Sunday, November 29, 2009

~ CERITA KEHIDUPAN ~


AKU menyinggah ke blog Fynn Jamal. Antara blog yang sangat kerap dan suka aku singgah untuk menimba dan meminjam cerita kehidupan. Sang penceritanya sangat dekat membuatkan ceritanya sentiasa lekat. Dalam hati, dalam rasa.

Tertarik dengan entri 19 November yang lalu. Entri yang berkongsi cerita tentang 'ayah'. Kisah sayu yang benar menyentap hingga ke rasa yang paling dalam. Janji, aku tak tipu. Itu yang aku rasakan sebaik membaca entri itu hingga ke titik terakhirnya.

Aku tidak begitu rapat dengan ayah. Bukan kerana ada masalah atau ada soal yang menjeruk rasa. Tidak ada. Aku cukup pasti tentang itu. Cuma mungkin kerana ayah seorang yang garang, baran dan tegas yang menyebabkan aku takut untuk begitu dekat dengannya (atau mungkin itu sekadar alasannya sahaja). Apa sahaja ceritanya, aku lebih lancar menyebut tentang ibu. Apa sahaja guraunya, aku lebih suka menepuk ibu. Ermm..

Namun, sejak ayah sakit, ada rasa lain yang datang. Aku sangat amat takut andai kehilangan ayah waktu itu. Suatu perasaan yang mungkin tidak aku rasai sebelum ini. Itu rasa yang paling jujur. Rasa kasih sayang yang mampu membuat aku sesak nafas seketika. Rasa kasih sayang yang membuatkan aku menangis teresak-esak hanya kerana ayah belum membuka mata selepas menjalani pembedahannya. Rasa kasih sayang yang luar biasa sakitnya.

Ayah... tempatmu tidak mungkin akan berganti. Ampuni aku dari setiap inci rasa dan laku andai ada mencuit hatimu. Sungguh, aku anak yang berdosa tetapi penuh dengan rasa cinta pada kasih sayangmu..

[Di-hati ini ada tempat paling istimewa buat-mu.. ayah]

No comments: