Sunday, July 26, 2009

~ AL FATIHAH UNTUK YASMIN AHMAD ~


ALFATIHAH... YASMIN AHMAD telah disahkan meninggal dunia pada jam 11.25 malam tadi (Sabtu : 25 Julai 2009) di Hospital Pakar Damansara setelah dimasukkan ke hospital itu petang Khamis lalu (difahamkan akibat Strok dan pendarahan dalam otak). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Aminnn.

Antara kami tidak pernah ada pertalian atau perkenalan secara dekat. Aku hanya mengenalinya dari jauh sebagai seorang pengkarya seni yang tersohor dan dalam masa yang sama juga sebagai manusia yang banyak berkongsi nilai-nilai kehidupan kepadaku secara tidak langsung melalui karya-karyanya, baik melalui filem atau iklan garapannya.

Aku merasa dekat dengannya kerana dia sering mendekatkan aku dengan banyak sekali nilai kemanusiaan yang kadang-kala aku tercicirkan. Kagum dengan keberanian dan kesungguhannya untuk berkongsi sesuatu yang berat pada mata dan penilaian orang lain.

Kalau ada yang perasan, sejak awal aku mula menulis di blog (sejak blog lama - Mei 2006, sehingga kini), aku sudah abadikan poster tiga karya utamanya di ruang depan ini. Ia sebagai menyatakan rasa kakaguman dan penghargaanku kepada karya-karyanya. Tidak pernah aku usik atau cuba gantikan poster tersebut dengan yang lainnya. Beberapa tahun aku bingkaikan di sini kerana ia mempunyai duduk istimewa dalam hatiku.

Ermm.... dan mulai hari ini, ia benar-benar akan menjadi kenangan. Kenangan terindah yang akan selalu aku kenangkan. Terkenang SEPET, terus aku menjadi GUBRA. Mujur ada MUKHSIN yang membawaku kepada TALENTIME, walaupun tanpa MUALLAF. Terima kasih YASMIN AHMAD. Aku pasti akan merindui kamu. AL FATIHAH.

Kredit : Petikan Berita Dari www.mstar.com.my

Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini.

KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara. Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara. Yasmin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di otak.

Suaminya, Tan Yew Leong, Dr.Zakaria Zahri (adik ipar) dan Datin Orked (adik) turut berada di sisi Allahyarhamah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir. Jenazah pengarah tersohor ini akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid SS19, Subang Jaya sebelum solat Zohor, esok (26 Julai), manakala tempat pengebumian masih belum ditetapkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh rakan baik Allahyarhamah, iaitu pelakon Fatimah Abu Bakar yang mewakili keluarga pengarah itu, pada sidang media yang dibuat di hospital tersebut, sebentar tadi. Fatimah juga meminta kepada semua peminat Yasmin untuk turut menyertai solat jenazah serta mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di sisi orang beriman.

Pihak media juga diminta untuk tidak mengganggu ahli keluarga Yasmin buat masa ini yang masih bersedih dengan kematian pengarah itu. Turut hadir di sidang media tersebut ialah Datuk Seri Farid Ridzuan dan adik iparnya, Dr. Zakaria Zahri.

Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan. Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.


[Ermmmm.. Sunggoh, aku benar-2 merasai ke-sedehan-nya meski dia bukan siapa-2 kepada-ku...]

2 comments:

anumz sarah said...

Al-Fatihah juga...

Koishie said...

yaaa.. mudah-mudahan bersemadi dengan aman dia di sana. Sama-samalah kita hadiahkan al fatihah buatnya.. aminnn... :(