Monday, August 31, 2009

~ TANGGAL 31 ~


TANGGAL 31
by sudirman

Tanggal 31

Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka ! Merdeka !
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka

Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka !
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka


MERDEKA! Merdeka! Merdeka! Itu laungan keramat dari Tunku Abd Rahaman Putra Al Haj pada 31 Ogos, 52 tahun yang lalu. Aku meminjam dengar dan meminjam baca pengkisahan untuk peristiwa itu sehingga hari ini. Perit jerih... suka duka... hingar bingar.. semuanya bersatu dalam rasa. Rasa ingin bebas dan merdeka dalam menentukan arah hidup diri, bangsa dan negara.

Itu cerita dulu. Bagaimana dengan cerita hari ini? Apakah laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! itu memberi sebarang pengertian? Sebarang rasa? Jika soalan itu dipalingkan kepada aku, dengan jujur aku mahu menjawab. Aku tiada rasa apa-apa. Aku tiada pengertian apa-apa.

Ermm... Aku mahu merdeka. Tapi bagaimana ya.. Merdeka yang bagaimana? Merdeka seperti mana yang dijuangkan oleh Tunku Abd Rahman dan tokoh-tokoh negara yang dulukah? Atau merdeka seperti mana yang rakan-rakan laungkan selepas konsert di Dataran Merdeka, KLCC dan Putrajayakah? Atau merdeka yang aku raikan bersama teman jiwa di Bangsar setiap tahun (kecuali tahun ini) ? Ermmm..

Selamat Hari Kemerdekaan Negara yang ke-52... MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

[Mau dudok di-dataran merdeka pada malam hari-nya sambil menyaksi-kan jam besar di-bangunan Sultan Abd Samad dengan kerdip lampu yang menyenang-kan...]

Sunday, August 30, 2009

~ PALING MINIMA ~

MENSYUKURI nikmat Ramadhan dan rezeki yang diberikan Allah buat diri dan keluarga. Hari kelapan berpuasa dan hari ini pertama kalinya aku merasakan aku berbuka puasa dengan begitu beriya sekali. Kenyang sehingga tidak mampu lagi menjamah apapun.

Hidangannya ringkas. Aku memilih yang paling minima. Menu itu merupakan menu kegemaran kami sekeluarga setiap kali bulan puasa. Terkenang ibu. Sangat-sangat mirip masakan ibu. Selera menjadi besar walaupun dengan juadah yang sangat minima itu. :).

Aku tidak pernah susah soal makan. Aku tidak pernah cerewet tentang hal itu. Tetapi lain pula kata mereka yang dekat. Mereka pening melayan karenahku dalam soal yang satu ini. Aku melepas tawa. Perlu mengenal aku lebih barangkali.

[Belom punya kesempatan ber-buka puasa ber-sama teman jhiwa.. ermm...]

Friday, August 28, 2009

~ MENJADI BAHAN LUCU ~

PEMALU. Dulu aku memang seorang yang pemalu, tetapi sekarang tidak lagi (mungkin). Barangkali perubahan itu terjadi kerana tuntutan pekerjaanku sendiri yang tidak boleh bermalu-malu. Kalau dulu, aku sangat-sangat berat mulut orangnya. Payah sekali mahu membuka mulut untuk memulakan bicara dengan sesiapapun, kecuali teman yang rapat dan dekat sahaja. Jadilah aku manusia yang agak diam berbanding dengan adik-beradik yang lain yang begitu ramah-tamah orangnya mewarisi sikap ayah dan ibu.

Sifat pendiam dan pemalu itu kekal sehingga aku menuntut di Universiti. Aku tidak ramai kawan kerana aku pendiam. Aku juga tidak begitu aktif dengan kegiatan di kolej kerana aku seorang yang pemalu. Arghh... bunyinya aku ini seperti bermasalah benar orangnya.. :) tetapi alhamdulillah, aku layak tinggal di kolej kediaman sehingga tahun akhir kerana aku turut menyumbang dengan cara yang lain.. (cara yang sah dan benar yaa..).

Masuk ke bidang pekerjaan, aku ringan mulut sedikit. Apatah lagi bidang pekerjaanku memang memerlukan aku begitu. Lama-kelamaan, aku berubah sedikit demi sedikit dan kemudiannya aku rasakan ia berubah dengan banyak sekali jika mahu dibandingkan dengan dulu. Malah, dua bulan lalu, kala bersua teman seuniversiti, dia sempat berbisik kepadaku sebelum melambai pergi. Katanya aku sudah banyak berubah. Bukan berubah apa, mungkin lebih banyak bercakap daripada dulu. Jika dulu, aku ini lebih bisu daripada orang yang sebenarnya bisu.

Aku percaya dengan kata-katanya itu kerana ku juga mersakan perkara yang sama. Tetapi bagaimana ramah dan berubah yang aku rasakan saat ini pun, masih ada yang orang dikelilingku ini masih mengkategorikan aku sebagai seorang yang pemalu dan pendiam. Di tempat pekerjaan baru ini terutamanya. Arghh....

Semalam ada sesi bergambar di jabatan kami untuk tujuan hari raya. Justeru, semua wajib bergambar secara berkumpulan dan solo. Foto itu akan dibidik oleh jurufoto profesional yang juga rakan kenalanku yang sudah sedia maklum akan sikapku yang tidak suka bergambar (arghh kesempatan untuknya mengenakan aku...). Aku terperangkap dan tidak dapat melarikan diri. Huhuhu.. sungguh aku terasa mahu menangis apabila menjadi bahan tontonan begitu kerana ramai manusia yang menonton sesi itu. Umpamanya aku ini berada di dalam akuarium yang dikeliling dipenuhi mata manusia.

Menunggu giliran untuk bergambar solo itu umpama menunggu giliran untuk menerima hukuman hakim di Mahkamah. Seram sejuk tangan, muka pucat lesi dan badan separuh menggeletar. Begitu terukkah situasi yang begitu menyeronokkan rakan-rakan lain itu? Ini kisah dan cerita benar. Itulah aku. Mungkin jika sesi itu tidak menjadi tontonan, aku sedikit selesa. Mungkin jika sesi itu tidak dijanjikan untuk dicetak banyak untuk dikongsi kepada mata umum, aku akan lebih tenang. Mungkin jika rakan-rakanku tidak mengusikku keras (semua mereka tahu aku suka mengelak untuk sesi ini), aku hilang gemuruh. Tetapi mereka mungkin seronok untuk menyaksikan aku yang disifatkan pemalu ini, beraksi di depan lensa kamera dengan tangan yang seram sejuk.

Aku tahu, bunyinya mungkin lucu bagi sesetengah kamu. Juga kepada mereka yang tidak mengenaliku dekat. Aku suka dengan kamera, sangat-sangat suka sebenarnya. Ia merupakan antara barang kesayanganku yang wajib ada di dalam beg sebaik aku melangkah keluar dari rumah. Aku suka membidik apa sahaja yang ada di depan mata... kerana hasil bidikan itu lazimnya sentiasa hadir dengan cerita. Cuma, aku jarang sekali mahu membidik atau membiarkan foto sendiri dibidik orang. Kalau adapun, ia sekadar tatapan untuk mereka yang berkeliling dekat sahaja.

[Kamu tida' akan perenah lihat foto-ku di-ruang ini, atau di-laman Facebook sana.. buat masa ini mungkin..]

~ HUJAN YANG TIDAK MAHU BERHENTI ~


HUJAN lagi. Namun hari ini mencatat kenangan dan ceritanya yang tersendiri. Aku menerima jemputan untuk berbuka puasa di satu tempat yang begitu indah mata memandang. Kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Malah, ketika datangnya tadipun, aku tersesat entah kemana. Dalam hujan keras yang membasah bumi, tetap juga jalanraya berat itu aku selusuri. Selalu, kala dalam situasi yang begini, aku sudah menyerah.

Jam 6.28 petang, setelah tersalah tempat beberapa kali, kami tiba jua di tempat yang maksudkan. Masih hujan, kali ini renyai-renyai. Kami di jemput untuk berteduh seketika di tempat rehat di situ. Ini kerana tempat berbuka puasa yang disediakan (tempat terbuka tanpa bumbung) tidak dapat digunakan kerana basah dek hujan. Sayang sekali kerana begitu cantik dekorasi yang disiapkan di tengah kawasan luas terbuka itu.

Mungkin pada perkiraan pihak penganjur, hujan akan teduh sebelum berbuka puasa. Jadi sempatlah kami semua menggunakan tempat tersebut. Malangnya, sehingga waktu berbuka, selepas berbuka dan selepas Isyak pun, hujan masih belum reda. Justeru, kami semua beramai-ramai terpaksa berbuka di rumah rehat tersebut, termasuklah sekumpulan anak-anak yatim serta golongan yang namanya tersohor di dada akhbar dan majalah.

Seronok. Itu pengalaman pertama yang aku lalui dengan keindahan yang begitu. Walaupun terpaksa makan bersimpuh dan berlaga lutut di lantai (tempatnya memang sempit), namun ia memberikan rasa yang sangat istimewa. Kalau di kampung, ia seperti berbuka di Balai Raya. Dan seorang rakan pula berseloroh dengan mengatakan suasana berbuka puasa tadi tak ubah seperti mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan banjir. Dia membuat lucu, aku ketawa kecil.

Aku sekadar berbuka puasa dengan segelas air dan sebiji kuih onde-onde. Cukup sekadar itu. Bukan tidak selesa dengan suasana itu, tetapi tiba-tiba terasa segan untuk beriya berbuka seperti majlis biasa. Justeru, aku hanya membantu pihak penganjur melayan anak-anak yatim yang diraikan pada majlis ini untuk berbuka puasa dengan sempurna walaupun dalam suasana yang cukup kelam kabut kerana segala perancangan awal pihak penganjur telah bertukar. Kebanyakan juadah berbuka, cantik terletak di kawasan terbuka yang masih tertimpa hujan itu. Justeru, tidak semua yang boleh diangkat dan dibawa masuk ke atas rumah rehat ini.

Di ruang itulah tempat berbuka puasa, di situlah juga tempat kami solat Maghrib dan di situ jugalah pihak penganjur membuat sedikit aktiviti untuk anak-anak yang kurang bernasib baik itu. Semuanya terperangkap di rumah rehat itu kerana hujan tidak mahu berhenti. Namun, tiada rungutan padaku. Ini hujan rahmat. Hujan yang menyenangkan.

[Ter-kenang saat ber-buka puasa di-zaman anak-2... suasana sederhana yang di-lalui kami sa-keluarga. Ber-buka dengan juadah yang sangat menima.. tapi endah.. tapi ter-kenang..]

Thursday, August 27, 2009

~ TERIMA KASIH DAUN KELADI ~


SEPATUTNYA, hari ini aku perlu memenuhi janji untuk berbuka puasa di Royale Chulan Square. Namun, dek kerana hujan lebat membasah bumi dengan kenderaan di jalanraya yang luar biasa sesak dan padat, perjalanan ke sana tersekat. Tentu sekali aku tidak akan sampai setepat waktu berbuka puasa.

Justeru, unta hitamku menukar arah dan terhala ke arah BV. Ada pula sahabat setia yang sudi menemankan aku menjamah selera. Sahabat yang sentiasa ada kala perluku. Huhuhu.. malangnya aku seperti jarang ada kala perlunya. Sungguh tidak adil buat sahabat ini. Ermmm..

Sebelum meninggalkan gedung BV, kami turun naik lantai. Meninjau-ninjau apa yang menarik, andai ada yang tersangkut di hati. Selera tidak kena kerana aku suka memilih yang sederhana. Namun, tiba-tiba mata Brad menangkap sesuatu lalu, terus kepada jurujual. "Hadiah sempena aidilfitri," katanya sambil menghulurkan kepadaku. Uikkss.. gulp!

[Mau juga lebeh kerap men-jadi tangan yang mem-beri...]

Wednesday, August 26, 2009

~ DOA KESEJAHTERAAN ~


AKU termenung seketika membaca SMS daripada sahabat kecil. Berfikir-fikir mahu memberi respon apa. Aku bukan tidak percaya kepada hal-hal yang mistik atau 'misteri nusantara' seperti ini, tetapi janganlah keterlaluan sehingga ia menjadi besar dan mengikat seluruh gerak kaki kita.

Sahabat yang paling kecil ini kesihatannya tidak begitu mengizinkan sejak pertama puasa lagi. Malah termasuk hari ini, sudah 3 hari dia mendapat cuti sakit. Sehingga jari-jariku bercerita di sini, katanya tiada tanda-tanda sakitnya itu sudah berkurang. Malah semakin teruk. Menurut doktor yang merawatnya dua hari lalu, sakit tekak yang dialaminya itu hanyalah sakit biasa dan tiada apa yang memudaratkan. Dia hanya dibekalkan dengan antibiotik dan ubat penahan sakit.

Hakikatnya, menurut sahabat kecil dia langsung tidak mampu menelan segala jenis makanan. Malahan untuk meneguk secawan air pun dia tidak mampu. Jika dipaksa juga, segalanya itu akan termuntah kembali dengan teruk sekali. Sakit tekak itu menurutnya seperti ada berlaku luka di dalamnya dan sepertinya membengkak. Suaranya juga makin hilang. Ia juga membuatkan sahabat ini demam teruk. Apatah lagi dengan perutnya yang langsung tidak diisi itu, keadaan menjadi bertambah buruk. Lemah tidak bermaya.

Aduhh.. aku sungguh menaruh kasihan. Aku faham situasi sakitnya itu. Malah tidak sanggup juga melihat dia yang menahan kesakitan itu. Namun, apa yang boleh aku lakukan? Sekadar kata semangat dan membantu sekadar mampu.

"Aku jumpa jarum peniti kat rumah aku. Betul-betul depan TV. Sedangkan aku baru sahaja kemas rumah dan mop lantai sebersihnya. Tak tahu siapa punya. Dah sah-sah aku duduk sorang jer kat rumah ni. Aku takut ada yang cuba 'buat benda tak baik' kat aku jer.. Aku rasa lain macam.."

Aku tidak mahu memanjangkan prasangkanya dan mohon agar dia berfikir positif. Mungkin semuanya itu hanya mainan perasaannya semata. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini kami banyak diperdengar hal-hal yang seumpama itu. Justeru, tidak mustahil fikirannya juga terarah kepada itu.

Ermm... berharap, itu cuma sakit biasa. Mungkin dia perlu membuat pemeriksaan lebih details dengan sang doktor. Atau mungkin perlu memilih doktor yang lebih 'ikhlas' sedikit dalam kerja mereka. Ini kerana ada sesetengah doktor yang bersambil-lewa dalam kerja mereka. Maaf aku terpaksa tuturkan itu kerana aku pernah mengalami pengalaman yang 'memualkan' itu.

Periksa berlebih kurang, senaraikan beberapa jenis ubat dan mengirimkan pesanan 'penaja'.. "Kalau tak baik lagi dalam masa dua hari, sila datang lagi..." Huh... mustahil dia tidak tahu, dalam masa dua hari itu macam-macam perkara boleh berlaku. Sangsi dengan pemeriksaan itu, kami merujuk kepada doktor lain.. Nah, terus sahaja di tahan di katil hospital kerana apa yang dialami itu sudah berada di tahap serius dan perlu dirawat dengan lebih perinci. Ermm..

Untuk sahabat kecil yang sering dilanda musibah pada tahun ini, aku kirimkan doa kesejahteraan buat dia. Mudah-mudahan kembali sihat dan dapat bekerja seperti biasa.

[Sa-tiap saket itu peng-hapus dosa..]

Tuesday, August 25, 2009

~ SATU KELELAHAN ~

(Foto yang dibidik sendiri dari dalam unta hitam yang lelah merangkak..)

SEPANJANG hari ini, aku terhimpit lelah yang sangat panjang. Seawal jam 7.30 pagi (walaupun waktu bekerja hanya bermula 8.30 pagi), aku sudah larut dalam ketekunan menyiapkan kerja-kerja yang punya tarikh matinya di mejaku, di ruang tempat pekerjaan yang masih lengang. Yang menimbun setinggi bangunan KLCC ini harus disiapkan hari ini juga. Sungguh aku mahu menangis.. penat. Bukan penat tenaga fizikal tetapi penat fikiran. Otak sudah tepu kerana terlalu banyak dihenyak hari ini.

Aku terasa seperti luar biasa hebat hari ini... luar biasa kerana dapat menyabarkan diri. Luar biasa kerana masih mampu mengulas senyum dengan baik (usah disoalkan tentang keikhlasannya), luar biasa kerana berjaya juga menyiapkan segalanya itu sebelum tiba tarikh matinya.

Jam 5 tepat, sebahagian rakan pekerjaan (terutamanya wanita) berlari-lari anak bergegas terus ke parkir. Mahu segera pulang, mahu lolos dari perangkap sesak yang sarat di perut jalanraya sebentar nanti. Ku kira, setengah jam sebelum ini mereka sudah bersiap siaga mahu pulang barangkali... Tepat jam 5, terus lari pecut 100m. Aku tidak menyertai mereka. Aku tidak suka berkejaran... tidak suka terkocoh-kocoh. Mahu berjalan sambil menarik nafas tenang walaupun sebenarnya aku juga mahu segera pulang. Yaaa.. tentu sahaja semua orang mahu bebas dari kesesakan jalanraya yang menyesakkan itu. Cuma aku ini sukanya dalam keadaan yang tenang-tenang.. yaaa tenang-tenang saja. Lebih memberi nyaman.

Sebaik unta hitamku terhala keluar dari parkir ruang tempat pekerjaan, tiba-tiba aku menepuk dahi sendiri. Ratusan kereta sudah berderet mengisi jalan lurus 500 meter itu. Tidak bergerak, mahu mencelah sebelah kaki unta hitamku ini pun tidak punya izin barangkali. Semuanya menjadi seperti pembengis. Huh... aku menarik nafas panjang sambil menutur kata kepada diri sendiri, "Koishie.. kamu orang paling sabar. Justeru harus kekal dengan itu.."

Mengisi kesabaran itu, aku sempat menghabiskan beberapa bab tulisan penulis tersohor, Andrea Hirata. Yaa... kerana unta hitamku itu jalannya terlalu merayap dan kadang-kala berhenti lama di tengah gurun yang kepanasannya umpama matahari tegak di atas kepala.

Jam 8.13 malam, aku tiba di rumah nun di P.I. Utara-selatan duduknya dari tempat pekerjaan. Aku menjamah milo kotak yang begitu menggoda di peti ais untuk berbuka puasa (setelah waktu berbuka telah berlalu hampir 40 minit. Mandi dan menyelesaikan urusan yang perlu, barulah aku kembali ke meja makan dengan niat mahu menjamah juadah berbuka puasa yang lainnya. Namun dek kerana terlalu penat, aku hanya berselera menghabiskan lengkong kegemaran. Cukup, itu sahaja untuk hari ini.

Sahur? Aku tidak pernah bangun sahur kecuali ketika berada di kampung. Itupun kerana ayah sangat pantang jika kami tidak bangun sahur. Lalu, ibu akan bekerja keras untuk pastikan kesemua kami bangun bersahur. Wajib. Jangan berani kata tidak kalau tidak mahu lihat ayah menyinga. Terkenang itu, aku senyum sendiri.

[Coba sa-daya mampu menolak jemputan ber-buka puasa di-luar kerana mahu meng-isi minggu per-tama ini dengan ber-buka puasa di-rumah ber-sama keluarga..]

Monday, August 24, 2009

~ SEDERHANA ~



PETANG tadi, aku memutus untuk mengunjungi Bazar Ramadhan popular di Jalan Raja Alang, Kg Baru. Tidaklah semeriah dulu, tetapi ia tetap menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa yang diinginkan.

Aku sekadar mencari kuih-muih kegemaran untuk menjadi pelengkap berbuka puasa petangnya. Jika ada, alhamdulillah... tak ada pun, tidak menjadi masalah. Tambah lagi cara kami berbuka puasa adalah cukup-cukup sederhana. Memang begitulah terlazim kami sejak dari kecil lagi. Asal sahaja ada satu menu yang mampu membuka selera, ia sudah cukup. Tidak perlu berjenis-jenis makanan yang terhimpun di depan mata.

Pernah satu ketika, ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakan pekerjaan, mereka menyangkakan aku tidak berpuasa pada hari itu, lantaran makanan yang kuisi di pinggan terlalu minima. Aku hanya ketawa kecil, begitu mudah ukuran dan penilaian mereka. Puasa atau tidak, sama sahaja untuk aku yang bukanlah terlalu 'pemakan' ini. Malah, jika ramai yang bercerita tentang berat badan mereka yang turun secara drastik sepanjang bulan puasa ini, tidak untuk aku. Berat badanku sama sahaja. Tidak turun dan tidak juga naik kerana cara pemakananku sama sahaja.

Tinggalkan seketika soal itu kerana aku mahu berkongsi sedikit cerita malang yang berlaku di depan mataku ketika dalam perjalanan pulang dari Bazar ramadhan ke rumah. Bertembung dengan dua kemalangan. Namun, kemalangan kedua yang berjarak kira-kira 2 km daripada rumahku sedih mengharukan. Manakan tidak, berteraburan makanan dan kuih-muih yang dibeli dari Bazar Ramadhan di atas jalan raya (aku hanya melihat dengan mata yang berkaca). Kelihatan seorang wanita separuh abad sedang menangis di bahu jalan dengan darah basah menghias pakaiannya. Beberapa orang yang prihatin dan bertimbang rasa sedang membantu. Ermmm...

Kepada pemandu di luar sana, mohon memandu dengan lebih berhemah. Usah bermain dengan nyawa manusia lain sekiranya nyawa sendiri tidak mahu kamu hargai. Berilah peluang kepada manusia lain untuk bernafas segar di bumi ini andai kamu sudah tidak punya keinginan untuk soal itu. Sehingga tiba di depan rumah, aku dipesan berkali-kali supaya memandu dengan lebih berhemah.. Berkali-kali..

[Maseh dengan peri-kemanusiaan...]

Sunday, August 23, 2009

~ MALAM DI BANGUNAN SULTAN ABD SAMAD ~


JAM 10.15 malam, kereta terhala ke Dataran Merdeka. "Dataran, nak buat apa?" Aku mengerutkan dahi. "Saja nak tengok bangunan Sultan Abd Samad pada waktu malam".

Yaa... walaupun sudah bertahun menjadi penghuni tetap di hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur ini, aku tidak pernah menghabiskan masa untuk tujuan itu. Sekadar menelusuri jalanrayanya sahaja dan memerhati dari dalam kenderaan. Malah, aku juga jarang sekali menyertai apa-apa acara yang diadakan di sini. Acara yang selalunya akan mengumpulkan ribuan manusia yang tentunya membuat aku lemas untuk turut serta.

Hari ini, kami betul-betul duduk berhadapan bangunan Sultan Abd Samad. Menyaksikan keindahan bangunan ini pada waktu malam dengan kerdip lampu yang sungguh memberi senang. Malah sempat membidik beberapa keping gambar tanda keterujaan. Mungkin bunyinya lucu kepada mereka yang sudah terlalu akrab dengan bangunan ini, tetapi pada aku ia sesuatu yang menyeronokkan. Tidak pernah terfikirpun mahu berduduk-duduk di sini menyaksikan keindahan malam di sini. Patutlah, setiap malam minggu ramai yang juga menghabiskan masa di dini. Nahh, aku sudah dapat jawapannya.

[Ter-ingin sa-kali untok mengunjongi Panggong Bandaraya yang juga se-deret di-bangunan Sultan Abd Samad untuk menunton teater...]

Saturday, August 22, 2009

~ PUASA PERTAMA ~


Alhamdulillah... kami berjaya melalui dan menghabiskan puasa pertama hari ini. Walaupun tidak dapat berbuka dengan ibu dan ayah di kampung halaman, sekurang-kurangnya aku dapat berbuka dengan kakak, abang dan adik di sini. Beberapa kali kakak mengingatkan supaya aku tidak mengatur urusan lain pada hari ini kerana mahu berbuka puasa bersama. Wajib katanya. Malam tadipun, kami sekeluarga makan malam di luar bersama, nun di Sepang sana. Sekadar mengisi kelapangan sebelum bermula Ramadhan.

Kakak tahu, sebaik bermula Ramadhan, selalu sahaja jadualku tidak begitu mengizinkan untuk berbuka puasa di rumah. Sering sahaja perlu memenuhi undangan berbuka puasa di luar. Dan kalau tidak beruka puasa di luarpun, selalunya aku akan tiba lewat di rumah kerana jalanraya yang menyesakkan itu. Tiada jalan alternatif lain, kerana itulah jalan yang menghubungkan rumah dan tempat pekerjaan yang paling dekat. Jawabnya aku akan lebih banyak berbuka puasa di dalam kereta.

Sebaik usai berbuka puasa tadi, aku tiba-tiba teringat ibu arwah Dr Jiwa. Terus menghubunginya sekadar ingin bertanya khabar Ramadhan. Ramadhan yang dilaluinya setelah tiga tahun kehilangan satu-satunya anak yang dimilikinya. Kali ini dia lebih tenang. Dari hujung talian telefon, dia dengarnya sedikit gembira apabila aku bergurau dan mengusiknya. Aku tentu sahaja lebih-lebih gembira.

"Ian, semoga kau tenang di sana. Aku harap dapat memgembirakan ibumu selalu. Ibu yang masih meratapi pemergianmu (aku juga sebenarnya.. itu kenyataan yang cuba aku nafikan). Tentu sekali aku tidak dapat menggantikan tempamu di sisinya, tetapi sekurang-kurangnya biarlah dia tahu, aku akan ada sentiasa untuk menongkat bahu untuknya pada bila-bila masa sahaja..."

[Lelaki yang seorang ini ada-lah sahabat yang paling dekat di-hati-ku...]

~ ANDAI INI RAMADHAN TERAKHIR ~


HARAPAN RAMADHAN
by raihan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak 1420H untuk seluruh umat Islam seantaranya. Terutamanya buat kamu yang bersinggah di sini menghulur silaturrahim. Dengan rendah dan ikhlas hatinya aku memohon kemaafan untuk segala yang pernah tercuit rasa di ruangan ini. Mudah-mudahan hati terbersih menyambut Ramadhan pada kali ini. Aminn...

[Andai kali ini men-jadi Ramadhan ter-akher...]

Friday, August 21, 2009

~ SOAL KEMANUSIAAN YANG TERCICIR ~


Mood tidak begitu baik hari ini. Sumbangan daripada rasa kurang senang dengan tindakan rakan pekerjaan yang semakin berkurang rasa kemanusiaannya. Dia mencari nama dan mengejar kedudukan dengan memijak orang lain. Biarpun dia tahu tentang itu, sedikit pun tiada rasa bersalah yang terlihat pada dirinya.

Menjadi lebih malang apabila orang yang sedang dipijaknya itu adalah sahabat dekatku, si scorpio. Berkali aku mohon agar dia mempertimbangkan tingkahnya dengan menggunakan kuasa yang ada padanya, tetapi dia tetap dengan misinya. Menggunakan kepercayaan yang diberikan orang kepadanya untuk kepentingan diri sendiri. Maaf, aku sudah tidak menyimpan rasa hormat buatnya.

Kepada si Scorpio, maafkan aku kerana tidak dapat membantu. Aku tidak punya pangkat dan kuasa yang membolehkan menyekat misi teman pekerjaan yang berkepentingan diri tadi.

[Apa sahaja misi dan kejaran-ku, soal kemanusiaan tida' perenah aku cicir-kan..]

Thursday, August 20, 2009

~ TERSEPIT DI RUANG YANG TIDAK SEMPIT ~


Sahabat kecil menghubungiku untuk menemaninya menghirup secawan coffee. Aku terus sahaja bersetuju kerana kebetulan tengahari ini terlibat dengan urus pekerjaan yang berlangsung hanya beberapa langkah daripada tempat pekerjaannya. Apatah lagi semenjak sahabat kecil ini bertukar posisi pekerjaan, kami jarang sekali berjumpa. Masing-masing terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan yang menghimpit.

Aku tiba 15 minit lebih awal daripada waktu yang dijanjikan. Tibanya sahabat ini, aku terlihat seperti ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Matanya tidak lagi bercahaya, wajahnya tidak bermaya. Saat aku bertanyakan keadaannya, airmata yang ditahan sahabat kecil ini terus sahaja berderaian bagai hujan yang membasah bumi. Ketika itu dia baru sahaja memasuki cafe tempat biasa kami menghirup secawan coffee.

Aku menariknya untuk duduk. Memberi keluangan untuknya bernafas tenang. Tidak sedikitpun mahu mendesaknya untuk bercerita. Namun, itulah tujuannya pun dia mahu bertemu aku pada tengahari itu. Mahu berkongsi kesedihan yang bersarang di jiwanya saat itu. Walau belum diceritakan, aku seperti sudah tahu apa puncanya dia dalam keadaan yang begitu. Tidak lain, tidak bukan kerana teman lelaki yang perlu dia kongsikan dengan seorang lagi wanita lain itu. Ermm..

Saat menutur cerita, emosi sahabat ini semakin tidak ketentuan. Tidak kering airmata yang menuruni pipinya. Justeru, untuk tidak mengundang perhatian pengunjung lain di cafe itu, aku menariknya untuk bercerita di kereta. Di parkir yang agak jauh daripada perhatian orang. Di situ sahabat ini menangis semahu-mahunya. Aku terdiam senyap. Sesekali cuba menepuk bahunya agar mengawal perasaan dan lebih tenang.

Sebenarnya, aku tiada perkataan untuk dituturkan. Apatah lagi apabila dia terjebak dalam cinta dengan lelaki milik orang. Aku sangat-sangat memahami hati wanitanya, tetapi dalam masa yang sama aku juga tidak mahu menyokong tindakannya untuk mengambil (bukan mahunya juga barangkali) hak wanita lain juga. Sudahnya aku penuh kekeliruan. Soal konflik sahabat kecil ini, pernah aku bicarakan di sini pada entri yang lepas.

Lelaki tempat dia bergantung rasa dan hidup itu hari ini menyakitkan hatinya. Mungkin pada kita yang tidak terjebak dalam 'babak ini' soalnya mungkin hanya kecil sahaja tetapi pada dia, ia merupakan soal besar. Soal yang begitu mencalarkan hatinya yang sangat-sangat rapuh itu.

Aku terlalu berhati-hati menutur kata. Tidak mahu kata-kataku itu nanti akan mengguris hatinya. Sebagai sahabat dekat, aku cuba sebaiknya memahami keadaaannya, tetapi aku tidak boleh menyokongnya kerana situasi ini akan lebih menyesakkan dia kelak. Cuma aku tidak mahu untuk katakan itu demi menjaga hatinya. Demi untuk tidak merosakkan senyum yang ada dalam harinya. Apatah lagi apabila sering dia tuturkan, sejak ditinggalkan ibu bapa semenjak usia kecilnya, hanya lelaki ini yang memberikan dia bahagia. Justeru, apa lagi yang perlu aku katakan? Ermm...

[Soal hati dan perasaan sukar sa-kali untok di-perjelas-kan dengan perkataan...]

Wednesday, August 19, 2009

~ TEATER MUZIKAL TUN ABD RAZAK ~











Berkesempatan menyinggah di Panggung Sari, Istana Budaya untuk menonton Teater Muzikal Tun Abd Razak (TMTAR). Aku datang dengan penuh rasa teruja, namun, pulangku tidak penuh dengan rasa itu. Ermm...

TMTAR merupakan sebuah muzikal berkonsepkan biografi yang menghimpunkan beberapa elemen utama dalam seni persembahan muzik, lakon, tari dan senireka pentas. Beberapa peristiwa sebenar telah dilakonkan semula sebagai mengembalikan ingatan kepada sejarah tanahair dan diterjemahkan ke pentas dalam bentuk yang lebih dramatik.

TMTAR yang diterajui oleh Rashidi Ishak sebagai Tun Abd Razak hanya berada di tahap yang sederhana. Usaha dan kesungguhan Shidi untuk menghidupkan watak tokoh bekas Perdana Menteri yang kita sayangi ini harus di puji, tetapi banyak lagi yang perlu diberi perhatian dan diperbaiki pelakon yang juga merupakan suami kepada Vanidah Imran ini. Lakonannya tidak begitu meninggalkan kesan. Mohon maaf kerana itu pendapat jujurku. Mungkin kamu yang turut sama menonton punya sudut pandangan berbeza, terpulang kamu.

Aku keluar Panggung Sari Istana Budaya setelah hampir dua jam berada di kerusi empuk pentas berprestij ini tanpa berbekas apa-apa. Ia sama sahaja seperti membaca buku sejarah ketika di masih di bangku sekolah, cumanya kali ini ia dalam bentuk persembahan di pentas. Tiada yang terkesan.

Berbeza dengan Teater Muzikal Ibu Zain (yang juga mengangkat seorang tokoh untuk dipentaskan), aku pulang dengan rasa yang sangat istimewa. Aku juga menjadi bertambah mengenali tokoh yang cukup tersohor dalam sejarah itu. Tetapi untuk TMTAR, itu tidak berlaku. Bukan niat untuk membandingkan, tetapi sekadar menjelaskan situasi yang aku lalui.

TMTAR bagiku tiada klimaks. Tiada saat atau babak yang benar-benar meninggalkan kesan dan membuatkan kita benar-benar mengingat dan mengenang perjuangan Tun Abd Razak. Ia berlangsung dalam situasi yang begitu mendatar. Malah saat kematian arwah Tun juga, tidak ada perasaan yang menyentuh disitu. Alangkah cantiknya jika dapat dilakukan sesuatu untuk babak itu agar penonton juga tersangkut rasa dengan kejadian itu.

Apapun, aku puji untuk set rekaan pentasnya yang sangat menarik. Kurang pasti berapa set yang digunakan, tetapi kesemuanya cantik dan banyak membantu menghidupkan latar masa ketika itu. Tahniah untuk itu.

Semoga pada masa akan datang, lebih banyak lagi teater berunsur sejarah dan mengangkat tokoh berjasa dalam sejarah tanahair. Bangsa kita semakin melupakan sejarah walaupun pada hakikatnya 'sejarah itu adalah lampu suluh yang paling terang..'.

[Mau me-nunggu teater yang meng-angkat ke-tokohan Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh idola sepanjang zaman...]

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN LEO ~


Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan KN...
Allah Selamatkan Kamu...

Selamat Hari Ulangtahun kelahiran buat KN... Mudah-mudahan KN sentiasa terpelihara dan diberkati. Panjang umur dan dipermudahkan rezeki. Pengorbanan KN tetap subur dalam ingatan setiap detik wktu yang berlalu. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala yang terberi itu.

Mohon kemaafan kerana ucapannya sudah terlewat sehari, namun ingatan dan keikhlasannya tidak pernah terkurang walau secuit. Itu yang paling benar. Selamat Hari Ulangtahun.... Aminn...

[Hadiah hari-jadi yang paleng ingin untok tahon ini.... me-lihat mata-hari ter-benam yang paling chantek dan asyek..]

Tuesday, August 18, 2009

~ MURAH HATI ~


Terima kasih atas ingatan. Pemberian daripada seorang kenalan yang baru sahaja pulang dari ngeri di bawah bayu minggu lalu. Aku tersenyum sendiri, beberapa hari kebelakangan ini, aku sering sahaja mendapat 'pemberian tidak terjangka'. Hendak di kata hadiah sempena ulangtahun kelahiran, tentu sekali tidak kerana aku berbintang Scorpio. Tetapi hampir selang sehari, aku dimurahkan rezeki dalam pemberian yang begini. :)

Apapun, untuk yang bermurah hati dan sentiasa ada ingatan untuk menyenangkan hati orang lain itu, aku rakamkan ucapan terima kasih yang benar-benar aku maksudkan dari dalam hati ini. Mudah-mudahan kegembiraan dan kebahagiaan sentiasa berdamping sama kamu.

[Orang mem-beri kita merasa... Orang tidak mem-beri, kita terasa-kah? Ermmm.. :p]

~ BERCERITA DI LANTAI T. PINKIE ~


LANTAI T. PINKIE

Lantai ini lantai rasa
Tempat kasut-kasut bercerita
Bunyinya kedengaran
Suaranya ke kayangan

Engkau bahagia Pinkie
Kaki menari
Engkau bahagia Pinkie
Lantai Berbunyi

Engkau bahagia Pinkie
Engkau bahagia Pinkie
Lantai sembunyi gementar hati

Lantai ini lantai rasa
Tempat kasut-kasut bercerita
Bunyinya kedengaran
Suaranya ke kayangan

Engkau bahagia Pinkie
Bertukar ngeri
Engkau bahagia Pinkie
Tak ku rasa lagi

Engkau bahagia Pinkie
Engkau bahagia Pinkie
Lantai sembunyi

Gementar hati

Lantai ini lantai rasa
Tempat kasut-kasut bercerita
Bunyinya kedengaran
Suaranya ke kayangan

Lantai T. Pinkie...
Lantai T. Pinkie...
Lantai T. Pinkie...


Akhirnya, berjaya juga aku Memiliki CD lagu-lagu dari pementasan teater muzikal Lantai T. Pinkie. Tiga tahun mencarinya dan baru hari ini ia berada di tangan. Itupun hasil usaha dan pemberian seorang rakan yang prihatin.

T. Pinkie banyak sekali meninggalkan kenangan dan ceritanya. Cerita besar yang bukan sedikit sentuhan rasanya. Tidak sangka juga tiga tahun itu terlalu cepat berlalu waktunya. Mudah-mudahan yang lalu-lalu itu tersimpan kemas dalam lipatan sejarah silam. Tidak akan dibuang kerana ia tetap berguna untuk panduan hari depan.

[Maseh men-jadi tempat kasot ber-cherita]

Monday, August 17, 2009

~ MAHU TIDUR... ~

Baru sahaja pulang dari tanah Dol Said, negeri penuh adat. Mujur sahaja perjalanan dan pemanduanku pergi dan balik selamat dan dipermudahkan. Ini kerana sebelum memulakan perjalanan dan sehingga pulang tiba di rumah juga, aku berada dalam kondisi yang kurang menyelesakan.

Sakit kepala dan mengantuk yang teramat sangat. Mungkin kerana tidak cukup tidur pada 24 jam sebelumnya. Malam tadi, aku pulang dari urusan pekerjaan kurang lebih jam 1.30 pagi. Penat... tetapi bila mengenangkan janji yang telah terlebih dahulu aku tuturkan dengan seorang rakan, makanya aku gagahkan diri untuk menyiapkan sedikit kerja untuknya.

Kerja rakan itu memerlukan segenap ketekunan sehingga aku terlarut dalam penumpuan yang penuh. Sedar-sedar jarum jam sudah menunjukkkan ke nombor 9.. yakni sudah jam 9 pagi dan aku belum meletak lena. Sedangkan, petangnya aku terikat dengan banyak urus dan akan memandu panjang ke negeri penuh adat itu sehingga ke tengah malamnya.

