Sunday, June 07, 2009

~ MEMBELA BARAN ~

Dia meluru turun dari kereta dan terus mengetuk cermin kereta yang dipandu seorang wanita bukan sebangsa kami. Kasar. Aku sendiri terkejut melihat perlakuannya itu. Tingkahnya itu aku perhatikan dari cermin sisi belakang. Jalan semakin sesak kerana dia memberhentikan keretanya begitu sahaja di jalan selorong sempit itu.

Aku tidak turun dari kereta. Bukan mementingkan diri sendiri atau tidak mahu membantunya, tetapi aku tidak mahu sama menyertai tindakan kurang cerdiknya itu. Apatah lagi berdiri di sebelahnya yang petah meluncurkan maki hamun dengan suara yang boleh didengari sepanjang lorong sempit itu.

Calar pada keretanya hanya sedikit. Yaa.. segaris calar sahaja. Bagaimana dia dengan dengan sikap barannya itu memalukan dirinya sendiri dengan bertempik bagai orang yang tidak ada tamadun di tengah bingar manusia kota itu. Ermm.. apatah lagi ketika kejadian ini, dia manis bertudung dan berbaju kurung.

Babak itu disaksikan berpasang-pasang mata. Ada yang senyum, ada yang menggeleng-gelangkan kepala dan ada yang terpinga-pinga tidak tahu hujung pangkal kejadian. Namun, rakan ini masih membela barannya tanpa mempedulikan itu semua.

Bukankah lebih baik kalau ada diplomasi? Bukankah ada cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah? Bukankah dia patut menunjukkan contoh yang baik untuk mereka yang tidak sebangsa dan agama? Ermmm.. dia memilih untuk 'baran'.

Dia diam. Aku juga diam. Kereta memasuki parkir di tingkat atas. Lama kami diam. Ketika keluar parkir dan menghala langkah ke The Ship, Bukit Bintang itu dia akhirnya bersuara. "Mesti kau dah tak nak naik kereta dengan aku lagi, kan...". Aku senyum separuh pahit. Itu jawapan yang aku berikan kepada soalannya itu.

Itulah babak yang dilalui aku dengan seorang rakan pada minggu lalu. Sungguh aku malu melihat dia memalukan dirinya sendiri. Ermm.. minta aku terhindar dari baran yang memusnah diri itu. Amin...

[Usah biar-kan amarah men-dahului akal..]

No comments: