Tuesday, June 30, 2009

~ SELAMAT JALAN ~

Hari ini, merupakan hari terakhir salah seorang rakan dalam jabatan berkhidmat di sini. Dia mendapat tawaran untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan. Aku sendiri tidak pasti kenapa dia mengubah haluan bidang pekerjaannya yang nyata sekali berbeza itu. Apapun, tetap doa yang terbaik mengiringi pemergiannya. Mudah-mudahan dia mendapat apa yang dimahukannya dan memiliki kehidupan yang lebih baik selepas ini.

Salah seorang rakanku, menangis penuh sendu. Manakan tidak, hubungan kami begitu akrab sekali. Bila seorang telah tiada, ia amat benar dirasai. Namun, pemergian untuk mencari yang lebih baik, haruslah direlakan. Bahagia rakan-rakan juga akan membawa kepada bahagia kita juga.

Kepada K, mudah-mudahan ada pertemuan lagi selepas ini biarpun terpisah beratus batu. Terima kasih juga diatas segala tunjuk ajar kala aku baru menginjak kaki ke sini. Budi yang baik, pasti akan terkenang jua.

[Ayah sering meng-impi-kan aku men-jadi guru, malang-nya aku tidak mengharap-kan begitu...]

~ TERPULIH RAJUK ~


Rasa kecil hati terhadap adik begitu membekas. Justeru, sebelum melelapkan mata malam tadi aku meluahkan sedikit rasa hati yang berjauh itu kepadanya melalui offline mesej di skrin YM. Tidak aku katakan banyak, cuma memberitahu aku berkecil hati dengan sikapnya.

Pagi tadi, kira-kira jam 11.02 pagi, aku menerima mesejnya di skrin telefon bimbit. "Maafla sy bkn mrh.. Sorry byk2 if AL terasa. Maafla, sy tkde niatpun nk buat AL terasa hati mcm tu. Jgnlh smpn dlm ati. Ptt la AL ltk cm2 jer phone smlm.. Sy akui slh sy, n for that, sy mintk maaf byk2 dri hujung rmbt smpi hujung kaki. Sy tk mrh pun AL smalm. Mgkn salah fhm. So, maaflh. Dh laa, sume dh settle pun. Tkyah la pk lg psl hal tu. N tolongla jgn smpan dlm ati.. "

Aku ke layar YM, sekali lagi dia mengirimkan mesej yang serupa di situ. Ermm.. jujurnya, aku tidak simpan di dalam hatipun. Cumanya aku terasa hati semalam saja. Setakat itu sahaja. Sedih pula bila adik berkali-kali memohon maaf. Aku tahu bukan mudah dia nak lakukan itu kerana dia seorang yang sangat-sangat ego dan jarang meminta maaf untuk hal-hal yang kecil begini. Namun, hari ini dia lakukan itu demi untuk memujuk hatiku. Aku sangat tersanjung dengan apa yang dilakukannya itu.

Aku senyum di sini kerana terasa seperti sudah terpulih rajuk. Mudah-mudahan tidak terulang kejadian serupa lagi. Aminn..

[Kerap ter-luka kerana kata dan bahasa...]

Monday, June 29, 2009

~ SEMENDUNG HATI ~


Hari ini, hati mendung sebagaimana mendung cuaca di luar. Sangat berkecil hati dengan sikap adik lelakiku, juga ayah. Aku disalahkan untuk sesuatu yang bukan kesalahanku. Aku hanya menurut segala yang disuruh-atur. Segala yang tergelincir dari perancangan itu, bukan kuasa dan kawalanku.

Sedih dan berkecil hati sangat-sangat. Aku sudah melakukan yang terbaik seperti yang dimahu. Malah, dek kerana menyelesaikan urusan itu minggu lalu, aku terpaksa mengorbankan sesuatu yang lain. Tidak pernah aku minta dihargai semua itu, namun cukup sekadar tidak mengecilkan hatiku dengan meletakkan beban kesalahan orang lain untuk dipikul di bahuku.

Siang tadi, adik menghubungiku semata-mata mahu menyampaikan rasa tidak puas hatinya yang terkongsi dengan marah ayah kerana hal minggu lalu itu. Yang benarnya, aku telah menguruskan semua perkara tersebut petang khamis lalu seperti yang diminta. Namun, segalanya itu baru diterima mereka pada hari ni (Ahad) akibat kegagalan fungsi di pihak pengurusan lain. Salah aku jugakah?

Aku diam dan senyap menadah kemarahan yang terhambur. Aku tidak akan membela diri. Memang begitupun selalu aku. Padaku, kebenaran itu akan datang juga suatu hari nanti. Justeru, biarlah saja.

[Yang senyap itu lebih nyaring bunyi-nya jika mampu di-dengar... - Pak Samad]

Sunday, June 28, 2009

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN SAHABAT JUNE ~


Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Kamu...
Allah Selamatkan Sahabat June...
Allah selamatkan Kamu...

Aminnn.... mudah-mudahan sahabat ini dipermudahkan rezekinya, dilindungi dan dihindari segala yang memudaratkan. Selamat Hari Ulangtahun kelahiran. Semoga terus menjadi anak kesayangan, adik kesayangan, sahabat kesayangan dan orang kesayangan. Hargailah apa yang termiliki.

Sepatutnya aku mengirimkan ucap selamat malam tadi, namun telefon bimbit tiba-tiba 'hilang' sebaik pulang dari Konsert Cerita Cinta Rossa. Puas mencari, pagi ini baru ditemui. Rupa-rupanya tertinggal di kereta. Kukirimkan ucap selamat buatnya. Namun kali ini, pendek dan ringkas sahaja, tidak seperti selalu. Dia mungkin tahu kenapa.

Dalam sibuk aku membungkus hadiah untuk sahabat june ini, si kecil turut mahu menyertai. Lalu dia tumpang menyiapkan satu kad ucapan. Tingkah si kecil ini sungguh mengundang lucu. Si kecil ini, istimewanya dia, sering sahaja mahu meraikan orang yang sedang dalam rai. Malah hari ulangtahun mama, abah, Tokma, Tokki, malah seisi keluarga besar kami juga dalam ingatannya. Katanya, dia mahu gembira apabila orang yang diraikan itu juga gembira. Kegembiraan yang nantinya akan menjuruskan kepada kebahagiaan.


Kata-kata yang pernah si kecil ini ucapkan dua tahun yang lepas ini sentiasa dalam ingatanku. Entah dari mana dia pinjamkan kata-kata itu... kata-kata yang membuatkan akal dewasaku turut mahu meminjam.

[Tetap dalam terbilang jari... ]

~ KONSERT CERITA CINTA ROSSA @ KL LIVE ~





I LUV U ROSSA... Aku baru sahaja pulang dari menonton Konsert Mini Cerita Cinta Rossa yang berlangsung di KL Live @ Life Centre beberapa minit lalu. Sungguh, aku sangat-sangat terhibur, sangat-sangat tersentuh dan sangat-sangat menghayati muzik alunan penyanyi seberang yang begitu merendah diri dan menghormati setiap yang menyapanya ini.

Rossa sangat mempesona. Sepanjang 2 jam membuat persembahan tanpa henti (kecuali menukar pakaian sebanyak 3 kali), sesaat pun tidak terkalih perhatian dan penghayatan kepada persembahannya yang begitu mengujakan itu. Aku bukan sahaja bercakap sebagai penggemarnya semata, tetapi sebagai penonton yang menonton sebuah persembahan secara adil.

Rossa yang mula dikenali melalui lagu Tegar di Malaysia ini menyampaikan 16 buah lagu-lagu popularnya. Rata-ratanya lagu ini bukan asing di telinga peminat di Malaysia kerana hampir keseluruhan lagu-lagu itu terhafal mereka dan tidak kurang juga yang turut sama menyanyi mengiringi nyanyian Rossa. Dari riak wajah, gelak tawa dan bicaranya, aku yakin Rossa sendiri merasa begitu bangga diberi perhatian dan disayangi begitu.

Bermula dengan alunan lagu Malam pertama dan Seribu Malam, ia kemudiannya diteruskan dengan lalgu-lagu seperti Terlalu Cinta, Aku Bukan Untukmu, Tegar, Bila Salah, Cerita Cinta, Tega, Hati Yang Kau Sakiti, Hey Ladies, Atas Nama Cinta, Ayata-Ayat Cinta, Pudar dan Sakura. Tidak ketinggalan juga duet istimewa bersama vokalis Ungu, Pasha melalui dua buah lagu, Tercipta Untukku dan lagu popular mereka yang sedang digilai saat ini, Terlanjur Cinta.

Kena dengan tema 'Cerita Cinta Rossa' kesemua lagu-lagu yang dipilih untuk konsert malam ini adalah lagu cinta. Lebih menarik lagi, Rossa turut bercerita tentang kisah disebalik lagu-lagu itu. Misalnya lagu Terlalu Cinta yang ditujukan kepada bekas kekasihnya (sebelum mengahwini Yoyo) yang sempat lima tahun menyulam cinta. Ceritanya menyentuh hati tetapi disampaikan oleh penyanyi ini dengan begitu santai disulami gelak tawa sehingga ia melucu dan mengundang gelak tawa penonton. Yang jelas ceritanya bukan datang daripada karangan skrip yang telah ditetapkan sebagaimana kebanyakan penyanyi lain, ia sepertinya spontan dan tulus dari dirinya.

Penyusunan lagu untuk persembahan juga sangat menarik sekali. Justeru, ia seperti menjadi sebuah cerita. Lirik-lirik lagu seolah menjadi sebuah skrip kerana saling berkaitan dan berjalan mengikut cerita yang dikisahkan. Malah, ketika momen yang paling menyentuh di mana Rossa mengalunkan lagu Hati Yang Kau Sakiti dengan begitu berperasaan sekali sehingga terduduk menangis kerana begitu menghayati lagu itu, Rossa kemudiannya bangkit menyambung persembahan dengan menyanyikan lagu Hey Ladies. Lirik Hey Ladies itu memaparkan nasihat dan pesanan buat wanita-wanita yang pernah atau bakal disakiti hatinya.

Justeru, penceritaan persembahannya itu sangat menjadi dan sangat cantik sekali. Malah, penonton turut sekali dibawa masuk ke dalam dunia cerita yang dikisahkannya itu. Justeru, berani aku katakan, persembahan Rossa malam ini sangat membanggakan dan semua yang datang itu kira pulang dengan rasa senang hati.

Dari sudut yang lain, aku memandang penyanyi ini dari sisi wanitanya yang wajar diinspirasikan. Umum sudah sedia maklum akan kecamukan dan berantakan rumahtangga yang sedang dilaluinya bersama suami, Yoyo (pemain drum kumpulan Padi) lebih setahun yang lalu, malah sehingga kini belum ada hujungnya. Namun, dia kelihatannya sangat kuat berdepan musibah. Malah, sentiasa melihat positif apa yang tergalas di bahunya itu. Sentiasa senyum dan ketawa untuk orang lain meski diri sendiri terpikul beban resah yang bukan sedikit. Lainnya, seperti yang aku katakan, dia sangat menghargai dan menghormati orang lain. Tidak juga mendongak langit walau punya nama besar. Aku kira, penyanyi kita harus contohi itu.

[Salah sa-orang rakan menyapa, kata-nya per-tama kali melihat aku dalam situasi yang begitu 'ter-hibor'... hahahaha....]

Saturday, June 27, 2009

~ TELEFON AWAM ~


Nostalgia. Sungguh, sejak memiliki telefon bimbit, sekalipun aku tidak pernah lagi menggunakan telefon awam ini. Entah bila kali terakhir aku menggunakannya, aku sendiri sudah lupa. Pun begitu, aku masih tidak lupa bagaimana cara untuk menggunakannya. Tidak akan lupapun.. :) Telefon ini banyak berjasa suatu masa dahulu.

[Tida' akan jadi Melayu mudah lupa...]

Friday, June 26, 2009

~ KONSERT SATU EKSKLUSIF SITI NURHALIZA ~


Baru sahaja pulang dari menonton Konsert Eksklusif Satu Siti Nurhaliza di Panggung Sari, Istana Budaya. Tiada apa yang lainnya daripada persembahannya untuk konsert-konsert yang sebelum ini. Cuma, Siti Nurhaliza tetap Siti Nurhaliza. Dia punya auranya yang tersendiri.

Selama 2 jam, Siti mengalunkan lagu-lagu popular daripada kesemuanya album-album yang pernah dirakamkannya. Aku hanya duduk diam mendengar di kerusi empuk Panggung Sari itu. Maklum aku tidak begitu mengetahui lagu-lagunya (tidak begitu tahu, bukan tidak tahu semuanya..). Cumanya, aku rasa lebih selesa mendengar dia mengalunkan lagu-lagu Melayu kontemporari dan tradisional.

Sehabis persembahan tersebut yang berakhir kurang lebih jam 11.10 malam, aku duduk senyap di dalam kereta di parkir Istana Budaya untuk beberapa minit. Tiba-tiba merasa tersentuh saat pertama kali melihat penyanyi nombor satu negara itu menangis lebih separuh pertengahan persembahannya tadi saat menyampaikan rasa ingatan dan penghargaannya buat arwah si bapa.

Ermmm... Sungguh, saat ini aku sangat-sangat terkenangkan ayah. Aku sering berat sebelah menilai ayah. Malah, hari bapa tempohari, tidak aku ucapkan salam hari bapa untuknya pun berbanding ibu... ermmm... apakah aku juga akan menangis seperti itu kelak?.........................

[Mem-bayang-kan kalau-lah penyanyi Liza Hanim juga punya pengaroh yang saropa saperti ini... :) ]

Thursday, June 25, 2009

~ ITU AKU ~


Aku jarang bercerita tentang soal-soal peribadi kepada mereka yang di keliling. Bukan sahaja soal cinta hati dan perasaan, malah soal keluarga juga terlalu susah untuk aku kongsi ceritakan. Kalau ada pun, kepada mereka yang ku anggap dekat sahaja. Yang dekat inilah, mulut ini menjadi sedikit ringan untuk bercerita. Yaa... Sedikit.

Justeru, kalau ada yang mengetahui tentang teman jiwa atau tentang ayah, ibu atau kewujudan umi, dia adalah yang dekat-dekat. Dan yang dekat-dekat itu terbilang dengan jari. Yang terbilang dengan jari ini tentunya menjadi orang yang aku taruhkan kepercayaan dan orang yang aku akan menjadi begitu sensitif jika dikuis curiganya.

Kata sebahagian rakan, aku ini begitu perahsia orangnya. Ermm.. mungkin juga. Rahsia itu perlu ada pada semua orang. Sedikit, kalau tidak banyakpun. Namun, saat menghitung diri, aku tidaklah rasa terlalu berahsia. Cumanya, aku ini tidak ringan mulut untuk bercerita barangkali. Justeru, ada rakan di tempat pekerjaan yang tidak tahu aku ini sukanya apa, pantangnya apa. Lalu, mereka membuat kesimpulan sendiri... :)

Terserah... aku tidak terkuis apa-apa. Cuma kalau yang membuat kesimpulan melulu seolah tidak mengenal aku itu adalah mereka yang aku gelarkan sahabat terbilang jari ini, tentu saja aku tercalar rasa. Tentu sahaja aku akan membuat rajuk yang bukan sedikit... ermm.... seperti yang aku lalui beberapa minggu ini...

[Jauh di-sudot hati...]

Wednesday, June 24, 2009

~ RAKAN TEMPAT PEKERJAAN LAMA ~


Lama tidak dalam kesempatan yang begini. Petang tadi aku menghabiskan masa bersama rakan-rakan di tempat pekerjaan lama. Dari petang membawa ke malam. Pada sebelah tengaharinya aku menemani mereka makan tengahari dana pada sebelahnya awal malamnya pula mereka menemankan aku berbuka puasa di tempat kegemaran.

Cerita yang terkumpul dihurai satu-satu. Aku rindukan suasana di tempat pekerjaan lama yang begitu aman dan nyaman. Kami bekerja tanpa ada tekanan. Hubungan antara rakan-rakan pekerjaan juga begitu akrab seperti sebuah keluarga. Tidak ada soal iri hati, tidak puas hati sehingga menyimbah cuka pada wajah. Semuanya baik-baik sahaja.

Disebabkan itulah, meski aku tidak lagi menjadi kakitangan di sana, aku seringkali membuat singgah. Menjenguk rakan-rakan dan masih lagi 'perasan' aku masih merupakan kakitangan di situ. Malah kakak Caltex berhampiran tempat pekerjaan lama itu juga masih menyangkakan aku masih bekerja di situ lantaran sering melihat aku di situ. Yaa.. aku sendiri seperti tidak menyedari telah satu setengah tahun aku meninggalkan tempat pekerjaan lama itu. Rasanya seperti baru seminggu... ermmm..

Menurut cerita rakan-rakan tadi, suasana di tempat pekerjaan lama sedikit berubah kini. Apatah lagi dengan kemasukan kakitangan baru yang mungkinnya tidak mementingkan soal-soal kekeluargaan itu. Justeru, banyaklah rasa yang terhimpit.

Sebelum pulang ke rumah, salah seorang rakan itu bertanya kepadaku tentang sebab sebenar aku meninggalkan tempat pekerjaan lama. Terkejut dengan pertanyaannya itu. Ermm... sebab itu tidak terkongsi dengan sesiapapun. Justeru aku hanya menjawab dengan sebuah senyuman. Cuma yang paling pasti, ia bukan bersebab wang ringgit atau penawaran material dari tempat pekerjaan sekarang. Sungguh, ia bukan bersebab itu.

[Ter-kenang sa'at men-curi tulang ber-sama rakan-2 di-tempat pekerjaan lama se-mata-2 mau men-jamah ABC di-Taman Warisan, Putrajaya... :) ]

Tuesday, June 23, 2009

~ SEDIKIT RUANG ~


Bagai sudah terjanji pada diri, hari ini (siang tadi) aku mengikhlaskan diri untuk berpuasa. Kebetulan juga pada hari ini, terhambat urus pekerjaan yang berat pula. Hadapi dengan senang hati. Usai segala urus kurang lebih jam 7 petang. Kepenatan, aku mahu pulang sahaja. Apatah lagi, aku tidak bangun sahur untuk mengalas perut yang kosong sejak tengahari semalam.

Dalam kepala sudah berkira-kira mahu bermenukan milo kotak sahaja untuk berbuka puasa. Tentu sahaja itu yang paling membuat selera. Mana mungkin aku sempat berbuka di rumah jika dalam waktu yang begini, aku masih di jalanan. Paling tidak, jam 9 malam barangkali baru aku menjejak kaki ke rumah.

Tiba-tiba, rakan tidak seperjaan mempelawa untuk menemankan aku berbuka puasa meski tidak sekali aku meminta dia berbuat demikian. Aku malah menolak kerana fikirku, ia bukanlah satu masalah besar pun andai aku tidak sempat berbuka puasa di rumah. Namun dek kerana dia begitu beriya dengan alasan yang tidak terelakkan, aku menurut sahaja.

Tiba di rumah kurang lebih jam 10.20 malam. 10 minit aku menarik nafas, telefon bimbit bergetar. Nama BR tertera. Rupa-rupanya dia siap siaga menunggu di bawah mahu aku menemankan dia menghirup secawan coffee. Ermm.... Penat dan hanyut dalam lelah yang panjang. Namun, aku akhirnya menurut sahaja kerana tidak mahu mencuit rasanya yang sanggup dengan usahanya untuk kemari dan menunggu begitu. ermmm...

[Kalau sudah di-depan rumah... apa lagi yang mau di-kata-kan..]

Monday, June 22, 2009

~ ALUNAN YANG LEKAT DAN KEJAP ~


SEMALAM, sempat menyinggah ke Amcorp Mall. Membawa pulang dua keping CD yang sangat-sangat menyenangkan aku. Classic Musica yang mengandungi karya-karya Mozart, Beethoven, Vivaldi dan ramai lagi. Pertama kali juga aku mendengar Mozart Simphony no. 40. Lekat dalam ingatan terus. Menulis entri ini juga diiringi dengan alunan lagu-lagu Classic Musica ini.


Selain itu, aku juga mendapatkan CD Vanessa Mae Greatest Collection. Pernah dulu memiliki Vanessa Mae, tetapi hilang entah ke mana bersekali dengan album Kitaro Greatest Hits yang menjadi kegemaran. Justeru, sebaik terpampang di depan mata terus sahaja aku memilih untuk memiliki album ini. Sungguh, lagu-lagunya sangat-sangat membuai seperti Toccata dan Allegro..

[Belom men-dapat ganti Beethoven yang telah rusak ter-simbah air tempohari... huhuhu..]

Sunday, June 21, 2009

~ UDARA PAGI BERSAMA SENASKAH NOVEL ~


AWAL pagi tadi, kira-kira jam tujuh pagi, aku memandu sendirian menuju ke Tasik Titiwangsa. Bersama senaskah novel Luka, aku menghabiskan masa di sana sehingga jam sebelas. Tidak pernah aku lakukan itu dan ini merupakan pertama kali. ermm... sedikit dengan rasa aman.

[Sa-sekali dengan tingkah yang ber-beza..]

~ AMARAH YANG TERKEPUNG ~


SERABUT. Mahu marah dengan keras, tetapi marah itu tidak mampu terlepaskan. Aku duduk diam, tetapi diam itu juga tidak memberi aman. Deras jantung berdegup juga semakin kencang sehinggakan aku perlu mengangkat kaki, agar darah, urat dan segala macam di dalamnya dapat berfungsi lancar tanpa ada ganggu.

Awal pagi, aku keluar ke hiruk pikuk kota. Melaksanakan janji yang akhirnya menjadi perangkap resah buat diri. Mahu melarikan diri seketika dari terus terkepung amarah itu, aku mencari mereka yang terpilih untuk menghirup secawan coffee. Malangnya, tiada satu diantara mereka itu ada kelapangan yang baik ketika itu.

Aku benar-benar perlukan seseorang untuk berbual ketika tadi. Bimbang amarah yang diikat jinak itu akan terus membahang dari dalam lalu membakar setinggan yang tidak langsung menyumbang tempang. Aku jarang-jarang membuat permintaan, dan yang jarang-jarang ini bila bertolakan, aku membuat ingat yang panjang sekali.

Ermm.... menarik kembali hasrat untuk menghirup secawan coffee, aku sudahnya menghabiskan masa di dalam kereta yang tidak bergerak. Dari jam 2 petang sehinggalah tepat jam 6 sebelum sahabat kecil datang menyapa khabar.

Marahnya panjang sehingga ke malam apabila baranya makin ditambah-tambah sehingga menyalakan api besar. Tanpa sengaja (sungguh ia berlaku di luar jangkaku), aku telah mengirimkan satu mesej yang bernada tinggi kepada seseorang. Pertama kali tentunya aku meletakan emosi di depan mendahului. Mohon maaf, kesabaranku pada kamu sudah berada pada tahap yang hujung duduknya.

Saat ini, amarah berkepung menunggu arah hati. Nafas laju tanpa mampu diperlahankan. Aku tidak pernah mahu dalam situasi begini, tetapi aku dicabar-cabar dengan begitu hebat sekali. Justeru, ampun aku kalau tidak menjadi aku lagi.

[Usah men-coba aku... kelak ter-bakar-nya bukan sediket... musnah dalam senyap tanpa suara..]

Saturday, June 20, 2009

~ MANA SETANGGINYA ~


AWAL minggu beberapa hari lalu, aku berkesempatan menonton teater Mana Setangginya, karya Sasterawan Negara, Dato' Noordin Hassan. Aku difahamkan, teater ini sebenarnya telah terperap hampir sepuluh tahun yang lalu, di mana ia sepatutnya menjadi karya pertama yang dipentaskan di Istana Budaya di awal pembukaannya dahulu.

Kini, Mana Setangginya berjaya di pentaskan. Di bawah arahan Zaifri Husin yang juga merupakan seorang penggiat teater yang sangat aktif (aku sukakan wataknya dalam teater Lantai T. Pinkie), teater ini berjaya mencuri perhatian penonton.

Kalau diikutkan, Mana Setangginya merupakan sebuah teater yang agak berat. Sarat dengan nilai falsafah dan pengajaran untuk dipinjamkan ke dalam realiti kehidupan kita hari ini. Senang cakap juga, Mana Setangginya bukanlah sekadar untuk hiburan yang selapis.

Tahniah diucapkan kepada pereka pentas dan props yang sangat berjaya menghidupkan suasana latar zaman teater tersebut. Sungguh ia nampak cantik sekali. Apatah lagi saat Pari-Pari berterbangan dari atas pentas sambil menari-nari. Owhh.. aku sangat sukakan momen itu sehingga membawa aku sekali terbang di atas sana.

Khabarnya, aksi terbang yang dipaparkan dalam teater ini mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila ia merupakan aksi terbang pertama di dalam sejarah pementasan teater tempatan. Aku kagum dan aku sukakanya. Begitu juga dengan kesan bunyi khas serta belut gergasi yang tampil di akhir cerita untuk menelan Hawar dan pengikut-pengikutnya.

Untuk para pelakonnya, bagai biasa aku sangat terpikat dengan lakonan Azizah Mahzan sebagai Mira. Geraknya, lontaran suaranya, mimik mukanya semuanya kena. Auranya terasa biarpun kemunculannya hanya untuk beberapa babak sahaja sebagai pencerita kepada alur cerita teater ini.

Selain itu, lakonan Sharudin Thamby sebagai Hawar yang merupakan seorang 'gay' juga begitu baik. Ada sahaja perkara yang lucu yang dilakonkannya sehingga membuatkan seisi panggung Sari itu bingar dek gelak tawa.

"Mengisahkan tentang sebuah perkampungan nelayan di tepi pantai. Penduduknya menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual ikan hasil pohon Setanggi. Nelayan ini dilarang untuk menangkap ikan pada hari Sabtu, yang dipercayai sebagai hari beribadat. Kumpulan nelayan yang derhaka di bawah pimpinan Hawar telah berpindah ke atas bukit. Hidup mereka mewah walaupun melanggap perintah. Kedatangan Uzza selaku orang asing telah membawa falsafah baru dalam kehidupan mereka."

Teater yang mula dipentaskan kepada umum sejak 13 June lalu ini masih berbaki dua pementasan lagi iaitu pada 20 & 21 June. Justeru, untuk mereka yang belum menonton, jangan dilepaskan peluang ini.

[Pari-Pari Merah sedang meng-adap gelisah..]

Friday, June 19, 2009

~ 4 PAGI KFC, AMPANG PARK ~


5.25 pagi. Mengantuk. Baru sahaja pulang ke rumah. Jam 9-11 malam tadi, aku berada S.A untuk urus pekerjaan yang telah dipertanggungjawabkan. Kebetulan sahabat Mei atas urusan pekerjaan juga di majlis yang sama. Ermm... Sudah merancang, tetapi tiba-tiba yang tidak dirancang membuat singgah.

Sahabat mei menarik untuk mengatur bual yang panjang lagi (yaa.. lagi). Usai segala urus pekerjaan, kami berbual di parkir kereta tentang urus kerjayanya dan kemudiannya memanjangkan pula ke KFC di Ampang Park, Ampang. Rancak berbual sehingga tidak sedar jam sudah menunjuk ke angka 4.15 pagi. Esok kerjaaa...

Sabtu ini, berlangsung Konsert Pesta Malam Indonesia buat kali ketiga berturut-turut. Sahabat yang baik hati ini juga telah memberikan tiket percuma untuk menonton kepadaku. (Tersenyum). Sahabat ini sering berfikir tentang sesuatu yang sama denganku. Bagaimana dia boleh terfikir, yang aku juga berfikir tentang Dealova atau Dewa, aku sendiri kurang pasti.

Ermm... Apapun, Dealova (Once) itulah yang menjadi kenangan terindah buat arwah D. Tentu sekali rakan-rakan dekat paling tahu, aku mahu ke konsert Pesta Malam Indonesia itu bukan dengan alasan mahu berliburan. Ini kerana, mereka terlalu tahu kecenderungan muzikku tidak ke arah itu. Aku bukan ke sana bukan ke sana kerana menggilai Dewa 19, Gigi, Padi, atau Shiela On 7.... oh tentu sekali itu bukan aku... ermm...

Untuk menjawab tandatanya, yaa... jujurnya, aku ke malam Pesta Malam Indonesia kerana Dealova... kerana kenangan yang ditinggalkan oleh arwah D. Dia peminat berat kumpulan Dewa dan Dealova dari Once. Justeru, pada setiap kali hari ulangtahunnya, pasti album kumpulan Dewa menjadi sebahagian daripada pemberianku.

[Ter-tarik dengan tingkah teman lelaki sahabat mei yang juga merupa-kan saudara baru, meng-angkat tangan mem-baca doa makan sa-belom me-nyuakan KFC ke-mulot-nya...]

Thursday, June 18, 2009

~ TEATER MUZIKAL PAK PANDIR ~





ALAHAI Pak Pandir.... Aku ketawa kecil, sesekali menggelengkan kepala. Mengejutkan, aku juga tanpa sedar telah menitiskan air mata sedih. Ermmm.. menonton Pak Pandir yang penuh kelucuan itu boleh menitiskan air mata?

Pementasan teater muzikal Pak Pandir berlangsung selama 2 malam (17 & 18 June 2009) di Dewan Filharmonik, PETRONAS, KLCC. Tiada muka-muka popular dalam teater yang terpinjam daripada cerita rakyat tersohor ini. Pemeran wataknya hanya terdiri daripada artis-artis kumpulan Seni Persembahan PETRONAS. Pun begitu, persembahan mereka begitu mantap dan terkesan sekali. Aku sangat sukakannya.

"Muzikal Pak Pandir ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri miskin yang hidup di sebuah kampung. Kedunguan pak Pandir telah menyebabkan kematian anaknya. Isterinya, Mak Andeh berasa amat marah lalu menghalau Pak Pandir. Pak Pandir kemudiannya membawa diri ke dalam hutan belantara."

Aku paling terkesan pada babak Mak Andeh yang meratap kematian satu-satunya anak mereka akibat kedunguan Pak Pandir yang cuba 'memandikan' anak mereka ke dalam air yang sedang mendidih. Pak Pandir pula pada fikirannya mahu meringankan beban kerja Mak Andeh dengan membantu memandikan anak itu tanpa mengetahui akibat daripada perbuatannya itu.

Aku juga terjatuh suka dengan kecomelan si rusa yang dikerjakan oleh Pak Pandir itu. Pulang ke rumah, terngiang pula dengan lagu 'Garam' yang dinyanyikan ketika babak Pak Pandir merendam garam ke dalam sungai kerana takut dicuri orang.. :)

Apa yang boleh aku katakan, selain daripada memberi lucu, teater muzikal ini banyak menghulur nasihat serta pengajaran kepada penonton baik secara tersurat mahupun tersirat. Ada sesuatu yang akan kamu bawa pulang kala usai menontonnya.

[Bagi-mana pula dengan cherita Lebai Malang, Mat Jenin dan sekian banyak lagi cherita ra'yat yang lain yaa...]

Wednesday, June 17, 2009

~ SAHABAT LAMA ~


Siang tadi, dengan kesempatan yang ada aku memenuh janji dengan sahabat mei. Kali pertama yang benar-benar aman setelah ribut besar. Benar, dia telah kembali seperti dulu. Itu pada pandangan mata kasarku. Mudah-mudahan pandangan itu tidak tersasar sebaliknya.

Memberi dan menerima kemaafan ikhlas itu menjadi satu titik keamanan yang sangat menyenangkan. Manusia memang tidak pernah terlepas daripada kesilapan. Namun, apa yang dilalui itu wajar dijadikan pelajaran yang berguna untuk masa depan. Mudah-mudahan tidak terulang kesilapan serupa yang tentunya akan memberikan musibah yang serupa juga.

Ternyata banyak cerita yang terkongsi dengan sahabat mei ini sehingga ke awal pagi. Leka dengan kisah 'profail tingginya' itu. Dia memang seringkali leka bercerita dan aku juga kerapkali leka menjadi pendengar. Sejak dulu dan ia masih tidak berubah. Dia kembali meletak kepercayaan.


[Sa-suatu yang ber-nilai tinggi, tentu sa-kali ter-jual mahal... sama-lah dengan per-sahabatan]

~ DEALOVA ~


DEALOVA
by once

Aku ingin menjadi mimpi indah
Dalam tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu
Yang mungkin bisa kau rindu

Karena langkah merapuh
Tanpa dirimu
Oh… Karena hati tlah letih

Aku ingin menjadi sesuatu
Yang slalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu bahwa aku
Selalu memujamu

Tanpamu sepinya waktu
Merantai hati
Oh… Bayangmu seakan-akan

Kau seperti nyanyian dalam hatiku yang
Memanggil rinduku padamu
Seperti udara yang kuhela kau selalu ada

Oh…
Hanya dirimu
Yang bisa membuatku tenang
Tanpa dirimu
Aku merasa hilang… dan sepi
Dan sepi…

Kau seperti nyanyian dalam hatiku yang
Memanggil rinduku padamu
Seperti udara yang kuhela kau selalu ada

Kau seperti nyanyian dalam hatiku yang
Memanggil rinduku padamu
Seperti udara yang kuhela kau selalu ada

Selalu ada…
Kau selalu ada…
Selalu ada…
Kau selalu ada…
Sya… na na na…

[Lagu ini ber-kumandang di-chorong radio motokar, kala aku dalam per-jalanan ke-BTM me-menuh janji sahabat mei siang tadi.. Ermm... Kalau-lah aruwah D maseh ada... ermm..]

Tuesday, June 16, 2009

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN KELAHIRAN ~


Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan kamu..
Allah selamatkan Ai,
Allah selamatkan kamu...

SELAMAT hari ulangtahun buat sahabat yang sentiasa menjadi sahabat ini. Mudah-mudahan segala impian yang sering dia sebutkan itu menjadi kenyataan. Juga dipanjangkan umur, terus dibukakan pintu rezeki dan terlindung dari segala kebencanaan.

Mohon kemaafan juga buat si ibu, auntie Phia kerana tidak dapat meraikan majlis ulangtahun anak gadis kesayangannya ini kerana benar-benar terhambat dengan urusan pekerjaan.

[Bila oktober ber-nada november.. ermm...]

Monday, June 15, 2009

~ KASIH TAK KEMBALI ~


KASIH TAK KEMBALI
by atilia - ost talentime

Menantikan dia kembali
Melamun hatiku sedih
Hati gelisah bermimpi
Memadukan kasih

Disampaikan ratapan jiwa
Di hembusan angin lalu
Harapan ingin berjumpa
Menyampaikan hasrat rindu

Tapi hanyalah bayangan
Tak kunjungnya kembali lagi
Gelap suram pemandangan
Binasalah diri

Remuk redam rasa hati
Tak tertahan menanggung rindu
Kasih tak mungkin kembali
Musnahlah harapanku

[Ka-rinduan yang tida' perenah di-minta datang.. ermmm]

Sunday, June 14, 2009

~ CUAI ~


SEDIH... Dek kecuaian sendiri, CD Beethoven kesayangan, 'An Hour With Beethoven' rosak tidak berguna akibat tersiram tumpahan minuman sendiri. Pasrah menyaksikan kejadian itu. Ermm...

Hilang mood satu hari kerana hilang satu koleksi Beethoven yang amat dijaga rapi. Uhuks... Terpaksalah merajuk dengan diri sendiri sahaja...

[Pilem Departures yang sedang di-putar-kan kepada umum di-wayang gambar juga me-minjam alunan Beethoven : Symphony no. 9...]

Saturday, June 13, 2009

~ MENGINGAT SAHABAT ~


AKU sayangkan sejadah kecil ini. Hadiah pemberian dari sahabat mei ketika dia pulang dari mengerjakan umrah hampir empat tahun yang lalu. Ia sering mengingat dan memesankan kepadaku supaya menjaga kukuh persahabatan, meski pernah menjengah ribut kasar.

[Sa-kaki payong Fukuoka juga maseh eluk tida' ter-usek..]

Friday, June 12, 2009

~ KELAM KABUT ~


ENTAH apa yang tidak kena, seluruh hari ini menjadi kelam kabut. Aku membuka mata dan memulakan hari agak lewat pada hari ini. Segala seperti hilang keteraturannya.

Hari yang paling banyak juga aku menggunakan perkhidmatan awam untuk bergerak. Bermula seawal pagi, hinggalah lewat tengah malam. Aku berganti menggunakan perkhidmatan teksi, bas teksi, tren komuter, teksi, kereta, monorail, bas dan teksi.

Bertambah kelam-kabut atau mungkin juga kerja kurang cerdik apabila dari MV aku berpatah balik ke rumah yang jaraknya hampir satu jam kenderaan awam itu semata-mata kerana mahu menukar pakaian yang tiba-tiba terasa begitu santai untuk diheret ke ruang pekerjaan. Awalnya, aku tidak perlu ke ruang pekerjaan, tetapi keputusan itu tiba-tiba bertukar dan pakaian juga harus aku tukarnya.. ermm..

Sebaik itu, aku terus ke ruang pekerjaan. Jika tidak kerana baju, aku sudah tiba di ruang pekerjaan 2 jam setengah yang lalu. Ohh.. aku sememangnya kurang bijak. Lima belas minit selepas duduk menyandar di meja pekerjaanku, aku perlu melaksanakan satu lagi tugasan luar yang diberikan pada saat-saat akhir. Perlu berada diUK. Ermm...

Pada malamnya pula, aku berada di Sheraton Imperial. Perjalanan yanng sepatutnya mengambil masa seangin lalu itu dari UK itu menjadi perjalanan yang panjang menyamai perjalanan ke Melaka. Di kiri dan kanan jalan yang sarat dengan kenderaan itu, kelihatan ramai sekali manusia yang dalam keadaan tertekan.. yaa.. di hiruk-pikuk kota besar ini, kesesakan jalanraya memang bukan perkara luar biasa menjadikan ramai manusianya tertekan.

Aku? Aku tidak tertekan.. cuma aku tidak sukakan suasana kelam-kabut yang aku lalui sepanjang hari ini. Kerana kelam kabut jugalah, aku tertinggal telefon bimbit di rumah. Sudahnya, bergelisah sepanjang itu dan tidak senang mahu memberi fokus kepada urusan pekerjaan yang sedang aku lalui.

Jam 11.45 tiba di rumah pula, entah mana datangnya si kucing tidak bertuan yang suka membuat kacau ini. Dia menunggu di tepi tangga yang harus aku panjat untuk sampai ke rumah. Puas aku cuba mengusirnya supaya memberi laluan, namun gagal. Dia sengaja mengusik aku seperti tahu aku tidak akan berani melintasi di depannya.

Justeru, aku akhirnya membuat keputusan untuk duduk saja di anak tangga pertama itu walaupun badan sudah terlalu penat dan mahu terus meletak lena. Si kucing ni memang sengaja mahu mengenakan aku.. huh.. Mujur kurang lebih sepuluh minit selepas itu, seorang jiran yang berkebetulan baru pulang juga, mahu menggunakan tangga yang sama. Mengekor sahaja aku untuk menyelamatkan diri dari kucing yang pernah membuatkan aku tergolek jatuh pada tangga yang sama ini suatu masa dulu..

[Sering-kali juga memileh untok bertindak kurang bijak dengan sengaja...]

Thursday, June 11, 2009

~ MENDENGAR ~


MENGHIRUP secawan coffee bersama sahabat kecil di tempat kegemaran. Semenjak akhir-akhir ini sahabat ini kerap bercerita tentang kehidupan beratnya. Kehidupan sukar yang dia lalui secara bersendiri. Tidak sahaja zaman anak-anak dan alam remajanya, malah sehingga kini pun dia masih terkepung soal yang sama. Dia besar dalam kehidupan beratnya.

Tidak seperti hari-hari sebelumnya, kali ini dia menangis. Terlalu sebak barangkali mengenangkan malang bertimpa yang terlalu rajin membuat damping dalam hidupnya.

SK : Aku tak ramai kawan baik... yang ada, kebanyakannya tak baik..
AKU : (terkebil-kebil dengan wajah yang tidak faham)
SK : Kawan-kawan aku ramai yang tak boleh diharap dan percaya
AKU : Ermmm..

Bukan semua orang yang boleh kita taruhkan percaya. Justeru, jadilah pemilih. Pilih sahabat yang ada kejujuran dalam persahabatannya. Bila sudah ada kejujuran, percayalah persahabatan itu akan terhindar dari segala pengkhianatan.

[Untok kamu yang aku gelar sahabat, kamu ada ke-dudokan yang ter-sendiri..]

Wednesday, June 10, 2009

~ SELAMAT KEMBALI WAHAI SAHABAT ~


SUNGGUH, aku tidak tahu apa mimpinya. Tiba-tiba sahaja nama sahabat mei tertera di skrin telefon bimbitku. Beberapa saat aku membiarkan telefon bimbit itu membuat getar sebelum menyambut panggilan itu. Manakan tidak, lama sungguh namanya tidak tertera di skrin telefon bimbitku.

Kedengaran suara cerianya di hujung talian. Aku juga menyambut dengan ceria. Perbualan kami hari ini umpama jejak kasih dua sahabat lama yang hilang terpisah di benua berasingan. Walhal aku dan sahabat ini berada di hiruk pikuk kota yang sama.

Sikapnya sama tak ubah seperti suatu masa dulu. Galak bercerita dan berkongsi tentang kerjaya dan kehidupan terbarunya. Menariknya, dia masih segar dengan anggapannya terhadap scorpio dan kami membuat perdebatan soal itu. Aku puji ingatannya sangat kuat sekali. Tidak hairanlah dia masih mengingat sahabat june yang ku perkenalkan kepadanya sebagai sahabat tsunami itu. Lucu.

Perbualan yang bermula awal tengahari itu berlarutan sehingga kurang lebih tiga jam. Aku sendiri kurang pasti entah bila kali terakhir kami berbual panjang begini. Kalau ada pun, hanyalah perbualan pendek penuh syarat. Sekadar menyapa soal urus pekerjaan. Kebetulannya bidang pekerjaan kami ini saling berkaitan. Itu sahaja.

Dia beriya mempelawa untuk menghirup secawan coffee. Ermm.. bendera damai secara rasmi barangkali (mudah-mudahan). Insya-Allah, jika tiada aral yang melintang pukang, Selasa ini barangkali. Terima kasih kerana meletak kembali persahabatan itu pada duduk yang sepatutnya.

[Taurus tetap Taurus... :) ]

Tuesday, June 09, 2009

~ DUDUK DIAM~


Aku ni degil, keras hati dan sangat susah mahu menangis. Namun, hari ini aku menangis. Menangis kerana yang di dalam ini sudah kebanjiran dengan rasa sedih yang sangat melimpah. Sekali lagi kerana mahu mempertahankan seorang sahabat. Pulang ke rumah, aku menghabiskan masa selama hampir 5 jam di dalam kereta yang tidak bergerak. Seketika mahu senyap, mahu diam. Ermmm... :(

[Terasa ingin mem-pertahan diri...]

~ PERSAHABATAN UNGGUL ~


TIADA yang paling unggul selain persahabatan yang memberi jujur. Jujur yang tidak terjual dengan berapa harga sekalipun. Ingat itu.

[Usah coba ber-jual beli dengan per-sahabatan..]

Monday, June 08, 2009

~ TIDAK MEMENUHI SYARAT ~


“saya layan jer tak consider rapat..”

TEKS itu dimaksudkankan kepada salah seorang sahabat baiknya, yang juga dalam kenalanku. Aku tersenyum sahaja mendengar jawapan penuh keyakinan daripadanya itu. Dalam masa yang sama, ada sedikit rasa terkejut. Begitu dia membuat klasifikasi, sedangkan sahabatnya itu menganggapnya sebagai seorang sahabat yang boleh diharap.

Ermm... Jawapan bersahajanya itu juga sebenarnya turut memberi jawab kepada banyak persoalan sendiri yang pernah aku ajukan. Patutlah banyak yang tidak kena sebelum ini, rupa-rupanya aku yang gagal memahami jelas. Dia ada syarat-syarat sendiri dalam persahabatannya. Syaratnya mahal. Terang-terang, sahabatnya tadi dan aku juga tidak memenuhi syarat-syarat itu.

Ermm... sedih dan kasihan juga barangkali... Apapun, bagus juga dengan kenyataan itu kerana sekurang-kurangnya aku tahu tentang 'harga dan nilai duduknya'. Justeru, takkan kudekati 'rak' itu lagi. Harganya mahal. Di luar kemampuan. Membeleknya pun tidak layak, apatah lagi mahu membelinya. Huhuhu..

[Untok yang harga-nya murah, tentu sahaja janggal berada di-rak yang mahal, bukan..?]

Sunday, June 07, 2009

~ MEMBELA BARAN ~

Dia meluru turun dari kereta dan terus mengetuk cermin kereta yang dipandu seorang wanita bukan sebangsa kami. Kasar. Aku sendiri terkejut melihat perlakuannya itu. Tingkahnya itu aku perhatikan dari cermin sisi belakang. Jalan semakin sesak kerana dia memberhentikan keretanya begitu sahaja di jalan selorong sempit itu.

Aku tidak turun dari kereta. Bukan mementingkan diri sendiri atau tidak mahu membantunya, tetapi aku tidak mahu sama menyertai tindakan kurang cerdiknya itu. Apatah lagi berdiri di sebelahnya yang petah meluncurkan maki hamun dengan suara yang boleh didengari sepanjang lorong sempit itu.

Calar pada keretanya hanya sedikit. Yaa.. segaris calar sahaja. Bagaimana dia dengan dengan sikap barannya itu memalukan dirinya sendiri dengan bertempik bagai orang yang tidak ada tamadun di tengah bingar manusia kota itu. Ermm.. apatah lagi ketika kejadian ini, dia manis bertudung dan berbaju kurung.

Babak itu disaksikan berpasang-pasang mata. Ada yang senyum, ada yang menggeleng-gelangkan kepala dan ada yang terpinga-pinga tidak tahu hujung pangkal kejadian. Namun, rakan ini masih membela barannya tanpa mempedulikan itu semua.

Bukankah lebih baik kalau ada diplomasi? Bukankah ada cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah? Bukankah dia patut menunjukkan contoh yang baik untuk mereka yang tidak sebangsa dan agama? Ermmm.. dia memilih untuk 'baran'.

Dia diam. Aku juga diam. Kereta memasuki parkir di tingkat atas. Lama kami diam. Ketika keluar parkir dan menghala langkah ke The Ship, Bukit Bintang itu dia akhirnya bersuara. "Mesti kau dah tak nak naik kereta dengan aku lagi, kan...". Aku senyum separuh pahit. Itu jawapan yang aku berikan kepada soalannya itu.

Itulah babak yang dilalui aku dengan seorang rakan pada minggu lalu. Sungguh aku malu melihat dia memalukan dirinya sendiri. Ermm.. minta aku terhindar dari baran yang memusnah diri itu. Amin...

[Usah biar-kan amarah men-dahului akal..]

~ KASUT OH KASUT ~


Melekat mencuri pandang mata sehingga tidak mahu membuat ganjak selagi belum membuat milik. Ermm.. aku kalah lagi.

[Maseh ma-nyimpan sa-pasang kasot yang di-beli dengan belah kasot yang sama - kedua-2 nya kasot sa-belah kanan... huhuhu..)

Saturday, June 06, 2009

~ TIDAK PERNAH MAHU CEMBURU ~


Aku tidak akan pernah mahu cemburu untuk hal-hal yang sebegini. Namun, sikap dan gelagat dua manusia ini (semalam) sangat memualkan aku. Hormati aku yang berada di ruang yang sama dengan tidak 'mempertontonkan' sesuatu yang sangat menjengkelkan mata. Bukan aku sahaja, malah sesiapa sahaja juga akan berkata serupa.

Tiada siapa melarang kamu mahu 'bermesra' sama si cinta kamu, tetapi jangan dimualkan di depan pasang mata orang lain dengan cara yang begitu keterlaluan. Orang lain juga punya si cinta tetapi tahu adab tertib dan keteraturannya. Dan jika kamu bukan orang yang mengikut tertib sekalipun pun (urusan kamu dengan Tuhan), jangan sekali membuat 'drama' di tempat yang tidak sesuai. Kelak, doa yang terburuk tanpa sengaja diucap orang kepada kamu...]

[Hurmati... yaa sila hurmati orang laen yang meng-hurmati kamu sebagai manusia...]

Friday, June 05, 2009

~ KEBENARAN ~


BEBERAPA hari lalu, seorang kenalan membuka cerita tentang sahabat mei. Katanya, sahabatku yang seorang itu sedang menarik nafas dalam ribut dengan seorang yang pernah dia menaruh percaya. Seorang itu jugalah yang pernah cuba melaga-lagakan aku dengannya sehingga berlaku tsunami antara kami tiga tahun lalu. Hari ini kebenaran bertebaran. Seorang itu rupa-rupanya talam dua muka. Bermanis bibir di depan, tetapi di belakang, pelbagai cerita kurang manis ditaburkan tentang sahabat mei. Begitu dia membalas jasa orang yang telah banyak membantunya sekembalinya dia ke tanahair.

Aku mendengar sahaja cerita itu tanpa sebarang celah. Cuma yang aku harapkan, mudah-mudahan sahabat itu dalam keadaan yang baik-baik. Nampak sahaja dia kental di luar, tetapi hakikatnya hatinya terlalu rapuh. Aku tahu, dia pasti menangis panjang walaupun dia selalu katakan dia seorang yang suka mengambil positif dalam segala segi.

Pelajarannya terkutip juga kepadaku. Memberi percaya biar pada logik akalnya, biar bertempat. Menghargai orang yang tidak menghalakan kita kepada sesuatu yang bukan kita... dan yang tidak pernah tertinggal, persabahatan itu perlu dijaga jujur. Sekali kita melepas persahabatan yang jujur, makan sepuluh kali kita akan terlepas kebenaran.

Terbaru, sahabat mei khabarnya bakal berpindah ke rumah baru dengan teman serumah baru (barangkali). Tidak aku tanyakan kepadanya melainkan dia dengan sudi diri berkongsi berita itu. Mungkin itu lebih baik buatnya. Ermm...

[Holiday Villa itu banyak cherita sa-hingga hari ini.. ermm]

~ KETIKA CINTA BERTASBIH ~


TAJUK : Ketika Cinta Bertasbih
KARYA : Habiburrahman El Shirazy
EDARAN : Al Risalah Product Sdn Bhd
HALAMAN : 484
HARGA : RM21.90

"Entah kebapa tiba-tiba ia merasa berdosa. Ia merasa berdosa dan jijik pada dirinya sendiri yang begitu rapuh, mudah terpedaya oleh tampilan luar yang menipu. Ia jijik pada dirinya sendiri yang ia rasa terlalu cair pada lawan jenis yang belum halal baginya..."

[Ter-kenang Pak AminulRashid ketika sesi ESQ angkatan 30]

Thursday, June 04, 2009

~ KECICIRAN SABAR ~


Setelah usai urusan di Tower 1, bangunan kembar KLCC yang tersergam indah itu, aku menerima pelawa sahabat kecil untuk menghirup secawan coffee di tempat kegemaran, di T.B.R. Titik pertemuan kami yang memudahkan keduanya, kami berjanji untuk bertemu di W.M.

Untuk memendekkan masa perjalanan, aku memilih untuk menaiki LRT Putra. Alang-alang aku di dalam bangunan KLCC, mahu ke W.M yang juga punya perkhidmatan yang serupa. Aku fikir itu alternatif terbaik.

Namun, sebaik turun ke bawah tempat mengambil gerabak, aku sangat terkejut. Terkebil-kebil melihat manusia penuh mengisi ruang sempit di bawah itu untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan yang satu itu. Sungguhpun begitu, aku memasuki barisan yang berjela panjang itu.

Malang sekali barisan itu sangat perlahan geraknya walaupun sudah beberapa trip gerabak yang berbeza menurun dan menaikkan penumpang. Beberapa kali aku memandang ke kiri dan ke kanan. Tingkah itu menghulur isyarat, skala kesabaranku daripada tangga 7 telah turun di bawah paras 5. Ermmm... tiba trip kelapan dan aku masih gagal juga meloloskan diri ke dalam gerabak, aku tiba-tiba keluar daari barisan.

Sungguh, aku tidak mampu lagi untuk menghela nafas dalam keadaan berhimpit keras dan sangat tidak menyelesakan ini. Curiga dengan manusia keliling pun mungkin juga. Siapa tahu antara mereka ini punya niat yang tidak baik pada ketika ini.

Tindakanku keluar dari barisan yang telah susah payah aku bertahan diri itu sepertinya mengundang tandatanya mereka di keliling barisan. Arghh... terpulang kamu mahu memikirkan apa. Terus aku menghubungi sahabat kecil dan jujur memberitahu situasiku ketika itu. Cadangan untuk menghirup secawan coffee itu ditangguhkan.

AKU : Abang, saya keluar ikut sini yaa.. (laluan pas bulanan)
AKU : tak jadi ambil lrt, orang ramai sangat.. (muka sepertinya cendol basi separuh kasihan)
ABANG LRT : Sabar itu separuh dari imannnnnn... (sambil memberi senyuman yang entah apa maksudnya...)

Terkedu seketika apabila dia menyebut tentang sabar. Yaaa... begitu sekali aku mencicirkan rasa sabarku yang lazimnya kusimpan baik pada duduknya. Puas aku memikirkan tentang itu. Benar, hari ini aku keciciran rasa sabar yang banyak sekali. Kenapa yaa... aku masih sedang mencari jawapannya sehingga saat ini.

Ermm.. mungkin kerana hari ini egoku yang di dalam ini sedang bertempur garang. Terperangkap dengan rasa mahu dan tidak.. Mahu tetapi tidak mahu. Itu yang membuat kacau barangkali.

Tiba di rumah, kelihatannya seperti sebuah kereta yang aku kenali berkelibat. Ermm.. BR rupa-rupanya telah hampir dua jam menunggu aku di parkir rumah. Kami tidak berjanji apa-apa, tetapi sahabat yang seorang ini gemar memilih taktik begini agar aku tidak beralasan untuk menolak. Memang benar, aku tidak pernah sampai hati untuk menolak kalau sudah menunggu aku di parkir rumah begitu. Mujur taktik itu hanya di ketahui dia seorang.

Sungguh aku kepenatan yang teramat sangat.. apatah lagi dengan kesabaranku yang telah tercicir dek kerana gagal melolos gerabak dua jam sebelum itu. Apapun, aku menerima pelawaan BR. Kali ini, aku tidak akan mencadangkan dia untuk ke 'spaghetti lipas' lagi walaupun aku sangat-sangat teringin untuk ke sana. Seleranya bukan di situ, justeru adalah kasihan sekali jika dia terpaksa menelan seleranya kerana aku. Menurut sahaja dia menghala langkah ruang kegemarannya. Hampir tiga jam bertukar cerita sebelum dia menghantarku di parkir rumah.

Sebaik pulang, aku terus mematikan telefon bimbit. Mahu tenang dan lena terus dengan tangan di dahi... erm...

[Ermmm.. tiba-tiba spaghetti sudah rasa masam...]

~JIKA KAU PERGI ~


JIKA KAU PERGI
by imran ajmain

Bermulanya semua hanya dengan rasa
Ada saja yang tak kena
Rupanya kau berkasih
Menyingkir setia
Sandiwara penuh dusta

Kini ku beri satu amaran
Jangan nanti jadi cabaran
Aku ingin kau memadam kenangan
Menjadi mimpi berterbangan

Jika engkau pergi,
Bulan dan bintang tetap masih di langit
Jika engkau pergi,
Air mengalir takkan berhenti
Jangan khuatir tentang diri ku
Ku janji takkan merindui mu

Bermusim resah hadir membelai
Menyentuh hati kecewa
Janji sehidup semati
Tinggal tiada lagi
Impian hancur depan mata

Semakin terungkap kepastian
Biarlah ku rela melepaskan
Pada mu cinta cuma lah mainan
Sekadar untuk senda bersama

Puas sudah ku berikan engkau segalanya
Jalan cerita pun nyata akan berubah


[Telah-pon pergi... ]

Wednesday, June 03, 2009

~ PEMERIKSAAN KESIHATAN DI PUSAT SERVIS KAMERA ~


Pada sebelah petang tadi, aku melakukan sesuatu yang mungkin tidak patut aku lakukan. Ermm... mencuri tulang (terpaksa) dalam waktu pekerjaan. Perlu ke NIKON (M) SDN BHD di Petaling Jaya untuk merawat kamera kesayanganku di sana. Sudah beberapa hari aku bertangguh-tangguh kerana hambatan waktu, maka hari ini aku perlu juga ke sana untuk menyembuhkannya.

Sesampai di Tingkat 11 itu, aku tidak dibenarkan untuk masuk terus dan berurusan seperti biasa. Sebaliknya diminta berhenti di luar dan mengisi sekeping borang pemeriksaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap virus Influenza. Selesai mengisi borang, aku dibenarkan masuk tetapi sebelum memulakan urusan di kaunter, suhu badanku pula diambil untuk memastikan aku benar-benar bebas dari sebarang simpton dijangkiti virus berbahaya tersebut.

Setelah berpuas hati dengan keadaan kesihatanku, barulah aku dibenarkan membuat urusan di kaunter. Aku tersenyum saja kala melalui pemeriksaan tersebut dan kakitangan yang bertugas juga membalas senyum memberi isyarat tanda dia juga memahami apa yang sedang berlegar dalam fikirku.

Ini merupakan pertama kali aku melalui pemeriksaan begini. Mungkin kita tidak terfikir akan melalui sesi pemeriksaan begini di pusat servis kamera. Sungguh aku puji langkah berjaga-jaga yang diambil mereka ini. Mudah-mudahan virus tersebut tidak menjalar dan membuat onar di negara kita yang tercinta ini... aminn..

[Tahu akan kebahayaan-nya tetapi tida' mau men-cegah-nya.. ermmm.. bagi-mana itu?]

Tuesday, June 02, 2009

~ SELAMAT BERHIJRAH ~


Seusai urus pekerjaan siang tadi, aku meredah berat hujan yang membasah hiruk-pikuk kota ini ke tempat pekerjaan sahabat kecil. Mahu menunai janji untuk membantunya berpindah kediaman setelah tidak dapat menghulur bantu di saat perlunya semalam.

Tidaklah seberat manapun bantuan itu berbanding rasa berat terkilan sahabat ini terhadap seorang sahabat baiknya. Sahabat yang hanya tahu mencarinya saat senang. Segala perancangan sahabat kecil hari ini hampir menemu jalan buntu apabila dalam diam cuba digagalkan oleh sahabat baiknya itu. Sungguh, aku tidak faham apa situasinya, tetapi yang dapat aku simpulkan, mengenal sahabat itu sangat-sangat penting.

Jam 1.30 pagi barulah aku tiba di rumah selepas terlena nyenyak dek empuk tempat duduk kereta sahabat kecil. Mohon maaf, aku tidak menghormatinya yang sedang memandu kerana terlalu kepenatan dengan kudrat yang sekerat ini.

"Selamat berhijrah... dan harapnya tidak sekadar berhijrah kediaman.. " tutur itu terkeluar dari mulutku sebaik turun dari kereta hitam pekat milik sahabat kecil itu. Sahabat kecil memberi sedikit senyum dalam kepenatan yang turut sama dirasainya itu. Aku yakin dia sendiri faham apa yang aku maksudkan.

Aku benar-benar mengharapkan dia berhijrah daripada kesilapan yang pernah dia lakukan sebelum ni seperti mana yang berat dia kongsikan tempohari. Aku mendoakan itu untuknya. Mudah-mudahan dia membina yang baru atas segala rasa baru untuk hidup yang baru. Amin.

[Mungkin aku tida' perenah melalui rasa celaka itu, tetapi aku ber-sedia untok me-mahami..]

Monday, June 01, 2009

~ MAKANAN ZAMAN JEPUN ~



UBI KAYU REBUS... susahnya mahu mencari makanan ini sekarang. Kalau dulu ketika kecil di kampung halaman, ia sering sahaja menjadi santapan kami seisi keluarga. Selalunya untuk sarapan. Entah bila kali terakhir aku menjamahnya pun aku tidak tahu. Justeru, apabila beberapa hari lalu aku disajikan dengan makanan itu, hampir menangis aku dibuatnya. Nostalgia lalu, sangat tebal membuat bekas.

[Hidop lalu penoh dengan nostalgia..]