Tuesday, August 31, 2010

~ ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE-53 ~


SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-53 untuk seluruh warga yang mengerti dan menghargai sebuah kemerdekaan.

Gembira kerana ulangtahun kemerdekaan tahun ini tidak bersambut letupan bunga api yang entah untuk apa ertinya. Barangkali hanya sementara, sekadar menghormati bulan Ramadhan yang mulia ini.

Ermm... Tiada ucapan klise. Cuma, aku mahu terus merdeka. Sedar juga ada beberapa pelosok dalam diri yang masih terbelenggu umpama dijajah senyap tanpa harapan. Harus dimerdekakan segera! Merdeka! Merdeka! Merdeka!

[Ayah men-jadi tumpuan pada tahon ini untok ber-cakap soal merdeka dalam be-berapa artikel dada akhbar...]

Monday, August 30, 2010

~ CERITA MALAM MERDEKA ~

(kredit foto : filem magika)

KAMI baru sahaja menjamah juadah berbuka puasa di salah sebuah lokasi pilihan di Taman Tun Dr Ismail. Tiba-tiba teman jiwa mendapat panggilan. Wajahnya tiba-tiba berubah dan segera menarik tanganku keras.

Setengah jam selepas itu, kami sudah berada di lantai hospital. Sebelum pintu bilik yang menempatkan S dikuak, sudah kedengaran esak tangis yang berpanjangan dari dalam. Aku semakin berdebar. Teman jiwa tenang-tenang sahaja walaupun kelihatan suaranya jelas ada getar.

Bilik sederhana itu dipenuhi dengan keluarga, saudara-mara dan teman-teman rapat mendiang yang sempat bergegas saat diberitakan tentang keadaan mendiang seawal jam tujuh petang tadi.

Mendiang merupakan salah seorang rakan teman jiwa. Tidaklah begitu rapat, tetapi banyak hal juga yang terkongsi diantara mereka. Aku hanya pernah sekali bertemu mata dan menghirup secawan coffee dengan mendiang. Kalau tidak silap ketika itu kami menyambut malam tahun baru bersama-sama. Aku mudah tertarik dengannya kerana dia seorang yang pelucu, tetapi genius. Dia banyak mengusik dan dengan sengaja 'memaksa' aku supaya menjadi ramah tamah.

Itu kali pertama aku berkenalan dengannya dan hari ini pada pertemuan kedua ini, aku hanya berdepan sekujur tubuh yang kaku tidak bernyawa. Menurut sang doktor, barah yang dideritainya sudah sampai ke peringkat akhir dan tiada apa yang boleh dilakukan melainkan pasrah dengan kematian.

Teman wanita mendiang meraung tanpa henti. Teman jiwa beberapa kali mengisyaratkan aku agar membantu menenangkannya. Ermm.. Apalah sangat yang mampu aku lakukan. Emosi untuk sebuah kehilangan itu terlalu berat dan tidak tertanggung. Aku faham dan cukup jelas tentang itu.

Salah seorang rakan mendiang juga turut hilang pertimbangan. Sedihnya bukan kepalang. Rupa-rupanya kurang 36 jam yang lalu, mereka saling bertikam lidah. Ungkit-mengungkit soal menolong dan ditolong. Nah... hari ini siapa sangka sahabat yang kita lihat sihat wal-afiat, bergurau senda dan bergelak ketawa semalam itu sudah terbujur kaku tidak bernyawa. Ajal maut.. hanya yang diatas sana sahaja yang Maha Mengetahuinya.

Malam merdeka yang penuh cerita. Cerita tentang kehilangan. Juga cerita tentang 'kemerdekaan' mendiang kerana bebas daripada derita yang ditanggung selama ini.

Esok petang, aku akan menemankan teman jiwa ke Seremban. Melawat keluarga mendiang yang masih dalam kejutan.

[Bagi-mana kalau... sahabat dekat kamu yang berada di-tempat itu?]

~ JALAN TUNKU ABDUL RAHMAN ~



(suasana ketika masuk waktu berbuka puasa)

MENYELUSURI jalan Tunku Abdul Rahman ketika bulan Ramadhan kala membuat persiapan raya itu adalah satu kewajipan yang tidak disedari sebenarnya. Saban tahun, itulah kemestiannya. Kadangkala, aku sendiri tidak pasti kenapa adanya kemestian itu buatku.

Kalau mahu dikatakan aku membeli segala keperluan raya di sana, tidak juga. Seperti mana hari ini, aku tidak membeli apa-apa pun di sana. Tetapi jika tidak dapat berkunjung ke sana, hati pasti sahaja tidak senang.

Mungkinnya kerana seronok bila mana kita dapat menyertai kemeriahan persiapan raya di sana. Di mana berlonggok-longgok manusia dari segenap lapisan umur dan kedudukan tampil dengan keterujaan yang pelbagai rasa dan gaya.

Juga kala azan maghrib berkumandang dan menandakan juga telah masuk waktu berbuka puasa untuk seluruhnya, maka satu permandangan menarik berlaku di sepanjang jalan ini bila mana ratusan manusia memilih untuk berbuka puasa di tepi-tepi jalan, bangunan, gerai, bangku dan sebagainya. Senario di bulan Ramadan.

[Menyimpan lekat kenangan 10 tahun lalu di-jalan Tunku Abdul Rahman ini...]

Sunday, August 29, 2010

~ MAMA SAYANG PAPA ~


Mama Papa
by ning baizura

Adakah mungkin ikan lemas di air
Adakah mungkin orang lemas dek udara
Segala yang terlampau membawa bahaya
Serupa jua cinta pun membunuh

Telah ku lihat ku amat ku kenali sangat
Cinta berubah dan evolusinya
Dari asmara jadi rumah tangga
Seperti mama dan papa

Mama jangan lupa Papa sangat sayang Mama
Walau terlalu lama Papa bersama Mama
Papa jangan lupa Mama sangat sayang Papa
Walau selalu Mama marah marahkan Papa
Mama sayangi Papa

Mungkin terlalu manis menjadi racun
Mungkin terlalu pahit pun menjadi kacau
Hidup perlukan drama barulah berwarna
Kembalikan yang suam balik hangat

Telah ku lihat ku amat ku kenali sangat
Cinta berubah dan evolusinya
Dari asmara jadi rumah tangga
Seperti mama dan papa

Seringkali alam kenyataan
Pelik dari alam khayalan
Seringkali mudah tak hiraukan
Dari mencapai sebuah pengertian

[Mau sayang dia se-bagi-mana ibu sayang ayah... ]

Saturday, August 28, 2010

~ CINTA DUA BENUA ~


TAJUK : Cinta Dua Benua
KARYA : Aliaa Rohani
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 468
HARGA : RM18.90

“Adakala hidup ini mudah, adakal hidup ini sukar. Seribu jalan terbentang di hadapan kita. Seribu cara boleh kita tempuhi. Ketika kita lemas dalam seribu satu pertanyaan, kadangkala kita terlupa pada naluri, pada rasa hati kita…” – Aliaa Rohani


[Me-mendam rasa yang di-dalam sa-hingga me-rasa ter-lalu kehilangan...]

Friday, August 27, 2010

~ BERHENTI BERMIMPI ~

(kredit foto : filem lagena budak setan)

SI IBU orangnya terlalu mementingkan status dan kebendaan. Sepanjang mengenalinya, aku tahu senarai bakal menantunya mesti dari kalangan orang yang ada-ada sahaja. Senarai dan keinginan itu mungkinnya terlahir kerana si anak punya rupa yang molek dan sentiasa menjadi perhatian mata yang memandang.

Sejak dari dulu, anak ini harus menurut rentak permainan sang ibu. Diperkenalkan dengan lelaki yang ada-ada untuk mencuba pancing. Bukan yang sebarang, tetapi yang mampu menghadiahkan kebendaan. Lalu, lesen besar diberikan kepada si anak untuk melepaskan umpan. Si anak apa lagi... galak dan bangga. lalu menggunakan sepenuhnya 'restu' yang diberikan itu. Lama ia berlarut begitu. Hampir panjang senarainya.

Namun, sebaik manapun rancangan kita yang namanya manusia ini, tentunya tidakkan mampu mengatasi rancangan Dia yang di atas sana. Si anak berdepan dengan urusan 'orang Pejabat Agama' dengan teman lelakinya yang bukan dari golongan yang ada-ada. Teman lelaki yang awal-awal lagi sudah di tolak sang ibu kerana katanya pipit mana boleh terbang sama enggang.

Berdepan situasi itu, sang ibu kecewa bukan kepalang. Lebih mengecewakan cerita itu hanya sampai kepadanya selepas setahun kejadian berlalu. Ahhh... padaku anak ini menconteng arang kerana sang ibu sendiri yang memberi arang sebagai barang mainan sejak kecilnya.

Si ibu segera berhenti bermimpi. Kurang pasti apakah kerana ia menghargai pelajaran yang terberi itu atau sekadar mahu menyelamat diri. Lalu dia menyatakan kesediaan terus untuk bermenantu. Tentunya bukan dengan teman lelaki si anak yang menghentikan mimpinya itu tetapi dengan seorang yang lain yang turut sepertinya, yang berminat dengan mimpi juga.

Menantu ni hanya dari kalangan orang yang biasa-biasa. Terlalu biasa. Sudah rezeki menantu ini agaknya kerana dia hadir tepat pada waktu. Malah si ibu juga terpakasa menutup mata tentang kebendaaannya untuk mengekal senyum. Sepanjang yang ada dalam pengetahuanku, si menantu ini punya santun dan pekerti yang tidak mengecewakan, tetapi dia memang bukan siapa-siapa. Beberapa minggu berlalu, rupa-rupanya si anak menanggung segala perbelanjaan acara kerana si menantu bukan dari yang ada-ada. Dan selepas itu, satu demi satu terbongkar lagi. Dan.... Sungguh ibu itu kecewa. Apatah lagi, di hatinya tidak pernah ada restu jodoh untuk si menantu ini melainkan kerana hal yang menimpa si anak itu.. ermm...

[Sekadar berkongsi pelajaran dan ingatan... ia tidak perenah dengan niat selain-nya.]

Thursday, August 26, 2010

~ MAHU MEMBERI PELURU ~


ANGIN marah membuat damping. Rakan pekerjaan yang seorang ini menguji sabar. Dia sepertinya sengaja mahu melihat aku bertingkah luar biasa. Lalu banyak hal yang sengaja diatur-kuis. Marah. Sangat marah sebenarnya tetapi kemarahan itu hanya tersimpan di dalam. Mohon jangan buat aku hilang pertimbangan kerana ia pastinya akan menukar seluruh aku.

"Ehhh... aku tak sukala tengok dia tu buli kau.."
"Buli apanyaa... dia mmg camtula. Takde benda"
"Apa pulak. Boleh tak kau menjawab sket apa yang dia kata tuh? Sakit tul hati aku,"
"Ehh.. bulan puasalah... Nak marah2 sangat ni kenapa?"
"Meh sini kau... dengar sini... nak cool pun, agak2 aa sket. Janganla sampai orang pijak kepala kau,"
"ermmm...."
"Aku boleh jer nak sekolahkan dia, tapi kang ko marah aku lak..."

Ada senyum bila mana ada sahabat yang mengerti dan mahu menjadi pembela. Terima kasih kerana mengerti dan membuat aku terasa diri dilindungi. Sejak dulupun, sejak masih di bangku sekolah, aku sering punya sahabat yang bersifat melindungi. Dan seiring itu juga, aku sering berdepan suasana 'buli' (kalau boleh ia disebut sebagai buli) seperti mana hari ini.

[Haros bagi-mana yaaa...]

Wednesday, August 25, 2010

~ MENYERAH PADA BINGIT ~


SIANG tadi baru sahaja mendapat perutusan daripada sang ketua tentang perancangan pekerjaan untuk minggu depan. Ternganga. Perlu mengadap kerja-kerja yang punya DUA tarikh mati serentak pada minggu yang sama. Situasi yang jarang-jarang berlaku dan ia akan berlaku menjadi kenyataan pada minggu depan.

Serabut. Terus sahaja fikiran terkacau dengan bebanan pekerjaan di luar mampu itu. Tambah terkacau apabila aku telah pergi kepada orang yang 'salah' untuk memohon bantu. Begitulah lumrah manusia, saat kita memerlu pada bantu tentu sahaja tiada siapa yang mahu membuat dekat. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Cukup sekadar itu kerana jika aku berkata lebih tentangnya, bunyinya nanti akan terdorong kepada nada mengungkit di pihakku. Sedangkan, aku tidak pernah ada niat ke situ. Cuma, satu ucapan paling ikhlas daripadaku atas responnya, "terima kasih kawan!"

Mahu lari seketika daripada bebanan fikiran yang membuat kacau, malamnya selepas berbuka puasa aku mengatur hala ke MV. Mahu duduk diam dan menghenyak diri senyap kepada kecamukan bunyi bingit yang menusuk telinga dengan pelbagai jenis keganasan melalui tontonan filem SALT dan EXPENDABLES. Sengaja aku memilih dua filem itu untuk melayan perang di hati sendiri. Kami menonton dua filem ini secara terus-menerus dan bersambungan. Mahu rilis segala tekanan yang membuat kacau.

[Respon ketika tiba giliran aku mohon di-bantu...]

Tuesday, August 24, 2010

~ KITA BERSAUDARA ~


KITA BERSAUDARA
by kru

(soundtrack filem magika)

Biar Adakalanya Dia Buat Kau Kecewa
Biar Adakalanya Dia Buat Kau Gundah
Tetapi tak Mengapa Kerana Dialah Juga
Yang Mengambil Hatimu Bila Keadaaan Reda

Ohh Kita Bersaudara Kena Selalu Mengalah
Tak Guna Marah-Marah Nanti Berbaik Juga
Ohh Kita Bersaudara Tak Guna Gaduh-Gaduh
Kerana Air Dicincang Tidak Akan Putus

Bila Kau Dalam susah Semua Orang Tak Menegur
Agaknya Tangan Siapa Yang Sudi Menghulur
Jika Tak Adik-Beradik Yang Tak Mungkin Berkira
Walau Sekali Kau Beri, Selalu Yang kau Terima

Ohh Kita Bersaudara...
Ohh Kita Bersaudara...
Tak Guna Marah-Marah Nanti Berbaik Juga
Ohh Kita Bersaudara

Tak Guna Gaduh-Gaduh
Kerana Air Dicincang Tidak Akan Putus..

[Mahu me-minjam semangat...]

Monday, August 23, 2010

~ AKU MENGERTI, DIA MENGERTI ~

(kredit foto : filem lagenda budak setan)

BERDAMPING. Pertama kali berbuka puasa dengan lelaki sepet ini untuk tahun ini. Hanya pada 13 Ramadhan baru tiba kesempatan. Hal-hal yang terjarak membuat rentang. Aku mengerti dan dia mengerti. Lalu, banyak cerita yang terkongsi setelah beberapa minggu terjarak. Menutur bual di talian telefon meski saban hari berselang waktu, tentunya sangat tidak sama dengan bertentang empat mata begini.

Lelaki ini begitu bersungguh mahu aku bertukar bidang pekerjaan dan berhijrah ke selatan semenanjung tanah air. Sedang dalam masa yang sama, ayah juga berkali mendesak agar aku pulang berkhidmat di negari sendiri nun di pantai timur semenanjung tanah air.

Aku tidah pernah mahu memberi harapan atau berjanji tentang hal ini. Biar sahaja masa dan keadaan yang menentukan. Aku faham, kasih sayang yang terjarak-jarak begini, sangat berat dugaan dan halangannya dan memberi gusar kepada lelaki sepet yang setia itu. Aku juga faham kejauhan yang beratus batu begini juga tidak menyenangkan hati lelaki tua bergelar ayah di kampung halaman sana. Apatah lagi apabila mengetahui hati aku tidak pernah mahu berubah.

Aku rela melepaskan apa yang aku miliki, andai itu takdir buatku. Tetapi aku tidak akan memulakan. Hanya mahu membiarkan.

[Se-makin lama meng-ikat kaseh, se-main banyak pengorbanan .. semakin kejap, semakin berat untok di-lepaskan..]

Sunday, August 22, 2010

~ COMEL PADA MUNASABAHNYA ~

(kredit photo : filem magika)

M : Rambut Ifatt tu tajam macam ikan jaws.
I : Biarla.. baju Mia pun tak cantik. Buruk sangat.
M : Tapi gigi Mia tak rosak macam gigi Ifatt, berlubang.. makan sangat gula2.
I : Biarla.. Ifatt nak jadi otromen dan fire Mia. Biar Mia mati.
M : Otromen ape pakai pampers. Tengok Mia ni, tak pakai pun.
I : Ifatt tak suka Mia. Mia tak cantik.
M : Iffat pun tak lawa.. rambut duri2... wekkk..
I : Bertukarrrrrrrrrrrrrrrr.. hiarghhhhhhh..

M - Budak Perempuan Berumur 4 Tahun
I - Budak Lelaki Berumur 4 Tahun 1/2

Itu babak pergaduhan dua anak kecil yang disaksikan aku beberapa hari lalu apabila salah seorang daripada mereka membuah rasa tidak puas hati. Sangat comel. Lucu dan menghiburkan. Tapi bagaimana pula kalau si dewasa juga bergaduh dengan cara dan bahasa yang sama? Ermmm...

[Lebih mengenal..]

Saturday, August 21, 2010

~ BUKAN SALAHKU ~


TAJUK : Bukan Salahku
KARYA : Liza Nur
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 550
HARGA : RM22.90

“BUKAN SALAHKU suatu eksperimentasi tentang dua persoalan yang selalu bermain di fikiran saya, agama dan adat resam. Saya cuba mewujudkan watak utama yang dahagakan ilmu dan iman, terjerat di antara dunia timur dan barat. Menzahirkan watak manusia yang hidupnya kosong tanpa pegangan dan cara watak itu mengisi kekosongannya sesuatu yang saya rasa mencabar…” – Liza Nur

[Takdir chenta tidak-kan perenah ter-duga...]

Thursday, August 19, 2010

~ PERANTARA ~


SUATU pagi aku dipanggil en boss ke biliknya. Sangkaku aku telah melakukan kesalahan, atau ada yang tidak kena kepada prestasi atau pekerjaanku. Rupa-rupanya tidak. Ia tidak berkaitan dengan semua itu. Ia tidak berkaitan aku, tetapi berkaitan rakan pekerjaan yang baru sahaja menjadi ahli keluarga kami kurang lebih sebulan yang lalu.

Menurutnya, rakan ini datang menangis kepadanya kerana tercuit rasa dengan gurauan rakan-rakan yang disifatkannya sebagai sesuatu yang kasar dan tidak dapat diterimanya pada Ramadhan kedua yang lalu. Malah khabarnya, sehingga mahu diheretnya teman lelakinya untuk memberi sedikit ajar kepada rakan pekerjaan yang dimaksudkan itu.

En boss separuh ketawa menceritakan kembali babak itu. Namun, aku tidak terasa lucunya. Aku tidak menyalahkan rakan baru itu kerana dia mungkinnya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru yang tentunya jauh berbeza dengan persekitarannya yang sebelum ini. Harus kita ingat, penerimaan seseorang terhadap sesuatu itu tentunya berbeza kerana kita asalnya dari latar belakang, pendidikan dan cara hidup yang berbeza. Justeru, yang kecil pada kita itu tidak semestinya kecil juga pada orang lain dan begitulah sebaliknya.

Aku diminta menjadi orang perantara untuk menjernihkan keadaan. Juga dalam masa yang sama diminta en boss memperkenalkan 'persekitaran' pekerjaan kami ini kepada rakan ini sebaik mungkin agar dia lebih menerima. Huhuhu... Sudahnya aku pula yang masuk dalam kekalutan mereka.

[Sering men-jadi pen-dengar dan per-antara..]

Wednesday, August 18, 2010

~ BUKAN PILIHAN ~


SIANG tadi berbuka puasa dengan menu yang bukan dalam pilihanku. Sungguh menu yang menjaga kesihatan. Huhuhuhu... Pun begitu, sesekali kena menurut juga untuk menjaga hati. Lalu berbuka puasalah aku dengan penuh senyum. Semuapun aku habiskan... maklum saja perut benar kosong. Lalu pejam mata sahaja pada selera dan keinginan lain.

[Belom lagi men-dapat lengkong untok ber-buka puasa...]

Monday, August 16, 2010

~ BAGAIMANA KALAU ~


SECEBIS kisah pada entri 'Kasih Sayang Sayang Dan Sebuah Kerinduan' yang aku kongsikan beberapa hari lepas masih lekat di ingatan. Entah kenapa ia mahu lekat dan sentiasa membuat ingat.

Lalu, beberapa jam tadi, aku kongsikan cerita itu dengan adik. Juga ditumpang dengar si kecil yang memperlihat ketarikannya pada kisah itu. Hampir lima jam kami bertiga menghabiskan masa di meja makan itu mengulas tentang secebis kisah itu. Ia berlarutan menjadi hampir lima jam apabila terpacul dari mulut adik, 'bagaimana kalau yang dalam babak itu adalah ayah kita?' Terdiam senyap seketika. Dan kemudiannya berpanjanganlah kepada lebih sepuluh 'kalau' tentangnya. Ermm..

Di rumah kami, barang-barang ayah wujud disegenap pelosok ruang. Barang-barang kesayangannya yang tidak dibenarkan sesiapun mengusiknya termasuk ibu. Ayah orang yang mempunyai keteraturan. Dalam apa sahaja. Lalu jika terkacau, ia memang mengundang amukannya. Di setiapnya ada ayah dan tentang ayah. Kami sudah biasa. Sudah faham dan terlalu mengerti.

Semenjak akhir-akhir ini kesihatan ayah agak merosot. Ibu diasak kebimbangan yang berpanjangan. Malah ditaruh juga rasa ketakutannya sehingga membuat dia pula lemah dalam aturan. Ibu benar-benar takut kehilangan ayah. Tanpa ibu tahu, kami juga merasa hal yang sama. Ketakutan yang sama. Kalaulah boleh ibu melihat apa yang ada di dalam ini. Ermm..

Sesuatu yang tidak mungkin aku lupakan sampai bila-bila saat ayah sakit terlantar dulu. Saat ketakutan yang tidak mampu terbayangkan. Ibu lemah longlai, gelap hitam segala pandangan. Adik pula mengesak tangis di sisi ayah sehingga hilang pertimbangan. Sehingga kami terpaksa membawanya keluar jauh dari ayah untuk menenangkannya.

Ermmm.... babak itu kemas dan kekal di situ.

[Banyak me-warisi ayah...]

Sunday, August 15, 2010

~ MAJLIS BERBUKA PUASA ~


ALHAMDULILLAH... Semuanya berjalan dengan lancar dan berlangsung seperti mana yang dirancang. Hari ini, kami sekeluarga mengadakan majlis berbuka puasa dengan menjemput yang dekat-dekat. Sederhana tetapi agak meriah dan menyenangkan.

Sepanjang hari aku dan adik membantu kakak di dapur. Semuanya dilakukan sendiri. Tidak selalu begini, hanya apabila bertemu bulan puasa sahaja. Ia sudah menjadi kebiasaan kami sekeluarga sejak dulu. Cuma selalunya majlis ini akan diadakan pada pertengahan Ramadhan atau lebih lebih tepat lagi selepas sambutan Nuzul Al-Quran. Namun pada tahun ini diawalkan kerana kekangan masa.

Terima kasih untuk yang sudi hadir bertamu dan berbuka puasa bersama-sama kami seisi keluarga. Mohon maaf mana yang terkurang. Mudah-mudahan kita sama-sama mendapat keberkatan daripada bulan yang mulia ini. Aminn....

[Teman jiwa terebang ke-bumi kangkaroo..]

Saturday, August 14, 2010

~ BABAK ~

(kredit foto : filem magika)

MANUSIA melimpah-limpah. Masing-masing dengan urusan sendiri yang tidak berpenghujung. Begitu juga aku. Sementara menunggu seorang rakan membeli sesuatu untuk mengisi perut, pandangan mataku tertarik pada satu babak yang betul-betul berlangsung di depan mata. Dekat, hanya berselang dua meja daripada tempat duduk yang menjadi pilihanku dan seorang lagi rakan ini.

Meja depan itu di isi oleh lima orang anak kecil yang usianya baragkali tidak berselang jauh. Berdasarkan fizikal mereka, mungkin dalam lingkungan 3-11 tahun. Melihat kiri-kanan aku tidak nampak seseorang yang lebih tua menjaga mereka. Mungkin sang ibu atau ayah atau penjaga mereka sedang beratur di kaunter depan untuk juga membelikan sesuatu untuk meraka ini.

Tiba-tiba si kakak memarahi adiknya yang paling kecil (3 tahun). Marah yang bukan sedikit sehingga terhambur perkataan 'bodoh' daripada mulutnya. Marah benar dia apabila si kecil ini menghabiskan air minumannya tanpa disedarinya kerana leka bermain. Terkebil-kebil si kecil yang tidak mengerti ini.

Melihat si kakak marah bukan kepalang, abang kepada si kecil ini membuka penutup minumannya. Diintainya penuh tekun sama ada masih berisi atau tidak. Melihat ada yang berbaki, dia menarik gelas minuman kakak dan menuangkan airnya yang masih berbaki itu. Tertuang pula sehingga habis kosong gelas minumannya. Kakak terus menyambut dan menghabiskan minuman itu tanpa sebarang soal.

Abang kepada si kecil ini ini tergaru-garu kepalanya. Mungkin menyesal kerana tidak sempat berpesan kepada si kakak agar meninggalkan sedikit untuknya. Lalu dia dengan muka yang amat kasihan meminta penuh ehsan sedikit minuman sang adik yang seorang lagi. Adik yang seorang ini minta mahu berkongsi. Lalu mereka tersenyum dengan penuh kasih sayang.

Seminit selepas itu, datang seorang wanita separuh usia, mengelek seorang bayi yang usianya mungkin kurang lebih setahun lalu duduk di sisi anak-anak ini.

[Kamu lehat apa yang aku nampak? Atau rasa apa yang aku sentoh?]

~ COKLAT BUNGA & SI CUPID ~


TAJUK : Coklat Bunga & Si Cupid
KARYA : Zara Zamani
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 630
HARGA : RM22.90

“Perasaan cinta yang pernah hadir suatu ketika dahulu dilontar jauh. Kasihnya hanya sebagai teman semata-mata. Bibir wajar membohongi, namun tidak di hati…”

[Merasa perasaan...]

Friday, August 13, 2010

~ RAMADHAN KETIGA ~


RAMADHAN pertama aku sempat berbuka puasa bersama keluarga di rumah seperti mana yang dirancang atur. Syukur alhamdulillah... kerana itulah kebiasaan selalu untuk pertama Ramadhan.

Semalam, tanpa dirancang aturkan aku dan rakan-rakan pekerjaan terpaksa berbuka puasa di ruang pekerjaan lantaran kerja-kerja yang punya tarikh mati bersusun membuat himpit. Tanpa ada pilihan, kami akur tanpa ada rungut.

Hari ini, lain yang dirancang atur, jalan pula kejadiannya. Sepatutnya hari ini aku berbuka puasa bersama teman jiwa di tengah hiruk-pikuk kota. Namun, dek kerana kesesakan jalan raya yang luar biasa membuat halang, aku hanya mampu berbuka puasa dengan air putih di kereta. Yaa.. hanya itu. Namun paling kasihan apabila lelaki sepet itu terpaksa berbuka puasa seorang diri sahaja pada Ramadhan ketiga ini. Hanya satu jam selepasnya aku tiba di lokasi yang dijanjikan.

Ini bukan tahun pertama teman jiwa berpuasa, tetapi ia menjadi tahun pertama yang menjadi kewajipan buatnya. Aku tahu ia bukan mudah. Namun, harapanku agar dia dapat melepasi segala halang yang membuat rentang. Sungguh, aku tumpang bahagia apabila dia bercerita tentang pengalaman dan perasaannya. Mudah-mudahan bukan kerana aku.

[Ter-kenang aruwah D dan aruwah dr jiwa... al-fatihah....]

~ RAYA SEBELUM RAYA~







MENGISI keluangan bersama teman sepekerjaan mencari baju raya. Yaa.. untuk kesekian kalinya. Kurung merah tetap menarik perhatian. Namun, tahun ini bukan untuk merah barangkali... :)

[Terima kaseh untok yang per-cuma tanda ingatan..]

Thursday, August 12, 2010

~ TIDAK PERNAH MAHU MERAGUI ~

(kredit foto : filem hooperz)

LAMA cerita tentang dirinya tidak aku dengar, tiba-tiba petang siang tadi, sahabat yang namanya sahabat mei ini tiba-tiba menghubungiku. Terkejut bukan kepalang dia datang bertanya khabar. Maklum sahaja beberapa bulan kebelakangan ini, aku sepertinya mahu menjauhkan diri darinya. Arghh... sahabat ini memang sentiasa dengan kejutan.

Dia lebih ceria daripada biasa. Banyak cerita yang terkongsi dalam kurang lebih satu jam perbualan itu. Macam-macam perkara. Dan bagai biasa, aku banyak mendengar. Jujurnya, tidak susah untuk aku memahaminya kerana sahabat yang namanya popular di dada akhbar ini orangnya sangat berterus-terang. Tetapi bukan semua, hanya dengan sahabat-sahabat yang dia taruhkan percaya. Yaa.. itu yang dia pernah katakan suatu masa dulu apabila ada yang membuat ragu kepadanya.

Menariknya, di hujung perbualan dia memohon bantuanku untuk mencari atau menrekomenkan dia seorang 'pembantu peribadi'. Pertama kali semenjak mengenalinya dia memohon begitu. Alasannya untuk lebih terurus kerana kerjayanya kini benar menuntut itu walaupun pada hakikatnya dia lebih senang melakukannya sendiri. Yaa... memang sudah beribu kali dia mengatakan hal yang sama tentang itu. Justeru, permintaan kali ini pasti sahaja bersebab musabab yang kukuh.

Aku menaruh janji kerana dia benar-benar membuat harap. Namun sebenarnya agak sukar untuk aku membantunya dalam soal ini kerana pada perkiraanku, mungkin ramai yang mahu bekerja dengannya kerana namanya dan bukan kerana mahu jujur membantunya. Secara terus-terang aku suarakan tentang itu kepadanya lalu terhamburlah tawa besar daripada sahabat ini. Yaa... dia masih merendah diri seperti selalu, seperti yang aku kenali dia lebih enam tahun lalu.

Sahabat mei ini juga tidak ketinggalan menyusul janjinya. Lalu membuat aku dengan senyum. Arghh.. sahabat ini sebenarnya masih orang yang sama dan tidak banyak berubahnya. Dia memang sering sahaja mahu membuat senang kepada orang-orang dikelilingnya.

Untuk sahabat ini, doa kesejahteraan buat kamu. Terima kasih untuk rasa percaya meski suatu masa dahulu keikhlasanku pernah menjadi ragu. Paling membuat senang, sahabat ini sering memahami seorang aku. Tiada curiga apatah lagi mahu membuat penafsiran yang salah tentang diriku. Ermmm.. terima kasih yang sungguh aku maksudkan.

[Sahabat ini meski sering membuat kalut, jarang sekali mahu memberi ribut apatah lagi tsunami...]

Wednesday, August 11, 2010

~ KASIH SAYANG.. DAN SEBUAH KERINDUAN ~


AKU mengangguk-nganguk tanda mengerti. Malah cuba menteramkan dia yang sudah semakin deras air mata menghujani diri itu. Sang ibu tenang. Sedikitpun dia tidak menahan tangis si anak. Pun begitu, aku yakin gejolak hatinya juga merindu bukan kepalang. Sedih hatinya juga tidak terbilang. Jika tidak, masakan degup jantung jantungnya bergetar keras menahan rasa. Tetapi depan si anak yang sedang menanggung rindu itu, tentu saja tidak dia tunjukkan

Sebaik menyelesakan diri di unta hitam, air mata yag ku tahan-tahan sejak tadi itu membasahi pipi. Makin laju, makin basah. Sungguh... aku begitu terusik dengan kerinduan teman yang seorang ini kepada arwah bapanya. Kami hanya bercerita kosong. Menutur bual tentang Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi. Tidak sangka pula cerita arwah sang bapa memungut sedihnya. Apatah lagi Aidilfitri terakhir sang bapa dua tahun lalu itu diraikan di katil hospital. Dia tunduk, menahan tangis.. tapi manakan mungkin kesedihan itu mampu di tahan apabila air mata sudah siap-siaga membuat damping. Lalu pertama kali aku melihat dia menangis, sedang air mata terlalu mahal buatnya selama ini.

Kanan timbunan buku, kiri begitu juga. Di mana-mana sahaja buku. Setiap ruang pelosok berlonggok buku-buku tebal yang membuat hias. Menyedari ekor mataku membuat perhati, sang ibu memberitahu, segalanya itu milik arwah. Satu incipun tidak diubah atau diusik barang-barang itu. Bagaimana duduknya ketika arwah masih ada, begitulah adanya saat aku sedang memerhati itu. Kata ibu, dia langsung tidak ada kekuatan untuk mengalihkan barang-barang tersebut. Seolahnya arwah ada di dalam rumah yang menjadi syurga mereka sejak sekian lama itu. Meski punya kemampuan yang lebih besar, mereka tidak pernah bercadang untuk berpindah kerana hal itu.

