpama memberi labu kepada tikus untuk dibaiki.. :) Sekali lagi, acara membuat kuih raya ini menjadi acara 'sukaneka' yang membuatkan si kecil menggelengkan kepala.. :)
[Ibu juga tidak perenah ada bakat mem-buat kueh raya sa-hingga ke-hari ini...]

~ BEHRANG ~


DUA hari lalu, aku tanpa dirancang-rancang memandu ke Behrang, Perak. Membantu menghantar rakan adik untuk pulang beraya setelah dia ditinggalkan teman lelaki dalam perjalanan untuk pulang asalnya akibat satu perselisihan faham.

Pada mulanya, aku agak keberatan kerana jam ketika itu sudah agak lewat dan tentunya mengundang risiko untuk aku yang tidak tahu langsung jalan untuk ke sana. Aku memberi cadangan agar membawa sahaja rakannya itu pulang ke rumah untuk bermalam dan berjanji akan menghantarnya esok pagi. Namun, mendengarkan adik berkali minta aku membuat pertimbangan dan separuh merayu dengan deretan alasannya, aku jadi kalah. Lalu unta hitam yang pada mulanya dihala ke rumah itu bertukar arah ke Sri Petaling.

Sebaik menyalami aku, rakan adik berkali memohon maaf kerana rasa telah menyusahkan aku. Aku senyum sahaja dan menggelengkan kepala. Tiada yang menyusahkan jika kesanggupan sudah aku buat.

Menelusuri jalan gelap yang agak asing persekitannya pada aku itu sungguh menakutkan. Perjalanan pergi tidak begitu terasa kerana kami bertiga, dan rakan adik ini memberi petunjuk jalan dengan betul. Namun ketika perjalanan pulang, ia bertukar rasa. Apa lagi dengan ketakutan andai kami tersasar laluan asal dan tersesat entah ke mana. Aku sendiri tidak perasan berapa kelajuan aku halakan semata-mata mahu segera sampai. Mujur sahaja semuanya selamat dan dipermudahkan.

Aku tidak bertanyakan apa langsung kepada adik tentang rakannya ini. Cuma yang dalam tahuku, rakan ini bukanlah dari kalangan sahabat dekatnya.

"Dia pernah belanja saya makan, masa saya tertinggal wallet kat hostel dulu,"

Kata-katanya itu menggambarkan isi keseluruhan cerita yang aku tidak tanyakan itu.

Dia rupa-rupanya masih berpegang kata ibu. Sekecil manapun pertolongan yang pernah dihulurkan kepada kita, 'pertolongan tetap pertolongan'. Budi tetap budi dan hutang budi dibawa mati. Bukan bermaksud setiap pertolongan itu harus dengan ganjaran, tetapi orang berbudi kita berbahasa. Berhati-hati membuat penafsiran tentangnya kerana jika kamu silap mentafsir ia akan membawa maksud lain yang sama sekali menjadi tidak benar.

Pernah terfikir, jika suatu musibah menimpa atau saat aku benar memerlukan seseorang untuk membantu, siapakan antara deretan rakan-rakan yang ada dalam senarai nombor di telefon bimbitku ini akan aku hubungi... Akan termasuk dalam senarai pendek yang terlintas di fikiranku untuk memohon bantu... Ermm.... Jujurnya, rakan untuk bergelak tawa tentunya lebih daripada separuh yang tersenarai ini. Namun yang benar-benar aku percaya bersedia untuk membantu atau bersusah-senang bilangannya terlalu sedikit pada kiraan jari. Aku bercakap atas dasar aku mengenali mereka sepanjang pergaulan kami dan selebihnya hanya Tuhan yang lebih tahu. Lalu aku terlalu sedar aku dikalangan rakan-rakan yang bagaimana. Namun, situasi itu tidak mengubah pegangan aku kepada satu kenyataan;

"Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu..."

[Pulau pandan jaoh ke-tengah, Gunong daek ber-chabang tiga, Hancur badan di-kandong tanah, budi yang baek di-kenang juga..]

Saturday, September 04, 2010

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN KAKAK ~


ALLAH selamatkan kamu.... Selamat hari ulangtahun kelahiran kepada kakak yang sangat dan amat-amat aku kasihi. Mudah-mudahan sentiasa dilindungi dan mendapat keberkatan dalam menjalani kehidupan.

Terima kasih atas kasih sayang, terima kasih atas perhatian, terima kasih kerana sentiasa mahu menjaga dan melindungi. Sedari kecil anak-anak hingusan sehingga kini menginjak dunia dewasa, yang pernah diberikan dulu itu masih tidak berkurang sehingga hari ini. Sungguh, aku amat-amat menyayangi kamu.

Tiada apa mampu aku tukarkan sebagai balasan, melainkan doa ikhlas berpanjangan agar kakak dan kami sekeluarga hidup dalam situasi harmoni dan saling menyayangi.. AMIN..

Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan kamu..
Allah selamatkan Kakak...
Allah selamatkan kamu...

[Ter-kenang momen-2 indah zaman anak-2 yang maseh lekat an kejap...]

~ TANPAMU DI SISI ~


TAJUK : Tanpamu Di Sisi
KARYA : Rabihah Nur Ridhuan
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 454
HARGA : RM19.90

“Cintaku Allah yang paling utama, nescaya Allah akan menjaga cinta kita…”


[Me-lehat bintang, merenong bulan..]

Friday, September 03, 2010

~ TERHIMPIT ~


MASING-MASING dihambat rasa bersalah. Aku mahupun sahabat Nov sama-sama terperangkap dengan soal profesional kerja masing-masing. Baik dia mahupun aku, masing-masing mahu menjaga hati. Ini kerana kami tidak hanya berurusan atas soal pekerjaan, tetapi juga berumbikan persahabatan tulus.

Beberapa hari lalu, tersebar cerita dari kawan-kawan yang mengatakan ikatan pertunangan sahabat nov yang baru sahaja berlangsung dalam dua bulan ini telah terputus. Aku tidak terkejut, kerana sahabat ini pernah berkongsi masalah yang mereka berdua hadapi ketika itu. Kawan-kawan ada yang mendesak minta aku mendapatkan kepastian dari tuan empunya badan. Namun, aku menolak. Malah, langsung tidak bersuara tentang itu. Ermm.. sahabat yang seorang ini sangat menyayangi lelaki dari negara seberang tambak itu. Apapun, kalau benar ia berlakupun, biarlah sahabat itu sendiri yang membuka mulut bercerita dan bukan aku yang bertanya menyebabkan dia perlu membuka mulut.

Lalu hari ini, saat aku bertanyakan khabar dan keadaannya tanpa sebarang maksud lain (tentang cerita kegagalan itu), dia pantas meluah rasa. Satu pengesahan. Dia tidak pernah mahu membuka cerita itu beberapa hari lalu saat kejadian kerana merasa ia sedikit berkait dengan pekerjaanku. Dia bimbang kalau aku merasa tidak nyaman. Sedangkan di pihak aku pula, tidak mahu menguis kerana benar mahu menjaga hatinya.

Bertembung andaian senyap begitu, sahabat ini tadi berkali-kali meminta agar aku bertindak profesional. Malah, dia juga berjanji tidak akan menyalahkan aku kerana faham selok-belok pekerjaanku. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Mungkin tidak untuk kali ini. Ini kerana kali ini aku meletakkan soal persahabatan di bahagian paling depan. Justeru, aku tidak akan meluncurkan dari mulut tentang apa sahaja yang pernah terdengar di telinga dan hati ini.

Terkenang cerita dua tahun lalu. Sahabat yang sama ini juga membuka mulut tentang kegagalannya. Sesuatu yang mungkin tidak patut dia kongsikan denganku. Dia seharusnya menyimpan sedikit curiga kepadaku. Aku melongo bila dia menaruh rasa percaya yang banyak begitu. Kerana apa? Kerana dia percaya kepada sebuah persahabatan. Lalu aku juga harus berpegang pada itu.

Sungguh, sepanjang mengenali sahabat ini, dia seorang yang cukup tabah, kuat dan sabar. Sangat-sangat... Aku mendoakan dan mengharapkan yang terbaik buatnya kerana dirinya telah banyak teruji. Mudah-mudahan, sahabat ini memperoleh apa yang dicarinya. Kalau tidak hari ini, mungkin esok.... mungkin lusa atau satu hari nanti yang hanya diketahui Yang Di Atas Sana. Aminnnnn...

[Untong punya sahabat yang tahu ber-sahabat...]

Thursday, September 02, 2010

~ KAD RAYA YANG TETAP MEMIKAT ~


BIARPUN kini kad raya sudah tidak begitu mendapat perhatian, aku tetap meletakkan keutamaan. Bagiku, ucapan daripada kad raya tetap mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri dan tidak akan pernah sama dengan ucapan melalui SMS, Facebook, Twitter mahupun emel.

Tahun ini, hanya selepas sambutan Nuzul Al-Quran sahaja, aku didatangi kad raya. Dan datangnya berderet bagai sudah berjanji. Dari rakan dan kenalan yang cukup mengerti dan mungkin juga punya fahaman yang sama denganku tentang kad raya.

Aku membelek satu demi satu. Indah dan rasa bahagia. Meski pendek dan ringkas ucapannya, tetapi keikhlasan terasa jelas. Pengorbanan masa dan keluangan untuk menyedia dan menulis itu sudah cukup membuktikan.

Untuk kamu yang dekat, aku masih dan akan tetap menyampaikan ucapan raya melalui kad raya. Itu tanda istimewa.

[Ter-kejot menerima kad raya dari-pada seorang yang nama-nya cukop ter-sohor di-dada akhbar...)

Wednesday, September 01, 2010

~ KERJA2 YANG PUNYA TARIKH MATI ~


SIANG malam pagi petang, aku mengadap timbunan urusan pekerjaan yang punya tarikh mati. Tidak hanya di lantai pekerjaan, tetapi aku angkut sehingga ke rumah. Semata-mata kerana dicuit bimbang andai cuti sempena Aidilfitri tersangkut dek kerana hal ini. Lalu, selagi mata masih belum mengantuk, selagi badan masih boleh duduk tegak mengadap skrin, aku tetap berusaha menyiapkan segala kerja yang menjadi tanggungjawab itu.

Bukan sengaja mahu menyeksa diri, tetapi jika tidak dengan kesungguhan begitu, sungguh aku akan melepasi tarikh mati yang telah ditetapkan. Bererti juga aku mengundang masalah pada diri sendiri. Mengharap hulur bantu? Ahhh... lupakan sahaja. Siapa yang mahu menyusahkan diri untuk aku???

Nahhhhh... alhamdulillah... hari ini segala urusan pekerjaan sudah selesai. Aku berjaya menyudahkan dua bahagian kerja yang punya dua tarikh mati yang harus disegerakan pada minggu ini. Hanya dalam tempoh kurang lebih lima hari. Sesuatu yang tidak mungkin dapat aku lakukan dengan kudrat biasa dan dalam situasi biasa. Kudrat yang tiba-tiba datang dari semangat dan rasa kecil hati apabila tiada yang mahu membantu saat aku memerlukan bantu.

[Hal-hal negatif yang mampu men-jadi positif... ]