Wednesday, September 30, 2009

~ SERABUT ~


Kejadian semalam masih berat di kepala. Serabut membuat simpul. Menghubungi seorang sahabat yang aku sedang mahu percaya untuk berkongsi cerita. Malangnya, situasi tidak membuat izin. Ada urus lain yang menantinya. Atau dia bukan orangnya yang harus aku tuju? Tidak semua yang aku taruhkan percaya. Banyak yang kekal rahsia kerana aku sememangnya lebih senang memilih rahsia.

Tiba-tiba telefon bimbit bergetar. Mesej dari rakan Feb yang mahu menemuiku seberapa segera. Mahu meluah tentang kusut seratus yang sedang di depani dengan bekas rakan serumahnya yakni sahabat Mei. Owhh... sungguh ampun.. aku tidak mahu lagi masuk campur dalam segala inci ribut yang melanda antara mereka. Aku pernah memberi usul, aku pernah bercakap dari hati ke hati sebagai seorang sahabat, tetapi ia tidak pernah diambil dengan erti. Malah, aku pula yang dibaca salah. Justeru, perlu lagikah perbincangan untuk sebuah usul yang sama? Aku memberi alasan untuk menolak pelawaannya untuk menghirup secawan coffee bersamanya.

Usai urus pekerjaan, menghalakan langkah ke gedung pembacaan. Hampir empat jam juga di situ. Tekun membaca sebuah bibliografi tentang tokoh wanita tersohor negeri Johor yang tidak pernah aku kenalinya dalam sejarah. Dia tidak popular tetapi begitu banyak berjasa kepada rakyat Johor dan Tanah Melayu amnya. Leka. Aku sememangnya mudah leka kala berada di gedung pembaacan ini.

[Tenang-kah? Senang-kah? Errmmm... Susah-nya men-jadi kamu Koishie...]

Tuesday, September 29, 2009

~ MENCALAR RASA ~

Terasa dunia ini semakin kecil. Sepertinya hiruk-pikuk kota besar ini menjadi semakin sempit. Semakin aku cuba mahu lari dan mengelakkan diri, semakin wujud ruang tidak sengaja dalam pertemuan kami. Oh Tuhan...

Hari yang teruk. Hari yang mencalar rasa. Hari yang tidak mahu terulang lagi. Entah apa kebetulannya, aku dan lelaki dari sejarah lalu ini bertembung lagi. Yaa.. bertemu empat mata lagi di satu majlis rumah terbuka yang langsung tidak ku jangkakan akan kewujudan dia.

Hampir dua jam aku di majlis itu. Sibuk mengatur bual dengan beberapa orang yang berkaitan urus pekerjaan, aku langsung tidak sedar diri diperhatikan. Sungguh, aku tidak menyedari ada sepasang mata yang asyik mengekor.

Cuma pada hujung jam kedua dan ketika aku sudah mahu meninggalkan majlis, tiba-tiba mata terarah kepada satu susok badan dan kelibat yang sangat-sangat aku kenali. Dia sedang memandang dengan senyum yang masih sama ke arahku. Tepat. Segera aku mengalihkan pandangan dan meneruskan perbincangan soal pekerjaan. Namun, bagaimana aku mahu menumpukan perhatian lagi jika sedar diri diperhati. Dan orang yang memerhati itu adalah manusia yang pernah ada di dalam hati dan manusia yang pernah melukakan hati ini.. ermm.

Aku mengeluarkan telefon bimbit. Menekan-nekan nombor. Mahu mencari D. Mahu memberitahu dan bercerita kepada D bahawa N sedang berada di depan mataku saat ini. Mahu meminta pendapatnya, apa yang harus aku lakukan sekarang. "Ya Tuhan... Koishie, D sudah lama tiada, D sudah menjadi arwah..." Aku berhenti menekan telefon bimbit. Ada manik jernih yang mula menakung. Menunggu saat untuk jatuh. Ermmm... jika dulu, jika aku berdepan situasi begini, jika apa sahaja tentang N, kepada D lah akan aku pergi. Mengadu dan berkongsi cerita kerana hanya dia yang tahu tentang sejarah aku dan N.

Bagaimana mahu menyembunyikan wajah kalau kedudukan aku dan N betul-betul berhadapan. Walaupun kami tidak satu meja tetapi kedudukan kami sangat jelas. Aku tidak mahu membiarkan kekalutan menguasai diri sehingga disedari N. Justeru, aku sekerasnya cuba berlagak seolah tiada apa. Seolah tiada rasa. Saat pandangan kami bertembung, N cuba berkata sesuatu. Mulutnya terkumat-kamit sambil memberikan isyarat kerana dia benar-benar tidak dapat menghampiriku kerana aku memang sedang berurusan dengan urus pekerjaan yang agak serius ketika itu. Aku tidak memberikan sebarang respon. Tanda tidak dapat memahami.

Dan, saat melihat N sedang bercakap di telefon bimbitnya di satu sudut, aku terus berlalu pergi. Senyap, diam, hilang. Seketika aku bersendiri di unta hitamku, menarik nafas sedalamnya. Kalaulah arwah D masih ada, tentulah aku tidak resah sebegini rupa. Aku menekan nombor adik, mengirimkan mesej ringkas buatnya.

AKU : AL baru jmpa N. Ermm... Giler.
ADIK : Jumpa?? Haaaaa..
AKU : Tserempaklah. Bkn sengaja jmpa.
ADIK : Cam de jdh.
AKU : Heyyy.. dh lupa ker pe yg dia penah bt dulu?
ADIK : Err.. tp msh ingat dia kan?

[Aku ter-lalu ingin ke-pusara aruwah D... Alfatihah untok kamu D. Muga tenang di-sana..]

Monday, September 28, 2009

~ MENGAMBIL CUTI SAKIT ~

Sepatutnya, hari ini aku sudah kembali bertugas setelah seminggu bercuti sempena menyambut hari raya aidilfitri. Namun, dek kerana demam yang datangnya secara pakej bersama batuk yang serius, mahu tidak mahu terpaksalah aku mengambil cuti sakit.

Sejak semalam lagi, ibu meminta aku memanjangkan cuti melihatkan aku belum sihat sepenuhnya. Apatah lagi ibu sepertinya tidak sanggup membiarkan aku memandu untuk pulang ke hiruk-pikuk kota dengan jarak perjalanan yang jauh dalam keadaan yang tidak bermaya begitu. Namun aku tegaskan kata, aku tidak mempunyai cuti lagi dan urus pekerjaan mendesak sedang menanti. Ibu berat hati, namun terpaksa merelakan. Mujurlah perjalanan semalam dipermudahkan. Aku memandu secara berterusan selama 6 jam dari pantai timur semenanjung tanahair sehingga ke hiruk-pukuk kota besar ini tanpa berhenti di satu perhentian pun.

Nah, hari ini... akibat tidak mendengar kata ibu, aku terpaksa juga mengambil cuti sakit. Seawal pagi tadi, kepala terlalu berat dan badan terlalu lemah. Mahu tidak mahu, walaupun punya urusan pekerjaan mendesak yang perlu dilangsaikan hari ini, aku terpaksa juga bercuti. Memanjangkan rehat dengan tidur dengan sedikit sempurna.

Alhamdulillah, sebelah tengaharinya keadaan semakin baik. Cuma batuk-batuk sahaja yang masih mahu menemani. Melihat diri sedikit 'gagah', aku ke tempat pekerjaan lama. Mahu bertemu rakan-rakan pekerjaan lama dan sekaligus beraya dengan mereka. Banyak cerita yang terkongsi. Aku seperti teringin untuk kembali menumpahkan khidmat di sini. Ermmm..

[Serius. Mau menukar bidang pekerjaan...]

Sunday, September 27, 2009

~ MEMINJAM ~


"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari..
Dia datangkan petir dan kilat..
Kita menangis dan tertanya-tanya,
kemana hilangnya sinar..
Rupa-rupanya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi.."

Aku sangat-sangat telupa di mana petikan ini ku pinjam (mohon agar diizinkan meminjam). Apapun, sungguh aku cukup suka mengamatinya dan mahu berkongsi dengan mereka yang mungkin belum pernah mengamatinya.

[Sangat suka mem-bidek foto mata-hari terebit dan tenggelam di-pelusok yang kelihatan..]

Saturday, September 26, 2009

~ BEGITU TAKDIRNYA ~


Disebalik riang ria merai aidilfitri yang membahagiakan, rupa-rupanya ada suram juga mengisi Syawal. Saat senyum dan tawa memecah ruang kala berdamping insan kesayangan seluruhnya, ada hati yang sedang berduka rupanya.

Berita mengejutkan tentang sebuah 'kehilangan' yang kami terima siang tadi. Musibah yang tidak terduga menimpa. 'Kita cuba untuk mengubah keadaan, tetapi takdir bukan di tangan kita'. Kepada B dan Id, tentu sahaja Tuhan itu Maha Mengetahui dan punya perancangan yang lebih baik untuk kita semua. Justeru, bukalah hati untuk menerima seadanya ujian yang terlangsung itu.

Untuk sebuah 'kehilangan' itu, usahlah ditangisi. Sebaliknya kirimkan doa agar kesejahteraan sentiasa mengiringi. Syawal tetap menjanjikan bahagia. Kalau tidak Syawal ini, 1000 lagi Syawal akan memberi janji.

[Aku harap B akan berobah men-jadi yang lebeh ter-sanjong..]

Friday, September 25, 2009

~ MENJEJAKKAN KAKI KE PULAU WAN MAN ~









(tidak banyak foto yang menarik... camera kesayangan mengalami 'masalah kesihatan')


Hari ini, buat pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Selalunya, aku hanya mencuri pandang dari atas jambatan Sultan Mahmud sahaja ketika melintasi kawasan itu. Kagum dari dalam kereta yang laju meluncur sahaja.

Aku ke sini kena membawa sahabat dekat, Ai, yang kebetulan datang beraya ke rumah sejak dua hari lalu. Orang Kuala Lumpur ini teringin benar ke sini untuk melihat senibina cantik yang penuh kekaguman ini. Tanpa dia ketahui, anak jati yang bukan asalnya Kuala Lumpur ini sebenarnya sekalipun belum pernah menjejakkan kaki ke sini walaupun keinginan itu lama sudah menjalar rasa. Hahaha... simpan rahsia ini yaa.

Sayang sekali, tidak banyak foto yang dapat dirakamkan kerana kamera kesayangan tiba-tiba ada masalah. Merajuk barangkali. Aku marahkan diri sendiri dan dalam masa yang sama menanam janji untuk kembali lagi ke sini dengan tujuan yang serupa.

Negeri Darul Iman ini memang kaya dengan dengan masjid... itu kata Ai sepanjang perjalanan pulang kerana sepanjang perjalanan itu pelbagai masjid indah yang kami lalui selain masjid tersohor di Pulau Wan Man itu.

[Ter-ingen juga men-jengok Masejid Besi di-Putrajaya yang belom perenah aku kunjongi..]

Thursday, September 24, 2009

~ TENTANG AYAH ~

Ayah merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Atuk dan nenek (yang tidak pernah kami adik-beradik mengenali) merupakan seorang peniaga ketika hayat mereka. Ayah dimanjakan. Lalu, ayah sesekali pernah juga membuat lagak seperti 'Anakku Sazali'. Itu seloroh isteri arwah abang kedua ayah yang suka bercerita tentang zaman muda ayah. Ayah menjadi yatim piatu semenjak usia remajanya. Arwah keduanya di semadikan di selatan semenanjung tanahair. Tidak sekadar itu, adik-beradik ayah juga menyusuli mereka. Kini, ayah hanya ada kami.

Ayah yang kami kenali (atau menurut pandanganku semata), seorang yang sangat bertanggungjawab. Tetapi dalam masa yang sama seorang yang pemarah dan baran. Sejak usia mudanya sehingga kini, hari ini, saat ini. Tidak perlu 'memberi tangan', cukup hanya dia meninggikan suara, kami (termasuk ibu) tentunya sudah siap siaga menikus. Kata ayah, adalah kata penamat. Jalan mati!

Peliknya, ayah seorang yang amat berminat dengan seni. Dia sangat pakar dalam seni ukiran, seni tulisan dan sangat kreatif dalam kerja-kerja tangannya. Tetapi kerja-kerja itu dilakukan mengikut 'musim'. Dulu ketika aku masih kecil, jiran-jiran suka meminta tolong ayah menggunting rambut anak-anak mereka. Lepas seorang, seorang. Sudahnya, ayah menjadi tukang gunting tanpa sengaja.

Ayah juga pakar dalam kerja pertukangan besi. Ayah tahu membuat keris, parang, pisau dan yang seangkatan dengannya. Setiap hari selepas pulang dari kerja, ayah pasti akan meluangkan masa dengan hobinya itu. Aku berpeluang untuk melihat parang yang asalnya dari sekeping besi karat hitam yang tebal, menjadi bilah cantik yang tajam dan berbentuk. Siap dengan sarungnya sekali. Mereka yang tahu tentang kepakaran ayah, suka menempah dari ayah. Tidak mahalpun. Yang aku pernah ingat, untuk sebilah parang, ayah hanya dibayar RM25. Huh.. langsung tidak berbaloi dengan kederatnya yang berhari-hari menyiapkan parang itu. Tetapi ayah suka. Bukan untuk mencari pendapatan tetapi lebih kepada kepuasan dirinya.

Yang aku tidak pernah lupa juga, ayah pernah membuat sendiri congkak untuk kami adik-beradik. Congkak lubang lapan. Aku takkan lupa itu. Cantik congkak itu. Aku kurang pasti, kenapa ayah bersusah-payah membuat congkak itu. Sama ada tidak mampu untuk membeli yang telah siap di kedai, atau ayah memang mahu membikinnya sendiri sebagai hadiah buat kami. Aku sudah lupa, ia telah berlalu lama dulu. Sayang sekali, Congkak itu sudah rosak ketika kami berpindah rumah.

Ayah punya tulisan yang teramatlah cantik. Tersusun rapi dan bersih. Ayah sangat suka menulis diari (mungkin aku mewarisi ayah dalam soal ini). Ayah punya koleksi diari yang banyak. Sebahagiannya masih disimpan sehingga hari ini. Banyak yang ayah tulis. Tetapi bukan soal hati dan perasaan seperti yang selalu aku lakukan. Ia tentang keluarga kami. Tentang peristiwa-peristiwa penting. Tentang perkembangan anak-anak ayah. Selebihnya perkembangan dalam negara (yaa.. ayah banyak mencatat tentang itu). Ada juga diarinya yang di penuhi dengan lukisan-lukisan bentuk senjata yang direka ayah. Sehingga hari ini, ayah tidak pernah tahu aku mencuri lihat kesemuanya itu. Ya ampun!

Ermm.. Sejak dua tahu lalu, ayah disahkan sakit jantung. Tidak mungkin aku lupa saat kejadian yang berlaku pada hari raya aidiladha dua tahun lalu itu. Denyutan jantung ayah telah terhenti saat itu. Tangisan sudah berderai seisi rumah. Tetapi Tuhan masih mahu meminjamkan ayah kepada kami. Alhamdulillah.

Kini, ayah sering sakit-sakit. Tetapi, asap rokoknya masih tebal berkepul keluar dari rongga hidung dan mulutnya. Setahun yang lalu, ayah telah berhenti merokok. Ketika itu, kami merayu separuh mati kepadanya supaya meninggalkan tabiat buruk itu. Mungkin kerana masih terkejut dengan apa yang berlaku (di sahkan sakit jantung), ayat menurut. Dan... entah bila, aku sendiri kurang pasti ayah kembali merokok (setelah lama behenti). Kini ayah kembali menjadi perokok tegar. Kata ibu, bila ditegur tentang itu, ayah berang. Pernah juga ayah memarahi aku, "ayah dah hisap rokok sebelum kau lahir lagi. kalau hisap rokok tu boleh buat orang mati, dah lama ayah mati.." ohhh... aku sentiasa hilang kata-kata bila mendengar kata ayah. Bukan aku sahaja, tetapi ibu juga. Ibu kerap menangis kerana ayah.

Ermmm... sejak dari kecil, aku tidak pernah walau sekalipun membantah kata ayah. Tidak pernah.. Daripada sekecil-kecil perkara, apatah lagi hal yang besar. Ayah pantang mereka yang tidak mendengar kata. Anak perempuan terutamanya. Yaa.. ayah sedikit konservatif dalam soal ini. Anak perempuan tidak boleh itu dan ini. Dan, anak lelaki perlu dibiar bebas berterbangan terbang tinggi menggapai langit.

Tetapi untuk satu perkara, aku mohon ayah mengerti. Dan... sehingga hari ini, aku masih memohon pengertian itu.

[Dalam segenap rasa, aku sangat mencintai, menyayangi dan menghargai ayah dunia dan akhirat..]

Wednesday, September 23, 2009

~ HANYA DI BALIK PINTU ~


Tetamu tidak putus mengunjungi rumah untuk berhari raya. Kecil, besar, tua, muda semua ada. Kami sebagai tuan rumah amat-amat berbesar hati. Kata orang, tetamu yang datang itu membawa rezeki. Insya-Allah, mudah-mudahan rezeki sentiasa ada bersama kami.

Tugas melayan tetamu ini selalu di peranankan oleh ibu. Tidak mengira kenalan siapa, ibu pasti akan menjadi penyambut dan pelayan tetamu yang setia. Kakak juga begitu. Dia sangat mewarisi ibu.

Aku? Aku selalunya hanya berada di dapur. Menyiapkan hidangan, mencuci pinggang mangkuk dan segala kerja belakang tabir. Itulah tugasku sejak bertahun lamanya. Memang aku yang memilihnya, bukan disuruh atau ditentukan oleh siapa-siapa. Justeru, daripada aku 'kejung' di kerusi sambil menghadiahkan senyuman tidak putus kepada tetamu yang datang tanpa bersuara apa, ada baiknya aku melakukan kerja lain yang lebih berfaedah di belakang.

Hakikatnya, aku ini orangnya tidak suka menonjolkan diri. Dalam apapun perkara.. :) Ada yang menjadikan aku rugi, dan ada kalanya menjadikan aku sangat untung dengan sikap itu. Tapi itu aku. Aku senang dengan diriku yang begitu.

[Hanya yang mengenal-ku dekat, mengenal-ku yang sebenar..]

Tuesday, September 22, 2009

~ ZIARAH-MENZIARAHI ~

Hari ini, bermula acara ziarah-menziarah untuk kami sekeluarga. Hari ini kami perlu mengikut jadual ayah. Tiada siapa yang boleh berkata 'tidak'. Kakak dan abang sudah pulang beraya bersama keluarga mertua masing-masing. Justeru, yang masih solo dan bujang ini harus atau lebih lebih tepatnya, wajib menurut jadual ayah untuk beraya ke beberapa tempat yang telah dia senaraikan.

Lazim biasa, jika ayah menyertai 'rombongan', kami (termasuk ibu) perlu peka kepada beberapa perkara. Jangan lambat, jangan bising, jangan banyak hal, jangan membantah dan sebagainya. Ya.. yang jangan-jangan semuanya. "Betul apa kata ayah..." Selalu, itulah kata yang terpacul dari mulutku bila adik mula mengomel-ngomel manja.

Hari ini, ayah beriya-iya mahu beraya ke rumah salah seorang saudara-mara kami. Pangkat anak saudara kepada ayah. Entah, aku hanya kenal pada nama. Bukan saudara yang ini sahaja, saudara sebelah ayah yang lain-lainnya juga aku tidak begitu mengenal. Kami memang tidak rapat dan tidak pernah rapat. Argghh.. kami ini bukan 'berada' seperti mereka. Ayahpun bukan siapa-siapa. Rumah kami jarang sekali menerima kunjungan 'tetamu kenamaan' seperti mereka. Justeru, biarlah masing-masing duduk dalam kalangan masing-masing.

Hampir 2 jam berpusing-pusing untuk mencari rumah uncle WH. Semua dah kena marah dengan ayah. Ermmm.... baran ayah tidak pernah hilang. Justeru, semua yang menyertai rombongan mula menekan-nekan telefon bimbit untuk meminta bantuan dari segala bentuk munasabah dek akal. Akhirnya ada yang membantu. Tiba di lokasi yang dimaksudnya, tuan rumah tiada. Ermmm...

Aku pandang ibu, ibu senyap. Adik senyum, aku hanya mengangkat bahu. Apa yang pasti, aku tahu kami semua happy kerana 'tuan rumah' itu tiada di rumahnya ketika itu.. :) Errr... aku tahu kenyataan itu mungkin kedengarannya sedikit 'tidak manis' tetapi itulah yang jujur ada dalam hati ketika ketika itu dan ketika menulis entri ini..

[Salamat Hari Raya, Ma'af Zaher & Baten..]

Monday, September 21, 2009

~ UCAPAN RAYA ~

Sejak tiga hari sebelum raya sehinggalah hari ini, skrin telefon bimbitku tanpa henti bergetar. Tertera pelbagai ucapan hari raya daripada pelbagai orang. Daripada yang paling dekat sehingga kepada yang paling jauh dan juga yang tidak mengenal langsung. Terima kasih atas ingatan.

Bukan tahun sebelumnya tidak ada yang mengirim ucapan, tetapi tahun ini ia seperti luar biasa. Sehinggakan aku benar-benar perlu mengambil masa untuk membalas ucapan dan doa mereka semua. Apatah lagi, aku tidak suka untuk 'memanjangkan' mesej kiriman yang sedia, tetapi lebih suka untuk menulis untuk ditujukan kepada individu tersebut sahaja.
Aku senyum, aku suka. Happy. Satu kiriman mesej daripada seorang insan yang tidak terduga langsung. Dikirim pada malam raya, tetapi aku hanya perasan dan terlihat mesejnya pada hari ini, raya kedua. Owhh.. pasti sangkanya aku tidak sudi membalas kirimannya itu.

Dek kerana suka senyum dan happy dengan kiriman itu, aku turut mengirimkan ucapan untuk hampir semua nama yang ada tertera dalam senarai contact telefon bimbitku. Ya, hampir semua (yang muslim)! Ingatan yang berbalas ingatan. Gembira kan apabila kita ada dalam ingatan orang lain yang tentunya juga teriring doa dengan penuh tulus.. :)

[Tida' perenah me-nokar nombor talipon bimbet sejak per-tama kali meng-gunakan-nya..]

Sunday, September 20, 2009

~ KASIH SAYANG DI HARI RAYA ~


Salam Lebaran, Salam Aidilfitri untuk seluruh umat Islam yang merayakannya. Untuk ayah ibu dan seluruhnya yang menjadi kesayangan juga, mohon diampunkan segala yang pernah membuat guris baik pada kata mahupun laku. Mudah-mudahan, aidilfitri kali ini menjadi permulaan baru untuk sesuatu yang baru kepada kita semua. Alhamdulillah, masih diberikan kesempatan bernafas dan meraikan lebaran untuk kesekian kalinya. Mudah-mudahan ia tidak menjadi Aidilfitri terakhir buatku.

Seperti mana yang aku katakan dalam entri terdahulu, Aidilfitri kali ini mungkin lebih bermakna buat ibu. Ibu, aku dan seluruh keluarga juga sebenarnya. Ini kerana kesemua kami dapat berkumpul seluruhnya untuk raya pada kali ini. Anak, menantu dan cucu ibu semua ada. Gegak gempita rumah jadinya. Pelbagai karenah, pelbagai rasa dan situasi. Indah. Kasih sayang di hari raya!

Lazim menjadi amalan, pada raya pertama kami seisi keluarganya semuanya berada di rumah. Bersama keluarga dan menyambut kedatangan tetamu sehingga raya kedua. Hanya pada raya ketiga, barulah kami pula yang akan mula menziarah saudara-mara mahupun rakan-taulan.

Usai sembahyang sunat aidilfitri, acara yang selalu mengundang debaran tentu saja sesi bermaaf-maafan bersama ayah ibu dan seluruh yang menjadi kesayangan. Ini kerana ketika ini, suasana syahdu-syahdan itu tidak pernah lupa mengiringi. Selalunya antara kami yang ada 'kes' untuk sepanjang tahun ini akan menjadi perhatian dalam sesi ini. Aduhh..

Usai aku memohon kemaafan dan membilang kesalahanku, ayah memeluk aku lama. Lama! Menepuk-nepuk belakangku perlahan beberapa kali. Ayah menangis. Kata ayah, "mungkin tahun depan ayah dah tak dapat beraya bersama lagi...". Perlahan saja tuturnya, tetapi aku pasti seluruh kami mendengarnya dengan cukup jelas. Aku diam. Bungkam. Bukan kepadaku sahaja, tetapi kepada setiap kami adik-beradik ayah bisikan hal yang sama. Ermm...

Beralih kepada ibu, emosi yang tercetus dari ayah masih ada. Namun, ibu tidak menangis. Langsung tidak. Cuma mencium dan memelukku sambil mengucapkan selamat hari raya dengan penuh kasih sayang.

"D tak pernah tengok tokki nangis. Napa tokki nangis?" soal si kecil pada mamanya yang juga sedang dalam emosi. Si abah menarik si kecil rapat kepadanya. Diam tanpa memberikan sebarang jawapan. Lalu mata si kecil ini terus melirik kepadaku, mungkin mengharapkan jawapan daripadaku. Tetapi aku juga diam dan senyap.

Tidak seperti biasa, sedu-sedan itu terbawa sehingga ke matahari tegak di atas kepala rupa-rupanya. Ermmm.. emosi... penuh emosi.

[Kurong merah tida' sa-perti merah-nya...]

Saturday, September 19, 2009

~ SEMUANYA KERANA RAYA ~

(foto sekadar hiasan)

Ibu kelihatannya sangat sibuk hari ini. Aku sendiri seperti sudah tidak tahu mahu menolong bagaimana kerana ada sahaja kerja yang dia sibukkan. Dari dulu, memang begitupun ibu. Tahun ini sepertinya beriya sedikit persiapan raya kami sekeluarga. Manakan tidak, aidilfitri kali ini seisi keluarga berkumpul. Baik kakak, mahupun abang yang biasanya bergilir beraya di rumah mertua masing-masing, kali ini memberikan giliran hari raya pertama kepada kepada ibu, juga ayah.. termasuk kami seisi keluarga.

Gembira ibu bukan kepalang. Bukan setiap tahun 'tuah' begini akan menyebelahi kami. Mungkin kerana hal itu dia begitu beriya sekali. Tidak dibenarkan aku membantunya di dapur. Takut juadah hasil air tangannya tidak menjadi jika aku 'ikut campur'. Lucu. Tapi itulah ibu.

Sebaik sahaja selesai berbuka puasa, kami seisi rumah terus sahaja sibuk dengan tugas masing-masing. Tugasan yang tidak penah diberikan tetapi masing-masing menjalankan peranan mengikut 'kepakaran dan kerajinan' sendiri. Lazimnya, pada malam raya, aku dan adik akan berjaga sehingga ke pagi. Kalau lelap pun, mungkin hanya satu atau dua jam. Banyak kerja yang perlu dibereskan. Maklum sahaja, kami selalunya akan balik ke kampung sehari atau dua hari sebelum raya. Justeru, tentu sahaja banyak urus yang menanti. Tidak sampai hati mahu membiarkan ibu atau ayah menguruskan segalanya sendiri.

Di dapur, ibu selalunya akan sibuk menyiapkan nasi impit berkuah gulai ikan tongkol. Mungkin agak luar biasa pada orang lain yang lazimnya memadankan nasi impit dengan kuah kacang. Ini kegemaran ayah. Seingat aku, semenjak dari kecil lagi, ibu tidak pernah gagal menyiapkan juadah ini untuk ayah di pagi raya. Kegemaran ayah itu akhirnya menjadi kegemaran kami juga. Juadah wajib. "kata ayah, hanya orang 'Chabang Tiga' (tempat ayah dibesarkan) yang tahu makan nasi impit dengan gulai ikan tongkol.

Yang wajib juga, nasi dagang, rendang, lemang dan ketupat (palas segitiga). Lemang dan ketupat kami hanya menempah daripada tetangga di hujung kampung. Kami tiada kepakaran alam soal itu. Justeru, walaupun ia menjadi makanan kegemaran, terpaksalah ditempah sahaja.

[Gumbira ma-lihat ibu gumbira... urmm.. entah apa khabar ibu aruwah D, di-utara semenanjong tanah-ayer yaa.. umi pula bagi-mana? ]

~ BERATUS BATU ~


Pertama kali aku memandu sendiri pulang ke kampung halaman. Beratus kilometer jaraknya. Selalunya, aku hanya duduk bersenang-senang di sebelah kerusi pemandu ataupun di tempat duduk belakang sambil menghabiskan bahan bacaan. Terkadang novel, buku biasa mahupun majalah. Itu yang sering menjadi bekalan walaupun adik sering katakan membaca dalam kenderaan begerak akan mengundang sakit kepala yang berat. Itu dia, bukan aku. Aku sering asyik dengan bahan bacaan ketika dalam perjalanan. Tahu-tahu saja sudah sampai di depan rumah.

Huh... Tapi kali ini lain. Kali ini, barulah aku merasai pengalaman berpenat-penat memandu untuk pulang ke kampung halaman dalam jarak yang begitu. Apatah lagi dengan kesesakan jalan raya yang panjang mengiringi indah perjalanan pulang ke kampung halaman. Ikutkan kakak, dia tidak mahu membenarkan aku memandu sendiri dalam jarak yang beratus batu begitu. Arghh.. selalu sahaja aku mendengar katanya tanpa bantahan, kali ini mahu berkeras memandu sendiri dan akhirnya kakak kesayanganku itu mengalah juga. :)

Kami konvoi tiga buah kereta ke kampung halaman. Unta hitamku hanya ditumpangi adik. Bagai mahu pecah radio di pasangnya dengan lagu raya tanpa henti. Aku turut sama menyanyi kerana aku tahu adik sedang gembira dan aku juga. Penat tetapi ia berbaloi untuk orang yang degil sepertiku. Kami hanya berhenti di satu perhentian sahaja. Itu pun untuk berbuka puasa dan melakukan urus perlu yang lain.

Mula bertolak dari hiruk-pikuk kota ini kira-kira jam 3.30 petang tadi dan tiba di depan muka pintu rumah sekitar enam jam selepas itu. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Ayah di depan muka pintu. Ibu menggeleng-gelengkan kepala. Ayah tidak suka aku memandu sendiri. Apatah lagi dengan jarak yang begitu. Titik. ermmm... lariiiiiiiii.

[Balek kamponggg... hohoho... balek kampong... hati girangg..]

Friday, September 18, 2009

~ MENUJU KE PANTAI TIMUR SEMENANJUNG TANAHAIR ~

Masih bekerja sehingga tengaharinya, bertemu rakan-rakan yang masih dalam tugas. Jam 3, barulah aku, kakak dan adik bergerak menuju ke pantai timur semenanjung tanahair. Mahu pulang ke kampung halaman beraya bersama ibu, ayah dan seluruhnya yang menjadi kesayangan.

Buat teman jiwa, sungguh aku benar teringin melihat kamu memakai sepasang baju melayu merah, berdamping dengan sepasang kurung merahku di pagi raya. Ermm... Bila yaa mahu menjadi kenyataan?

[Salam Aidilfitri buat semua kamu yang men-jadi sahabat dan men-jadi tetamu di-sini. Kemaafan ku-pohon andai ada yang ter-gurius rasa tanpa sengaja... Maaf zahir dan batin]

Thursday, September 17, 2009

~ SALING DALAM INGATAN ~


Aku sangat sukakan kad raya. Suka memberi dan suka juga menerima. Satu aliran pemahaman dengan si kecil tentang soal ini... :) Pun begitu, tahun ini, agak kesibukan dengan urus pekerjaan yang bersusun, meninggi bak bangunan klcc. Apapun, kesempatan itu masih ada untuk mencari beberapa kad untuk mereka yang masih dalam ingatan.

Aku boleh sahaja mengirimkan ucapan melalui emel, laman sesawang, mahupun SMS, tetapi bukankah perasaannya lebih indah melalui tulisan pada kad raya yang boleh ditatap untuk kenang-kenangan. Aku masih menyimpan kad raya kiriman auntie phia sejak beberapa tahun dulu sehinggalah yang terbaru dua hari lepas. Ingatan yang tidak pernah dia lupakan.

Kad raya paling comel untuk tahun ini, kad raya kucing (mengapa mesti memilih kucing untuk aku.. huhuhu) yang telah mengundang senyum. Mana tidaknya, kali terakhir, aku menerima kiriman kad raya untuk yang 'gambarajahnya' begini ketika di bangku sekolah. Dulu ketika masih di alam itu, sebahagian besar kad raya yang diterima adalah kad raya berlatarkan tulisan kartun yang mudah dan lucu. Itu yang lebih tertarik.

Untuk yang mengirim mahupun yang membalas kad ucapan raya itu, rasa terima kasih aku dahulukan. :)

[Paling istimewa menerima kireman kad raya dari sahabat yang ter-sohor di-dada suratkhabar..]

Wednesday, September 16, 2009

~ RABU YANG GERHANA ~

Seawal pagi, ada yang sudah mengacau tenteram yang aku miliki. Menjentik rasa marah sehinggakan sepanjang hari aku menahan merah muka. Sedaya upaya cuba mengawal diri agar 'tuturan' di dalam hati yang begitu nyaring itu tidak sampai didengar mereka sekeliling.

Aku marah. Benar-benar marah. Lalu aku diam. Tidak mahu bertingkah 'gila' walaupun aku ada alasan kukuh untuk menjadi 'gila'. Sungguh, aku tidak terbiasa meluahkan kemarahan seperti kawan-kawan lain. Sudahnya, untuk melepas sesak yang bersarang, aku perlu mencari senyap. Ke unta hitamku. Beberapa ketika menarik nafas panjang. Ada air mata yang mahu tumpah rupa-rupanya. Ermm... kalaulah aku boleh bersuara seperti kamu semua.

Rabuku menjadi gerhana sudahnya. Segalanya sudah menjadi tidak enak. Senyum juga sudah tidak ada serinya. Manakan tidak, ikhlasnya sudah jauh terpisah. Ermmm.... 'stress'. Susahnya menjadi orang yang diam. Orang yang diam ini seringnya menjadi bahan untuk dipijak-pijak keras. Kesempatan juga tanpa bantahan. Seperti aku... yang sentiasa di ambil kesempatan atas kesenyapan dan yang sentiasa menikus untuk membantah. Malang.

[Kepada kamu yang suka me-mijak, bagi-mana kalau suatu masa nanti, aku juga me-mileh untok turot me-mijak? Dan kamu men-jadi per-cobaan per-tama buat-ku. Ermm...]

Monday, September 14, 2009

~ MEMENUH PELAWAAN ~


SUNGGUH, aku merasa serba salah untuk menolak pelawaan rakan-rakan dekat untuk berbuka puasa. Bukan sekali-dua tetapi beberapa kali. Jujur, aku sendiri merasa kurang senang dengan keadaan itu. Tetapi apakan daya, ia sungguh tidak mampu terelakkan.

Sahabat kecil separuh merajuk apabila beberapa kali janji untuk berbuka puasa bersama tertunda termasuklah hari ini. Begitu juga dengan auntie Phia yang beriya mahu aku menyertainya untuk acara berbuka puasa bersama-sama anak-anak kurang bernasib baik yang sering dia anjurkan saban tahun.

Sedar tak sedar, hari ini telahpun masuk minggu terakhir bulan Ramadhan. Sekejap saja waktu berlalu. Justeru, aku berharap sangat agar dapat memenuh janji dan mencari sedikit keluangan untuk berbuka puasa bersama rakan dan sahabat dekat dalam beberapa hari ini sebelum pulang ke kampung nun di pantai timur semenanjung tanahair jumaat nanti.

Tidak punya kesempatan berbuka dengan sahabat mei, juga si scorpio yang sepatutnya memenuh janji sabtu lalu. Apapun, kita cuba carikan keluangan di hari-hari terakhir Ramadhan ini dengan sebaik mungkin untuk mengeratkan silaturrahim yang terjalin. :)

[Ter-capai haserat untok ber-buka puasa char kuetiaw kegemaran di-tempat kegemaran, rabu lalu.. ]

Sunday, September 13, 2009

~ BERDAMPING SI SEPET ~


MENGISI satu hari untuk berdampingan dengan teman jiwa. Sejak akhir-akhir ini, kami jarang bertemu dan lebih banyak berkomunikasi melalui telefon. Urusan pekerjaan benar-benar membuat himpit. Apatah lagi dia juga nun jauh di selatan semenanjung tanahair. Justeru, kesempatan untuk berdamping sangat-sangat terbatas. Sepanjang 23 hari menjalani ibadah puasa, hanya 5 kali sahaja kami sempat berbuka puasa bersama. Selebihnya, tenggelam dengan kesibukan urusan pekerjaan yang berganda bebannya pada bulan puasa ini.

Perkara pertama yang dia kongsikan sebaik berdamping, tentang puasanya. Katanya, sehingga hari ini, dia masih berpuasa penuh. Tidak lagi lompang seperti mana tahun lalu di mana dia terkalah dengan rakan-rakan lain yang membuka ruang rutin kepadanya. Senyum panjang, aku menumpang bangga. Sungguh, aku tidak pernah menyuruh apatah lagi memaksa, tetapi dia yang dengan rela hati mahu mencuba.

Perjalanan kami hari ini agak panjang dan perjalanan itu terisi dengan bicara yang agak panjang juga. Bicara yang lebih serius dari biasa... yang buat aku mahu terdiam panjang. Mahu mengunci diri dengan penuh senyap. "I teringin sangat nak beraya dengan u pagi raya.. nak pakai baju melayu merah yang u suka.. tapi..." aku memandang tepat ke wajah sepetnya. "ermm.. tapi bila entah.." dia mengalih pandangan jauh ke perut jalanraya yang penuh sesak dengan kenderaan. Senyap hening. Aku tidak membuat sebarang jawapan. Memujuk juga tidak. Hanya ada getar memikir-mikir perkataan terbaik untuk dikeluarkan dari bibir ini untuk difahami jelas lelaki kesayangan ini. Namun, sehingga ke sudah aku tidak berkata apa.

Saat ini, aku benar-benar berserah pada jodoh. Tidak lagi mengatur-atur harapan tinggi seperti mana yang sering aku lakukan sebelum ini. Mahu lebih adil kepadanya. Sudah cukup lama dia menunggu. Ketetapan ayah masih tidak berubah. Ketetapan aku? Ermmm... Aku sangat mewarisi sikap degil dan keras hati ayah. Lalu bagaimana?

[Tanam pinang rapat-rapat agar puyoh tak dapat lari...]

~ LASYKAR PELANGI & MARYAMAH KARPOV ~


TAJUK : Lasykar Pelangi
KARYA : Andrea Hirata
PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN : 456
HARGA : RM28.00

“Selamilah kehidupan mereka, kejujuran pemikiran dan indahnya pengembaraan mereka. Anda akan tertawa, menangis dan tersentuh menghayati gelagat mereka. Novel ini dipersembahkan untuk mereka yang meyakini the magic of childhood memories dan untuk mereka yang masih percaya akan adanya pintu keajaiban lain untuk mengubah dunia pendidikan. …”


TAJUK : Maryamah Karpov
KARYA : Andrea Hirata
PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN : 471
HARGA : RM26.00

“Kisah ilmu yang mengilhamkan di tengah ilmuwan yang menyedarkan. Selepas ‘Lasykar Pelangi’ kehadiran ‘Maryamah Karpov’ ini sangat disambut. Ternyata karya terbaru Andrea Hirata ini semakin ranum, malah mengkagumkan…”

AKHIRNYA setelah lama turun-naik gedung pembacaan mencari, berjaya juga aku mencukupkan tetralogi novel tulisan Andrea Hirata yang sentiasa membekas. Sebelum ini aku hanya memiliki novel kedua, Sang pemimpi dan novel ketiga, Edensor. Nah... hari ini novel pertamanya, Lasykar Pelangi dan novel terakhir, Maryamah Karpov sudah ada di tangan. Huh... kegembiraan yang tidak terfahamkan kamu barangkali.

['Aku binatang jalang, aku hidup seribu tahun lagi...' - Mau menelaah Chairil Anwar...]

Saturday, September 12, 2009

~ HARUS BAGAIMANA AKU ~


KUALA LUMPUR, senyumanmu di pagi ini…’ Itulah bait lagu yang merakam kemas segala yang indah dulu. Hari ini Kula Lumpur tersenyum lagi.. senyum melihat gagalku ke wajahmu. Benarnya, kala memberi nokhtah pada kita yang dulu, aku telah membuang segala-galanya. Sedikit tidak kutinggalkan agar cemeti tidak galak melibas hati. Lantas wajahmu hari ini yang menyinggah pandanganku, tidak terkesan. Bertahun telah hilang.. muncul sesiar angin ini manakan ku sangka.

Namun, tatkala senyumanmu menjengah tepat, aku terdiam seribu. Ya Allah.. manusia ini muncul lagi! Bertahun ku menutup cerita, hari ini menatap lagi?? Harus bagaimana aku ini…Mengapa datang lagi? Aku yang bersenyum hari ini, bukan lagi aku yang melagukan SENYUM KUALA LUMPUR bersamamu dulu. Aku yang ada hari ini telah memahat janji bersama insan lain… Seperti hatimu yang jua telah menjadi milik orang…

Lantas apa lagi yang diharap pada sebuah pertemuan ini? Janji? Tawa? Atau luka yang bakinya tak pernah habis? Apa perlunya lagi mengisi pandanganku…Usah kau beratkan hidupku yang sudah sekian lama berat ini. Sejak pergimu, aku memberatkan diri di setiap inci. Bermusim menutup pandangan pada kenangan lalu. Keras memaksa diri. Namun kini setelah senyum terkutip, kau menjengah…Harus bagaimana aku? Harus bagaimana dia? Ermm.. Aku perlukan waras ini untuk menempuhi hari-hariku…

[Tidak mau ber-mimpi lagi... dan lagi...]

Friday, September 11, 2009

~ PAPADOM, PAPAKU ~



AKU sememangnya tidak pernah ketinggalan menonton filem garapan Afdlin Shauki. Aku suka. Justeru, kesukaan itu mungkin akan banyak mempengaruhi ulasan (kalau boleh dipanggil sebagai ulasan) aku untuk filem ini, Papadom. Filem yang telah terlebih dahulu di angkat memenangi 5 anugerah di Festival Filem Malaysia yang ke-22 baru-baru ini sebelum menjengah pawagam pada 8hb Oktober nanti.

Aku sukakan lawak bersahaja Afdlin. Itu paling nombor satu. Dia tidak pernah gagal dari aspek itu. Berbeza dengan filem-filem terdahulu, Papadom lebih melekat selepas Buli. Tema kasih sayang yang diketengahkan itu sungguh membekas. Entah kenapa pula aku tiba-tiba sahaja terkenang arwah Yasmin. Sentuhan Afdlin kali ini (sangat berbeza) seperti mahu meneruskan kesinambungan gagasan arwah Yasmin. Aku tidak peduli jika kamu tidak bersetuju tentangnya kerana ini hanyalah pendapat peribadiku semata-mata. Yaa.. itu yang aku rasakan. Sungguh, aku tak tipu. Ada bayangan sentuhan arwah Yasmin dalam garapan Afdlin kali ini (atau mungkin kerana aku rindukan karya arwah Yasmin).

Aku seperti sangat mengerti perasaan Miasara (lakonan pelakon comel, Liyana Jasmay). Aku pernah dan sedang melalui situasi itu walaupun tidak sebegitu 'ketat dan berat' seperti yang dia lalui. Pernah baru-baru ini, seorang sahabat bertanya kepadaku, "tak teringin ke nak hidup macam orang lain? Duduk sendiri, punya kebebasan sendiri? Dah besar panjang, masih mahu bergantung pada keluarga. Bila mahu berdikari?" Yaa.. itu antara bunyi dialog yang dituturkan rabu lalu ketika kami punya kesempatan untuk berbuka puasa dan duduk bercerita. Aku tersenyum dan tidak berhasrat membuat jawapan. Errmm.. Aku kira, dia perlu menonton Papadom dan dia akan mengerti.

Berbalik kepada Papadom, jalan ceritanya sangat menarik sekali. Dialognya jujur, bersahaja dan dekat. Ia tentang kasih sayang tersembunyi seorang bapa kepada anak yang mengatasi segala-galanya. Disampaikan dengan cara yang cukup santai dan mesra. Tidak seperti drama berat TV yang memaksa penonton menangis dan meratap kala menghujah tema begini (Arghh.. drama Melayu memang begitu...).

Papadom lain. Tiada apapun yang dipaksa. Terpulang kamu sama ada mahu ketawa ataupun menangis. Kedua-dua rasa itu tidak salah ketika menonton filem ini. Ia memang berada dalam situasi yang tepat pada duduknya. Begitu banyak yang menggeletek hati. Dalam waktu yang sama turut menyentuh hati. Hati yang dalam. Apa yang paling pasti, kasih sayang itu besar duduknya. Malah, jutawan manapun takkan mampu menawar harga. Itu yang aku faham.

Liyana Jasmay sangat tepat untuk watak Miasara (sama ada tepat atau tidak dinobatkan sebagai pelakon wanita terbaik melalui filem ini, aku tidak mahu mengulas tentang itu...). Apapun, Liyana-Afdlin adalah gandingan anak dan ayah yang sangat comel. Pun begitu, entah kenapa aku terlalu sukakan watak Nor Khiriah. Dia sangat-sangat menghiburkan aku. Aku tidak pasti apakah aku akan terhibur dengan rasa yang sama jika watak itu di dokong oleh pelakon lain. Tabik hormat untuk Khiriah. Juga untuk kemunculan Harun Salim Bachik. Bersahaja tetapi sangat mencuit hati.

Babak paling mencuit hati :
Khiriah menari dengan gaya yang sangat comel (sungguh tak tipu)
Babak paling menyentuh hati :

Filem pendek arahan Miasara
Pelakon yang paling menghiburkan :

Nor Khiriah
Dialog yang dekat dan mencuit :
"Anak saya dapat 20A, anak awak adaaa?"
Watak yang tidak kena :

Scha (Scha seperti tidak sesuai membawakan watak ini)
Yang streotype :

Pelajar perempuan yang berebutkan lelaki yang sama di kolej
Yang menjadi tandatanya :

Sejak bila UiTM ada pelajar berbangsa Cina?

[RM10 kamu sangat ber-baloi untok Papadom...]

Thursday, September 10, 2009

~ SEBIJI BAWANG ~

"DIA ni banyak rahsialah.." Begitu kata spontan daripada seorang yang 'genius' sambil ketawa. Aku mengangkat bahu lalu ketawa juga. Rahsia? Tidak juga. Cuma mungkin aku ini orangnya kurang pandai untuk bercerita. Pemalu juga barangkali. Justeru, tidak banyaklah yang terkongsi tentang diri. Tetapi disebabkan seorang yang 'genius' ini sangat pandai menyusun puzzle, maka dia telah berjaya membongkar rahsiaku. Iyalah kata 'genius' kan.. :)

Padaku, mengenali seseorang itu samalah seperti kita melihat sebiji bawang. Kita tidak boleh untuk terus melihat ke lapisan paling dalam, sebaliknya ia perlu kepada proses selapis demi selapis. Mengambil sedikit masa. Justeru, samalah jugalah halnya dengan aku. Tanpa perlu aku berceritapun, tentu sahaja aku mampu dibaca (dikenali) dengan jelas oleh orang-orang yang berkeliling dekat andai diperhatikan dengan sedikit masa.. seperti bawang.

[Sangat-2 suka ber-maen puzzle..]

Wednesday, September 09, 2009

~ SMS ~

ERMMM... bukan kali pertama, tetapi kerap kali juga. Aku mahu mengirimkan SMS kepada orang lain, tetapi aku menekan nama penerima yang lain. Err... hari ini terjadi lagi. Beberapa minit setelah aku mengirimkan SMS yang isinya agak 'manis' daripada biasa kepada seseorang, aku menerima kiriman balas SMS yang bunyinya separuh mengusik. Grrr... setelah diperhati keras nama pengirim balas itu, owhh Tuhan... MALU.

Aku ada cara tersendiri membalas mesej di telefon bimbit. Menggunakan cara yang paling ringkas dan mudah bagiku. Dan cara itu juga yang membuatkan aku mudah tersalah menekan penerima SMS juga.

Pernah satu ketika, aku mahu menghantarkan SMS kepada seorang rakan untuk menolak pelawaannya keluar minum. Isi SMSnya berkait alasan jelas atas penolakan itu. Tentu sahaja kerana takutkan peraturan abang. Lalu aku sedikit merungut tentang peraturan itu yang aku sifatkan tidak relevan lagi atas usiaku yang bukan lagi anak-anak kecil yang harus di layan begitu.

Apa yang terjadi? SMS yang sepatutnya untuk seorang rakan itu telah tersasar penerimanya. Entah bagaimana, aku telah menekan nombor abang sebagai penerimanya. Ya ampunnnnn.... Apa yang berlaku seterusnya??? Errr.... biarlah aku simpan sahaja cerita itu yaa... :)

[Sangat aman ber-debat dan ber-tikam melalui SMS...]

Tuesday, September 08, 2009

~ DARI CHAR KUETIAW KEPADA NATRAH ~

KEMPUNAN Char kuetiaw... Ermmm... sedikit terkilan. Pelawaan yang tiba-tiba datang dan tiba-tiba juga lenyap. Bukan rezeki barangkali... :(

Hari ini aku berbuka puasa di majlis ramai atas urusan pekerjaan. Di jalan Bangsar ini, juadahnya serba mewah. Disediakan pula oleh sang profesional. Semuanya menggoda selera, menggoda iman dan menggoda rasa.

Ermm... namun, ia sedikitpun tidak mengesankan aku kerana yang ada dalam kepalaku saat itu, mahu menjamah char kuetiaw kegemaran di tempat kegemaran. Itu yang lebih mendatangkan selera. Keinginan yang datang melalui perlawaan seorang sahabat dan kemudiannya membatalkan pada saat akhir... :(

Mungkin kerana terkilan dengan char kuetiaw yang dijanjikan, aku sekadar berbuka puasa dengan menjamah juadah yang paling minimal dan pulang meninggalkan ruang itu lebih awal. Lebih memilih untuk menghabiskan masa di gedung pembacaan di lantai paling bawah. Lama juga aku mentelaah di situ sehinggalah tiba waktu penutupan premis itu.

Natrah. Itu kisah yang menjadi ketertarikanku pada hari ini. Aku tidak tahu banyak tentang wanita Belanda yang menjadi kontroversi dalam sejarah ini. Namun, sejak kematiannya awal Julai lalu, aku terasa mahu mengenali siapa dia dengan lebih dekat. Justeru, aku menyelongkar beberapa rak di gedung pembacaan ini untuk mendapat isinya.

Saat tekun membaca isi pengkisahan Natrah ini, seseorang yang tidak dikenali menyapaku tentang itu. Mungkin kerana ketekunan dan kekusyukanku, mungkin kerana dia juga punya ketarikan yang sama atau mungkin sekadar mahu bersapa-sapa. Arghh... apapun niat asalnya itu, dia telah memberikan pendapat tentang Natrah dengan begitu mengesankan sekali. Aku tertarik.

[Apa-bila rasa yang tiba-2 ter-henti... ermm...]

Monday, September 07, 2009

~ MENGGELENGKAN KEPALA ~

AKU menggeleng-gelengkan kepala. Tanda tidak setuju. Sungguh alasannya kukuh dan bukan sebarang, aku tetap juga tidak setuju. Kalaupun benar 'tidak dapat' berpuasa (untuk golongan yang sekaumku) sekalipun, tidak perlulah memberitahu dan menunjukkan pada orang keliling.

Al kisahnya tentang gelagat rakan-rakan pekerjaan yang sedang 'bercuti' daripada berpuasa. Menggunakan 'lesen' itu tanpa sedikitpun rasa malu dan menghormati orang lain, mereka keluar makan tengahari seperti lazim bulan biasa. Malah, dengan bangganya mewarwarkan tentang 'percutian' mereka itu pada orang keliling. Dengan harapan tidak disoalkan tentang keselambaan mereka untuk singgah berurusan di premis makanan segera itu.

Malu. Aku masih berat dengan rasa itu. Sejak dari kecil lagi, ibu telah menerapkan nilai itu dengan begitu tebal dalam diri. Jika aku sendiri dalam tempoh 'percutian' itu, aku tidak akan pernah membuka mulut tentang hal itu. Terutama sekali kepada kaum lelaki yakni ayah, adik lelaki, apatah lagi kawan-kawan lelaki yang lainnya.

'Percutian' itu sesuatu yang begitu peribadi untuk kaum perempuan. Itu yang di pesankan ibu. Malah, andai 'bercuti' di bulan puasa begini, pasti tiada sesiapapun yang dapat menghidu tentangnya. Perasaan 'malu' kerana tidak dapat berpuasa itu sangat mengatasi segala-galanya.

Namun, lain pula yang terjadi pada mereka ini. Perasaan malu itu telah bertukar menjadi sebuah kebanggaan besar. Bercerita (tentang percutian itu) dan makan minum di bulan puasa tanpa ada silu. Usah dipertikaikan kerana mereka ada 'lesen''. Huh...

Untuk kamu yang mungkin juga dalam kumpulan yang dimaksudkan aku, peliharalah sedikit rasa silu. Itu pesan yang paling percuma daripadaku.

[Sering men-jadi tikos pada bulan puasa...]

Sunday, September 06, 2009

~ TIGA TAHUN TIGA KALI... ~


PERTAMA TANPANYA
(Obsesi buat arwah D)

Bila pertama tanpanya
Merai Ramadhan
Merai Syawal
Hati menjadi diam
Kenangan bertalu datang
Seolah hanya dia teman bersembang

Bila pertama tanpanya
Merai Ramadhan
Merai Syawal
Ingatan semakin kejap
Walau telah henti berharap
Senyumnya masih lekat

Bila pertama tanpanya
Merai Ramadhan
Merai Syawal
Banyak mahu yang beratur
Sedang dulu ia bertabur
Melihat di sisi dengan kabur

Bila pertama tanpanya
Merai Ramadhan
Merai Syawal
Terasa besar kehilangan
Seperti terlalu perlu dia bertandang
Untuk memberi senyum yang panjang…

Bila Ramadhan
Bila Syawal
Bila pertama tanpanya
Aku diam
Aku bungkam
Aku hilang

PUISI diatas ditulis tiga tahun lalu. Saat itu aku benar-benar merasa kehilangan pada ketika pertama kali meraikan aidilfitri pertama tanpa arwah. Tahun ini, sudah tiga tahun tanpa dia. Yaa, tiga tahun.. tiga kali. Namun, entah kenapa aku tetap merasakan seperti baru pertama kali tanpa dia di Aidilfitri.

[Al Fatihah... mudah-mudahan ber-semadi dengan aman kamu di-sana yaa, D.. aminnn..]

Saturday, September 05, 2009

~ KAD RAYA ~


AKU tersenyum... dan masih tersenyum. Melihat gelagat si kecil yang beriya sekali menulis kad raya untuk rakan-rakan sekolahnya. Antara yang menarik perhatianku, sekeping kad yang ditujukan buat rakan baiknya. Dia menulis dengan sepenuh hatinya yang jujur. Besar dia melihat dan menghargai persahabatannya. Berkali-kali aku membaca tulisannya. Penuh keikhlasan yang tentunya benar-benar dimaksudkannya.

AKU : Kenapa susah-susah beli kad?
AKU : SMS jerlaa.. ucap hari raya. Kan senang.. (aku mengujinya)
SI KECIL : Dina suka baca kad raya, Dina rasa mesti semua orang pun suka juga.
SI KECIL : Kalau kita sayang kawan kita, kita kenalah antar kad raya.
SI KECIL : Kalau kita tak berapa sayang, kita SMS..

Jawapan spontannya itu membuat aku tergelak kecil. Dia sering membuat aku berfikir panjang. Dunia kanak-kanaknya yang penuh jujur itu sering memberikan sesuatu untukku.

[Tahon ini, aku hanya mem-balas kad raya..]

Friday, September 04, 2009

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN VIRGO ~


Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kakak...
Allah Selamatkan Kamu...

Selamat hari ulangtahun kelahiran (4hb September) buat kakak yang teramat-amat-amat aku sayangi. Semoga dipanjangkan umur, dipelihara segala laku dan rasa, dipermudahkan dalam segala urusan seharian dan di mudahkan rezeki. Juga mudah-mudahan apa yang kakak impikan benar berada di genggaman. Aminnn...


TERIMA KASIH kerana menjadi seorang kakak dan juga sahabat yang begitu memahami dan mengambil berat. Adikmu ini tetap sayangggg sama kamu sampai hujung usia. Sesungguhnya kasih sayang kita sekeluarga mahalnya tidak terjual di mana-mana. Jutawan mana sekalipun, tidakkan mampu menyebut harga.

Kakak yang seorang ini sebenarnya banyak sekali mewarisi sifat-sifat ibu. Justeru, dia dekat seperti mana aku dekat sama ibu. Aku tahu dia sayangkan aku.. tetapi aku lagi berharap aku lebih-lebih lagi sayangkan dia. Aku mahu mewarisi sikap kakak.. mahu mencontohi yang baik-baik dari dia. Seperti dulu yang ayah selalu sebutkan kepadaku. "Contohi kakak.." Yaa ayah, aku sentiasa mahu mencontohinya...

[Cemburu sama si-kechil yang mem-bikin sendiri kad ucapan istimewa buat mama-nya yang ter-sayang itu.. sedang aku maseh men-chari pem-berian yang paling sesuai..]

Thursday, September 03, 2009

~ BUKAN REZEKI ~


LUCU. Kasihan juga ada. Bukan pada orang lain, tetapi pada diri sendiri. Ceritanya tentang sehelai baju. Alkisahnya, aku telah membeli baju (kerja) ini sejak Mei lalu. Ketika itu kebetulan turun naik gedung bersama AA dan sahabat kecil.

Entah apa kekalutannya, aku tertinggal baju yang baru dibeli ini di kereta sahabat kecil. Dari keretanya, berpindah pula ke rumahnya. Sentiasa dia mengingatkan aku untuk mengambil baju itu tetapi bagai biasa, 'lupa'. Bukan aku tidak pernah bertandang ke rumahnya, tetapi sentiasa terlupa tentangnya sehinggalah awal Ogos lalu.

Sebentar tadi, aku tiba-tiba teringat tentang baju itu yang elok tersimpan di dalam almari. Mahu cuba memakainya pagi nanti, aku dengan senang hati menyiapkannya terlebih dahulu. Kebetulannya pagi ini aku bangun lebih awal dari biasa dan bercadang mahu ke tempat pekerjaan lebih awal juga. Tiba-tiba zassssssssss... hangus dek kuatnya seterika yang laju berjalan ke atasnya tanpa perhatian wajar. Grrr...

[Kalau sudah memang bukan rezeki... Yaa.. yaa. bukan rezeki aku..]

Wednesday, September 02, 2009

~ PERMAINAN ~


TERPERANGKAP lagi dalam soal percaya-mempercaya ini. Jujurnya, aku ini seorang yang jarang sekali mahu bersangka buruk. Seperti mana yang sering aku katakan, aku ini orangnya sering sahaja melihat putih sehingga kadang-kala terlupa hitam juga adalah warna yang wujud dalam kehidupan.

Awal pagi tadi, seseorang telah menarik tanganku. Diajak untuk bercerita tentang sesuatu. Sesuatu yang melibatkan seseorang yang aku kenali baik. Cerita hitam. Walau tidak terlalu hitam, tetapi ia hitam. Aku diberikan nasihat percuma agar berhati-hati dengan seseorang ini sebelum terpalit apa-apa yang memudaratkan diri. Aku hanya mendengar, mengangguk-ngangguk. Berterima kasih juga kerana memberi aku nasihat itu dengan sepercumanya. Tapi jujurnya, aku penat untuk berdepan dengan hal-hal yang sebegini.

Ermmm... resam hidup hari ini ya. Meletakkan kepentingan diri paling atas di junjungan batu jemala. Entahlah... sejak di tempat pekerjaan baru ini, aku banyak belajar perkara baru tentang kehidupan. Di sini, semua orang ada 'permainan' masing-masing. Menang atau tidak, tetapi harus dalam 'permainan' itu. Mujurnya, aku ini sentiasa 'terlepas' daripada 'permainan' itu.

Kata rakan tadi, "aku tidak mahu kau menjadi mangsa permainan mereka... Taruhkan syakwasangka kepada mereka. Kalau tidak banyakpun, sedikit.." Kata-katanya itu aku bawa pulang sehingga ke rumah. Sehingga saat ini. Ermm... kenapa yaa mahu mengusik aku yang tidak pernah mahu mengusik kamu? Grr...

[Bila merah yang di-baca dengan biru...]

Tuesday, September 01, 2009

~ TIDAK TERKALAH ~

SEPATUTNYA hari ini aku berehat sahaja di rumah setelah mendapat cuti sakit daripada encik doktor yang sangat memahami. Sejak pagi semalam aku terlantar senyap di katil. Sakit kepala pada tahap yang melampau-lampau sehinggakan perut juga sepertinya mahu memuntahkan segala isi di dalamnya. Mujur aku dapat bertahan dan meneruskan puasa sehingga ke hujungnya.

Bangun pada pagi ini, masih dengan rasa yang sama, sedikitpun tidak berkurang. Namun, mengenangkan aku perlu melunaskan kerja yang punya tarikh matinya pada Rabu ini, maka aku gagahkan jua diri ke tempat pekerjaan. Memandu dalam keadaan separuh sedar. Mujur perjalanan di permudahkan.

Jam 7.30 pagi, aku sudah di meja. Mengadap skrin komputer yang tambah menghenyak urat saraf di kepala. Beberapa kali juga aku merasa gelap mata sebelum laju menyambung urus pekerjaan. Hampir-hampir sahaja aku mahu berbuka puasa dan mengaku kalah kerana tidak mampu bertahan.

Aku membatalkan hasrat untuk mengambil cuti separuh hari dan meneruskan urus pekerjaan sehingga habis waktu. Mujur en boss kali ini memahami keadaan diri dan memberi sedikit ruang untuk aku 'bermalas-malasan' pada hari ini seusai urus yang punya tarikh mati itu.

[Ermmm.. banyak-nya dugaan dan cabaran yang men-depani aku pada puasa tahon ini...]