Friday, February 05, 2010

~ PAGI KE PAGI ~


KERJA... kerja... kerja. Rungutan itu bukan dari aku, tetapi dari kakak yang merasakan jarang bertemu aku sejak tiga minggu terbelakang ini. Manakan tidak, Sabtu-Ahad selama empat minggu, aku terlibat dengan acara besar tempat pekerjaan. Bererti bekerja selama tujuh hari seminggu selama empat minggu berturut-turut tanpa henti. Yaa... kesibukan yang bermula sejak 12 Januari lalu sehinggalah penghujung minggu ini. Tuntutan kerja dan tanggungjawab yang tergalas di bahu. Siapa aku untuk mempertikaikannya.. Ermm..

Hari ini, aku berada di lantai tempat pekerjaan seawal jam 7.30 pagi tadi dan hanya berakhir pada jam 1.15 pagi. Yaaa.... 1.15 pagi kerana terlibat dengan kerja-kerja akhir yang punya tarikh mati. Dan pada pagi ini, setepat jam 8.30 pagi ini aku terlibat dengan kerja di luar daerah selama dua hari. Justeru, lelah itu terus bersambung untuk dua hari lagi dan harus perlu tiada rungutan tentang itu. Bimbang terlajak lena melanggari waktu yang patutnya, aku memutuskan untuk tidak tidur dan mengadap skrin ini sehingga ke pagi... :)

Dalam ketika menunggu kerja-kerja akhir itu berjalan, aku sempat menutur bual dengan seorang rakan pekerjaan ini. Kami jarang berbual hal-hal yang serius tetapi entah bagaimana hari ini ada ruang itu. Dia meluahkan ketidakpuasan hatinya tentang satu perkara dan jelas berkongsi rasa sensitifnya yang sungguh langsung tidak aku duga. Sangkaku selama ini dia tidak mengambil hal soal-soal yang tentunya memberi kelebihan padanya, rupanya tidak. Dia sangat merasakan dirinya tidak mendapat kepercayaan en boss. Malah menamakan beberapa nama antara kami (termasuk aku) yang baginya menjadi orang kepercayaan. Malah katanya, kerjanya tidak dihargai dan kurang diperlukan untuk urus-urus penting segera. Ermm... hilang kata-kata aku dengan luahannya itu.

Untuk rakan ini, aku tahu mungkin ada sesuatu yang telah mengusik hatinya itu. Justeru, dia merasakan segala yang dia sebutkan itu. Hakikatnya, antara kami ini memandang dia sebagai seorang yang berkarisma. Dia antara senior dan telah diketahui tentang prestasi dan reputasinya dalam tugasan. Tiada pertikaian di situ. Namun, bila hati sudah kacau dengan rasa 'terkilan' terhadap sesuatu, makanya rasa terkilan itu menjadi kesakitan. Ku titip pesan agar dia membuang rasa yang melukakan itu kerana perasaan itu akan mengacau banyak perkara kelak. Apatah lagi ia hanya 'rasa' dan sebenarnya tidak berlaku seperti mana yang dia fikirkan.

[Juga me-luah-kan rasa... jarang-2 aku melakukan ini...]

No comments: