Monday, May 31, 2010

~ 24 JAM YANG SAMA ~

HARI ini aku diberi cuti. Diberi duduk diam-diam. Bosan, tetapi perlu barangkali. Duduk, bangun.. duduk.. baring.. duduk, duduk, bangun lagi... Nafas sudah kembali lancar. Cukup hanya satu hari.. Mudah-mudahan satu hari sahaja. Ermm..

[Di-berikan 24 jam yang sama..]

~ KESEMPATAN TIDAK TERJANGKAKAN ~


ISTIMEWA. Kesempatan yang tak pernah terjangkakan menjadi milik aku. Sungguh, aku tidak pernah terfikir akan duduk semeja dan menjamu hidangan makan malam dengan seorang manusia yang namanya cukup tersohor di dada akhbar, di kaca TV dan di alam maya ini. Dan ia terjadi beberapa jam lalu. Entah bagaimana kesempatannya menjemput, aku sendiri kurang pasti. Ermmm..

Sepanjang dua jam itu, aku lebih senang memerhatikan dirinya. Ia lebih menjadi tertarik berbanding pelbagai jenis hidangan lazat yang tersusun di meja. Kesederhanaannya!!! Aku mula mengerti mengapa dia begitu disenangi ramai. Tidak hanya kerana pencapaiannya, tetapi personaliti yang dimilikinya. Biar bukan dari kalangan orang biasa dalam status masyarakat, dia tidak pernah membangga diri. Jiwanya biasa, tuturnya biasa, tingkahnya juga biasa. Justeru, usah dihairankan mengapa kasih sayang orang keliling sering tumpah kepadanya dengan mudah.

Memerhati lakunya, dia tidak berbeza daripada gambaran yang dia pamerkan selama menjadi manusia tersohor. Itulah dia tanpa topeng. Banyak sekali yang terpinjam dari dia sepanjang pertemuan ini. Ku kira menjadi contoh yang terbaik buat mereka di luar sana juga barangkali. Tidak akan pernah rugi jika kita sering merendah diri, menghormati dan sentiasa menyedari 'kesementaraan' kita.

Sungguh, aku tidak dapat berbohong tentang rasa gembiraku apabila dia memberi rasa terima kasihnya terhadap hasil kerjaku tempohari. Berkali-kali dia menyebut tentang itu membuatkan aku tersipu malu. Ia bukanlah hal yang besar, cuma apabila sang tersohor sepertinya ada kesempatan untuk melihat dan menilainya, ia menjadi satu hal yang manis. Malah menjadi seperti penghargaan, walhal aku yang menghargai pencapaiannya, dan bukan sepatutnya dia. Prinsipnya saling menyokong.. :)

[Senantiasa ingat rumpot di-bumi meski mata meng-intai bintang di-langit...]

Sunday, May 30, 2010

~ EMPAT TAHUN PEMERGIAN ~


AL-FATIHAH…
Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan tenang bersemadi di sana. Aminnn…

HARI ini, genap empat tahun pemergian seorang sahabat yang sangat-sangat budiman, dr jiwa. Sahabat yang sangat mengerti dan sangat berbudi dalam seluruh hidupku sepanjang mengenalinya.

Air mata sentiasa sahaja mahu tumpah kala jari-jari ini mahu bercerita tentangnya. Meski sudah empat tahun berlalu, ingatan terhadap sahabat ini sangat-sangat kuat. Masih basah seperti baru semalam bergelak ketawa dan mengadu domba rasa hati kepadanya.

Dan seperti menjadi kemestian juga, sama ada aku mahupun ibu arwah belum pernah gagal untuk menghubungi antara satu sama lain pada tarikh 30 mei ini. Tiada tangis kali ini. Cuma cerita kenangan yang mengundang tawa kami kongsikan. Ibu sudah lama menerima kenyataan. Aku sahaja yang sukar melupakan cerita lalu.

[Kamu tetap sahabat yang ter-sanjong…. AL-FATIHAH..]

Saturday, May 29, 2010

~ MENGADAP UJIAN ~


SEMALAM, kala duduk menghirup secawan coffee bersama seorang rakan, aku diberitakan tentang hal yang mungkin boleh aku sebutkan sebagai ‘musibah’ buat sahabat dekat yang aku kenali sebagai OL ini. Berat. Aku tahu itu.

Hari ini, aku membaca tulisannya di laman facebook miliknya. Di bongkarkan sedikit melalui tulisannya. Lalu aku cuba menghubunginya. Sekadar mahu bertanyakan keadaannya walaupun sepanjang mengenalinya sebagai sahabat, aku sangat merasakan dia seorang yang berjiwa kental. Alhamdulillah dia masih mampu melebar senyum tawa meski yang ada dalam hatinya hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu. Laju dia bercerita umpama bual biasa yang tiada inti kesengsaraan. Sedang pada pertimbanganku, ia sangat berat dan memedihkan. Tuhan menganugerahkan kamu jiwa yang sangat besar dan kental wahai sahabat!!!

Begitu ketentuan takdir yang menjadi miliknya. Siapa kita untuk menolak atau menidakkannya. Dia, aku dan semua kita jelas tentang soal yang satu itu. Begitulah kehidupan yang terkandung pahit dan manis tanpa boleh kita rancang aturkan.

Apapun, itu bukan kesudahan hidup. Aku yakin sahabat ini sangat mengerti tentang itu. Keperitan itu tentunya bakal memberi kebahagian yang lain buatnya. Aku pasti dia mahu bebas bukan kerana mahu lari dari ikatan, tetapi mahu bebas dari kesakitan yang panjang. Sungguh, dengan hati yang penuh ikhlas dan sebagai sahabat yang cuba mengerti, aku kirimkan doa kesejahteraan buatnya.

OL, jika kamu membaca tulisan ini, aku sentiasa ada untuk mendengar, insya-Allah.

[Naseb memang aneh…]

~ SERRA FONNA ~


TAJUK : Serra Fonna
KARYA : Vanny Chrisma W.
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Buku Biru, Indonesia
HALAMAN : 271
HARGA : rp 38,000 (RM14-15)

“Teman, mungkin saat ini kita sedang beruntung. Hidup di tengah kemewahan. Mungkin kita mendapatkannya hasil dari keringat sendiri tanpa bantuan orang tua kita. Namun, yang perlu kita sedari, bahwa orang tua kita sentiasa berdoa untuk kita meski itu hanya di peraduan…”

[Sereng ber-syukor dengan ke-beruntongan hidop yang ter-miliki...]

Friday, May 28, 2010

~ LETTERS TO JULIET ~







SETELAH beberapa kali tertunda, hari ini aku punya kesempatan untuk duduk menonton filem ‘Letters To Juliet’ yang berputar di pawagam GSC, Mid Valley. Mujur sahaja aku tidak terlibat dengan kerja-kerja yang punya tarikh mati pada hari ini. Lalu kesempatan ini digunakan dengan sebaiknya.

‘Letters To Juliet’ sangat dekat di hatiku. Jalan cerita dan dialog yang diungkap sangat rapat dalam kehidupanku. Malah terasa ia seperti cerminan kisah yang dilakonkan sebahagian aku. Bukan kerana berjiwa benar romantik, tidakkkk… Cuma hal-hal kehidupan begitu menjadi punya persamaaan.

Mungkin pada penonton lain yang turut sama duduk di panggung yang sama dengannya sebentar tadi merasakan ‘Letters To Juliet’ sekadar cerita biasa. Mendatar dengan kisah biasa yang lazim dan klise dalam tontonan. Namun, percayalah jika kamu menonton dengan penuh rasa, yang tersirat itu pasti dapat diserap jelas. Pasti sahaja kamu mampu menitiskan air mata seperti mana yang berlaku kepadaku beberapa jam tadi.

‘Cinta Sejati Tidak Pernah Ada Tarikh Luput’… dialog yang tertangkap kemas. Begitu juga dengan isi kandungan balasan surat dari Juliet atau Sophie kepada Claire. Aghh.. hanya keberanian dan kesanggupan yang mampu menjadi jawapan. Aku pegang itu.

‘What If You Had A Second Chance To Find True Love..?’

[Sedang menules surat untuk Juliet jugaa…]

~ PEREMPUAN KURUS ~


PEREMPUAN kurus itu enak mengadap hidangan yang bukan kegemarannya. Wajahnya membuat reaksi kurang senang, tetapi tekaknya sedang menelan makanan itu. Lapar? Tidak juga. Dia baru sahaja makan dan dia bukanlah seorang yang kuat makan. Makanan tidak pernah menjadi 'raja' kepadanya. Sebab itulah dia kurus agaknya.

Aku melihat dia dari jauh. Dia menambah lagi makanan lain di pinggan yang sama. Aku sangat jelas kesemua makanan itu memang bukan yang boleh dihadam mudah perutnya... malah mungkin sahaja tekaknya mampu meluahkan muntah tidak mengizinkan. Dia memaksa diri.

Aku pandangan lagi. Kali ini dengan pandangan yang berselit tanya. Dia senyum. Membalas sebuah pandangan juga. Pandangan yang berselit jawapan. Ermm...

[Senang dengan mem-beri senang..]

Thursday, May 27, 2010

~ LEBIH DIAM DARI SANG PENDIAM ~


SUNGGUH beberapa hari sepanjang minggu ini, kekecamukan jelas menaruh beban. Banyak hal-hal yang membuatkan aku hampir terduduk buntu. Satupun belum ada lerainya. Sedaya aku cuba menyembunyi resah, sekerasnya aku cuba menutup degup laju yang menyinggah. Namun, ia tetap lekat dan kedap di situ. Lalu aku menjadi senyap lebih senyap daripada si pendiam yang selalu mereka gelarkan selama ini.

Terentang kebetulan pula apabila kesihatan diri datang membuat kacau. Entah.. ia memang selalu yang datang bertimpa. Sudah menjadi biasa. Imun. Beberapa jam tadi, aku baru sahaja bertentang empat mata dengan sang doktor yang tentunya sering menjadi sakit hati mendengar jawapan acuh tak acuhku setiap kali disoal dan dipesankan itu dan ini. Aku diberikan cuti sakit. Surat cuti sakit yang tertera kemas tulisan sang jururawat itu aku lipat baik-baik dan kuselitkan di tepi cermin unta hitam. Yaaa.. simpan saja.. kerana aku tidak berhasrat mahu menggunakannya pun.

Sepanjang hari ini, aku menghabiskan masa di depan skrin ini. Mahu melepas yang ada-ada dengan jari-jari ini. Lama aku tidak menulis, maksudku menulis rasa pada aksara sebuah puisi jiwa seperti mana yang sering menjadi kegemaranku sebelum ini. Kembali melihat janji lalu, aku pernah mahu membukukan bilangan-bilangan yang ada ini dalam bentuk antologi. Bukan untuk ditatap, tetapi untuk aku sendiri. Hanya untuk aku kerana ia terangkum hanya kisah aku.

"Kau OK?"
Tiba-tiba satu kiriman SMS seorang sahabat mengejutkan aku. Betul-betul saat jari-jari ini menulis entri ini.

"OK.. kenapa?"
Tentu sahaja aku bukan seorang yang membuka mulut dengan mudah. Lagi pula, cerita yang kelat-kelat baik untuk diri sendiri sahaja.

"Entah. Tiba-tiba rasa nak tanya khabar. Banyak kali teringat kau hari ini. Ingat ada apa-apa.."
Dia memberikan beberapa ikon senyum tanda senang hati dengan jawapan 'OK' itu.

Errmm... sahabat ini antara sahabat dekat yang ada magik. Meski kami jarang bertemu dek kesibukan membuat rentang, dia sering ada gerak hati untuk mencariku saat aku dalam tekanan atau tidak menyenangkan. Dan gerak hatinya sentiasa betul. Dengan rasa terima kasih yang dalam, aku panjatkan doa kesejahteraan untuk sahabat ini.

[Sahabat susah senang ada di-jual di-mana yaaa..? Mau di-beli borong...]

Wednesday, May 26, 2010

~ MENJAUHI BINGAR ~


DIAM. Mungkin diam lebih baik. Menjauhi bingar. Mahu menghirup secawan coffee. Mahu duduk bercerita. Mahu. Sungguh, aku serabut seratus. Kalaulah kamu masih ada D... ermm...

[Bukan kerana ego yang mem-buat rentang..]

Tuesday, May 25, 2010

~ MEMINJAM BAHU ~


SEORANG sahabat di tempat pekerjaan mohon dipinjamkan bahu. Melihat dia benar perlu, aku cuba tidak menghampakan biarpun sudah siapa siaga untuk meletak lena. Kami meluang beberapa jam menghirup secawan coffee.

Kisahnya tentang isi kehidupan. Tentang hati dan perasaan yang terluka. Usulku dipohon untuk melerai kusutnya. Jujurnya, aku hanya mahu mendengar kerana aku bukankan perujuk yang baik. Sungguh, aku cukup sedar menutur kata itu ternyata lebih mudah berbanding sang hati yang merasa dan sang tubuh yang terseksa. Bagaiamana yaaa.. mahu memberi rasa senang buat sahabat yang patah hati ini. Yang sudah hilang senyum kerana melimpah kelat yang sebelumnya tidak pernah ada dalam tahuku.

Ermm... Kepada sahabat ini, maruah diri itu paling atas yaaa. Kesakitan diri harus segera teratasi. Kepercayaan kamu itu harus juga memilih agar yang bersimpul itu tidak terus kusut seratus. Nasihat paling percuma dari aku buatnya.. buat kamu juga.

[Melawati men-jadi singgahan baru...]

Monday, May 24, 2010

~ CERITA JUMAAT LALU ~


KALI ini aku menurut. Tidak dengan hasrat, tetapi sekadar mahu menjaga hati dan tidak merosakkan mood dua rakan baik yang mahu melepaskan tekanan dengan menadah bingit di di satu satu ruang kedap bunyi.

Ahhh... pelbagai ragam dan cara manusia melepas tekanan. Ini keselesaan mereka. Justeru inilah pilihannya. Jika ditanyakan kepada aku, melepas tekanan itu pastinya selesa dengan mencari suasana tenang, menghirup udara dan kalau tidakpun, mencukupi untuk duduk semeja dengan seseorang untuk melepas bual. Suasana bingit lazim menambah serabut buatku.

Bagaimanapun, aku kini berada di ruang ini menemani dan menyertai mereka. Dari satu lagu ke satu lagu mereka menghiburkan diri. Sedang aku, hanya duduk tersenyum memerhatikan gelagat mereka di suatu sudut tanpa sedikitpun ada pengaruh. Dalam masa yang sama cuba mencari keselesaan yang mereka maksudkan. Benar mereka senyum girang, berselang tawa yang panjang sepanjang di ruang kedap bunyi ini. Namun, apakah 'sesi' ini benar melepas tekanan yang ditanggung diri? Ermm...

Aku senyum lagi. Senyum kerana ini pertama kali aku berada di ruang begini. Pertama kali aku berimagin dengan resah bagaimana kalau ruang itu tiba-tiba disinggahi sang penguasa yang mahu mencari salah. Berkali-kali aku memandang pintu itu dengan debar. Beratus kali aku mencuri pandang pada jarum jam di tangan kanan agar masa berlalu pantas dan kami bertiga meninggalkan ruang itu.

Aku tahu, mungkin begitu lucu bunyinya pada kamu. Yaaa... aku juga berasakan begitu. Tetapi itulah hakikat yang namanya Koishie ini... :)

[Tiba-2 ter-kenang spaghetti lipas...]

Sunday, May 23, 2010

~ SMS ~


DAN lagi... yaa aku tersalah lagi mengirimkan SMS. Lain orang yang mahu aku kirimkan SMS itu, lain orang pula yang menerimanya. Bukan sekali, tetapi sudah berkali jadinya. Fobianya sehingga aku menjadi orang yang terlalu berhati-hati menekan-nekan huruf yang terpampang itu.

Kepada mereka yang mengerti, mungkin mudah menerima penjelasannya, tetapi bagaimana jika ada yang fikirannya bercabang lain. Seperti yang berlaku beberapa minit lalu. Aghh... bagaimana aku mahu membuat terang. Hilang kata-kata kerana aku bukan seorang yang paling jelas membela diri. Ermm..

Mereka yang dekat tentu sahaja pernah menerima 'salah SMS' yang dikirim aku. Pasti mereka pernah. Namun, kerana sudah mengenali, mereka sudah tegal biasa. Huhuhu.. harus bagaimana yaa mahu mengikis kecuaian yang beratur ini.

[Ber-henti mengirim-kan SMS...]

Saturday, May 22, 2010

~ CINTA SUFI ~


TAJUK : Cinta Sufi
KARYA : Ramlee Awang Murshid
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 504
HARGA : RM19.90

"Sekali ku Rebah, Sejuta Kali Ku Bangkit…”


[Kerana aku mem-baca merah itu tetap sa-bagai merah...]

Friday, May 21, 2010

~ BILA AKU SUDAH TIADA ~


BILA AKU SUDAH TIADA
by hujan

Bila, aku sudah tiada
Simpan semua lagu ku
Jangan di tangis selalu

Mungkin, itu sementara
Bila jumpa pengganti ku
jangan di lupakan aku

Pagi itu indah seperti biasa
Tidur yang lena terhenti di sana
Layap kuyu masih tak terdaya
Bukalah tingkap mu
Curahkan cahaya...

Siapa yang sangka
Bila tiba masa kita
Untuk pergi selamanya

Takkan terduga
Jika saat ni
Tuhan tentukan
Aku lah orangnya

Gelak tawa tangisan yang hiba
Kenangan kita masa di dunia
Alangkah indahnya jika
Kita mampu hidup selamanya...


[Akan ter-kenang-kah?]

Thursday, May 20, 2010

~ BILA PEHA KANAN DICUBIT.. ~


SELALUNYA aku akan diam senyap dan tidak memberikan sebarang reaksi jika hal yang sedang dibualkan tidak memberikan senang kepadaku. Namun seketika tadi, aku membuka mulut membuat bantah.

Ada yang mencuba-cuba meneka dan memanjang kisah tentang cerita sahabat dekat teman bergaduhku yang seorang itu. Sama ada benar atau tidak telahan yang dibuatnya itu, apa haknya untuk bercakap soal keperibadian orang lain dengan sewenangnya begitu?

Sungguh, peha kiriku turut terasa sakit. Aku tidak pernah menyokong 'langkah silang' yang diatur sahabat itu, tetapi itu tidak bermakna 'sang yang mulia' ini boleh berkata apa sahaja tentang sahabat dekat itu.

Aku membuat bantah. Sedikit keras dan tegas bunyinya. Bukan mahu membela membuta tuli, tetapi usah terus memandang gelap kepada gambarajah yang sepertinya gelap itu. Ini kerana yang putih juga tidak semestinya juga suci bersih.

Ada sedikit nafas marah. Bukan semata kerana dia sahabat dekat, tetapi siapa kita untuk membilang-membilang 'ketempangan' orang lain?

[Walau sering meng-hantar tsunami, dia juga mem-beri budi..]

Wednesday, May 19, 2010

~ LAGU TEMA ICE KACANG PUPPY LOVE ~

~ TIDAK PERNAH LEBIH ~

(kredit foto : filem syurga cinta)

BENAR... aku tidak punya rasa seperti kamu rasa. Tingkahku mungkin telah silap dibaca kamu. Kepada mereka yang kuanggap dekat, begitulah aku 'berkasih sayang'. Kasih sebagai sahabat dan tidak ada selebih dari itu.

Yang namanya cinta itu, sudah diberikan kepada lelaki sepet itu. Masih lekat dan belum berubah. Usah melulu, jangan dituba persahabatan luhur yang terbina itu semata kerana merah yang di baca biru.

Aku masih mahu 'berkasih sayang' sama kamu.. kerana kamu sahabat yang sangat dekat dan mengerti... Namun, yang satu ini, kamu sepertinya tidak mengerti... :) Jangan meminta lebih, kerana yang lebih itu selalunya membuat hanyut..

[Aku sedang coba mengerti..]

Tuesday, May 18, 2010

~ EMPAT MATA LAGI ~


MEI tidak memberikan cerita indah buatku untuk tahun ini barangkali. Banyak hal-hal yang membuatkan senyumku menjadi kelat dan riang bersembunyi diam di balik lelah Mei kali ini.

Ruang kota besar ini ku kira menjadi semakin sempit. Jika tidak, manakan aku bertembung empat mata lagi dengan seorang lelaki dari sejarah silam hari ini. Dan lagi? yaaaa.. lagi. Kali ini, aku yang terlebih dahulu menyedari kehadirannya di ruang yang tak terjangkakan itu. Aku cuba bergegas... cuba sepantas yang mungkin menghilang dari pandangan. Anehnya, empat mata kami akhirnya pasti akan bersapa juga dalam pelarian itu. Arghh..

Semuanya menjadi masam. Sungguh, aku tidak tipu.

[Kata sa-orang teman, coba melupa-kan itu ber-arti maseh meng-ingati bukan.... ermm..]

Monday, May 17, 2010

~ ATAS NAMA CINTA ~



Atas Nama Cinta
by rossa

Aku wanita yang punya cinta di hati
Dan dirimu dan dirinya dalam hidupku
Mengapa terlambat cintamu telah termiliki
Sedang diriku dengan dia tak begitu cinta

Mengapa yang lain bisa
Mendua dengan mudahnya
Namun kita terbelenggu
Dalam ikatan tanpa cinta

Atas nama cinta
Hati ini tak mungkin terbagi
Sampai nanti bila aku mati
Cinta ini hanya untuk engkau
Atas nama cinta
Kurelakan jalanku merana
Asal engkau akhirnya denganku
Kubersumpah atas nama cinta

Mengapa yang lain bisa
Mendua dengan mudahnya
Namun kita terbelenggu
Dalam ikatan tanpa cinta...

[Belom jadi sejarah...]

Sunday, May 16, 2010

~ JANGAN DIJEJAKI.. ~


SEPERTI yang pernah aku kongsikan sebelum ini, tulisanku di sini tidak pernah terjejak rakan yang mengenaliku. Tidak pernah dalam tahu mereka dan aku masih bertahan dengan itu semenjak mula 'menjadi ramah' di ruang maya ini sekitar empat tahun lalu.

Jumaat lalu, aku seperti hilang kata apabila melihat seorang rakan pekerjaan menatap JARI-JARI BERCERITA. Haaaa??? Aku cuba mahu memastikan reaksi. Menjadi lucu dia langsung tidak mengenal yang menulis itu aku. Kebetulan sahaja dia mencari info tentang pementasan di lantai Istana Budaya dan tulisan ini bertandang ke layar skrinnya. Namun, dia membuat ketarikan dengan membacanya habis ke titik perkataan terakhir. Huh..

Nafas kembali kepada asal. Mohon jangan di jejaki aku. Ini kerana jika ada yang mengenalku di luar sudah mula menjejak aku di sini, aku perlu berhenti menulis. Ya... Itu yang benar.

[Jari-jari lebeh ramah ber-cherita...]

Saturday, May 15, 2010

~ CERITA TIGA BULAN LALU ~


TIBA-TIBA sahaja terkenang cerita tiga bulan lalu (yaa... pantas waktu berlalu...) Gara-gara mahu melihat langit merah dengan matahari terbenam, tsunami datang membuat ganti. Berkali cuba menahan dan melindung diri, tetapi tsunami itu galak mahu melibas. Dan akhirnya...

[Diam...]

~ AKU BUKAN BILLY MILLIGAN ~


TAJUK : Aku Bukan Billy Milligan
KARYA : Norhayati Berahim
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : NB Kara Sdn Bhd
HALAMAN : 770 Muka Surat
HARGA : RM25.90

"Kehadiran Laura membuka mata Adam. Laura dari mata kasar Adam hanya biasa-biasa sahaja. Tetapi gadis itu berjiwa tegar, selamba dan tenang. Anak pembuat belacan yang sentiasa menikmati hidup seadanya. Dari Laura, Adam pelajari banyak perkara. Terutama bagaimana mahu menghargai kehidupan dan berkasih sayang!

[Hidop ini saling me-minjam untok indah...]

Friday, May 14, 2010

~ CARIKNYA BULU AYAM ~


BARU sahaja mendapat kiriman SMS daripada si birthday girl, sahabat mei. Sahabat ini seperti selalunya. Dan hari ini dia menukar nombor telefonnya lagi. Aku dikirimkan berita itu. Tanda dia masih mahu memanjangkan persahabatan. Terima kasih...

[Seperti carik-nya bulu ayam...]

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN SAHABAT MEI ~


Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan sahabat mei
Allah selamatkan kamu...

Selamat hari membesar. Hari mengenal dunia. Semoga kesejahteraan sentiasa mendampingi sahabat ini. Dan aku tidak pernah berhenti mendoakan dirinya agar sentiasa dalam rahmat. Mudah-mudahan kesengsaraan lalu tidak akan terulang lagi dalam kehidupan depannya. Aminnnn..

[Paling pendek, dan paling lewat... namun keikhlasan paling dalam..]

Thursday, May 13, 2010

~ BAHU ~


KETIKA memandu pulang ke rumah beberapa minit yang berlalu tadi, telefon bimbitku bergetar. Nama seorang sahabat di tempat pekerjaan tertera. Pelik. Jarang sekali dia menghubungiku aku hujung malam begini jika halnya tidak selain tentang ruang pentas teater yang membuat kongsi.

Suaranya perlahan, bunyinya tidak girang seperti selalu. Ada sesuatu yang telah tertimpa pada perasaannya. Dia mahu meminjam bahu. Memberi percaya. Ohh.. Terima kasih kerana melihat aku dengan ruang yang putih untuk rasa percaya itu.

Terkenang hal semalam. Saat semalam aku dipinjamkan bahu, dan hari ini aku meminjamkan. Hidup ini tentunya tidak hanya untuk melihat matahari terang bukan? Aku sentiasa ingat kata-kata itu. Memberi dan menerima. Hidup kita ini tidak pernah berhenti berputar. Ingat itu!

[Ter-kenang sa-orang sahabat..]

Wednesday, May 12, 2010

~ MEMINJAM BAHU SAHABAT ~


SERABUT seratus. Bertindan-tindih kesal dan resah yang membuat singgah. Duduk, bangun.. duduk.. duduk.. duduk, bangun, duduk... Resahnya tidak masih tidak hilang. Marah juga tidak sedikitpun berkurang. Argh.. lelaki sepet yang seorang ini sepertinya mahu menguji sabarku beberapa hari terkebelakang ini.

Aku perlu melepas sedikit rasa marah ini barangkali. Sulitnya, aku bukanlah seorang yang paling mudah untuk berkongsi-kongsi sewenang. Mulut ini seperti ada emas di dalamnya. Terlalu payah dibuka untuk bercerita. Lalu kemarahan yang ada terpendam senyap dan menunggu untuk pulih sendiri.

Perlu menghirup secawan coffee barangkali. Ermm.. Aku menilik-nilik beberapa nombor di skrin telefon bimbit. Lalu jari menekan nombor milik sahabat yang namanya OL. Rasa percaya itu menjadi selesa dengannya barangkali. Aku semakin belajar membuka mulut bercerita. Lucu. Apapun, terima kasih untuk sahabat yang seringnya mengajar dengan bahasa sinis dan sarkastik ini.

[Men-diam-kan diri dari teman jiwa untok be-berapa ketika ini... kesabaran ter-uji..]

Tuesday, May 11, 2010

~ BEBAN TERHUKUM ~


AKU menopang dagu. Diam. Senyap. Memikirkan apakah perkataan terbaik perlu aku tuturkan untuk seorang anak yang tidak tahu diuntung ini. Kalau tidak kerana tangis dan rayu sang ibu kepadaku, tentu sahaja aku tidak mahu memalingkan muka lagi untuknya. Apatah lagi untuk duduk bercakap dan meminjam pesan. Bunyinya agak keras, tetapi keras lagi tingkahnya kepada manusia yang namanya ibu kepadanya sejak awal dia mengenal dunia itu.

Kemarahanku terkalah dek tangis ibu yang berlimpah kasih sayang itu. Tercuit sedih seluruh hari apabila sambutan hari ibu baru-baru ini dihadiahi anak ini dengan contengan arang yang meluruh hati sang ibu. Gelap gelita pandangannya terpana. Sungguh sampai hati ibu ini diperlakukan dengan demikian rupa.

Berkali aku ingatkan kepadanya, beratus pesan sudah aku titipkan buatnya... tetapi silau neon hiruk pikuk kota Kuala Lumpur ini tetap menggiurkan mata dan hatinya. Lalu kejadian setahun lalu yang baru dibongkar beberapa hari ini menghantar tsunami besar kepada sang ibu itu. Anak kesayangan yang sentiasa ditatang bagai minyak yang penuh itu telah memberi luka yang dalam.

Aku tidak mampu berbuat apa. Aku juga bukan siapa-siapa untuk mencampuri urusan kekeluargaan mereka. Namun, sang ibu meminta penuh harap. Dan tentu saja aku tidak akan pernah mahu menambah resah ibu itu. Harus bagaimana yaa..

Anak yang tidak tahu diuntung ini bakal diperhitungkan di tempat pekerjaannya tidak lama lagi. Mungkin saja dia perlu ke lantai lain. Sayang sekali bukan dengan cara yang terhormat. Perlu meluruhkan gelarannya dari penjawat awam. Lalu air muka sang pengepala yang pernah memberi laluan kepadanya suatu masa dulu itu turut tercalar. Ermm...

Aku tidak akan pernah meminta doa keburukan buatnya, namun dari hati yang paling dalam, aku benar berharap agar dia mengambil pelajaran ini dengan akal fikiran yang paling waras. Dalami dan fahamilah perkataan 'serik' dan 'insaf'. Drama sebabak ini adalah drama yang berulang. Drama yang yang tidak dia simpan dalam arkib sejarah hidupnya.

[Dengan seluroh hati aku ber-janji, ibu-ku tidak akan perenah ber-depan situasi seropa ini.. insya-Allah.... ]

Monday, May 10, 2010

~ MELODI CINTA ROSSA DI KUALA LUMPUR ~


DAN lagi.... tetapi kali ini dalam skala yang lebih besar. Sudah aku kosongkan jadual untuk 29 Mei ini untuk berada dalam kelompok mereka yang jatuh cinta dengan alunan gemersik dari sang pelantun yang namanya Rossa ini.. :)

Konsert yang diangkat sebagai 'Melodi Cinta - Rossa' ini khabarnya menjadi yang paling istimewa. Manakan tidak, nilai wang keluarnya lebih RM2 juta untuk memastikan ia memberi rasa senang pada tahap atas buat penggemar setianya. Justeru, lebih 20 buah lagu-lagu gemersik penyanyi yang penuh dengan energi positif ini bakal dialunkan dalam gema di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

Jika benar kesempatan menyebelahiku pada tarikh itu nanti, ia menjadi kali ke empat aku berada dalam peluang yang begitu. Sebelum ini di Hard Rock Cafe dengan Enjoy Jakarta, dan terdahulu di KL Live melurut dengan Mini Cerita Cintanya. Yang pertamanya, entah di mana lokasinya, tetapi aku turut ada di situ. Semuanya memulangkan aku dengan senyum yang panjang. Namun, tentunya kali ini lebih indah dan berbekas apabila alunannya bakal berpimpin muzik orkestra.

'Melodi Cinta' yang diangkat ini menurut Rossa kerana sebahagian besar lagu-lagunya menggunakan perkataan 'cinta' pada tajuknya. Antara yang pernah menjadi halwa telinga sepertinya Ayat-Ayat Cinta, Terlalu Cinta, Terlanjur Cinta, Atas Nama Cinta, Perawan Cinta, Nada-Nada Cinta, Cerita Cinta, Keajaiban Cinta, Jalan Cinta, Takdir Cinta dan selainnya.

'Cinta' sangat dekat dengan dirinya walaupun pada realitinya, cinta itu pernah meluruh sesalnya. Arghh.. hidup memang aneh.

[Mau men-dengar Hati Yang Kau Sakiti, Aku Bukan Untukmu dan tentunya Sakura...]

Sunday, May 09, 2010

~ SELAMAT HARI IBU ~


IBU
by Allahyarham Tan Sri P.Ramlee

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Bila ku berduka
Engkau hiburkan selalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempat menyatakan kasih
Wahai ibu

Betapa tidak hanya engkaulah
Yang menyniari hidupku
Sepanjang masa engkau berkorban
Tidak putusnya bagai air lalu

Ibu ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempatku menyerahkan kasih
Wahai ibu

SEBUAH kasih sayang, cinta, rindu yang tidak terbilang dengan kata, aku dedikasi khas buat ibu-ibu seluruh dunia. Terutamanya buat ibu yang yang telah memperkenalkan aku kepada dunia, meminjamkan aku dengan rasa kasih sayang yang besar, menyerapkan kemanusiaan tulus dalam jiwa ragaku dan menjadikan aku seorang yang berguna. Seluruh raga, aku persembahkan.

Untuk umi, terlalu dekat jarak kita.. tetapi terlalu jauh kedekatan itu membuat rentang. Namun, percayalah, kasih sayang itu tidak akan pernah terpadam walau sesaat. Terima kasih untuk pengajaran hidup itu. Mudah-mudahan Tuhan merahmati umi dengan mengizinkan terus kesihatan buat umi.

Juga untuk bonda yang berada nun jauh di utara semenanjung tanahair. Aku akan sentiasa terhutang dengan kasih sayangmu dan tidak akan pernah memungkiri janji untuk menjadi pengganti kepada cinta hati bonda yang telah pergi meninggalkan bonda. Yaa.. 30 mei ini genap empat tahun pemergiannya... bonda tetap bonda..

Tidak terlupakan juga untuk ibu yang sering menunggu di balik pintu. Kasih sayangmu pasti berbalas doa yang panjang. :)

[Untok seluroh-nya yang ber-gelar ibu... doa kesejahteraan buat kamu.... aminnn]

~ MASKARA 21 ~




MASKARA SHOWCASE yang memikat. Untuk aku, yaaa.. untuk orang lain, hanya mereka yang tahu. Puas, diperdengarkan dengan 22 buah lagu (jika tidak silap perhitungan) yang membuat lekat. Setiap hari disogok dengan lagu-lagu popular dari penggiat seni arus perdana, sesekali terhidang yang begini rupa, tentu sekali rasa senang itu meluap-luap dengan senyum panjang.

Kamu tentunya tidak mengenali yang namanya Asmidar Ahmad, Airmas atau Tri... tetapi jika kamu mendengar mereka, pasti kamu ada keinginan yang besar untuk lebih mengenali mereka. Begitu juga dengan Benjamin Hasni mahupun Fadzly Rahman. Apapun, aku semakin mahu menjadi penggemar dekat Meor. Termasuk malam tadi, sudah tiga kali aku punya kesempatan menonton persembahannya yang selama tetapi sentiasa melekat dengan sesuatu itu.

Malam tadi juga, aku mengenali si penulis buku merah yang pernah aku miliki lama dulu, Fynn Jamal. Buku merah ini merupakan buku antologi puisi Fynn yang dibikin sendiri. Comel dan ikhlas. Rupa-rupanya si Tri ini adalah suami Fynn... arhh.. sepakat kamu dalam seni.

Pesan untuk Asmidar Ahmad, bakat kamu luar biasa hebat. Tampillah berkongsi dengan mereka di luar sana yang inginkan 'kualiti' agar seni tidak punah dengan manusia-manusia yang mengjengkelkan itu.

[Tida' perenah meninggal-kan maskara sebelom usai segala aksi...]

Saturday, May 08, 2010

~ ICE KACANG PUPPY LOVE ~



SUNGGUH, aku terkenangkan arwah Yasmin Ahmad saat duduk di kerusi empuk GSC, Mid Valley menonton filem 'Ice Kacang Pupply Love' yang diarahkan oleh Aniu. Latar cerita kasih sayang yang membuat senyum panjang mengiringi filem yang berdurasi satu jam, 50 minit ini.

Kasih sayang yang ditampilkan ini sangat besar dan menyentuh. Bukan sahaja dalam konteks keluarga, tetapi juga dalam persahabatan yang selalu kita cicirkan. Aku benar-benar sukakan itu dan sepertinya turut masuk berada di dalam beberapa babak yang sedang berputar itu.

Menonton filem ini seperti membawa kembali aku ke zaman anak-anak dulu. Mengimbau banyak nostalgia lalu yang sebenarnya tidak pernah terpadam biar beribu batu telah aku tinggalkan. Permainan guli, ikan laga, kuetiaw berbungkus kertas surat khabar, kedai kopi, berlari ke kaki langit dan banyak lagi paparan yang begitu dekat dengan kehidupan seharian.

"Begitulah zaman kanak-kanak... hari ini bergaduh sehingga berpukul-pukul, tetapi esok kembali bersahabat dengan senyum girang tanpa berbekas sedikit pun hal semalam..." itu antara petikan dialog yang terpinjam.

Aku senyum dan aku cukup akui itu. Semakin kerap bergaduh, semakin sayang kita kepada persahabatan itu. Sebanyak mana kita menangis terluka, sebesar harap juga agar persahabatan itu tetap kekal panjang menarik riang. Ermmm...

Aku juga sangat jatuh cinta dengan lagu latarnya. Sayang sekali tidak tahu tajuk dan sang pelantunnya.. Lekat dan dekat.

[Terima kaseh Aniu... kamu ber-kongsi senyom yang banyak...]

~ CINTA DUA JIWA ~


TAJUK : Cinta Dua Jiwa
KARYA : Rania Firdaus
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 482
HARGA : RM18.00

“Berpisah itu indah jika kita biasa berbicara bahasa rindu…”

[Kalau-lah yang senyap ini bolih di-dengar nyareng...]

Friday, May 07, 2010

~ ENERGI POSITIF ~


AKU terpinjam energi positif yang dipamerkan oleh seseorang yang namanya cukup tersohor di dada akhbar ini. Semangatnya, ketabahannya, kesabarannya... dia sepertinya batu keras yang kukuh tanpa pernah mahu kalah biar tsunami datang membuat singgah. Sentiasa sahaja melihat langit yang gelap itu akan kembali menjadi biru biar bagaimana awan membuat simpul.

Kata-katanya juga bersahaja, tetapi benar.

"Setiap manusia diberikan Tuhan 24 jam yang sama. Tidak terkurang dan tentunya juga tidak lebih. Justeru, terpulang kepada diri bagaimana mahu menguruskan 24 jam itu menjadi manfaat untuk diri sendiri dan mereka yang dekat berkeliling.."

Ringkas dan mudah, tetapi pengertiannya besar, melebar. Aku seringkali merungut kesuntukan waktu, terhambat urus itu dan ini. Hakikatnya, mungkin aku ini seorang yang gagal menguruskan 24 jam yang diberikan Tuhan itu secara bermanfaat. Justeru, terasa sepertinya 24 yang ada itu tidak pernah cukup. Huh... gagal.

[Ber-henti...]

Thursday, May 06, 2010

~ MULA MENJADI RUTIN ~


MASIH dengan cerita lena. Sejak kejadian dua hari lalu, aku berusaha mencari helah. Separuh perjalanan setelah menurunkan si kecil di rumah 'emak', aku melencongkan unta hitamku ke kediaman lama. Meluncur terus memasuki parkirku yang masih kosong itu atas tujuan mencuri sedikit lena. Setiap hari. Sudah menjadi rutin. Ohh Koishie..

[Ermm.... kepala sudah di-masoki air tida' ter-imbang..]

~ PORAK PERANDA ~


SELURUH rasa bersalah aku zahirkan buat sahabat NOV. Aku telah memungkiri janji dengan penuh sedar lantaran urusan pekerjaan yang menghambat dekat. Sepatutnya ia berlangsung lurus tanpa ada helah, namun luka tertembak peluru keras petang tadi itu masih tumpah lukanya.

Memungkiri janji yang telah memberi harapan ini adalah perkara yang paling bersalah. Justeru, dengan penuh rasa kejujuran aku mohon agar hati sahabat ini tidak terusik. Hanya Tuhan yang tahu.

[Porak-peranda...]

Wednesday, May 05, 2010

~ MASIH MEMILIH NADA ~


SEKALI lagi terpaksa menanggung 'bahana' yang diciptakan orang lain. Sekali lagi juga berdepan situasi ditembak tepat terus tembus ke jantung tanpa ada usul. Lunyai.

Keringat hari ini bersimbah peluh amarah yang tak terlepaskan. Sakit. Lebih sakit apabila kesenyapan ketat mengunci. Aku masih mahu menghormati kamu walaupun dengan apa cara sekalipun. Bila tiba satu ketika, kesabaranku bertebaran melurut angin marah, kamu tidak sempat berkata apa, kerana kata-kataku lebih dahulu membuat bingar.

Untuk tuan yang mulia, bawalah kemuliaan kamu itu sehingga ke ruang sempit itu...

[Maseh memileh nada..]

Tuesday, May 04, 2010

~ JANTUNG BERDETAK LAJU ~


SEJAK berpindah ke kediaman baru, perjalanan untuk ke tempat pekerjaan bertambah dua kali ganda jaraknya. Bermakna juga, aku perlu lebih awal bangun pagi, lebih awal bersiap dan lebih awal turun dari rumah.

Masalahnya, aku belum lagi berjaya membetulkan waktu tidurku dengan 'normal'. Meletak lena pada jarum jam menunjuk ke angka 3 pagi dan menghentikan mimpi dua jam kemudiannya. Menakutkan apabila mataku sering sahaja mahu menarik lelap saat aku memacu unta hitamku dalam perjalanan gelap itu.

Hari ini, ketakutan memberi amaran besar. Aku hampir sahaja terbabas dan melanggar kereta depan kerana terlelap seketika. Entah bagaimana ia berlaku. Ya Tuhan.... mujur sahaja aku masih dilindungi. Ditampar angin sejuk pagi yang menggigit agar sedar sebelum sempat unta hitamku mencium kenderaan lain dan menggempur kepada ketakutan yang lain.

Seluruh hari ini tidak memberi tenteram. Diasak degup jantung yang berdetak laju tanpa mahu mengendur resah ketakutanku. Ermm..

Seusai jari-jari ini bercerita, mahu terus meletak lena. Memaksa lena lebih tepatnya.

[Lena di-parkir tanpa resah...]

Monday, May 03, 2010

~ MENCURI NAFAS ~


LELAH. Sejak Jumaat lalu, kami memerah keringat yang kasar. Selama tiga hari tanpa henti menyusun atur dan mengemas rumah baru secara satu nafas. Pagi ke pagi. Tidak mahu terlajak ke hari bekerja yang tentunya akan lebih membuat gila. Justeru, kami seisi rumah termasuk si kecil sepakat untuk berhabisan lelah dalam tempoh membuat cuti ini. Ermmm... dari mana datangnya barangan dan kebendaan sebanyak ini di rumah kami selama ini.. arghh...

Badan amat kasihan. Hati juga turut kasihan. Namun, nasib memang aneh. Dalam terkerah kudrat membuat lelah, fikir jauh kepada resah yang mengintai-ngintai mahu datang. Tolong, kasihani aku. Biarlah aku tenang-tenang sahaja tanpa perlu memberi ruang kepada rasa rajuk itu.

[Me-lupa-kan dunia luar seketika...]

Sunday, May 02, 2010

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN TAURUS ~


"Hari ni harijadi saya.."

Serba salah sekali saat membaca mesej yang masuk ke telefon bimbitku seawal pagi semalam ini (aku hanya baru membacanya pagi ini..). Sahabat yang sering mengambil berat dan tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan buatku, tetapi aku terlupa langsung tentang hari ulangtahun kelahirannya yang jatuh pada hari semalam sehingga dia sendiri perlu mengingatkan padaku.

Doa kesejahteraan buat kamu budak putrajaya. Mudah-mudahan kamu terpelihara dari hal-hal yang membuat kelat dalam diri. Menjadi nyaman dengan kehidupan kamu yang sering membuat senang kepada mereka yang bergelar sahabat (termasuk aku tentunya..).

[ter-kenang sahabat mei..]

Saturday, May 01, 2010

~ TANDA SEBUAH KURNIA ~


TAJUK : Tanda Sebuah Kurnia
KARYA : Kamariah Kamarudin
CETAKAN : Pertama (1998), Kedua (1999) & Ketiga (2000)
PENERBIT : Creative Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 218
HARGA : RM14.90

“Kau terlalu perahsia. Dalam banyak perkara, kau tak banyak bercerita tentang dirimu. Sedangkan aku terlalu setia menghulurkan setiap detik pengalaman yang kukutip. Terlalu tololkah aku kerana begitu setia bercerita dan bercerita walhal kau selalu berahsia?”


[Bila men-jadi diri sendiri..]