Friday, June 04, 2010

~ KONSERT MELODI CINTA ROSSA YANG MEMIKAT ~







AKU bukan mahu berlebih-lebihan memuji, tetapi aku tahu ada yang beranggapan begitu bila aku tuliskan sesuatu tentang penyanyi tersohor dari tanah seberang ini. Aku tahu itu dan aku tetap mahu katakan itu. Aku memuji bukan hanya semata aku pecinta Rossa, tetapi ia kerana ia berhak ke atas itu.

Sabtu lalu, aku punya kesempatan dan berjaya mencuri keluangan untuk sama-sama duduk di kerusi keras Stadium Putra Bukit Jalil bersama hampir 7,000 penonton (menurut sang penganjur) untuk menikmati alunan lagu-lagu indah dari sang pelantun vokal yang merdu dan gemersik, Rossa.

Biarpun penonton tidak memenuhi segenap ruang Stadium seperti mana yang dihasrat penyanyi ini mahupun penganjurnya, Rossa tampil membuat persembahan yang memukau. Mengikat terus penonton agar tidak berganjak untuk waktu 2 jam, 15 minit itu. Dia benar-benar menggunakan suaranya merdunya itu untuk menakluk. Entah dari mana datangnya tenaga yang amat luar biasa daripada sang ibu kepada anak kecil yang namanya Rizky Langit Ramadhan ini. Luar biasa.

Tegar, Terlalu Cinta, Tak Termiliki, Pudar, Takdir Cinta, Malam Pertama, Terlanjur Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Hey Ladies dan sekian banyak lagi lagu-lagunya yang begitu memikat dilantunkan dengan begitu baik sekali. Sedikit hampa apabila Hati Yang Kau Sakiti tercicir daripada pilihannya untuk dihadiahkan kepada penonton di konsert ini. Namun sedikit terubat apabila Perawan Cinta diperdengarkan dalam bentuk petikan piano anak berbakat besar daripada Program Permata Seni.

Secara keseruhannya, Melodi Cinta sangat meninggalkan kesan. Seluruh lagu-lagunya menjadi istimewa apabila dipersembahkan dalam bentk orkestra. Pun begitu, aku mahu katakan dalam cartaku, Konsert Mini Cerita Cinta Rossa di KL Live masih di tangga paling atas... :)

Apapun, janji Rossa yang cukup sederhana orangnya ini, dia akan kembali lagi untuk hal yang serupa. Aku tunggukan itu.

[Juga suka-kan Sakura yang turot ter-cicer dari-pada pilehan...]

No comments: