Monday, October 26, 2009

~ SANG PEMBANTAH YANG MENYETUJU... ~


MEETING!!! Separuh hari mengadap meja panjang separa bujur bersama-sama rakan-rakan satu jabatan membincangkan projek bulan depan. Semuanya cantik, berjalan lancar tanpa sedikitpun 'uhh.. ahhh'.

Aku di kedudukan paling tengah di bawah hembusan penghawa dingin yang mencengkam hanya tersenyum. Arghhh... mereka ini kalau di belakang tidak begini. Semuanya punya usul yang berapi, semuanya mahu menjadi pembantah kepada tindak en boss yang disifatkan banyak tidak kena. Namun, bila berdepan... bagai ada kuasa ajaib, mereka menjadi penyetuju yang jelas. Dalam apa jua... mereka banyak mengangguk. Malah, penuh berhemah sekali. Aku senyum lagi. Dalam hati terdetik, "arghhh... bosan sungguh dengan manusia yang begini..."

Aku? Aku bagai selalu banyak diam. Si bisu layaknya aku. Bersuara hanya kala ditanya. Namun, tidak pernah aku membuat dalih untuk sebarang jawapan. Jika buruk, aku tidak akan pernah katakan cantik. Namun, itu tidak bererti juga aku akan menyebut yang buruk itu tanpa mahu menjaga hati.

Yang sebenarnya, aku tidak pernah mahu untuk membiasakan diri dengan sebarang pembohongan. Bukan mahu menyatakan diri bersih, tetapi sungguh aku sendiri tidak pernah senang jika diperlakukan demikian rupa. Justeru, formulanya mudah sahaja. Jika kita tidak mahu diperlakukan begitu, jangan pula kita memperlakukan perkara serupa kepada orang lain..

Aku tidak kisah jika sering dilihat pasif. Aku tidak pernah apa-apa jika dipandang bisu. Asalkan yang paling pasti, aku tidak pernah bermuka-muka. Tidak pernah membaca biru untuk sesuatu yang jelas memberi makna merah. Aku faham soal 'periuk nasi' tetapi janganlah terlalu bertuhankan ia sehingga hilang prinsip dan pendirian diri. Sungguhpun aku lebih banyak bisu, namun apabila sekali aku membuka mulut, aku tegas dan berdiri diatas prinsip sendiri tanpa mampu dijual beli oleh sesiapa. Itu aku cukup pasti sekali.

[Aku tida' tau dan mau ber-PR2... olih kerana itu-lah aku tidak perenah layak untok pekerjaan itu... Sunggoh, aku tak tipu...]

2 comments:

lanun said...

sampai bila akan bertahan yaa...

Koishie said...

kalaulah kita boleh mengawal segala-galanya kan... :p