"Kalau nak tahu, ubat-ubatan arwah pun auntie belum buang. Masih ada ditempat asalnya. Tak boleh.. auntie tak boleh buang... Biarlah kat situ saja. Auntie tak mahu usik..." katanya tegas tapi dalam nada yang cukup sayu.

Sebaik ibu senyap menutur, si anak lari seketika menyorokkan dirinya yang berbasah air mata itu. Aku kehilangan kata-kata. Manakan tidak, arwahnya sudah pergi bertemu Ilahi sejak dua tahun lalu. Dan semenjak dua tahun lalu itu jugalah, sang ibu ini tidak mampu melupaknnya walau sedetik. Apatah lagi mahu mengalihkan barang-barangnya termasuk ubat yang disebutkan tadi. Dua tahun ubat itu masih di situ. Ohh.. ibuu.. aku mengerti kamu. Sungguh.

Tidak dengan mahu, air mata masih mahu membasah saat aku menulis di sini. Sayu. Kasih sayang mereka begitu menyentuh rasa. Pesan aku buat diri sendiri, hargailah apa yang termiliki.

[Al-Fatihah... mudah-mudahan aruwah di-tempat-kan di-kalangan oarng-2 yang ber-man....]

~ MERAH... BUKAN BIRU, BUKAN HIJAU ~

(kredit foto : filem lagenda budak setan)

TIBA-TIBA spaghetti menjadi masam. Senyum panjang yang mengisi rasa tiba-tiba menjadi kelat. Usikan dan gurauan yang akhirnya membenih amarah. Beginilah jadinya apabila 'perkataan' silap ditafsir. Apabila merah yang disebut, biru pula yang dibaca.

Rasa marahku dicuit tiba-tiba. Diusik-usik dengan sengaja. Soal yang sedikitpun tidak aku maksudkan kepada sesiapa itu menjadi isu yang membuat lelah. Aku tidak suka dengan penafsiran salah itu. Sungguh, aku terkilan dengan nada yang dituturkan itu kerana aku bukan dalam kelompok yang dikias berikan itu.

Tiba-tiba bual yang rancak itu bertukar menjadi senyap. Aku yang memilih senyap kerana begitu terasa hati dengan nada dan penafsiran salah itu. Marahnya masih tidak berkurang sehingga melorong aku meluah rasa di sini. Rasa yang amat sangat terkilan. Rasa kecil hati yang benar menguasai diri. Dan.... Ia bukan soal remeh buatku.

Kamu memang sering dan mahu terus membuat penafsiran salah tentang aku... sedangkan aku sahabat yang cukup kamu kenali (sepatutnya). Lalu bagaimana yaa...

[Ramadhan per-tama yang men-jadi ter-ganggu..]

~ SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK ~



SALAM Ramadhan 1431H untuk kamu dan seluruh umat Islam yang menyambutnya. Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini lebih memberi makna kepada kita semua. Jangan tersiakan setiap detiknya kerana belum tentu kita akan bertemu lagi Ramadhan yang seterusnya.

Salam kemaafan jua untuk semua kamu andai ada bahasa, kata perlambangan atau yang seumpamanya sama ada dengan atau tanpa niat yang aku pernah lakukan di sini. Dan kemaafan itu aku dahulukan dengan ucap terima kasih.

Untuk teman jiwa, mudah-mudahan Ramadhan pertama ini lebih banyak membantunya mengenal Islam dengan lebih dekat. Mudah-mudahan dia dapat melihat dan merasa keindahan yang memang ada untuknya itu. Aminnn..

[Ku Meng-harap-kan Ramadhan kali ini penoh makna...]

Tuesday, August 10, 2010

~ BAS METRO 28 ~




RINDU. Lama tidak menggunakan perkhidmatan awam yakni bas yang dulunya menjadi pengangkutan utama buatku. Lalu beberapa hari lepas aku memutus untuk menaiki bas sahaja untuk ke PC Fair KLCC.

Manusia tetap ramai melimpah-limpah. Dan bas mestro bagai biasa juga berebut-rebut untuk mengambil penumpang. Kalau boleh dimuatkan sampai sempit seinci di dalamnya pun mereka sanggup. Asal sahaja tiket mereka habis dijual. Yang menjadi mangsa gadis-gadis manis kerana ada tangan-tangan yang kasar dan gatal sudah mula merayap mahu mengambil kesempatan.

Sang pemandu pula tidak kira bagaimana duduknya yang di dalam ini. Yang dia tahu mahu meluncur selaju yang mungkin. Habis segala lorong kecemasan, lorong pejalan kaki dan lorong jahanam diredahnya asal saja dapat meoloskan diri untuk mengumpul trip.

Meski rimas dan lelah, aku tetap merasa senang kerana dulunya pengangkutan ini banyak membuat jasa. Tetap mahu dengan senyum kerana inilah lumrahnya perkongsian.

[Ter-senyom ter-kenang-kan sa-orang teman yang meng-gelar-kan bas metro no. 28 itu sebagai bas Nasha Aziz..]

Monday, August 09, 2010

~ KERANA ITU.. ~

(kredit foto : filem lagenda budak setan)


GARA-GARA mahu menghabiskan acara Maskara Shorties hingga ke hujungnya, ada ribut kecil yang berlangsung antara aku dan teman jiwa. Sudahnya dia yang sudah berada di hiruk-pikuk kota kurang lebih lima jam dari selatan semenanjung tahahair itu, mengalih arah ke rumah orang tuanya di bumi Hang Tuah. Lalu rajuk mengisi ruang. Harus bagaimana yaa...

[Kesamaan kami tiada dalam Maskara..]

Sunday, August 08, 2010

~ MASKARA SHORTIES ~


SEPANJANG hari ini aku agak berkejaran dengan beberapa urus yang mengikat. Bukan urus pekerjaan, tetapi hal-hal keliling yang bukan juga remeh. Justeru, sepanjang hari ini aku berada di beberapa lokasi bersama beberapa orang yang berbeza-beza. Perlu. Aghh.. kalau dapat dibahagikan badan ini untuk membuat semua orang dengan senyum, sudah lama aku lakukannya. Tapi kudratku hanya sekerat.

Untuk lokasi yang kelima hari ini, aku menghalakan unta hitam ke Rumah Pena. Ya.. tentunya acara 'wajib' anjuran Sindiket Sol-jah saban bulan ini tidak akan aku cicirkan selagi tidak bertembung hal-hal yang mengikat erat.

Jika tahun lalu, aku menonton Maskara Shorties dalam renyai hujan dan kepungan asap nikotin yang mengepam jantung, kali ini tidak lagi. Lebih selesa, lebih santai dan sepenuh rasa aku menumpu pandang pada skrin putih yang duduk sederhana itu. Tanpa sebarang gangguan kecuali bunyi SMS teman jiwa yang tidak mahu berhenti meluah resah. Satu kejayaan juga aku kira buat tuan penganjur apabila isi Rumah Pena pada malam ini melimpah-limpah. Seperti wujud satu ketarikan besar pada mereka untuk datang bertandang.

Low Budget Love, Lawan, Enam Lorong, The Colour Of Ideas, Petra Bond, Kiamu, Penumpang, Pemandu Pelencong, Sroq, La Folie/Like Crazy, Sepi Seorang Abdillah, Sunrise, Mamat, My Father And His Celluloid, Ikan Langka, Nasi Lemak 1.20 Yang Marvellous & Fringetown, Fighting Fit, Untitle, Pertama, Sujud, Babi itu khinzir, Petikan Filem Hantu Mak Limah Balik Rumah, Petikan Filem Hanyut lakonan Diana Danielle dan beberapa yang lainnya itu sangat membuat asyik. Namun sesekali aku melepas tawa dengan penuturan selamba sang pengepala majlis yang menurut mereka namanya, Vovin itu. Dia sangat lucu apabila berkhalayak dan sebaliknya bila bertentang empat mata.

Tentunya aku tidak akan mengulas sebarang filem tersebut di sini kerana itu bukan kepakaran aku. Yang aku tahu, aku mahu menangis bila ceritanya sedih, tidak mahu ketinggalan ketawa bila saja ia mencuit hati, atau akan mengerutkan dahi apabila mula keliru atau menuntut jawapan. Namun ada beberapa cerita yang terasa seperti dekat dan terpaut mudah. Aku suka walaupun ia bukan yang terbaik. Aku mengingat sehingga saat ini meskipun ia bukan apa-apa.

Paling aku suka, 'Low Budget Love'. Filem itu tidak ada apa-apa yang besar, tetapi mesejnya sampai terus ke benak. Bahagia itu ada dalam pelbagai cara dan rasa. Paling penting, terimalah pasangan kita itu seadanya dan... fahamilah. Kita perlu faham manusia yang bakal berdamping sehingga habis usia dengan kita kelak. Itu yang paling jelas. Selainnya, 'Sepi Seorang Abdillah' juga mengarah tumpu yang baik mengatasi yang lainnya. Aku tidak bermaksud ia baik serba-serbinya, tetapi penonton yakni aku yang menonton ketika itu terasa tidak mahu terkalih pandangan daripada membuat tumpu. Bukan kerana yang namanya Abdillah atau Pipiyapong itu manis atau single... bukan.. sama sekali bukan itu. Tetapinya kerana isi penceritaanya begitu dekat dengan manusia lain yang punya cerita yang sama. Aku sendiri punya adik lelaki yang sepertinya tergolong dalam kelompok yang namanya Abdillah ini. Banyak kesamaannya. Terima kasih kepada sang pencerita yang berkongsi hal yang begini menarik rasa.

Tidak dapat tidak juga, aku tersangkut kepada isi yang begitu pendek dari 'Babi Itu Khinzir'. Ringkas tetapi mesejnya begitu padat. Aku sangat-sangat suka dengan pemilihan idea dan mesej yang mahu diketangahkan ini. Ketepikan soal sang pengemudi wataknya yang 'selenge' itu tetapi tumpukan kepada apa yang mahu disampaikan itu.

Sebelum aku terlupa, kredit juga untuk saudara Ajami Hashim yang berkongsi sesuatu tentang saudara Mamat Khalid. Jika tahun lalu dia mempertontonkan arwah Yasmin Ahmad dengan prinsipnya, kali ini saudara Mamat Khalid tampil dengan suara ideanya. Malah, jujur aku katakan, aku semakin tertarik untuk mengenali 'sang pelucu' yang seorang ini. Walhal filem-filemnya sebelum ini tidak ada dalam senarai wajib tontonku. Dia memberi peluang, danku mahu mengambil peluang itu..:)

Tahniah aku ucapkan buat tuan rumah, yakni sendiket Sol-jah yang mahu berkongsi, Mahu bersusah-payah dan mahu memberi gembira kepada mereka yang cintakan seni dengan caya dan gaya yang tersendiri.

[Hampir lima jam ber-kerosi di-depan skrin sederhana itu... tanpa perenah mahu meninggal-kan majelis lebeh awal...]

Saturday, August 07, 2010

~ AKHIRNYA SEBUAH CINTA ~


TAJUK : Akhirnya Sebuah Cinta
KARYA : Siti Nur Dhuha
CETAKAN : Pertama (2009), Kedua (2009), Ketiga (2010) & Keempat (2010)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 647
HARGA : RM19.90

”Hadirnya dirimu… kubagaikan ingin bernafas seribu tahun lagi…”

[Jika kamu me-rasa-kan yang sama...]