Sunday, January 31, 2010

~ MATAHARI SEPARUH HARI ~


SUNGGUH, ketika ini aku mendedikasikan sepenuhnya komitmenku kepada urusan pekerjaan. Sepanjang hari semalam, kepenatan melampau membuat damping setelah terlibat dengan dengan program anjuran tempat pekerjaan yang memerlukan aku berhabis tenaga dan suara menyumbang ketaatan.

Lelah yang berbaki pada acara beberapa hari sebelum itupun belum reda, tertambah pula dengan urusan terbaru ini. Bukan niat untuk mengeluh apatah lagi memberi ragu pada keikhlasan diri, namun benar kudrat yang sekerat ini mengacah-acah memberi ingat. Aku tidak punya banyak, tetapi terkadang memaksa diri untuk menjadi 'banyak'.

Mengikut janji dengan sahabat nov, aku patutnya berada di ruang pekerjaan pada program yang berlangsung sehingga Isnin ini. Kebetulan sahabat nov, terlibat untuk salah satu acara yang berlangsung hari ini. Namun entah bagaimana, aku hanyut terbuai mimpi dalam lena yang panjang sehingga matahari beralih separuh hari. Apatah lagi, hanya aku bersendirian di rumah setelah membatalkan hasrat untuk menyertai kakak, abang, dan semuanya bercuti nun di selatan semenanjung tanah air.

Membuat lena hampir separuh hari itu bukan dalam kebiasaanku dan itu yang berlaku pada hari ini. Ermmm...

[Ter-lepas banyak momen yang haros ber-saksi tenang...]

Saturday, January 30, 2010

~ CINTA 365 HARI ~


TAJUK : Cinta 365 Hari
KARYA : Norzailina Nordin
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 504
HARGA : RM19.90

“Ruang Waktu Tak Mampu Mengusir Rasa Cinta Yang Masih Ada…”

[Maseh tetap di-sini...]

Friday, January 29, 2010

~ SENTIASA ADA ~

(Kredit foto : filem muallaf)

SEMENJAK awal Januari yang lalu, urusan pekerjaan benar-benar menghambat. Setiap Sabtu-Ahad menjadi hari bekerja kerana kumpulan kami terlibat dengan beberapa acara berkaitan urus pekerjaan yang menjadi wajib penyertaannya. Hari bekerja kami tanpa sedar menjadi tujuh hari seminggu.

Justeru, dalam tempoh itu tiada lain urusan dan aktivitiku melainkan soal pekerjaan semata-mata. Malah untuk menghirup secawan coffee bersama teman-teman seperti kebiasaan juga tidak lagi punya ruang. Pulang sahaja ke rumah, aku terus rebah melayar mimpi. Begitulah yang berlaku setiap hari dalam beberapa minggu ini. Sungguh, lelahnya luar biasa dan tidak terkejar dengan kudrat yang sekerat ini.

Dek kerana menunggu waktu luangku yang tidak kunjung tiba dan asyik bertangguh janji, siang tadi sahabat Nov datang mengalah dan datang bertanya khabar. Tidak sekadar itu, sahabat yang namanya dikenali di dada akhbar ini datang berkongsi cerita lara. Rupa-rupanya dia melalui yang pahit-pahit beberapa hari terkebelakang ini. Jika melihat kepada latar belakang dan gaya hidupnya, tentu sahaja ramai yang tidak menyangka dia kerap berdamping sengsara.

Terbaru, angkara dengki dan iri hati, saudara kandung sendiri sanggup mengkhianati. Terdiam aku mendengar pengakuan itu. Tidak pernah dia menyentuh tentang keluarganya, kecuali hari ini. Jika tidak kerana lara yang semakin berat berdamping keras itu, aku pasti sahabat ini tentu saja menyimpan cerita ini dengan kemas. Hari ini segala-galanya dia buka dengan penuh emosi. Betapa kebendaan yang dia miliki itu menutup lara yang di tanggung selama ini.

Dia tidak menangis. Malah, masih mampu tersenyum kala meluah cerita lara itu. Namun, aku tahu di balik senyum dan kekentalan yang begitu diusahakan itu, kantung emosinya sudah pecah. Namun, mujurnya kesabaran masih dia pelihara dengan baik. Sebagai sahabat, aku cuba menjadi pendengar yang terbaik buatnya. Walaupun tidak dapat membantu secara besarnya, sekurang-kurangnya resah hatinya terkongsi.

Beginilah resam manusia, tidak pernah senang apabila melihat orang lain lebih senang daripadanya. Ermmm..

[Biar-pon ter-heret kesibokan yang berat, aku tetap ber-tanya kabar melalui hati...]

Thursday, January 28, 2010

~ MENGACAH AMARAH ~


MARAH. Sungguh, bahasa dan pertuturannya sahabat ini sangat menyakitkan hati. Kami bertengkar dan berdebat hebat melalui papan kekunci yang bisu itu setelah beberapa minggu mendiamkan diri.

Aku tiada dengan niat itu, namun dek kerana nada dia berbahasa sepertinya sengaja meniup api amarahku, lalu aku terhambat dengan rasa itu. Andai dapat dilihat bagaimana aku menekan papan kekunci itu, begitulah rasa marah yang terkepung dalam diri tanpa dapat dikeluarkan dengan suara mahupun laku.

Awalnya, aku tidak mahu melayan perbualan dan sapaanya yang muncul di skrin itu. Namun, apabila bahasanya sengaja mengacah-acah amarahku, terlepas juga kata yang langsung tidak aku niatkan. Aku mohon maaf untuk itu.

Namun, apa yang pasti, sahabat ini memang suka melihat aku dalam keadaan marah begitu barangkali. Hiburan baginya, aku tahu itu.

[Andai mau menipu-ku, pasti-kan aku sama sekali tidak ter-hidu tentang itu... ermmm..]

Wednesday, January 27, 2010

~ TERIMA KASIH DAUN KELADI ~


RAKAN yang seorang ini tidak pernah berubah. Dia masih seperti dulu. Terima kasih untuk setiap ingatan. Namun, lucunya setiap kali dia memberikan sesuatu, pasti akan disebutkan sempena hari ulang tahun kelahiranku. Walhal, hari ulangtahun kelahiranku itu tidak pernah disebutkan dengan tepat... :)

[Kata-2 ucapan itu lebeh men-jadi hadiah besar..]

