Friday, April 30, 2010

~ DOA KESEJAHTERAAN ~


SELURUH hari yang melelahkan. Apapun, syukur alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik seperti mana yang dirancang. Mudah-mudahan ia menjadi permulaan yang baik untuk hidup kami sekeluarga kelak.

Seawal pagi sudah bersiap-siaga untuk majlis tengaharinya. Segalanya diuruskan kami sendiri. Berbaloi bila bersambut dengan kedatangan hampir seluruh tetamu yang dijemput. Baik pada majlis siangnya sehinggalah kepada majlis tahlil dan doa selamat pada sebelah malamnya. Juga tidak ketinggalkan majlis meraikan hari ulangtahun kelahiran si kecil sejurus selepas itu.

Terima kasih buat auntie phia, ai, perempuan melayu ampang (hahahah..).

Mulai esok, semuanya akan menjadi baru. Meninggalkan yang tidak membuat senang. Mudah-mudahan semuanya menjadi lebih baik dan menyamankan. Kediaman di KR terlalu banyak menyimpan kenangan dan sejarah. Suka duka dan pahit manis... :) Berat hati mahu melangkah kaki.

[Ter-haru meng-hayati bait-2 doa yang di-bacha-kan ustaz ketika majlis tadi...]

~ HARI TERAKHIR ~

MENGHABISKAN hari terakhir di KR, kediaman lama yang terlalu banyak menyimpan rahsia tentang diriku. Rahsia susah senang. Justeru, apabila hari ini menjadi hari terakhir, yang dulu-dulu datang membuat singgah.

Aku masih dalam situasi kesibukan mengemas segala macam yang perlu. Hampir 24 jam masih berjaga tanpa sedikitpun lelap. Lagi dua jam harus menghalakan langkah ke kediaman baru dan sibuk pula dengan majlis kesyukuran dan doa selamat yang bakal diadakan seawal 12.00 tenghari nanti.. Lelah mendengus-dengus mohon dimengerti.

Bila Tidur? Entahhhhhhhhhhhhhhhhh..

[Maseh hilang dalam ramai...]

Thursday, April 29, 2010

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN UNTUK SI KECIL...~




HAPPY BIRTHDAY TO YOU...
HAPPY BIRTHDAY TO YOU..
HAPPY BIRTHDAY... HAPPY BIRTHDAY...
HAPPY BIRTHDAY TO DINA...

UNTUK sikecil, selamat hari membesar!!! Mudah-mudahan membesar menjadi anak yang taat dan berguna kepada seluruhnya. Membesar menjadi anak yang mendengar kata dan menghargai kasih sayang... yang menyenang dan menyamankan... Sesungguhnya, aku terlalu amat sayang kamu. Juga untuk si budak nakal yang sering sahaja mahu bertukar menjadi otromen apabila aku mula menjadi 'rasaksa' yang meraikan hari ulang tahun kelahirannya semalam.

Esok, rumah kami meraikan tetamu sempena majlis doa selamat rumah baru. Pada sebelah malamnya, ada sedikit majlis ringkas untuk si kecil ini. Mudah-mudahan berjalan seperti yang dirancang.

SK : Abang A.H datang tak?
AKU : Mana boleh dia datang... nanti kena marah.
SK : Biarlah.. ni kan kenduri... kena jemput semua orang.
AKU : Ermmm...
SK : AL ajak C.A tak? (tersengeh menanti jawapan)
AKU : Wah.. wahhhh.. ingat artis ker nak jemput semua orang...
SK : (Ketawa besar)
SK : C.A tu kan kawan D sejak tadika lagi... kenalah ajak
AKU : Ehhh... bila masa pulak dia tuh berkawan dengan D... budak2 mana boleh kawan dengan orang besar..
SK : Ajaklaaaaa..
AKU : Tak naklah... AL gaduh ngan dia
SK : Haaa? Banyak kalinya... Tak baikla... nanti masuk neraka mama kata...

[Pelbagai cerita wujod dalam perjalanan satu hari... apatah lagi.. satu tahon.. dua.. tiga....]

Wednesday, April 28, 2010

~ BEKAS PAKU ~


AKU melihat dinding biru itu. Penuh dengan bekas paku. Ada yang sampai berlubang-lubang. Bukan satu, bukan dua, tetapi banyak sekali. Dinding yang awalnya cantik licin itu kelihatan hodoh sekali dengan keadaan itu.

Ada paku terakhir yang melekat di situ. Aku tarik dan buang. Cukup perlahan dan berhati-hati. Malangnya, ia meninggalkan bekas juga. Satu lagi bekas paku itu bertambah. Arghh... bagaimana yaa.. Sayangnya dinding ini. Sukar sekali mahu mencari ruang yang kosong dan tidak terusik kerana terlalu banyak bekas paku di situ. Kenapa yaaa dinding dipaku begitu rupa? Aku menopang dagu.

[Sa-banyak mana aku cuba menanggalkan paku itu, sa-banyak itu-lah ia meninggalkan bekas..]

~ THE LOSERS ~


MENCARI dan menghabiskan sedikit masa bersama seorang teman lama, AA. Kami tidak jauh, dekat sahaja. Kami tidak hilang, sentiasa ada. Namun, dek kerana urusan pekerjaan yang sering sahaja membuat rentang, aku dan teman yang seorang ini langsung tidak punya kesempatan untuk duduk-duduk begini. Seolahnya dia negeri lain, aku pula di negara lain. Walhal, jarak duduk diantara kami sedekat masa setengah jam sahaja untuk didekati.

Nahhh... hari ini Kesempatan itu datang dan kami duduk berdua menghirup secawan coffee sambil memberi pelbagai cerita yang dipunyai masing-masing. Disudahi dengan menonton 'The Loser' seperti yang dijanjikan. Sungguh, aku dapat lari seketika daripada rasa yang meresahkan dan tekanan yang membosankan beberapa hari terkebelakang ini.

[Tidak akan lari..]

Tuesday, April 27, 2010

~ PERANG TAMAT, SAKURA HIDUP ~


SEJAK membuat rajuk dek curiga yang dikirim teman jiwa kepadaku Sabtu lalu gara-gara BR, aku langsung tidak menjawab panggilan telefon daripadanya. Empat-lima SMS kirimannya, hanya satu atau dua sahaja yang berbalas. Itupun seringkas a,b,c sahaja. Marah kerana aku dicurigai begitu.

Pulang dari majlis perpisahan bersama Si Pekan sebentar tadi, aku terus memandu ke rumah. Tiba-tiba terlihat kereta teman jiwa di perkarangan rumah. Perang tamat, sakura hidup.

Sebenarnya, jika kamu mengenali aku dekat, begitu sikapku. Marah sekadar protes atau tanda tidak bersetuju dengan tingkah canggung kamu. Itu sahaja. Dan apabila berdepan tuan punya diri yang dirajuk marahkan itu, aku tidak akan pernah menolaknya, apatah lagi sampai mahu 'memenggal' kepalanya. Datang dan hadapi aku, itu sahaja... :)

[Kamu mengenali aku.. kamu tahu itu..]

~ SALAM PERPISAHAN UNTUK SI PEKAN ~


SEUSAI urus pekerjaan, aku dan lapan lagi rakan sepekerjaan mencari keluangan untuk menghabiskan hari terakhir bersama seorang teman pekerjaan yang kami gelarkan si pekan ini sebelum dia mengucapkan salam perpisahan. Hari ini merupakan hari terakhir dia bersama-sama kami.

Si pekan ini orangnya nakal, jarang mahu serius tetapi dalam masa yang sama seorang yang ringan tulang, pelucu dan boleh diharap jika mereka yang dalam kesusahan mengharap bantu. Kehilangannya agak dirasai. Belumpun dia pergi, kami sudah merungut-rungut membayangkan situasi bagaimana kalau dia tiada. Kalau boleh, mahu saja memaksa dia menarik kembali keputusan tekad yang telah dibuatnya hampir sebulan lalu itu. Ermmm..

Biasalah resam manusia. Bila ada dia depan mata, mana sempat kita melihat lebih yang ada padanya. Namun, bila sudah terhulur salam perpisahan, kita pantas sahaja membilang-membilang segala kebaikan dan kelebihannya. Malah, beratur panjang yang tulus mulus sahaja. Aku akui itu. Dan beberapa hari ini aku saksikan itu lagi dalam drama beberapa babak.

Benar, patah tumbuh hilang berganti. Perpisahan itu bukanlah perkara luar biasa yang dilalui dalam unit kami ini. Namun, yang menjadi gamam kepada kami kali ini apabila Si Pekan ini melalui salam perpisahan yang tidak kena caranya. Tercampak seperti tidak pernah memberi gina. Begitulah apabila manis sudah habis, apa guna sepahnya lagi. Aku cuba mengerti itu.

Arghhh... mulia sungguh kamu dengan politik 'jahanam' itu yaa!!! Aku bukan mahu mendoakan keburukan buat 'tuan yang mulia' ini, tetapi aku percaya setiap daripada penganiayaian yang dibuat, pasti akan datang kembali mencari tuannya. Apapun, semoga Si Pekan ini tidak dalam niat untuk membuat hukum sendiri kepada 'tuan yang mulia' ini... Masing-masing ada bahagian sendiri dalam kehidupan ini.

[Doa-kan yang ter-baek buat kamu si-Pekan... Jauhi politik jijik itu...]

Monday, April 26, 2010

~ MASIH DALAM SIMPANAN ~


Dari dulu sehingga hari ini, wang ringgitku banyak aku habiskan untuk membeli CD/VCD/DVD. Memenuhi rak dan almari, termasuklah yang diperoleh percuma.


Melebihi 1,000 keping. Arrghh.. sudah tidak tertampung untuk terus menyimpannya kerana makin tidak punya ruang. Justeru aku mahu menyedekahkan kepada sesiapa yang berminat dengannya (kecuali CD Beethoven-Mozart & VCD/DVD Korea..)


Sentimental value... Benar-benar menjadi berharga kerana membelinya dengan hasil wang 'catuan' yang diberikan ayah ibu. Sanggup tak makan.. hahahha.. Kenapa semuanya Liza Hanim? Kerana aku merupakan penggemar setianya. Hanya dia saja yang aku rasakan berbakat hebat (melebihi Siti Nurhaliza.. cuma dia tidak punya nasib yang lebih baik barangkali..).



Lagi hasil duit 'catuan'. Sebahagian wang sakuku memang akan di agihkan untuk membeli majalah Ujang. Majalah yang kamu lihat dalam gambar ini entah beberapa tahun usianya. Versi Ujang lama. Dan majalah Lawak disebelahnya itu adalah majalah baru yang digantikan ketika majalah Ujang diberhentikan penerbitannya buat seketika.



Komik!!! Yang ini aku sememangnya tidak akan menyimpannya lagi. Tidak punya ruang lagi. Memang aku benar-benar mahu memberi percuma kepada yang mahu.



Ada di antaranya yang masih belum dibuka plastik pembalutnya... hehehe..



Majalah yang sangat menjadi kesayangan. Ada yang usianya sudah mencecah usia 20 tahun barangkali. Majalah turun-tumurun.. dari abang kepada kakak dan kepada aku... Sehingga hari ini masih menyimpannya dengan baik sekali. Yang ini, aku tidak akan berikan kepada sesiapapun... :)



Majalah lagiiiii.... tidak punya ruang. Justeru, selamat tinggal sahaja.

[Ter-lalu banyak barang untok di-usong ke-rumah baru. Justeru, aku ter-paksa meninggal-kannya sebahagian-nya... Penat...]

Sunday, April 25, 2010

~ MELEPAS MARAH DI PUNCAK SEJUK ~


LAIN orang yang menjentik rajuk, lain orang pula yang membuat pujuk. Lelaki yang namanya BR ini punya 'magiknya' yang tersendiri. Sering sahaja muncul saat aku memerlukan seseorang untuk bercerita.

"Saya ada kat bawah ni, jom breakfast..". Mesej yang masuk ke telefon bimbitku seawal jam 9.00 pagi tadi.

Sungguh, aku hampir sahaja tidak mampu membuka mata kerana masih kepenatan berurus soal pekerjaan yang begitu panjang semalam. Namun, dek kerana sahabat yang seorang ini sudah siap siaga menunggu di depan rumah, aku gagahkan diri. Dia tahu aku pasti tidak sampai hati untuk menolak dan memberi alasan apabila sudah menunggu di depan rumah. Yaa.. yaaa... dia sentiasa 'menang' dengan taktik dan percaturannya itu.

Tidak sekadar sarapan pagi, rupa-rupanya sahabat ini menghalakan terus keretanya ke tanah tinggi C.H. Menurut sahaja tanpa membuat bantah kerana aku juga mahu melepas yang 'masam-masam' ini walaupun ia langsung tidak dirancang. Lalu dia menjadi pendengar kepada cerita 'masamku' sepanjang perjalanan dari hiruk-pikuk kota ini ke puncak sejuk itu. Satu demi satu kemarahan yang aku lepaskan. Terkongsi.

Terima kasih kerana membantu aku untuk bercakap dan melepas kemarahan yang ada dalam diri. Sungguh, aku benar-benar maksudkannya.

[Perang besar, teman jhiwa mem-buat sangka... errr..]

Saturday, April 24, 2010

~ TITIS-TITIS GERIMIS ~


TAJUK : Titis-Titis Gerimis
KARYA : Rozita Mohd Noot
CETAKAN : Pertama (1996), Kedua (1999), Ketiga (2000) & Keempat (2002)
PENERBIT : Creative Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 236
HARGA : RM14.90

“Menangislah Syuhada! Menangislah kekasihku! Menangislah sepuas-puasnya kerana mulai hari ini kau tak mungkin bisa lagi menangis. Menangislah sayangku! Menangislah sepuasmu. Biar aku yang hapuskan air matamu itu…"

[Yang diam senyap di-dalam ini, biar-lah teros diam senyap..]

~ APA LAGI SELEPAS INI ~


KURANG lebih enam minit, jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Aku baru tiba di rumah setelah seawal 8.30 pagi membuat tumpu kepada rutin di lantai tempat pekerjaan. Yaa... hampir 19 jam mengadap kerja-kerja yang punya tarikh mati pada hari ini. Huhh... dengan kudrat yang sekerat ini, entah bagaimana badan merasa kasihan...

Lagi kasihan apabila ia berkebetulan dengan hal-hal kesinggungan yang membuat singgah seawal memulakan hari pagi tadi. Itu yang lebih memenatkan sebenarnya. Tersangat penat mengulang masam untuk hal-hal yang serupa. Diam menjadi salah, bising juga mengundang padah. Ermmm..

[Apa lagiiiii selepas ini....?]

Friday, April 23, 2010

~ MASAM LAGI ~


SPAGHETTI masam lagi. Yaaa.. lagi walaupun telah kuusahakan sebaiknya untuk menjaganya supaya tidak masam lagi dan lagi. Sepanjang hari ini, mood turut masam. Sayang sungguh dengan persahabatan yang sering porak-peranda ini. Kasihan juga pada diri yang sentiasa mahu memeliharanya baik, tetapi yang berhasil seringkali kasihan!!! Aku duduk, senyap, diam. Memang kasihan.

[Yaa.. yaa aku tidak akan lari kali ini..]

~ FLY ME TO THE MOON ~


FLY ME TO THE MOON
by frank sinatra

Fly me to the moon
Let me sing among those stars
Let me see what spring is like
On jupiter and mars
In other words,
hold my hand
In other words,
baby kiss me

Fill my heart with song
Let me sing for ever more
You are all I long for
All I worship and I adore
In other words,
please be true
In other words,
I love you..


[Mahu ber-lari ke-langet..]

Thursday, April 22, 2010

~ MASKARA 21 ~


ACARA : Maskara 21
TARIKH : 08 Mei 2010
HARI : Sabtu
MASA : 8.00 mALAM
TEMPAT : Rumah pena
PERSEMBAHAN : Benjamin Hasni, Meor, RS Murthi, Asmidar, Airmas, Fadzly Rahman dll.

[Mari-lah menyokung kwan-2 yang kita sukaa...]

Wednesday, April 21, 2010

~ BERDOSA DENGAN EMOSI ~


BE PROFESIONAL! Susah kalau hal-hal personal di bawa masuk dalam urusan pekerjaan. Aku sangat rimas dengan beberapa hal yang berlaku di lantai tempat pekerjaan dalam beberapa minggu ini.

Seronokkan kamu menjadi ketua. Boleh sahaja kamu bikin apa sahaja sekehendak hati kamu. Boleh sahaja kamu menyalah-gunakan kuasa demi kepentingan kamu. Tanpa rasa bersalah juga kamu mencampurkan adukkan soal emosi dan profesional dalam kerja. Sebab kamu tahu, kamu akan menang kerana kamu ketua, sang pengepala. Lalu, siapa kami yang dibawah-bawah ini berani bersuara? Arghhh..

Rabu lalu, seorang rakan yang terlibat secara langsung dan menjadi mangsa ketidakrofesionalan sang pengepala ini telah di malukan di depan berpasang-pasang mata. Dia tidak dibenarkan untuk menyertai satu menyuarat penting di unit kami walaupun dia juga antara orang penting penggerak projek terdekat ini. Dalam bahasa mudah fahamnya, dia telah dihalau di depan pintu bilik mesyuarat ketika membuka pintu untuk masuk. Tindakan itu dengan begitu kejam menjatuhkan air muka rakan tadi tanpa sebab. Peliknya, nama rakan ini masih tersenarai dalam senarai tenaga penting untuk projek ini.

Terkejut. Aku hilang rasa hormat pada sang pengepala. Sungguh, aku benar-benar maksudkan itu. Tidak ada sebab yang paling tepat dia bertidak begitu melainkan keturutan rasa emosi yang ada di antara dia dan rakan tadi (aku sangat percaya soal hati dan perasaan menjadi sebab utamanya). Langsung tidak profesional. Dia benar-benar menggunakan kuasanya yang ada. Melihat situasi itu, aku yang berada beberapa langkah di belakang rakan tadi, menghentikan langkah. Membatalkan hasrat untuk masuk. Sempat menarik rakan tadi untuk memberi sedikit kata semangat. Seorang lagi rakan lain, turut keluar. Terkejut dengan drama sebabak yang seringnya kami tonton di TV sahaja itu.

Ermm.. kembali ke bilik mesyuarat, aku membuat bisu. Cuba merenung dalam wajah sang pengepala. Apa yaaa yang ada dalam fikirnya. Apaa yaa rasa seronok yang dia peroleh dengan berbuat demikian kepada manusia lain. Bagaimana yaaa... detak jantungnya kala memalukan dan menjatuhkan air muka orang lain dengan begitu rupa? Fikirkah dia, barangkali tiba satu masa dia juga diperlakukan begitu oleh manusia lain? Errmm...

[Aku per-chaya pada hukom karma...]

Tuesday, April 20, 2010

~ MELEPAS YANG TERBUKU ~


LEGA apabila dapat mengeluarkan rasa yang terbuku di hati. Selepas hampir dua bulan, aku dapat melepaskan apa yang telah membuat marah bersarang. Walaupun tidak semuanya, tetapi sekurang-kurangnya ia memberi sedikit reda.

Petuanya mudah sahaja... hadapi aku ketika aku sedang marah, atasi aku ketika rajuk sedang mengambil tempat. Jangan disimpan kerana ia akan larut menjadi rajuk panjang yang tentunya akan menjadi tebal dan mengambil masa untuk dipecahkan rasa itu (Usah bimbang kerana aku tidak akan 'memenggal' kepala kamu!).

[Perelu mem-biasa-kan diri me-luah marah...]

Monday, April 19, 2010

~ DOA KESEJAHTERAAN ~


LAGI cerita tentang sahabat yang ada 'magic'. Jumaat lalu, aku sangat teringatkan sahabat Nov. Beberapa bulan terkebelakang ini dia seperti hilang. Jika tidak, ada juga dia menebar salam dan bertanya khabar. Cerita terakhir kami tentang 'baju kurung'nya yang menjadi pertikaian. Selepas itu, dia senyap.

Justeru, apabila gerak hati banyak membuat tanya tentang khabar beritanya, beberapa kali aku cuba menghubunginya tetapi gagal. Telefon bimbitnya senyap seperti dimatikan. Jumaat lalu, aku mencubanya lagi dan akhirnya suaranya kedengaran di hujung talian. Perlahan, lemah dan tidak bermaya. Rupa-rupanya sahabat ini berada nun jauh di negara tempat tumpah darah penyanyi kegemaranku, Sammi Cheng. Sudah beberapa minggu dia di sana kerana berehat setelah baru sahaja selesai menjalani 'rawatan'. Patutlah aku seperti teringin benar bertanya khabar beritanya.

SN : Ex si dia hantaq hantu raya n santau to me. I mmg sakit sgt b4 dtg sini.
SN : Plan nk pi umrah pun xjd. Siap jumpa doctor buat check up, but found nothing.
SN : I was advised to stay away kjp. But kat sini pun kena attack.
SN : Org kata, kalau kita kena buat org, and kita kluar overseas, benda tu takleh ikut..

Terkejut aku mendengar ceritanya. Tidak cukup berbual di telefon, kami menyambungnya melalui SMS. Sungguh aku sangat kasihan buat sahabat ini. Doa kesejahteraan buatnya. Mudah-mudahan dia sentiasa tabah berdepan dengan segala macam cabaran dan dugaan yang datang.

Kepada kamu di luar sana (juga untuk diriku sendiri), jauhilah sifat dengki dan iri hati yang memusnahkan itu. Bersihkanlah hati dan terimalah seseuatu ketentuan itu dengan hati yang terbuka. Allah tentunya punya perancangan yang lebih baik buat kita andainya apa yang kita miliki hari ini terlepas dari genggaman. Aminnnn.

[Allah maha mengetahui atas segala-nya...]

Sunday, April 18, 2010

~ LEMBAB DAN LAMBAT ~


AKU jarang sekali berurusan di pejabat pos. Dalam setahun, mungkin hanya dua-tiga kali sahaja. Namun, rabu lalu kerana perlu memperbaharui lesen kereta yang kebetulan 'mati' pada tarikh itu, aku mencuri masa ke sana di celah kesibukan yang menghambat setiap penjuru.

Memilih pejabat pos yang paling hampir dengan lantai tempat pekerjaan, yakni di bandar anggerik. Menjengok ke dalam, aku menarik nafas lega apabila melihat tidak ramai orang. Namun, menoleh ke kaunter, daripada empat, hanya dua sahaja yang dibuka. Ketika itu jam menunjukkan pukul 12.10 tengahari. Aku melihat nombor giliran di tangan, ada tujuh orang dalam senarai menunggu. Okaylah kot..

Aku mengambil tempat menunggu sambil membaca coretan Fared Ayam, 'Stabil'. Habis satu bab, nomborku belum dipanggil. Aku menoleh keliling, mereka yang menunggu masih sama bilangannya. Aku melihat ke kaunter, orang yang berurusan di kaunter juga masih sama orangnya. Aku menutup buku di tangan dan berdiri bahagian di belakang. Mahu melihat dan memerhati urusan mereka.

20 minit berlalu, belum juga tiba giliranku. Aku mundar-mandir. Sesekali melihat-lihat jam di tangan. Petugas di kaunter, menjeling tajam. Aku mundar mandir lagi. Berterusan sehingga nomborku di panggil ketika jarum jam sudah melepasi angka 1. Urusanku hanya untuk memperbaharui lesen. Urusan yang paling mudah dan hanya mengambil yang sekejap sahaja jika di tempat lain. Tetapi di sini... ermmmm... patutlah.

[Aku suka-kan perkhidmatan Pos Malaysia di-Sungei Wang Plaza.. Cekap dan cepat. Kredit untuk petugas-2 di-sana..]

~ SI MEOW LAGI ~

Sentiasa mahu mengganggu hidup aku...


Cubaan untuk menakutkan aku...


Tetapi lari apabila aku bawa bodyguard kali ini... hehehe


Tahupun takuttt... :) thanx brad..

[Bukan misi balas dendam.. hahahaha...]

Saturday, April 17, 2010

~ SELAMAT HARI JADI UNTUK SI MANIS ~


Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Adik...
Allah Selamatkan Kamu...

SELAMAT ulangtahun kelahiran buat adik. Semoga dirahmati, dilindungi dan dipermudahkan dalam kehidupan. Panjang umur dan murah rezeki tentunya. Mudah-mudahan dengan pertambahan usia ini, adik menjadi lebih matang, bertanggungjawab, menghargai kasih sayang dan berguna kepada mereka yang di keliling. Aminnnn...

[Doa kesejahteraan ini juga untok seorang lagi Aries yang me-rai-kan hari-jadi pada 19hb dan si-Taurus pada 24hb depan...]

~ KEJORAKU BERSATU ~


TAJUK : Kejoraku Bersatu
KARYA : Azra Aryriesa
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 647 Muka Surat
HARGA : RM19.90

“Menggapai cinta sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Adakah serupa memberi cinta atau sama seperti menerima cinta? Perlukah pengorbanan beriringan bersama dalam menggapai cinta yang diinginkan? Andai tidak tergapai, apa lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan cinta terus kekal menyubur di hati?”

[Melehat dengan mata hati...]

Friday, April 16, 2010

~ BENGKAK ~


MATA bengkak, muka bengkak, badan bengkak, hati saja tidak bengkak. Alergik.

[Proses me-muleh..]

Thursday, April 15, 2010

~ SEPENUH HARI DENGAN RASA JENGKEL ~

MELALUI satu hari yang cukup memenatkan! Sepenuh hari ini, aku ke sana ke mari dengan beberapa urusan kerja yang menekan. Seawal pagi berkurung dalam bilik mesyuarat mengadap beberapa wajah yang menjadi pengepala dan 'bakal' menjadi pengepala. Beberapa jam di bilik yang melepaskan hawa dingin yang melampau itu sangat membekukan sebahagian otak. Arghhh... semua mahu bikin hebat dengan pidato masing-masing. Walhal, pidato kamu itu kosong. (Aku merasa sungguh jengkel.)

Sebaik sahaja dapat meloloskan diri daripada bilik dingin dan pidato yang kosong itu, aku bergegas ke beberapa tempat sekitar tiga kilometer dari lantai tempat pekerjaan untuk mendapatkan beberapa perkara sebagai persiapan untuk hal yang beratur pada jam 2.00 ini. Berkejaran, masa yang ada sesuntuk lapan langkah. Usai semua pada waktu yang paling tepat tanpa lajakan. Namun hal lazim apabila berjanji 'Melayu', urusan jam 2.00 itu dianjak-anjak sehingga hampir jam 4.00. Maklumlah orang ini punya nama dan kedudukan dalam hirarki kemasyhuran, justeru orang-orang dari kalangan marhaein seperti aku ini, jangan sekali ada sebarang bantahan. Itu kata mereka. (Aku mersa sungguh bosan).

Kurang lebih jam 6.30, aku sudah berada di depan skrin. Perlu menyudahkan urusan-urusan pekerjaan yang punya tarikh mati. Ya.. seawal jam 8.30 pagi tadi sehingga saat matahari sudah mahu menyembunyikan diri, aku baru punya kesempatan untuk menjengok hal-hal yang sepatutnya didahulukan ini. Seperti tangga tertimpa di kepala, skrin ini pula yang membuat onar dan cuba memijak-mijak kesabaran aku. Dia membuat hal pada waktu yang benar-benar suntuk. Namun, mujur sahaja aku ini benar-benar memelihara kesabaran. Lalu aku laluinya dengan 'bahasa kicau' yang amat bising di sebalik kumat-kamit bibir melepaskan kemarahan.

Sehingga saat jari-jari ini bercerita di sini, aku belum sempat sedikitpun mengisi perut. Yaa... sepanjang hari! Tidak punya kesempatan. Bunyinya seperti agak melampau, tetapi itulah yang terjadi hari ini. Saat usai segalanya, aku sudah tidak punya nafsu makan tetapi hanya nafsu untuk meletak lena. Penat yang agak keterlaluan dan perlu memberi rehat kepada badan yang sangat kasihan ini.

[Kamu ada emusi, aku juga! Justeru, jangan coba-2 merentasi titek batasan itu..]

Wednesday, April 14, 2010

~ MAGIC DALAM PERSAHABATAN ~

(kredit foto : filem hooperz)

AKU : msg kite bertembung.. sy tulis kt sini, awk tulis kt status tadi.. tp pd ms yg sama
OL : darl, we call it MAGIC. dalam persahabatan je ada perkataan tu :)

Aku ketawa membaca tulisan itu. Tulisan yang membawa maksud yang sama dengan perbualan yang pernah di tuturkan kepadaku suatu masa dahulu. Juga daripada seorang sahabat. Ermmm... Arwah sahabat dekat yang asalnya nun jauh di utara semenanjung tanahair ketika kami masih di alam kampus.

Aku percaya tentang 'magic' itu. Ia selalu terjadi dengan sahabat-sahabat yang dekat dengan kita. 'Magic' itu akan wujud apabila kita ikhlas dalam persahabatan dengan seseorang itu dan begitulah sebaliknya. Sungguh, aku sayangkan sahabat-sahabat yang ada 'magic' ini.

Aku juga suka dan sering kali menyebut ungkapan ini;

"Everyone hear what you say. Friends listen what you say, Best friends listen to what you don't say.."


Itulah 'magic' nya persahabatan yang terbina ikhlas.. :) Tidak perlu kita berkata lebih kerana sahabat yang dekat itu akan mengerti. Tidak perlu kita bereaksi lebih kerana sahabat yang mengerti ini akan memahami mudah. Malah, jika pertolongan diperlukan, ia akan tiba tanpa perlu kita menyebut atau membuat permohonan tentangnya. 'Magic'kan..

[Ter-kenang novel Lasykar Pelangi...]

Tuesday, April 13, 2010

Monday, April 12, 2010

~ PADAMU KU BERSUJUD ~


PADAMU KU BERSUJUD
by afgan

Ku menatap dalam kelam
Tiada yang bisa ku lihat
Selain hanya nama-Mu Ya Allah

Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari segala fitnah

Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba-Mu yang slalu bertakwa

Ampuniku Ya Allah
Yang sering melupakan-Mu
Saat Kau limpahkan karunia-Mu
Dalam sunyi aku bersujud

Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba-Mu yang slalu bertakwa

Ampuniku Ya Allah
Yang sering melupakan-Mu
Saat Kau limpahkan karunia-Mu
Dalam sunyi aku bersujud
Pada-Mu..

[Jangan perenah ada benchi dalam hati-ku untok se-siapa-pon... aminnn]

Sunday, April 11, 2010

~ LAGI EPISOD SI MEOW ~

PENAT. Sepanjang dua hari ini, aku terlibat dengan 'kerja-kerja buruh' yakni kerja-kerja mengangkut, mengelek, mengangkat barang-barang dari kediaman lama ke kediaman baru. Kali ini, tiada tenaga lelaki yang menghulur bantu. Huhuhuhu.. Dalam beberapa minggu ini sehinggalah 1 May ini, inilah aktiviti wajibku di hujung minggu. Mengangkut timbunan kotak-kotak setinggi KLCC.

Bukan tidak biasa membuat kerja-kerja berat begini, tetapi mungkin ia sudah lama tidak dilakukan. Justeru, ketika membuka mata pagi tadi aku merasa terlalu kasihan pada badan sendiri. Tangan bengkak, pinggang sakit, bahu berat.. ermmm...

Tidak cukup dengan itu, ada satu kejadian yang menimpa ke atasku petang tadi. Kejadian yang bukan pertama kali kerana aku pernah berkongsi hal yang sama di ruangan ini pada entri yang lalu. Ketika aku sedang mengangkat kotak yang dipenuhi dengan CD, si meow2 yang sering menunggu aku di tangga ini sudah membuat kacau. Dia mengekori dan mengacah-ngacah mahu mendekati aku dan mengiau-ngiau tanpa henti. Sungguh si meow yang seekor ini seperti amat mengerti aku tidak sukakannya.

Takut dia benar mendekati, aku mempercepatkan langkah, namun si meow ini masih mengekor. Aku membuka langkah seribu, dia juga... dannnn... kotak yang di bawa aku itu terlepas dari tangan dan melayanglah semua CD yang ada di dalamnya. Menari-menari dari satu anak tangga ke satu anak tangga membuat bising. Dan bagaimana aku? Jatuh bersila di tangga dan lebih malang tangan pula luka kerana terkena serpihan CD-CD yang pecah dan berkecai di tangga itu.

Si meowwwwwwwww... kamu menambah ketidaksukaan aku kepada kamu!!! Selepas 1 May ini, jangan harap kamu dapat mengacau dan menganggu hidup aku lagi.

[Jauhi aku sang meoww...]

Saturday, April 10, 2010

~ KARIPAP KARIPAP CINTA ~


TAJUK : Karipap Karipap Cinta
KARYA : Nazri M. Annuar
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN : 251
HARGA : RM14.00

"Resipi Karipap-Karipap Cinta... 3 ulas rasa suka, 1 botol hati gembira, 1biji rendah diri (saiz besar), 2 cawan tolak ansur, 5 keping kehormatan, Secubit rasa rindu, 3 batang tanggungjawab (dipotong halus), 3 bekas cita-cita, 10 guni kejujuran (diayak untuk membuang kata dusta). Masukkan alam kuali persahabatan, tunggu sehingga masak. Setelah masak, hidangkan bersama yang tersayang..."

[Me-minjam cherita kehidopan..]

~ STABIL ~


TAJUK : Stabil
KARYA : Fared Ayam
CETAKAN : Pertama (2010) & Kedua (2010)
PENERBIT : Oxygen Media Sdn Bhd
HALAMAN : 40 Muka Surat
HARGA : RM10.00

"Puisi dan catatan Fared Ayam..."

[Jujor itu bolih men-jadi pahit dan manis dalam perasaan yang sama..]

Friday, April 09, 2010

~ MOGA DIAMPUNKAN ~


"Serius aku cakap, aku memang benci kat dia. Perangai dia memang buruk dan aku memang sakit hati tengok muka dia... Aku cakap kat dia, kalau kau hati busuk, kau jangan terkejut kalau aku pun macam tu jugak ok..."

Laju sahaja dia menuturkan kata-kata yang ditujukan khas buat sang ibu yang pernah melahir dan membesarkannya lebih 25 tahun yang lalu itu. Aku terdiam. Seperti tidak percaya mendengar apa yang diucapkan oleh seorang anak perempuan yang sepertinya tertib laku itu.

Sungguh, aku sangat-sangat terkejut. Walaupun hanya melalui bahasa dan pertuturan, situasi itu sudah cukup membuatkan aku hilang kata-kata. Namun, hati yang di dalam ini membuat bising yang teramat sangat memprotes.

Sebenarnya, banyak lagi tuturan atau lebih tepat lagi disebutkan makian beserta 'babak drama' daripadanya tentang sang ibu, namun sungguh aku tidak sanggup untuk berkongsi di sini. Segalanya dia ungkitkan. Segalanya menjadi kesalahan besar buatnya. Dia menagih sokongan dan simpati, namun aku tidak akan pernah untuk berada di sebelah dengan mereka yang memaki-maki ibunya walau atas apa jua alasannya. Malah, aku juga tidak memberikan sepatahpun perkataan daripada bibirku sebagai reaksi. Hanya mengangguk-ngangguk dan sesekali mata berkaca menahan sedih kerana tidak bersetuju dengan tuturannya.

