Saturday, February 27, 2010

~ TEATER MUZIKAL ANTARA.... ~


EMPUK kerusi Panggung Sari, Istana Budaya, ditambah pula dengan kedudukan yang paling cantik di bahagian tengah menghala ke depan pentas tanpa sedikitpun terhalang pemandangan, aku duduk menumpukan sepenuh perhatian kepada teater yang telah menjentik rasa keterujaanku semenjak hari pertama diuar-uarkan tentang pementasannya ini. Teruja, bukan kerana kontroversi yang melandanya, bukan juga kerana barisan pelakon atau penyanyi yang membuat persembahan seiringnya, tetapi kepada jalan cerita dan pengkisahan yang dipaparkan dalam teater yang telah tiga kali ditukarkan tajuknya ini.

‘Jika Tiada Syurga dan Neraka, Masihkah Kita Menyembah Tuhan..’, ‘Antara Syurga dan Neraka’ dan akhirnya lekat pada ‘Antara…’ berkongsi secebis kisah Adam dan Hawa yang menjalani kehidupan di Syurga. Namun, apabila keduanya telah tergoda dengan hasutan iblis dengan memakan buah Khuldi yang menjadi larangan, maka tercampaklah mereka ke alam dunia.

Di sinilah iblis berusaha mengotakan janji dan sumpahnya yang mahu merosak dan menyesatkan seluruh umat manusia yakni anak cucu Adam. Manusia terus digoda agar melakukan noda dan dosa dengan meninggalkan segala kebaikan dan perintah Allah. Yang lemah imannya, akan terus hanyut dalam kesesatan, manakala yang kuat imannya akan terselamat daripada kerosakan akidah yang menakutkan.

Turut digambarkan saat manusia bertemu kematian, kejadian di alam barzakh dan seterusnya pada hari perhitungan di mana setiap antara kita perlu melalui titian Siratul Mustaqim. Titian yang menentukan haluan kita selepas itu, sama ada ke Syurga ataupun Neraka. Saat ini, hanya himpunan dosa dan pahala kitalah yang menjadi perhitungannya.

Aku duduk diam, senyap. Ada getar, ada takut dan sesungguhnya ia telah mengusik satu perasaan yang penuh kesedaran dari hati nun jauh di dalam sana. Betapa kita sentiasa alpa dengan kamahuan dan keinginan dunia yang sering sahaja melalaikan kita pada kehidupan lurus yang dituntut. Mudah-mudahan seluruh penonton yang memenuhi segenap ruang Panggung Sari, Istana Budaya malam tadi dan malam-malam kemudian pementasannya ini akan membawa pulang sesuatu untuk pengukuran diri sendiri.

Dari sudut yang lain, aku ingin mengucapkan tahniah diatas lakonan berkesan Azhan Rani yang membawakan watak ‘syaitan’ dengan jayanya sekali. 'Kejahatannya' hidup dan menakutkan sekali. Terus sahaja terkenang penampilannya di dalam teater muzikal Lantai T. Pinkie (menampilkan Nasha Aziz sebagai peneraju utamnya) empat tahun yang lalu yang juga hebat dengan watak antagonisnya itu. Juga Azizah Mahzan yang tentunya tidak perlu dipertikaikan lagi bakat dan kemampuannya. Berilah apa sahaja watak, Azizah Mahzan sama sekali tidak pernah mengecewakan walaupun penampilannya hanya untuk satu atau dua babak. Juga tercuri perhatian kepada liuk lintuk pergerakan Nasha Aziz selaku Hawa yang menyebatikan pergerakkannya itu dengan melodi yang mengisi ruang. Aku tahu dia senang melakukan itu apatah lagi dia pernah ada menyimpan cita-cita untuk menjadi penari ballet suatu masa dulu. Kesungguhannya jelas. Atau mungkin juga kerana kerjasama dan tunjuk ajar yang baik daripada saudara Ray Redzuan selaku koreografer untuk pementasan ini.

Namun, jujurnya aku sangat terganggu dengan sekian banyak persembahan nyanyian yang mengisi ruang persembahan berselang-seli antara babak itu. Bukan tidak boleh, tetapi terlalu banyak! Baru sahaja babak terkesan mahu dihayati dalam, perasaan itu ‘terputus’ apabila pentas bertukar kepada slot persembahan. Ermmm.. 16 buah lagu mungkin terlalu banyak. Jangan disamakan dengan teater muzikal biasa, kerana persembahan muzikal biasa dilakukan oleh pelakon itu sendiri dengan lagu-lagu yang dipinjamkan daripada dialog cerita tersebut. Sedangkan persembahan untuk ‘Antara…’ ini walaupun dalam konsep yang sama tetapi tetap dilihat terpisah. Itu hanyalah pandangan peribadi aku dan mungkin salah dan canggung pada pandangan orang yang lain yang mungkinnya lebih arif.

Apapun, Jamal Abdillah ternyata tetap memikat dengan persembahannya yang cukup menyentuh hati dan bersesuaian dengan konsep pementasan ini. Untuk yang lain, kamu juga menyumbang sesuatu yang positif untuk pementasan ini. Sekurang-kurangnya kemunculan atau penampilan kamu berjaya mengajak rakan-rakan dan anak-anak muda yang lain untuk turut sama duduk menonton pementasan yang berkonsepkan kerohanian ini. Tahniah untuk kesemuanya.

[Kepada yang punya kodrat dan renggit yang ber-sesuaian, mungkin kamu bolih mem-bantu mereka untok terus melahir-kan karya-2 sa-begini rupa pada masa akan datang… amin]

2 comments:

Anonymous said...

Pkl 3 petang ini,RTM akan menyiarkan teater Natrah.
Tapi sy tak berpeluang untuk tgk Natrah sebab ada kelas sampai pukul 5 petang. =)

Koishie said...

Mungkin pd kesepatan yg lain... :)