Monday, November 30, 2009

~ MENGHARAP ADA KEBETULAN ~


MENGHARAP ADA KEBETULAN
(Obsesi buat seorang yang kerap menyinggah di sini)

Aku di sini terkenang dia
Mengharap ada kebetulan
Mengisi hari
Tiba dia menjengah nanti
Mahu melihat dengan mata hati
Setelah bermusim mengenali
Hanya mendengar dan didengar
Dengan penuh pekerti
Dia aku hargai
Besar hati
Selalu dia di sisi
Tanpa disamping walau sekali
Tapi dia memahami dan memerhati
Setiap duka lara hati

[Terima kaseh kerena mengerti..]

Sunday, November 29, 2009

~ TERAPI ~


[Mau dudok mem-baca tenang di-depan tasek Putrajaya..]

~ MENYENTAP SEGENAP RASA ~


ADA dua tajuk berita yang menyentap tenangku pada hari ketiga sambutan Aidiladha ini. Pertama, berita janin yang ditemui hanyut di dalam longkang. Kedua, seorang bayi luar nikah ditemui mati akibat didera oleh kedua ibu bapa mereka tanpa belas kasihan.

Sebagai manusia yang ada hati, ada perasaan... apa yang patut kamu reaksikan? Kekejaman yang melampau tanpa membuat hirau kepada rasa kemanusiaan berlaku saban hari di depan mata. Rakus, gila dan celaka tersenyum di celah tawa.

[Gantong sampai mati..]

~ CERITA KEHIDUPAN ~


AKU menyinggah ke blog Fynn Jamal. Antara blog yang sangat kerap dan suka aku singgah untuk menimba dan meminjam cerita kehidupan. Sang penceritanya sangat dekat membuatkan ceritanya sentiasa lekat. Dalam hati, dalam rasa.

Tertarik dengan entri 19 November yang lalu. Entri yang berkongsi cerita tentang 'ayah'. Kisah sayu yang benar menyentap hingga ke rasa yang paling dalam. Janji, aku tak tipu. Itu yang aku rasakan sebaik membaca entri itu hingga ke titik terakhirnya.

Aku tidak begitu rapat dengan ayah. Bukan kerana ada masalah atau ada soal yang menjeruk rasa. Tidak ada. Aku cukup pasti tentang itu. Cuma mungkin kerana ayah seorang yang garang, baran dan tegas yang menyebabkan aku takut untuk begitu dekat dengannya (atau mungkin itu sekadar alasannya sahaja). Apa sahaja ceritanya, aku lebih lancar menyebut tentang ibu. Apa sahaja guraunya, aku lebih suka menepuk ibu. Ermm..

Namun, sejak ayah sakit, ada rasa lain yang datang. Aku sangat amat takut andai kehilangan ayah waktu itu. Suatu perasaan yang mungkin tidak aku rasai sebelum ini. Itu rasa yang paling jujur. Rasa kasih sayang yang mampu membuat aku sesak nafas seketika. Rasa kasih sayang yang membuatkan aku menangis teresak-esak hanya kerana ayah belum membuka mata selepas menjalani pembedahannya. Rasa kasih sayang yang luar biasa sakitnya.

Ayah... tempatmu tidak mungkin akan berganti. Ampuni aku dari setiap inci rasa dan laku andai ada mencuit hatimu. Sungguh, aku anak yang berdosa tetapi penuh dengan rasa cinta pada kasih sayangmu..

[Di-hati ini ada tempat paling istimewa buat-mu.. ayah]

Saturday, November 28, 2009

~ KECIL HATI DAN SAKIT HATI ~


MALAM tadi, aku tidur agak lewat. Bukan malam lagi, sudah melangkaui waktu pagi sebenarnya. Gara-gara menghabiskan buku Daerah Zeni tulisan Pak Samad, aku hanya melelapkan mata sekitar jam 6.15 pagi.

Jam 8.45 pagi, skrin telefon bimbit bergetar bising mengisi pagi. Huh.. sekadar mahu mengucap selamat pagi? Ermm... aku menarik telefon bimbit ke tepi bantal, malas mahu turun naik katil semata-mata mahu menjawab panggilan atau msg kerana berhasrat mahu menyambung tidur sedikit jam lagi (itupun kalau ibu tidak bising mengejutkan tidur aku dengan nota kaki, rezeki payah masuk kalau bangun tidur lambat...).

Jam 10.33 pagi, telefon bimbit bergetar lagi. Ada mesej yang masuk. Aku membaca teksnya dengan mata yang separuh tertutup. Argghh.. nanti-nanti aku membalasnya. Mengantuk. Beberapa saat aku kembali menatap teks itu. "Eloo, K ni nape? Mara skit2 da ar..." Owhhh... sahabat yang seorang ini, tidak pernah mahu mengenal, apatah lagi mahu memahami aku. Sedih!

Mesejnya pagi ini adalah lanjutan daripada teks terakhirnya malam tadi yang sengaja tidak mahu aku balas. Aku rasa lebih baik begitu kerana jika aku terus membalas, sudahnya ia akan berakhir dengan api amarah yang membuat ganti. Sahabat yang seorang ini tidak pernah mahu menjaga hati dan aku sering berkecil hati. Aku sentiasa cuba untuk memahami kurang dan lebihnya tapi akhirnya ia memakan diri. Bahasanya seringkali menyakitkan telingaku yang mendengar dan hatiku yang merasa. Dia tahu tentang itu, tetapi dia terus mahu begitu.