Jika sebelum ini aku melihatnya di kaca TV, namun kali ini ia secara langsung dan hidup dihadapkan di depan mata. Ermm... sekadar manusia biasa, aku kadang-kadang tidak terlepas juga daripada terkepung soal kecil hati kepada ayah ataupun ibu. Namun ia hanya rasa yang terdetik di dalam untuk beberapa saat dan kemudiannnya hilang tertimbus dek 'hakikat' dan 'kesedaran'.

Justeru, aku tidak menyangka seorang anak perempuan ini begitu tegar berpelakuan 'secantik' itu. Mudah-mudahan, ada titik sedar yang paling dalam diberikan kepadanya sebaik habis ayat terakhir yang dia tuturkan kepada telinga-telinga kami yang mendengar ceritanya kelmarin. Mudah-mudahan, sang ibu mengampunkan dosanya!

Secebis cerita yang menggetar jiwa, yang 'terhadap' tanpa sengaja. Minta dijauhkan Tuhan terjadi dikalangan yang dekat, juga di kalangan kamu-kamu yang lain juga... aminnn.

[Hakikat Syurga di-bawah telapak kaki ibu...]

Thursday, April 08, 2010

~ PERLU MEMINJAM BAHU ~

(Kredit : filem hooperz)

MELALUI hari yang cukup tertekan hari ini. Mahu marahkan seseorang, tetapi tidak mampu dilepaskan. Sudahnya rasa telah membengkak di dalam hati dan akhirnya menutup senyum untuk sepenuh hari ini.

Saat tepat matahari tegak di kepala dengan bahang kepanasan mengisi seluas kawasan parkir tidak berbumbung itu, aku mencari tenang di dalam unta hitamku. Pijar seperti membantu membakar hati yang sudah sedia panas itu. Namun, entah bagaimana, aku mampu meletak lena dalam situasi cuaca yang panas membahang itu.... ermm... hanyut hampir satu pusingan jarum pendek membuat laluan.

Mahu menumpang bahu. Sungguh. Mungkin aku perlu bercakap dan melepaskan marah-marah yang ada ini agar ia tidak terus merebak meraja. Yaa.. mencari kamu-kamu yang sudi meminjamkan bahu. Tertekan!!!

[Kepala-ku sedang di-pijak keras.... tulong beri sediket muka..]

Wednesday, April 07, 2010

~ MENGULANG ~


Bagaimana kalau,
Orang yang sentiasa mengangguk untuk kamu itu sudah hilang entah kemana
Bagaimana kalau,
Orang yang sering mendengar cerita dan gurau senda kamu itu sudah senyap tidak bersuara
Bagaimana kalau,
Orang yang sentiasa menerima segala kurang dan lebih kamu itu sudah tiada di situ
Bagaimana kalau,
Orang yang sentiasa ada sebagai sahabat buat kamu itu sudah lenyap dari pandangan
Bagaimana kalau,
Orang yang sering menjadi teman bergaduh kamu itu sudah tidak nampak kelibatnya lagi
Bagaimana kalau,
Orang yang selalu kamu buli itu sudah tidak kamu temui lagi
Bagaimana kalau,
Orang yang kamu sering permudahkan itu sudah tidak muncul lagi
Bagaimana kalau,
Orang yang kamu selalu kecilkan hatinya itu, Sudah tidak mahu mendekat lagi
Bagaimana kalau,
Orang yang kamu anggap bosan itu benar-benar lari menjauhi kamu
Bagaimana kalau,
Orang yang tidak pernah kamu hargai itu benar-benar hilang jejaknya...


Entri ini pernah aku kongsikan sebelum ini. Dan hari ini aku mahu mengulangnya kerana fikiran asyik lekat berfikir-fikir tentang itu. Ermm..

[Bagaimana kalau... sudah tiada lagi 'kalau'...]

Tuesday, April 06, 2010

~ KERUSI DEPAN ~


RAMAI orang yang mahu duduk di kerusi depan. Wajah lebih terang dipandang, suara pula lebih jelas didengar. Dan selalunya yang mendapat tempat di depan ini adalah dari kalangan orang-orang yang ada nama. Bila dah ada nama dan punya kedudukan, tentulah layanan yang diterima tidak sama dengan orang yang duduk di kerusi belakang.

Kerusi di depan tidak banyak. Justeru, siapa cepat dan cekap.. dia layak. Usah ditanya halal atau tidak caranya, asal saja dapat kerusi itu peduli apa tentang halal haramnya. Arghh... lumrah manusia menjunjung dunia memang begitu.

Hari ini, kaki aku sakit. Dipijak teruk oleh manusia-manusia yang mengejar kerusi depan ini. Hampir sahaja mahu dipijak kepala, namun sempat aku menjerit. Heyyy... Berilah sedikit hormat, jika kamu mahu jadi yang terhormat.

[Baek kekal di-kerosi belakang sahaja kalau syarat-nya perlu memijak orang laen...]

Monday, April 05, 2010

~ SIMPUL TANPA LERAI ~


HARI ini seorang sahabat datang menangis kepadaku. Separuh hari meminjamkan bahu untuknya. Sahabat yang seorang ini baru sahaja kehilangan salah seorang teman dekatnya. Di panggil Ilahi tanpa sempat memberi sebarang tanda.

"Tiga hari lepas, dia merajuk sebab aku mungkir janji dengan dia. Aku buat tak tahu saja sebab ingat dia akan ok lepas tu. Tak call, tak SMS pun. Tiba-tiba pagi semalam, ada orang text bagitahu dia dah meninggal..."

Bukan sahabat ini sahaja yang bersedih, aku juga turut merasanya. Semua kita tahu, ajal maut itu datang tanpa berjemput. Boleh pada bila-bila masa sahaja apabila tiba waktunya. Tidak akan terawal atau terlewat walau seminitpun. Namun, antara kita ini selalu sahaja alpa dan terlupa tentangnya.

Aku diam, senyap dan bisu untuk seketika. Tiba-tiba terbayang andai aku yang berada di kasut sahabat ini. Tiba-tiba sahaja mereka yang dekat pergi meninggalkan aku tanpa diduga. Tanpa pesan, tanpa memberi tanda. Apatah lagi jika ada ribut yang membuatkan hati resah bersimpul tanpa sempat dileraikan. :(

Tuhan, hindarkan aku dari bertembung situasi seperti itu. Sungguh, aku tidak pernah mahu meninggalkan 'simpul' itu kekal begitu tanpa dileraikan. Sungguh, aku tidak pernah mahu kehilangan sahabat-sahabat dekat yang wujud dalam sebahagian kehidupanku dengan sia-sia.

[Ter-kenang situasi yang pernah di-lalui tiga tahon dulu ketika aruwah D di-panggil Ilahi. Ermmm..]

Sunday, April 04, 2010

~ MASKARA 20 YANG MEMIKAT ~


Dr Ahmad Razali

Pelajar ASWARA mengiringi tarian Zubin Mohamad


Meor


The Primary


Vovin & Abang Naga


Vovin sedang menandatangani Novel Karipap Karipap Cinta milik aku..



DALAM kesibukan dengan urusan pekerjaan yang mengisi jadual sepenuh hari ini, aku sempat mencuri masa keRumah Pena untuk meramaikan acara MASKARA 20 yang memang aku sering suka. Arghh... terapi!

Untuk acara kali ini, pengunjungnya tidak padat seperti mana acara-acara sebelum ini. Sedikit lengang. Justeru, aku agak santai untuk acara kali ini. Mahu bersila, mahu melunjur kaki, mahu bersandar.. nahh segalanya boleh mengikut keselesaan sendiri.... :). Paling menarik ia dirasakan begitu intim sepertinya rakan-rakan yang membuat persembahan malam ini khas untuk aku. Hahaha.. istimewa dan dekat sekali.

Acara MASKARA tidak pernah mengecewakan. Sungguh, aku sering sahaja larut dalam persembahan-persembahan yang mereka berikan. Namun, mohon kemaafan kerana aku agak 'pelupa' untuk mengingat nama-nama yang hanya disebut sepintas lalu oleh pengepala majlis. Yang aku ingat, persembahan malam tadi terusaha dari Dr Ahmad Razali, Ninja Seni, Rahimidin, Syed Amran, Dugong Senyum, Vovin a.k.a Nazri Annuar (aku kenali wajahnnya tetapi sungguh aku tidak pernah tahu namanya sehinggalah malam ini), Meor, Primary, Nik Jabit dan lain-lain.

Pada Maskara yang lalu, aku terjatuh hati pada persembahan Meor. Lelaki yang seorang ini bukan calang-calang dan sudah dikenali dekat sebagai seorang yang hebat dan besar namanya. Namun, sungguh.. seperti yang aku katakan pada entri yang lalu, aku tidak terdedah kepada nama dan dirinya sehinggalah aku menikmati persembahannya di Maskara. Aku baru mengenalinya walaupun semua orang sudah mengenalinya. Malam ini, Meor tampil lagi membuat persembahan dengan dua buah lagu. Suaranya lelakinya membuat aku benar-benar larut.

Saudara Nik Jabit, pertama kali aku diperkenalkan. Aku percaya dia juga bukan sebarang orang. Namanya seperti sudah mencatat sesuatu sebelum ini tetapi ia tidak sampai kepadaku justeru aku tidak pernah tahu siapa dia. Namun, aku sangat jatuh cinta dengan persembahannya. Tiga lagu.. arghh.. tentu sahaja aku katakan tidak cukup jika ditanyakan aku dengan jujur.

Selainnya, persembahan kumpulan Primary (sudah lama aku mahu berkirim salam kepada pemain gitarnya yang paling kiri... juga orang kuat sindiket ini... hehehe) juga menarik tumpuan. Ada sesuatu yang membuat lekat. Ohh.. hampir terlupa, aku juga sukakan persembahan pelajar ASWARA yang diadakan di luar Rumah Pena dengan diiringi tarian dari Zubin Mohamad (kalau aku tidak silap menyebut namanya).

Namun, dalam pada itu aku (dan mungkin juga seorang dua yang bersila-sila berdekatan denganku), aku sedikit terganggu dengan 'pemandangan' yang menjengkelkan daripada sepasang mahkluk Tuhan yang aku sifatkan tidak tahu menghormati majlis dan orang keliling ini. Mungkin aku tidak perlu menyebutnya di sini, tetapi sungguh aku sangat merasa kurang senang atau dalam bahasa mudah fahamnya, sangat menyampah dengan tingkah laku kurang sopan pasangan yang sedang asyik-masyuk bercinta ini. Berpeluk-dakapan, saling membelai usap mengusap dan tingkah-tingkah yang sungguh tidak manis di pandang mata. Apatah lagi berdekatan kami juga, dua orang kanak-kanak yang terlalu mentah usianya juga ada bersila. Ermm... pesanku hanya satu, jika kamu tidak berminat dengan persembahan pada malam ini dan punya 'acara sendiri', pilihlah tempat yang sesuai dan jangan mengganggu orang lain. Aghh... Anak Melayu yang kurang jiwa Melayunya begitulah...

Sebelum pulang, bagai biasa aku akan mengintai-ngintai jualan buku di bahagian luar pintu masuk. Nahh.. yang dibawa pulang hari ini ada dua naskah. Karipap Karipap Cinta (bukan cinta biasa.. hahaha) tulisan Nazri M. Annuar a.k.a Vovin (yang sentiasa mencuri hati dengan lawak selambanya setiap kali aku berada di Maskara) dan Stabil iaitu buku puisi dan catatan daripada saudara Fared Ayam. Aku hanya kenal namanya kerana sering mendengar ia disebut-sebut kerana karyanya, tetapi sehingga hari ini tidak pernah mengenali tuan yang empunya badan. Apapun, mudah-mudahan dua naskah ini mampu meminjamkan aku sedikit tentang cerita kehidupan.. :)

[Ada yang meng-idam t-shirt Maskara dan minta aku hadiah-kan sempena hari-jadi-nya yang bakal tiba hujung April ini...]