Saturday, October 31, 2009

~ TERAPI YANG BERWARNA-WARNI ~



TENGOK WAYANG. Itulah antara agenda hujung minggu yang sering dilakukan bagi melepas lelah kepada serabut yang mengiringi diri dalam pekerjaan. Selalunya juga ia menjadi aktiviti wajib kala berdamping teman jiwa kerana dia juga senang menjalani 'terapi' yang sama.

Namun, kala dia yang jauhnya nun di selatan tanah air tidak dapat membuat damping, kerap kali juga aku menonton bersama rakan-rakan lain. Warna bersama rakan-rakan lebih colourful barangkali kerana mereka ini pakar 'terapi' hebat... hahahha..

Entah apa yang menariknya, aku memang sering memilih GSC, Mid Valley untuk menonton. Tidak kira dengan siapa aku menonton, jika aku yang diberikan pilihan memilih, inilah tempat yang aku sebutkan. Bukan tidak pernah menonton di tempat lain, tetapi kekerapannya sangat ketara di sini. Terbaru, aku menonton Papadom, Cloudy With A Chance of Meatballs, Surrogates, Time Traveler's wife, Poker King dan Michael Jackson... This Is It, juga di sini. Ada apa dengan Mid Valley yaa.. :)

Dalam masa yang sama juga, aku sangat suka mengumpul tiket-tiket wayang yang telah ditonton itu. Entah berapa ratus keping yang masih disimpan sejak mula dikumpul hampir enam atau tujuh tahun lalu. Separuh daripadanya telah hilang cetakan informasi yang tertera di muka depannya. Setiap satu tiketnya, ada kenangan yang tersendiri. Arghh... sepertinya aku ini sentiasa hidup dalam kenangan.. ermm..

[Perenah se-kali menunton di-panggong wayang di-Kluang, ketika filem hebat lakonan Ekin Cheng di-tayang-kan, aku men-jadi satu-2 nya gadis Melayu yang berada di-dalam panggong itu. Sudah-nya mereka menyapa-ku dalam bahasa ibunda mereka - ketika itu aku maseh belom ber-tudong..]

Friday, October 30, 2009

~ SPAGHETTI & CHARKUETIAW ~



MERAJUK. Yaa masih merajuk untuk mengekspresikan kemarahan aku yang tidak mampu diluahkan. Tapi, ermmm.. siapa tahupun aku sedang marah? Siapa tahupun aku sedang merajuk?

Marah, merajuk, sakit hati atau kecil hati... semuanya dalam kesenyapan. Malangkan... kerana tidak mampu untuk mengekspresikan apa yang dirasa. Lalu, hati menjadi sakit yang berganda dari biasa. Manakan tidak, terpaksa mengendong berat sesuatu yang tidak terlepaskan. Begitupun aku selalu. Begitulah Koishie..

Aku tidak apa-apa jika mereka yang lain tidak memahamiku. Tidak tahu aku sedang marah atau tidak tahu aku sedang berkecil hati... kerana mereka memang tidak mengenaliku. Tetapi mereka yang mengenaliku dekat, sepatutnya amat jelas jika spaghettiku sedang masam atau charkuetiawku itu sudah 'kembang'. Mereka pasti tahu walaupun 'tukang masak' itu tidak menyatakan tentang itu kerana mereka mengenal dekat spaghetti atau charkuetiaw itu.. ermmmm... :(

[Teringat seorang rakan yang pernah menyinggah blog ini suatu masa dulu, dapat mengenal aku di ruangan facebook walaupun aku menggunakan nama yang berbeza. Sangat mengejutkan. Dia mengenal 'spaghettiku' walaupun baru sekali-dua menjamah spaghetti itu. Ermmm..]

Thursday, October 29, 2009

~ MELANGGAR LAMPU MERAH ~


TIDAK sayang nyawa!!! Mungkin itu yang difikirkan orang apabila melihat aku dengan tanpa rasa bersalah melanggar lampu merah meluncur laju tanpa mengendahkan kenderaan daripada arah kanan yang juga sedang memecut dalam kelajuan yang serupa.

Seketika aku disedarkan apabila bunyi hon bertalu memprotes tingkahku itu. Sungguh... aku tidak perasan lampu isyarat itu menyalakan warna merah. Tidak ada sebab untuk aku melanggar peraturan lampu isyarat itu. Aku bukan seorang yang melulu. Tidak juga sedang mengejar masa. Malah, aku memandu dalam kadar yang sederhana. Tetapi ada serabut yang langsungnya menumpahkan kecuaian yang berat.

Untuk kamu yang mungkinnya terancam nyawa disebabkan tempias serabutku, sungguh aku pohon maaf dari dalam hati yang paling jujur. Permohonan maaf yang tidak laku mungkinnya, tetapi aku benar-benar maksudkan itu...

[Sa-buah mimpi, tentang mimpi burok..]

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN SCORPIO ~


Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan CP & SHAZ
Allah selamatkan kamu...

Selamat hari ulangtahun kelahiran buat CP dan Shaz yang berkongsi tarikh kelahiran yang sama. Mudah-mudahan diberkati dan dilindungi sentiasa. Dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam segala urusan kehidupan. Aminnn...

[Terima kaseh atas doa kamu yang senan-tiasa ada untokku juga..]

Wednesday, October 28, 2009

~ MIMPI BURUK ~


AKU jarang mendapat mimpi, tetapi malam semalam aku mendapat mimpi buruk. Ermm.. Mimpi tentang ayah sahabat june. Ermm... mungkin kerana dalam sehari-dua ini kami kerap bercakap tentang ayahnya atau lebih tepat lagi aku yang banyak bertanya tentang kesihatan ayahnya. Kebetulan ayahnya memang sedang terlantar di katil Hospital Kuala Lumpur sejak Isnin lalu kerana sukar bernafas dan paru-paru dimasuki air.

Memang sebuah kebetulan. Seminggu yang lalu, ayah terlantar di hospital dan kini ayah sahabat ini pula berdepan situasi serupa. Aku dapat membayangkan situasi ibunya. Tentu sahaja bergelisah panjang seperti mana yang ibu lalui seminggu yang lalu dan sehingga hari ini pun. Kalaulah aku dapat meringankan beban rasa kamu, ibu... ermm..

Aku bercerita tentang mimpi buruk itu kepada seorang rakan. Kata rakan ini, dia pernah bermimpi perkara yang serupa. Mimpi buruk tentang ibu sahabatnya tetapi selang beberapa hari selepas itu, apa yang berlaku dalam mimpi itu rupa-rupanya terjadi ke atas ibunya. Mimpi itu memberi petanda yang bertentangan.

Aku tahu mimpi itu hanya mainan tidur, tapi aku sangat bergelisah tentang hal itu. Sungguh. Aku bimbang tentang ayah. Aku juga tumpang risau untuk ayah sahabat june. ermm.. mudah-mudahan Tuhan mengizinkan kesihatan yang baik buat ayah-ayah yang memperkenal dunia ini... aminn.

[Aku tida' akan ber-tanya apa-2 lagi...]

Tuesday, October 27, 2009

~ MERENTAS KABUS ~


TAJUK : Merentas Kabus
KARYA : Hartini Hamzah
PENERBIT : Creative Enterprise Sdn Bhd
HALAMAN : 262
HARGA : RM14.90

“Perginya… meninggalkan satu persoalan. Kemungkinan-kemungkinan atau kebetulan yang sememangnya tidak terjangkau secara lahiriah. Lalu pencariannya bermula… pencarian yang akhirnya membuahkan hasil. Namun, sukar menceritakan sebuah kebenaran… Kerana sejarah kebenaran seringnya berakhir dengan kehilangan…”

[Kebetulan yang jarang sekali mau menyebelahi... ermm...]

Monday, October 26, 2009

~ SANG PEMBANTAH YANG MENYETUJU... ~


MEETING!!! Separuh hari mengadap meja panjang separa bujur bersama-sama rakan-rakan satu jabatan membincangkan projek bulan depan. Semuanya cantik, berjalan lancar tanpa sedikitpun 'uhh.. ahhh'.

Aku di kedudukan paling tengah di bawah hembusan penghawa dingin yang mencengkam hanya tersenyum. Arghhh... mereka ini kalau di belakang tidak begini. Semuanya punya usul yang berapi, semuanya mahu menjadi pembantah kepada tindak en boss yang disifatkan banyak tidak kena. Namun, bila berdepan... bagai ada kuasa ajaib, mereka menjadi penyetuju yang jelas. Dalam apa jua... mereka banyak mengangguk. Malah, penuh berhemah sekali. Aku senyum lagi. Dalam hati terdetik, "arghhh... bosan sungguh dengan manusia yang begini..."

Aku? Aku bagai selalu banyak diam. Si bisu layaknya aku. Bersuara hanya kala ditanya. Namun, tidak pernah aku membuat dalih untuk sebarang jawapan. Jika buruk, aku tidak akan pernah katakan cantik. Namun, itu tidak bererti juga aku akan menyebut yang buruk itu tanpa mahu menjaga hati.

Yang sebenarnya, aku tidak pernah mahu untuk membiasakan diri dengan sebarang pembohongan. Bukan mahu menyatakan diri bersih, tetapi sungguh aku sendiri tidak pernah senang jika diperlakukan demikian rupa. Justeru, formulanya mudah sahaja. Jika kita tidak mahu diperlakukan begitu, jangan pula kita memperlakukan perkara serupa kepada orang lain..

Aku tidak kisah jika sering dilihat pasif. Aku tidak pernah apa-apa jika dipandang bisu. Asalkan yang paling pasti, aku tidak pernah bermuka-muka. Tidak pernah membaca biru untuk sesuatu yang jelas memberi makna merah. Aku faham soal 'periuk nasi' tetapi janganlah terlalu bertuhankan ia sehingga hilang prinsip dan pendirian diri. Sungguhpun aku lebih banyak bisu, namun apabila sekali aku membuka mulut, aku tegas dan berdiri diatas prinsip sendiri tanpa mampu dijual beli oleh sesiapa. Itu aku cukup pasti sekali.

[Aku tida' tau dan mau ber-PR2... olih kerana itu-lah aku tidak perenah layak untok pekerjaan itu... Sunggoh, aku tak tipu...]

~ YANG TIDAK TERDUGA ~


MENERIMA hadiah ulangtahun yang tidak terduga dan daripada orang yang sama sekali tidak terduga. Apapun, terima kasih daun keladi. Mudah-mudahan tersisip ikhlas untuk doa kesejahteraan yang dikirimkan. Aminnn...

Saya tahu kamu suka Beethoven dan Mozart,
Tetapi saya tidak ada minat walaupun dicuba.
Saya tahu kamu suka lihat matahari terbit dan tenggelam,
Tetapi saya rasa pelik dengan kebiasaan kamu itu,
Saya tahu kamu suka berdiam juga menulis,
Tetapi saya cukup bising untuk perkara itu.
Saya tahu kamu suka senyum,
Dan saya doa senyum itu untuk seluruh dunia,
Termasuk saya.

Pengolahan dan kesimpulan yang dibuat aku berdasarkan sekeping nota yang sangat comel.

[Mengenal aku tentu kamu lebeh tahu..]

Sunday, October 25, 2009

~ KERANA MARAH... ~


ALHAMDULILLAH ayah semakin pulih. Malah, sepanjang berada di kampung selama dua hari ini aku benar-benar yakin ayah sudah sihat. Manakan tidak, ibu sudah mula mengadu di marah ayah itu dan ini. Aku hanya tersenyum. Itu petanda ayah memang sudah sembuh.

Ayah sememangnya seorang garang dan panas baran juga. Bukan sahaja di waktu mudanya, tetapi sehingga kini pun kami semua masih menikus dengannya. Tidak hanya kami adik-beradik tetapi ibu juga begitu. Kata ayah adalah kata muktamad, jalan mati! Itulah ibaratnya.

Sebentar tadi, sebaik tiba di hiruk-piruk kota setelah memandu dari nun dari pantai timur semenanjung tanahair, aku menghubungi ibu untuk memberitahu telah selamat tiba ke destinasi. Namun, lain pula cerita yang dikongsi ibu. Ayah marah-marah kerana ibu mahu menjaga menu makanan ayah seperti yang dipesankan oleh doktor. Apatah lagi luka pembedahan ayah belum sembuh sepenuhnya. Baru genap seminggu.

Ermm... namun, ayah tetap ayah. Begitupun selalu ayah. Dan begitu pun selalu penerimaan ibu. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Aku juga tahu, ibu tidak juga mengharapkan apa-apa daripadaku, cuma berkongsi cerita dan rasa tentang apa yang dilaluinya. Itu sahaja.

Ayah, sebenarnya ayah sangat-sangat beruntung punya isteri yang sarat dengan kasih sayang dan cekal seperti ibu... errrr walaupun punya anak yang sering mendatangkan masalah pada ayah.. yakni aku. Ermm.. apapun, aku sedang mahu berubah seperti yang dimahukan ayah. Berubah untuk sebuah kasih sayang dan bukan menjadi sang pembantah untuk sebuah kasih sayang.

[Perenah di-marah ayah sehingga-kan aku merajok dan mogok lapar selama empat hari...]

Saturday, October 24, 2009

~ CUCI THE MUSICAL ~













Hampir-hampir sahaja mahu membatalkan hasrat untuk ke Istana Budaya, menonton Cuci The Musical gara-gara melalui kesesakan yang amat berat di serata deret jalan. Aku menempuh waktu perjalanan hampir tiga jam sedangkan selalunya ia hanya mengambil masa selama 45 minit dari tempat pekerjaan ke Istana Budaya. Ermmm... Tambah menyesakkan apabila perjalanan pulang ke rumah seusai menonton turut menempuh kesesakan yang hampir serupa. Kali ini bukan kerana berat perut jalanraya, tetapi kerana polis membuat sekatan dibeberapa jalan. Aku melalui tiga sekatan polis pada malam ini sahaja dan hanya pada jam 2 pagi, barulah tiba di rumah. Ermm..

Tinggalkan seketika soal itu dan aku mahu berkongsi sedikit tentang pementasan Cuci The Musical. Tidak banyak perbezaannya untuk Cuci versi teater dan Cuci versi filem. Aku tidak nampak kelainannya selain lakonan 'live' dari para pelakonnya yang mantap itu. Jalan cerita dan komedi masih sama. Kalau ada perubahanpun, mungkin sedikit sahaja. Lebih memenatkan, teater ini memakan masa terlalu panjang. Hampir tiga jam lebih.

Apapun Cuci The Musical di bawah arahan Dato' Zahim Al Bakry dan Harith Iskandar ini mampu membuat kamu yang menonton bergelak ketawa sehingga ke hujung pementasan. Aksi AC Mizal dan Awie sangat mencuit hati. Mereka sangat bersahaja menggeletek hati yang menonton. Disokong juga oleh Afdlin Shauki dan Hans Isaac sebagai pelengkap geng cuci ini. Pelakon lain yang turut membintangi teater ini ialah Vanidah Imran, Harith Iskandar, Adibah Nor, Ramli Hasaan dan Reffa.

Babak Hans Isaac dan Vanidah Imrah dinaikkan ke setengah pentas IB dengan menggunakan 'gondola' yang digunakan untuk mencuci bangunan tinggi itu sedikit mendebarkan. Aku berharap pihak produksi lebih mementingkan keselamatan para pelakon dan juga penonton yang ada rapat di depan pentas itu. Segala kemungkinan boleh berlaku.

Set pentas yang digunakan untuk Cuci The Musical sangat minima. Ringkas tetapi menarik dan bersesuaian dengan jalan cerita Cuci The Musical sendiri. Bertuah kerana Hans mendapatkan khidmat pereka pentas tersohor, Raja Malik yang sebelum ini terkenal dengan hasil kerjanya yang cemerlang. Tidak sekadar itu, Stpehen Rahman-Hughes juga dipinjam untuk tugas-tugas koreografer selain nama-nama tersohor yang lainnya seperti Pacai dan Dauglas Lim sebagai pencipta lagu dan lirik.

"It's a joke..." dialog Harith yang melekat sehingga entri ini ditulis... Untuk terapi jiwa yang sedang tertekan, tontonilan Cuci The Musical di Panggung Sari, Istana Budaya sepanjang 23 Oktober sehingga 8 November ini.

[Tida' sabar me-nunggu pementasan Natrah. Untok Diana Danielle, "kamu telah melepas-kan peluang ke-emasan yang mungkin tida' akan kamu per-olehi lagi.."]

Friday, October 23, 2009

~ HARI ULANGTAHUN KELAHIRAN ~



Syukur alhamdulillah.
Tuhan masih memanjangkan umur dan memberi kesempatan untukku terus bernafas di bumi-NYA ini. Mudah-mudahan hidup yang bakal aku lalui pada hari mendatang lebih memberikan makna dan kebaikan kepada mereka yang disekelilingku. Semoga rasa cinta dan kasih sayang pada ayah ibu, adik-beradik dan seluruhnya yang menjadi kesayangan akan terus kekal menjadi urat nadi yang hidup dalam jiwaku.
Aminnn..

Untuk teman jiwa, terima kasih kerana masih setia menunggu dan memahami rasa kasih itu tidakkan pernah terjual di mana-mana dan tidakkan pernah terbeli dek jutawan mana sekalipun yang cuba menawar harga.

Untuk sahabat dan rakan taulan yang mengirimkan doa selamat, sungguh.... aku benar-benar menghargainya dengan sepenuh hati. Semoga Tuhan juga memberkati kamu semua. Mudah-mudahan kita semua terlindung dari segala yang memudaratkan dan sentiasa hidup dalam kasih sayang yang berpanjangan.

Hadiah paling istimewa tentunya daripada si kecil. Sekeping kad istimewa yang begitu comel dan lekat di hati. Jujurnya, aku lebih tertarik kepada kad ucapan berbanding hadiah. Aku lebih sukakan kiriman doa dan coretan kasih sayang. Ia lebih ikhlas dan menyentuh hati dalam apa jua keadaan barangkali. Lebih memberi makna dan akan tersimpan kemas dalam kenangan yang besar berjalan dalam ingatan.

Lucunya, seperti yang pernah aku khabarkan pada entri yang lalu-lalu, teman jiwa tidak pernah sekalipun mahu memberikan kad ucapan hari ulangtahun kelahiran buatku sepanjang mengenalinya. Dia tidak sukakan kad ucapan. Aku cukup jelas tentang itu. :) Baik untuk hari ulangtahun, mahupun untuk sebarang perayaan. Kecuali kad permohonan maaf yang sering sahaja aku terima daripadanya. Itupun kerana aku mematikan talian telefon bimbit dan dia terpaksa menggunakan kad untuk berkomunikasi.. :)

Sedetik 12.00 malam sebaik hari bertukar tarikh, aku meraikan hari ulangtahun bersama teman jiwa di puncak kerlipan neon yang menjadi mercu tanda kotaraya Kuala Lumpur. Ringkas seperti selalunya. Lebih romantik? Ooh tidak. Tentu sekali tidak. Aku bukan dari kelompok itu. Sekadar menghabis bual tentang masa depan dengan lebih serius. Itu sahaja. Terima kasih untuk keluangan itu. Terima kasih kerana sentiasa ada.

Terima kasih juga buat auntie Phia, ai, jessy, cp, sahabat mei, brad, suffian, diss, steve, aa, ts, tengku hadi, fa, karl, nita, sue, paul, eja, ida, wawa dan ed... salam kasih sayang juga dari aku buat kamu..

[Ter-kenang hadiah hari ulang-tahon berupa diari merah dari-pada aruwah dr jhiwa tiga tahon lalu.. ermm.. hadiah per-tama dan ter-akher..]

Thursday, October 22, 2009

~ KEPUL ASAP YANG MEMBUAT TEMAN ~


Aku tersenyum panjang apabila ibu khabarkan adik lelakiku berhenti merokok kerana ayah. Lama aku menunggu saat ini dan hari ini mendapat khabar gembira itu. Aku harap ia bukan khabar sementara sebaliknya kekal selamanya. Justeru, aku terus menghubungi adik, meluahkan rasa terima kasihku pada dia kerana menyumbang senyum yang banyak kepada kami semua.

Kata ibu lagi, sejak ayah sakit, adik benar-benar tidak menyentuh rokok lagi. Ini kerana dia tidak mahu keinginan ayah pada rokok turut ada apabila kepul asap daripada rokoknya memberi bau pada ayah. Ayah perokok tegar. Seluruh hidupnya ditemani kepul asap rokok yang menjadi kebanggaannya itu.

Dua tahun lalu, ketika disahkan mengidap sakit jantung doktor berkali mengingatkan ayah supaya meninggalkan tabiat buruk itu. Ibu juga pernah merayu. Malah, aku turut bersuara tentang hal yang serupa. Namun, ayah hanya menurut nasihat kami itu tidak sampai dua bulan selepas keluar hospital. Selepas itu dia kembali menjadikan rokok sebagai teman selesanya. Mulanya secara bersembunyi tetapi lama-kelamaan kepul asap itu dihembus berlegar di dalam rumah seperti selalunya. Ermm..

Dalam seminggu ini, sejak dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan Sabtu lalu, ayah terjauh daripada rokok. Ibu masih membuat rayuan yang sama, mohon ayah berhenti merokok. Kali ini, adik turut menyertai apabila dia juga meninggalkan rokok. Jantung ayah harus dijaga. Degup kencang ayah harus dikawal. Kepul asap yang membunuh itu harus disekat. Ermm..

SIKECIL : Tokki tak takut mati ker hisap rokok..?
AYAH : Tokki dah tua, bila-bila masa jer boleh mati bukan pasal rokok...

[Ayah, kami semua menyimpan rasa chenta dan kaseh sayang yang ter-amat dalam pada kamu. Sunggoh...]

Wednesday, October 21, 2009

~ DEMI MATAHARI ~


DEMI MATAHARI

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit berserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit berserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah subhanallah
Allah subhanallah
Allah subhanallah
Allah subhanallah

Allah mengilhamkan
Sukma kefasikan dan ketakwaan
Beruntung bagi yang mensucikannya
Merugi bagi yang mengotorinya

Subhanallah...

[Syukor alhamdulillah...]

Tuesday, October 20, 2009

~ KEMBALI SELEPAS SEHARI ~


Ayah masih lemah. Masih seperti terawang-awangan juga. Seketika tadi, ibu menghubungiku. Mengusulkan aku pulang andai ada kesempatan yang membuat ruang. Jujurnya, kalau mahu dicarikan ruang, sememangnya tidak ada langsung ruang pada saat ini. Apatah lagi, bermula esok, urus pekerjaan baru akan bersusun tangga.

Justeru, aku membuat keputusan untuk pulang sahaja menjenguk ayah esok pagi. Sama ada permohonan cutiku diluluskan atau tidak esok, aku tetap akan pulang ke kampung halaman. Tiada yang layak menjadi tukaran buat saat ini. Ermm... Jam sepuluh pagi, aku akan berangkat ke pulang ke kampung halaman.

Mudah-mudahan ayah kembali sembuh. Kembali seperti adanya ayah yang selalu... AMINNN...

[Kalau-lah pantai timor semenanjong tanah-ayer itu se-jarak tiga langkah... ermmm...]

Monday, October 19, 2009

~ KETIKA CINTA BERTASBIH ~


TAJUK : Ketika Cinta Bertasbih (Episod 2)
KARYA : Habiburrahman El Shirazy
EDARAN : Al Risalah Product Sdn Bhd
HALAMAN : 626
HARGA : RM25.90
CETAKAN : Ketiga (Malaysia)

[Ter-ingin men-jejak kaki ke Cairo..]

Sunday, October 18, 2009

~ KEADAAN AYAH SEMAKIN STABIL ~

Dek kerana ada urus pekerjaan tidak terelakkan yang menunggu di hiruk-pikuk kota, aku memohon izin dari ibu untuk kembali ke Kuala Lumpur. Usai urus, aku akan kembali semula ke kampung halaman dan memohon cuti beberapa hari untuk menjaga ayah.

Keadaan ayah semakin stabil. Meskipun belum dapat menjamah selera, ayah sudah mampu tersenyum dan sedikit segar. Mungkin senang melihat anak-anak berada di samping. Ibu juga sudah mula senyum. Lega barangkali melihat perkembangan ayah. Alhamdulillah.... syukur alhamdulillah.

[Senyom untok seluroh dunia...]

Saturday, October 17, 2009

~ AYAH SELAMAT MENJALANI PEMBEDAHAN ~



Jam 12 malam tadi, aku mendapat panggilan dari kakak. Panggilan yang membawa perkhabaran yang mengejutkan dan meluluhkan. Ayah sakit kuat dan telah ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Kakak kebetulannya pulang ke kampung halaman dua hari lepas kerana mahu menziarahi ibu mertuanya yang juga ditahan di hospital yang sama.

Aku, adik dan abang segera bergegas pulang kampung halaman sebaik sahaja menerima berita itu. Tepat jam 12.45 malam tadi, kami berangkat ke kampung halaman nun di pantai timur semenanjung tanah air.

Abang memandu dalam keadaan resah gelisah dan fikiran serabut yang membuat kacau. Aku dan adik juga begitu. Di dalam hati, sedetikpun tidak terhenti mendoakan agar ayah selamat. Perjalanan kami dipermudahkan dan tiba di kampung halaman menjelang subuh. Sebaik tiba, kami terus ke hospital. Malangnya kami tidak dibenarkan masuk ketika itu dan terpaksa menunggu paginya. Ermmm.. Adik sudah mahu menangis. Abang diam. Aku juga diam.

Jam 5 petang tadi, ayah dijadualkan untuk menjalani pembedahan. Mata ayah menyorot sayu ke arah ibu dan kami adik-beradik saat dirinya ditolak masuk ke bilik pembedahan. Ibu menangis. Pucat. Lemah. Longlai dan hampir sahaja rebah di lantai sunyi itu. Aku menguatkan diri. Tidak mahu menunjuk lemah diri kerana mahu memberi sokongan kepada ibu yang tentunya berserabut dengan segala ketakutan dan debaran yang bersarang. Ya Tuhan…

Hampir lima jam, kami bergelisah di luar bilik pembedahan. Kira-kira jam 8 tadi, ayah selamat menjalani pembedahan. Alhamdulillah. Yaaa syukur alhamdulillah… Keadaan ayah kini stabil tetapi tidak boleh diganggu kerana ayah perlukan rehat yang panjang. Masing-masing tidak mahu pulang. Semuanya tidak mahu berganjak dan mahu menunggu ayah di katil hospital.

Aku melihat ibu. Aku merenung ibu. Ibu sangat-sangat takut andai sesuatu yang buruk terjadi pada ayah. Ibu, kami juga begitu. Kami juga tidak mahu kehilangan ayah. Sungguh. Demi Allah!!!

[Merenong wajah tua ayah… wajah yang mengenal-kan aku pada dunia..]

Friday, October 16, 2009

~ KERANA PAPADOM... ~


Masih terbawa-bawa dengan rasa ‘spaghetti yang tiba-tiba masam’ semalam. Kasihan kepada diri sendiri kerana sentiasa bersikap menerima walaupun diperlakukan dengan tingkah yang canggung. Bukan sekali, bukan dua... ermm... Susahnya menjadi si senyap.

Dengan kesempatan yang ada, aku menghibur diri bersama teman-teman di tempat pekerjaan lama. Menyertai mereka bersenang-senang menonton 'Papadom' di layar lebar. 'Papadom' yang menguis rasa dan menjadi penyebab Spagheti menjadi masam semasamnya.

[Sangat mau me-rasa men-jadi sa-orang yang mampu ber-bising-2 mem-bela diri]

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN ABANG ~


Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Abang
Allah Selamatkan Kamu..


Selamat hari ulangtahun kelahiran untuk abang yang sangat-sangat dihormati. Mudah-mudahan abang dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam apa sahaja yang diusahakan. Adik abang ini akan tetap mendoakan yang terbaik buat abang. Terima kasih kerana begitu mengambil berat. Sejak usia kecil sehingga saat semakin besar melihat dunia, abang tetap memegang tanggungjawab abang. Terima kasih untuk kasih kasih sayang itu.

[Abang ter-lalu me-warisi ayah...ermm..]

Thursday, October 15, 2009

~ KECIL HATI ~

(Kredit Foto : Filem Papadom)

Marah. Kecil hati. Senyap. Diam. Dalam tempoh yang tidak sampai seminggu aku dihenyak dengan rasa yang sama dari orang yang sama. Aku sedaya yang mampu cuba untuk tidak menjadi terlalu ‘perasa’ tetapi setiap kali aku mencuba untuk tujuan itu, setiap kali itulah aku diasak dengan hal-hal yang sangat menyakitkan hati.

Hari ini aku sangat berkecil hati dengan seorang sahabat ini. Kecil hati yang akhirnya membuah marah. Marah versi diam, versi aku. Sedih… kerana diamku dipergunakan dengan sebaiknya untuk diambil kesempatan.

Sungguh, aku benar-benar marah hari ini. Justeru, apabila rasa itu sudah menjalar membuat resah, aku perlu lari seketika. Perlu diam, perlu senyap. Begitupun aku selalu. Jika sedang marah, aku sebolehnya tidak akan mendekatkan diri dengan sesiapapun. Tidak mahu marahku itu disaksikan orang. Ini kerana marah itu selalunya akan membuat getar yang lain.. yang hujungnya akan menjatuhkan manik jernih.

Kepada sahabat itu, kamu tidak pernah mahu mengenali sahabatmu ini. Sedih. Aku benar-benar sedih dengan sikap kamu. Apapun, kamu tetap sahabat. Sekali sudah ku gelarkan sahabat, ia tetap akan kekal duduk di tempatnya. Ermmm..

[Ter-kenang aruwah D… sahabat yang tiada ganti…]

Wednesday, October 14, 2009

~ PENJAGA RAHSIA ~

Berbual panjang dengan sahabat nov di layar skrin. Setiap hari secara berturut-turut berkongsi cerita. Cerita sedih, cerita luka. Cerita ketidak-adilan dunia kepadanya. Aku diam, bungkam. Cuma sesekali bersuara apabila pendapat dan pandanganku diperlukan.

Sahabat ini cukup segala. Cuma nasib tidak begitu menyebelahinya dalam soal hati dan perasaan. Selepas satu, satu dirinya diuji. Bukan yang tercalang mampu menanganinya, dia bukan sebarang. Kecekalan dan ketabahan dan dimiliki dia membuatkan aku menyanjung tinggi dirinya.

Apapapun, terima kasih kerana memilih aku untuk menjadi pendengar dan sekaligus menaruh rasa percaya untuk aku menyimpan segala cerita yang terluah itu. Insya-Allah, rahsia akan tetap menjadi rahsia.

[Maseh menyimpan puisi ‘Rahsia 26’…]

Tuesday, October 13, 2009

~ SI MEOW ~









(Foto kucing-kucing ini dibidik ketika bulan Ramadhan yang lalu dia pantai TL ketika menunggu bazar Ramadhan dibuka...)

Sungguh, aku sangat tidak sukakan kucing. Bukan membenci, tetapi sememangnya aku sangat-sangat fobia dengan binatang yang satu ini. Nampak sahaja kelibat si meow ini dari jauh, aku sudah bersiap siaga untuk melarikan diri. Seolahnya terancam nyawa di badan.

Rakan-rakan yang mengetahui tentang ‘rahsia’ ini sering sahaja melepas tawa panjang. Lucu kata mereka kerana aku takutkan binatang kesayangan ramai orang ini. Kata mereka juga, orang yang tidak sukakan kucing, tidak penyayang orangnya.

Ermm… aku tidak penyayang yaa? Seluruh keluargaku juga tidak penyayang barangkali kerana ibu, kakak dan adik-beradikku yang lain juga takutkan si meow ini.

[Bukan dengan mahu..]

Monday, October 12, 2009

~ DIHENYAK RASA KACAU ~


Menjadi baik sudah, dan menjadi yang sebaliknya juga susah. Aku orangnya sangat penurut orangnya. Dalam apa sahaja situasi, aku tidak pernah mahu menjadi pembantah. Sikap itu seringkali memakan diri sendiri. Ermm…

Hari ini, aku terhukum untuk sesuatu yang bukan berpunca daripadaku. Menjadi mangsa kesalahan orang lain yang bijak melolos diri. Awal pagi ini aku dihenyak dengan rasa yang amat membuat kacau untuk aku memulakan hari dengan senyum manis.

Pernah juga sesekali aku terfikir mahu menjadi sang pembantah. Meluahkan yang tidak-tidak sahaja. Namun, semakin dicuba, semakin pula menyesakkan diri. Justeru, menjadi diri sendiri itu lebih baik barangkali.

[Jangan sampai ter-kikis rasa hormat aku kepada kamu..]

Sunday, October 11, 2009

~ NEON KUALA LUMPUR ~


Mengujakan. Itu yang aku rasai apabila hari ini seorang teman membawaku menjejakkan kaki di puncak yang mampu menyaksikan segenap Kuala Lumpur. Sepertinya aku ini tidak mahu berhenti senyum. Senang, aman dan nyaman sekali tatkala mata memandang luas kerlip neon di hiruk-pikuk kota ini. Sungguh, berkali-kali aku menyatakan rasa kekaguman itu. Mahu ke sini lagi. Mahu membidik dengan puas kerana kesempatan hari ini berlaku tanpa sempat aku rakamkan keindahannya.

[Ter-ngin untok melehat mata-hari ter-benam dari punchak ini pada 23 Oktober nanti..]

Saturday, October 10, 2009

~ USAH DIPINGGIRKAN MEREKA ~


Menyertai rakan-rakan yang punya keprihatinan murini, aku membuat singgah dan menjenguk kumpulan manusia yang kurang bernasib baik, penghidap HIV+ di sebuah rumah kebajikan di selatan hiruk-pikuk kota.

AKU : Diorang yang jaga ni, tak takut ker risiko dijangkiti?
AZ : Alaa… selagi kau tak luka dan terkena darah diorang, tak ada apa-apalah.
AKU : Memanglah… tapi
AZ : Kalau kau, kau nak jaga diorang tak?
AKU : Errr… aku tak punya kekuatan yang begitu.


Aku menjawab jujur kerana itu yang aku rasakan. Benar penyakit itu hanya boleh merebak melalui beberapa cara tetapi bukan semua orang yang mampu dan punya kekuatan untuk berdepan risiko ini. Sungguhpun begitu, aku tidak pernah ada dengan rasa mahu meminggirkan golongan ini. Cumanya, aku tidak punya kekuatan apatah lagi bersedia untuk itu.

F : Semuanya Allah tentukan.
F : Kalau ditakdirkan kita kena, kita akan kena juga walaupun kita larikan diri.
F : Risiko itu ada di mana-mana
F : Saya terlalu amat simpati kepada mereka ini.
F : Tidak semua pengidap penyakit ini mendapat jangkitan kerana perbuatan mereka sendiri.

F : Ramai yang menjadi mangsa.
F : Saya cuma meletakkan diri di tempat mereka.

F : Bagaimana kalau kita di tempat mereka? Mendapat jangkitan akibat perbuatan orang lain?
F : Lalu kita dipinggirkan dan dijauhi orang. Bagaimana?
F : Jika niat kita benar untuk membantu, Allah akan tolong kita.

F : Saya sangat percaya tentang itu.

Aku terdiam mendengar tutur seorang yang namanya cukup tersohor di dada akhbar ini. Dia juga berkata jujur seperti aku, tetapi dia punya pandangan yang berbeza. Tidak sekadar melontar hujah tetapi dia benar membuktikan katanya itu. Ermm.. mudah-mudahan, aku juga punya kekuatan yang sama sepertinya.

[Mau meng-hulor dengan segenap kudrat yang ada…]

Friday, October 09, 2009

~ SAMAN 'KASIH SAYANG' ~


(Kredit Foto : www.mstar.com.my)

Petikan berita dari www.mstar.com.my

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan aktres dan model Nasha Aziz membayar ganti rugi am RM10,000 kepada bapanya, Abdul Aziz Mohd Ali, dalam kes saman fitnah yang difailkan bapanya terhadapnya.

Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Abdul Aziz bagi membuat penghakiman selepas Nasha dan peguamnya tidak hadir pada perbicaraan kes itu Rabu lepas. Bagaimanapun, Nasha hadir hari ini ke mahkamah tanpa peguam yang mewakilinya dalam kes itu, Rashid Mokhtar. Hakim Abdul Wahab juga memerintahkan Nasha membayar faedah lapan peratus setahun kepada bapanya dari tarikh saman difailkan iaitu pada 31 Mac 2005 sehingga penyelesaian penuh saman itu. Beliau bagaimanapun tidak memberi ganti rugi tambahan seperti yang diminta oleh Abdul Aziz kerana saman itu melibatkan perkara dalam keluarga.

Hakim Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata beliau mendapati Abdul Aziz selaku plaintif berjaya membuktikan dia telah difitnah oleh Nasha selaku defendan apabila Nasha dalam artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 24 Okt 2004, menyatakan dia (Nasha) hanya mempunyai seorang ayah sahaja.

Hakim Abdul Wahab berkata mahkamah menerima pernyataan tuntutan Abdul Aziz bahawa akibat perkataan itu, Abdul Aziz telah dipandang rendah dan dikatakan berbohong bahawa Nasha itu adalah anak kandungnya.

Abdul Aziz, 61, seorang guru silat, yang hadir di mahkamah, mengemukakan saman terhadap Nasha, yang nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, berhubung artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia yang mendakwa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya. Abdul Aziz dalam pernyataan tuntutannya berkata beliau adalah bapa kandung Nasha dan mendakwa perkataan fitnah di dalam artikel itu bertajuk "Jangan tanya hal peribadi", dalam keluaran akhbar bertarikh 24 Okt, 2004 telah menyebabkan perasaan beliau terseksa, memalukan dan mencemarkan maruahnya. Beliau memohon ganti rugi, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dengan mendakwa artikel itu boleh difahamkan sebagai bermaksud yang beliau sudah meninggal dunia.

Nasha, dalam pernyataan pembelaannya menjelaskan bahawa perkataan "bapa" dalam temu bual dengan akhbar itu adalah merujuk kepada bapa saudaranya, Abdul Aziz Hathim, yang membesarkannya. Pelakon itu tidak menafikan bahawa Abdul Aziz ialah bapa kandungnya tetapi beliau menganggap bapa saudaranya sebagai bapa dalam hidupnya.

Hakim Abdul Wahab dalam penghakimannya bagaimanapun tidak menerima hujahan peguam M.Visvanathan, yang mewakili Abdul Aziz, bahawa artikel itu bermaksud Abdul Aziz telah meninggal dunia kerana Nasha dalam artikel itu merujuk ayah yang meninggal dunia itu sebagai bapa saudaranya yang menjaganya.

Beliau juga tidak menerima hujahan Visvanathan bahawa Nasha dalam artikel itu bermaksud Abdul Aziz bukan bapa kandung Nasha kerana Nasha tidak menyatakan dia (Abdul Aziz) adalah bukan bapa kandungnya. Beliau berkata walaupun nama bapa kandung Nasha dan bapa saudaranya sama iaitu Abdul Aziz tetapi nama penuhnya berbeza dan masyarakat perlu melihat keseluruhan nama itu sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Sebelum Hakim Abdul Wahab membacakan penghakimannya, Nasha yang hadir memberi penjelasan kepada mahkamah bahawa beliau tidak tahu mengenai tarikh bicara yang ditetapkan pada Rabu lepas.

"Saya hanya tahu melalui akhbar Metro dan Berita Harian mengenai kes ini. Saya cuba menelefon peguam Rashid Mokhtar tetapi tiada jawapan. Saya buat keputusan untuk hadir sendiri. Pohon mahkamah beri peluang untuk dapatkan peguam bagi mengetahui kedudukan saya dalam kes ini," katanya.

Hakim Abdul Wahab berkata pelupusan kes di mahkamah tidak dapat berjalan secara teratur jika peguam gagal hadir pada tarikh yang ditetapkan dan ketidakhadiran peguam tidak seharusnya menghalang daripada mahkamah melupuskan kes.

Selepas keputusan itu, Nasha yang ditemui pemberita, berkata beliau menerima keputusan itu dengan baik tetapi berharap mahkamah akan memberi peluang baginya membuat penjelasan mengenai kes itu. Beliau menjelaskan perkataan ayah dalam artikel itu adalah bermaksud bapa saudaranya yang menjaganya. Ketika ditanya apa panggilan beliau kepada bapa kandungnya, Nasha menjawab "Saya tidak memanggilnya ayah tapi dengan nama lain. Saya memanggil ibu angkat (ibu saudara yang menjaganya) saya adalah ibu dan emak kandung saya adalah mummy." Semasa ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini, Nasha berkata beliau akan mendapat khidmat peguam yang arif mengenai perkara itu.

Abdul Aziz pula berkata beliau menerima keputusan itu dengan tenang. BERNAMA


Si KECIL : Kenapa ayah dia saman dia? Ayah dia tak sayang dia ke?
AKU : Saman tu apa?
Si Kecil : Hehehe..

Cerita di muka depan akhbar hari ini menarik perhatian ramai orang, termasuk si kecil… juga aku. Ermm… kita semua tidak tahu situasi sebenar yang berlaku di antara ayah dan anak itu. Tetapi walau apa kepincangan yang berlaku sekalipun, tindakan si ayah mengheret anak ke mahkamah bukanlah nilai 'kasih sayang' yang terpuji. Andai benar segalanya berukur pada kasih sayang, marah atau gusar itu akan tersejuk tanpa perlu menggegar dunia.

[Ni’at tida’ meng-halal-kan chara…]

Thursday, October 08, 2009

~ MENCURI PANDANG ~



















Foto-foto ini dibidik ketika minggu aidilfitri yang lalu ketika di kampung halaman. Seketika mencuri pandang pada indah langit biru yang membuat senang. Langit yang penuh cerita rahsia.

[Melukes resah gelisah..]