Bermula jam 10.33 pagi kami berbalas-balas kenyataan dengan pelbagai nada. Marah, sedih, sinis, kecewa, geram, sakit hati, keliru... dan ia berlangsung tanpa satu pun ikon senyum atau ketawa. Pertengkaran melalui teks itu hanya berakhir pada jam 1.36 tengahari apabila aku menyudahkannya dengan teks, "Orang gila je buat bnda xde sbb... Walaupun ada sbb dia jd gila.." teks terakhir itu sepi tanpa balasan.

Teringat kata teman jiwa "kata best friend, tp tak tahu bila masa korang ni berkawan sebab asyik bergaduh saja.." Teringat juga dialog ibu bapa ahlong dalam filem Gubra, arahan arwah Yasmin Ahmad, "bapak ahlong, kita kahwin dah 30 tahun... gaduh pun dah 20 tahun. Berapa lama lagi kita mahu macam ni?"

[Aku merajok dan mau di-pujok. Simple.]

~ PENGORBANAN ~

PENGORBANAN. Terima kasih untuk setiap pengorbanan yang didedikasikan kepadaku. Sungguh yang terberi itu, hanya Tuhan sahaja yang mampu membalasnya.

Menyebut tentang pengorbanan, membawa ingatanku kepada satu peristiwa beberapa tahun lalu. Peristiwa di mana aku terlibat dalam satu kemalangan yang langsungnya membawa aku menghuni katil Pusat Perubatan Universiti Malaya hampir sebulan lamanya. Peristiwa aku dimasukkan ke bilik bedah dan menjalani pembedahan untuk memasukkan 'benda asing' ke dalam tubuh badanku untuk pertama kalinya.

Saat itu, seorang manusia berbudi mulia yang kebetulan berada di tempat kejadian telah sudi membantu membawaku ke hospital, menjagaku sepanjang menjadi penghuni di sana dengan penuh kasih sayang. Melayaniku umpama saudara kandung sendiri sedangkan antara kami langsung tidak mengenali (Sementara orang yang melanggarku itu hanya datang untuk merayuku agar tidak membuat sebarang laporan polis. Ermm...) Sungguh aku terhutang nyawa kepadanya sehingga saat ini. Untuk Kak Ina, mudah-mudahan hidup akak sentiasa dalam rahmatnya. Aku sangat berharap dapat bertemunya lagi suatu masa nanti untuk merakamkan rasa terima kasih yang sama.

Pengorbanan itu sangat besar buatku. Ia menjadi lebih besar apabila ia berlaku pada saat aku sangat memerlukannya. Mengingatkan itu, aku juga sentiasa bersedia untuk membuat pengorbanan kepada mereka yang memerlukan. Insya-Allah, apa sahaja yang dalam kemampuanku. Doakanlah agar ia bukan sekadar kata semata-mata kerana aku benar-benar maksudkannya.

[Ber-korban apa saja... harta atau-pon nyawa... Itu-lah kaseh mesera... sejati dan mulia...]

Friday, November 27, 2009

~ SALAM AIDILADAHA ~


SELAMAT menyambut hari raya aidiladha untuk semua umat Islam di dunia yang meraikan 10 Zulhijjah ini. Mudah-mudahan hari yang kita raikan sebagai hari raya korban ini juga memberikan sejuta pengertian buat buat kita semua. Semoga setiap pengorbanan yang kita lakukan juga sentiasa teriring keikhlasan dalam diri.

Untuk kami masyarakat di pantai timur semenanjung tanahair ini, sambutan untuk hari raya aidiladha tidak kurang meriahnya juga seperti mana sambutan aidilfitri. Tetap ada kunjung-kunjungan, menziarah pusara, meraikan tamu dan menjamu selera dengan pelbagai menu yang lebih kurang sama dengan aidilfitri. Begitu juga di rumah kami pada hari ini. Walaupun hujan dan musibah banjir belum pulih sepenuhnya, namun aidiladha tetap diraikan seadanya. Alhamdulillah. Pada setiap tahun selalunya keluarga akan membuat sedikit korban, namun pada tahun ini ia tidak dapat dilakukan kerana musibah banjir dan hujan yang berterusan setiap hari.

Untuk ibu, untuk ayah dan seisi keluarga... doa kesejahteraan untuk kita semua. Mudah-mudahan kebahagiaan dan ketenangan sentiasa bertandang dalam 'syurga' kita ini... amin.

[Perngorbanan ibu dan ayah tida' perenah mati dalam ingatan... ermm...]

Thursday, November 26, 2009

~ DAN LAGI KECICIRAN... ~

KECUAIAN yang hampir memakan diri. Aku menepuk dahi beberapa kali. Mujur saja masih ada manusia jujur di tengah hiruk-pikuk kota yang meliar ini. Kalau tidak kerana si gadis sepet ini, tentu saja aku tidak mampu untuk duduk bersenang-senang begini.

Ketika menyinggah di tandas perempuan di cineleisure, damansara tengahari tadi, tanpa disedari aku telah cicirkan telefon bimbitku di balik pintu sempit itu. Terus sahaja aku bergegas mahu keluar kerana sudah ditunggu di luar sana. Tiba-tiba manusia jujur ini datang berkejaran ke arahku, memberitahu aku tercicir telefon bimbit di tandas yang dia masuki. Beberapa saat aku memandang ke arahnya sebelum mengucapkan rasa terima kasih bertalu-talu. Entah kenapa dia begitu berusaha mahu pulangkan telefon bimbitku itu sedangkan kalau dia mengambil dan menyimpannya pun, tiada siapa yang menyedarinya termasuk aku. Errmm.. Untuk manusia jujur itu, terima kasih kerana telah 'berkorban' untuk tidak memangsai aku. Walaupun kamu tidak merayakan aidiladha, mudah-mudahan kamu sentiasa dalam lingkungan kesejahteraan.

Alhamdulillah. Sungguh, aku sangat-sangat bersyukur dan aku maksudkan itu. Untuk kamu yang tidak tahu, aku sebenarnya telah lebih daripada lima kali keciciran telefon bimbit. Dan selama lebih lima kali juga telefon bimbitku ditemui kembali. Janji, aku tak tipu. Entah apa untung pada diriku, telefon bimbit itu tidak pernah hilang. Daripada telefon bimbit yang 'sedang-sedang' sehinggalah kepada yang 'senang-senang'. Aku pernah keciciran di meja starbucks, di tempat duduk panggung wayang, tempat duduk depan kereta, di kedai buku, di kaunter bank, di tandas dan beberapa tempat lagi, tetapi ia masih kembali kepadaku.

Ermmm... Kata seorang kawan aku sering bernasib baik dan aku mengakui tentang itu. Namun, itu tidak bermakna 'nasib baik' itu akan kekal membuat damping kalau cuai diri sentiasa ada. Gerun.

[Terima kaseh untok manusia jujor yang memikir-kan tentang situasi orang yang di-mangsai...]

~ KORBAN AIDILADHA ~


Ketika menuju ke ruang pekerjaan sebentar tadi, aku berselisih dengan lori membawa korban lembu untuk raya korban esok. Betul-betul di depan lampu isyarat dekat Kelana Jaya. Aku merenung mata lembu ini, dia pun seperti melihat aku. Sayu. Kataku kepadanya, "Tak perlu merasa sedih.. pengorbanan kamu bermakna untuk semua orang..."

[Tidak perenah mahu ber-korban dengan rasa ter-paksa...]

Wednesday, November 25, 2009

~ JENNIFER'S BODY ~



[Lumrah dalam kehidupan, menjadi mangsa dalam keterpaksaan..]

Tuesday, November 24, 2009

~ KAUNTER OH KAUNTER ~

WAS-was... itulah penyakit yang sering aku alami tatkala mahu membuat pembayaran bil melalui online atau apa sahaja cara yang lain selain daripada kaunter. Justeru, pada setiap bulan, aku akan memperuntukan waktu tertentu untuk menyelesaikan urusan pembayaran kereta, pinjaman pelajaran, bil telefon bimbit, perkhidmatan streamyx dan lain-lain urusan pembayaran di kaunter-kaunter yang disediakan. Malah, aku juga hanya akan membeli tiket wayang, teater dan lain-lain seumpamanya hanya di kaunter sahaja.

Biarpun terpaksa mengambil masa yang lama, beratur dengan barisan yang cukup panjang dan bersesak-sesak dengan segala macam manusia, aku rela. Sungguhpun aku boleh melakukan segala urusan itu melalui perkhidmatan maybank2u juga, aku tidak memilihnya.

Kenapa? Aku punya penyakit was-was dan kurang yakin apabila aku tidak menggunakan kaunter pembayaran. Pasti sahaja aku tidak akan senang duduk dan memikirkan kalau-kalau pembayaran yang dibuat itu (online, mesin dll) mempunyai masalah. Tiba-tiba kereta ku ditarik, telefon bimbit di sekat, perkhidmatan streamyx dihentikan atau tiba-tiba mendapat surat saman daripada JPA berkenaan pinjaman pelajaran. Ermm... bunyinya seperti lucu dan mungkin juga 'kurang cerdik' juga pada pendengaran dan penerimaan orang lain. Namun, itulah aku.

Semalam, ada seorang rakan yang mahu membantu aku mengatasi masalah ini. Dia 'memaksa' aku membuat pembayaran kereta melalui mesin cash deposit. Beberapa kali aku menolak dan beberapa kali jugalah dia mendesak. Malah, dia dengan sengaja melengah-lengahkan waktu agar waktu operasi kaunter tamat dan aku terpaksa membayar di mesin cash deposit. Dia memang! Yaa... aku tiada pilihan melainkan membayarkan di mesin tersebut setelah jarum jam menunjukkan ke angka 5 petang.

Beberapa ketika selepas itu, aku diamuk resah yang panjang. Serba tidak kena. Malah, langsung tidak dapat memberi tumpu kepada urusan selepas itu. Kenapa? Kerana aku tidak membuat pembayaran di kaunter. Huh!! Pelik. Yaa.. barangkali untuk kamu ia pelik, lucu atau apa-apa sajalah. Ermm.. tapi, itulah aku. Si Koishie merah..

[Bukan kerana kurang cherdek]

Monday, November 23, 2009

~ MUSAFIR CINTA ~


TAJUK : Musafir Cinta
KARYA : Taufiourrahman Al-Azizy
PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN : 280
HARGA : RM18.00

“Untuk apa aku hidup? Apa hanya untuk menjalani kesengsaraan ini? Aku mahu bunuh diri supaya dapat segera bertemu Tuhan dan mencela-Nya atas ketidakadilan ini? Kegeraman sahabat karibnya pada malam itu benar-benar menggoncang iman Iqbal. ‘Tuhan itu tidak adil…’ protesnya….”

[Mau di-ayan adil... ]

Sunday, November 22, 2009

~ KALAU SUDAH HITAM... ~

TIBA di bumi hang tuah kurang lebih jam 11.30 pagi. Bermulalah aktiviti golongan tshirt hijau ini mengatur dan mengurus itu dan ini. Jam 3 petang, hujan lebat membasah bumi dan aku tiada pilihan untuk 'membasahkan diri' demi memberi kelancaran kepada segala yang patut berlangsung lancar. Kami 'bermandi hujan' sehingga jam 6.45 petang. Mandi, tukar pakaian dan menarik nafas dalam sehingga selepas Maghrib dan tugas bersambung kembali sehingga jam 10.30 malam. Seusai itu bertolak balik ke kuala lumpur, ke bandar anggerik dan kemudiannya memandu seorang diri dalam keadaan yang penat, sakit kepala, demam dan mengantuk yang teramat sangat untuk pulang ke rumah. Tiba di rumah jam 1 pagi. Melalui 17 jam yang sangat melelahkan. Titik.

Namun, bukan itu yang sebenarnya mahu aku perkatakan di sini. Bukan soal lelah, bukan soal urus pekerjaan yang banyak dan bukan soal bermandi hujan itu. Bukan itu. Tetapi soal salah dan silap sangka. Soal mengapa kita mudah sangat mahu membuat pertimbangan hanya kerana pandangan pertama. Soal mengapa kita selalu mahu menurut rasa hati yang kadang-kala tertipu dengan pandangan mata.

Salahkah aku untuk melihat putih melebihi warna hitam? Salahkah aku mendahului sangka baik lebih daripada sangka buruk? Aku tahu, mungkin ada yang mencebik, mengganggap aku cuba berlagak bersih. Janji.. aku tak tipu. Itulah aku untuk yang mengenali diriku.

Berbalik kepada pokok kejadian yang ingin aku katakan tadi (aku terus menulis sebaik tiba di rumah kerana merasakan hari esok terlalu lama untuk ditunggu bagi bercerita soal ini...) , aku sangat-sangat bersimpati dengan H. Dia yang aku kenali adalah seorang yang sangat menghormati orang lain, mempunyai komitmen yang tinggi dan sangat tidak berkira orangnya. Itu yang aku kenali. Namun, dalam tempoh 17 jam tadi, disebabkan 'pandangan yang menipu kebenaran' H telah dilihat hitam oleh beberapa orang. Aku cuba menjelaskan situasi dengan memberi cerita putih, namun cerita putih itu tiada nilai kerana hitam itu sangat sebati dengan jiwa mereka. Kononnya, aku memang suka membela sewenang. Kononnya aku ini mudah tertipu dengan lakonan pentas opera. Kononnya aku ini terlalu bersih sehingga mahu melihat semua bersih. Kononnya, aku perlu berubah supaya tidak mudah terpedaya dengan hipo manusia keliling.

Ermm... aku bukan membela sewenang... bukan buta hati dan rasa. Tetapi cuma mahu memberitahu, lebihkan pandangan putih agar terjauh prasangka yang membunuh. Sebelum menuding jari, buatlah pertimbangan yang bertunjang keadilan. Itu sahaja.

Namun, hari ini aku gagal untuk mencairkan hitam itu dengan putih... maafkan aku H kerana tidak mampu menghalang mereka menumpahkan warna hitam itu kepada kamu.. Nampaknya, hitam sentiasa 'berada di depan' dalam diri mereka. Itu warna pilihan yang sangat memikat barangkali. Ermmm..

[Jauhi prasangka... jiwa bahagia...]

Saturday, November 21, 2009

~ GOLONGAN MARHAEN BERT-SHIRT HIJAU ~


SEBELUM jam 8.00 pagi, aku dan tujuh lagi budak hitam wajib berada di perkarangan ruang pekerjaan. Jam 9.00 pagi kami semua akan bertolak ke bumi Hang Tuah untuk satu acara penting yang bakal diraikan bersama 'orang besar' di sana dengan diiringi beberapa orang golongan marhaien yang seperti kami juga.

Untuk kelihatan seperti sama taraf, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, kami wajib memakai T-shirt hijau (seperti gambar di atas) untuk separuh hari esok. Selepas matahari condong separuh, barulah boleh berganti baju mengikut citarasa sendiri. Tetapi, bagaimana aku mahu kelihatan sama taraf kalau T-shirt hijau yang diberikan itu bukan saiz aku? Besar. Bila tersarung di badan seperti almari Doraemon jadinya. Si kecil gelak, kakak gelak.... dan aku juga akhirnya turut sama gelak. Tapi.. 'errr saya yang menurut perintah..". Pakai sajalah.

[Suka t-shirt merah.... ]

~ TAHUN KETIGA PEMERGIAN ABADI ~


AKU masih mahu menulis tentang rasa yang sama seperti mana entri yang lalu-lalu. Tentang seorang sahabat yang sangat-sangat lekat di hati yang dalam. Yang sangat-sangat terkenang sehingga kini biarpun masa berlalu pergi. Errmm.. dan ia bukan sekadar kata.

Buat sahabat yang terkenang dalam ingatan selagi hayat dikandung badan. Hari ini genap tiga tahun arwah D meninggalkan aku. Tiga tahun yang masih terasa basah dengan tangisan pilu pemergiannya. Doaku tidak pernah tertinggal buatmu, D. Mudah-mudahan kau tenang bersemadi di sana, di sisi mereka yang beriman dan beramal soleh....

Aku mengambil sedikit masa mengenang kenangan bersama arwah. Bukan dirancang-rancang... namun ingatan terhadapnya datang bertalu pada tarikh pemergiannya ini. Bertuah aku menjadi sebahagian dari hidupnya. Menjadi sahabat yang baik buatnya (kalau benar apa yang pernah dikatakannya ketika hayatnya masih ada..).

Aku masih menangis tersedu setiap kali mengenangkan saat pemergian arwah... setiap kali mengenang cara aku mendapat tahu berita pemergian arwah. Segalanya masih basah di ingatan ini. Sungguh, aku menyesal dengan kesibukanku kala itu. ermm...

D, kata dan pesanmu masih kukuh tersemat di hatiku. Menghargai persahabatan... mendahului persabatan dan menjaga persahabatan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan akan termiliki lagi aku akan sahabat sepertimu. Aminn...

[Belom ada yang mampu meng-ganti-kan-mu, men-jadi pen-dengar paling setia pada cherita-cherita-ku.. AL FATIHAH...]

Friday, November 20, 2009

~ LAIN DIRANCANG ~


RIBUT lagi. Aduh.. sungguh aku tidak begitu senang untuk menulis tentang perkara ini di sini. Namun, hati tidak tenteram sejak semalam. Justeru, aku perlu melepaskan sedikit yang terbuku di hati.

Lain dirancang, lain yang menjadi kenyataan. Akibat terkuis curiga dan prasangka yang membuat damping, aku dan teman jiwa berlaga 'angin' ketika meraikan hari ulangtahun kelahirannya semalam. Sudahnya, rancangan untuk ke Putrajaya bertukar kepada sesi perdebatan di tepi lebuhraya. Aduhh.. perlukah aku terlibat dalam drama yang mirip seperti yang kerap disiarkan di kaca TV itu? No!

Puncanya kerana ada orang yang 'kurang siuman' mahu bergurau tidak kena masa. Telefon bimbitku dikunjungi mesej bertalu daripada manusia ini yang mengacah-acah dan bersenda gurau. Sudah terlalu banyak masa lapang dan tidak ada kerja lain barangkali dia. Aku langsung tidak mengenali manusia ini. Janji aku tak tipu. Tetapi tentu sekali lelaki yang sedang meraikan harijadinya ini tidak mahu percaya. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini kami kerap terkuis soal yang serupa.

Selalunya, dia sememangnya tidak pernah menyelongkar telefon bimbitku, aku juga begitu. Yaaa... tidak pernah. Begitu juga dengan emel atau apa sahaja yang sewaktu dengannya. Itu perjanjian kami. Masing-masing ada ruang sendiri walaupun banyak benda yang terkongsi. Namun, kebetulannya hari ini aku memberikan telefon bimbitku itu kepadanya kerana mahu menunjukkan sesuatu dan yang paling kebetulan mesej itu masuk ketika itu. Tidak sekadar mesej tetapi juga panggilan daripada orang yang sama. Goshh!

Diam, senyap. Tidak mahu memanjangkan rasa apatah lagi hari semalam merupakan hari ulangtahun kelahirannya. Hari yang patutnya manis tetapi menjadi kelat dan masam. Untuk manusia yang 'kurang siuman' itu, silalah bergurau lagi.. dan lagi...

[Suka dengan orang yang kelakar walau-pon tidak perenah mem-buat kelakar kerana diri bukan sa-orang yang kelakar...]

Thursday, November 19, 2009

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN UNTUK LELAKI ISTIMEWA ~



SELAMAT hari ulangtahun kelahiran buat MR LKH a.k.a teman jiwa pada hari ini 19 November. Happy birthday!!! Selamat panjang umur, selamat menjadi kesayangan dan selamat semuanya. Mudah-mudahan segala yang terbaik menjadi miliknya... ermm termasuk aku (kalaulah... yaa.. kalaulah..).

Selamat menyambut hari ulangtahun wahai lelaki yang memimpin tawa.
Selamat panjang umur
wahai lelaki yang melindung jiwa,
Selamat menjadi kesayangan
wahai lelaki yang lekat bertakhta,
Selamat wahai lelakiku,
Selamat memeluk mimpi-mimpiku...

[Scorpio yang me-mahami scorpio...]

Wednesday, November 18, 2009

~ BENCANA ~


(Kredit foto dan petikan berita : www.mstar.com.my)

"Tiga buah kereta dan sebuah motosikal musnah ekoran kejadian tanah runtuh di kawasan Flat Taman Cheras Awana, Kuala Lumpur, setelah hujan lebat melanda Lembah Klang petang tadi. Lima puluh penghuni yang diarahkan pindah serta merta oleh Ketua Polis Daerah Kajang itu melibatkan 10 buah keluarga..."

[Alam meracau kerana di-kacau..]

Tuesday, November 17, 2009

~ LUCU DAN MANIS ~

DULU.... ketika masih kecil, aku dan kakak sering bergaduh. Ada sahaja benda yang kami rebutkan. Pasal baju, pasal TV, pasal kawan-kawan... malah, pasal kepak ayam pun boleh jadi kes. Arghh... lucu dan manis sungguh kenangan lalu itu.

Masa berlalu dan kini kami berdua telah jauh meninggalkan kenangan itu. Kakak sudah punya keluarga sendiri. Kini, aku dan kakak tidak pernah bergaduh lagi, malah bermasam muka juga tidak pernah walau sekali dan walau seminit pun. Usia dan pengalaman mendewasakan kami barangkali.

Kakak kini menjadi orang yang sangat-sangat protective dan penyayang kepada adik-adiknya termasuk aku. Apatah lagi kini aku tinggal bersamanya. Bab makan terutamanya (soal sakit demam lagilaa..), dia sangat menjaga soal yang satu itu. Walaupun dia bekerja (penjawat awam), setiap hari dia akan memasak untuk keluarga. Memasak hidangan yang penuh umpama menu di hari minggu. Setiap haripun begitu. Dan pasti akan berkecil hati jika aku pulang ke rumah dengan perut yang kenyang dan tidak mahu menyentuh menu masakannya itu.. Aduhh.. Malah, aku pernah membuat permohonan maaf yang panjang gara-gara dia merajuk kerana aku tidak makan di rumah. Justeru, walau aku sudah mengisi perut di luar, aku akan pastikan tetap menyentuh makanan yang disediakan walaupun sedikit.

Aku seperti melihat bayangan ibu dalam dirinya itu. Begitulah ibu. Sangat menjaga soal makan minum kami dari kami kecil sehinggalah besar panjang begini. Kakak sangat mewarisi ibu dalam banyak perkara. Soal masakan tentu sekali. Air tangannya sangat mirip ibu. Justeru, aku jarang sekali mahu menolak untuk menjamah masakannya walaupun perut sudah kenyang atau ketika hilang selera.

Ermm.. aku pula banyak sikap mewarisi ayah. Degil, kerasa kepala dan suka buat hal sendiri. Sangat bertentangan sekali dengan sikap kakak. Dulu, kakak pernah meninggalkan lelaki yang dicintainya kerana menurut pilihan keluarga (abang ipar sekarang). Lalu aku diminta menurut hal yang sama... ermmm..

Dulu... ibu pernah kata.... dan kata-kata ibu itu, aku masih ingat sampai hari ini. "AL ni keras kepala sangat. Esok-esok ni, kalau dia kata nak kahwin dengan Cina, Cinalah... kalau dia kata India, India laaa..." Aku sentiasa tersenyum sendiri mengenang kata-kata ibu itu. Ermm... Dan kalau benar ada jodoh antara aku dan teman jiwa, ia mengiyakan kata-kata ibu itu.

[Kesah kepak ayam sangat meng-gamit kenangan lalu.. arghh manis sunggoh saat itu..]

Monday, November 16, 2009

~ SELEBAT HUJAN MENCURAH TANGIS ~


MENANGIS. Diam. Menangis, Dan diam lagi. Itulah peristiwa beberapa jam tadi. Seorang sahabat sedang sarat dengan emosi. Lalu dipinjamkan bahuku untuk meluahkan tangisnya.

"Aku x blh fokus keje. Aku sentiasa rs dada aku sakit. Jantung aku rs mcm nk pecah.."

Begitulah antara mesej yang tertera di telefon bimbitku. Menyedari sahabat ini selalunya kalah dengan emosi, aku terus menghubunginya untuk bertanya hal sebenar. Bersedia untuk mendengar dan membantu andai ada yang termampu dilakukan aku. Namun, yang mengisi bunyi di hujung talian, hanya tangisnya. Ermm... sungguh, aku teramat sangat menaruh bimbang terhadap keadaannya sehinggakan aku pula tidak tenang membuat urusan pekerjaan.

Usai urus pekerjaan di hiruk-pikuk jalan Raja Chulan itu, aku ke tempat sahabat ini. Matanya bengkak. Air matanya masih bersisa. Wajahnya kusam. Saat aku bertanya keadaannya, terus dia memelukku dengan tangis yang bersambung. Aku sedaya-upaya cuba menenangkan sahabat ini. Membawanya menghirup secawan coffee berdekatan tempatnya.

Dia masih menangis. Diam. Menangis dan menangis lagi. Hujan di luar seperti memahami dia. Seawal tengahari sehingga ke petang menggerimis tanpa henti. Aku pasti sesuatu yang berat telah menimpa dia. Namun, tidak mahu aku paksakan dia untuk bercerita andai dia belum mampu untuk menelan emosi beratnya itu. Dia sepertinya mahu bercerita, namun emosinya terlalu melimpah dan dia tenggelam. Justeru, biarlah dia menangis sepuasnya dahulu.

Aku tidak mampu untuk berbuat apa, melainkan mendengar. Juga doa agar sebaik dia membuka mata memulakan hari baru esok pagi, segalanya akan kembali ceria dan bahagia.

[Sering kechil hati dengan tutor kata sa-orang sahabat dekat... dan sekarang juga maseh.. ermm..]

Sunday, November 15, 2009

~ TEATER BAWANG PUTIH BAWANG MERAH ~


ATAS kesempatan yang memberi ruang, semalam aku meloloskan diri untuk ke Panggung Bandaraya, Jalan Raja Laut (di bangunan warisan, berhadapan Dataran Merdeka) untuk menonton teater bangsawan Bawang Putih Bawang Merah. Aku tidak mahu menyentuh tentang lakonan barisan pelakonnya kerana ia akan menjadi berjela luahnya. Masih terlalu banyak perkara yang harus mereka pelajari dan perbaiki jika mahu menjadi pemain teater yang baik dan dihormati.

Hampir mahu terlelap kerana mencari ketarikan yang tak kunjung tiba dalam teater ini. Namun, mujurlah teater yang meriah dengan kostume indah ini diselang-selikan dengan persembahan nyanyian dan tarian diantara babak-babaknya. Ia sangat-sangat menarik perhatianku dan penonton lain juga barangkali. Janji, aku tak tipu. Kumpulan anak-anak comel itu memang berbakat sekali. Paling tertarik dengan anak kijang yang mencuit hati itu.

Tahniah untuk saudara M. Nazli Ayob selaku pengarah yang menampilkan kerja kreatif yang wajar dipuji. Juga untuk barisan anggota yang band pengiring yang menyajikan muzik live yang sangat-sangat mengesankan. Berbaloi-baloi apabila segenap ruang panggung dipenuhi penonton. Full house lagaknya...

Namun, dari segi keselesaan, jujurnya aku merasa sangat tidak selesa apabila terpaksa berebut-rebut untuk masuk ke panggung. Pengalaman pertama kali yang aku lalui sebegini rupa untuk menonton teater (pertama kali juga menjejakkan kaki ke Panggung Bandaraya ini...). Lebih menyakitkan hati, sebaik sahaja berjaya masuk ke panggung, aku dapati hampir keseluruhan tempat duduk telahpun diisi.

Tertanya-tanya dalam hati, bagaimana mereka semua sudah siap siaga ada di dalam kerana pintu panggung baru sahaja dibuka dan aku antara orang awal berjaya meloloskan diri? Ermmm..... teater 'percuma' beginilah keadaannya barangkali.. dan kasihan kan.. aku tiada 'kaum kerabat' di dalam sana.. Kalau tidak, tentu sahaja aku tidak perlu berebut-rebut di luar sana. Tentu sahaja aku enak-enak memilih tempat duduk di saat penonton lain sibuk berebut untuk lolos di pintu masuk... grrr...

Kalau beginilah gayanya, barangkali panggung ini tidak akan menjadi 'mesra' denganku. Sepertinya kaki ini berat untuk melangkah ke sana lagi... errmm...

[Ber-belah bahagi untok menunton teater Sinbad di-tempat yang sama...]

Saturday, November 14, 2009

~ PERSAHABATAN YANG COMEL ~


SETIAP minggu, aku akan ke carwash cuci kereta. Itulah rutin wajib pada hujung minggu sama ada Sabtu atau Ahad. Namun, sejak beberapa minggu ini, aku meninggalkan rutin itu kerana hujan asyik menggerimis bila tiba hujung minggu. Jadinya, kereta itu dicuci dengan air hujan sahaja sehinggalah pagi ini apabila aku halakan kereta ke carwash kerana sudah mula merasa malu melihat keadaan keretaku itu.

Usai segalanya, aku mengemas barang-barang di kereta. Arghh.. dipenuhi dengan buku-buku bacaan yang belum sempat aku habiskan di kereta. Semak. Tiiba-tiba mataku terpaku pada sekeping kad berwarna ungu yang tertera namaku di celah susunan buku itu.

Rupa-rupanya kad ucapan sempena hari ulang tahunku tempohari. Entah bila sahabat yang seorang ini menyelitkan kad itu pun aku kurang pasti. Sudahnya aku tidak pernah tahu dia mengirimkan kad itu. Hari ulangtahunku juga telah lama berlalu, 23 Oktober yang lalu... dan hari ini aku baru berkesempatan membuka dan membaca kad ucapan yang sangat comel daripadanya ini. Terima kasih untuk ingatan dan kiriman doa itu... dan kamu adalah sahabat yang sangat comel dengan nasihat dan harapan itu.. :)

[Per-sahabatan itu akan senantiasa comel jika kita mem-bawa jujor di-dalam-nya...]

Friday, November 13, 2009

~ MENJADI SI BISU ~


SPAGHETTI jadi masam. Langit jadi hitam. Hati jadi kelam. Berlaku sedikit pertengkaran dengan teman jiwa. Dia merajuk dan aku gagal memujuk. Titik.

Aku akui, hal itu berpunca daripada aku. Entah.. tiba-tiba gagal mengawal rasa dengan baik apabila teman jiwa separuh mendesak agar membincangkan tentang masa depan kami. Selalunya aku akan diam apabila diajak berbicara soal itu, tetapi kali ini sebaliknya berlaku. Mungkin kerana tertekan dengan hal-hal dipersekitaranku yang sejak akhir-akhir ini banyak yang menghimpit. Kesihatan ayah tentunya.

AKU : Kalau u dah tak boleh nak tunggu i, kawen jerla dengan steph tu.. (tiba-tiba aku menyebut nama yang tidak sepatutnya aku sebut...)
TEMAN JIWA : ermmm.. (memandang tepat ke wajahku dan 20 saat kemudiannya masuk dan menutup pintu kereta, lalu meluncur laju ke perut jalan..)

Aku tidak pernah berniat untuk mencabarnya atau apa yang semaksud dengannya pun. Cumanya, bukan sekarang masa yang tepat untuk membincangkan soal itu. Kalaulah benar ayah tetap dengan keputusan ayah, tentunya aku tiada upaya. Namun, kalau boleh biarlah dia yang tinggalkan aku kerana aku langsung tidak bersedia dan tidak pernah sanggup untuk meninggalkan dia. Janji.. aku tak tipu. Sebelum ini pun, orang juga yang tinggalkan aku.. dan aku tidak pernah meninggalkan orang.

Hati tidak senang, tentunya senyum juga tidak mahu bertandang. Justeru, sepanjang siang hari tadi, aku membuat diam dan senyap. Yaa... persis sang bisu. Percaya atau tidak, aku hanya bercakap beberapa baris ayat sahaja untuk hari ini. Itupun dengan en boss yang bertanyakan tentang tugasan yang punya tarikh mati itu... ermmm..

[Yang diam itu lebeh nyareng bunyi-nya kalau bolih di-dengar..]

Thursday, November 12, 2009

~ CINTA 2 LELAKI ~


HARI ini hatiku berkacau bilau lagi... tersepit... terhimpit! Sering saja aku tertanya, kenapa aku selalu saja tidak diberi pilihan. Harus mengangguk saja dalam banyak situasi! Tidak berpeluang menguruskan hidupku mengikut kehendak hati sendiri..

Aku kini terpaksa memilih salah satu dari dua lelaki yang menyumbang besar dalam bahagia dan senyumku. Yang membawa wujudnya aku ke dunia dan yang membawa kenalnya aku pada cinta luhur. Harus bagaimana aku? Bagaimana mahu memilih salah satu daripada bulan dan bintang yang pada hakikatnya sama perlunya pada alam ini??? Errmm.. Bulan dan bintang itu sama perlunya...

[Sunggoh, aku tidak mau memileh..]

~ SETELAH LIMA BULAN ~


USAI segala urus pekerjaan, aku menekan-nekan nombor sahabat kecil. Sahabat ini sudah lima bulan tidak bertemu mata dek kesibukan dengan urus pekerjaan masing-masing (alasan yang sangat tipikal... tapi janji... aku tak tipu. Memang kerana kesibukan kerja). Semuanya berlaku semenjak dia di tugaskan di jabatan baru. Kesibukan berganda, masa bekerja juga banyak yang berselisih. Jika dulu, pantang ada masa luang kami akan keluar menghirup secawan coffee sambil membuka kaunter aduan dan mengadu masalah masing-masing.

Kini, jika aku ada kelapangan, dia pula tertujah kesibukan yang dalam. Jika aku terhimpit mencari waktu, sahabat ini pula separuh memujuk agar aku mencari kelapangan untuk duduk bercerita. Lalu bagaimana, kami mahu berluang masa? Nah.. setelah lima bulan kesibukan dan berselisih masa, akhirnya hari ini kami berjaya juga duduk menghirup secawan coffee. Bagai jejak kasih pula jadinya.

Jujurnya, aku menghargai persahabatan kami ini kerana sahabat ini adalah jenis sahabat yang boleh aku pergi dan cari andai diri dalam kesusahan. Justeru, sebagai sahabat yang bersahabat dalam persahabatan, aku sangat memohon agar kesejahteraan sentiasa berdamping sahabat ini. Banyak benar kelat yang telah dia lalui selama ini. Justeru, mudah-mudahan keperitan itu menjadi sejarah buatnya.

[Sedang ber-pikir-2, berapa kerat-kah sahabat-2 yang bolih aku cari kala diri dalam musibah dan tangis? ]

Wednesday, November 11, 2009

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN SCORPIO ~


Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan FA...
Allah Selamatkan Kamu...

Panjang Umur murah rezeki dan semoga dipermudahkan dalam segala urusan kehidupan. Mudah-mudahan tabah berdepan segala dugaan hidup yang merentang. Yang baik-baik untuk kamu yaa... Aminnn...

[Scorpio dan Scorpio mudah ber-sahabat bukan... :) ]

Tuesday, November 10, 2009

~ MENJADI MASAM DAN KELAT ~


BILA hati sudah kelat... susahkan? Bukan soal memaafkan barangkali, tetapi soal melupakan. Soal parut-parut yang masih membuat bekas, lalu mengingatkan tentang luka lalu yang di lalui dengan cukup sakit dan perit. Kemaafan itu ada, aku percaya tentang itu. Cuma, mungkin untuk melupakan itu mengambil sedikit waktu... atau banyak waktu.

Tengahari semalam, gara-gara 'kecuaianku' aku telah tersilap menekan nombor untuk membuat panggilan. Tanpa aku sedari, aku telah menelefon bekas teman lelaki J, untuk bercakap dengan J kerana menyangka itu adalah nombor J yang telah lama tidak aku hubungi.

AKU : Bercakap dengan J...
H : (Senyap seketika)
AKU : Helloo..
H : Errmmm.. ini nombor xyz (menyebut penuh namanya).
H : I tak kenal orang yang u cari tu!
AKU : Omg... H, sorrry.. aku.... (entah macamana aku tidak perasan itu suara H yang kusangkakan mungkin teman baru J yang menjawab panggilan itu..)
H : (Klik!)

Aku tidak pasti apa punca jelas perpisahan cinta agung mereka itu. Namun, H sepertinya membuang terus J dari hidupnya. Mendengar sahaja nama J pun akan membuat dunianya muram dan kelat, apatah lagi untuk berjumpa dan duduk semeja. Sepertinya tidak mungkin terjadi.. Sedangkan kejadian itu sudah hampir tiga tahun berlalu. Errmmm...

Petang semalam juga, sebaik pulang pekerjaan aku meluangkan masa untuk memenuh janji dengan teman-teman di tempat pekerjaan lama untuk menonton di layar lebar. Perancangannya dengan 'ahli' lain dan jadinya dengan 'ahli' lain.

I : Tak apalah, korang pergi sajalah dengan dia (merujuk kepada seorang lagi teman).
AKU : Laaa... kenapa pulak? Jomlah sekali..
PJ : Entahnya.. tadi kata nak ikut. Tiba-tiba taknak pulak kenapa..
I : Mana aku tahu dia ikut sekali jugak..
I : Ko tahu kan, dia memang alergik ngan aku?
I : Ko nak tengok kejadian macam hari tu, jadi lagi ker?
AKU : ermmm..
PJ : Alaa.. profesional laah sikit korang nihh..
I : Aku ok jer, tapi dia tu yang memang tak boleh tengok muka aku!
AKU : Dahtu, sampai bila nak macam ni?

Ini pula kisah dua sahabat baik. Tercuit rasa akibat salah faham. Sudahnya, persahabatan yang terbina indah hanyut deras di pertembungan sungai Kelang dan sungai Gombak. Masing-masing memusuhi antara sesama. Beginikah akhirnya?

'Memaafkan', itu cara yang terbaik. Namun, jika tidak disertai dengan 'melupakan' (aku sendiri sukar untuk melaksanakan hal ini), kesakitan itu tidak akan pernah terpulih walau seinci pun.

[Pujok-lah untok teman yang merajok... tiada apa yang rugi, tiada apa-pon yang luak..., perchaya-lah.]

Monday, November 09, 2009

~ LANGIT YANG PENUH CERITA RAHSIA ~
























FOTO-foto ini dibidik pada hari-hari yang berbeza tetapi di tempat dan lokasi yang sama yakni di parkir tempat pekerjaan. Kegemaranku pada setiap pagi adalah melihat dan membidik foto matahari terbit dari dalam unta hitamku ini. Hampir setiap hari, aku ada waktu untuk hal ini..

[Kerap men-jadi tempat meng-adu cherita rahsia..]