Tuesday, January 26, 2010

~ SPAGHETTI LIPAS ~


KALAU-kalau cafe 'spaghetti lipas' (sekadar gelaran) sudah beroperasi semula, siapa tahu. Justeru, kereta BR dihalakan ke sini. Dia menurut sahaja walaupun aku tahu, seleranya bukan di sini. Ermm.. malangnya, tempat kegemaran ini sememangnya sudah menutup operasinya. Bukan tidak ada cafe lain yang menyaji menu seperti itu, tetapi memikatnya tentu tidak sama.

[Lama tidak mem-buat singgah di-kopitiam Bangi...]

Monday, January 25, 2010

~ MENDAHULUI SANGKA ~


TERKEJUT, terkilan dan terkesima seusai membaca satu SMS kiriman seorang rakan yang masuk dan tertera di skrin telefon bimbitku seketika tadi. Tidak kusangka sejauh itu rakan ini membuat fikir tentang aku. Ermm...

Rakan yang seorang ini menumpang unta hitamku untuk ke satu destinasi. Sepanjang hampir 20 minit waktu perjalanan itu, aku membiarkan lagu-lagu Beethoven mengisi ruang berselang antara perbualan kami. Arghh.. itu sahajapun lagu-lagu yang ada di dalam unta hitamku selain Mozart, Kitaro dan yang seangkatan dengannya.

Sebaik menurunkan rakan ini ke destinasinya, berselang 4-5 minit kemudiannya SMS'nya menghiasi skrin telefon bimbitku. Isinya berbunyi teguran, nadanya berbunyi sindiran... ermm... rupa-rupanya simphony no. 9 itu disangkanya lagu gereja. Aduhh... Entah apa yang ada di kepalanya. Aku tahu sangkaan itu juga berkait rapat dengan kebetulan yang berlaku pada dua minggu lalu dimana rakan ini terserempak aku dan teman jiwa di BV. Aku tidak mengelak, apatah lagi dia telah lama memerhatikan kami ketika itu. Walaupun aku tidak memperkenalkan teman jiwa sebagai teman lelakiku, pasti sahaja dia sudah menduga.

Justeru, lagu-lagu Beethoven itu dikaitkan dengan dengan teman jiwa. Disangkanya aku 'terpengaruh' dengan lelaki yang bermata sepet itu. Ermm... Terima kasih atas ingatan dan teguran itu. Namun, aku tidak seperti itu, aku tidak pergi sejauh itu. Apapun, aku tidak berhasrat mahu membela diri dan membuat penjelasan panjang kepadanya. Aku hanya membalas SMS itu dengan memperbetulkan tentang lagu itu sahaja. Ermm..

[Merenong langet yang sama... ]

Sunday, January 24, 2010

~ BUKAN DALAM SENARAI MEMIKAT ~


JAM 5 pagi, aku sudah siap siaga di depan skrin ini menyiapkan sebahagian urusan yang mengekor pulang ke rumah semalam. Suatu usaha yang tidak berbelah-bagi kerana ia berlaku pada hari ahad, hari dimana aku selalunya memulakan hari setelah matahari tinggi membuat tegak. Setepat jam menunjuk ke angka 10 (pagi) aku sudah berada di lantai tempat pekerjaan (yaaa... walaupun hari ahad). Melunas urus pekerjaan yang bersaki baki dan dalam masa yang sama menjadi orang yang memikul untuk satu urus yang sepatutnya bukan dalam kandarannya.

Jam 7.30 malam, aku sudah terpacak di perkarangan Istana Budaya demi kesenian agung yang digelar Makyung. Jujurnya, aku dihambat lelah yang amat panjang dek deretan kerja yang beratur membuat damping. Hampir sahaja aku membatalkan janji yang telah terlebih dahulu diatur oleh seorang rakan untuk acara malam ini. Namun, bila memikir janji yang awal sudah membuat senang, aku gagahkan diri. Yaa.. janji. Ketepikan seketika lelah yang berdamping sepanjang hari ini, semalam atau dalam seminggu dua ini dek urusan pekerjaan memenuhi 24 jam kami termasuklah Sabtu-Ahad yang tidak terjangkakan.

Pertama kali menyaksikan Makyung memberikan aku pengalaman yang tersendiri. Ia tidak jatuh memikat. Bukan kerana 'Anak Raja Dua Serupa' itu tidak bagus (Juhara adalah pemain teater yang tidak pernah mengecewakan), tetapi mungkin kerana aku tidak faham banyak perkara tentangnya. Bukan sahaja dari segi bahasa bertuturannya yang sukar sekali ku tangkap maksudnya, tetapi juga soal-soal lain yang membuat iring. Sedar-sedar sahaja gelak ketawa penonton mengejutkan aku daripada angan panjang yang entah bagaimana boleh menyelit datang mengambil tempat diantara waktu menonton itu. Ermm... Atau mungkin 'semangat' Makyung itu belum lagi membuat singgah pada saat yang tepat... yaaa.. barangkali.

[Tidak sabar menunggu acara Maskara 6hb nanti...]

Saturday, January 23, 2010

~ MELOLOSKAN LELAH ~


SEMALAM, sepanjang hari aku mencari-cari sahabat dan kenalan yang asalnya dari negeri penuh adat ini untuk meminta sedikit bantuan tentang perjalananku yang ditugaskan untuk bekerja di luar daerah pada hari ini.

Ketika inilah baru ku sedar, tidak ramai rupa-rupanya rakan-rakanku yang asalnya dari negeri ini. Mahu tidak mahu, aku terpaksa meredah sahaja perjalanan mengikut gerak hati hanya dengan berpandukan alamat ringkas yang kirimkan melalui SMS itu.

Kami bergerak dari hiruk-pikuk kota pada jam 6.30 pagi dan tiba ke destinasi yang dituju tiga jam setengah selepas itu. Mahu menangis mengenangkan perjalanannya. Meskipun kami tidak tersasar arah, namun jarak yang disangka duga itu rupa-rupanya dua kali ganda lebih daripada itu. Kawasannya jauh terpencil dan tentunya memberikan satu permandangan baru kepadaku. Malah dalam masa yang sama, otak ligat berjalan melayan kemunculan pelbagai soalan yang yang bermain di kepala. Errmmm... Kalaulah itu... kalaulah ini... dan kalaulahhh.. kalau kann..

Alhamdulillah urusan pekerjaan selesai pada jangka waktu yang ditetapkan walaupun kami berdepan dengan pelbagai masalah yang beratur. Jam 9 malam, kami perlu pulang ke tempat pekerjaan untuk melaporkan tugasan.

Penat yang teramat sangat. Sebaik sahaja badan terlempar di empuk tilam yang menggoda, aku senyap tidur terus sehingga ke pagi.

[Sunggoh, aku benar-2 pening di-bumi negeri penoh adat ini)

~ SEHANGAT ASMARA ~


TAJUK : Sehangat Asmara
KARYA : Aisya Sofea
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 548
HARGA : RM19.90

“Bibir tidak perlu berkata, bila hati sudah mula bersuara…”

[Mem-baca dengan mata hati...]

Friday, January 22, 2010

~ TOOTH FAIRY ~


PARI-PARI gigi (bukan pari-pari merah)... Ada sesuatu dalam filem ini. Sungguh jalan ceritanya ringkas dan mungkin tiada yang istimewanya pada tontonan kasar, namun ada sesuatu yang aku bawa pulang seusai menonton filem lakonan The Rock ini.

Dunia kanak-kanak penuh dengan mimpi, penuh dengan harapan. Mimpi dan harapan itu besar mempengaruhi hidup mereka andai di rosakkannya. Malah, kita mungkin dibenci seumur hidup mereka andai itu yang terjadi. Namun, berapa kerat sangatkah kita yang dewasa ini memahami tentang itu? Malah, kita sering membunuh harapan dan mimpi mereka itu dengan falsafah kita tanpa rasa bersalah walau sedikit pun.

Ermm... menonton 'Tooth Fairy' ini memberi ingataan yang baru kepadaku. Menghargai mimpi dan harapan orang lain itu walau sekecil atau seremeh manapun, adalah perkara yang paling berjasa. Ia mampu menyalur tenaga besar dalam hidup mereka. Mungkin kita sentiasa terlupa tentang itu. Betapa mengecewakan itu adalah perkara yang sangat menyakitkan hati. Bukan hanya pada kanak-kanak tetapi juga kepada siapa sahaja yang bergelar manusia. Biasakan diri dengan memberikan tenaga positif kepada mimpi dan harapan orang lain. Ermm...

[cherita lain..]

Thursday, January 21, 2010

~ MENGHARAP KESEMPATAN ~


TIKET Makyung Anak Raja Dua Serupa sudah berada di tangan. Untuk Auntie Phia dan Ai yang baru mahu berjinak-jinak mahu menonton Makyung. Juga aku yang baru pertama kali mahu menonton kesenian tradisi dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

[Sangat ber-harap dapat meluang-kan masa untok per-sembahan itu...]

Wednesday, January 20, 2010

~ BERDERET RASA ~

(kredit foto : filem duhai si pari pari)

TIDAK sihat. Lama aku tidak dalam keadaan yang begini, dan dua-tiga hari ini ia kembali membuat damping. Lebih malang, saat kesihatan yang tidak mengizinkan begini, aku dihambat kesibukan yang beratur panjang. Berderet tanpa mahu berhenti. Manakan tidak, ada beberapa acara penting berkaitan urus pekerjaan yang sedang menanti. Lalu, segala kudrat yang ada tersandar untuk menguruskan segala yang ada di bawah tanggungjawab itu. Wajib.

Pagi siang tadi, keadaaan sedikit teruk. Aku kurang pasti apakah situasi itu berlaku kerana aku terlalu kurang waktu tidur (hampir tidak tidur) atau kerana terlalu penat dengan pelbagai macam urusan. Badan terlalu lemah dan segala isi perut termuntah tanpa mahu membuat simpan walau sedikit pun. Sudahnya aku lewat hampir tiga jam ke tempat pekerjaan. Aku mendapat cuti sakit, tetapi melihat kepada timbunan urusan pekerjaan yang penting menanti, aku gagahkan juga diri untuk ke tempat pekerjaan. Ermmm..

Terima kasih untuk sahabat yang bertanya khabar dan mengambil peduli. Juga untuk yang memandu aku pulang ke rumah hari ini. Sungguh, kata terima kasih itu tidak cukup untuk menggambarkan rasa penghargaanku pada kamu yang mengerti. Tetapi aku maksudkan itu.

[Maseh ber-tanya khabar melalui hati...]

Tuesday, January 19, 2010

~ PETIKAN LASKAR PELANGI ~


"Orang Melayu, sebagaimana biasa susah berorganisasi. Bukannya fokus pada ikhtiar untuk mencapai tujuan dan memenangkan persaingan, tetapi sebaliknya mereka gemar sekali berpolitik sesama mereka sendiri. Tidak terima jika diperbetulkan dan jarang ada yang mahu menilai diri sendiri. Diantara mereka selalu sahaja berbeza pendapat dan mereka gembira dengan pertengkaran yang tidak membina. Tidak mengapa tujuan tidak tercapai asal tidak jatuh nama dalam perdebatan. Dan selalu terjadi suatu gejala yang paling umum iaitu ; yang paling bodoh dan paling tidak berpendidikan adalah paling lantang dan paling pintar kalau berbicara. Jika orang Melayu membentuk sebuah pasukan, maka setiap orang ingin menjadi pemimpin. Akhirnya pasukan yang mantap tidak pernah terbentuk..."

[Perenggan yang ku-petik dari-pada novel Laskar Pelangi, tulesan saudara Andrea Hirata yang sangat mem-beri ajar...]

Monday, January 18, 2010

Sunday, January 17, 2010

~ MASIH SAHABAT KAMU YANG SAMA ~


SEMENJAK beberapa minggu terkebelakang ini, aku sangat sibuk dengan pelbagai hal duniawi. Bersusun beratur mengisi 24 jam yang diberikan kepadaku. Mahu atau tidak, terkadang tanpa pilihan aku perlu menyudahkan segalanya itu. Walaupun sedar keluhan itu tidak memberikan apa erti, namun hampir setiap hari aku mengeluh tentangnya.

Siang tadi, sahabat kecil beriya-iya mengajak aku ke rumah bujangnya. Mahu mengadakan acara lepak-lepak sambil makan-makan katanya. Bukan parti liar atau yang menyesatkan, sekadar sesi bertanya khabar dan bertukar cerita buat kami berempat yang sekian lamaaaaaaaaaa tidak punya masa untuk duduk-duduk begini dek kesibukan yang saban hari membuat rentang.

Malangnya aku tidak dapat menyertainya kerana terikat dengan urus pekerjaan. Cuba membuat lolos, namun kudratku yang sekerat ini diperlukan di tempat pekerjaan. Ermmm.. Mohon difahami, tetapi sahabat kecil ini gayanya seperti sangat berkecil hati. Lalu, disebutkan aku telah banyak berubah dan mementingkan sahabat-sahabat lain yang berkeliling memberi untung. Ermmm... luka dengan kenyataan itu. Tetapi aku menerimanya dengan hati yang cukup terbuka. Ku akui kami tidak lagi banyak meluang waktu untuk menghirup secawan coffee seperti dulu... tetapi itu tidak bererti aku sedang cuba meminggirkan.

Sedih. Tetapi aku diam dan tidak berhasrat untuk membuat sebarang penjelasan. Cukup sudah dengan sebab dan alasan yang aku berikan kala menolak pelawaan sahabat ini beberapa hari yang lalu. Ermmm... memperbetulkan kenyataannya, aku tidak pernah berubah. Aku masih orang yang sama. Masih orang yang kamu kenali aku pada pertama kali kamu mengenali aku.

[Sedang juga ber-kechil hati dengan sa-orang sahabat...]

Friday, January 15, 2010

~ GERHANA MATAHARI 2010 ~

Kredit Foto : www.mstar.com.my

FENOMENA gerhana matahari separa yang berlaku pada pukul 3.00 hingga 6.00 petang hari ini amat menakjubkan. Tanda kekuasaan Allah S.W.T, penguasa seluruh alam semesta ini.

[Ter-kenang kursos ESQ yang di-hadiri be-berapa bulan lepas..]

~ MENJADI ISTIMEWA ~


BERTUAH andai punya sahabat yang mengerti. Sahabat yang boleh kita sandarkan resah dan tangis andai ada awan gelap atau ribut taufan membuat lintas dan singgah. Aku juga sifatkan diri antara yang bertuah kerana punya sahabat dekat yang seperti itu. Biarpun hanya terbilang jari, namun ia jauh lebih memberi harga berbanding seribu kawan dan kenalan yang hanya mahu berdamping kala tawa mengisi ruang.

Tidak aku nafikan, pernah antara mereka ini tersalah 'membaca' sikapku dalam persahabatan. Tanpa sengaja, aku telah membuatkan mereka merasa begitu istimewa barangkali... lalu nilai persahabatan itu disalah-ertikan... Yaa, situasi itu terjadi untuk yang tidak mengenali aku. :) Bagi yang kenal dekat, tentunya tidak akan sama sekali 'membaca salah' atau terjatuh 'sangka' dengan sikap dan perkiraanku itu. Lucu tapi benar. Aku melalui itu.. dan kini juga sedang melalui.

Untuk kamu yang aku maksudkan sahabat dekat itu, sungguh kamu adalah keluarga. Untuk kamu yang silap menafsir itu, sungguh kasih sayangku hanya untuk sebuah persahabatan. Usah diracuni kerana ia sangat indah dan tidak terjual di mana-mana. Jutawan manapun tidakkan mampu membelinya. Percaya aku..

[Ber-depan sahabat yang tida' tahu meng-hargai... dia tetap sahabat..]

Thursday, January 14, 2010

~ SARA KIRANA ~


TAJUK : Sara Kirana
KARYA : Ramlah Rashid
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 434
HARGA : RM17.90

“Soal hati sukar untuk dimengertikan. Sayang bukan bererti cinta, kasih bukan bererti sayang…”

[Yang men-jalar rasa...]

Wednesday, January 13, 2010

~ MAKYUNG ANAK RAJA DUA SERUPA ~


PERSEMBAHAN : Makyung Anak Raja Dua Serupa
PENGARAH : Fatimah Abdullah & Lokman Ghani
PELAKON : Rosnan Abd Rahman, Juhara Ayob, Sabri Yunus dan lain-lain
TARIKH : 22-24 Januari 2010
MASA : 8.30 Malam
TEMPAT : Panggung Sari, Istana Budaya
TIKET : RM20, RM50, RM70 & RM100

AKU tidak pernah menonton persembahan Makyung. Malah, tidak tahu dan tidak faham bagaimana bentuk persembahan kesenian yang satu ini. Yang aku tahu, Makyung berasal dari Kelantan dan menggunakan sepenuhnya dialek negeri itu dalam persembahannya.

Beberapa hari lalu, aku berkesempatan berbual-bual dengan dua orang penggiat Makyung yang tersohor. Sangat tertarik dengan cerita dan kefahaman yang mereka berikan kepadaku. Walaupun pada bual yang santai, aku memberi penuh tumpu kerana seakan ada daya ketarikan kepadaku di situ. Apatah lagi, kedua mereka ini yang aktif dalam Makyung yang pernah diiktiraf sebagai salah satu Kesenian Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2005 ini bukan berasal dari Kelantan. Sebaliknya mendalami bahasa ini semata-mata untuk menguasai seni Makyung atas kecenderungan yang sangat tebal.

Aku dipelawa untuk menonton Makyung Anak Raja Dua Serupa yang bakal dipentaskan pada hujung bulan ini. Seperti faham apa yang bermain di kepalaku, kata mereka pementasan ini akan disediakan 'subtitle'. Justeru, usah bimbang tentang bahasa pertuturannya. Aku tersenyum mengangguk. Tidak berjanji, tetapi rasa keinginan untuk menonton itu ada.

[Ten-tu susah men-chari pe-neman untok menunton per-sembahan sebegini...]

Tuesday, January 12, 2010

~ PROGRAM ISTANA BUDAYA 2010 ~



PERSEMBAHAN : Carmen
GENRE : Tari
TARIKH : 9-10 Januari 2010
TERBITAN : Ena Ballet Studio, Japan.

PERSEMBAHAN : Makyung Anak Raja Dua Serupa
GENRE : Teater
TARIKH : 22-24 Januari 2010
TERBITAN : Istana Budaya

PERSEMBAHAN : Titian Budaya
GENRE : Muzik-Teater-Tari
TARIKH : 30-31 Januari 2010
TERBITAN : Istana Budaya

PERSEMBAHAN : Konsert Irama Malaysia Bersama Orkestra Tradisional Malaysia
GENRE : Muzik
TARIKH : 5-6 Februari 2010
TERBITAN : Istana Budaya

PERSEMBAHAN : Konsert Satu Suara Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan
GENRE : Muzik
TARIKH : 12-14 Februari 2010
TERBITAN : Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd

PERSEMBAHAN : Simfoni Muzika Tani 2010
GENRE : Muzik
TARIKH : 20-21 Februari 2010
TERBITAN : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

PERSEMBAHAN : Bangsawan Sri Mersing
GENRE : Teater
TARIKH : 12-21 Mac 2010
TERBITAN : Keno Productions Sdn Bhd & Istana Budaya

PERSEMBAHAN : Konsert Satu Masa
GENRE : Muzik
TARIKH : 26-28 Mac 2010
TERBITAN : Mentari Channel Network

PERSEMBAHAN : Konsert Untukmu Wanita

GENRE : Muzik
TARIKH : 1-4 April 2010
TERBITAN : Istana Budaya

PERSEMBAHAN :Worldstar Road To Hollywood
GENRE : Muzik-Teater-Tari
TARIKH : 10 April 2010
TERBITAN : Kementeraian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

PERSEMBAHAN : Salam Serumpun
GENRE : Muzik-Teater-Tari
TARIKH : 16-18 April 2010
TERBITAN : Istana Budaya

PERSEMBAHAN : Samsara
GENRE : Tari
TARIKH : 23-25 April 2010
TERBITAN : Sutra Dance

PERSEMBAHAN : Arirang Korean Week
GENRE : Muzik
TARIKH : 6-7 Mei 2010
TERBITAN : Kedutaan Besar Korea & Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

PERSEMBAHAN : West Side Story
GENRE : Teater
TARIKH : 12-25 Mei 2010
TERBITAN : Yvent Sdn Bhd

PERSEMBAHAN : Konsert Syahadah (Sempena Maulidur Rasul)
GENRE : Muzik
TARIKH : 30-31 Mei 2010
TERBITAN : M&M Productions & Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

PERSEMBAHAN : Konsert Dato' Shake
GENRE : Muzik
TARIKH : 4-6 June 2010
TERBITAN : Telekom Malaysia

PERSEMBAHAN : Estet The Musical
GENRE : Teater
TARIKH : 18-27 June 2010
TERBITAN : Naga VXS Sdn Bhd

PERSEMBAHAN : Festival Muzik KL 2010
GENRE : Muzik
TARIKH : 1-3 Julai 2010
TERBITAN : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

PERSEMBAHAN : Teater Uda & Dara
GENRE : Teater
TARIKH : 10-20 Julai 2010
TERBITAN : UA Enterprises Sdn Bhd

PERSEMBAHAN : Cuci The Musical
GENRE : Teater
TARIKH : 27 Julai - 10 Ogos 2010
TERBITAN : Tall Order Productions

PERSEMBAHAN : Muzikal Che Det
GENRE : Teater
TARIKH : 24 September - 2 Oktober 2010
TERBITAN : Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan & CTRA Productions

PERSEMBAHAN : Muzikal Satu
GENRE : Teater
TARIKH : 15-23 Oktober 2010
TERBITAN : Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

PERSEMBAHAN : Anak Malaysia - 'Kita' 'We'
GENRE : Teater
TARIKH : 1-13 November 2010
TERBITAN : Kementerian Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan dan Musical On Stage Productions

PERSEMBAHAN : Impak Maksima The Musical
GENRE : Teater
TARIKH : 25 November - 6 Disember 2010
TERBITAN : Excellent Pictures & Global Network

PERSEMBAHAN : Muzikal Budak Kampung
GENRE : Teater
TARIKH : 17-31 Disember 2010
TERBITAN : Institut Terjemahan Negara Malaysia & Istana Budaya


SECARA keseluruhannya Program Persembahan Istana Budaya (IB) untuk tahun 2010 ini tidaklah begitu menarik perhatian aku. Hanya satu-dua program sahaja yang pada aku memikat dengan penuh teruja untuk menonton.

Tahun ini, banyak persembahan ulangan di IB. Walau apapun alasan pihak IB, aku tetap merasakan pementasan ulangan itu tidak perlu. Kecualilah ia tampil dengan elemen-elemen baru yang punya kebezaan yang lebih istimewa daripada pementasan sebelumnya. Selain itu, program yang IB pada tahun ini lebih berat kepada persembahan berbentuk muzikal. Baik konsert nyanyian mahupun teater muzikal. Apakah khalayak hari ini lebih cenderung kepada pengisian persembahan yang berbentuk begitu? Atau IB terpaksa menimbang persembahan sebegitu semata-mata kerana memerlukan sumber pendapatan yang lebih dan mencapai sasaran jumlah penonton untuk tahun 2010 ini?

Meneliti senarai program, aku sangat menunggu dengan penuh teruja pementasan 'Teater Muzikal Che Det' yang didedikasikan khas buat mantan Perdana Menteri yang kita semua kasihi dan tokoh idolaku sepanjang zaman, Tun Dr Mahathir Mohamad. Selain itu Konsert Irama Malaysia bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Festival Muzik KL 2010 juga mengundang rasa keinginan. Juga persembahan-persembahan yang dibawa dari luar seperti Carmen, Arirang Korean Week dan West Side Story. Selebihnya, tunggu dan lihat.

Kecewa kerana Orkestra Simfoni Kebangsaaan tiada show sendiri sebaliknya hanya mengiringi persembahan penyanyi Faizal Tahir dan Aizat dalam Konsert Satu Suara yang diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions... Ermm.... sayang sekali. Apapun, aku berbangga kerana IB memberi laluan kepada persembahan kesenian Makyung untuk di pentaskan di lantai Panggung Sari, IB. Aku kira ia sebagai satu penghormatan buat penggiat seni Makyung yang tidak pernah jemu untuk memperkenalkan kesenian unik itu di mata dunia.

[Lantai T. Pinkie walau-pun di-pentas-kan be-berapa kali ter-masok muzikal-nya, senan-tiasa tampil dengan pem-baharuan yang mem-berangsang-kan...]

Monday, January 11, 2010

~ IKHLAS TANPA HELAH ~


AKU tersenyum sendiri mendengar perancangan majlis perkahwinan sahabat Mei. Benar-benar dia seorang yang sederhana meskipun namanya tersohor dan dikenali di dada akhbar. Kami berbual-bual santai tentang soal itu, soal yang jarang sekali dia mahu bicarakan secara terbuka jika tidak kena caranya. Apapun, perancangan ini masih menjadi rahsia dan aku diberi kepercayaan untuk memegang rahsia itu. Huh... rahsia lagi. Sudah terlalu banyak aku menyimpan rahsia tentang sahabat yang seorang ini.

Kembali kepada soal perancangannya itu, ia mungkin mencatat kejutan nanti kerana hal yang demikian mungkin pertama kali dilakukan oleh orang yang punya nama sepertinya. Ia bukan gimik murahan yang sengaja mahu mencuri perhatian. Tetapi ia punya sebab dan alasannya yang tersendiri. Dan alasan yang diberikan sahabat ini tidak dapat aku sangkal kebenarannya. Ada asas logiknya. Ini kerana dia mahu semua jemputan yang hadir pada majlis indah itu turut berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan bersama dia dan pasangan seikhlasnya tanpa helah.

Sepanjang mengenalnya, sahabat ini memang sentiasa memikirkan soal orang lain. Tidak hanya mendahulukan dirinya dalam segala hal. Namun, sayang sekali ramai yang silap mentafsir dia hanya kerana sedikit kekurangan dan kesilapan yang dia lakukan. Apapun, aku sentiasa melihat dan meminjam perihal positif yang dia miliki. Siapa manusia yang sempurna di muka bumi ini? Ketepikan soal yang gelap-gelap itu, sebaliknya pinjamlah warna putih yang terhampar di depan mata kita. Bukankah itu lebih baik? Ermm..

[Kalau-lah ribot taufan pada 2006 yang lalu itu tida' perenah ber-laku... ermm..]

Sunday, January 10, 2010

~ ANAK KECIL YANG SANGAT MENGERTI ~


AKU merenung dalam-dalam wajah Mia. Wajah anak kecil berusia tiga tahun yang sangat mengerti ini. Semenjak lahir melihat dunia sehingga saat petah berkata-kata hari ini, dia tidak pernah sekalipun memberi karenah pada sang ibu yang seringnya bergalas rasa yang berat. Sepertinya memahami terlalu kekalutan yang didepani sang ibu yang melahirkan itu.

Mia anak yang sangat-sangat baik. Dia sangat mengerti air mata si ibu, sangat memahami saat ada getar pada suara si ibu, sangat terasa apabila mendung berbumbung di wajah si ibu. Aku memeluknya erat setiap kali punya kesempatan bertemu anak ini. Dia sering membalasnya dengan senyuman manis. Itulah hadiah yang sering dia berikan untuk aku dan untuk setiap mata yang menyinggah pandangannya.

[Berapa kerat-kah anak yang meng-erti.. ermm..]

Saturday, January 09, 2010

~ PERSINGGAHAN ~


TAJUK : Persinggahan
KARYA : Norhisham Mustaffa
CETAKAN : Pertama (2003)
PENERBIT : Creative Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 255
HARGA : RM15.90

“…keberanian itu datang dari hati yang ikhlas dan benar. Orang yang berada di jalan yang benar selalu berasa berani..”

[mengejar keinginan hati itu sering mem-buat punah.. ]

~ MENGULANG PRESTASI ~


HARI ini aku meraikan kejayaan adik yang memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaannya baru-baru ini dengan memperolehi CGPA 3.98. Sekejap sahaja, sedar-sedar dia sudah berada di semester terakhir pengajiannya. Sungguh, dia sangat membanggakan kami sekeluarga. Malah, prestasinya juga jauh lebih hebat daripada yang pernah aku capai (walaupun didepannya, aku sengaja membesar-besarkan pencapaianku..). Mudah-mudahan, semester akhir yang bakal dia lalui ini akan lebih mencatat kecemerlangan buatnya.

[Ter-kenang Universiti ter-tua di-Lembah Pantai sana yang banyak me-nyimpan kesah...]

Friday, January 08, 2010

~ KEJADIAN BOM GEREJA ~



Petikan Berita & Foto Dari : www.mstar.com.my

Polis Siasat Kejadian Bom Gereja ;
Kereta Peronda Ditempatkan Di Semua Gereja

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dua kejadian membakar gereja dengan sengaja di Lembah Klang pada awal pagi ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Dua buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya.

"Kereta-kereta peronda polis dan anggota-anggota polis telah ditempatkan di semua gereja di seluruh negara, terutamanya di Lembah Klang untuk mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini," katanya kepada The Star di sini hari ini.

Musa turut memberi amaran kepada pihak terbabit yang merancang untuk mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan hari ini bagi memprotes penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan beragama Islam.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras terhadap mereka," katanya.

Pada 12.30 pagi ini, sekumpulan pemuda membaling bahan-bahan mudah terbakar ke arah tingkat bawah gereja The Metro Tabernacle yang terletak pada sebuah lot kedai.Tiada sebarang kecederaan kerana gereja itu kosong pada waktu kejadian. Insiden tersebut dipercayai berlaku apabila sekumpulan pemuda menunggang motosikal ke gereja itu, memecahkan panel gelas di tingkat bawah bangunan tiga tingkat itu dan seterusnya membaling bahan-bahan tertentu ke dalam premis itu sebelum terbakar.

Ketua gereja Mejar (B) Peter Yeow, 62, berkata saksi-saksi tidak dapat mengecam wajah pemuda-pemuda tersebut yang melarikan diri selepas insiden itu kerana berada jauh dari tempat kejadian. Saksi-saksi kemudiannya menghubungi polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba beberapa minit untuk memadamkan api. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan insiden itu.

Dipercayai koktel molotov dibaling ke dalam gereja itu. Ku berkata polis menyiasat insiden itu dari segenap sudut. Kemudian, pada pukul 4 pagi, koktel-koktel molotov dilontarkan ke gereja The Assumption tetapi difahankan tidak mendatangkan kerosakan.


AKU sangat pelik dengan tindakan mereka yang kononnya sedang berjuang untuk menegakkan kesucian agama ini. Beginikah caranya? Beginikah cara perjuangan orang-orang yang katanya beriman kepada agama suci? Menghuru-harakan keamanan itu adalah tindakan orang yang tidak berakal. Orang-orang yang tahunya mahu menjadi hero, sayangnya pada tempat yang tidak kena. Campakkan mereka jauh dari bumi Malaysia yang permai ini.

[Apa-kah peristiwa 13 Mei 1969 tida' chukop mem-beri ajar???]

~ KESIMPULAN DAN PERSEPSI ~

(kredit foto : filem muallaf)

USIKAN salah seorang rakan sepekerjaan dua hari lalu sepertinya tidak mahu lepas dari ingatan selagi aku tidak meluah rasa yang terbuku di hati di sini. Jujurnya, aku seupaya yang mungkin cuba memujuk hati dengan menganggap apa yang dituturkan rakan itu sekadar gurauan semata-mata. Arghh.. ia tidak terjadi seperti itu.

Perbualan bermula apabila kami berat mengeluh tentang soal pekerjaan sarat menghambat semenjak beberapa minggu terkebelakang ini. Manakan tidak, semuanya kerana mahu mengejar duduk yang selesa. Bosan. Keikhasan mereka terlalu murah di jaja-jual.

"Kau lainlah, anak buah kesayangan en boss. Tak pernah kena tegurpun, marah apatah lagi. Dia mesti okk jer kalau kau cakap apa-apa... lainlah aku.." (Diolah kembali dengan maksud yang sama).

Aku tidak tahu kamu membaca dan memahami maksud barisan ayat di atas dengan persepsi yang bagaimana, namun aku secara waras merasakan si penuturnya sepertinya sangat memaksudkan kata-kata itu. Ermm.. rupa-rupanya ada riak kurang senang di situ.

Ermmm.. aku menafikan sekerasnya apa yang dituturkan oleh putera bunian yang seorang ini. Aku juga kerap ditegur, selalu di marah untuk setiap kekurangan dan kesilapan urusan pekerjaan yang aku lakukan oleh En Boss. Tidak pernah ada pengecualian. Cumanya, mungkin aku ini tidak pernah terlibat dengan masalah disiplin lalu aku terlepas daripada 'sesi-sesi' yang kurang menyenangkan itu. Benar, aku tidak pernah membikin masalah untuk soal disiplin. Jika kamu mengenali aku, kamu akan tahu aku adalah seorang yang setia dengan peraturan. Yaa.. kerana hakikat jujurnya aku adalah seorang yang penakut dengan hal yang bernama 'hukuman'.

[Chari ke-salahan sendiri sa-belom men-chari kesalahan orang laen.]

Thursday, January 07, 2010

~ BUKAN YANG PERTAMA ~


TAJUK : Bukan yang Pertama
KARYA : Salina Ibrahim
CETAKAN : Pertama (2009) & Kedua (2009)
PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN : 782
HARGA : RM34

"Kasih sayang dan kesabaran menjadi tonggak dalam perjuangannya, walau digugah dengan pelbagai rintangan, pantang sekali dia menyerah pada kegagalan. Yasmin Zulaikha, wanita berhati waja yang tetap gagah berdiri atas landasan keimanan..."

[Mungkin yang ter-akhir barang-kali...]

Wednesday, January 06, 2010

~ PARKIR OH PARKIR ~


BANGUNAN cantik, lokasi cantik, orangnya pun cantik... satu sahaja yang tidak cantik, parkirnya. Menyusahkan dan sangat tidak relevan untuk diamalkan, kalaupun dia percuma, apatah lagi berbayar. Tidak henti-henti aku merungut... sungguh aku sangat tidak berpuas hati dengan orang yang memberi idea dan membina kawasan parkir yang sedemikian 'istimewa' ini.

Semalam, pertama kali aku menjejakkan kaki ke sini atas urusan yang mendesak. Namun, sebaik pulangnya, terasa seperti ada janji yang tanpa sengaja dibisik pada hati agar tidak kembali lagi ke sini. Yaaa... hanya kerana parkirnya.

Tingkat 1-5 adalah parkir reserved yang memang khas untuk orang-orang yang berkaitan di situ sahaja. Aku tidak kisahpun untuk terus merayap sampai tingkat 10,11 atau tingkat berapa sekalipun, aku ok. Tetapi sebaik tiba di kawasan parkir untuk visitor di tingkat 6, aku rasa agak pelik kerana demikian rupa kotak parkir yang dikhaskan ini. Sukar untuk aku gambarkan di sini, tetapi ia adalah parkir 'double' dan bersusun-susun. Pendek kata, orang yang berada di parkir depan tidak boleh keluar selagi kereta di belakangnya keluar terlebih dahulu. Justeru, setiap orang yang berada pada kedudukan belakang itu, wajib meninggalkan nama dan no. telefon untuk dihubungi bagi mengalihkan keretanya jika kereta depan mahu meluar. Huh!

Apa mereka fikir orang-orang yang berurusan di bangunan ini datang untuk bersiar-siarkah? Relevankah mereka yang sedang berada di dalam satu mesyuarat penting, tiba-tiba terpaksa meninggalkan mesyuarat semata-mata kerana perlu mengalihkan kereta bagi memberi laluan kepada kereta lain mahu keluar? Ermmm... sungguh 'praktikal sekali'..

Aku menyinggah di bangunan ini tidak lama pun, kurang lebih satu jam sahaja. Sebaik ke parkir, keliling unta hitamku di himpit orang. Aku mendapatkan pengawal keselamatan di situ dan dia memberikan nombor pemilik kereta berkenaan yang patut aku hubungi. Bagaimanapun, aku tidak jadi menghubungi pemilik kereta berkenaan apabila melihat ada sedikit ruang sempit yang mungkin boleh meloloskan unta hitamku untuk keluar. Aku cuma membayangkan, ketika itu pemilik kereta berkenaan sedang berdepan dengan satu urusan penting dan tentunya urusan itu terganggu apabila aku memanggilnya semata-mata untuk mengalihkan kereta.

Justeru, atas bantuan pengawal keselamatan tersebut, aku berjaya dengan susah payah dan usaha kerasnya meloloskan unta hitamku dari ruang sempit yang teramat itu untuk keluar. Itupun, pengawal yang mungkin pangkatnya 'pakcik' itu tersasar memberi direction sehinggakan bahagian belakang unta hitamku tercium tiang batu di kawasan parkir itu. Huhuhu... Mujurlah hentakan itu tidak kuat dan sekadar meninggalkan calar sahaja (sekadar???).

Aku keluar parkir dan membayar RM3 untuk tempoh kurang lebih satu jam itu. Aku tahu RM3 itu bukanlah mahal dan bukan niat aku mahu berkira soal itu. Namun, yang menjadi issuenya adalah relevankah parkir yang sebegitu rupa bentuknya disediakan di situ? Kalau percuma sekalipun, aku rasa ia tetap menyakitkan hati...

Bangunan yang sedang aku maksudkan ini? Ermmm.. Menara Mutiara Bangsar, Jalan Liku, Bangsar!!!

[Me-nules dengan nada marah begini sunggoh tida' meng-untong-kan diri...]

Tuesday, January 05, 2010

~ NOSTALGIA YANG MENGGAMIT ~

NOSTALGIA. Aku kembali menjejakkan kaki ke kampus yang banyak sekali menyimpan nostalgia silamku. Setiap ceruk ruangnya punya cerita yang tersendiri. Pahit dan manis menjadi satu... Tidak semuanya lokasinya dapat kurakamkan kerana hujan renyai membasah bumi. Tambah pula yang meneman di sebelah mahu bergegas untuk urusan lain. Justeru, sekadar yang tersentuh dek mata sahaja yang berjaya dibidik.

Sejak mula bergelar pelajar di sini sehingga tamat pengajian, aku menginap di Kolej Kediaman Tunku Abd Rahman atau lebih mesra dengan panggilan 1st College. Yaa.. di sini, walaupun kolej kediamannya punya nama yang indah-indah dan penuh makna, tetapi para penghuninya lebih suka dengan panggilan yang ringkas dan mudah. Contohnya 1st College, 2nd, 3rd, 4th, 5th dan sebagainya. Sampaikan aku kadang-kala terlupa nama sebenar kolej-kolej kediaman yang ada itu.

Ketika masih belajar, aku tidak punya kenderaan sendiri. Jadi, untuk ke mana-mana aku akan berjalan kaki sahaja. Baik untuk ke fakulti, perpustakaan, bahagian pentadbiran, tasik dan semua ceruk kampus. Berbasah-berhujan, berpanas-berpeluh... Kalau kamu pernah memasuki kampus tertua ini, tentu kamu tahu bagaimana jauhnya jarak untuk bergerak dari tempat-tempat tersebut. Aku lalui itu setiap hari dengan senang hati sehingga tamat pengajian.

Justeru, setiap ruangnya meninggalkan nostalgia buatku. Saat punya keluangan untuk menjejakkan kaki begini, sungguh aku merasa sangat gembira. :)

'Kolej Kandang Kuda'... itulah gelaran yang selalu diberikan kepada kolej kediamanku gara-gara pagar kayu bercat putih memagari bahagian depan kolej kediaman. Sedang kolej lain megah dengan pagar bertembok batu dan serba cantik, kami warga astarian (panggilan penghuni 1st college) serba sederhana dan tersendiri.. :) Lokasinya bersebelahan dengan fakulti undang-undang selepas memasuki pintu gerbang dari arah pintu masuk utama.


Tersergam indah, penuh kebanggaan...


Tempat bersantai-santai dan berkumpul selepas makan malam (petang sebenarnya.. kerana waktu makan adalah antara pukul 6.00-7.30)


Permandangan dari arah kanan kawasan kolej. Blok A dan Blok C. Sementara di bahagian bawahnya adalah ruang pejabat pentadbiran kolej dan Dewan Tun Perak (dewan makan).


Blok B... aku menghuni di lantai paling bawah, bilik yang kedua paling kanan pada tahun akhir pengajian. :) Lokasi terbaik untuk meneropong sang pecinta yang membuat drama di kawasan parkir.. (itu yang selalu dilakukan oleh rakan-rakanku..)


Depoh bas, dari pemandangan atas kawasan kolej. Tempat yang selalu menjadi tempat lepak dan menunggu N dan arwah D kala mahu bertemu aku.


Dulunya, ruang pejalan kaki ini merupakan deretan tangga hijau. Tangga yang banyak menyimpan cerita... tangga yang wajib aku gunakan untuk keluar dari kolej untuk ke kelas, perpustakaan, tasik atau ke mana sahaja. Oleh kerana kedudukan tangganya yang tidak sama susun aturnya, ia sering membuatkan kami 'sakit hati' setiap kali memanjatnya. Mulalah mulut tidak diam membebel-bebel...


Bus Stop yang menjadi penyimpan cerita rahsia. Kala berduka-lara, aku suka duduk di sini. Melihat kenderaan yang tanpa henti menjamah mata dan telinga.


Setiap petang, padang varsiti ini sentiasa ada aktivitinya... hijau menjamah mata..


Kawasan penghujung tangga yang aku sebutkan tadi. Di sinilah aku ditimpa kemalangan yang menjemput aku menjadi penghuni tetap PPUM selama hampir sebulan. Kejadian ketika aku mahu melintas jalan ini dari arah tasik untuk pulang ke kolej kediaman.


Telefon awam yang ada sejarah sendiri buat aku dan sahabat dekat, SE. :)


Bas yang menyentuh memori..


Kolej kediaman khas untuk budak-budak medic.. yang lebih dikenali sebagai 6th college. Aku memang kerap berhabis masa di sini... tempat makannya juga memikat..


Kalaulah masa lalu terulang kembali... ermm..


Aku banyak menghabiskan masa di sini juga..


Tempat jatuh lagi dikenang... inikan pula..



Lokasi wajib hampir setiap hari... kerana kadang-kadang malas untuk pulang ke kolej sementara menunggu kelas seterusnya bermula.


Kompleks perdana siswa..


Bangunan yang paling malas dan berat untuk aku jejaki...


Hanya memandang.. sepanjang bergelar mahasiswi di sini, sekali pun aku tidak pernah melihat isi dalamnya.


Duluuuuuu... khabarnya pernah mencetus demontrasi apabila ada pihak yang mahu membina mc Donald di kawasan fakulti undang-undang ini... namun, aku kurang pasti tentang itu.


Tasik tempat kami selalu memberi makan roti kepada ikan-ikan kecil yang hidup di situ..


UM sudah hidup lebih seratus 100 tahun..


Dewan tempat aku berjalan penuh bergaya dengan jubah dan topi empat segi mempesona pada hari penganugerahan kejayaan... :)


Selamat jalan, sampai ketemu lagi....

[Rindu kepada masa yang tida' kan mungkin ter-ulang itu.. ]