Sunday, February 28, 2010

~ BAJU YANG SUDAH KOYAK... ~

SELAIN terkesan dengan pementasan ‘Antara…’ pada malam kelmarin, ada cerita lain yang mengiring rasa pada malam berkenaan. Cerita yang telah membuat aku mengenang-ngenangkan cerita lalu.

Pertamanya, aku tanpa sengaja telah terserempak dengan sahabat February. Sahabat ini baru sahaja menyambut hari ulangtahun kelahirannya, 22 Februari yang lalu (Aku tetap mendoakan kesejahteraan buatnya walau tidak mengirimkan ucapan seperti lazim sahabat yang lain…) Aku menyapanya seiring dengan kemaafan yang telah aku lafazkan buatnya atas segala yang telah membuat keruh antara kami sebelum ini. Dia agak terkejut bila mana aku menyapanya mesra seolah tiada apa. Lalu cuba menarik aku untuk mengatur bual yang lebih panjang. Mungkin banyak cerita yang mahu dikongsikan setelah persahabatan kami lama senyap membuat bisu.

Pun begitu, aku menolak hemah. Bukan kerana masih ada marah atau rajuk tetapi mungkin rasa selesa itu tidak ada seperti mana dulu. Manakan tidak, baju yang sudah koyak kalau sudah dijahit baik sekalipun tentu sekali tidakkan sama rupa fizikal asalnya. Errmm… dalam kebetulan yang sama, ada janji untuk menghirup secawan coffee seusai pementasan itu dengan seorang teman. Ermm.. bunyinya seperti alasan yang sengaja diada-adakan. Terpulang pada penerimaannya, namun hakikatnya, tidak!

Meninggalkan jejak di Istana Budaya, aku menghalakan unta hitamku bersimbah cahaya neon sekitar Jalan Ampang. Duduk menghirup coffee bersama teman yang banyak ceritanya. Leka sehingga jam 2.30 pagi. Dari soal politik tempat pekerjaannya sehinggalah kepada politik dalam persabahatan. Politik dalam persahabatan? Bagaimana tu? Aku terlarut dalam ceritanya yang menakutkan itu. Tambah menakutkan apabila dia menitipkan sedikit pesan buatku agar berhati-hati dengan seseorang yang kini agak rapat denganku. Seseorang yang katanya, ‘indah’ hanya di bahagian permukaan sahaja. Justeru, atas rasa kemanusiaannya, dia tidak mahu perkara yang sama berulang kepadaku.

Aku tersenyum sambil mengangguk-angguk. Tidak terlalu serius mendengar ceritanya dan tidak juga bersambil lewa dengan pesannya. Tiada manusia yang sempurna bukan... Setiap antara kita pasti ada kurang dan lebihnya. Cuma jika terlalu banyak yang memudaratkan diri, fikir-fikirkanlah. Aku berharap dengan sesungguhnya agar terhindar dari segala yang ‘berbau busuk’ seperti itu.

[Entri ‘Bagi-mana kalau…’ yang ku-luah-kan be-berapa hari lalu itu mungkin men-jadi kenyataan.. ermmm..]

Saturday, February 27, 2010

~ TEATER MUZIKAL ANTARA.... ~


EMPUK kerusi Panggung Sari, Istana Budaya, ditambah pula dengan kedudukan yang paling cantik di bahagian tengah menghala ke depan pentas tanpa sedikitpun terhalang pemandangan, aku duduk menumpukan sepenuh perhatian kepada teater yang telah menjentik rasa keterujaanku semenjak hari pertama diuar-uarkan tentang pementasannya ini. Teruja, bukan kerana kontroversi yang melandanya, bukan juga kerana barisan pelakon atau penyanyi yang membuat persembahan seiringnya, tetapi kepada jalan cerita dan pengkisahan yang dipaparkan dalam teater yang telah tiga kali ditukarkan tajuknya ini.

‘Jika Tiada Syurga dan Neraka, Masihkah Kita Menyembah Tuhan..’, ‘Antara Syurga dan Neraka’ dan akhirnya lekat pada ‘Antara…’ berkongsi secebis kisah Adam dan Hawa yang menjalani kehidupan di Syurga. Namun, apabila keduanya telah tergoda dengan hasutan iblis dengan memakan buah Khuldi yang menjadi larangan, maka tercampaklah mereka ke alam dunia.

Di sinilah iblis berusaha mengotakan janji dan sumpahnya yang mahu merosak dan menyesatkan seluruh umat manusia yakni anak cucu Adam. Manusia terus digoda agar melakukan noda dan dosa dengan meninggalkan segala kebaikan dan perintah Allah. Yang lemah imannya, akan terus hanyut dalam kesesatan, manakala yang kuat imannya akan terselamat daripada kerosakan akidah yang menakutkan.

Turut digambarkan saat manusia bertemu kematian, kejadian di alam barzakh dan seterusnya pada hari perhitungan di mana setiap antara kita perlu melalui titian Siratul Mustaqim. Titian yang menentukan haluan kita selepas itu, sama ada ke Syurga ataupun Neraka. Saat ini, hanya himpunan dosa dan pahala kitalah yang menjadi perhitungannya.

Aku duduk diam, senyap. Ada getar, ada takut dan sesungguhnya ia telah mengusik satu perasaan yang penuh kesedaran dari hati nun jauh di dalam sana. Betapa kita sentiasa alpa dengan kamahuan dan keinginan dunia yang sering sahaja melalaikan kita pada kehidupan lurus yang dituntut. Mudah-mudahan seluruh penonton yang memenuhi segenap ruang Panggung Sari, Istana Budaya malam tadi dan malam-malam kemudian pementasannya ini akan membawa pulang sesuatu untuk pengukuran diri sendiri.

Dari sudut yang lain, aku ingin mengucapkan tahniah diatas lakonan berkesan Azhan Rani yang membawakan watak ‘syaitan’ dengan jayanya sekali. 'Kejahatannya' hidup dan menakutkan sekali. Terus sahaja terkenang penampilannya di dalam teater muzikal Lantai T. Pinkie (menampilkan Nasha Aziz sebagai peneraju utamnya) empat tahun yang lalu yang juga hebat dengan watak antagonisnya itu. Juga Azizah Mahzan yang tentunya tidak perlu dipertikaikan lagi bakat dan kemampuannya. Berilah apa sahaja watak, Azizah Mahzan sama sekali tidak pernah mengecewakan walaupun penampilannya hanya untuk satu atau dua babak. Juga tercuri perhatian kepada liuk lintuk pergerakan Nasha Aziz selaku Hawa yang menyebatikan pergerakkannya itu dengan melodi yang mengisi ruang. Aku tahu dia senang melakukan itu apatah lagi dia pernah ada menyimpan cita-cita untuk menjadi penari ballet suatu masa dulu. Kesungguhannya jelas. Atau mungkin juga kerana kerjasama dan tunjuk ajar yang baik daripada saudara Ray Redzuan selaku koreografer untuk pementasan ini.

Namun, jujurnya aku sangat terganggu dengan sekian banyak persembahan nyanyian yang mengisi ruang persembahan berselang-seli antara babak itu. Bukan tidak boleh, tetapi terlalu banyak! Baru sahaja babak terkesan mahu dihayati dalam, perasaan itu ‘terputus’ apabila pentas bertukar kepada slot persembahan. Ermmm.. 16 buah lagu mungkin terlalu banyak. Jangan disamakan dengan teater muzikal biasa, kerana persembahan muzikal biasa dilakukan oleh pelakon itu sendiri dengan lagu-lagu yang dipinjamkan daripada dialog cerita tersebut. Sedangkan persembahan untuk ‘Antara…’ ini walaupun dalam konsep yang sama tetapi tetap dilihat terpisah. Itu hanyalah pandangan peribadi aku dan mungkin salah dan canggung pada pandangan orang yang lain yang mungkinnya lebih arif.

Apapun, Jamal Abdillah ternyata tetap memikat dengan persembahannya yang cukup menyentuh hati dan bersesuaian dengan konsep pementasan ini. Untuk yang lain, kamu juga menyumbang sesuatu yang positif untuk pementasan ini. Sekurang-kurangnya kemunculan atau penampilan kamu berjaya mengajak rakan-rakan dan anak-anak muda yang lain untuk turut sama duduk menonton pementasan yang berkonsepkan kerohanian ini. Tahniah untuk kesemuanya.

[Kepada yang punya kodrat dan renggit yang ber-sesuaian, mungkin kamu bolih mem-bantu mereka untok terus melahir-kan karya-2 sa-begini rupa pada masa akan datang… amin]

~ CINTA UNTUKMU ~


TAJUK : Cinta Untukmu
KARYA : Siti Nur Dhuha
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 691 Muka Surat
HARGA : RM22.90

“Izinkan aku memejamkan mata, untuk bermimpi membina sebuah kehidupan bersamamu…”

[Jarang mem-per-olih mimpi..]

Friday, February 26, 2010

~ SALAM MAULIDUR RASUL ~


NABI ANAK YATIM
by raihan

Muhammad Muhammad Muhammad Mustafa
Ibunya bernama Aminah
Ayahnya bernama Abdullah
Dilahirkan di Makkah Mukarramah
Ibu susunya Halimatus Sa'adiah

Ayahnya meninggal dunia
Tika nabi di dalam kandungan
Alangkah sedih pilunya
Ibunya menjaga baginda
Muhammad Mustafa

Semasa di dalam perjalanan
Pulang dari maqam suaminya
Aminah jatuh sakit di Abwa'
Kembali ke alam baqa'

Tinggallah nabi seorang diri
Hilanglah insan yang dikasihi
Tinggallah nabi seorang diri
Mengajarnya hidup berdikari

Anak yatim anak yang mulia
Dilindungi Allah setiap masa

Terpadam api di biara Majusi
Runtuhlah istana Kisra Parsi
Mekah diterangi cahya putih
Tanda lahir Nabi anak yatim

Anak yatim anak yang mulia
Dilindungi Allah setiap masa

Hidupnya yatim, yatim piatu
Tiada ayah tiada ibu
Namun dialah manusia agung

[Firman Allah (s.w.t) yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. [Surah Al-Ahzab: 56]

Thursday, February 25, 2010

~ SELAMAT HARI JADI PISCES ~


Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Sahabat Kecil...
Allah Selamatkan Kamuu..
Aminnnn.

SELAMAT hari ulang tahun kelahiran buat sahabat kecil yang meraikan hari besarnya pada tarikh ini. Mudah-mudahan diizinkan Tuhan kesihatan yang buatnya, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam segala urusan kehidupan. Semoga hari ini menjadi titik penghijrahan yang paling bermakna untuk memperbaiki diri dan menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang.

Apapun, kemaafan jua yang aku pohon daripadanya kerana tidak dapat bersama-sama merai dan menghadirkan diri di majlis istimewanya yang sedang berlangsung saat jari-jariku sedang bercerita di sini. Sungguh, ia bukan alasan semata tetapi sederet tiga hari ini bermula Selasa hingga Khamis, memang aku perlu berada di lantai tempat pekerjaan sehingga malam kerana menyiapkan kerja-kerja yang punya tarikh mati.

Justeru, untuk mencuri sedikit masa dan menghalakan unta hitamku ke arah bertentangan yang jaraknya boleh diumpamakan seperti hujung utara ke hujung selatan pada waktu lewat tengah malam begini adalah sedikit meragukan. Aku cuba untuk mencari inisiatif yang lebih munasabah, tetapi dalam masa yang begitu suntuk begini, mana mungkin ia mampu diperoleh.

Sahabat kecil langsung membuat rajuk yang panjang kerana katanya majlis itu, jemputannya hanya untuk daripada sahabat-sahabat dekat sahaja. Lalu dituturkan kepadaku pepatah yang cukup bermakna sekali untuk didengar, 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih..' Aku tersenyum mendengarnya kerana kebenarannya memang ada. Namun, yang aku mahu aku katakan, 'bukan aku tak hendak', cuma kesempatan benar-benar tidak ada untuk hari ini walaupun sederas kudrat mencari helah untuk menyelesaikan urusan pekerjaan dengan sepantas yang mungkin.

[Mau ke-kedai kek se-awal pagi esuk...]

Wednesday, February 24, 2010

~ ADAKAH ITU KITA ? ~


ENTAH kenapa hari ini aku kembali membelek dan mengulang sekali lagi novel indah karya Andrea Hirata, Sang Pemimpi. Kembali membaca dan menyelami hati sahabat-sahabat setia yang sanggup berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan sahabatnya.

Tersentuh dengan pengorbanan Arai yang sanggup menjadi kuli secara senyap-senyap di ladang kuda Copa selama dua bulan semata-mata kerana mahu meminjam kuda putih yang bernama Pangeran Mustika Raja Brana dari Copa untuk sahabatnya si Jimbron yang sangat obses dan gilakan kuda sejak sekian lama itu. Tidak sampai hati dia melihat kemurungan Jimbron yang terlalu rindu untuk melihat binatang yang sering hadir dalam mimpinya dan realitinya itu. Justeru, dengan mempertaruhkan tulang empat keratnya, sederat kudrat yang ada dia berusaha memperhambakan diri untuk memujuk sang majikan untuk dipinjam kuda itu.

Secara diam juga, si Jimbron anak muda yang lurus bendul dan jujur dalam setiap lakunya ini mengumpul wang upah hasil daripada kerja kasarnya setiap habis sekolah di dalam dua tabung kuda yang diberi nama Kuda Sumbawa dan Kuda Sundel secara sama rata. Siapa sangka kala sahabatnya si Ikal dan Arai mahu berangkat ke Jakarta untuk mengubah kehidupan, dihadiahkanya dua tabung itu kepada sahabat nakalnya itu. Rupa-rupanya memang telah diniatkan daripada awal duit tabungan itu untuk membantu merealisasikan mimpi dua sahabatnya itu, sedang mimpinya hanya terbenam di hati.

Aduhh.. Andrea Hirata membawa aku ke dunia yang lain. Dunia yang menjadikan aku lain. Lain dengan semangat-semangat positif yang membakar dalam jiwa. Ayuh.. jadilah sang pemimpi yang tegar untuk menjamah 'kemungkinan'. Usah kita mendahului nasib!!!

[Ada-kah kamu sedang me-miliki sahabat seperti itu? ermmmm....]

Tuesday, February 23, 2010

~ BAGAIMANA KALAU... ~


Bagaimana kalau,
Orang yang sentiasa mengangguk untuk kamu itu sudah hilang entah kemana
Bagaimana kalau,
Orang yang sering mendengar cerita dan gurau senda kamu itu sudah senyap tidak bersuara
Bagaimana kalau,
Orang yang sentiasa menerima segala kurang dan lebih kamu itu sudah tiada di situ
Bagaimana kalau,
Orang yang sentiasa ada sebagai sahabat buat kamu itu sudah lenyap dari pandangan
Bagaimana kalau,
Orang yang sering menjadi teman bergaduh kamu itu sudah tidak nampak kelibatnya lagi
Bagaimana kalau,
Orang yang selalu kamu buli itu sudah tidak kamu temui lagi
Bagaimana kalau,
Orang yang kamu sering permudahkan itu sudah tidak muncul lagi
Bagaimana kalau,
Orang yang kamu selalu kecilkan hatinya itu, Sudah tidak mahu mendekat lagi
Bagaimana kalau,
Orang yang kamu anggap bosan itu benar-benar lari menjauhi kamu
Bagaimana kalau,
Orang yang tidak pernah kamu hargai itu benar-benar hilang jejaknya...


[Dan....... bagi-mana kalau ia benar ter-jadi pada kamu? ]

~ HARI YANG GELAP ~


NASIB memang aneh. Entah apa yang tidak kena, hari ini segalanya tidak menjadi buatku. Ermmm... Aku berada di tiga buah lokasi yang berlainan hari ini atas urusan pekerjaan. Lelah, bosan dan tertekan dengan apa yang dilalui hari ini.

Dalam perjalanan ke lokasi pertama, kami (yakni aku dan seorang kawan) telah tersasar jalan menuju ke lokasi sepatutnya. Justeru, terpaksa membuat perjalanan 'sia-sia' berpusing-pusing dan berpatah balik melepasi dua tol untuk ke lokasi yang mahu dituju.

Ketika dalam perjalanan ke lokasi kedua, ermmmmmmm... tiba-tiba ditahan polis dan mendapat saman trafik buat pertama kalinya dalam hidup sepanjang-panjang aku memiliki lesen memandu. Kesalahannya kerana memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan. Dikatakan telah memandu pada kelajuan 97kmj dan melebihi had laju 80kmj yang telah ditetapkan. Tidak membantah apa-apa. Tiada rungutan apa-apa. Salah sendiri. Dan nasib sendiri.

Seusai urusan kedua, aku perlu ke Jalan Air Bukit, Ampang Utama. Keliru dengan alamat yang diberikan, kami telah menjelajah seluruh kawasan Ampang dari kawasan sesak sehinggalah ke kawasan senyap sunyi. Bertanya segala macam orang yang ditemui di sepanjang jalan dan semuanya memberikan jawapan cukup meyakinkan kami... namun, rupa-rupanya tidak ada satupun yang betul. Akhirnya, seorang teman telah menyelamatkan kami, rupa-rupanya lokasi yang dicari itu betul-betul berhadapan Ampang Point. Ampang Point ??????? Ermm....

Masih lagi bersabar sehinggalah terpaksa pula menunggu hampir empat jam selepas itu dan berdepan dengan segala macam karenah untuk bertemu dan berurusan dengan orang yang dicari. Yaaa... aku berada di situ sehingga jam 8.30 malam sebelum memandu pulang dalam keadaaan hujan berat membasahi hiruk-pikuk kota. Tiba di rumah, aku menangis. Tidak tahu menangis untuk apa. Ermm...

[Nasib memang anehh..]

Monday, February 22, 2010

~ YANG PALING MEMBUAT SENANG ~













FOTO-foto indah dan menyenangkan yang dirakamkan genap seminggu yang lalu. Lama tidak melihat matahari terbenam dari gigi pantai yang bersimbah cahaya senja seperti ini. Indah. Nyaman. Tenang. Meski ada cerita lain disebaliknya... ermm...

[Se-ribu cherita.. senan-tiasa ada..]

~ PINDAH ~

PINDAH. Yaa.. aku akan berpindah ke kediaman baru, lokasi baru, persekitaran baru. Berat hati untuk meninggalkan ruang yang telah banyak meninggalkan momen-momen indah yang dilalui dengan senyum dan tangis ini. Namun, penghijrahan ini perlu untuk memulakan hidup baru. Mudah-mudahan ia juga diiringi semangat baru. Meninggalkan segala yang lalu dengan bersih tanpa secalit bekas.

Terdetik rasa untuk berhijrah bidang pekerjaan juga. Apatah lagi kediaman baru ini jauhhhhh sekali dari tempat pekerjaan sekarang ini. Kesempatan ini mungkin berguna untuk menjadi baru. Mahu meninggalkan banyak perkara yang tidak aku senangi sekian lama. Sedang menimbang-nimbang membuat perkiraan.

[Baru sahaja 'mem-berseh-kan' be-berapa nama yang di-rasa-kan sudah tidak perelu berada di-skren telepon bimbit-ku...]

Sunday, February 21, 2010

~ USAH DIBIAR TERLARUT PANJANG ~


BARU sahaja selesai membuat jernih untuk sesuatu yang hampir keruh. Sungguh, aku mohon kemaafan kerana terlepas janji. Menyedari salah faham itu berpunca dari diriku yang sering sahaja tercuai ini, aku sedaya upaya mungkin cuba memulihkan keadaan. Mujur sahaja ia tidak terlarut panjang. Kalau tidak, tentu sahaja lenaku nanti akan bertemankan mimpi yang ngeri.

Berdepan hal-hal yang melibatkan salah faham, kemarahan, kemerajukan dan seumpamanya sering sahaja menyesakkan dada. Andai berpunca dari salah dan cuai diriku, sebolehnya saat sebelum menutup mata pada hari kejadian itu cuba ku selesaikan. Usah pernah melebihi 24 jam itu kata seorang yang namanya tersohor kepadaku suatu masa dulu. Ini kerana menurutnya, selepas putaran 24 jam itu, fikiran dan anggapan hati boleh sahaja menjadi semakin kelat dan tebal keraknya. Mahu memujuk, haruslah dalam tempoh putaran 24 jam itu. Mahu membetulkan salah faham, haruslah segera dalam ketika itu.

Merujuk kepada diri sendiri, aku juga merasakan begitu. Andai diri berdamping rajuk, marah, terkuis rasa dan seumpamanya, aku berharap dalam tempoh putaran 24 jam itu keadaan kembali terpulih. Aku berharap mereka yang membuat punca itu datang membuat jernih. Mengharap diri dipujuk (arghhh.. kisah orang sensitif...). Ini kerana apabila putarannya telah berganjak ke-25, 48 dan seterusnya, berkemungkinan sahaja fikiran akan menjemput sesuatu yang negatif membuat damping tanpa disedari kita. Hati jadi sebal. Justeru, yang kecil remeh itu akan menjadi luka yang memedihkan.

[Untok kita yang meng-erti soal kema'afan...]

~ TIDAK DENGAN NIAT YANG TERSEMBUNYI ~


FACEBOOK. Aku tersenyum sendiri melihat kegilaan rakan-rakan mengadap laman sosial yang cukup popular ini. Tidak aku nafikan, laman ini punya banyak kelebihannya terutamanya dalam mengumpulkan rakan-rakan lama dan baru untuk berkongsi cerita, idea, pendapat mahupun hobi bersama. Banyak manfaatnya jika digunakan dengan cara yang betul dan ia akan menjadi sebaliknya jika disalah gunakan.

Aku juga punya akaun laman sosial itu. Bagaimanapun, aku tidaklah seaktif rakan-rakan yang lain. Apatah lagi aku menggunakan nama pengenalan yang tidak diketahui teman-teman. Malah, tidak ada rakan-rakan yang aku kenali di luar (kecuali beberapa orang yang berlaku secara kebetulan) yang aku 'add' di laman itu. Bukan mahu berahsia, tidak juga mahu menyembunyikan identiti diri, tetapi lebih baik begitu barangkali. Lebih ikhlas, lebih terbuka dan bebas dalam berkongsi apa sahaja di situ. Sungguh, tiada niat selain dari itu.

Begitu jugalah dengan 'JARI JARI BERCERITA' ini. Tidak ada mereka yang dikeliling tahu aku adalah tukang ceritanya.. :). Malah, ahli keluarga, teman jiwa, teman rapat atau teman sepekerjaan sendiri tidak pernah tahu akan kewujudannya. Biar sahaja ia kekal begitu. Alasannya sama juga seperti yang aku nyatakan di atas. Kamu memahami kan..

[Kecuali sahabat yang nama-nya 'One Love', sa-orang penulis genius yang sangat aku hurmati... dan punya chenta hati yang sangat comil itu..]

Saturday, February 20, 2010

~ EMAS DI DALAM KAPAS ~


SI KECIL pulang dengan cerita besar. Sebenarnya, lama kami tidak punya kesempatan untuk berbual-bulan panjang begini. Bunyinya seperti agak keterlaluan, tetapi begitulah kenyataannya. Ketika aku pulang dari kerja, dia sudah melelapkan mata. Bilamana aku pula masih melelap mata, dia sudah bangun memulakan hari. Kalau sempat bertemu pun, tidak sampai kepada kesempatan untuk bercerita panjang.

Hari ini, kami punya kesempatan itu. Malah, aku betul-betul meluangkan masaku untuk bercerita dengannya. Duduk mengadap mukanya betul-betul. Kebetulannya si kecil ini baru sahaja pulang bercuti ke kampung selama hampir seminggu baru-baru ini. Justeru, tentu sahaja banyak cerita yang dia mahu kongsikan bersamaku. Anggapan itu benar, dia kelihatannya tidak sabar mahu bercerita.

Dia membawa cerita 'klasik' yang klise yang sudah biasa di dengar dan masih terus diperdengarkan alam keluarga kami. Membiarkan sahaja keterujaannya untuk berkongsi cerita itu. Comel.. :) aku sukakan kecomelannya kala bercerita kepadaku dengan penuh kesungguhan. Malah sesekali dia mengajuk lagak ayah yang dipanggilnya 'tokki' itu.

SK : AL tahu tak, hari tu kan.. CS kena marah dengan Tokki.
AKU : Marah?
SK : A'ahh.. Tokki mengamuk sebab CS balik lambat.
AKU : Aikkk... kenapa? CS pegi mana?
SK : CS keluar dengan kawan dia... errr.. sebenarnya boyfriend diaa (separuh berbisik)
SK : Dia pegi jalan-jalan dari pukul 9 pagi.
SK : Lepas tu pukul 12, Tokki dah tanya mana CS.
SK : Pukul 2 tokki tanya lagi, pukul 3 pun tanya.
SK : Banyak-banyak kali tokki tanyaaaaa...
(sambil mengurut dadanya)
SK : Pukul 5, Tokki marah lagi. Pastu tokki suruh tokma telefon CS.
AKU : Tokma telefon tak?
SK : Telefonlah... Tokma kan takut kat tokki.
SK : Banyak-banyak kali tokma telefon.
SK : Tapi tak dapat sebab CS tak jawab telefon.
SK : Pukul 7 lebih CS balik, tokki tunggu depan pintu pagar.
SK : Kelakar tokma.. hehehe... tokma takut Tokki mengamuk..
SK : Tapi... errr... D pun takut jugak.. CS lagiiiiiiiiiiiii takut.

Aku tidak punya kesempatan untuk mendapatkan cerita sebenar dari adik kerana sebaik kembali ke hiruk-pikuk kota tempohari, dia terus sahaja ke kempusnya. Ada urusan berkaitan dengan kerja lapangan katanya dan terpaksa mengorbankan baki cuti semesternya. Justeru, cerita dari si kecil itu aku amati sebaiknya.

Itu adalah secebis kisah yang biasa kami lalui. Kami anak-anak perempuan ayah lalui. Yaaa.. hanya anak-anak perempuan, sedang anak-anak lelaki ayah bebas terbang ke mana sahaja mahunya dan berbuat apa sahaja ingin hatinya. Bunyinya seperti aku sedang cemburu... tidak juga... ermmm.. cuma mungkin mahu menuntut lebih kefahaman dari ayah atas semua itu.

Mungkin kamu di luar sana mengerti cerita ini seperti lucu. Yaa... mungkin lucu pada zaman yang serba moden ini apabila sang ayah masih lagi dengan pegangan yang begitu. Itu ayahku, ayah kami yang masih lagi kuat dengan pendirian yang keras menjadi pegangannya sehingga hari ini. Kalau ditanya mahunya secara jujur, mungkin saja dia akan laju menjawab, mahu lihat kami duduk di rumah dan memerhati sederap laku kami.

Aku tidak pernah mengatakan itu salah. Sungguh! Cumanya, aku sesekali ingin memberi bukti pada ayah, kami ini tetap akan menjadi diri kami dan tetapnya akan menjadi anak ayah dan ibu sebagai mana yang mereka mahukan walau di bawah langit manapun kami berteduh. Didikan ayah dan ibu itu, insya-Allah tidak akan 'melelongkan' kami.

Aku hampir sahaja tidak dapat menyambung pelajaran di Univerisit tertua di Lembah Pantai itu beberapa tahun lalu kerana ayah tidak mahu melepaskan aku belajar jauh melepasi sempadan negeri Darul Iman itu. Aku juga hampir terus menjadi penganggur terhormat kerana ayah tidak mahu mengizinkan aku memilih bidang pekerjaanku sekarang ini untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sebahagian mozek hidupku yang seringkali membuat aku tersenyum panjang kala mengenangnya.

Degilku dan degil ayah sering sahaja bertembung. Pertembungan itu bagaimanapun belum sampai mahu melukakan. Sungguh, aku menjaga yang satu itu. Terima kasih kerana menjadikan aku manusia yang sentiasa ada dengan perasaan kasih sayang dan rasa kemanusiaan yang tinggi.

[Juga rasa me-menting-kan orang laen, meski ter-sekat ke-inginan diri... ermm...]

~ JIKA KAU TIADA ~


TAJUK : Jika Kau Tiada
KARYA : Elin Nadia
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 505
HARGA : RM19.90

“Hangatnya Kasihmu Menyelimut Hatiku Yang Dingin…”

[Me-nompang kaseh..]

Friday, February 19, 2010

~ MUZIKAL ANTARA... ~



PROGRAM : Muzikal Antara... (Sempena Sambutan Maulidur Rasul)
KARYA : Eirma Fatima
PENGARAH : Ellie Suriaty
PELAKON : Nasha Aziz, Fahrin Ahmad dan lain-lain.
PERSEMBAHAN : Ziana Zain, Jamal Abdillah, Lan & The Type writter dan lain-lain.
TARIKH : 26-28 Februari 2010
MASA : 8.30 Malam
TEMPAT : Panggung Sari, Istana Budaya
TIKET : RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 & RM250 (www.ticket2u.biz)

Konsep persembahan ini adalah sebuah Pantomin. Nyanyian dan lakonan akan digabungkan didalam sebuah penceritaan yang menarik. 'Antara…' mengisahkan perjalanan awal kejadian manusia. Nabi Adam (as) dan Hawa. Ia juga akan menyentuh perjalanan kehidupan manusia; dari kelahiran, alam hayat, alam baqa, syurga dan neraka.

Adam dan Hawa memulakan kehidupan mereka di alam syurga, tetapi kerana tergoda dengan hasutan iblis, keduanya terlontar ke bumi. Di alam dunia, iblis terus meraja dan manusia berpalit dengan noda dan dosa. Yang lemah imannya akan hanyut dan tewas, manakala yang kental imannya akan berjaya mempertahankan akidahnya.

Setiap yang hidup akan menghadapi kematian. Di alam barzakh segala dosa dan pahala akan diperhitungkan. Dari alam barzakh, manusia akan berpindah ke Padang Masyar dan setiap orang akan melalui titian siratul mustaqim. Amal dan pahalalah yang akan menentukan syurga dan neraka.

[Coba men-chari kesempatan untok meng-hadir-kan diri...]

Thursday, February 18, 2010

~ SERBA TIDAK KENA ~

SEDIH. Kamera kesayangan bermasalah lagi. Bahagian lensanya tidak dapat ditutup seperti biasa. Ia tersangkut kerana ada baki pasir halus yang tertinggal di dalamnya setelah terjatuh di tanah pantai tiga hari lepas. Ermm.. Kamera ini tidak pernah mahu kasihan padaku barangkali. :(

[Teman paleng wajeb yang senan-tiasa ada dengan-ku]

Wednesday, February 17, 2010

~ DAN LAGI... ~


PATUTLAH dari semalam lagi aku merasa sangat tidak selesa dan terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena berlaku di rahang kananku. Semalam aku tidak dapat meletak lena kerana mengalami rasa sakit yang bukan kepalang di bahagian tersebut. Hari ini terjawab segalanya.

Seawal pagi, mahu atau tidak tanpa ada pilihan lain aku menyerah diri ke doktor. Kebetulan pula bersendirian di rumah kerana kakak bercuti seminggu di kampung halaman. Jujur, aku takut untuk bersendiri menyerah diri ke doktor. Tidak pernah sebelum ini dan hari ini pertama kali tanpa ditemani. Aku cuba menghubungi seorang sahabat untuk memohon bantu. Namun, membatalkan hasrat itu kemudiannya kerana terasa seperti menyusahkannya pula di awal pagi begini. Sudahnya aku memandu bersendirian separuh sedar menahan kesakitan ke doktor.

Seperti yang kuduga, ia berkaitan dengan 'benda asing' yang masih bertamu di rahang kananku. Aku tidak tahu entah berapa banyak lagi yang masih berbaki 'di dalam' sana. 14 April tahun lalu, aku melalui hal yang sama dan en doktor mengeluarkan dua daripadanya. Hari ini pula, tiga daripadanya. Ermm... yaa tiga skru yang menyambungkan rahangku yang patah saat berdepan kemalangan beberapa tahun lalu. Setiap skru ini panjangnya kurang lebih 1 cm.

Rahang bengkak dan luka dibahagian gusi bersebelahannya agak teruk. Yaa... luka di bahagian dalam mulut, tentu sahaja pedih dan peritnya tidak tertahan kerana ia sentiasa basah. Terus sahaja demam. Seharian aku tidur tidak bangun-bangun. Dan saat ini pula begitu menyeksakan untuk memaksa diri meletak lena untuk mengurangkan kesakitan yang menggigit di bahagian rahang yang membengkak itu.. :(

[Kesakitan untok meng-hapus dosa barang-kali...]

Tuesday, February 16, 2010

~ BILA AKU MEMILIH UNTUK DIAM ~


KECIL HATI. Yaa.. sangat-sangat. ini kerana ia bukan pertama kali berlaku, tetapi dua.. tiga.. empat atau lima barangkali. Aku tidak pernah meminta apa-apa, tetapi sekurang-kurangnya hargailah. Mungkin aku ini mudah orangnya, tetapi usahlah terlalu 'mempermudahkan' aku.

Kejadian serupa hari ni atau beberapa jam tadi, membuatkan aku seperti terasa serik. Yaaa serik! Bunyinya seperti berat walhal pada hakikatnya ia merupakan hal yang terlalu kecil dan remeh. Namun, yang kecil dan remeh ini telah berlaku secara berulangan sehingga akhirnya menjentik kesabaran diri.

Mujur aku masih mengenangkan dia sebagai sahabat. Sahabat yang bukan sehari-dua kukenal. Justeru, lakukan apa sahaja menurut mahumu wahai sahabat (sehingga sabarku habis). Segalanya akan termaafan atas dasar persabahatan itu. Ermm... Apapun, aku merasa sangat sedih dan terhiba saat jari-jari ini bercerita kala jam tepat menunjukkan jam 2.38 pagi ini.

[Sa-patot-nya aku tidak meng-anggok untok ke-sana... ]

Monday, February 15, 2010

~ SEPARUH HARI BERDAMPING ~


MENGAMBIL sarapan di luar hiruk-pikuk kota bersama teman jiwa sejak awal pagi. Masih dalam mood hari rayanya. Aku tahu banyak cerita yang mahu dikongsikannya tanpa sedikitpun mahu sabar seolah sudah tiada lagi esok yang akan muncul. Ermm.. cerita tentang dirinya yang baru.

Ini hanya permulaan. Mudah-mudahan dia dapat melaluinya dengan baik pada hari esok dan hari-hari seterusnya. Aku kenali dia sebagai seorang yang berani berdepan cabaran. Justeru, aku yakini dia mampu berdepan segalanya ini dengan baik-baik saja.

Hanya separuh hari berdamping. Aku menolak untuk menyertainya meraikan perayaan dengan acara-acara yang telah beratur menunggunya. Biar sahaja dia meraikannya dengan penuh selesa.

[Lelah menunggu habis-nya tayangan 'True Legend' yang sarat dengan kekejaman dan kerakosan...]

~ KU BAHAGIA ~


KU BAHAGIA
by sherina

(ost filem laskar pelangi)

Kita bermain-main
Siang-siang hari Senin
Tertawa satu sama lain
Semua bahagia
Semua bahagia

Kita berangan-angan
Merangkai masa depan
Dibawah kerindangan dahan
Semua bahagia
Semua bahagia

Matahari...
Seakan tersenyum

Walau makan susah
Walau hidup susah
Walau tuk senyum pun susah
Rasa syukur ini karena bersamamu juga Susah dilupakan
Walau makan susah
Walau hidup susah
Walau tuk senyum pun susah
Rasa syukur ini karena bersamamu juga Susah dilupakan
Oh Ku bahagia
Oh Ku bahagia

Kita berlari-lari
Bersama mengejar mimpi
Tak ada kata tuk berhenti
Semua bahagia
Semua bahagia


[Usah di-gadai per-sahabatan itu...]

Sunday, February 14, 2010

~ SETIAP HARI BERKASIH SAYANG ~


HAPPY valentine's day? Errmm... minta maaf, aku tidak pernah meraikannya. Yaa.. tidak pernah dan tidak akan pernah.

[Ber-kaseh sayang sa-penoh keikhlasan...]

~ GONG XI FA CAI ~


SELAMAT TAHUN BARU CINA untuk semua rakan dan kenalan yang meraikan perayaan besar ini. Juga tentunya paling istimewa buat teman jiwa dan keluarga. Mungkin sambutan untuk tahun ini memberikan sedikit kelainan buat teman jiwa, namun aku harapkan ia tidak membuat canggung buat dirinya. Mudah-mudahan senyum dan kebahagiaan sentiasa mengiringi kehidupannya sekeluarga.

Semoga tahun harimau ini memberikan tuah dan keberuntungan hidup yang lebih berganda dari sebelumnya. Juga keberanian untuk terus mendepani hidup meski bercabang dugaan datang bersilih membuat ganti. Terima kasih juga kerana masih berani untuk 'memilih' susah payah yang sedang dilalui ini.

[Rezeki murah... tahon ini ang-pau ber-tambah... :) ]

Saturday, February 13, 2010

~ SIAPA KEKAH BIDAN SEPIAH & SALUN EKSOTIKATA ~


TAJUK : Siapa Kekah Bidan Sepiah
PENGARANG : Sindiket Sol-jah
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Sindiket Sol-jah
HALAMAN : 112 Muka Surat
HARGA : RM20.00

“Bukan semua yang mengaum itu harimau dan bukan semua harimau itu mengaum, yang!”



TAJUK : Salun Eksotikata
EDITOR : Alina Abdullah
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : Sindiket Sol-jah
HALAMAN : 128 Muka Surat
HARGA : RM15.00

“Buku ini mungkin anti-art, mungkin juga kitsch. Tapi, berubahkah pandangan jika dikatakan antara penulisnya bakal menajdi seorang doctor, arkitek, atau akauntan? Atau mungkin juga reformis yang sekian lama berjuang mempertahankan idealisnya. Atau mungkin juga pemikir yang sekadar ingin memparodi sastera tinggi?”

[Senantiasa menerima dengan hati yang ter-buka..]

Friday, February 12, 2010

~ TRAGIS ~


SEGALA urusan kerja yang punya tarikh mati telah diselesaikan semalam. Diawalkan sehari dari tarikh biasa bersempena Tahun Baru Cina yang bakal diraikan, Ahad ini. Justeru, hari ini punya kelapangan untuk sedikit bersenang-senang. Aku juga mengambil cuti separuh hari pada sebelah petangnya kerana perlu menyelesaikan sedikit urus bersama Brad sebelum dia mengambil cuti panjang.

Usai urusan perlu, aku pulang ke rumah sahaja. Mahu melepas lelah dan mencuri sedikit rehat kerana seawal pagi esok, aku perlu terbang ke bumi kenyalang dan kembali ke semenanjung tanahair 24 jam yang sama atas urusan yang benar mendesak.

Namun, kurang lebih jam 6 petang telefon bimbitku bergetar. Di hujung talian, kedengaran suara esak tangis yang mengisi ruang. Kalut. Dikalutkan dengan cerita seorang rakan yang ditimpa musibah. Menerima notis 24 jam pemberhentian kerja angkara perbuatan sahabat sendiri yang menikam tajam. Yaa... sahabat sendiri. Tragis bukan. Dan itulah yang dilalui oleh rakan ini dengan penuh emosi.

Namaku mungkin terlintas di fikirannya kala musibah itu melanda. Justeru, aku dihubunginya untuk memohon sedikit bantu. Mujur sahaja, aku tidak dalam keperluan lain lalu terus sahaja menghalakan unta hitamku meredah sesak perut jalan raya ke bandar anggerik. Tidak seperti perjalanan biasa kerana kesesakan agak luar biasa kerana warga kota sibuk meninggalkan hiruk-pikuk kota sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Rupa-rupanya, rakan ini membuat keputusan untuk terus meninggalkan rumah sewanya dan kembali ke rumah keluarganya di Bangi. Aku membantunya memunggah segala barang miliknya dan seusai itu kami terus ke Bangi. Sepanjang-panjang perjalanan yang sangat perlahan pergerakan di isi perut jalan raya itu, ceritanya tersulam esak tangis yang berat. Aku lebih banyak mendengar, mengangguk-ngangguk dan sesekali cuba mententeramkan emosinya. Ermm...

Begini fitrah manusia barangkali. Untuk hidup, apa sahaja sanggup dilakukan. Apa sangatlah nilai persahabatan berbanding duit ringgit yang ditabur di depan mata. Asal sahaja diri lolos, hidup dalam keberuntungan, apa perlunya sahabat lagi? Namun, satu soalan ingin kutanyakan, bahagiakah hidup kamu atas penganiayaian yang dilakukan tangan kanan kamu itu. Berkat dan penuh rahmatkah setiap hembusan nafas kamu andai busuk hati kamu itu terhidu seisi alam? Ermmm..

[Ber-henti-lah...]

Thursday, February 11, 2010

~ SEDANG MAHU BERDIRI ~


MARAH. Aku sungguh merasa marah dengan en boss. Aku tidak dapat meneka apa yang sedang ada di dalam kepalanya. Sebanyak kudrat aku memenuh segala inginnya, sebanyak itu jugalah dia cuba mengujiku. Kesabaran yang ada ini sesunguhnya tidak banyak untuk aku persembahkan untuknya. Gusar andai kata hati yang mendahului akal dalam pertimbanganku kelak, aku akan berdiri untuk bersuara. Saat itu, aku sudah tidak nampak siapa lagi, termasuklah dia. Ermm..

[Sedang ber-diri di-atas kerosi..]

Wednesday, February 10, 2010

~ KERUH ~

MOOD terkacau dengan pembongkaran rasa kurang senang seorang rakan pekerjaan ini. Patutlah beberapa hari lalu dia berlaku acuh tidak acuh terhadapku kala menyapa dan bertanya khabar kepadanya, rupanya ada cerita lain.

Cerita yang sangat menjengkelkan singgah di telinga. Ceritanya tidak benar tentang diriku. Kesimpulannya juga tidak tepat untuk menggambarkan aku. Dia membuta-tuli menembak. Semua orang tahu tentang tembakannnya itu, kecuali aku.

Ermm.. dia bukan orang sehari-dua kukenali. Lama. Justeru, tingkahnya itu membuat aku menopang dagu. Mengapa yaa.. Apa aku ada berbuat salah besar kepadanya? Andai ada, sungguh aku mohon maaf dengan serendah-rendah hati kerana ia mungkin berlaku tanpa kesedaran warasku. Tidak pernah ada dengan sengaja. Sungguh.

Apapun, tingkah yang tercanggung itu sangat membuat kacau pada hati. Kecewa? Sakit hati? Entah... tiada rasa barangkali. Tidak tahu mahu dirasakan bagaimana. Apa yang pasti, air di kuala sudah keruh. Keruh. Sukar mahu jernih lagi barangkali.

[Yang senyap itu lebeh nyaring bunyi-nya jika mampu di-dengar..]

Tuesday, February 09, 2010

~ ADA DENGAN KEMAAAFAN ~


MENYINGGAH dan membaca entri tentang kemaafan tulisan Hanis Zalikha. Bertuah dia kerana memiliki hati yang indah kerana sentiasa mudah memaafkan. Aku juga sentiasa berusaha untuk begitu. Untuk menjadi pemaaf, untuk membersihkan segala kesakitan hati dengan mudah dan aman. Ermmm.. terkenang juga babak yang dipertonton oleh arwah Yasmin Ahmad dalam filem Muallaf. Babak Rohana dan Rohani yang memaafkan semua orang yang telah melukakan hati mereka sebelum melelapkan mata. Indah... dan sepatutnya begitulah kita adanya.

Sekali lagi, ingin aku katakan aku sentiasa berusaha untuk melakukan hal yang serupa. Sentiasa melafaz dan meniatkan maaf untuk mereka yang melukakan. Namun, ia masih tidak mudah untuk aku melupakan. Itu pengakuan jujur dari aku. Yaaa.. aku memaafkan dengan hati yang ikhlas, tetapi dalam masa yang sama aku mengambil masa untuk melupakan. Kata seorang sahabat, itu bererti kemaafan aku itu tidak ikhlas, tidak ada erti. Memaafkan itu bererti melupakan juga. Itu katanya dan aku tidak pernah mahu menafikannya.

Namun, ingin aku katakan kemaafanku tidak pernah 'meninggalkan' keikhlasan. Aku sama sekali tidak akan melafazkan maaf jika aku tidak ikhlas untuk melakukan itu. Cumanya, fitrah aku ini adalah seorang manusia yang sangat susah untuk melupakan. Tidak sama sekali menyimpan dendam. Cuma aku mengambil masa dan tidak mampu untuk membuang ingatan semudah A,B,C. Kesimpulan mudahnya, hatiku belum bersih dan masih ada 'penyakit' yang perlu disembuhkan. Aku tahu itu kerana aku hanyalah manusia biasa yang sentiasa belajar mahu memperbaiki diri.

[Forgive n forget..]

Monday, February 08, 2010

~ MENGHABIS DUIT RINGGIT ~


SHOPPING sakan. Tidak sampai separuh hari, habis lenyap gaji sebulanku. Yaa... kesemuanya dan hanya berbaki sekeping-dua note merah sahaja. Ermmm.. sebenarnya, aku bukanlah seorang yang 'kaki shopping' dan aku sangat-sangat jarang melakukan aktiviti ini, jika tidak benar-benar dengan keperluan. Tetapi entah bagaimana, hari ini aku melakukannya untuk yang langsung bukan keperluan hanya kerana mahu melepas 'stress'. Melepas stress dengan shopping? Owhh aku tidak pernah lakukannya sebelum ini.

[Mau shopping buku-2 lama..]

Sunday, February 07, 2010

~ MASKARA 19 @ RUMAH PENA ~





SELAMA dua hari berada di luar daerah bersama team rakan-rakan sepekerjaan untuk satu acara berkait urus pekerjaan. Selama dua hari itu juga kami melalui aktiviti yang padat seawal pagi memulakan hari sehingga awal pagi menutup hari. Keadaan cuaca yang terlalu panas membuatkan keadaan diri tidak dalam keadaaan yang begitu baik. Namun, semuanya masih terkawal dan berjalan dengan baik seperti mana yang dirancang-aturkan.

Jam 5.15 petang tadi, aku kembali ke hiruk-pikuk kota. Hujan lebat menyimbah bumi menyebabkan pemanduan untuk pulang ke rumah agak terganggu. Aku perlu segera bergegas pulang ke rumah dari bandar anggerik kerana mahu menghadiri acara Maskara 19 di Rumah Pena pada jam 8.00 malamnya. Yaa... soal lelah yang terpaksa diketepikan kerana aku tidak pernah mahu ketinggalan untuk menghadiri setiap acara Maskara yang memikat itu.

Sekadar pulang untuk membersih diri dan menukar pakaian, aku segera menghalakan unta hitamku ke rumah pena. Mujur acara belum bermula walaupun aku agak terlewat tiba. Banyak yang menarik pada acara kali ini. Malangnya, aku beberapa kali terlelap kala mereka yang hebat itu membuat persembahan. Bukan kerana persembahan mereka itu tidak menarik perhatian, tetapi mungkin kerana badan terlalu letih dan kudrat yang sekerat ini marah kerana tuan empunya badannya memaksanya untuk bertahan dan 'bekerja' lagi meski tenaganya sudah langsung habis dengan aktiviti 24 jam tanpa henti selama dua hari ini. Adehhh... mujur sahaja aku tidak berdengkur di situ.

Apapun, secara keseluruhannya persembahan paling memikat dalam dalam perhatianku adalah persembahan terakhir dari saudara Mior yang langsung tidak aku kenali siapa dia. Lontaran vokalnya, petikan gitarnya, gaya bersahajanya.. semuanya memikat. Aku suka dan aku mahu menyaksikan persembahan kamu lagi walau siapapun kamu! Selainnya, tentu sahaja gadis manis yang terkenal dengan imej berbaju kurungnya, Ana Raffali. Aku kira ramai yang sudah mengenali artis baru yang sedang meningkat naik ini. 'Hatiku kau Pegang', lagu yang indah dan menyentuh rasa yang dalam. Juga anak muda yang namanya Jayzuan yang beberapa kali mengejutkan aku dari lelap. Aku suka 'Lelaki Pop Ini'.

Tidak ketinggalan juga deklamasi puisi dari Wak dan seorang lagi penyajak senior yang aku lupa namanya. Tahniah juga untuk semua yang melakukan persembahan pada malam ini. Mohon maaf kerana aku gagal mengingat nama mereka kerana mungkin aku terlelap kala nama mereka diperkenalkan oleh sang pemimpin acara. Sekali lagi, bukan kerana persembahan mereka tidak memikat tetapi aku berhabis melawan lelah yang teramat. Memaksa serta menggagahkan diri juga untuk hadir sebaik sahaja pulang dari tugasan di luar daerah yang sangat memerah keringat. Justeru, aku tanpa sedar beberapa kali terlelap dan hanyut seketika dalam mimpi. Maaf untuk laku yang kurang manis itu. Ermmm...

Apapun, aku berpuas hati kerana aku ada bersama kawan-kawan yang kita suka untuk menyaksikan persembahan Maskara 19 ini... Bagai biasa juga, aku membawa pulang naskah yang dijual di luar rumah pena untuk di bawa pulang. Kali ini, aku mengambil Salun Eksotikata dan Siapa Kekah Bidan Sepiah untuk dibawa pulang.

[Per-tama kali ber-temu mata dengan chenta hati One Love yang sangat comil itu... memang anak kechil itu telah lama men-churi hati melalui cherita-2 sang ibunya yang genius itu .. :) ]

Saturday, February 06, 2010

~ AKU KAN NOVELIS ~


TAJUK : Aku Kan Novelis
KARYA : Nurul Syahida
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 455 Muka Surat
HARGA : RM17.90

“Dunia ini adalah pentas. Aku penulis skrip dan kau adalah watak yang aku matikan pada bab yang pertama…”

[Mau meng-ator.... kerana sering-kali di-ator]

Friday, February 05, 2010

~ ADA YANG LEBIH MENGERIKAN... ~


MAHU berkongsi kiriman emel yang dipanjang-panjangkan ini. Mudah-mudahan ada sesuatu yang menarik di situ.

Kisah ini terjadi disuatu pagi yang cerah… mungkin tidak begitu cerah untuk seorang ayah yang kebetulan memeriksa bilik tidur anak gadisnya yang berumur 18 tahun. Dia mendapati bilik itu cukup kemas dan rapi, dengan sekeping sampul surat yg bertuliskan untuk ayah diatas meja bacaan.. perlahan dia mula membuka surat itu…

*********

Ayahku yg tercinta,
Aku menulis surat ini dengan perasaan sedih dan sangat menyesal. Saat ayah membaca surat ini, aku telah pergi meninggalkan rumah. Aku pergi bersama kekasihku, dia lelaki yang baik, setelah bertemu dia.. ayah mesti setuju walaupun penuh dgn tatto2 ganas ditubuhnya. Dia sudah cukup dewasa walaupun belum begitu tua (aku fikir zaman sekarang 42 tahun tidaklah terlalu tua).

Dia sangat baik terhadapku, lebih2 lagi dia akan jd ayah kpd kandunganku ini. Dia memohonku untuk membiarkan anak ini lahir dan kita akan membesarkannya bersama. Dia punya bisnes perdagangan estacy yang sangat luas, dia juga telah meyakinkanku bahawa marijuana itu tidak begitu buruk. Kami akan tinggal bersama sampai mati memisahkan kami. Aku yakin bahawa para doktor akan menemukan ubat untuk AIDS jadi dia akan segera sembuh. Aku tahu dia juga ada perempuan lain tapi aku percaya dia akan setia padaku dengan cara yang berbeza.

Ayah.. jangan risau akan keadaanku. Aku sudah 18 tahun sekarang, aku tahu menjaga diriku. Salam sayang untuk ayahku dan ibuku yg trcinta. Oh ya sebelum aku terlupa, berikan semua teddy bear dalam bilik ku ini untuk adik yang sangat-sangat inginkannya… …

*********

Keadaan si ayah bagaikan mahu tercabut jantungnya ketika itu… Lalu perlahan-lahan dia membuka muka surat kedua surat itu… dengan keadaan terketar-ketar si ayah membaca…

PS: Ayah, .. tidak ada satupun dari yang aku tulis diatas itu benar, aku hanya ingin menunjukkan hal yang lebih mengerikan daripada nilai report kad ku yang buruk. Kalau ayah sudah menandatangani reportku diatas meja, panggil aku ya… Aku berada dirumah jiran sebelah jer…

Pada mulanya aku merasakan emel ini berbunyi lucu dan sekadar untuk hiburan melepas lelah di tempat pekerjaan. Namun, apabila usai membacanya pada kali kedua, ia sebenarnya lebih daripada itu. Lebih! Aku akan kongsikan tentang itu dalam entri seterusnya kerana saat ini aku harus aku bertolak untuk tugasan di luar daerah...

[Men-jaga ketakutan..]

~ PAGI KE PAGI ~


KERJA... kerja... kerja. Rungutan itu bukan dari aku, tetapi dari kakak yang merasakan jarang bertemu aku sejak tiga minggu terbelakang ini. Manakan tidak, Sabtu-Ahad selama empat minggu, aku terlibat dengan acara besar tempat pekerjaan. Bererti bekerja selama tujuh hari seminggu selama empat minggu berturut-turut tanpa henti. Yaa... kesibukan yang bermula sejak 12 Januari lalu sehinggalah penghujung minggu ini. Tuntutan kerja dan tanggungjawab yang tergalas di bahu. Siapa aku untuk mempertikaikannya.. Ermm..

Hari ini, aku berada di lantai tempat pekerjaan seawal jam 7.30 pagi tadi dan hanya berakhir pada jam 1.15 pagi. Yaaa.... 1.15 pagi kerana terlibat dengan kerja-kerja akhir yang punya tarikh mati. Dan pada pagi ini, setepat jam 8.30 pagi ini aku terlibat dengan kerja di luar daerah selama dua hari. Justeru, lelah itu terus bersambung untuk dua hari lagi dan harus perlu tiada rungutan tentang itu. Bimbang terlajak lena melanggari waktu yang patutnya, aku memutuskan untuk tidak tidur dan mengadap skrin ini sehingga ke pagi... :)

Dalam ketika menunggu kerja-kerja akhir itu berjalan, aku sempat menutur bual dengan seorang rakan pekerjaan ini. Kami jarang berbual hal-hal yang serius tetapi entah bagaimana hari ini ada ruang itu. Dia meluahkan ketidakpuasan hatinya tentang satu perkara dan jelas berkongsi rasa sensitifnya yang sungguh langsung tidak aku duga. Sangkaku selama ini dia tidak mengambil hal soal-soal yang tentunya memberi kelebihan padanya, rupanya tidak. Dia sangat merasakan dirinya tidak mendapat kepercayaan en boss. Malah menamakan beberapa nama antara kami (termasuk aku) yang baginya menjadi orang kepercayaan. Malah katanya, kerjanya tidak dihargai dan kurang diperlukan untuk urus-urus penting segera. Ermm... hilang kata-kata aku dengan luahannya itu.

Untuk rakan ini, aku tahu mungkin ada sesuatu yang telah mengusik hatinya itu. Justeru, dia merasakan segala yang dia sebutkan itu. Hakikatnya, antara kami ini memandang dia sebagai seorang yang berkarisma. Dia antara senior dan telah diketahui tentang prestasi dan reputasinya dalam tugasan. Tiada pertikaian di situ. Namun, bila hati sudah kacau dengan rasa 'terkilan' terhadap sesuatu, makanya rasa terkilan itu menjadi kesakitan. Ku titip pesan agar dia membuang rasa yang melukakan itu kerana perasaan itu akan mengacau banyak perkara kelak. Apatah lagi ia hanya 'rasa' dan sebenarnya tidak berlaku seperti mana yang dia fikirkan.

[Juga me-luah-kan rasa... jarang-2 aku melakukan ini...]

Thursday, February 04, 2010

~ SECAWAN COFFEE DI KOPITIAM BANGI ~


BEBERAPA hari lepas, aku ada menyuarakan rasa untuk menyinggah di Kopitiam, Bangi, yang lama sudah tidak aku jejakkan kaki. Kalau dulu, ia umpama tempat wajib untuk berduduk menanggung cerita panjang. Rasa itu cuma terlintas di hati. Namun, peliknya Isnin lalu aku dibawa ke situ dengan penuh rasa kebetulan tanpa dirancang aturkan. :)

[Kembali men-chari masa untok sa-chawan coffee...]