Wednesday, July 15, 2009

~ LELAH YANG PANJANG ~


Penat. Sungguh, aku benar-benar maksudkannya. Hanya termiliki kudrat yang sekerat ini. Semalam berlalu dengan pengisian lelah yang panjang. Seawal pagi sehingga malam menutup hari, aku masih di luar rumah dengan urus pekerjaan yang bersusun.

Paginya hingga matahari setengah tegak, aku di ruang pekerjaan, di bandar anggerik melunaskan kerja yang menimbun tinggi bak bangunan KLCC itu. Menyambung perjalanan pada sebelah petangnya ke T.G. untuk urusan berkait soal pekerjaan. Hampir 3 jam di situ, aku meredah kesesakan jalanraya untuk ke SS2, PJ pula. Dibawa bertemu seseorang yang 'tersohor' di surat khabar oleh seorang rakan dekat. Sempat menghirup secawan coffee.

Jam 7.30 malam, aku sudah berada pula di Tropicana Citymall. Juga berkait urus pekerjaan. Kurang lebih, tiga ke empat jam jugalah di situ. Kerja. Semuanya kerana kerja. Hampir ke jam sebelas, aku harus meninggalkan gedung indah yang pertama kali aku jejaki itu. Harus meminta diri terlebih dahulu dan meminta simpati rakan dekat untuk menolak permintaannya untuk menjamah Char Kuetiaw kegemaran di tempat kegemaran. Huh.. dalam waktu yang sama, otak masih ligat berfikir soal urus-urus yang belum selesai.

Kurang sepuluh minit jam 12 malam, aku sudah berada di rumah. Perkara pertamanya, aku menghidupkan komputer di meja. Membuka emel, ym, facebook dan kemudiannya membiarkannya sendiri tanpa dibelek lihat. Aku melakukan soal-soal wajib yang terlebih dahulu perlu.

Selesai itu, aku kembali di kerusi kesayangan yang menempatkan komputer kesayangan. Memulakan dengan membiarkan jari-jari terlebih dahulu bercerita. Hanya sedikit sahaja yang aku izinkan, sesuai dengan keluangan waktu yang ada.

Jam tepat menunjukkan 1 pagi, otak masih berfikir. Mencongak-congak masa, menimbang-nimbang kudrat yang ada. Akhirnya aku gagahkan diri. Melayan kerja pejabat yang dibawa pulang mengekor ke rumah. Tekun sehingga jam 5.45 pagi. Siap.


Mencari CD Beethoven yang memuatkan lagu symphony no.9 dan membiarkan ia berkumandang sendiri. Sedang aku terus mandi dan kemudiannya bersiap siaga untuk ke tempat pekerjaan pada jam 6.30 paginya.

Yaa... seminitpun aku tidak sempat meletak lena. Dan saat aku menulis entry ini, aku belum juga meletak lena. Melarik mimpi, apatah lagi. Ermm... Tiba-tiba aku menangis. Menangis kepenatan. Sesuatu tidak pernah terjadi sebelum ini. Sungguh, aku benar-benar maksudkan itu.

[Lagi-2 kereja...... dan kereja.. Kamu semua, tolong.. jangan lupa-kan aku yang kerap hilang dari mata kamu ini..]

No comments: