Monday, July 20, 2009

~ KE PUSARA ARWAH ~


Petang tadi, aku berada di bumi Hang Tuah. Tidak seperti biasa, kali ini aku ke sini kerana melawat keluarga arwah rakan sepekerjaan yang telah pulang ke rahmatullah Sabtu lalu. Sempat juga menjengah pusaranya. Al Fatihah. Mudah-mudahan aman di sana.

Mendengar cerita daripada ibu saudaranya yang telah menjaganya sejak kecil, ada sayu yang membuat menyinggah. Ku tahan keras airmata agar sedikitpun tidak tumpah. Biar sahaja si ibu ini sahaja yang melepaskan rasa kesedihannya.

Aku memandang wajah tuanya tanpa sedikitpun terkalih. Dia berkongsi ceriota saat bagaimana arwah menghembuskan nafas terakhir. Saat bagaimana Arwah terseksa dan menderita diwaktu sakitnya. Aku tersentuh lagi. Kucuba tahankan lagi sehingga satu ketika aku keluar dari ruang tempat kami berbicara itu beberapa ketika. Kononnya mahu menjawab panggilan telefon. Tetapi sebenarnya, aku cuba melawan rasa sebak yang berlawan-lawan mahu mengambil tempat.

Memang benar kata sang ibu, mereka tidak mahu menuduh sesiapa. Arwah juga telah selamat pergi. Namun, penyeksaan yang diterima arwah dengan penganiayaan itu sangat menyedihkan mereka. Semua orang akan mati tetapi cara kematian yang dilalui arwah yang dikatakan berpunca 'khianat' orang sungguh membuat sayu.

Pesanku pada diri, mudah-mudahan kita terhindar dari rasa yang memudaratkan. Baik untuk diri sendiri mahupun kepada orang lain. Bagaimana marahnya kita, bagaimana irinya kita, jangan sesekali memberi ruang kepada iblis dan syaitan daripada menguasai diri dan perasaan kita lalu mengatur tindak yang brtentangan dengan iman. Aminnn.... Aku benar-benar mohon itu...

[Al Fatihah...]

No comments: