Tuesday, June 29, 2010

~ LEBIH 10 JAM ~


MASIH dalam keadaan yang tidak begitu menyenangkan. Siang tadi diberikan cuti sakit separuh hari. Menelan pil pelbagai fungsi dengan penuh rasa sengsara sehingga terlena sendiri lebih 10 jam. Pening. Mabuk. Khayal... ya masih... sehingga aku menulis entri ini.

[Tenggelam... hilang]

Monday, June 28, 2010

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN SAHABAT JUNE ~


Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Sahabat June
Allah Selamatkan Kamu...

SELAMAT HARI ULANGTAHUN KELAHIRAN.

Mudah-mudahan memperolehi kesenangan dalam apa jua yang dilalui dalam kehidupan. Mohon terus menjadi kesayangan dan harapan sang ayah dan ibu. Dengan nafas dan nyawa yang masih diberikan Tuhan, semoga sahabat ini masih berkasih kepada keduanya yang telah memberi kehidupan sempurna sebaik menjengah dunia sehingga saat menarik nafas pada hari ini..
(juga ingatan untuk diri sendiri).

Doa kesejahteraan dari sahabat yang tidak pernah sempurna... Aminn.

[Walau-pon ucapan-nya hanya di-sini, keikhlasan tetap ada dan sama..]

Sunday, June 27, 2010

~ DIGIGIT BOSAN ~


BANYAK perkara bosan berlaku pada hari ini. Awal pagi.... awal tengahari.... awal petang... awal malam.... ermmm.. bosan!!!

Sungguh aku tak tipu itu!

[Tengok jam di-dinding puteh.... tengok lagi.. dan lagii...]

Saturday, June 26, 2010

~ IZINKAN KU BAHAGIA ~


TAJUK : Izinkan Ku Bahagia
KARYA : Leeya Myra
CETAKAN : Pertama (2006) & Kedua (2008)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 486
HARGA : RM18.00

"Mereka terperangkap antara harapan, kenangan dan masa depan. Di manakah titik pertemuan mereka? Sedangkan cinta pertama tidak semestinya cinta terakhir...”

[Melepas sejarah silam..]

Friday, June 25, 2010

~ PENYAKIT ~


AKU memalukan diri sendiri lagi. Perlu bertemu seseorang ini atas urusan pekerjaan. Pernah sekali bertemu dia, berbual juga. Malang sekali aku ini menghidapi penyakit susah menghafal wajah orang. Pertemuan sebelumnya tidak cukup untuk meletakkan wajahnya dalam arkib ingatan.

Justeru, hari ini telah berlaku perkara yang telah memalukan aku dan mungkin juga memalukan sang mangsa ini. Ermm... Aku langsung tidak dapat mengecam dia sehingga berlaku satu insiden yang.. ooh... sekali lagi aku mahu menggelengkan kepala.

Sungguh, ia bukan disengajakan. Itu kelemahanku. Dan ia bukan pertama kali berlaku. Pernah dulu situasi yang serupa terjadi sehingga menyebabkan berlaku ribut keras antara aku dan seorang sahabat yang... ermmm... yang sering melihat aku pada sudut salah. Sering mahu menyimpan sangka yang panjang... sering mahu membuat andaian dan kesimpulan sesuka hati tanpa sedikitpun mahu mengambil peduli soal kebenaranku. Akibat itu kami melarut ribut yang panjang.. dan sebenarnya... hari ini ia masih terlarut juga.. cuba beza pada rencahnya. Apa yang sahabat ini peduli... tiada apa! Dia tidak pernah peduli apa! Cuma dia sering mahu dirinya difahami jika mahu terus bersahabat. Dan bila tidak difahami... nahh.. beginilah. Arghh.. itu cerita lain. Apapun, doa kesejahteraan untuk sahabat ini.. Doa untuknya sentiasa ada kerana dia tetap sahabat yang berbakti.

Ermm... Bukan tentang sahabat itu yang mahu aku ceritakan... bukan. Cuma terkenang dia saat menulis entri ini.

Berbalik kepada babak di ruang putih dengan ciri penuh minimal itu, sang mangsa melepas tawa yang panjang. Mungkin juga sinis kerana sikapku yang sebegitu. Namun dia tidak menyimpan sangka. Kami menghirup secawan coffee. Dia berkongsi satu cerita kehidupan, aku melongo. Mengangguk-angguk. Banyak mengangguk. Saat menulis entri ini pun masih mengangguk.

[Me-ngues curiga...]

Thursday, June 24, 2010

~ SENYUM SI COMEL ~



PERUT jalan penuh sesak. Bosan yang sudah tidak perlu dibosankan lagi barangkali. Menoleh kiri dan kanan sambil memicit-micit kepala yang sudah mula berdenyut.

Pandangan bertaut pada satu wajah anak comel ini. Sepertinya sudah lama dia memerhatikan aku. Dia senyum tetapi menyembunyikan diri bila aku memandang ke arahnya. Aku cuba mencuri perhatiannya. Dia mula mahu melayan. Mahu mengusik-usik.

Namun, baru kusedari di dalam kereta itu tiada siapa pun yang meneman di sebelahnya. Hanya ada sang pemandu, yang mungkin bapa.. atuk... atau entah apa pertalian dengannya. Yaa.. seorang lelaki yang begitu asyik menumpukan kepada pemanduannya dengan membiarkan anak kecil yang sungguh comel ini bermain sendiri di tingkap belakang kereta dengan keadaan cerminnya terbuka luas. Betapa mengundang bahaya yang besar kepada anak ini.

Aku cuba mahu memberi isyarat padanya tentang hal itu tetapi gagal. Cuba pula menyuruh anak kecil ini duduk diam di tempat duduk... juga gagal. Dia asyik mengintai-ngintai dengan senyumnya yang sangat comel itu... Aku menjadi marah kepada sang pemandunya. Mahu sahaja aku membunyikan hon sekuat hati tanda protes. Belum sempat begitu, kereta kami terpisah di persimpangan jalan. Ermmm..

[Jangan sampai senyoman itu hilang lenyap teros...]

Wednesday, June 23, 2010

~ BUKAN TIDAK JUJUR ~

(kredit foto : filem Kapoww!!!)

RAHSIA. Kata mereka aku seorang yang begitu perahsia. Ermmm... rahsia? Aku tak rasa aku begitu perahsia orangnya. Cuma mungkin aku ini tidak rajin bercerita (sangat pasti tentang hal ini). Payah mahu membuka mulut. Usahkan cerita peribadi, cerita-cerita biasapun tidak begitu terkongsi. Namun, jika kena caranya... jika aku didekati dengan 'kepandaian' kamu, boleh sahaja aku laju bercerita walaupun ia menyentuh sisi peribadi. Mereka yang mengenal aku, tentu tahu itu.

Lalu, bila ada yang rajin berkongsi hal peribadi denganku, ada yang berharap aku melakukan hal yang serupa. Bila ia tidak berlaku seperti itu, aku dikatakan tidak berlaku adil. Huh.. Hanya kerana itu?

Ermm... terngiang-ngiang kata-kata seorang rakan pekerjaan beberapa hari lepas.

"Orang yang suka berahsia ni, orang yang tak jujur!"

Huh. Aku terdiam. Senyap. Sepertinya termakan cili yang merah menyala itu. Tidak membantah, hanya mendengar. Cuma dalam hati, ada suara yang bertanya-tanya... begitukah kejujuran itu diukur? Menyimpan rahsia dan menjadi perahsia itu adalah sesuatu yang bertentangan dengan kejujurankah?

Ermmm.. Tidak bercerita itu bukan bermakna mahu menyembunyikan sesuatu. Berahsia itu juga bukan bererti tidak mahu berlaku jujur. Harus faham tentang itu.

Mengenal seseorang itu, sepertinya kamu mengupas sebiji bawang. Jika kamu mahu terus ke lapisan paling dalam, tentulah rosak dan tidak cantik jadinya. Tetapi jika kamu pergi kepada lapisan demi lapisan, tentu sahaja kamu dapat mengenalnya dengan lebih baik.

[Sa-bahagian besar yang ter-kungsi di-sini tidak perenah ter-hambur di-mulot secara ter-buka sebenar-nya...]

Tuesday, June 22, 2010

~ HILANG DARI MATA ~


SEDIH. Akibat menangguh-nangguh, aku hilang kesempatan untuk bertemu seorang sahabat dekat sebelum dia berangkat ke bumi asing semalam. Sudah beberapa kali hasrat untuk bertemunya terhalang-halang dek urusan lain yang sederet beratur di depan. Bukan tidak cuba mencari kesempatan, tetapi ada sahaja yang membuat rentang.

Semalam pada pada kesempatan terakhir, aku bergegas ke lapangan terbang... mahu mengucapkan selamat tinggal buatnya yang entah bila akan kembali ke tanah air selepas masuk ke perut kapal terbang besar itu. Dia sahabat dekat.. sahabat yang sudah bertahun kenalnya. Sahabat bergaduh dan sahabat berketawa. Sahabat yang sayang sekali aku mahu lepaskan. Namun tuntutan hidupnya memerlukan dia berhijrah ke bumi sebelah sana. Sesuatu yang lebih baik buatnya barangkali.

Sungguh, terjadinya seperti filem yang berputar di layar lebar.... berkejaran aku ke sana tetapi keterlewatan waktu membuatkan aku hanya mampu mengintai kapal terbang besar yang membawanya terbang ke angkasa.

Ermm... terkilan. Terkilan kerana tidak sempat bergaduh dengannya buat kali terakhir, tidak sempat memaksanya untuk memujuk aku, tidak sempat mendengar bebelan dan nasihatnya yang sering sahaja menyebut tentang kesihatanku, tidak sempat itu dan tidak sempat ini. Yang sempat hanya membaca kiriman SMSnya dua hari lepas yang beriya mengajak aku menghirup secawan coffee. Tapi itulah... Sangkaku masih ada hari lain sebelum terbangnya dia ke sana... kerana dua hari lepas itu agak terhimpit keras dengan hal-hal bebal yang mengganggu rutinku. Nahhh.. rupa-rupanya, itu sahaja harinya yang ada.

Sungguh masih boleh berhubungan di layar skrin ini atau melalui telefon bimbit... rasa terkilannya masih memahat.

"Haaa... masa ada, nak tarik2 rambut, nak sombong2... sibuk sangatlah konon.. bila kawan terbaikkk kau ni dh xde depan mata, baru nak rasa terkilan2 pulak... sudahh.. tak nak kawan kau dah.. Padan mukaaa.. muhahahaha..."

Itu SMS balasannya yang aku terima pagi tadi. Senyum... dalam hati aku berkata kerana kita bersahabat baiklah, maka kita bertarik rambut. Kerana sering bertarik rambut itulah, kita sentiasa ingat dan tidak lupa pada pahit manis dalam persahabatan yang kita jalinkan itu.

[Tidak banyak sahabat dekat, te-tapi mana yang ada dengan gelar itu, tentu tahu letak diri kamu di-dalam hati-ku.. justeru, jangan perenah ter-jarak kerana kelat-2 yang ada..]

Monday, June 21, 2010

~ SELAMAT HARI BAPA ~


SELAMAT HARI BAPA. Aku tidak pernah lupa itu walaupun aku bukanlah anak ayah yang baik. Doa kesejahteraan buat kamu ayah. Sentiasa..

Sebentar tadi, aku berada di satu majlis. Terkesima apabila sang pengepala majlisnya membacakan sebuah puisi indah. Puisi yang didedikasikan khas buat si bapa. Ermm.. arwah bapanya. Sejuk, senyap... menikam keras. Aku.... aku.... ermmm...

[Ter-kenang zaman anak-2...]

Sunday, June 20, 2010

~ BILA SEMUA TENTANG BOLA ~




BOLA.. bola... bola.. bolaaaaaaaaa.... semenjak minggu lalu (World Cup bermula), makan bola... tidur bola... mandi bola... mimpi bola... Arghhh semua bola lah!

Bukan tentang aku. Dah tentu-tentu bukan aku... kerana aku langsung tak pernah minat tentang bola. Aku bercakap tentang lelaki sepet yang seorang itu. Bosan bila semua jadi Bola!!! Ehhhh.. aku bukan marah. Tidak. Lebih berbaloi simpan kemarahan aku untuk sesuatu yang lain ku kira. Cumaa... cuma... aku tidak suka bila semua jadi bola. Bila aku jadi lebih bisu.

Tapi, malam ini aku mahu tunggu depan TV.. mahu tengok bola. Yaa.. tengok bola sampai lebam. Pasukan mana? Entah. Hah? Keliru. Lupakan.

[Me-mileh pasokan merah... sebab aku suka warna merah!!! Portugal? Spain? Korea Selatan? Errr... apa saja-lahh..]

Saturday, June 19, 2010

~ BINI AKU TOMBOY KE? ~


TAJUK : Bini Aku Tomboy ke?
KARYA : Arisa Eriza
CETAKAN : Pertama (2010) & Kedua ( June 2010)
PENERBIT : Kaki Novel Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 530 Muka Surat
HARGA : RM19.00


Pilihan novel kali ini sangat-sangat berbeza daripada yang sebelum-sebelumnya. Jujurnya, aku membawa pulang novel terbaru terbitan Kaki Novel Enterprise dari rak buku MPH ini semata-mata kerana tajuknya. Lucu tapi benar. Hanya kerana tajuk (tak pernah dibuat aku sebelum ini). Apapun, aku akan cuba mencari apa yang menariknya nanti selain ia diulang cetak untuk kali kedua pada bulan ini.

Terpaksalah mungkir janji pada diri sendiri untuk berhenti membeli buku sehingga awal bulan depan kerana pada bulan ini sahaja, aku telah menjadi rambang mata dan menghabiskan wang ringgit berlebihan daripada peruntukan biasa untuk membeli buku. Huhuhu..

[Belom punya masa untok mem-belek, apatah lagi mahu mem-baca-nya.. nantii aku baca...]

Friday, June 18, 2010

~ MENULIS... MENULIS MACAM DULU ~


ENTAH kenapa beberapa minggu terkebelakang ini, keinginan untuk kembali menulis membuak-buak dalam hati dan fikiranku. Bukan menulis di blog atau yang seumpamanya yang aku maksudkan... Bukan itu.. bukan!

Yang aku maksudkan... menulis puisi, menulis cerpen, menulis novel dan yang seumpamanya. Aku rindu untuk menulis dalam bentuk yang begitu. Minat dan kecenderungan yang telah lama aku tinggalkan. Malah satu rahsia yang ingin aku kongsikan di sini, aku pernah menyimpan hasrat untuk bergelar penulis novel yang disegani suatu masa dulu.. dulu... yaa... cerita suatu masa duluuu...

Beberapa hari lalu, aku dihadiahi sebuah novel oleh seorang sahabat. Indah dan bermakna karangannya. Menilik latar belakang sang penulisnya, usianya baru mencecah awal 20'an. Waahhh.. beruntungnya dia, dalam usia yang begitu, dia sudah bergelar penulis yang punya karya sendiri. Ermm... sedang aku masih tinggal dan hanyut dalam angan-angan.

Kembali lagi kepada cerita dulu... aku sangat intim dengan dunia penulisan. Tidak pernah mahu berhenti menulis. Malah, masih tersimpan kemas beberapa manuskrip yang tidak pernah diterbitkan (walaupun dulu aku sering berangan-angan agar tulisan itu menjadi tatapan ramai dan kisah tentang kehidupan itu terkongsikan). Aku pernah menulis cerita tentang abang, tentang ayah... ibu... tentang persahabatan dan mereka yang dekat melingkari hidupku. Kisah yang diwatakkan lain dalam cerita yang benar wujud. Masih ada dalam simpanan. Masih...

Mahu kembali menulis... mahu... mahu menulis tentang beberapa watak yang ada dalam beberapa bahagian dalam kehidupanku beberapa hari lalu, hari ini dan mungkin hari esok.

[Teri-ngat diari merah kepunyaan aruwah sahabat dekat nun jauh di-utara semenanjong tanah-air sana...]

Thursday, June 17, 2010

~ MAAFKAN ABAH ! ~


ENTAH bagaimana aku tanpa sengaja telah menyinggah di satu ruang blog ini. Dan entah bagaimana aku merasakan seperti tahu siapa sang pemiliknya. Meski tidak mengenal seluruh, tetapi sedikit tentangnya aku ketahui melalui cerita dari seseorang yang dekat dengannya. Arghhh... kecilnya dunia ini.

"Maafkan abah!"

Hanya ayat itu yang ditulis pada entri itu. Tetapi aku hampir menangis membacanya. Mungkin kerana aku tahu maksud disebalik kata-kata itu dan kepada siapa ia ditujukan. Sedih. Hati perempuan aku mahu menangis. Sungguh, aku tidak tipu tentang itu.

Ermmm... Untuk kamu bertiga, aku percaya ada bahagia lain yang mungkin sedang menanti. Justeru, aku tidak akan pernah berhenti mendoakan kesejahteraan buat kamu. Aminn....

[Akher-nya menangis juga..]

Wednesday, June 16, 2010

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN GEMINI ~


ALLAH selamatkan kamu... selamat hari ulangtahun buat gemini, sahabat yang jauh adanya tetapi dekat tibanya. Mudah-mudahan hidup dilimpahi kesejahteraan. Memperoleh kesenangan dalam setiap yang terlakukan. Aminnnn..

Dan untuk kamu yang juga meraikan hari ulangtahun pada tarikh ini di luar sana, doa kesejahteraan juga untuk kamu!

[Per-sahabat-an yang sudah me-masoki usia sekian tahon dan tentu-nya tidak akan ter-sia-kan...]

Tuesday, June 15, 2010

~ MARAH & HADIAH ~



BUKAN hari jadi atau apa-apa hari istimewapun, tetapi dapat hadiah. Seronokkan? Terima kasih untuk sahabat yang namanya OL. Sahabat yang dah aku susahkan minggu lepas gara-gara sikap sambil lewa rakan sepekerjaan. Ingatkan dia akan marah aku habis-habis, tetapi lain pula ceritanya. Ohh.. kamu buat aku lagi rasa bersalah.

OL, kalau kamu membaca, sekali lagi aku mohon maaf atas kesulitan yang berlaku itu. Dan tentunya juga terima kasih untuk sedikit ingatan ini. Doa kesejahteraan untuk kamu. Aminnn.

[Banyak cherita yang aku kungsi-kan dengan sahabat ini. Bukan kerana hadiah-nya, tetapi kerana rasa perchaya kepada ke-geniusan-nya... hahaha..]

Monday, June 14, 2010

~ PONDOK DAN CERITA RAHSIA ~


PONDOK usang belakang rumah ayah ini menyimpan banyak kenangan buatku. Sejak dari kecil, inilah tempat yang sering menjadi pilihan andai hati sedang dalam rajuk. Tenang dan senang bila dapat mengambil angin di sini.

Dari dulu sehingga sekarang aku memang seorang yang memang mudah merajuk. Sangat dan begitu sensitif untuk hal-hal yang berlakunya tidak memahami. Justeru, aku sering menghabiskan masa di sini. Sering. Kalaulah dinding dan lantainya boleh berbicara, tentu sahaja segala rahsia tentangku terkongsi. Terlalu banyak dan mungkin penat untuk mereka mengendong segala ceritaku.

Sehingga hari ini, pondok ini masih kuat berdiri. Masih sudi mendengar dan melayan keluh kesahku...

[Maseh mau ber-cherita..]

Sunday, June 13, 2010

~ DAN PESAN LAGI.. ~


KAMI sekeluarga berkumpul. Yaaa... semua adik-beradik dan tidak ada yang tertinggal. Sepertinya kebiasaan menyambut hari raya lagaknya. Tiada sebarang majlis atau keraian penting yang berlangsung, tapi entah bagaimana kami sepertinya berjanji untuk menjengok ayah dan ibu di kampung pada minggu ini.

Ayah seperti selalu, tidak pernah berhenti mahu aku menurut mahunya yang satu itu. Mungkin sudah tiba masanya aku mengalah pasrah. Semalam, ayah mengaturkan aku untuk memohon pekerjaan baru di sini. Yaa.. dari dulu lagi ayah tidak pernah bersetuju, apatah lagi mahu menyokong pekerjaanku sekarang. Pelbagai alasan yang ayah berikan tentang itu. Aku menganguk-angguk. Senyap tanpa bantahan.

Ibu selalunya tidak banyak campurtangan. Apa sahaja kata ayah, itu jugalah yang menjadi katanya walaupun dia tidak bersetuju tentang sesuatu perkara itu. Justeru, tiada istilah untuk aku memujuk ibu untuk mengubah keputusan ayah. Aku tidak mahu meletakkan ibu di dalam situasi serba salah saat dia berdepan ayah. Tidak mahu melihat ibu bergenang air mata kerana kemarahan ayah. Aku faham itu dan kami semua faham tentang itu.

Kali ini ayah tidak banyak bercakap. Sibuk di pangkin belakang rumah melayan si kecil, yakni cucu kesayangannya. Dua hari lepas, ayah baru sahaja membuat pemeriksaan doktor. Arghh.. jantungnya masih begitu. Manakan tidak, ayah langsung tidak mahu menurut segala pesan doktor. Dia juga tidak pernah mahu berhenti menyedut asap nikotin untuk mengepam paru-parunya itu. Ermmm... ayah memang degil.. Patutlah ibu selalu mengatakan aku begitu mewarisi ayah..

Beberapa jam nanti, aku akan kembali ke hiruk-pikuk kota raya. Berdebar menantikan pesan ayah nanti... atau permintaan yang bakal dia tuturkan nanti... ermm itu kemestiannya.

[Tiba-2 ter-kenang ayah sahabat june... sangat ter-kenang. Entah apa khabarnya dia. Mudah-mudahan sang ayah dalam keadaan yang menyenang-kan. Doa kesejahteraan untok-nya... aminnn...]

Saturday, June 12, 2010

~ TAKKAN BERHENTI MENCINTAIMU ~


TAJUK : Takkan Berhenti Mencintaimu
KARYA : Nass Alina Noah
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : Fajar Pakeer Sdn Bhd
HALAMAN : 861 Muka Surat
HARGA : RM 27.90

“Entah di mana silapnya, dia menjadi seorang isteri sedang sekeping hati sudah bersumpah untuk mencintai orang lain. Silapkah sebuah perkahwinan sehingga bunga-bunga asmara tidak pernah berkembang indah? Silapkah terlalu mencintai sehingga benci menjadi kelopaknya? Silapkah jatuh cinta sehingga haruman yang mengindahkan itu menjadi racun nan berbisa?”

[Kerana merah itu akan teros meng-alir dan me-nyala...]

~ AMANAH DAN SEBUAH KEPERCAYAAN ~


KETIKA dalam perjalanan pulang ke kampung beberapa jam tadi, telefon bimbitku bergetar. Ada satu mesej penting masuk dalam kotak inboxnya. Nama sahabat yang tersohor namanya di dada akhbar ini tertera di layar skrin.

Aku membaca dan cuba mula memahami isi kandungan teks yang dikirimkan dengan baik. Dihujungnya, ada sedikit pesanan kerana jemputan itu tertutup dan private. Segalanya berlangsung dalam keadaan rahsia sehinggalah tiba pada harinya, barulah ia akan diumumkan kepada semua. Terima kasih kerana aku mendapat kepercayaan sebagai salah seorang pemegang amanah.

Apapun, syukur alhamdulillah... akhirnya kemenangan berpihak kepada mereka untuk menentukan masa depan sendiri. Malang sekali tarikh yang dipilih itu bertembung dengan pilihan tarikh untuk satu keraian penting keluarga yang bakal berlangsung. Justeru, aku hampir pasti tidak dapat memenuhi jemputan ini walaupun sangat besar hati dan teringin sekali untuk duduk meraikan.

Bukan rezeki dan bukan kesempatan yang diizinkan Tuhan barangkali. Ermmm....

[Apa-bila dengan izin-Nya.... dan restu mereka...]

Friday, June 11, 2010

~ MENAGIH JANJI TM POINT ~


HAMPIR dua bulan berpindah ke rumah baru, perkhidmatan Streamyx masih belum berfungsi. Mengikut janji manis TM Point, proses perpindahan ini hanya mengambil masa selama tiga hari sahaja. Memang ia hanya janji manis... Tiga hari itu kemudiannya telah menjadi tiga minggu atau mungkin tiga bulan dan seterusnya.

Bil tetap terus berjalan seperti biasa dan perlu dibayar meskipun dijanjikan rebet kemudiannya. Yaa... kemudiannya setelah perkhidmatan tersebut kembali berfungsi. Masalahnya sehingga hari ini ia belum berjaya berfungsi seperti sedia kala. Sudah berapa kali aku berulang-alik ke TM Point untuk mengetahui apa sebenarnya masalah mereka. Ada sahaja janji dan alasan yang diberikan.

Ikutkan hati, mahu sahaja aku terus tamatkan perkhidmatannya memandangkan banyak lagi pilihan lain yang yang turut menawarkan perkhidmatan yang serupa. Namun, disebabkan aku ini orang yang bersabar, aku masih menunggu janji mereka. Tetapi, jika hujung bulan ini tiada sebarang tanda ia akan kembali ok, selmat tinggal sahajalah.

[Huru hara kerana kelembapan TM Point...]

Thursday, June 10, 2010

~ BERSALAH DENGAN SEPENUH RASA ~

(kredit foto : filem kapoww!!! - Atoi the ajaib boy)

KESAL
apabila niat asal untuk membantu akhirnya menjadi sebaliknya. Justeru, bagi pihak mereka (yakni rakan sepekerjaan), aku memohon maaf kepada sahabat yang namanya OL untuk segala kesulitan yang berlaku ini. Sungguh, aku merasa dengan sepenuh tanggungjawab biarpun apa yang berlaku ini hanya sampai ke pengetahuanku saat di hujung hari.

Untuk sepanjang hari ini dan saat ini, aku merasa sangat bersalah di atas segala apa yang berlaku. Segalanya sepatutnya menjadi baik dan teratur, namun untuk hal-hal yang tidak terelakkan, ia terjadi sebegitu. Lebih membuatkan aku marah apabila rakan sepekerjaan lambat memaklumkan tetapi mahu meletakkan tanggungjawab untuk membuat urusan di bahuku sepenuhnya. Lebih teruk, janjinya untuk menguruskan dan memaklumkan sendiri kepada pihak penganjur hanya tinggal janji. Sudahnya, aku juga yang menjadi pengantara segalanya. Bukan berkira soal itu, tetapi berkira dengan sikap bersambil lewa dan lepas tangannya.

Aku tahu apa rasa sekiranya aku yang berada di kasut OL. Justeru aku sendiri seperti malu untuk menunjuk muka lagi kepadanya gara-gara hal teman pekerjaan ini. Sungguh, itu rasa yang paling benar saat ini. Sekali lagi aku mohon maaf untuk itu.

[Cukop hanya sekali sahaja...]

Wednesday, June 09, 2010

~ SAKURA ~


SAKURA
by rossa

Senada cinta bersemi di antara kita
Menyambut anggunnya peranan jiwa asmara
Terlanjur untuk berhenti di jalan
Yang telah tertempuh semenjak dini
Sehidup semati

Kian lama kian pasrah kurasakan jua
Janji yang terucap
Tak mungkin terhapus saja
Walau rintangan berjuta
Walau godaan memaksa diriku terjerat
Dipeluk asamara

Terlambat untuk berdusta,
Terlambatlah sudah
Menipu sanubari tak semudah kusangka
Yakin akan cintamu yakinkan segalanya
Perlahan dan pasti dakukan melangkah
Menuju damai jiwa

Bersama dirimu terbebas dari nestapa
Dalam wangi bunga
Cita cinta nan bahagia
Walau rintangan berjuta
Walau godaan memaksa diriku terjerat
Dipeluk asmara


[Ter-ingin me-lihat sakura..]

Tuesday, June 08, 2010

~ SEPANG ~


ULAT : Ehh.. der benda nk citer aa..
ULAT : mcm2 bendaaa.. lepak nak?
SEMUT : Oo.. xde cite, tk cari arrr ehh.. no lepak22 aaa ehhh.. :p
ULAT : hahaha.. manade... dh cik semut selalu bz saja memanjang.. sy tanakla kaco
ULAT : Jomm Sepangg.... tmpt cik semut paling suka.. sy banje
SEMUT : Err... Sepang? Tempat len aa
ULAT : Uikss... tak penah2 nih menolak if ajak gi situ.. y?
SEMUT : Hehehe... tempat tuh kan jauhh.. sy tk sure sgt jalannya, nnti sesat lak..
ULAT : Ehhh... sy bawak awk laa..
ULAT : Walopun sy dh lama tk balik sini, tp sy ingat lagi aaa jalann situ.. :p
ULAT : N kalo sesat pun, kenapa? balikla ke pangkal jalan.. ekekkeke..
ULAT : Ehhh.. tp sebelum ni, xpenah lak cik semut sebut pasal jauh... psl sesat segala... konpius
SEMUT : Errrr...
ULAT : Hahaha... Ok2.. sib baik sy dh lama kenal cik semut nih..
ULAT : Baiklah, lepaklaa memanapun selain Sepang, Ok?
SEMUT : Ok.. set!

[Mau melihat mata-hari ter-benam, tetapi bukan di-Sepang]

Monday, June 07, 2010

~ BURGER PAROI ~





AKU bukanlah penggemar burger. Tidak sama sekali. Sekadar mahu berkongsi tentang keenakan burger yang khabarnya cukup terkenal di kawasan Paroi, Negeri Sembilan ini. Aku sendiri kurang pasti sejauh mana keenakannya kerana tentu sahaja aku merasa semua burger itu sama sahaja rasanya kerana aku sendiri bukan penggemar setianya..

Cuma yang menjadi perkongsian di entri ini kerana ada cerita lain yang menyusulku ke Paroi sana. Lalu kisah burger ini menjadi cerita lucu yang akan terkenang setiap kali aku ke sana... :)

[Nasi minyak vs burger..]

Sunday, June 06, 2010

~ KOMPANG MENGISI RUANG, BUNGA RAMPAI JADI TABURAN ~



SELAMAT PENGANTIN BARU buat V yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya semalam. Mudah-mudahan jodoh kekal panjang dan berbahagia sehingga ke akhir usia. Doa yang aku tadahkan untuk kesekian kalinya buat rakan ini setelah dia melalui hubungan panjang yang koyak-tampal-koyak-tampal dengan lelaki yang akhirnya menjadi suaminya itu. Alhamdulillah...

Mohon agar hubungan yang sedang aku jalinkan sekian lama ini turut memberi jalan kebahagiaan yang serupa. Meski tidak tahu bagaimana, aku tetap percaya ada restu di hujungnya. Aminn..

[Ada cherita panjang di-negeri penoh adat lewat hari semalam...]

Saturday, June 05, 2010

~ REMBULAN TENGGELAM DI WAJAHMU ~


TAJUK : Rembulan Tenggelam Di Wajahmu
KARYA : Tere Liye
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN : 478
HARGA : RM 17.50

"Tutup mata kita. Tutup fikiran kita daripada kekalutan kehidupan. Mari berfikir sejenak. Bayangkan saat ini, ada satu malaikat bersayap indah datang kepada kita, lantas dengan lembut berkata, "Aku berikan kamu kesempatan hebat. Lima kesempatan untuk bertanya tentang rahsia kehidupan, dan aku pasti menjawabnya sekarang. Lima pertanyaan. Apakah pertanyaan pertamamu?"

[Sinaran-mu senan-tiasa mem-persona..]

~ LUKISAN HATI DAN UCSI ~



KERANA sebuah filem indie yang namanya 'Lukisan Hati' ini, aku terpaksa meredah kesesakan di perut jalan yang sangat mengundang kesabaran besar. Masih gigih untuk ke tempat yang namanya UCSI itu meski sudah lewat hampir satu jam kerana janji sudah ditutur dan harapan telah ditabur.

Sesat di Kuala Lumpur.... Itu yang lazim aku lalui apabila cuba mahu berdikari tanpa bantuan orang lain. Malang sekali, sudahlah bersesak-sesak hampir tiga jam, hala pula salah dituju. Tempat yang namanya UCSI itu sangat asing sekali kepadaku, juga rakan-rakan lain yang sempat ku ajukan tanya. Mujurlah sahabat terakhir yang aku terlintas untuk memohon bantu, memberi arah yang betul dan tepat. Lega.

Namun, lega itu berganti stress apabila ada pula yang memberitahu yang namanya UCSI itu punya dua cawangan yang berbeza. Dan tempat yang ku cari itu bukanlah tempat yang sedang aku berdiri ketika itu. Haaaa? Setelah aku menjelajah hampir separuh kawasan kampus ini dan hampir bertingkat-tingkat tangga telah aku panjat mencari ruang persembahan itu, baru sang petugas memberitahu itu bukan lokasi sebenar?

Kalau dalam emosi biasa, aku sudah berpatah arah dan membatalkan hasrat untuk ke sana. Namun, dek kerana emosi bergelumang turun naik dengan rasa keras menjentik rasa, aku memutuskan untuk mencari sehingga dapat tempat yang namanya UCSI itu.

Akhirnya, berjaya duduk di auditorium UCSI, Taman Taynton View, Cheras menonton 'Lukisan Hati'. Dengan 'mood' yang sudah hilang dan rasa yang sudah tawar, aku cuba menghibur hati dengan filem yang sangat mencuri ketarikan dengan poster dan kad undangan yang dilayangkan kepadaku. Malah, sangat-sangat berharap filem ini dapat mengubat 'stress' untuk perjalanan yang penuh ranjau yang aku tempuhi semata-mata untuk ke sini sebentar tadi.

Malangnya... huhuhu... Jalan ceritanya mencuri rasa, tetapi garapan dan penyampaiannya menyakitkan rasa. Namun, aku tetap menghormati karya seni yang satu ini. Seni tetap seni. Ermmm...

[Tiba-2 aku men-jadi kurang pasti sama-ada aku sedang ber-cherita tentang ke-sesakan jalan raya atau sesat di-kuala lumpur atau kesukaran men-chari UCSI atau ke-ingenan besar untok menunton Lukisan Hati itu sendiri... atau... atau aku sendiri yang tidak stabil.. ermm..]

Friday, June 04, 2010

~ KONSERT MELODI CINTA ROSSA YANG MEMIKAT ~







AKU bukan mahu berlebih-lebihan memuji, tetapi aku tahu ada yang beranggapan begitu bila aku tuliskan sesuatu tentang penyanyi tersohor dari tanah seberang ini. Aku tahu itu dan aku tetap mahu katakan itu. Aku memuji bukan hanya semata aku pecinta Rossa, tetapi ia kerana ia berhak ke atas itu.

Sabtu lalu, aku punya kesempatan dan berjaya mencuri keluangan untuk sama-sama duduk di kerusi keras Stadium Putra Bukit Jalil bersama hampir 7,000 penonton (menurut sang penganjur) untuk menikmati alunan lagu-lagu indah dari sang pelantun vokal yang merdu dan gemersik, Rossa.

Biarpun penonton tidak memenuhi segenap ruang Stadium seperti mana yang dihasrat penyanyi ini mahupun penganjurnya, Rossa tampil membuat persembahan yang memukau. Mengikat terus penonton agar tidak berganjak untuk waktu 2 jam, 15 minit itu. Dia benar-benar menggunakan suaranya merdunya itu untuk menakluk. Entah dari mana datangnya tenaga yang amat luar biasa daripada sang ibu kepada anak kecil yang namanya Rizky Langit Ramadhan ini. Luar biasa.

Tegar, Terlalu Cinta, Tak Termiliki, Pudar, Takdir Cinta, Malam Pertama, Terlanjur Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Hey Ladies dan sekian banyak lagi lagu-lagunya yang begitu memikat dilantunkan dengan begitu baik sekali. Sedikit hampa apabila Hati Yang Kau Sakiti tercicir daripada pilihannya untuk dihadiahkan kepada penonton di konsert ini. Namun sedikit terubat apabila Perawan Cinta diperdengarkan dalam bentuk petikan piano anak berbakat besar daripada Program Permata Seni.

Secara keseruhannya, Melodi Cinta sangat meninggalkan kesan. Seluruh lagu-lagunya menjadi istimewa apabila dipersembahkan dalam bentk orkestra. Pun begitu, aku mahu katakan dalam cartaku, Konsert Mini Cerita Cinta Rossa di KL Live masih di tangga paling atas... :)

Apapun, janji Rossa yang cukup sederhana orangnya ini, dia akan kembali lagi untuk hal yang serupa. Aku tunggukan itu.

[Juga suka-kan Sakura yang turot ter-cicer dari-pada pilehan...]

Thursday, June 03, 2010

~ MELUKIS RESAH GELISAH ~

(Kredit Foto : Filem Kapoww!!!)

GELISAH. Tiada sebab yang paling jelas. Hanya meneka-neka. Namun, sungguh aku merasa sangat tidak senang hati. Tiada apa yang extravaganza yang berlaku dalam hidupku (bak kata seorang sahabat dekat), tetapi ada 'extra' resah membuat damping.

Namun, yang cukup aku pasti... lazimnya terjadi bila mana aku disakiti hati atau menyakiti hati. Yaa... yang sedikit itu membuat barah. Lalu menjadikan aku seorang yang tidak gembira beberapa minggu terkebelakang ini. Auntie Phia menelah, aku berdepan ribut dengan teman jiwa... arghh.. lelaki sepet itu tidak membuat masalah kali ini. Dia baik-baik sahaja walaupun agak berkejaran dengan urusan kerja yang panjang dalam dua minggu ini. Bukan itu.. bukan dia..

Ermm... resah mengambil alih... kejap membuat damping biarpun cuba ku alihkan sedikit inci. Aku memohon maaf andai ada yang tersakiti. Mohon mengerti. Mohon dilepaskan resah.

Sehari-dua ini jika tiada aral yang membuat rentang, aku mahu menghalakan langkah ke kampung halaman nun di pantai timur semenanjung tanah air. Mahu mencari nafas segar di sana. Mahu hilangkan resah. Mahu memeluk ibu...

[Mau melukes rasa... sunggoh..]

Wednesday, June 02, 2010

~ PAMERAN KERANDA @ MUZIUM NEGARA ~





















SEKADAR mengambil tahu tentang sesuatu yang lazimnya sering mahu dijauhi. Bukan kerana berani, tetapi kerana takut.

[Sejok.. dingin..]