Justeru, kupaksa juga diri untuk meletak lena sehingga jam 11 tengahari. Bererti aku sempat dua jam membuat lelap. Jam 6 petang aku terus memandu ke setengah selatan tanahair walaupun kepala merasa sangat berat. Dan... saat jari-jari ini bercerita di sini, aku baru sahaja pulang dari sana kurang lebih jam 2.50 tadi.

Nahh.. sekarang aku masih gagal meletak lena. Kali ini kerana terlalu sakit kepala dan terlalu penat. Ermm.... sedang esok jam 7.30 pagi, aku harus sudah siap siaga berada di tempat pekerjaan. Tolong... aku mahu tidur..

[Perenah aku tida' dapat ma-letak lena sa-lama 36 jam...]

Sunday, August 16, 2009

~ SEINDAH RAHSIA ~


TAJUK : Seindah Rahsia
KARYA : Afiqah Farzana
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 421
HARGA : RM17.90

“Kita hanya merancang, namun Allah yang menentukan. Begitulah yang terjadi kepada nasib Sri Atiya. Demi menjada maruah keluarga, Sri Atiya terpaksa menjadi galang ganti kakaknya, Atira bila dia tiba-tiba sahaja hilang di majlis perkahwinannya. Anuar yang sepatutnya menjadi abang ipar Sri, kini menjadi suaminy yang sah. Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan Sri untuk menghadapi hari-hari yang mendatang…”

[Rahsia itu per-lu ada untok setiap kita...]

Saturday, August 15, 2009

~ MENJEJAK KENANGAN ~






Sehari mengisi masa berdamping teman jiwa. Manisnya kerana dia membawa aku menelusuri kampus di mana kami pernah menimba ilmu suatu masa dulu. Kampus di Lembah Pantai ini terlalu banyak mencacat sejarah. Manis dan pahit yang membuat rasa.

Kami daripada fakulti yang berlainan. Namun, kerap bertemu di gedung pembacaan dan kebetulan pernah bekerjasama dalam aktiviti ko-kurikulum di kampus. Aku tidak tahu banyak tentang lelaki bermata sepet ini ketika itu. Hanya mengenal dia atas dasar urusan rasmi sahaja. Justeru, aku tidak banyak kenangan bersamanya di sini. Apatah lagi ketika itu, aku sedang asyik masyuk dengan lelaki yang pernah meninggalkan sejarah luka dalam hidupku. Kami hanya berkenalan rapat dan kemudiannya menjalin rasa selepas kembali bertemu saat masing-masing sudah di alam pekerjaan. Kecil kan dunia ini.

Aku merenung jauh fakulti yang pernah menyimpan banyak cerita itu. Juga bangunan putih perpustakaan utama yang kerap aku kunjungi, selain bangunan peperiksaan yang masih gah tersergam di kaki bukit itu. Ermmm.... namun, yang paling banyak mencatat cerita, tentu sahaja kolej kediaman yang menghadap padang varsiti yang luas menghijau itu. Juga tasik tempat aku dan kawan-kawan mengusik sekumpulan ikan dengan cerita kosong kami. Indah.

Dann.. yang masih terbayang di mata juga, kejadian yang menimpa aku di jalan yang merentang antara kolej kediaman dan tasik ini. Di jalan inilah aku ditimpa musibah. Dilanggar sebuah motor saat mahu pulang ke kolej kediaman sehingga membawa aku menghuni di katil hospital yang entah keberapa kali menerima kematian itu selama hampir sebulan. Ermmm...

Sempena mengutip kenangan juga, aku mengajak teman jiwa untuk menjamu selera di Mc Donald Bangsar. Tempat ini menjadi tempat yang paling kerap aku dan kawan-kawan kunjungi dulu. Tidak kira siang atau malam. Entah apa yang memberi selesa di situ, aku sendiri kurang pasti.. :)

[Indah... andai waktu itu mampu di-putar kembali...]

~ BILA TIDAK MENGERTI ~


Lapar. Sepatutnya siang tadi aku menjamah selera dengan seorang sahabat. Kebetulan dia mempelawa pada saat aku sangat perlu mengisi perut setelah satu hari berat dengan urusan pekerjaan. Berdepan pula dengan kesesakan jalanraya yang bukan sedikit, lapar itu menjadi bertambah lapar.

Namun, dek kerana kedegilan aku, juga kedegilan sahabat ini, kami tidak mendapat kata sepakat untuk memilih tempat menjamu selera (hanya kerana itu). Sudahnya aku menghalakan kereta pulang ke rumah. Senyap menahan lapar. Telefon bimbit juga turut menjadi senyap.

Dihenyak lelah yang panjang, aku tertidur tanpa mengisi perut langsung. Kebetulan pula, aku hanya berseorangan di rumah. Kakak ke Perlis, menurut abang yang bekerja di luar daerah sehingga Isnin ini.

Jam 2.50 tadi, aku terjaga dari lena yang panjang. Perut berbunyi minta diisi. Ermm.. mana tidaknya, hari ini aku lalui tanpa sarapan pagi, tanpa makan tengahari, juga tanpa makan malam... Justeru, secawan milo panas menjadi alas, mengharap perut diam sehingga esok hari.

[Bukan kerana emusi...]

Friday, August 14, 2009

~ KEPADA ORANG YANG SALAH ~


Aku orangnya susah sekali mahu meminta tolong. Justeru, jika aku tiba-tiba meminta bantuan atau pertolongan, ertinya aku benar-benar perlu kepada itu. Malang sekali, saat itu aku selalu pergi kepada orang yang salah. Orang yang salah itu selalu sahaja pada sangkaku sudi untuk membantu, walhal ia tidak terjadi begitu.

Hari ini ia terjadi lagi untuk kesekian kalinya. Sepatutnya aku perlu menyedari, 'orang ini' bukanlah orang yang tepat untuk aku tuju kala aku benar-benar memerlukan bantuan (beberapa kali dia membuktikan situasi itu... yaa.. beberapa kali). Dia mungkin sesuai pada situasi yang senang-senang sahaja barangkali. Untuk tujuan yang selain itu, mungkin aku perlu kepada orang lain. ermmm... Sedih bukan.. kerana aku sering menganggap sahabat ini adalah orang yang boleh diharapkan. Malangnya tidak (aku sendiri sedih untuk mengatakan demikian).

Tidak ramai kawan yang boleh duduk bersenang susah dengan kita. Mungkin ungkapan ini terlalu biasa singgah di telinga. Namun, ungkapan itu bukan sekadar ungkapan. Begitulah resam kehidupan hari ini. Justeru, lihatlah rakan dan sahabat keliling kamu. Siapa yang boleh kamu pinjamkan bahu, siapa yang tidak.

[Peregi-lah kepada orang betol... Tidak-lah perit itu mem-belah jiwa kamu..]

Thursday, August 13, 2009

~ STRESS ~

Hari yang agak malang buatku barangkali. Saat diri berkejaran menyiapkan kerja-kerja akhir, segala bahan penting yang terkumpul siap itu tiba-tiba membuat masalah. Paling perit apabila ia kemudiannya hilang musnah tanpa dapat diselamatkan. Grrr...

Sudahnya, terpaksalah aku menyiapkan semula kerja-kerja yang sepatutnya sudah siap siaga itu. Mengadaplah skrin komputer komputer ini panjang sehingga di luar waktu pekerjaan. Ermm.. pun begitu, hasilnya tentulah tidak sama seperti mana hasil yang pertamanya. Apatah lagi kerja pengulangan ini terlangsung dalam situasi yang penuh 'stress'.

Sepatutnya aku perlu kepada urusan di luar tempat pekerjaan hari ini, namun segalanya terbatal dek kejadian yang sangat-sangat membuat aku rasa tertekan ini. Lelah panjang membuat teman.

[Koishie, jaga-lah kesabaran kamu dengan sa-baek-nya..]

~ SUNTIKAN INFLUENZA ~


Malas mahu melayan bising kakak, aku bersetuju saja untuk menerima suntikan influenza. Memang dia begitu menjaga dalam soal-soal yang melibatkan kesihatan begini. Seisi rumah sudah mengambil suntikan ini, kecuali aku. Kesibukan dengan urusan pekerjaan sering saja menjadi alasanku untuk menolak. Menolak kerana aku tidak suka segalanya tentang klinik atau hospital. huh...

Bagaimanapun, pagi tadi aku akhirnya mengambil juga suntikan ini dari Dr HM. Sungguh, aku bencikan suntikan. Sepanjang hari terasa kesakitannya. Malah badan juga menjadi lesu dengan rasa mengantuk yang begitu meraja kesan daripada suntikan ini.

Sehingga jari-jari ini bercerita di sinipun, kesakitannya masih terasa. Malah saat memandu tadi juga penuh dengan kepayahan. Ermmm...

[Bekalan toping muka sudah kehabesan di-farmasi. Kalau ada pon, harga-nya men-jadi luar biasa.. ermm..]

Wednesday, August 12, 2009

~ SPAGHETTI LIPAS ~


Spaghetti 'lipas'... ermm... lama tidak datang menjamu selera di sini.Tempat kegemaran dengan makanan kegemaran. Sepulang pekerjaan tadi, aku punya kesempatan yang tidak dirancang-rancang. Tiba-tiba saja sudah berada di meja untuk melihat menu makanan kegemaran yang lama tidak disentuh di sini.

Teman Jiwa tidak suka makan di sini, BR juga begitu. Entah... selera tidak kena barangkali. Atau mungkin suasana di sini tidak sesuai dengan jiwa mereka. Yang sering meneman aku ke sini hanya seorang. Seorang sahabat yang sering sahaja membuat tsunami dan hobinya mencuit aku supaya menjadi pemarah. Aduhh.. Ada sahaja yang tidak kena, tidak puas hati. Tidak kurang juga yang menyakitkan hati. Malah, kami juga boleh berhabis masa berjam-jam lamanya untuk bertikam lidah. Grr..

Bagaimanapun, dia tetap sahabat. Tidak hanya yang baik-baik, seadanya dia aku menerima. Begitu juga ku harapkan dari sahabat ini. Kurang dan lebih itu membuat kita semakin mengenali. Apapun, setiap manusia keliling tetap menyumbang kepada kehidupan kita.

"Bapak ahlong, kita kahwin dah 30 tahun... gaduh pun dah 20 tahun. Berapa lama lagi kita mahu macam ni?"

Aku sering sahaja tersenyum panjang bila teringatkan petikan dialog dari filem Gubra ni. Dialog yang dituturkan oleh ibu Jason ketika babak di hospital selepas kematian pesakit di katil sebelah.

[Ber-tikam lidah itu adakala-nya mem-beri kebaekan juga...]

~ KU INGIN BERSAMAMU ~


TAJUK : Ku Ingin Bersamamu
KARYA : Dyza Ainun
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 551
HARGA : RM18.90
“Pada sejuring impi, ku biarkan kerinduan menjadi jidar di hati, Meski luyut menepis rasa, namun nikmat kasih ku hirup bersama serbat cinta…”

[Bagi-mana jika ia hanya di-mimpi sahaja.. ermmm..]

Tuesday, August 11, 2009

~ BILA SUDAH MENJADI ARAHAN... ~




Tengahari tadi, satu arahan telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan di tempat pekerjaan untuk mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung (topeng/mask) berikutan kes penularan jangkitan virus H1N1. Mulai esok, sama ada kakitangan, tetamu atau sesiapa sahaja yang berurusan di perkarangan atau dalam kawasan tempat pekerjaan, WAJIB memakai penutup mulut dan hidung.

Aku sangat-sangat bersetuju. Ini kerana di tempat pekerjaanku yang mempunyai kurang lebih 1,400 orang kakitangan ini, yang punya kesediaan dan kesedaran memakai penutup mulut dan hidung tanpa 'arahan' itu hanyalah 10% daripadanya sahaja. Ermm..

Aku tersenyum melihat kakak yang telah siap siaga menyediakan kurang lebih 50 keping penutup mulut dan hidung itu untuk aku gunakan. Berapa jumlah untuk dirinya pula? Si kecil? :)


(Petikan berita daripada www.utusan.com.my)

Belum tahap 'darurat kesihatan'

SERDANG 11 Ogos - Kerajaan masih belum sampai ke peringkat perlu mengisytiharkan 'darurat kesihatan' meskipun bilangan kematian dan kes positif selesema babi atau influenza A (H1N1) semakin meningkat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, buat masa ini kerajaan mengamalkan langkah 'pengelakan sosial' iaitu orang ramai tidak perlu hadir ke majlis-majlis umum termasuk yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.

''Tidak payah anjurkan program besar-besaran dan mereka yang mengalami demam, batuk dan selesema tolong jangan hadir ke majlis-majlis umum termasuk kenduri kahwin dan majlis-majlis kerajaan. Ini penting bagi mengelakkan penularan virus H1N1,'' tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan mengejut dan meninjau proses pemeriksaan ke atas pesakit luar dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan kes H1N1 di Hospital Serdang di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun terdapat majlis-majlis penting kerajaan seperti sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 negara yang tidak boleh dibatalkan, namun pihak penganjur perlu mengambil langkah pencegahan termasuk membekalkan penutup mulut dan hidung kepada pengunjung.

Dalam pada itu Tiong Lai berkata, esok, beliau akan mengumumkan garis panduan baru berkaitan arahan penutupan sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) ekoran penularan wabak H1N1.

''Saya telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi semua garis panduan, perlu ada yang baru kerana terdapat sekolah-sekolah yang mengambil langkah berbeza-beza.

''Jadi kita hendak tetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam dan esok jawatankuasa teknikal kementerian akan bermesyuarat untuk memperincikan garis panduan itu,'' katanya.

[Sampai bila mau buat bila wajib sahaja..?]

Monday, August 10, 2009

~ BILA AJAL DATANG MENJEMPUT ~


Sekali lagi, hari ini kami menerima berita yang mengejutkan. Seorang rakan di tempat pekerjaan telah pulang ke Rahmatullah malam tadi. Khabarnya kerana serangan jantung. Arwah pernah bekerjasama denganku selama setahun ketika aku masih di jabatan lama.

Kali terakhir bertemunya jumaat lepas, dia masih sihat walafiat. Sedikitpun tiada tanda-tanda dia dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Justeru, sebaik menerima berita pemergiannya, aku sangat-sangat terkejut. Pun begitu akhirnya kembali kepada hakikat, ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Tidak akan terawal dan terlewat walau sesaat pun. Errmm.. harus diingat itu.

Semoga arwah dipermudahkan di sana. Dirahmati dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Aminnnn...

[Dalam tempuh yang tida' sampai dua bulan, aku sudah ber-depan dengan tiga berita kematian mengejut dari kalangan mereka yang ada bahagian..]

Sunday, August 09, 2009

~ KERINDUAN YANG BERAT ~


"AL, mak rindukan Ian. Rindu sangat-sangat...,"
Perlahan sekali kedengaran suara ibu arwah dr jiwa (sahabat paling dekat) di hujung talian. Namun, suaranya jelas. Kesayuannya juga jelas. Aku terdiam sebentar kala menyambut panggilan yang dibuat nun jauh dari utara semenanjung tanahair merentas ke pantai timur saat aku sedang berdiri saat ini.

Kalaulah, utara semenanjung tanahair itu itu hanya berjarak selangkah, mahu sahaja aku terus ke sana, melompat memeluk erat si ibu itu. Mahu menenangkan hatinya yang sedang sarat dengan kerinduan yang maha dalam pada si anak yang telah tiga tahun pergi meninggalkannya secara abadi.

"Mak, AL juga rindukan dia. Sangat-sangat. Kita hadiahkan al fatihah banyak-banyak buat dia ya.." pujukku dengan perkataan yang serupa setiap kali si ibu ini meluahkan kerinduannya pada arwah. Ermm.. lalu, apa lagi yang harus aku katakan untuk memujuk hatinya? Menghilangkan gundahnya?

Mak... kalaulah AL boleh menjadi orang untuk mak sandarkan rindu itu... ermmm.. AL akan sentiasa ada. Sebagaimana arwah sentiasa ada untuk mendengar AL ketika hayatnya.

[Lama tida' men-jejak tanah pusara itu... meng-hidu harum kemboja.. ermm..]

Saturday, August 08, 2009

~ SEPET ~

(Kredit Foto : Filem Sepet)

Berada di kampung halaman. Indah. Rindu. Puas. Ermm... namun, senyumnya tidak banyak. Lukisan resah membuat ganti. Ayah mengulangi pendirian, teman jiwa tidak akan pernah menang pada hatinya. Terduduk. Diam. Senyap. Mahu senyap sesenyapnya.

[Hanya mata-nya sahaja yang sepet, bukan hati-nya.. bukan chenta-nya.. ermmm]

Friday, August 07, 2009

~ ANGGUK-ANGGUK ~


Angguk... itu yang selalu aku lakukan kerana malas mahu bertekak, membela diri, memanjangkan cerita dan apa sahaja yang seangkatan dengannya. Tidak semua anggukan itu berpenyudah baik pun, tapi menggeleng itu sesuatu yang terlalu rumit buat aku barangkali. Sejak dulu.. sejak aku mula tahu berkomunikasi dengan orang keliling.

Hari ini, aku mengangguk lagi walaupun semua yang lain menggeleng. Aku senyum, masih dengan senyum. Begitu pun selalu. Terpijak lagi aku. Kali ini mungkin dengan lebih keras. Nahh.. ruang yang diberikan sendiri. Lalui sahaja. Tanggung.

Seorang teman sepekerjaan mahu katanya dituruti. Aku mengangguk, yang lainnya menggeleng. Yang menggeleng ini menyatakan ketidaksetujuan dengan keras dan telah meninggikan suara tanpa rasa sengaja (aku yakin ketidaksengajaannya) Ermmm.. penat. Aku tersangat penat berdepan semua ini. Perlukah aku menjadi orang lain untuk menghilang lelah yang ada?

[Ya enchek.. saya yang menurot parintah..]

Thursday, August 06, 2009

~ SESAT DI KUALA LUMPUR ~


Huh.. entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku seringkali tersalah jalan dan sesat di Kuala Lumpur. Dalam minggu ini saja, sudah beberapa kali. Hari ini terjadi lagi. Sudahnya aku berhenti seketika di tepi jalan. Termenung. Ermmm.... Koishie, apa sudah jadi dengan kamu ni?

Hampir setengah hari ini, aku berada di Sri Kembangan. Urusan pekerjaan yang mendesak. Mahu menghabiskan kerja sesegera yang mungkin, aku tekun dan terlarut dengan tumpuan. Kiri dan kanan, tidak aku kuiskan. Bakal mertua lalu disebelah pun, mungkin tidak aku peduli. Ermm.. itu aku yang selalu.

Kurang lebih dua jam melunaskan urusan pekerjaan dengan tekun di suatu sudut, datang bersapa seorang kakak terus kepadaku. Katanya, 5-10 minit sebelumnya, seorang yang tersohor namanya di surat khabar mengirimkan salam kepadaku. Oh Tuhan.... AF (sahabat dekat) rupa-rupanya. Bagaimana dia ada di sini? Sungguh, aku tidak perasan dia ada di ruang yang sama selama satu jam tadi. (Kejadian yang bukan pertama kali... aku kerap tidak peka dengan manusia sekeliling kalau sudah terlarut dengan satu-satu pekerjaan..)

Kata kakak itu lagi, AF beberapa kali cuba mahu menyapaku, tetapi mungkin kerana keseriusan dan ketekunan aku kala menguruskan pekerjaan, aku langsung tidak perasan akan kewujudan dia di ruang yang sama itu. Ermmm.. ampun yaa AF. Sudahnya, dengan hati separuh rajuk barangkali, dia hanya mengirimkan salamnya melalui kakak ini sebelum beredar pergi.

Aku mengenali AF sejak sembilan tahun yang lalu. Dulu kerap berhubung, namun sejak dia berpindah ke tempat baru, kami tenggelam dengan kesibukan masing-masing. Aku sendiri sudah lupa bila kali terakhir aku bertemu mata dan mengatur bual dengannya. Yaa... aku masih ada nombor telefon bimbit dan rumahnya, dia juga begitu. Tetapi kami terlupa untuk saling berhubungan. Memang itu tidak sepatutnya berlaku.

Sebaik menerima salam itu, aku terus mengambil telefon bimbit dan menghubungi sahabat ini. Hanya pada panggilan ketiga kali, barulah dia menyahut di hujung talian. Merajuk barangkali.

AKU : Ampun2.... sungguh tak perasan tadi. Janjii.. tak tipu. (tanpa memberi salam dan menghulur pembuka kata, terus saja aku memohon maaf)
AKU : Ingatkan staff kat sini jer semuanya. If nampak, takkanlah AL tak tegur.
AF : Yerlaaaa... sapa laa kita (nada merajuk dan mengusik)
AF : Puaslah duk lambai2.. tapi orang buat tak tahu saja.. Malu pulak yang dapat.
AKU : Janji... memang tak perasan sungguh K.A ada kat situ..
AF : K.A bagitahulah pada kawan kat sebelah ni, nampak macam AL...
AF : Tapi, teragak2 jugak takut salah orang.
AF : Coz nampak makin kurus dan cengkung..
AF : Tapi bila tengok betul2, memang sah AL.
AKU : Laa... dah tu, kenapa tak tegur?
AF : Yerlaa.. Tengok AL tekun sangat buat kerja tak pandang kiri kanan, takutlah nak tegur..
AF : Tak nak ganggu orang tengah buat kerja..

Itu antara isi perbualan yang berlangsung antara si empunya nama tersohor ini. Aku termalu sendiri. Sentiasa mengharapkan, orang lain yag memulakan dulu dalam apa juga perkara sekalipun. Ermm.. Sesat tu... terlepas peluang untuk bertanya khabar dan bertukar cerita dengan sahabat yang lamaaaaa yang tidak mudah untuk aku temui ini.

[Aku bukan sepet...]

Wednesday, August 05, 2009

~ SANG PENGHIBUR ~




Dengan keluangan yang ada, aku berkesempatan menyinggah di Istana Budaya untuk menonton 'Konsert Jamal... Kembara Seniman' yang yang bakal berlangsung sehingga 9 Ogos ini. Aku datang dengan berlapang dada, hanya semata-mata mengharapkan hiburan daripada sang penghibur. Itu sahaja. Sementelah lagi, inilah julung kalinya aku menyaksikan persembahan (konsert) penyanyi bersuara gemersik ini.

Meski sudah mencapai usia separuh abad, Jamal Abdillah tetap punya daya tarikannya yang tersendiri. Ada aura. Tidak hanya kepada mereka yang membesar dengan lagu-lagunya tetapi juga kepada peminat yang baru mahu mengenalnya. Suaranya sangat-sangat memberikan tarikan.

Sungguh, aku terleka dengan alunan lagu-lagu yang penuh rasa itu. Aku sendiri tidak menyangka telah terbuai begitu rupa saat menonton persembahan tiga jamnya itu dengan dendangan lagu yang kurang lebihnya 38 buah itu.

Tidak juga aku sangka, pelantun lagu Azura yang pernah popular sekitar era 80'an ini hebat juga berlakon pentas. Dia hidup dalam geraknya, dalam rasa dan laguya. Menjadi cantik lagi apabila semua itu bersatu sehingga menyentuh rasa tuan punya mata yang menonton, yakni aku... atau mungkin juga kamu yang juga turut sama menonton.

Untuk kamu sang penghibur, hiburkanlah hatimu juga... kerana kita juga manusia biasa yang juga punya kemahuan yang sama.. ermm..

[Ter-tangkap emusi yang dalam kala men-dengar lagu Barang Yang Lepas Jangan Di Kenang.. nyanyian asal dari Allahyarham Tan Sri P. Ramlee..]