Saturday, July 31, 2010

~ BUMI CINTA ~


TAJUK : Bumi Cinta
KARYA : Habiburrahman El Shirazy
CETAKAN : Pertama (2010), Kedua (2010) & Ketiga (2010)
PENERBIT : Author Publishing, Semarang Indonesia
HALAMAN : 546
HARGA : Rp55.00

[Maseh melehat samar..]

Friday, July 30, 2010

~ LELAH DAN RESAH ~


ALHAMDULILLAH... Selamat semuanya... dan kami sekeluarga dapat melelapkan mata setelah lebih 48 jam penuh debaran. Bukan kerena lelah, tetapi kerana resah yang kencang mengisi dada. Mudah-mudahan ini yang terbaik. Aminnn..

[Kasehan me-lehat ibu..]

Thursday, July 29, 2010

~ DI PANTAI TIMUR SEMENANJUNG TANAHAIR ~


BERADA di kampung halaman nun jauh di pantai timur semenanjung tanah air. Kami adik-beradik bersepakat pulang menjengok ayah yang kesihatannya tidak begitu memberangsangkan. Juga ibu yang kebetulannya juga tidak sihat telah hampir seminggu. Justeru, kami tidak mampu menunggu sehingga hujung minggu kerana kebimbangan itu tidak tertahan-tahan walau sesaat sehingga gagal membuat tumpu kepada urusan lain, melainkan pulang menjengok mereka. Lalu, seawal pagi tadi kami sudah berada di sisi ayahbonda yang amat dikasihi.

Aku mengambil cuti sehingga Ahad ini. Cuti yang sangat berharga kerana jika melihat kepada situasi urusan pekerjaanku sekarang, memang sukar untuk meloloskan diri terutamanya pada hari-hari yang bertembung dengan urusan yang punya tarikh mati.

Biarpun dalam keadaan yang tidak begitu sihat, ayah masih sempat berbincang tentang urusan pekerjaanku. Malah, dia sekali lagi mendesak agar aku beralih bidang. Tidak cukup dengan itu, ayah siap siaga mengaturkan aku mengisi jawatan di tempat pekerjaan kenalannya. Aduhhh.. Ayah bercakap soal yang sama, tidak pernah jemu.

Diam. Senyap.

[Aku tidak perenah berobah ayah... maseh anak kechil ayah yang dulu!]

Wednesday, July 28, 2010

~ FACEBOOK ~


FACEBOOK. Aku bukanlah orang yang terlalu obses dengan laman sosial yang satu ini. Aku punya akaun milik sendiri, tetapi tidak banyak yang aku lakukan atau kongsikan di sana seperti mana kebanyakan orang. Malah percaya atau tidak, aku hanya punya senarai kenalan seramai 168 orang sahaja. Betul. Mungkin ia bersesuaian dengan aku yang sememangnya tidak punya ramai kenalan sungguh di dunia realiti... :)

Kenapa? Pertamanya, aku tidak pernah mahu mendedah diri. Yaa.. seperti kebiasaan yang aku lakukan di sini. Malah, tidak akan ada satupun fotoku yang aku albumkan di sana. Yang ada hanyalah foto-foto statik hasil bidikan racauku. Aku tidak pernah memasuk senaraikan rakan-rakan sepekerjaan atau yang mengenaliku di dunia realiti kecuali ia berlaku tanpa disengaja rancang. Jujurnya, teman jiwa sendiri tidak pernah tahu tentang akaun facebook milikku itu. Dia pernah bertanya, tetapi aku katakan aku mahu punya ruang sendiri. Aku tahu kamu sedang senyum membaca apa yang aku katakan ini. Tetapi ia benar.

Aku tidak pernah mengambil serius tentang lama sosial ini. Tetapi tidak disangka ada pula orang yang serius tentangnya apabila mempersoalkan ruangan status yang aku tandakan sebagai 'single' itu. Ohh.. dia membaca aku salah. Dia mempersoalkan kenapa aku mahu menyatakan 'single' sedangkan hakikatnya aku menunggu jodoh dengan lelaki bermata sepet yang seorang itu.

Aku menghambur tawa. Mana disangka ia akhirnya menjadi serius dan besar. Lalu aku dikatakan tidak jujur dan sebagainya. Hanya kerana itu? Dan aku rasa tidak perlupun memperjelas tentang hal itu. Ia hanya status facebook..

[Banyak kejotan...]

Monday, July 26, 2010

~ PERTEMUAN ~


REZEKI. Yaaa.. itulah yang boleh aku katakan apabila aku ditemu dan diperkenalkan kepada seorang manusia yang aku gelarkan dia sebagai idola ketika masih lagi di bangku sekolah. Pertemuan yang berlangsung hampir dua minggu lalu itu sangat membuat senang di hati.

Mengenali dia dulu dan saat ini tidak banyak bezanya. Dia tetap sederhana seperti mana yang aku kenali lebih 13 tahun dulu. Merendah diri tetapi tetap menyerlah pesonanya. Sungguh, aku mahu meminjam segala positif yang ada pada dirinya.

Terima kasih seorang teman yang menjadi pengantara dan menjadikan aku senyum sepenuh hari. Tidak pernah ada dalam mimpi pertemuan yang sebegini. Terima kasih.

Cuba mengawal diri agar tidak terlalu membunyikan degup jantungku. Cuba menahan rasa agar keterujaanlu tidak sampai mengganggu bahasa mata kami. Cuma berlagak ramah setamahnya agar aku dapat banyak bertanyakan itu dan ini tanpa membazirkan sedikit pun ruang dan peluang yang diberikan.

Terima kasih... sungguh aku maksudkan itu.

[Maseh mau me-minjam...]

Sunday, July 25, 2010

~ SETAHUN PEMERGIAN ~


AL-FATIHAH... Hari ini genap setahun pemergian pengarah kreatif, Yasmin Ahmad. Semoga arwah tenang bersemadi di sana. Terima kasih kerana pernah berkongsi cerita dan pengalaman yang positif bersama kami semua.

[Masih sepet..]

Saturday, July 24, 2010

~ CINTA DI DALAM GELAS ~


TAJUK : Cinta Di Dalam Gelas (Dwilogi Kedua)
KARYA : Andrea Hirata
CETAKAN : Pertama (Jun 2010)
PENERBIT : Anggota Ikapi, Indonesia
HALAMAN : 267
HARGA : Rp78.00

[Bagai-mana kalau jatoh...?]

Friday, July 23, 2010

~ PENGARUH ~

(kredit foto : Lagenda Budak Setan)

KAWAN. Sehingga sekarang aku tidak tahu apa pendirian aku tentang pendapat yang mengatakan pengaruh kawan besar dalam kehidupan seharian kita sama ada membawa atau mendorong kita ke arah positif mahupun negatif.

Beberapa minggu lalu, bekas rakan pekerjaan berdepan musibah besar apabila ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam satu kes jenayah. Aku tidak begitu mengenali dia, tetapi sepanjang yang aku tahu dia bukanlah seorang yang tergolong dalam kategori yang boleh mendorong ke arah perlakuan itu. Berita tentang musibah itu terpampang besar di dada akhbar. Aku jatuh kasihan mengenangkan sang ibu dan ayah dan siapa yang mengenalinya di luar sana. Menurut rakan-rakan dekatnya, dia tersangkut hal begitu gara-gara berteman lelakikan, seseorang yang sering sahaja memberi pengaruh yang buruk kepadanya. Akhirnya dia berada di tempat yang salah dan pada waktu yang salah.

Beberapa jam tadi, aku mendapat berita pula dari seorang sahabat tentang cerita sang adik yang tersangkut dek urine test yang positive dadah. Dia dan aku tahu adiknya yang juga penjawat awam itu sungguh bersih dari segala yang terlarang itu. Dan aku masih percaya kepada naluriku, dia memang bersih. Cuma mungkin aliran nikotin yang menjadi darah-dagingnya itu memberi sedikit masalah pada ujian itu. Namun sahabat ini meluahkan kebimbangannya kerana katanya kawan-kawan yang melingkari dunia seharian adiknya itu diragui kebersihannya. Malah pernah si adik merelakan diri dengan menjalani aktiviti yang tidak berfaedah kerana mahu menjaga hati kawan. Justeru kebimbangan itu sangat berat dirasanya sekarang.

Terkadang aku merasakan kawan memang memberi pengaruh yang besar dalam mengubah diri kita sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya. Banyak contoh dan tauladan di kiri dan kanan yang membuktikan mereka yang ada dipersekitaran itu senang juga merubah kita. Putih mudah menjadi hitam kerana seringkali terdedah kepada hal-hal hitam. Hal-hal yang diluar kebiasaan menjadi biasa apabila ia menjadi tatapan atau dengaran seharian.Yang tidak pernah menjadi pernah. Yang tidak biasa menjadi biasa. Jika selama ini asing kepada kita, menjadi dekat pada akhirnya.

Malah aku juga sering berbuih memberi pesan pada adik supaya memilih kawan. Sering juga bersibuk-sibuk mencampuri urusan hidupnya apabila merasakan ada diantara kawan-kawannya yang ada potensi menyumbang kepada pengaruh yang tidak baik. Sepertinya aku bersetuju mengatakan kawan itu yang tidak baik itu akan memberi pengaruh yang tidak baik juga kepada kita.

Bagaimanapun, apabila merujuk kepada diri sendiri, seringkali juga aku rasakan pokok pangkalnya terletak pada kita sendiri. Jika akal tetap diletak pada tempatnya, insya-Allah akan terhindar segala yang merosakkan.

Mengambil contoh diri sendiri, aku punya ramai kawan atau sahabat yang jauh bertentangan dengan personaliti, imej, kehendak dan kebiasaan diri. Paling ketara semenjak aku menceburi bidang pekerjaanku sekarang. Orang yang bagaimana tidak aku temui... semuanya cukup dan lengkap pakejnya. Namun sehingga hari ini, aku tidak pernah terpengaruh mereka.

Aku punya sahabat yang menentang 'fitrahnya'. Pada mulanya aku sungguh takut untuk dekat apatah lagi mahu berkawan sahabat. Kerana ibu lazim berbuih pesan jangan sekali mendekati atau berkawan-sahabat dengan orang-orang yang bermasalah, kelak diri akan terjerat sama. Namun, dek kerana aku suka dan mahu berfikiran positif, aku menghampar peluang dan menolak prasangka. Tetapkan hati bahawa pokok pangkalnya hatiku sendiri. Jika ketetapan itu ada, aku tidak akan terpengaruh dengan apapun. Alhamdulillah sehingga hari ini, aku masih menjadi diri sendiri yang masih asal tanpa sebarang pengaruh serong. Yaaa.. pokok pangkalnya kita sendiri. Jangan disalahkan orang lain andai diri sendiri membuat rela.

Aku masih boleh duduk dengan tenang walaupun kawan disebelah menghembus kuat nikotin. Aku masih mampu senyum biarpun bicara kawan semeja menyentuh tentang kekotoran dirinya. Malah aku juga boleh menjadi sang mengerti bila mana ada yang mengadu cerita seharian tentang keporak-perandaan yang dipilihnya. Aku percaya diri, akalku berada di tempatnya. Masih tetap mampu menimbang baik dan buruk dengan akal sendiri dan bukan kerana orang lain yakni kawan, sahabat atau sebagainya.

Jika aku bertindak atau bertingkah laku sebaliknya, ia bukan bersebab pengaruh kawan. Tetapi ia bersebab diri sendiri yang memilih. Akal sendiri yang mahu merelakan, justeru jangan disalahkan pengaruh kawan. Jangan katakan kita menjadi buruk kerana kawan yang membawa buruk.

Masih berbelah bagi pendirian dan tidak pernah ada ketetapan. Apapun, doa ditadah setiap kali mengadap Yang Diatas Sana, mudah-mudahan diri berada di aturan yang betul dan terelakkan dari hal-hal yang merosakkan. Juga mendoakan agar kawan-kawan memberi pengaruh yang baik dan bersih kepada diri. Begitu juga aku berusaha sebaiknya mahu memberi pengaruh yang bersih kepada mereka yang berada dekat dipersekitaran. Agar yang baik dariku dijadikan teladan dan yang buruk dariku dijadikan sempadan sekerasnya. Aminnnnn..

[Tidak perenah mau mem-pengaroh dan di-pengaroh...]

Thursday, July 22, 2010

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN OL ~


22 JULAI 2010... Untuk sahabat yang namanya OL, selamat hari ulang tahun kelahiran. Mudah-mudahan hari ini menjadi titik tolak kepada sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.Semoga menjadi manusia yang kuat berdepan segala ketakutan yang mengusik rasa. Juga mengendong emosi dengan sebaiknya kerana kehidupan akan lebih positif jika tindakan tidak menurut hati.

Teruskan senyum untuk cinta hati kamu dan untuk dunia tentunya. Juga untuk rakan sahabat yang sangat senang dengan senyuman kamu yang sentiasa memberi bahagia itu. Kelucuan cerita dan sikap kamu sering menjadi pengubat gundah. Mudah-mudahan terkekal itu dalam diri kamu yang sentiasa disenangi dan disayangi.

Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan OL..
Allah selamatkan kamu..

Aminnn..

[Seperti-nya ter-lalu sekejap mengenal kamu..]

Wednesday, July 21, 2010

~ HILANG TEMPOH SENYAP ~


MAGIC. Memang dia sahabat yang ada magic. Yang sepertinya mendengar rungut dan luah hatiku seminggu-dua terkebelakang ini. Di ruang ini, melalui entri begini aku menyatakan resah apabila persahabatan kami mula berubah selepas melalui tempoh senyap yang panjang.

Hari ini, kami punya kesempatan untuk duduk menutur bual tentang 'perubahan' itu. Perubahan yang tentunya tidak menyenangkan hati aku dan dia. Hati kami yang telah lama saling bersahabat ini. Bukan sahabat sebarang, tetapi sahabat yang boleh diharap untuk menumpang bahu. Baik dia atau aku, kami mudah mengerti tanpa perlu kepada sebuah penjelasan.

Justeru hari ini kami berdamai. Berdamai tanpa pernah wujud pertelingkahan sebenarnya. Cuma tempoh senyap yang membuat jarak. Aku dengan alasan tidak mahu membebankan dia, manakala dia pula dengan alasan tidak mahu menggangguku. Nahhh.. kerana alasan masing-masing itulah kami semakin terjarak-jarak jadinya. Mujur sahaja berubahnya dia atau berubahnya aku memberi rasa 'kurang senang' yang banyak kepada kami sendiri. Baik dia mahupun aku. Lalu kami mengalah rasa. Sungguh aku tidak pernah mahu kehilangan seorang sahabat sepertinya biar kadang-kala dia sering membuat bingar.

Jangan pernah ada sangka.. kami hanya bersahabat dan tidak pernah lebih dari itu. Dia tahu aku sudah bermilik teman jiwa dan itu tidak pernah menjadi persoalan. Cuma mungkin ramai yang sering bersalah sangka kepada persahabatan kami. Sebabnya aku perempuan dan dia lelaki. Justeru apabila seorang lelaki dan perempuan itu berhubungan baik, maka selalu disangka ada cinta dalam hatinya. Aku menyangkal itu. Sungguh aku pernah begitu rapat dan dekat dengan arwah D, tanpa pernah ada perasaan yang selainnya. Brad juga menjadi peneman dekat tanpa pernah mengusulkan ganjaran perasaan ke atasnya. Ermm..

Aku bersungguh cuba untuk mengelakkan tempoh senyap. Tidak akan lagi... kerana ia hampir mengorbankan persahabatan kami. Persahabatan yang bukan sehari-dua. Tidakkan berbaloi terlepas hanya kerana menegak rasa ego.

[Jangan biar-kan ter-tangguh sa-hingga hari esuk, kerana esuk entah bagai-mana jadi-nya nanti..]

Tuesday, July 20, 2010

~ KAMU YANG MULAKAN ~


KAMU yang memulakan. Justeru, jangan kamu tanya mengapa begini aku menyusur jalannya. Jangan juga kamu tanyakan jika kelak hujungnya tidak memberi senyum untuk kamu.. juga aku. Kamu yang memilih untuk meneruskan permainan ini.

[Tempoh senyap mengobah rasa..]

Monday, July 19, 2010

~ TM POINT YANG GAGAL ~


SEJAK april lalu, aku asyik dilanda masalah dengan TM POINT. Kisahnya bermula apabila aku berpindah ke rumah baru dan gagal mendapat perkhidmatan Streamyx seperti mana yang telah dijanjikan. Dalam sebulan dua itu, aku kerap berulang-alik ke TM Point dan bil telefon bimbitku banyak dibarisi nombor TM POINT.

Pelbagai alasan bodoh dan tidak munasabah yang aku terima sepanjang berurusan dengan mereka. Malah, beberapa kakitangannya seperti mahu melepaskan tanggungjawab apabila aduanku di paskan ke satu demi satu bahagian sehingga menyebabkan aku merasa hilang sabar.

Isnin lalu, aku dihubungi oleh seorang kakitangan TM POINT setelah hampir tiga bulan status internet di rumah tidak memberikan perkembangan yang positif.

(Perbualan ini telah diolah semula, tetapi masih mengekalkan maksud yang sama..)

TM: Saya nak bagitahu, perkhidmatan streamyx di di rumah cik tidak dapat disediakan kerana port di situ sudah penuh.
AKU : Saya tahu kerana sebelum ini pun orang TM memang ada cakap. Tapi nama saya ada dalam waiting list untuk pemasangan port yang baru.
TM: Tapi untuk pengetahuan cik, bil tetap berjalan seperti biasa tau.
AKU : Tapi akan dapat rebet nanti kan?
TM : Memanglah.. tapi cik kena bayar jugak bil tu.
AKU : Kenapa pula saya kenal bayar bil tu sedangkan perkhidmatan streamyx memang tak boleh guna sepanjang berpindah rumah baru ni.
TM : Memanglah, tapi bil tetap berjalan sebab nama cik masih sebagai pengguna TM.
AKU : Saya memang masih nak guna streamyx itu. Sebab itu saya sanggup tunggu port baru yang TM cakap tu.
TM : Tapi sekarang port memang dah penuh. Tak tahu bila port baru tuh nak pasang kat situ. Bil cik berjalan macam biasa walaupun cik tak guna internet.
AKU : Jadi TM mencadangkan saya supaya potong talian laa ni?
TM : Saya tak cakap macam tu. Suka hati cik laa nak potong atau tidak. Saya bagitahu jer.
AKU: Memang awak tak suruh, tapi cara awak bercakap maksudnya ke arah itu. Sebab saya sebagai pengguna tak diberi pilihan apapun kan..
TM : Saya tak kata.
AKU : OK kalau saya potong talian sekarang, nama saya akan dikeluarkan dari waiting list kan... So, macamana saya nak tahu port baru dah ada di pasang kat kawasan rumah saya tu?
AKU : Dan bila dah potong, mesti saya akan kena bayar balik caj untuk pemasangan semula macam orang baru nak guna kan? Sedangkan sebelum ini saya hanya terlibat dengan pemindahan. Takkan saya kena bayar caj dua kali pula sedangkan masalahnya datang dari pihak TM dan bukan saya.
TM : Itu saya tak tahu, cuma saya nak bagitahu cik,buat masa ini TM memang tak ada port di kawasan rumah cik.
AKU : Macam tu sahaja TM selesaikan masalahnya penggunanya?
AKU : OK lah kalau macam tuh. Terima kasih kerana memberikan perkhidmatan yang terbaik dan mencadangkan saya untuk pemotongan ini. Terima kasih...
TM : Klikkk.

Bangga kerana orang TM POINT sendiri yang mencadangkan supaya penggunanya potong talian sedangkan provider lain sibuk mencari pengguna baru dengan menawarkan pakej yang lebih menarik dan menjanjikan pelbagai kelebihan dan kemudahan.

[Syabas untok TM POINT...]

Sunday, July 18, 2010

~ TENANG DAN NYAMAN ~


KERJA... Seminggu-dua ini urusan pekerjaan sangat membuat beban. Kebetulan pula salah seorang rakan sepekerjaan bercuti panjang kerana bersalin. Justeru, encik ketua patah sayap kanan dan memohon bantu untuk melancarkan urusan kerja yang beratur dengan tarikh mati itu.

Jujurnya, aku tidak pernah berkira soal kerja. Jika dalam kemampuan, insya-Allah aku sedia menghulur bantu. Cumanya sejak kebelakangan, ini keadaaan kesihatan tidak begitu memberangsangkan. Justeru, lelah panjang mendekatkan aku pada hal-hal kesihatan yang sedang berat aku lalui saat ini. Pun begitu, itu bukan alasan terbaik untuk mengelak diri bukan...

Selama dua hari ini, aku bergelumang dengan urusan pekerjaan yang menimbun berat tanpa henti bersambung-sambung selama hampir 36 jam. Waktu makan terabaikan... waktu secawan coffee terlupakan... tau-tau saja mata sudah lelap.. buka mata dan kembali meneruskan urusan yang sama. Ermmm...

Teman jiwa semakin membising. Malah ada resah membuat ganti kerana kami sering terjarak kerana hal itu. Sudahlah hanya hujung minggu saat berdamping, aku pula sibuk mendulukan hal-hal pekerjaan yang kini sering terlajak-lajak sehingga Sabtu dan Ahad. Semakin kerap. Bukan dengan mahu, tetapi sungguh kerana tuntutan kerja yang membuat desak. Aku tidak mampu menolak-nolak...

Alhamdulillah... pada hujung munggu ini, jadualku di benarkan kosong. Dan saat jari-jari ini bercerita di sini, aku berada dalam dalam situasi yang cukup senang. Mengisi waktu tidur dengan penuh aman, menghirup secawan coffee tanpa sebarang gangguan, mengadap skrin ini tanpa ada resahan dan segalanya menjadi nyaman. Malah, aku menolak pelawaan teman-teman untuk bersantai di luar hanya kerana mahu duduk menghabiskan masa di rumah dengan tenang. Indah. Hilang serabut berhari lalu.

["Jaga diri.. jaga makan.... sayangi-lah diri sendiri sebab aku sayang kamu..." kiriman mesej dari-pada sahabat kechil mem-buat aku ter-haru...]

Saturday, July 17, 2010

~ PADANG BULAN ~


TAJUK : Padang Bulan (Dwilogi Pertama)
KARYA : Andrea Hirata
CETAKAN : Pertama (Jun 2010)
PENERBIT : Anggota Ikapi, Indonesia
HALAMAN : 254
HARGA : Rp78.00

[Mahu ber-bichara sama bulan di-biber pantai pulau perhentian..]

Friday, July 16, 2010

~ MENJAGA ETIKA DAN TATA SUSILA ~


ADA dua perkara yang aku sering perhatikan tentang orang kita apabila datang menonton teater di Istana Budaya. Bukan sekali, bukan dua kali... tetapi pemerhatian kerap yang sering aku lakukan saat diri berada di Panggung Sari, Istana Budaya yang berprestij itu.

Pertamanya, orang kita suka datang lambat. Lambat lima minit, lambat, 10 minit dan pernah juga yang lambat setengah jam. Walhal, seharusnya sudah sedia maklum tentang waktu persembahan yang berlangsung. Apa yang menjengkelkan, apabila sudah tiba lewat mereka terpaksa menyusahkan orang lain ketika mencari tempat duduk mereka. Manakan tidak, tumpuan dan tontonan orang lain terhenti seketika kerana perlu bangun dan memberi laluan kepada mereka untuk duduk. Tidak hanya yang sebelah-menyebelah, tetapi juga orang lain yang turut sama berada di dalam itu kerana terganggu dan terhalang tontonan kerana kelibat mereka terkial-kial mencari tempat. Sungguh, aku sangat-sangat tidak berkenan dengan hal yang satu ini.

Begitu jugalah halnya dengan sikap ketidak-pekaan sesetengah antara mereka tentang etika pemakaian ketika menonton di pentas berprestij ini. Jika dulu, etika pakaian di Istana Budaya sangat ketat dan keras, kini sudah lain halnya. Atas sebab-sebab tertentu yang kononnya untuk lebih mesra dan menarik lebih ramai golongan singgah, beberapa peraturan tentang kod pakaian di Istana Budaya ini telah di longgarkan. Aku masih ingat lagi, jika dulu ada yang datang ke sini dengan memakai kemeja T tanpa kolar, maka dia tidak akan dibenarkan masuk kecuali mengenakan blazer hijau milik Istana Budaya untuk dipakai bagi melindungi kemeja T itu (sekarang digantikan dengan blazer hitam). Jeans pun tidak dibenarkan pakai. Begitu juga dengan penonton wanita yang tampil dengan fesyen yang agak santai dan menjolok mata juga akan melalui hal yang sama. Tetapi kini ceritanya sudah lain. Apabila pihak Istana Budaya melonggarkan kod pakaian sebegitu, maka ramai yang mengambil kesempatan dan kadang-kadang agak melampau seperti orang yang tidak tahu adat apabila terlalu 'santai' untuk masuk ke istana yang sepatutnya perlu tahu tentang tata susilanya. Dan... itu tidak sepatutnya terjadi walau siapa dia dan apa jua alasannya sekalipun.

Aku memang sangat-sangat tidak senang dengan hal yang satu ini. Justeru, mohon agar pihak pengurusan Istana Budaya berbuat sesuatu untuk mengatasi masalah yang semakin menjadi virus ini. Aku kira, sudah tiba masanya Istana Budaya kembali bertegas dan memelihara 'tatasusila' yang harus di patuhi kala memasuki Istana. Pedulikan tentang misi untuk menarik lebih ramai penonton ke sana jika yang datang itu lebih banyak mencemarkan 'adat dan tatasusila' Istana Budaya itu sendiri. Sepertinya langsung tidak memberikan rasa hormat terhadap Istana yang cuba mengangkat seni ke tempat teratas ini. Jika ada diantara mereka rasa sukar dengan peraturan dan tatasusila yang telah ditetapkan, biar sahaja mereka tidak menjejakkan kaki ke Istana ini lagi. Dalam hal ini, aku memuji Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC yang masih tegas dalam soal kod dan etika pemakaian bagi mereka yang mahu berkunjung ke sana. Secara tidak langsung, mereka telah mengajar penonton agar menghormati Dewan tersohor itu dan tidak bertindak sewenang sesuka hati.

Keduanya, orang kita susah sekali mahu bertepuk tangan memberi penghargaan kepada apa yang berlaku di atas pentas. Masing-masing sangat berat tangan untuk berbuat demikian. Jarang sekali mereka mahu bertepuk tangan memberi sokongan meskipun yang sedang berlangsung di pentas itu agak hebat persembahannya. Orang kita jarang mahu mengekspresikan penghargaan mereka dan ia sangat berbeza sekali dengan masyarakat barat yang lebih peka dengan semua itu. Mereka sangat menghargai setiap apa yang disumbangkan kepada mereka melalui persembahan yang ditonton. Terngiang-ngiang kata pelakon Nasha Aziz, suatu ketika dahulu, "Orang Malaysia memang malas tepuk tangan..". Kata-kata itu jelas ada kebenarannya. Jika kamu meragui apa yang aku katakan ini, perhatikan sendiri saat kamu berada dalam khalayak penonton tidak kira di Istana Budaya sendiri atau di mana sahaja tempat persembahan.

[Mem-beri-kan 'standing ovation' untok per-sembahan Liza Hanim sebagai Saloma dalam pementasan teater muzikal P. Ramlee selama dua musim ber-turot-turot..]

Thursday, July 15, 2010

~ TEATER MUZIKAL UDA DAN DARA ~
















TERUJA. Itulah perasaan direaksikan seawal mendapat tahu tentang berita pementasan teater muzikal Uda dan Dara yang diadaptasikan daripada karya agung Sasterawan Negara, Dato' Dr Usman Awang beberapa bulan lalu.

Setelah 38 tahun menjadi sejarah, ia kembali mengimbau kenangan. Bezanya si pemegang watak bernama Uteh itu kini telah mengambil posisi sebagai sang pengarah. Bezanya pentas persembahannya ini telah berpindah ke pentas yang berprestij di dunia. Bezanya apabila hampir 23 buah lagu yang mengisi teater ini dibikin baru dengan idea dan kreativiti yang tinggi. Bezanya barisan pelakonnya juga telah berubah mengikut keperluan semasa. Cuma yang masih tetap sama adalah karyanya. Adalah jalan ceritanya yang tetap mengusik dan memikat. Itu yang tidak berubah.

Pementasan muzikal Uda dan Dara di tangan sang pengarah, Dato' Rahim Razali ini berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya selama sepuluh hari bermula 10 Julai lalu sehinggalah 20 Julai ini. Dan hari ini aku punya kesempatan untuk duduk menonton karya indah arwah Sasterawan Negara Ulung itu.

Aku sukakan pengisian dan perjalanan ceritanya. Indah dan mempersona. Malah, seperti yang khalayak sedia maklum juga, karya-karya Dato' Dr Usman menggunakan Bahasa Melayu yang tulen. Itu keistimewaannya yang paling nyata. Justeru, jika mahu mengenali Bahasa Melayu yang tulen tanpa sebarang taburan, dekatilah karya-karya Allahyarham.

Aku juga sukakan sususan muzik dan lagu-lagu yang diiringkan dalam pementasan ini. Kurang lebih 20 buah lagu berkumandang indah dengan barisan lirik yang sangat mempersona. Khabarnya kesemua lagu-lagu ini adalah lagu baru yang ditulis khas untuk muzikal ini dan berbeza sama sekali dengan lagu-lagu muzikal Uda dan Dara sebelum ini. Sungguh, ia benar mencuri perhatian panjang.

Apapun, dari segi lakonan... sungguh pada pandangan mata kasarku yang mungkin tidak begitu tepat ini, Dara di tangan Misha Omar tidak terkesan. Dia kelihatan terlalu mencuba sehinggakan Dara menjadi tidak natural. Lenggok pertuturannya, langkah pergerakannya, sungguh menampak tempang. Watak Dara itu sepatutnya menjadi pujaan dan kekaguman tetapi Misha tidak memberikan rasa itu. Malah ada beberapa babaknya yang sepatutnya dihayati dengan suasana senyap dan mengerti menjadi sebaliknya. Terhambur gelak tawa dan penonton di bawah kerana merasa babak yang sedang berlangsung itu adalah momen lucu dan mencuit hati. Pergerakan Misha di pentas tidak menurut nada. Dia harus perbaiki banyak tentang soal itu. Apapun, tahniah atas percubaan dan kesungguhannya. Sebagai seorang yang baru berjinak-jinak dengan dunia teater, persembahannya tidaklah begitu mengecewakan.

Begitu juga dengan sang pengemudi watak Uda, Razali Hussien. Dia sudah memberikan yanng terbaik aku kira. Walaupun tidak sempurna, tetapi dia tidak menjengkelkan. Uda di tangannya masih boleh diterima. Jika dia benar dengan kesungguhan untuk bernafas di pentas teater, aku percaya ada yang mahu melorongkan jalan buatnya.

Apapun, watak Uteh di tangan Rosdeen Suboh dan Alang Bakhil yang ditangani Mazlan Tahir kena pada tempatnya. Benarlah pengalaman mereka bukan sedikit di pentas teater, justeru itulah yang selayaknya mereka beri. Begitu juga dengan A. Aris Kadir sebagai Malim. Jujurnya, aku sangat sukakan penampilan A. Aris. Pergerakannya di pentas sungguh mengkagumkan. Setiap gerakannya ada nada. Setiapnya dilihat tepat dan cantik. Begitu juga dengan lontaran suaranya yang jelas dan kemas. Tahniah untuknya.

Secara keseluruhannya Muzikal Uda dan Dara menyerlahkan pesonanya yang tersendiri. Biarpun tidak seperti yang aku sandarkan harapan, sekurang-kurangnya karya Allahyarham Usman Awang tidaklah dihenyak keras. Malah setidak-tidaknya juga, pementasan ini dapat menarik generasi baru hari ini untuk mengenali dan mendekati karya-karya indah yang diwarisi generasi terdahulu.

[Ada yang ber-suara dengan keberanian Misha me-lakukan babak romantis dan intim ber-sama sang hero-nya...]

Wednesday, July 14, 2010

~ BINGIT HON SEBUAH NYAWA ~


KALAU tidak kerana bunyi hon yang bingit itu ketika dalam perjalanan ke tempat pekerjaan semalam, mungkin aku tidak berpeluang menulis di sini lagi. Di ruang ini. Alhamdulillah... Umur panjang, dan Tuhan sayangkan aku.

Kecuaian diri, rasa mengantuk yang jelas menguasai diri dengan kesihatan yang begitu menganggu-menganggu lagi dan lagi, aku hilang fokus pada pemanduan dan hampir sahaja mencium kenderaan lain saat 10 langkah dari simpang tempat pekerjaan. Mujur saja bunyi hon yang bingit itu mengembalikan aku ke dunia realiti. Ohh Tuhan...

[Kembali meng-guna-kan kenderaan awam.. barang-kali..]

Tuesday, July 13, 2010

~ DAN LAGI... ~


MUNGKIN kerana cuaca. Mungkin kerana situasi.. Mungkin kerana kerusi dan meja. Atau mungkin juga kerana rasa yang di dalam. Pandangan gelap. Lari dari mimpi.

[Ber-imej empat dan lebeh..]

Monday, July 12, 2010

~ MAHU MENGHIRUP SECAWAN COFFEE ~


SEGALANYA untuk beberapa hari ini tidak begitu menggembirakan. Aku lebih banyak duduk diam senyap. Menjadi 'bisu' selain kepada keperluan. Mahu menghirup secawan coffee. Mahu duduk bercerita tentang kerusi, meja, buruh binaan, sotong, mc, bosan, Beethoven, doktor dan sebagainya.

Ada yang menawarkan diri, tidak pula aku mengangguk. Tapi aku benar-benar mahu menghirup secawan coffee dan bercerita. Mungkin dengan seseorang yang aku mampu menjadi diri sendiri. Mampu bebas bercerita membuka mulut dalam nada apa jua sekalipun. Begitu selalu saat kecamukan datang membuat singgah. Saat yang di dalam sana basah disentuh kesedihan.

D, kalaulah kamu masih ada... pasti kamu orang yang tidak pernah gagal mahu meminjamkan bahu. Pasti kamu yang mahu meneman hirup secawan coffee mendengar cerita resahku. Tidak pernah gagal walaupun aku tidak pernah meminta itu. Kerana kamu adalah sahabat yang mengerti dan tidak perlu diminta-minta. Kamu adalah sahabat yang boleh mendengar walaupun tiada apa yang keluar dari mulut dan percakapanku. Malah, kamu sering membaca sahabatmu ini dengan tepat.

[Neon malam ampang sereng meng-usek rasa. Ada banyak cherita di-perot-nya...]

Sunday, July 11, 2010

~ DI CELAH BANGUNAN BATU PULUHAN TINGKAT ~


SETIAP hari aku melalui jalan Tun Razak-Ampang. Dan setiap hari itu jugalah aku akan melihat sekumpulan buruh binaan yang sibuk mengerah tenaga dan keringat mereka untuk menyiapkan bangunan batu yang sedang mahu mencakar langit itu. Siang malam pagi petang.. tidak kiralah ketika mana aku melintasi mereka, keringat mereka tidak terhenti. Tidak hairanlah sekejap sahaja bangunan batu puluhan tingkat yang mengadap terus KFC, Ampang Park itu sekejap sahaja naikknya. Tau-tau sahaja hampir lengkap.

Kelmarin perut jalan raya agak sesak di situ. Justeru, unta hitamku bergerak perlahan dan kadang-kala tidak bergerak langsung di situ. Aku sempat mencuri lihat dengan penuh perhatian. Seorang lelaki kurus, berkulit gelap sedang bersandar ke dinding rata yang belum bermandi cat itu. Tenang dia melepas lelah sambil menghembuskan asap nikotin melalui mulut dan hidungnya. Sesekali matanya mengekor arah asap nikotin itu terbang bebas ke udara.

Usai hembusan asap nikotin terakhir, matanya terarah kepada rakan yang masih bermandi peluh mengangkat batu-bata berkilo berat dengan dengan keringat yang ada. Kemudian dia mendongak lantai yang paling tinggi dengan pandangan yang sayu. Dia mengulang lihat antara rakan sepekerjaannya dan lantai paling tinggi itu. Berselang-selang tingkahnya. Beberapa minit dia begitu, dia menggeleng-gelengkan kepala. Tiba-tiba dia menampar pipi kanannnya. Ditekup mukanya dengan kedua belah tangan. Sekali lagi dia mendongak kepalanya ke arah lantai paling atas itu dan kemudiannya berlalu pergi menyambung pekerjaannya.

Aku jadi sibuk untuk meneka apa yang sedang bermain di kepala lelaki yang mungkinnya dalam usia lingkungan 30'an itu. Apakah dia sedang membina harapan atau sedang melalui kehancuran harapan. Apakah yang dia fikirkan tentang bangunan batu puluhan tingkat itu? Atau adakah dia ada berfikir, sebaik sahaja bangunan batu itu siap, dia sudah tidak layak menjejak kaki di situ, di tempat dia berdiri... apatah lagi mahu masuk menjengok di dalamnya.. atau di lantai paling atas itu. Ermmm...

Aku melihat diri. Sepertinya aku juga berfikir seperti mana dia sedang berfikir barangkali. Resah membuat gelisah. Keberuntungan kita tidak terjangkakan. Kemelaratan kita juga tidak terhidukan. Justeru, hargai kehidupan yang ada.

[Mau ber-cherita..]

Saturday, July 10, 2010

~ CINTA LELAKI ~


TAJUK : Cinta Lelaki
KARYA : Nur Asikin Arsad
PENERBIT : NB Kara Sdn Bhd
HALAMAN : 443
HARGA : RM19.00

“Kata orang, lelaki memang banyak pilihan dalam bercinta. Kerana mereka yang akan memilih bukannya dipilih. Benar, tetapi untuk memilih bukan sesuatu yang mudah. Walau banyak yang datang, ramai yang disukai, belum tentu ada yang lekat di hati…”

[Lelaki sepet maseh mau menunggu...]

Friday, July 09, 2010

~ TERUSIK ~

(kredit foto : filem lagenda budak setan)

GARA-GARA telefon bimbit. Ada ribut yang mengisi hari. Hal kecil sahaja tetapi apabila keduanya dalam keadaaan yang mengarah emosi di kepala, yang kecil itu menjadi marah meraja.

Berpunca daripada sikap dan kebiasaanku yang sering meletakkan telefon bimbit dalam silent mode. Sudah terbiasa dengan situasi dan persekitaran kerja yang memerlukan telefon bimbit itu perlu 'didiamkan'. Memang benar banyak SMS dan panggilan yang tidak dijawab berbanding SMS dan panggilan yang bersambut. Tetapi sungguh, bukan kerana sengaja atau tidak mahu diganggu atau apa sahaja yang disangkakan itu. Tetapi kerana kebiasaan situasi.

Dan ada yang terlalu marah kerana hal itu. Lalu hari ini ia dilepaskan dengan penuh rasa. Aku diam... senyap dalam getar. Marah betul dia. Aku salah dan aku tahu itu. Memang perlu aku dimarahi dan dirajuk demikian rupa. Enam panggilannya tidak berjawab. Bukan ada dengan niat, tetapi sungguh aku langsung tidak menyedari ada panggilan masuk kerana telefon bimbit itu langsung tidak dibelek-belek.

Aku mohon maaf untuk itu. Namun aku tidak dapat menahan emosi apabila 'bahasa-bahasa indah' menjadi hadiah. Lalu seluruh hari menjadi mendung. Sebagaimana telefon bimbit itu dijadikan silent mode, begitu jugalah aku hari ini. Senyap dan terusik.

[Aku mohon ma'af jika ter-sakiti...]

Thursday, July 08, 2010

~ BILA BERUBAH ~


BERUBAH. Aku dapat rasakan itu walaupun pada mata kasarnya ia berlangsung biasa seolah tiada apa. Lama senyap dan diam membuatkan bahasa menjadi kejap. Itu detik hatiku yang tidak dia ketahui.

Rupa-rupanya hati kami berdetik sama. Bezanya dia menyuarakan detik hatinya dan aku tidak. Kata sahabat ini, aku sudah tidak sama. Aku senyum sambil menggelengkan kepala. "Tiada apa yang berubah..". Kataku, cuba menutup rasa. Tahu apa yang dimaksudkannya tetapi biarlah ia tidak diperpanjangkan.

Menurutnya, dia hilang bahasa untuk berbicara kerana pengucapanku lebih kepada bahasa bisu. Bisu? Ermm... aku cumanya lebih banyak mendengar dan memerhati tutur tingkahnya. Lelaki ini sering sahaja mahu membuat aku senyum. Dari dulu dan sekarang masih.

Lama kami tidak menutur bual. Tiada rajuk, cuma mahu memberi ruang. Lama. Hanya beberapa hari lalu, ada yang menggerak rasa dan menebar salam. Tidak pernah mahu hilang atau kehilangan. Sungguh.

Selepas pertemuan kaku itu, kami cuba berlagak biasa seolah tiada apa. Mahu kembali kepada nada dulu-dulu yang penuh dengan hawa ceria. Rindukan itu. Malangnya tempoh senyap itu telah menukar warna. Berubah dan tidak sama walaupun aku tidak mahukan begitu. Entah dia.

Erm.... tempoh senyap memang selalu merubah rasa. Bukan mahu tetapi terjadi lumrah. Ohh.. aku tidak mahukan itu. Justeru, aku berazam keras untuk mengelak tempoh senyap. Tidak akan lagi. Bukan dengan dia sahaja tetapi dengan siapa sahaja di keliling.

"Janganlah berubah begitu.." suara senyap membuat tutur di dalam sana. Baik dan buruk yang termilik kamu itu telah serasi dan menyumbang banyak kepada kepada kehidupan yang aku lalui.

[Me-mileh nada...]

Wednesday, July 07, 2010

~ MASIH MEMBIKIN MIMPI ~


BEBERAPA hari lalu, aku melihat dan mendengar rakan-rakan yang baru mahu berjinak mendapat peluang menyuarakan puisi mereka dengan lantang di depan khalayak. Aku pernah melakukan itu dan bercita-cita untuk lebih daripada itu.

Siang tadi, aku mendengar dan melihat nama-nama yang entah siapa-siapa sebelum ini menerima penghargaan kerana mencapai sukses dalam bidang penulisan kreatif, novel. Aku pernah berbuat hal yang sama dan mahu membikin mimpi serupa.

Bagaimana kalau suatu hari nanti, nama yang disebut itu adalah aku? Orang yang dihargai itu adalah aku? Bagaimana kalau suatu hari, aku yang beridiri di pentas tengah acara Maskara lalu melepaskan puisi jiwa dengan penuh rasa, lalu didiiringi tepukan hadirin. Dan bagaimana kalau esok atau lusa atau hari yang seterusnya nanti, namaku tertera di kertas keras penghias muka depan buku sebagai sang penulis atau pencerita?

[Tak ter-jangkau mimpi...]

Tuesday, July 06, 2010

~ MAHU MENUKAR NOMBOR ~


TERASA seperti mahu menukar nombor telefon bimbit. Kenapa? Entah.. Jangan tanya kerana aku tetap akan jawab entah!!!

Ermmm... sepanjang menggunakan telefon bimbit ini sejak bertahun lalu, nomborku tidak pernah bertukar dan masih sama sehingga hari ini. Tapi hari ini... seketika seperti mahu lari.. ermm..

[Jangan di-tanya apa-2..]

Monday, July 05, 2010

~ KEMAMPUAN DARI TEKANAN ~

(kredit photo : kapoww!!! atoi the ajaib boy)

SELALUNYA, dalam keadaan yang terdesak dan mendesak, kemampuan kita selalu di luar dugaan. Yang tidak boleh, selalu menjadi boleh. Tetapi tetap menjadi tidak boleh jika ia dalam situasi yang biasa dan tidak selainnya.

Minggu lalu, aku terpaksa mengambil cuti sakit lantaran keadaan kesihatan diri yang sangat-sangat tidak mengizinkan. Kebetulan, saat itu urusan pekerjaan yang punya tarikh mati sekelepuk bergalas di bahu. Bukan satu bahu, tetapi dua bahu. Justeru, sebaik aku kembali ke tempat pekerjaan pada hari seterusnya, aku perlu siapkan dereten kerja itu dalam tempoh 24 jam tanpa sebarang alasan.

Sungguh, jika dalam situasi biasa, aku selalunya mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkannya. Tetapi hairannya urusan pekerjaan itu berjaya aku sudahkan dalam tempoh 24 jam sahaja kerana mengejar tarikh matinya. Gila. Tapi... Elok pula jadinya tanpa cela. Kalau tarikh matinya masih berselang, sungguh.. jangan harap ia sesempurna begitu dalam tempoh itu.

Begitu juga halnya dengan siang tadi. Aku perlu bertemu seseorang berkaitan urus pekerjaan. Sungguh, lokasi kedudukannya secara geografi sangat membuat aku keliru dan awal-awal sudah mengalah mengatakan aku akan bermasalah untuk ke tempat itu. Justeru, memohon seseorang menghulur bantu. Malangnya, tiada yang punya kesempatan sedang aku perlu berada di sana sebelum jam tiga. Arghhh.. tekanan mula menghimpit kiri dan kanan otak. Justeru, mahu atau tidak tanpa ada pilihan, aku harus memandu sendiri dan perlu ada di sana walau dengan apa jua cara sekalipun.

Nahhhh... entah bagaimana berbekalkan gerak dan kesungguhan 'tekanan' yang menghimpit, aku berjaya berada di sana setepat waktu yang telah ditetapkan tanpa sebarang masalah 'kesesatan' seperti mana yang aku jangkakan.... memang kemampuan di luar kadar biasa. Aku lakukan dengan baik apabila berada dalam keadaan yang terdesak dan mendesak... Ermmm.. dan tentunya tidak sama sekali akan berlaku dalam situasi biasa seperti kelmarin kerana aku sentiasa mengulangi kesesatan jika tidak dihulur bantu.

[Tidak suka men-desak dan di-desak.. sunggoh... tak tipuu...]

Sunday, July 04, 2010

~ MASIH BERNAFAS ~


SEGAR. Alhamdulillah... setelah beberapa hari lalu keadaan kesihatan sangat menghimpit berat, hari ini aku merasa amat sihat dan tenang seperti sebelumnya. Mampu menarik dan melepas nafas seperti sedia kala.

Terima kasih untuk mereka di keliling yang sangat mengambil berat. Ayah, ibu dan seluruhnya yang menjadi kesayangan. Sungguh aku maksudkan rasa terima kasih ini. Untuk rakan-rakan yang mengirimkan doa dan bertanya khabar, aku sangat hargai itu. Doa kesejahteraan juga buat kamu.

Paling mengharukan juga, buat pertama kalinya setelah hampir tiga tahun bekerja di bawah seliaannya, sang ketua di tempat pekerjaan menunjukan rasa prihatinnya. Buat pertama kalinya dia menyuruh aku pulang berehat di rumah dan meninggalkan kerja yang bersusun kerana memahami keadaan kesihatanku yang agak teruk beberapa hari lalu. Dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Untuk untie phia, terima kasih kerana sup yang sangat berkhasiat... juga untuk ubat yang sangat membantu itu. Jasa yang tidak pernah mampu terbalas. Untuk sang doktor yang kecewa kerana aku gagal menghadiri temujanji seterusnya kerana tidak mahu mendengar kemungkinan-kemungkinan 'lainnya', aku mohon maaf... Biar sahaja aku tidak mendengarnya.

Apapun, selepas kejadian beberapa hari lalu itu, aku semakin menghargai kesihatan diri. Bukan selama ini tidak menghargai, cuma kali ini ia menjadi lebih dua kali ganda dari biasa barangkali. Situasi minggu lalu sangat menakutkan diriku dan berharap ia hanya setakat itu.. mudah-mudahan.. amin.

[Maseh ber-nafas...]

Saturday, July 03, 2010

~ MASKARA 22 @ RUMAH PENA ~




SELALUNYA aku tidak pernah terlambat ke acara untuk kawan-kawan yang kita suka ini. Namun hari ini kerana hal-hal duniawi yang perlu aku penuhi untuk menjaga hati beberapa orang yang berkeliling, aku lambat tiba di Rumah Pena. Bukan lima atau sepuluh minit, tetapi hampir 40 minit.

Sepatutnya, aku mungkin hanya lambat sepuluh minit sahaja, tetapi entah bagaimana aku langsung tidak perasan acara pada malam ini telah diawalkan setengah jam sebagai menghormati peminat-peminat bola yang teruja untuk menyaksikan perlawanan penting antara pasukan German dan Argentina. Justeru, ketika jarum menunjukkan ke angka 8.40 malam itu, aku masih berlenggang kangkung kerana sangkaku ia masih belum begitu terlambat.

Menjenguk ke dalam Rumah Pena, rupa-rupanya acara sudah bermula. Ketika itu berlangsung persembahan dua orang yang tidak dapat aku pastikan siapa sedang 'menggoreng' gitar. Lain situasinya hari ini apabila penonton disediakan kerusi. Arghh... sebenarnya aku lagi suka dan lagi selesa menonton sambil bersila dan berlaga lutut bagai biasa. Lebih intim, kata seorang teman.

Sayang sungguh kerana aku telah ketinggalan beberapa persembahan. Khabarnya, saudara Meor dan Nik juga sudah siap siaga membuat persembahan. Sayangg... sungguh sayang sekali.

Paling lucu, aku tidak tahu sosok tubuh yang sering aku lihat membuat acara di stesen TV kerajaan itu, namanya Sayed Munawar... nama yang turut tersenarai akan membuat persembahan pada malam ini. Sungguh, aku kagumi karisma dan kewibawaannya di depan kaca TV, tetapi baru hari ini, di Maskara ini... aku ketahui nama tuan yang punya badan. Arghhh... dia bukan sahaja berkarisma di depan kamera TV, tetapi di depan mata kami juga ketika membacakan dua buah puisi tulisannya, dia sungguh menyuntik teruja. Aura.

Para Jamaludin... Satu nama baru yang tidak pernah aku dengar sebelum ini. Memanglah tidak pernah dengar kerana dia bukan artis rakaman yang dah punya album (seperti yang Para katakan ketika memperkenalkan dirinya). Suaranya memang sedap. Aku suka dan aku terbuai dengan lagu-lagu yang dia nyanyikan. Petikan gitarnya juga sudah tentu. Memang kena dengan mood lagu puisi yang dia alunkan itu. Kredit juga untuk rakan sepenemannya, Nisha Ismail yang memang 'feel'.

Untuk Young And Dangerous, aku suka lirik lagu-lagu yang mereka dendangkan ini. Suka juga dengan cara pemikiran sang vokalisnya. Sempoi tapi tepat. Persembahan terakhir dari geng Filmuda memang boleh layan. Ada kemampuan dan kesungguhan.. mungkin perlu menunggu peluang. Apapun, apa yang kamu persembahkan tadi sekurang-kurangnya menyumbang dan menyuntik semangat baru pada kami yang menonton malam ini.

Tidak seperti selalu, Maskara kali ini agak lengang. 'Mood bola' seperti mana kata ramai orang. Apapun, Sindiket Sol-jah memang sentiasa terbaik dan Maskara tetap diteruskan walau apapun acara lain sedang berlangsung di luar sana... :)

[Ada cherita laen di-maskara kali ini..]

~ SELAMAT TINGGAL SAYANG ~


TAJUK : Selamat Tinggal Sayang
KARYA : Ma Lee Chuswan
PENERBIT : Creative Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 437
HARGA : RM20.90

“Dalam soal hati… Benarkah perempuan tidak pernah dewasa?”

[Bukan kerana pilehan...]

Friday, July 02, 2010

~ RATU ROCK MENANGIS DI ISTANA BUDAYA ~


PUAS. Itu yang terdetik di hati tatkala selesai menonton Konsert Ella bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan bersempena Festival Muzik KL 2010 yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya beberapa jam tadi.

Aku bukanlah penggemar setia ratu rock yang seorang ini kerana aku bukan berjiwa rock.. malah tidak meminati muzik rock pun. Cumanya, sang ratu yang seorang ini memang jadi lagenda negara. Siapa yang tidak kenal Ella.. siapa yang tidak tahu lagu-lagunya yang sudah hampir 25 tahun berkumandang di corong-corong radio dan menghiburkan hati yang gundah gulana...

Persembahan ini khabarnya yang pertama kali seumpamanya buat Ella di pentas berprestij, Istana Budaya ini. Pencapaian tersendiri buatnya, kata Ella. Malah, jika tidak salah menghitung, Ella juga menjadi artis wanita kedua negara yang berpeluang membuat persembahan solo di panggung Sari ini (dan tahun depan khabarnya penyanyi dari negara seberang, Rossa bakal menyusul).

Pentas dibuka dengan persembahan secara instrumental oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan dibawah pimpinan saudara Mustafa Fuzer Nawi yang mengalunkan beberapa buah lagu popular Ella yang cukup dekat di hati ramai penonton yang memenuhi ruang Panggung Sari. Juga aku... yang memang sentiasa mahu hanyut dengan alunan instrumental.

Sepanjang persembahan yang berlangsung selama kurang lebih dua jam dengan 23 buah lagu itu, Ella sungguh memikat dan masih lincah seperti mana yang pernah kita saksikan dia beraksi pada konsert-konsertnya sebelum ini. Lontaran vokalnya tetap mantap dan tidak pernah berkurang. Gayanya seperti selalu, bersahaja dan menghiburkan. Sesekali berderai tawa dari kalangan penonton apabila Ella membuat lucu dan beraksi manja seperti mana yang dikenal dia.

Semua lagu popular yang pernah menaikkan nama Ella dan mengimbau kenangan lalu dinyanyikan pada malam ini. Permata Pemotong Permata, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Sembilu, Nuri, Dua Insan Bercinta, Standing In The Eyes Of The World, Rama-Rama dan banyak lagi. Namun, yang menjadi paling aku suka apabila Ella menyanyikan lagu Kesal dan Layar Impian. Memang terbaik. Terbaik juga apabila Ella mengalunkan lagu itu setelah jiwanya basah dengan sedu-sedan tatkala menyampaikan lagu Kita yang didedikasikan khas buat arwah ayahandanya sebelum itu. Ratu rock yang mengaku keras jiwanya ini akhirnya menumpahkan air mata di pentas Panggung Sari. Al Fatihah buat arwah ayahanda Aminudin.

Tidak ketinggalan dan menjadi istimewa juga apabila Ella turut menyampaikan lagu duet Budi Setahun Segunung Intan dengan penyanyi senior yang disegani, Datuk Ahmad Jais, selain lagu Ulek Mayang dan Jauh di mata yang menampilkan Ella dengan busana anggun yang membuatkan si ratu rock itu keras untuk bergerak dipentas seperti ada tali yang mengikat gerak langkahnya. Tidak biasa pakai kasut tinggi, kata Ella sambil melepas ketawa manja.

Secara keseluruhannya, Konsert Ella bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan ini sangat menghiburkan. Hampir lengkap biar tidak sempurna. Tahniah Ella. Mudah-mudahan akan menyusul yang seumpamanya pada masa akan datang.

[Suka tenguk imej Ella dengan T-shirt putih dan jeans biru... cool]

Thursday, July 01, 2010

~ MASIH ADA NYAWA ~


ALHAMDULILLAH... masih panjang umur aku rupanya. Setelah sehari semalam berjuang, hari ini mampu untuk membuka mata. Mohon kemaafan kerana menyusahkan kamu semua lagi. Seisi rumah bercuti hanya kerana mahu berada di sisiku. Tidak pernah mengalami situasi seumpamanya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa perit dan sengsara aku melalui saat 24 jam ini.

Berselirat wayar di tangan. Wajah yang meneman di birai katil juga tidak dapat aku pasti siapa lantaran pandangan kabur tidak mengenal. Terima kasih untuk kasih syaang itu. Juga untuk sahabat yang memanduku ke rumah lebih 36 jam lalu apabila melihat aku sudah separuh nyawa menahan sakit.

Mendapat cuti sakit lagi. Sepanjang hari juga aku terbaring, tidak mampu berbuat apa. Hanya pada saat ini sahaja mampu duduk dan membuka mata. Meski cuti sakit masih berbaki, aku gagahkan diri untuk ke tempat pekerjaan pagi ini lantaran kerja-kerja yang punya tarikh mati sedang menanti. Sakit bukan alasan untuk aku melarikan diri. Kakak berang, abang penuh perhati kerana aku berkeras mahu bekerja seperti biasa. Bukan mahu menunjuk gigih, tetapi aku tidak punya pilihan.

Tuhan.. pengalaman hari ini sangat mengajarku. Betapa aku menghargai kehidupan yang kau berikan.

[Mahu mati dengan penoh kaseh sayang...]