Sunday, January 24, 2010

~ BUKAN DALAM SENARAI MEMIKAT ~


JAM 5 pagi, aku sudah siap siaga di depan skrin ini menyiapkan sebahagian urusan yang mengekor pulang ke rumah semalam. Suatu usaha yang tidak berbelah-bagi kerana ia berlaku pada hari ahad, hari dimana aku selalunya memulakan hari setelah matahari tinggi membuat tegak. Setepat jam menunjuk ke angka 10 (pagi) aku sudah berada di lantai tempat pekerjaan (yaaa... walaupun hari ahad). Melunas urus pekerjaan yang bersaki baki dan dalam masa yang sama menjadi orang yang memikul untuk satu urus yang sepatutnya bukan dalam kandarannya.

Jam 7.30 malam, aku sudah terpacak di perkarangan Istana Budaya demi kesenian agung yang digelar Makyung. Jujurnya, aku dihambat lelah yang amat panjang dek deretan kerja yang beratur membuat damping. Hampir sahaja aku membatalkan janji yang telah terlebih dahulu diatur oleh seorang rakan untuk acara malam ini. Namun, bila memikir janji yang awal sudah membuat senang, aku gagahkan diri. Yaa.. janji. Ketepikan seketika lelah yang berdamping sepanjang hari ini, semalam atau dalam seminggu dua ini dek urusan pekerjaan memenuhi 24 jam kami termasuklah Sabtu-Ahad yang tidak terjangkakan.

Pertama kali menyaksikan Makyung memberikan aku pengalaman yang tersendiri. Ia tidak jatuh memikat. Bukan kerana 'Anak Raja Dua Serupa' itu tidak bagus (Juhara adalah pemain teater yang tidak pernah mengecewakan), tetapi mungkin kerana aku tidak faham banyak perkara tentangnya. Bukan sahaja dari segi bahasa bertuturannya yang sukar sekali ku tangkap maksudnya, tetapi juga soal-soal lain yang membuat iring. Sedar-sedar sahaja gelak ketawa penonton mengejutkan aku daripada angan panjang yang entah bagaimana boleh menyelit datang mengambil tempat diantara waktu menonton itu. Ermm... Atau mungkin 'semangat' Makyung itu belum lagi membuat singgah pada saat yang tepat... yaaa.. barangkali.

[Tidak sabar menunggu acara Maskara 6hb nanti...]

No comments: