Friday, December 31, 2010

~ TIDAK PEDULI ~


PENGSAN. Urusan pekerjaan benar-benar menghambat keras. Berderet mengisi jadual yang ada sehingga kanan kiri tidak sempat untuk aku toleh. Urusan pekerjaan yang bermula awal pagi siang hari tadi sehingga awal pagi ini membuatkan aku sudah tidak nampak dunia lain. Majlis keraian yang dirancang hanya beberapa hari itu selesai juga akhirnya.

Lelah. Bukan sedikit dan bukan alang-alang. Lalu, setelah jam tiga tadi baru berkesempatan melihat bumbung rumah, kepala menjadi begitu berat. Dalam situasi begini, payah pula mahu meletak lena. Sehingga jam ini, aku masih berjaga.

Lalu Beethoven dan Mozart silih berganti mengisi ruang.

[Mahu sedar apa ada keliling..]

Thursday, December 30, 2010

~ TAJAM ~


IA bukan satu salah faham, tetapi rasa kecil hati yang begitu jelas. Sudah beberapa hari. Aku biarkan sahaja walaupun sebenarnya aku mahu aman tanpa kecamuk rasa begitu. Mahu tenteram tanpa ada hela nafas marah. Namun, aku sering diacah-acah. Sering sahaja ada yang senang melihat aku terungap-cungap begitu. Dan.. orang itu adalah sahabat sendiri. Ermm..

Kalau benar mahu melihat aku luka, tikamlah aku dengan pedang yang menghunus. Namun tolong jangan tikami aku dengan bahasa yang keras begini. Lukanya tidak tersebutkan. Sakitnya payah kugambarkan. Lalu pertimbangkan untuk aku yang kamu anggapkan sahabat ini.

[Yang indah itu bahasa...]

Wednesday, December 29, 2010

~ HARGA ~


TEMPOH mengenali sahabat yang namanya OL ini tidak lama. Namun, rasa percaya itu ada banyak. Mungkin kerana dia menghulur kejujuran dalam persahabatannya. Lalu aku mudah dan merasa sangat selesa untuk ketawa dan menangis di depannya. Beberapa hari terkebelakang ini, aku menjadi kebetulan yang banyak menghabis masa bersamanya.

Hari ini, sahabat yang mengaku genius (hehehe..) ini membuat lucu apabila menurut laku yang aku mainkan. Comel seperti mana cinta hatinya juga.

Terima kasih sahabat... Sekurang-kurangnya aku tahu ke mana tempat yang harus aku tuju andai gagal membaca arah atau menumpang bahu.

[Kamu tau di-mana tempat sa-haros-nya kamu..]

Tuesday, December 28, 2010

~ JADI LAIN ~


AKU menggeleng-gelengkan kepala. Ketawa dan senyum sendiri. Apapun, aku tidak ada alasan untuk menolak daripada memakai pakaian bertema yang telah ditetapkan untuk satu majlis keraian kendalian jabatan kami hari lusa.

Yaa... sesuatu yang tidak mahu aku cuba sebelum ini. Lalu rakan-rakan sepekerjaan seperti bersorak kerana mahu menyaksi aku tampil berbeza. Sungguh merah padam wajah 'lurus' aku ini.

Lucu.. aku meletak lena menelentang mengarah kepada pakain yang tergantung itu. Entah apa yang aku risaukan, aku sendiri kurang pasti. Apakah ia petanda 2011 yang bakal tiba nanti akan mengarah kepada hal-hal berbeza yang akan aku lalui? Huh..

Perubahan ke arah kebaikan mudah-mudahan... aminn..

[Akan jadi lain-kah?]

Monday, December 27, 2010

~ BAHASA BONGKAK ~


JUMAAT lalu, aku buat pertama kalinya mengenali Wisma Nusantara. Perlu melangsaikan urusan berkaitan pelepasan 'cinta pertama' di sebuah bank terkemuka di sana. Bersambut dengan budi bahasa di lantai bawah.

Usai segala pembayaran yang tidak berbaki satu sen itu, aku diminta untuk ke lantai atas. Untuk mengambil segala dokumen penting berkaitan pelepasan itu secara total. Sang tukang urus, lelaki separuh abad yang mungkin sedang menunggu hari untuk bersara jawatan. Barangkali.

Dek kerana sistem kerjanya yang begitu, atau kemalasan yang menjadi teman setia dirinya, membuatkan dokumen yang sepatutnya aku perolehi itu tidak aku perolehi. Alasannya cukup menjengkelkan. Lebih membuatkan aku hilang terus rasa hormat kepada lelaki berpangkat ayah atau atuk itu, apabila dia menutur bongkak kedudukannya yang membuat perlu kepada sesiapa yang berurusan di situ.

Aku diminta untuk datang kembali pada hari ini untuk mengambil dokumen tersebut. Lalu dia tidak mendengar lagi tuturan seterusnya aku. Walhal masalah itu berlaku disebabkan pihak mereka atau pihaknya sendiri barangkali. Bahasa bongkak yang dia tuturkan itu membuatkan aku tidak dapat mengadapnya lagi. Lalu hati yang di dalam ini membuat hamburan amarah yang bukan sedikit. Yaa... hamburan senyap di dalam sana. Amarah yang tidak dapat dan tidak mungkin aku lepaskan ke depan muka selalunya.

Keluar dari bank terkemuka itu, aku segera ke unta hitam. Dann.......... saman DBKL berjumlah RM100 lekat di cermin depan. (Errmmmm.... mungkin lelaki separuh abad itu punya daulat dan menyedari kemarahan senyap yang ada dalam hatiku.... nahh.. seperti sumpahan yang dia hantarkan... barangkali.)

Itu kisah Jumaat lalu. Dan hari ini menjadi takdir aku terpaksa mengadap lagi lelaki separuh abad ini untuk mengambil dokumen tersebut. Masih dengan bahasa bongkak. Dokumen baru mahu disiapakan sedangkan dia membuat janji jumaat lalu. Lalu, hari ini aku tidak sudi langsung memandang wajahnya!!! Hati terdetik, patutlah dia hanya layak di kerusi itu sahaja meski bukan itu tempat seorang senior sepertinya.


[Ber-timpa.. dan itu men-jadi kebiasaan buat sa-orang aku...]

Sunday, December 26, 2010

~ SELAMAT TINGGAL CINTA PERTAMA ~







SEPARUH hari berada di bengkel menyelesaikan urus berkaitan 'cinta pertama' yang sudah habis hayatnya.

Sungguh... aku begitu sedih dan terkilan melihat keadaannya itu. Kupujuk hati. Bukan rezeki, itulah kenyataan yang seharusnya diterima dengan berlapang dada. Malah setinggi kesyukuran yang dilafazkan kerana tiada nyawa yang menjadi taruhan.

Kembali mengharung lima jam perjalanan memandu unta hitam ke hiruk pikuk kota dengan hela nafas yang panjang. Selamat tinggal 'cinta pertama'..

[Cherita lalu itu sangat meng-gamit..]

Saturday, December 25, 2010

~ BASAH DAN RESAH ~ ~


AWAL pagi aku sudah bersiap-siaga untuk pulang ke kampung halaman nun di pantai timur semenanjung tanah air.

Hati bergelisah entah apa puncanya. Lalu untuk membuat sedikit tenang sebelum meneruskan perjalanan lima jam yang panjang itu, aku menghalakan unta hitamku ke taman melawati, atau lebih tepatnya ke Kopitiam Bangi.

Duduk menghirup secawan coffee bersama sepinggan nasi lemak. Menunya tidak pernah menjadi kebiasaan untuk sesi sarapan buatku. Namun, hari ini aku memilih itu. Nafas ditarik dalam dan dihela perlahan. Beberapa kali sebelum aku tenggelam seketika dalam kepul asap rokok yang berkeliling membuat singgah.

Tepat jam 10.50 pagi setelah kurang lebih satu jam di situ, aku memacu unta hitam deras membelah belantara bertulangkan banjaran Titiwangsa itu. Nahh... empat jam kemudiannya, aku sudah menatap wajah manis ibu. Ibu terkejut melihat aku tiba-tiba muncul tanpa sedikit titip pesan seperti selalunya.

Malamnya, seluruh kami menyertai makan malam di luar. Makan malam indah yang terserta deru angin laut yang hanya kurang lebih 100 meter dari tempat kami menjamah hidangan. Dingin bayu laut itu tajam menggigit. Seolahnya mengerti, hatiku juga berkeadaan serupa.

Ayah kelihatannya gembira.

"Entah-entah ini kali terakhir dapat makan ramai-ramai macam ni..."

Kata-kata yang terpacul dari mulut ayah itu dalam masuk ke pendengaran kami. Biar ia hampir tenggelam dan berlaga dengan deru ombak yang mengiring, deretan kata-kata penuh maksud itu kami tangkap jelas.

Aku mahu duduk mengadap laut dan membiarkan diri terus digigit dingin bayu. Biar!!!

[Degup yang sa-makin kencang..]

~ PUNCAK KASIH KITA ~


TAJUK : Puncak Kasih Kita
KARYA : Intan Arnida
CETAKAN : Pertama (2010)
PENERBIT : Alaf 21 @ Group Buku Karangkraf Sdn Bhd
HALAMAN : 497
HARGA : RM19.90

“Walau badai menghempas pantai, cintaku padamu takkan ku lepas…”

[Dengan rasa..]

Friday, December 24, 2010

~ SEDERET LAGI ~


BERATUR sederet. Ia bukan pertama kali. Lalu aku sudah terbiasa tekanannya. Situasi kalut, mengah dan resah bertubi apabila beberapa perkara besar menanti untuk diselesaikan secara berturutan atau lebih malang lagi secara serentak dengan kudrat yang sekerat ini.

Hal itu terjadi lagi hari ini. Dalam pada kalut dengan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan sejak Ahad lalu, mengadap pula beberapa hal yang perlu aku selesaikan dalam seletak lena ini.

Membuat nganga, urus pekerjaan yang punya tarikh mati itu diawalkan beberapa hari iaitu dari Khamis kepada Isnin. Ini kerana pada hari Selasa dan Khamisnya, ada keraian penting yang harus diutamakan. Justeru, segala masa yang ada pada hujung minggu ini mahu atau tidak, harus diisikan dengan hal-hal pekerjaan. Mesti!

Pun begitu.... perancangan yang sedang berlegar dalam kepala itu terhenti apabila mendapat panggilan dari ibu yang memohon aku pulang ke kampung halaman nun di timur semananjung tanah air sesegera yang mungkin. Tidak dapat tidak tanpa sebarang alasan. Yang aku tahu, ia bersebab rajuk adik keranaaku kerap menangguhkan cuti untuk meriliskan segala barang miliknya di dalam keretaku yang terlibat dalam kemalangan tempohari.

Menjadi kebetulan juga, petang siang hari tadi pihak bank menghubungiku untuk hadir ke sana bagi menyelesaikan beberapa urus penting berkaitan pelepasan hak milik kereta tersebut. Esok pagi? Urusan sepanjang hari? Ermm... mati!

Aku terduduk. Diam seketika. Mahu mencari penyelesaian terbaik dan memenuhi kesemua tuntutan yang mengadap itu. Tetapi bagaimana yaa... ermmm. Tidak adil untuk mengheret orang lain sekali dalam urusan-urusan mendesak begini. Cukuplah dengan kebergantungan banyak yang aku singgahkan selama ini.

Justeru.. kali ini biarlah aku mengadapnya sederet secara sendiri. Meski dengan berkosong dada tanpa sebarang tahu, esok pagi aku akan cuba menyelesaikan segala urusan dokumentasi dengan pihak bank sebaik yang mampu. Awal pagi Sabtunya pula, aku akan memandu pulang ke kampung halaman untuk memulih rajuk adik dan menyelesaikan secara total hal-hal yang memerlukan kehadiranku secara perlu. Yaa... Pertama kali memandu sejauh itu secara sendiri dan berseorangan. Mungkin aku perlu mencuba.. buat ketika ini, hanya itu sahaja pilihan yang aku ada.

Juga aku mengharapkan ada keluarbiasaan untuk aku mampu mencelah diantara waktu yang ada itu menyelesaikan urus wajib pekerjaan yang punya tarikh mati Isnin itu. Entah bagaimana, tetapi aku menadah untuk apa sahaja kebarangkalian itu.

[Tidak mau meng-heret... ]

Thursday, December 23, 2010

~ ISI KEPALA ~


SIANG tadi membuat pemeriksaan dan imbasan isi kepala, mudah-mudahan tiada yang serius di situ.

Terima kasih untuk sahabat yang sudi meneman dan menghilangkan rasa takut. Juga teman jiwa yang masih mahu mengerti.

Kembali mengisi borang memohon pekerjaan baru... ermmm...

[Hidop tentu-nya tidak selalu indah..]

Wednesday, December 22, 2010

~ HILANG, HANYUT SENYAP ~


TETAP meneruskan urusan pekerjaan seperti biasa biarpun keadaan diri tidak begitu mengizinkan. Perut masih mahu memuntahkan isinya. Kepala masih kesesakan berlaga urat salurnya. Keras semuanya menyeksa.

Jam 7.45 malam tadi aku memaksa lena dan hanya membuka mata kembali pada jam tepat menunjukkan pukul 7.15 pagi ini. Hampir 12 jam aku hilang dan hanyut senyap. Dan hari ni nampaknya aku berseparuh hari lagi di tempat pekerjaan. Ermm...

[Dan semua-nya men-jadi tiang letrik...]

Tuesday, December 21, 2010

~ 100 HARI ~


AL-FATIHAH. Semalam genap 100 hari pemergian abadi arwah ayahanda sahabat june. Mudah-mudahan arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan tenang bersemadi di sana. Aminnn....

[Andai ku tahu...]

Monday, December 20, 2010

~ MENGALIR DI SETIAP INCI TUBUH ~


BUKAN kerana ghairah memerah kudrat, namun mungkin kerana keadaan cuaca yang begitu menguji, kesihatan diri membuat ganggu.

Pulangnya aku semalam ke hiruk pikuk kota ini dengan sakit kepala yang amat berat. Ada aliran panas yang menjalar di setiap inci tubuhku. Dan paling menakutkan apabila ia juga menyelinap membuat singgah dan memanaskan 'besi' yang bertamu di rahang kananku. Lalu aku terdiam senyap tanpa mampu berbuat apa melainkan bergelut melawan rasa.

Tidak tahan dengan situasi itu, aku telan juga ubat-ubatan bekalan sang doktor yang sudah aku tahu natijah yang bakal bertamu. Nahh... ternyata badanku sememangnya tidak mampu menerimanya. Lalu, hari ini aku hanya terlantar menahan uji.

[Resah...]

Sunday, December 19, 2010

~ ADA CERITA ~




BATU Feringgi menggamit kenangan. Biar lelah dengan urus pekerjaan yang tidak tertampung dengan kudrat yang sekerat, kaki dan hati mahu juga menjejak ke pantai nostalgia ini.

Nah... hari ini aku membuat singgah di sini. Meski tidak berkesempatan melihat matahari merah di senja harinya, merenung pantai penuh cerita ini sudah cukup memuas hati. Mencuri kesempatan yang ada ini dengan sepenuh rasa.

Tenang, aman dan bebas dari kecamukan yang membuat singgah sejak seminggu yang lalu.

[Mau me-lehat mata-hari merah dengan senyom paling manis....]

~ PASAR CHOW RASTA YANG ISTIMEWA ~




PALING menarik sepanjang berada di pulau mutiara dua hari ini, apabila aku punya kesempatan untuk singgah di Pasar Chow Rasta. Selain dipenuhi gerai jualan makanan dan barangan cenderahati yang pelbagai, pasar ini juga memiliki satu tempat yang cukup istimewa iaitu sebuah toko buku yang memiliki ribuan atau mungkin lebih buku-buku lama yang tentunya sukar diperolehi di tempat lainnya.

Keghairahan meraja dan seperti mahu diterkam segala isi dalamnya. Terima kasih untuk sahabat yang namanya OL kerana memperkenalkan kepadaku tempat yang cukup istimewa ini. Gila!!!

[Ter-kenang toko buku lama di-jalan Brickfiled yang entah wujod entah-kan tidak lagi...]

Saturday, December 18, 2010

~ KEJUTAN-KEJUTAN KASAR ~



SELAMA dua hari, yakni hari ini dan esok aku akan berada di utara semenanjung tanahair atas urusan pekerjaan.

Menurut perancangan asal, jam 8.00 pagi aku dan teman seperkerjaan harus memulakan perjalanan, namun dek kerana janji Melayu yang sememangnya sudah dimaklumi itu, perjalanan kami hanya bermula kurang lebih 10.30 pagi. Ermm...

Tiada apa yang menarik di sepanjang perjalanan lima jam menuju ke utara semenanjung tanahair itu melainkan degup jantung yang sentiasa kencang dengan kejutan-kejutan kasar sang pemandu yang entah berapa kali mahu mencium isi perut jalan raya yang sarat dan melulu itu. Entah berapa kali kami dalam situasi begitu. Resah.

Awal asal aku tekun mengadap buku yang dibawa untuk mengisi waktu perjalanan itu, namun akhirnya terpaksa dilupakan kerana hati gemuruh tidak senang apatah lagi menaruh rasa percaya. Sudahnya, perjalanan itu berlangsung dengan penuh debaran setiap detik. Malah sebaik tiba ke destinasi yang dituju, kelegaan jelas bernafas. Alhamdulillah. Tuhan melindungi perjalanan kami.

Andai sesuatu yang tidak diingini berlaku, entah bagaimana situasinya. Andai aku 'pergi' hari ini, apakah ada yang mahu menangisinya... ermm...

Untuk kamu yang pernah kuperbuat dosa dengan tingkah yang menyinggung rasa atau bahasa yang membuat hiba, sungguh dengan seluruh hati aku mohon diampunkan itu. Doa kesejahteraan buat kamu dan aku benar maksudkan itu.

[Andai ku-tahu... kapan tiba ajal-ku..]

~ HANYA DIKAU ~


TAJUK : Hanya Dikau
KARYA : Ebriza Aminnudin
CETAKAN : Pertama (2007) & Kedua (2009)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 628
HARGA : RM19.90

[Biar tangan-ku di-gari, kaki-ku di-ikat... hanya di-kau..]

Friday, December 17, 2010

~ SEGALANYA IKUT TUMPAH ~


SAMA ada aku yang memberi nada yang salah untuk didengar, atau ada yang salah membaca nada yang aku perdengarkan.

Menopang dagu.

Bila yang salah-salah itu beratur di depan, emosi lantas mahu tumpah. Amarah terkibas-kibas mengawal segala.

Ambil sahaja peluru. Tembak terus tembus tepat ke jantungku. Yaaa.... aku lagi!

[Rasa hormat sering sahaja men-jadi penyelamat...]

Thursday, December 16, 2010

~ LUAR DARI KEBIASAAN ~


MARAH. Urusan keretaku yang terlibat dengan kemalangan tempohari belum lagi usai. Harapan palsu yang mereka berikan sudah genap mencecah bulan. Janji bertindih janji, tetapi ia masih begitu. Tidak di sini dan tidak di situ.

Berdepan dengan manusia-manusia bongkak yang merasa cukup besar diri dengan posisi 'perlu' mereka itu amat menyakitkan hati. Aku yang sentiasa mengingat sabar kepada diri, hari ini bertindak sedikit luar dari kebiasaan.

Dek kerana kecewa dengan situasi itu, aku tiba-tiba bersuara keras melepaskan rasa kemarahan itu tanpa ada sedikit yang tinggal. Lalu ia menjadi bukan aku.

Dan... bila marah yang berkeras mahu mengambil tempat kesabaran yang ada, makanya aku perlu takutkan itu.

[Diam..]

Tuesday, December 14, 2010

~ MEMBACA MERAH ~


MENDAPAT sesuatu yang dimahukan tanpa diminta sangat manis sekali berbanding memperoleh sesuatu dengan meminta-minta.

Memperoleh sesuatu saat kita benar berkehendak menjadi sangat bermakna berbanding mendapat sesuatu yang sama di saat kita sudah hilang rasa.

Ia berbeza banyak.

[Gerak laku yang ter-bacha]

Sunday, December 12, 2010

~ SUDAH MENANG ~


MALAM tadi pulang agak lewat pagi lantaran menyertai sedikit keraian menyambut hari ulang tahun kelahiran seorang kenalan. Meriah sehingga aku tidak terkejar kemeriahan itu. Pelbagai ragam dan lagak melintas di depan mata. Begitu mereka meraikan kegembiraan. Aku lebih banyak memerhati. Lebih banyak senyum menyambut salam perkenalan daripada wajah-wajah yang baru dikenali dan kebanyakannya merupakan kenalan BR.

Sebetulnya aku tiba lewat di lokasi keraian kerana sebelum itu terlebih dahulu menghirup secawan coffee di Taman Melawati tanpa dirancang bersama sahabat tsunami. Sahabat yang menjanjikan Rapunzel untuk Natrah dan... ia tidak terjadi apabila dia 'menang'. Aku disuruh mengerti dan aku senyum.

Usai dengan secawan coffee, terus pulang ke rumah. Menggantikan pakaian dan kemudiannya bergegas ke lokasi keraian. Menghabiskan masa beberapa jam juga di di situ kerana kaki diikat dengan beberapa hal yang membuat halang.

Seawal jam 6.00 pagi, mata sudah terbuka luas. Meski hanya tiga jam meletak lena, aku membuat jaga. Kemudiannya membaca tulisan Andrea Hirata. Kisah-kisah tauladan tentang persahabatan. Tentang magisnya persahabatan jika kita saling boleh diharapkan pada setiap masa yang diperlukan tanpa ada keraguan walau sedikitpun.

[Me-nunggu magis..]

Saturday, December 11, 2010

~ KELUANGAN YANG MENJADI KEBIASAAN ~


SEGAR. Pagi ini sekali lagi mengisi keluangan dengan sahabat yang namanya BR ini untuk menghirup udara pagi di Taman Tasik Titiwangsa. Dia yang paling kerap membuat teman. Keluangan yang semakin menjadi kebiasaan sejak berpindah dan menetap di bandar bunga tanjung ini.

Banyak yang menarik dan membuat senang apabila menghirup udara pagi di sini. Kesegaran yang membawa kewarasan. Malah lebih aman juga berkongsi cerita rasa. Segalanya berfungsi menurut peranan.

[Nikmati.... dengan rasa..]

~ LAFAZKAN KALIMAH CINTAMU ~


TAJUK : Lafazkan Kalimah Cintamu
KARYA : Siti Rosmizah
CETAKAN : Pertama (2010), Kedua (2010)
PENERBIT : SR Publication Sdn Bhd
HALAMAN : 810
HARGA : RM26.90

“Besar kesilapanku, besar lagi keegoanmu. Berkali ku beri alasan, berkali-kali kau menolaknya. Kau ingin ku menyalakan diri ini bagai lilin dan terbakar oleh perbuatanmu…”

[Mem-bacha laku..]

Friday, December 10, 2010

~ HADAPI DENGAN SENYUMAN ~


HADAPI DENGAN SENYUMAN
by dewa

Hadapi dengan senyuman
Semua yang terjadi
Biar terjadi
Hadapi dengan tenang jiwa
Semua kan baik-baik saja

Bila ketetapan Tuhan
Sudah ditetapkan
Tetaplah sudah
Tak ada yang bisa merubah
Dan takkan bisa berubah

Relakanlah saja ini
Bahwa semua yang terbaik
Terbaik untuk kita semua
Menyerahlah untuk menang...

SEMALAM, aku membaca entri tulisan sahabat yang namanya OL di ruang kesayangannya. Cerita tentang sebahagian perasaannya terhadap kehidupan yang perlu dia depani berikutan piliihan yang pernah dia putuskan.

Aku semakin memahami sahabat ini walaupun tidak seluruh. Aku berbangga kerana dia punya hati yang kuat walaupun emosinya sering saja melimpah-limpah.

Pesan aku untuk sahabat ini.. dan mungkin juga untuk kamu, kehidupan tidak semestinya mengikut mahu fikir kita. Yang terbaik itu sekelip mata juga boleh menjadi yang terburuk buat kita dan begitulah sebaliknya.

Aku bersetuju, tidak perlu kepada penyesalan untuk hal yang telah diputuskan. Ia berlalu dan biarlah ia terus berlalu. Hari esok, hadapi dengan rasa yang paling baik agar tidak mendekatkan kita pada hal yang serupa. Sejarah itu lampu suluh yang paling terang.. percayalah!

[Hadapi dengan senyoman... ]

Thursday, December 09, 2010

~ BERTANGGUNGJAWAB ~


AKU tidak diajarkan untuk memungkiri janji. Aku tidak diajarkan untuk menidakkan apa yang pernah bibir lafazkan. Jauh sekali aku diajarkan untuk melepaskan tanggungjawab yang disanggupi sendiri.

Justeru, aku sentiasa membuat pesan kepada diri sendiri agar bertanggungjawab untuk setiap janji, untuk setiap kata.. untuk setiap yang ada dalam kewarasan akal.

[Menerima janji yang tidak ter-tunai-kan...]

Wednesday, December 08, 2010

~ INGIN MELIHAT JELAS ~



LANGIT tumpah, maka segalanya mahu ikut tumpah. Untuk meredah perut jalan raya yang melimpah dengan segala macam emosi dalam keadaan mengantuk seluruh, tentunya bukan dalam ketegaran aku.

Lalu, unta hitam aku tumpangkan di suatu tempat dan bersetuju dengan akal sahabat yang namanya brad ini untuk duduk menikmati secawan cofffee di BB. Mungkin lebih baik begitu daripada aku meneruskan perjalanan ke bandar bunga tanjung yang tentunya mengundang tekanan yang bukan sedikit saat isi jalan raya sarat begini..

Dari cerita secawan coffee, sehinggalah kepada cerita mata yang mahu berganti. Lalu tanpa dirancang-rancang aku berkeliling di beberapa buah kedai mata untuk tujuan itu. Aku bersetuju memilih mata di kedai ketiga. Tidak lama, hanya kurang lebih lima minit aku membuat pilihan. Lima minit berbaki untuk pemeriksaannya. Nahh... terus sahaja aku mengangguk setuju.

Kurang lebih 40 minit aku aku tinggalkan kedai mata itu untuk memberi mereka masa untuk melengkap baik mata itu, aku berkeliling lagi di beberapa buah kedai mata. Dan aku lekat pada kedai yang ke lima. Mengangguk-ngangguk dan aku kemudiannya bersetuju untuk membawa pulang serta menghak-milikkan sepasang lagi mata tanpa alasan yang munasabah.

Sahabat yang namanya Brad ini, menggeleng-gelengkan kepala.
"Kenapa sampai dua?" tanyanya seperti kurang bersetuju.
"Entah.." jawabku sambil mengangkat bahu.

[Mau melihat lebeh jelas lakonan manusia se-keliling]

Tuesday, December 07, 2010

~ PENGHIJRAHAN ~


1 MUHARAM

Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman...


Salam Maal Hijrah.. salam tahun baru 1432 Hijrah. Salam kesejahteraan dan salam semangat baru untuk segalanya yang baru ini. Mudah-mudahan ia menjanjikan sesuatu yang lebih indah dan manis buat kita semua, insya-Allah.

Jika di zaman anak-anak dulu, bulan Muharram ini amat-amat ditunggu aku kerana dapat menikmati bubur assyura. Selalunya di kampung kami, bubur ini akan dimasak secara bergotong-royong. Malah, bahan-bahan masakannya akan disumbangkan oleh orang-orang kampung mengikut kemampuan meraka. Apa sahaja, terpulang mereka. Hasilnya kemudian akan diagihkan kepada seluruh penduduk untuk sama-sama merasainya.

Hari ini, apabila semakin menginjak dewasa, aku tentunya lebih memahami Muharram itu bukan sekadar bubur assyura. Lebih daripada itu.
Mengenang penghijrahan, kadang-kala membuatkan aku termenung panjang mencari pengertian yang paling tepat untuk diriku. Begitu dan begini... Aku tidak di sini dan tidak juga di sana.

Penghijrahan perasaan. Sukarnya untuk memulakan. Perasaan yang telah lama aku paksikan di situ cuba aku ubah untuk mereka. Tiada apa yang aku ingin, melainkan melihat semua atau hampir semua bunga senyum dan mekar dikuntumannya...

[Maseh dalam peng-hijrahan..]

Monday, December 06, 2010

~ MEMENUH INGIN ~


SENYUM. Paling manis aku rasakan senyum hari ini kerana aku berjaya memenuhkan permintaan seorang sahabat yang akhirnya turut membuat dia senyum juga. Hidup menjadi tenang apabila 'senyum' kita berbalas 'senyum' juga dan begitulah sebaliknya. Jangan silap mentafsir, aku bukan bercakap tentang ganjaran, tetapi soal kewajaran laku sebagai seorang yang namanya manusia.

Aku tersenyum lagi. Kali ini bukan untuk sesiapapun... tetapi untuk diri sendiri. Tersenyum kerana yang dimahu aku masih begitu kesudahannya. Bukan mahu sederet, tetapi mungkin cuma satu atau dua.

'Kalau aku ada kuasa boleh bagi apa yang kau nak, sekarang kau nak apa?"
Soal seorang auntie yang serabai dengan pakaiannya tetapi cantik dengan senyuman manis yang dia hadiahkan buat aku sambil menggoyang-goyangkan kakinya ketika kami sama-sama berteduh dari hujan di sebuah perhentian bas lewat petang tadi.

"Saya nak pergi tengok matahari jatuh. Nak pergi duduk-duduk kat jambatan putrajaya... errr... hehehe.. nak pergi tengok rapunzel..."
Aku menjawab spontan soalan itu sambil tersenyum. Bukan mahu mempersendakan soalannya, tetapi itulah yang betul-betul ada dalam kepala saat itu dan ia tidak lebih.

Nahhh... jawapan itu bersambut tawa besar olehnya sambil bangun membasahkan tangannya dengan air hujan di kiri tempat duduknya dan merenjis ke arah mukaku. Tidak kusangka jawapan itu telah membuatkan dia marah. Terkejut dan mahu sahaja aku bangun lari dalam hujan, bimbang kalau dia bertindak lebih agresif dari itu.

"Kalau kau mahu itu, tak payah mintak dengan aku,"
Keras bunyi suaranya itu. Dia memandang tepat ke wajahku dan kemudiannya senyap sambil terus merenung hujan.

Hujan sedikit reda. Aku terus berlari ke unta hitamku segera tanpa peduli ada titis yang mencurah. Bimbang kalau-kalau ada tindakan lain pula yang dia reaksikan untuk melemparkan kemarahan terhadap jawapanku itu.

Sepanjang perjalanan menuju ke Istana Kesenian itu, aku berfikir-fikir kembali perbualan spontan dengan wanita separuh abad yang mungkin terganggu kewarasannya itu. Mungkin ada kebenaran pada kemarahannya itu. Permintaan aku ini mungkin terlalu remeh dan mudah dan tidak sesuai dengan 'kuasa' yang mahu dia ujikan.

Namun, sebenarnya itulah kebenaranku beberapa hari ini. Hal-hal yang paling mudah pun tidak terpenuhkan, apatah lagi mahu meminta sesuatu yang lebih besar.

[Mau mem-bidik deretan bangunan lama di-Ipoh yang sering men-curi pandang]

Sunday, December 05, 2010

~ MATAHARI MERAH LAGI ~


SETELAH sekian lama, hari ini aku berpeluang melihat matahari merah di gigi pantai yang penuh cerita ini lagi. Tenang dan senyap membuat damping. Senyap dalam keriuhan suasana yang bersiulan riang di kiri dan kananku.

Lama aku bertongkat dagu di sini kali ini. Melayan rasa tenang itu sehingga malam menutup hari hari. Sehingga matahari merah itu menyembunyikan diri dan timbul pula bulan di tengah tiga bintang. Arghh... tenang yang lama sekali tidak aku peroleh.

Ada cerita.. banyak cerita yang diluah pada ombak yang sepertinya mahu mengerti. Mengharap cerita itu akan bersambung lagi.. dan lagi..

[Mata-hari merah... tunggu cherita aku lagi..]

Saturday, December 04, 2010

~ KU PERSEMBAHKAN HATI ~


TAJUK : Ku Persembahkan Hati
KARYA : Adra Adlina
CETAKAN : Pertama (2009)
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 519
HARGA : RM18.90

“Kupersembahkan hati untuk dia, insan yang kucinta. Sedalam-dalam rasa, sesampai di syurga…”

[Biar ber-musim ganti perasaan, tidak perenah mau mengalah..]

Friday, December 03, 2010

~ PELUANG MENGENALI ~


"Awak tak pendiam sebenarnya. Cuma mereka tak mengenali awak dan awak tak benarkan mereka mengenali diri awak sama..."

Biarpun ringkas, kata-kata yang dituturkan oleh sahabat yang namanya OL di Facebook semalam, memang ada kebenarannya dan ia membuatkan aku berfikir tentang itu. Yaaa... masih tentang isu beberapa hari lepas itu. Ermm..

[Tidak perenah ber-jaya men-jadi orang lain]

Thursday, December 02, 2010

~ MUHASABAH CINTA ~


MUHASABAH CINTA
by edcoustic

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari Mu
Kupasrahkan semua pada Mu

Tuhan baru kusadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta Mu

Kata kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung do’a ku
Sakit yang kurasa biar
Jadi penawar dosaku

Butir butir cinta air mataku
Terlihat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi Muhasabat cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan Mu


[Segala-nya dengan hi'mah..]

Wednesday, December 01, 2010

~ MENJADI SIA-SIA ~


KATA ibu, jangan sesekali mengungkit walau apa jua kebaikan yang tangan kanan kita lakukan. Kata ibu juga, jangan sesekali berkira saat hati kita telah memutuskan untuk menghulur bantu. Jangan... Jangan sesekali. Kerana kelak nanti yang kita niatkan ikhlas itu akan menjadi sia-sia.

Lalu, itu yang aku pegangkan keras dari mula mengenal hidup sehingga hari ini.

[Tidak perenah mau mem-bilang budi sendiri...]

Tuesday, November 30, 2010

~ APA IA JENAYAH BERAT... ~

(kredit foto : filem appalam)

PENDIAM. Memang aku bukan peramah orangnya, tetapi aku bukanlah juga pendiam. Aku tidak merasakan aku terlalu diam dan.... aku tidak suka dilabel begitu. Sungguh aku akui, aku tidaklah begitu bergegak gempita di ruang pekerjaan.. atau dikalangan rakan-rakan pekerjaan. Bukan kerana aku terlalu pendiam, cumanya aku tidak memilih untuk begitu. Mereka yang dekat pasti sahaja tahu aku bagaimana orangnya.

Siang tadi, ada seorang rakan satu lantai pekerjaan yang meluahkan pandangannya kepadaku. Katanya aku tergolong dalam lingkungan top 5 paling pendiam di lantai pekerjaan kami yang kakitangannya kurang lebih beratus-ratus orang tuh. Top 5???

Pantas aku bertanya, atas dasar apa? Apakah kerana aku jarang sekali mahu bergegak-gempita? Kerana aku tidak akan kelihatan dalam hal-hal penuh kebisingan? Kerana aku tidak bertempiaran menyertai acara mereka? Kerana aku tidak pernah mahu mengambil peduli cerita-cerita dan gosip mereka biarpun ia dibicarakan hanya disebelah kerusiku?

Atau kerana aku tidak banyak berkongsi kisah? Payah menyambung cerita mahupun tawa? Ermmm... atau mungkin juga kerana aku ini tidak tahu bergaul sehebatnya sehingga banyak nama mereka yang di lantai pekerjaan itu tidak dihafal aku. Apatah lagi hal mereka yang selainnya. Ermm... kerana itu aku terhitung dalam seperti itu barangkali.

Aku tidak pernah ada rasa mahu peduli dengan anggapan yang sebegitu sebelum ini. Cumanya, sejak akhir-akhir ini entah kenapa aku sangat tidak suka dilabelkan begitu. Ia terlihat sepertinya aku melakukan jenayah berat. Ermmm... lalu aku diatur untuk menjadi 'peramah' menurut perkiraan mereka.

[Mau ramah yang bagi-mana kamu? ]

Monday, November 29, 2010

~ MEMBACA YANG TIDAK DIPERKATAKAN ~


JUMAAT lalu agak tertekan dengan urus pekerjaan. Terpaksa bersengkang mata di ruang pekerjaan mengadap kerja-kerja yang punya tarikh mati sehingga jam 2.40 pagi dan hanya tiba di rumah kurang lebih jam 4.00 pagi setelah terpaksa melalui sekatan jalan raya sebelum tiba di rumah. Pagi bertemu pagi. Saat keluar rumah paginya menunjukkan jam 6.20 pagi dan hanya kembali pada jam 4.00 paginya. Ermmm..

Saat kebosanan mengadap dan menunggu dan menunggu dan menungguuuu segala urusan yang bertarikh mati itu, nama sahabat mei tiba-tiba tertera di skrin telefon bimbit dan kami menutur bual sehingga jam 2 pagi.

Sahabat ini dalam sugul rupa-rupanya. Patutlah hati terdetik menanyakan khabarnya beberapa hari lalu. Dia menyuarakan rasa hati tentang pengorban yang di rasakan menyakitkan dirinya. Pengorbanan yang dipilihnya sendiri dan tidak dipaksakan sesiapapun. Dia tahu itu, tetapi situasi mengikat dirinya. Aku cuba mengerti tentang apa yang dia katakan hidupnya hari ini penuh dengan penipuan. Penipuan untuk sebuah pengorbanan.

Dari nada suaranya di hujung talian, sepertinya dia mahu lari daripada sesuatu tetapi kakinya terikat kemas. Lalu di situlah dia tersangkut sehingga hari ini. Melempar senyum yang kadang-kala tidak dia sedari hanyalah sebuah senyum yang tidak memberikan apa-apa indah.

Pun begitu dalam resah yang memalit diri, sahabat yang seorang ini seorang pendengar yang baik juga saat tiba giliranku untuk berkongsi kisah. Malah dia antara manusia paling positif yang pernah bergelar sahabat kepadaku. Kata-kata dan nasihatnya seringnya aku ambil peduli. Bukan kerana namanya yang tersohor di dada akbar itu menjadi ukuran tetapi kerana kebenaran dari apa yang diperkatakan. Dia sentiasa membuat aku ingin bercerita meski aku tahu dia tidak mampu membantu apa. Itulah kelebihan sahabat yang seorang ini.

Untuk sahabat mei, seperti kata kamu kelmarin, 'menjadi positif itu merupakan terapi terbaik untuk sesuatu kesakitan. Ketepikan juga ego diri kerana ia tidak pernah menjanjikan apa'.

[Apa-bila sahabat kamu mampu mem-baca apa yang tidak kamu per-kata-kan...]

Sunday, November 28, 2010

~ TEATER NATRAH 2 TIDAK MAMPU MENYAINGI MUSIM PERTAMA ~



OLEH kerana aku menonton kedua-dua pementasan teater Natrah musim pertama dan Natrah musim kedua (sedang dipentaskan di Istana Budaya sehingga 5 Disember depan), makanya aku tidak dapat lari daripada membuat perbandingan tentangnya.

Dan sungguh, aku lebih menyukai Natrah musim pertama kerana ia lebih menyentap, menyentuh dan melekat di hati sehingga saat jari-jari ini bercerita di sini. Kebanjiran pelakon-pelakon yang 'punya nama' untuk musim kedua ini ternyata tidak banyak membantu melainkan sebagai umpan untuk menarik lebih banyak penonton terutamanya dari golongan generasi muda yang mungkinnya menggilai Aaron Aziz, Liyana Jasmay, Firz Fairuz mahupun Nabila Huda.

Oleh kerana kehadiran mereka yang ada nama besar ini, makanya sang pengarah 'terpaksa' memberikan atau memanjangkan dialog untuk mereka agar berbaloi kemunculan atau kehadiran mereka dalam Natrah 2 ini. Walhal jujur aku katakan dialog Liyana Jasmay sebelum babak pertandingan senaman di padang sekolah itu langsung tidak perlu. Jalan ceritanya tidak cacat kerana itu... malah pementasan tahun lepas tanpa babak atau dilaog itu tetap juga difahami penonton. Begitu juga dengan babak-babak yang membabitkan Ziela Jalil. Secara kesimpulannya, tanpa kehadiran pelakon-pelakon ini pada pementasan tahun lepas, Natrah tetap berjaya menggegar Panggung Sari Istana Budaya dengan kehadiran lebih 15,000 orang penonton beserta jualan tiket melebihi RM500,000 seperti mana yang dilaporkan akhbar tempatan.

Dari segi jalan ceritanya, tidak banyak yang berubah. Cuma penambahan beberapa babak yang mungkinnya untuk memberi lebih kefahaman kepada penonton tentang pemberontakan jiwa Natrah dan Mansor Adabi sendiri. Namun tidak semua penambahan yang dilakukan itu berjaya menarik perhatian penonton sebaliknya membuatkan pementasan kali ini agak meleret.

Paling aku kesalkan babak tarian Bollywood yang dipersembahkan oleh sang peneraju utamanya, Maya Karin sebagai Natrah dan Remy Ishak sebagai Mansor Adabi. Walau apa jua alasan sang pengarahnya, aku tidak dapat menerimanya dengan mudah. Babak ini mencacatkan penghayatan penonton terhadap keseluruhan Natrah. Malah ia secara tidak sengaja telah mencetuskan 'komedi' kepada kami yang menonton. Apakah itu yang dimaksudkan sang pengarahnya yang mahu mengurangkan ketegangan yang dirasakan penonton sepanjang pementasan Natrah yang berkisah berat itu??? Dan... mengapa mesti Bollywood?

Babak paling menarik untuk Natrah musim pertama dulu iaitu babak monolog pertembungan perasaan antara Che Aminah, Natrah dan Adelaine kali ini tidak begitu menjadi. Entah kenapa aku sendiri kurang pasti. Jika pada persembahan musim pertama aku mampu menghayatinya sehingga menitiskan air mata, tahun ini perasaannya tidak sampai ke situ. Mungkin Adelaine di tangan Susan Lankester tidak begitu menyentuh perasaan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Samanta Schubert.

Aku sukakan persembahan monolog. Namun, biarlah kena kepada kesesuaiannya. Monolog yang terlalu banyak dalam Natrah 2 ini mengundang kebosanan tanpa sengaja. Ada beberapa monolog yang aku rasakan tidak perlu. Cukuplah dua monolog berkesan yang dilantunkan oleh pelakon hebat Sofea Jane diawal dan diakhir cerita serta monolog pertembungan perasaan antara Che Aminah (Umie Aida), Natrah (Maya Karin) dan Adelaine (Samantha Schubert) seperti mana dalam Natrah pertama dulu. Justeru apabila untuk Natrah 2 ini, monolog Sofea itu telah dipecah-pecahkan kepada beberapa bahagian dan ditambah pula dengan monolog seorang pelakon lelaki di awal pementasan, monolog Umie Aida, monolog Susan Lankester, monolog Maya Karin, monolog Lutfya, monolog Sh Sofia dan monolog Remy Ishak.. ia agak meletihkan!!!

Aku juga ingin menyentuh tentang 'ending' untuk pementasan kali ini. Sejujurnya, aku memilih dan lebih menyukai 'ending' Natrah musim pertama. Aku bukanlah serba satu seperti pengkaji sejarah Natrah, Datin Fatini.. tidak juga yang bijak menafsir seperti mana sang pengarah tersohor yang namanya Eirma Fatima itu... namun kalau menurut pembacaan dan penelitian tentang Natrah yang aku tahu, 'ending' Natrah musim pertama itu lebih benar.. atau hampir benar. Kerana itulah ia lebih menyentap rasa. Kenyataan untuk sebuah kebenaran itu selalunya tidak dapat diterima ramai bukan?

Apapun, usah salah sangka dengan ulasanku ini. Natrah 2 tetap terbaik dan menarik di kalangan teater-teater yang pernah dipentaskan di Istana Budaya untuk tahun ini. Cumanya ia tidak dapat menandingi Natrah musim pertama. Itu sahaja. Sekalung tahniah untuk seluruh kumpulan kreatif terutama sang pengarahnya, Puan Eirma Fatima di atas usaha dan kesungguhan mempersembahkan Natrah 2 ini dengan cukup meyakinkan.

Tahniah dan pujian besar juga kepada pelakon tersohor, Datin Paduka Umie Aida yang ternyata berjaya mengekalkan momentum persembahan hebatnya itu baik untuk Natrah musim pertama, mahupun untuk musim keduanya. Lakonannya tidak mampu diganggu gugat sesiapa.

Untuk kamu yang punya kesempatan dan keluangan, singgahlah di Istana Budaya untuk menyaksikan sendiri pementasan teater Natrah musim ke-2 ini yang mula dipentaskan sejak 25 November lalu sehingga 5 Disember ini. Nilailah sendiri menurut pandangan dan rasa kamu dan sungguh ingin aku katakan, banyak yang terpinjam daripada kisah cinta dan air mata ini..

NATRAH mengisahkan tentang Huberdina Maria Hertogh, gadis Belanda yang diserahkan ibunya, Adeline kepada ibu angkatnya, Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan ayahnya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana ditawan tentera Jepun.

Maria Hertogh kemudian diberi nama Natrah dan menganut Islam. Apabila Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom Amerika Syarikat, lelaki itu balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya. Natrah ditemui Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh. Seterusnya berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa kandung Natrah. Che Aminah diwakili peguam bela Ahmad Ibrahim, menang kes rayuannya itu. Bimbang Natrah diambil keluarganya, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi, M.A. Majid di Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun dan Mansor Adabi pula 22 tahun.

Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin tetapi mengikut undang-undang Belanda, anak berusia 16 tahun ke bawah, bapanya masih berhak menentukan kehidupannya. Konflik agama dan isu penjagaan akhirnya tercetus dan menjadi rusuhan di Singapura.


PELAKON TERBAIK:
Datin Paduka Umie Aida
BABAK PALING MENARIK:
Monolog pertembungan perasaan Che Aminah-Natrah-Adelaine
LAGU PALING MENGHIBURKAN :
Lagu memperkenalkan Natrah sewaktu kecil
MONOLOG PALING MENYENTAP :
Lantunan Sofea Jane
BABAK TIDAK PERLU :
Tarian Bollywood Maya Karin & Remy Ishak
SET PALING MENARIK :
Kapal besar membawa Natrah ke Singapura

[Pandangan ini sa-mata-2 ber-dasar-kan kepada pemerhatian dan penilaian ketika menonton pada persembahan-2 awal teater ini. Namun, sa-perti mana yang di-kenal Eirma Fatima itu sering mau menukar tambah untok men-jadi-kan lebeh baek. Mungkin pada persembahan selepas tontonan-ku ini, banyak yang sudah berobah...]

~ PEMENTASAN TEATER NATRAH 2 ~












[Natrah bukan sa-kadar kesah..]