Sunday, May 31, 2009

~ MEMUJUK ~


BERDAMPING teman jiwa. Mengisi satu hari bersama lelaki yang kerap mengisi senyum ini amat menyenangkan sekali. Sungguh, aku berharap menjadi miliknya melalui ikatan yang sah. Ijabkabul. Namun, ia belum menjadi takdir yang manis buat kami sehingga hari ini biarpun telah lama mengikat kasih.

TEMAN JIWA : Berapa lama lagi u nak i tunggu? (tiba-tiba bernada serius)
AKU : Saya tak suruh awak tunggupun.. (membalas dengan serius juga)

Owhh.. kata gurau itu rupanya menyentuh hatinya yang dalam. Senyap. Diam. Tidak sepatahpun kata yang menyusul selepas itu. Aku perasan itu dan cuba untuk mencari subjek lain untuk dibualkan agar dapat meneutralkan kembali keadaan, tetapi tidak menjadi apabila dia menguatkan volume lagu kegemarannya memecah sunyi di dalam kereta.

Tiba di rumah, aku mengirimkan SMS memohon maaf kerana kata gurau yang tidak bermaksudkan apa-apa itu. Selang 12 saat, dia membalas teks yang aku kirimkan. Bunyi teks itu membuatkan aku seperti mahu ke selatan tanahair saat ini juga. Owhh... lelaki ini menjadi sensitif begini rupa.

[Me-mujok.. yang tidak perenah men-jadi kepakaran-ku... kechuali merajok..]

~ SECANTIK ANUGERAH ~


TAJUK : Secantik Anugerah
KARYA : Sarnia Yahya
PENERBIT : NB Kara Sdn Bhd
HALAMAN : 502
HARGA : RM19.90

"Ditinggalkan tanpa pesan ketika cinta sedang mekar berbunga, membuatkan Aisya menutup hatinya terus untuk cinta. Tetapi… bukan kehendak Azri melepaskan Aisya. Dia juga turut merana, malah lebih menderita kerana cinta itu bukan miliknya lagi. Sesungguhnya kegagalan itu secantik anugerah buat mereka…"

[Meng-hargai sa-buah anugerah itu jauh lebeh ber-arti..]

~ MENJADI SAHABAT BERGUNA ~


JUJUR, aku tidak punya ramai sahabat dekat. Rakan-rakan mungkin ramai membuat keliling, tetapi mereka yang kugelarkan sahabat, jumlahnya hanya terhitung jari sahaja. Hanya mereka ini yang benar mengenalku dan dapat membaca yang tidak terzahirkan oleh aku. Justeru, aku sangat-sangat menghargai yang ada ini.

Aku tidak pernah mahu kehilangan walau seorang pun daripada sahabat yang ada ini. Biarlah penuh tampal-robek, tetapi ia masih memberi guna jika bersih duduknya. Aku percaya itu.

Wahai sahabat, aku juga bukan manusia yang sempurna. Aku tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Bahasa, sikap dan tingkahku juga barangkali kerap memualkan kamu. Aku degil, keras hati dan terlalu tinggi egonya (yang mungkinnya mampu mengalahkan bangunan KLCC). Namun, bantulah aku. Berpesan-pesanlah kepadaku kerana aku benar-benar mahu menjadi sahabat yang memberi guna. ermm..

Beberapa minit tadi, ada bendera damai yang dikibarkan. Aku mendongak saat ia naik berkibar. Mata berkelip, bibir menutur... 'Kekallah berdamai... aku takut kamu tidak punya kesempatan untuk 'u-turn' sebagaimana kebiasaan kamu lagi.."

[Everyone hear what you say, Friends listen what you say, Best friends listen to what you don't say... ]

Saturday, May 30, 2009

~ PASARAYA JAYA, SEKSYEN 14, PJ ~



2 mati, 5 tertimbus bangunan runtuh

PETALING JAYA: Dua maut dan dua parah, manakala lima lagi masih tertimbus dalam runtuhan bangunan empat tingkat yang pernah menempatkan Jaya Supermarket di Seksyen 14 di sini, petang semalam. Sebahagian besar struktur bangunan berusia lebih 30 tahun itu, yang hendak dirobohkan, dikatakan runtuh kira-kira jam 5 petang, dipercayai disebabkan keadaan tanah di sekitar kawasan berkenaan yang tidak kukuh. Ketika kejadian, antara 20 hingga 30 buruh warga Indonesia menjalankan kerja merobohkan bangunan berkenaan untuk pembinaan semula.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata sembilan mangsa yang sedang bekerja di tingkat bawah, tidak sempat menyelamatkan diri lalu tertimbus dalam runtuhan itu. Sehingga jam 11 malam tadi, empat mangsa dikeluarkan dari runtuhan itu termasuk dua terkorban manakala dua lagi parah dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Struktur bangunan itu runtuh secara berperingkat bermula di tingkat paling atas disusuli tingkat di bawahnya," katanya di tempat kejadian.

Mangsa pertama, yang parah dihempap konkrit, diselamatkan pada jam 5.40 petang manakala mangsa kedua, juga ditemui dalam keadaan parah, dikeluarkan 20 minit kemudian. Seorang mangsa dikenali sebagai Maskor, 28, ditemui mati dihempap konkrit di tingkat satu bangunan itu pada jam 6.40 petang, manakala seorang lagi dikeluarkan jam 10.25 malam. Pada jam 9.20 malam pula, seorang mangsa terperangkap menghubungi majikannya menggunakan telefon bimbit bagi meminta bantuan.
Arjunaidi berkata, pasukan mencari dan menyelamat menggunakan anjing pengesan untuk mengetahui kedudukan mangsa. Seramai 155 anggota polis, bomba, Smart, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan Rela terbabit dalam gerakan mencari dan menyelamat yang dimulakan sebaik kejadian dilaporkan pada jam 5.08 petang.



Pasaraya Jaya di Seksyen 14, Petaling Jaya ini menyimpan nostalgianya yang tersendiri kepadaku dan mungkin beberapa rakan lain yang pernah menghabiskan banyak masa di sana suatu masa dulu. Banyak kenangan yang tercipta di sana.

Khamis lalu, bangunan 30 tahun yang cuba di beri wajah baru ini runtuh menyembah bumi. Malah mengorbankan juga beberapa mangsa di perutnya. Ermm... Aku melongo mendengar berita tentang musibah ini. Lantas terkenang terus banyak cerita yang pernah tercipta di sana. Ermm.. Sudah beberapa tahun aku tidak menjejakkan kaki ke sana.

[Tempat jatoh lagi di-kenang, ini-kan pula tempat ber-maen...]

~ 3 TAHUN PEMERGIAN ABADI ~


ALFATIHAH...

Hari ini, 30 Mei 2009, genap 3 tahun pemergian arwah Dr Jiwa, sahabat yang sangat-sangat aku sayangi dan cintai. Terasa seperti baru semalam aku mengatur bual dan bergurau senda dengannya. Seperti semalam juga aku meratap tangis di pusaranya buat pertama kali... ermmm.. segalanya seperti baru semalam sedangkan hari ini sudah masuk tahun ketiga arwah pergi.

Saat menulis entri ini, aku membuka kembali kotak merah yang dihadiahkan kepadaku sempena hari ulangtahunku 3 tahun lalu buat pertama kalinya. Masih elok dan tidak terubah walau sedikitpun. Yaa.. pertama kali dia memberikan hadiah kerana sepanjang mengenalinya, dia tidak pernah dengan tingkah itu. Malah ucapan hari ulangtahun juga hanya diucap apabila aku yang mengingatkan kepadanya.. ermm.. rupa-rupanya dia memberi tanda untuk meninggalkan aku buat selama-lamanya.

Beberapa jam tadi, aku menghubungi ibu arwah nun jauh di utara semenanjung tanahair. Sekadar mahu mengatur bual biasa untuk mengubat rindu dan sayu hatinya terhadap arwah. Tidak aku sebutkan apa-apa tentang arwah tetapi si ibu ini mengingatkan aku tentang itu. Mengingatkan aku hari ini genap 3 tahun pemergian arwah. Ermm.. aku ingat ibu, tidak pernah lupa walau sekalipun. Cumanya aku tidak mahu ibu terkenang-kenang keras arwah seperti dulu lagi. Tidak mahu ibu parah dengan tangis lagi. Sama-samalah kita mendoakan agar arwah di sana, tenang dan aman dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

[Kenangan ber-sama arwah senantiasa basah dalam ingatan.. yaa.. senantiasa..]

Friday, May 29, 2009

~ EN DOKTOR YANG MEMBOSANKAN ~


Terpaksa mengambil cuti pada hari ini kerana perlu mengadap encik doktor yang sangat membosankan itu. Separuh hari aku berada di sana. Huh.. Menjawab soalan-soalan yang membosankan dan mendengar pesan-pesan yang juga sangat membosankan.

[Tidak mau lagi menyinggah di-katel yang entah berapa kali menerima kematian itu... ermm..]

Thursday, May 28, 2009

~ KEMAAFAN YANG MASIH LAKU ~


Menerima SMS daripada sahabat yang sudah lama senyap menelan ribut. Terkejut. Tiba-tiba sahaja dia memunculkan diri sedangkan perbualan kali terakhir kira-kira dua bulan lalu, dia sendiri yang memilih tsunami. Mulanya aku tidak berhasrat untuk memberikan respons. Ermm... aku sudah penat untuk melayan rasa kecil hati yang berulangan panjang membuat singgah. Apa ertinya sebuah kemaafan andai kemaafan itu tidak pernah dihargai. Mengulang tingkah dan bahasa serupa kerana pada hujungnya kemaafan itu tetap ada. Ermm...

Apapun, untuk kesekian kalinya (yaaa... kesekian kalinya) aku mengetepikan rasa terkilanku. Semuanya kerana duduk tinggi sebuah persahabatan yang terbina dengan penuh jujur dan lurus dengan sahabat ini. Dia sahabat dekat, justeru aku sentiasa cuba menerima kurang dan lebihnya. Yaa... sentiasa.

Dan... aku juga mahu begitu. Amat sangat mengharapkan agar sahabat ini juga cuba menerima kurang dan lebihku. Aku juga tidak terlepas dari membuat kesilapan. Aku hanya manusia biasa yang serba kurang pada duduknya. Namun, jangan diketerlaluan melayan aku dengan menguis rasa kecil hati yang berulangan panjang membuat gores. Mohon... sungguh aku mohon dari hati yang dalam.

[Jangan sampai kema'afan itu sudah tidak laku..]

Wednesday, May 27, 2009

~ LAGU TANPA SUARA ~


Kitaro Spiritual Garden
The Best Of Yanni
The Best in Easy Listening Classical
Greatest Guitar Love Music Ever
The Shadows Greatest Hits
Elvis Presley The Greatest Collections

Kembali membelek CD-CD lama yang menjadi kegemaranku. Melayan alunannya hingga mahu meletak lena. Ermm..

[Melayan lagu tanpa suara mem-beri nyaman yang ter-sendiri..]

Tuesday, May 26, 2009

~ KEHILANGAN ~


Salam perpisahan untuk sahabat Jalan Kuching yang bakal memulakan tugas baru di tempat baru nun jauh di pantai timur semenanjung tanahair sana. Perpindahan itu bukan kerana dia ditukarkan oleh pihak atasan, tetapi ia berlaku atas permintaannya sendiri yang mahu ke sana. Katanya mahu menemani dan menjaga sakit pening sang ibu yang kini berseorangan dek bapa yang kerap memilih untuk bersama 'keluarganya' yang lagi satu.

Demi ibu juga, dia sanggup menolak permintaan teman wanitanya yang berkali-kali meminta dia menimbang tara kembali keputusan itu. Terngiang di telingaku kata-katanya 4 hari lepas, "Girlfriend saya boleh cari lain, tetapi ibu ini sahaja yang saya ada. Biarlah dia (teman wanita) nak kata saya 'anak mak' atau apa sajapun, saya takkan mengubah keputusan ni". Aku mengangguk-angguk perlahan tanda setuju. Seperti mana yang pernah dia ceritakan kepadaku, sang ibu sudah terlalu banyak menanggung derita sejak hidup bermadu. Dia pula tidak ada pilihan banyak kerana tawaran kerjanya jauh di perantauan. Justeru, kesempatan yang ada ini tentu sekali tidak akan disiakan.

Alhamdulillah... sahabatku yang seorang ini meletak tinggi duduk ibunya. Bukan sekadar kata (seperti mana yang semua anak-anak tuturkan..), tetapi dia melaksanakan apa yang dikatakannya. Terkuak sisi lain dirinya yang selama ini tidak aku ketahui. Apa yang berada dalam tahuku sebagaimana yang selalu dia kongsikan, dia lelaki yang tahu hidupnya hanya untuk berseronok. Apa yang tidak pernah dia lakukan di hiruk-pikuk kotaraya besar ini? Semuanya. Ermm...

Sebenarnya, tidak ramai yang tahu tentang sisi gelap hidupnya. Apatah lagi sahabat ini pada pandangan luarnya seorang yang sangat baik dan bersih (semua orang melihatnya dengan pandangan yang begitu). Sekali lagi terbukti, kulit luar itu tidak mengambarkan isi yang ada di dalamnya.

Entah kenapa aku ini terpilih menjadi salah seorang yang tahu tentang segala rahsianya itu. Pernah aku tanyakan kepadanya, tetapi hanya ketawa besarnya yang memberi jawapan. Sebenarnya, sikap kami berdua jauh bertentang. Sangat-sangat bertentang sebenarnya. Bagai langit dengan bumi. Tetapi entah kenapa boleh pula bersahabat dengan baik sekali sejak mula mengenalinya awal Januari lalu. Dia sangat berterus-terang orangnya kepadaku walaupun aku ini kadang-kala suka memberi 'ceramah panjang' apabila dia berkongsi cerita tentang sesuatu yang memang tidak patut dia lakukan.

Ermm... Semalam merupakan hari terakhirnya di sini, namun dek kerana urusan pekerjaan yang bersusun tinggi bagai KLCC, aku tidak sempat berbual panjang dengannya. Justeru, kami mengatur janji untuk mahu menghirup secawan coffee pada hari ini. Namun, keadaan tidak mengizinkan apabila aku terikat dengan kerja luar pada hari ini. Dia pula perlu menemankan teman wanitanya untuk hari-hari terakhir mereka.

Justeru, aku tidak sempat untuk mengucapkan selamat jalan, apatah lagi mahu bermaaf-maafan atau berpesan-pesan sesuatu kepadanya. Ermm... terasa benar kehilangannya kerana sahabat ini seorang yang sangat membantu dalam banyak perkara. Malah kami banyak melalui 'kejadian-kejadian' yang menjadi pecah di perut dan bukan di mulut. Banyak yang menjadi akta rahsia.

Untuk sahabat Jalan Kuching ini, aku harapkan agar dia mendapat kehidupan yang lebih baik selepas ini. Berubah seperti mana yang dia sering sebutkan kepadaku. Menjadi lelaki yang berbudi pekerti tinggi seperti mana yang diharapkan ibunya itu. Tidak sekali mengulangi apa yang pernah bapanya lakukan kepada isteri dan anak-anaknya. Tinggalkan kebiasaan-kebiasaannya yang sungguh bertentang dengan ajaran agama itu. Mudah-mudahan dia melunaskan janjinya untuk menjadi orang yang baru selepas ini.

Selamat jalan yaa sahabat.. aku pasti merindukan cerita-cerita kamu selepas ini. :)

[Men-jaga aib orang agar ter-simpan juga aib diri sendiri..]

Monday, May 25, 2009

~ BELUM MAHU JADI PENGIKUT ~


Menunggu Isnin pada minggu ini sesuatu yang amat mendebarkan. Beberapa hari yang lalu telah tersebar khabar angin serata tempat pekerjaan mengatakan hari ini pihak 'raja' segala 'raja' akan membuat rombakan besar dalam sistem pemerintahannya. Lalu kami semua rakyat jelata ini dibekukan cuti dan wajib menghadiri mesyuarat penting pada sebelah pagi tadi yang berlangsung kurang lebih hampir 2 jam itu.

Benar bagai di kata, banyak pertukaran telah dilakukan. Seperti yang pernah aku katakan sebelum ini juga, siapa bijak dia untung, siapa jujur dia rentung. Itulah yang berlaku pada hari ini. Ramai sekali yang terduduk terkejut dan tidak kurang juga yang bertepuk gembira merai jaya kepada usaha 'politik' mereka (barangkali).

Aku? Alhamdulillah... aku tidak diusik kuis. Kekal duduk di posisi sedia ada. Hanya bertukar en boss. Mudah-mudahan menghasilkan sesuatu yang lebih positif baik dalam soal pekerjaan mahupun soal komunikasi diantara orang bawahan. Ermm... pun begitu, belum pun kami mencuba payung baru, sudah terdengar desas-desus mengatakan kami ini ibaratnya 'keluar mulut naga, masuk mulut buaya.'

Aku tersenyum sahaja. Simpan dulu andaian itu dan berilah peluang untuk kami mencubanya terlebih dahulu. Tidak adil untuk mengadilinya sebelum dia masuk ke gelanggang. Apa yang aku harapkan, suasana kami nanti akan lebih nyaman dan tenang. Tiada ribut atau tsunami yang membuat rentang.

Kepada mereka yang ditukarkan ke sana-sini tanpa ada selesa, anggaplah ini cabaran untuk dihadapi. Kepada mereka yang merasa teraniayai kerana permainan 'politik', anggaplah ini sebagai putaran hidup yang harus dilepasi. Kepada mereka yang bertepuk sorai kerana berjaya memperoleh mahu secara yang tidak lurus, ingatlah dunia ini bulat.

Kepada aku? Aku akan menjalani rutin biasa tanpa ada rungut, insya-Allah. Aku tetap akan bersederhana dalam apa sahaja. Tidak akan pernah mahu menyertai 'politik' mereka, malah menjadi pengikut pun aku tidak pernah terdetik. Aku tetap selesa hidup dalam kelurusan.

[Per-chaya kepada hukom karma..]

Sunday, May 24, 2009

~ BISKUT TUAH ~


BISKUT tuah. Aku memilihnya satu daripada sejumlah isi balang yang diunjukkan kepadaku. Setelah dimamah isi biskutnya, timbul kertas tuah yang dimaksudkan. "You deserved the very best that life can bring to you".. ermm...

[Jarang dekat dengan tuah..]

~ DALAM HINGAR BINGAR ~


JUJURNYA, aku tidak berminat dengan konsert yang berkonsepkan begini. Namun, kerana sudah berjanji mahu menemankan sahabat kecil ke sini, aku kosongkan fikiran dan cuba untuk duduk berhibur dalam bingit muzik hebat yang mereka katakan itu. Terhiburkah? ermm..

Aku terserempak dengan wajah-wajah yang aku kenali dicelah-celah bingar manusia yang haus dengan kebingitan itu. Memerhati dari jauh. Owhh.. beginilah rentak sebenar rupa-rupanya. Wajah tulus, lurus dan kudus yang dikata itu wujud begitu berbeza kala berada di tengah hingar bingar ini. Hampir tidak dapat ku kenali.

Aku senyum panjang. Molekkah wajah bersarung topeng demi mengaburi sudut pandang mata yang mahu mengenali? Andai itu wajah sebenar, apa perlu ditutup sorok. Serlahlah diri yang sebenarnya. Kenapa tidak berani menampil diri kala tahu diri bertingkah canggung? Mahu terus-terusan dipandang putih walau jelas hitam itu lebih membesar dalam diri? ermm..

Aku berada di sini tidak lebih sekadar menemankan sahabat kecil. Membuat sahabat itu senyum, itu juga dikira satu hiburan barangkali. Hiburan itu juga akhirnya menjadi melucu apabila pengaturan konsert berbayar itu menjadi sungguh kelam kabut. Segalanya lari dari aturan asal yang mereka rancangkan. Punah. Aduhh kasihan... Justeru aku dan sahabat kecil pulang lebih awal. Awal barangkali.. kerana persembahan baru bermula kurang lebih 20 minit setelah tertunda lebih 5 jam. ermm...

[Pulang ke-rumah, aku men-chari CD Kitaro dan melayan alunan-nya hingga ke-pagi..]

Saturday, May 23, 2009

~ MENGASARKAN SOPAN ~


MASIH merajuk. Masih kecil hati. Mungkin selepas ini aku harus belajar mengasarkan sopanku. Harus belajar kebal dan tegar dengan segala suara dan kata yang kerap membuatku mengerutkan dahi. Harus tahu menyesuaikan diri dengan bingar gurau yang menepuk rasa dengan bingit. Ermm... haruskah? Haruskah begitu agar aku tidak tersepit dengan rasa kecil hati lagi? Ermm...

[Sokar-nya untok men-jadi yang laen dari diri sendiri...]

~ EDENSOR ~


TAJUK : Edensor
KARYA : Andrea Hirata
PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN : 254
HARGA : RM26.00

“Hidup dan nasib boleh kelihatan tidak teratur, misteri, hebat dan sporadik, namun setiap elemennya adalah sibsistem keteraturan dari sebuah reka bentuk holistik yang sempurna. Menerima kehidupan bererti menerima kenyataan bahawa tidak ada hal sekecil apapun yang terjadi kerana secara kebetulan. Ini adalah fakta penciptaan yang tidak dapat disangkal…”

[Maseh gagal men-dapat-kan novel ka-empat, tetralogi Laskar Pelangi, Maryamah Karpov...]

Friday, May 22, 2009

~ SEMPIT ~


Aku sedang penuh dengan rasa kecil hati. Namun, rasa itu tidak dapat dilepaskan. Ermmm.. biar, simpan sahaja. Mungkin lebih baik begitu barangkali.

[Sunggoh, aku benar terasa hati...]

Thursday, May 21, 2009

~ KEMALANGAN ~

(foto sekadar hiasan)

Aku seorang yang percaya kepada gerak hati. Selalupun ia terlebih dahulu membuat tanda. Begitu jugalah dengan kejadian yang berlaku ke atasku petang tadi. Beberapa jam sebelum kejadian, hati sudah berbelah bahagi untuk membuat langkah. Terasa seperti tidak sedap hati. Namun, aku cuba untuk tidak mengendahkan rasa itu. Nah.. hadaplah.

Aku terlibat dengan kemalangan ! Kereta yang dinaiki bersama seorang rakan pekerjaan telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta pacuan empat roda dalam lebat hujan yang membasah hiruk-pikuk kota petang tadi. Semuanya gara-gara pemandu yang tidak 'berpelajaran' itu mahu segera memasuki lane kanan untuk menaiki flyover yang searah dengan lane kami. Di pancungnya sebuah wira aeroback hijau dan akhirnya tidak sempat membrek lalu menghentam kereta kami. Huh..

Dentuman yang kuat itu telah mendorong aku ke depan dengan kuat sekali. Mujur juga aku seorang yang tidak pernah lupa untuk memakai tali pinggang keselamatan setiap kali membuka pintu kereta. Alhamdulillah... aku tidak mengalami sebarang kecederaan. Begitu juga dengan rakan pekerjaan. Cuma terasa sedikit pening-pening kerana kepala kami terhentak bahagian tempat duduk. Mujurlah tiada penumpang lain di bahagian tempat duduk belakang.

Bahagian belakang kereta kami kemek teruk dan terdorong ke dalam. Ermm... aku tidak menyertai perbincangan antara rakan pekerjaan dan pemandu tersebut dalam hujan berat itu. Setelah perbincangan yang berlangsung kurang lebih 45 minit itu, akhirnya pemandu tersebut sanggup untuk menanggung kerosakan. Ermm.. itupun dia asyik berdalih dan mengalihkan kesalahan di pihak kami.

Ermm... sudah suratan kami melalui semua ini pada hari ini walapunpun sebenarnya banyak isyarat yang memberitahu sesuatu. Begitu juga kejadian beberapa bulan lepas yang juga aku lalui bersama rakan ini. Gerak hati itu memberitahu tetapi takdir menentukan segalanya.

[Maseh trauma dengan kemalangan be-berapa tahon dahulu yang mem-beri sesak sa-hingga kini..]

~ SEWANGI PERSAHABATANKAH ? ~


Menambah koleksi. Masih mahu setia? Atau mungkin aku perlu bertukar dan mencuba sesuatu yang lain. Pernah kata seorang sahabat, setia aku terkadang tidak bertempat. Justeru, belahlah sedikit kesetiaan yang ada itu. Ermmm... Sehingga kini aku membuat fikir tentang soal itu.

[Kalau-lah persahabatan juga mampu se-wangi-nya..]

Wednesday, May 20, 2009

~ SPAGHETTI LIPAS ~


Lama aku tidak menyinggah dan menjamah 'spagheti lipas'. Kalau tidak silap kali terakhir aku ke sini dalam beberapa bulan lepas ketika mahu mereda ribut seorang sahabat. Tempat ini menjadi kegemaran kerana spaghettinya yang sering membuat ingat.

Aku buat pertama kalinya membawa BR kesini untuk menjamah spaghetti kegemaran kerana begitu teringin sekali. Bukan tidak ada spaghetti di tempat lain tetapi melekatnya lebih di sini. Selama ini aku tidak pernah membuat permintaan, tetapi hari ini aku mengatur permintaan kepada BR untuk menghirup secawan coffee di sini. Jika tidak, selalunya kami akan menghirup secawan coffee di kawasan berdekatan kediaman sahabat mei.

Ermm... Namun, seusai itu, kami tidak berlama-lama di sini. Tidak seperti biasa aku dan seorang lagi sahabat. Sepertinya selera BR tidak kena dengan apa yang ditawarkan di sini. Walau tidak dia katakan, aku tahu dia sekadar memenuh mahuku. Benar... ia menjadi kegemaranku, tetapi tidak bermakna orang lain juga menggemarinya. Nampaknya tempat ini mungkin sesuai untuk singgahanku bersama sahabat seorang itu sahaja barangkali.

[Kalau sudah merah.... ermm... mana mungkin di-lihat biru..]

Tuesday, May 19, 2009

~ MENANGKAP DIAM ~


Pulang dari urus pekerjaan, aku menghabiskan masa menghirupkan secawan coffee bersama sahabat kecil. Tidak aku berkongsi kekecamukkanku yang sedang bersimpul membuat kacau, tidak mahu dia turut tersimpul seratus. Apatah lagi dia sendiri berdepan kusut lain yang mana kacaunya lebih hebat.

Namun, duduk menutur bual kosong sambil menghirup secawan coffee itu sedikit meringankan. Pulang ke rumah, aku menghabiskan sedikit masa lagi dengan berseorangan di dalam kereta. Yaa.. kereta. Begitupun selalu. Jika serabut membuat simpul, inilah tempat yang akan menangkap aku diam. Selama menjadi kebiasaan sehingga saat ini. Mengelak bingar untuk melerai kusut dengan hela nafas yang tenang dan aman. Aku senang sekali mencari ketenangan dengan bersendirian untuk beberapa ketika di dalam kereta. Menjadi hanyut pula dengan alunan Kitaro yang mengisi ruang senyap.

Membelek juga sekeping nota dari teman jiwa minggu lalu. Cerita lucu yang dia titipkan kala aku membuat bingar kerana sikap alpanya yang semakin menjadi sejak akhir-akhirnya ini. Lelaki ini bukan pelucu orangnya, namun dia sentiasa membuat aku ketawa dan paling tidak pun dengan 'sekeping' senyum.

[Mau men-chari Beethoven Bedtime...]

Monday, May 18, 2009

~ KUSUT SERATUS ~

(kredit foto : syurga cinta)

Hari yang begitu kusut untukku. Cuba mencari sesuatu yang lebih baik pada hari ni untuk menukar kelat menjadi senyum, namun semuanya gagal. Ternyata berita yang kami terima sebelumnya lebih memberi kesan. Bila nakhoda kapal sedia ada sudah bertukar kepala, maka banyak perkara jugalah yang akan bertukar. Adat dunia, bukan.

Justeru, aku turut sama merasakan tempias itu. Seketika aku hilang tumpuan kepada pekerjaan yang sepatutnya berlangsung baik pada hari ini. Apatah lagi apabila khabar angin itu akhirnya disahkan dan ramalan benar bagai dikata. Ermm... Walaupun tidak ada hitam putihnya, aku tetap berasakan nafas kami akan tersekat-sekat selepas ini.

Budaya politik Melayu yang teraplikasi di mana sahaja. Politik? Yaaa... politik. Kalau bijak, kamu untung... Kalau jujur, kamu rentung. Ermmm.. Aku menjadi kusut seratus. Memikirkan lebih daripada yang sepatutnya aku fikirkan barangkali.

Justeru, aku mencari seseorang untuk mengatur bual mengenainya tetapi bukan semua yang terpilih untuk soal itu. Tidak semua yang aku taruhkan kepercayaanku. Seperti mengerti, sahabat kecil dan sahabat besar menemaniku menghabiskan sisa hari yang memenatkan. Kami menghabiskan masa dengan menghirup secawan coffee. Lama juga kami mengadap diri tetapi tidak juga aku kongsikan kekusutan yang aku lalui dengan mereka.

Entah kenapa aku masih diam. Lama menghabiskan masa kusut, namun begitu juga akhirnya. Kepala masih berat. Aku masih memerlukan seseorang untuk berkongsi cerita tentang itu. Mahu bercerita tentang kekusutan yang bersimpul seratus ini... Kalaulah arwah D masih ada.. ermmm..

[Mau melerai kusot.. ermm...]

Sunday, May 17, 2009

~ OST TALENTIME ~


I GO (OST Talentime)
by aizat

So long, fare thee well
The dancer and the dancing days
have taken leave and fell
So turn down this bed of stone
Quench me with the deadly nightshade
from the rose that you belong

The long December rain is falling now
Running down on streets to nowhere
Music is my life youre my sweetest nightingale
But I cant hear it here no more
And I go... I go

Hush now, dont shake or break
Words have fallen silent like soldiers to the grave
No matter what they do or say
Lay me on the sleepy meadow by the tracks upon your face



Sejak memilikinya seminggu yang lalu, aku kerap memutarkannya tanpa henti. OST Talentime yang begitu membuai rasa yang panjang. Aku sukakan kesemuanya track yang terkandung dalam OST yang lama ditunggu ini.

Aku paling sukakan Angel, I Go dan Kasih Tak Kembali. Juga keseluruhan lain yang terkandung. Asyik. Tahniah untuk Pete Teo yang menginspirasikan.

Antara lagu-lagu yang terkandung dalam OST Talentime :

1. Just One Boy (Aizat)
2. Angel (Atilia)
3. I Go (Aizat)
4. Ganesh Theme (Hardev Kaur)
5. Itulah Dirimu (Aizat)
6. Angel (Atilia)
7. Pergi (Aizat)
8. Break Up (Instrumental)
9. Kasih Tak Kembali (Atilia)
10. Just One Boy (Aizat)
11. Going Home (Hardev Kaur)
12. I Go (Pete Teo)

[Asyek dengan bunyi Erhu yang meng-iringi I Go...]

Saturday, May 16, 2009

~ SELAMAT HARI GURU ~


Selamat Hari Guru buat semua guru-guru yang pernah mendidik ku sama ada secara langsung atau tidak langsung sepanjang kehidupanku sehingga hari ini. Setulus rasa terima kasih buat mereka semua yang begitu luhur mendidik bantu sehingga berdiri aku pada kedudukan hari ini. Insya-Allah, ilmu itu akan aku semat dan gunakan dengan sebaikya, bukan sahaja untuk diri tetapi juga kepada keperluan yang seharusnya.

Sepanjang menimba ilmu sebagai murid tahun 1-6 di sekolah rendah SKBB, aku begitu senang dengan Cikgu Shahir. Guru Bahasa Melayu yang bertimbang rasa dan pelucu juga orangnya. Aku merasa selesa dan sentiada tidak sabar untuk menunggu kelasnya. Dia juga merupakan guru kelasku ketika tahun 6. Aku juga masih menyimpan foto kami satu kelas bergambar kenangan dengan cikgu Shahir ni sehingga hari ini.

Di sekolah menengah, aku paling mengidolakan Cikgu Abd Malik. Guru Geografi yang juga guru penolong kanan di SMKPP. Mungkin kerana aku begitu meminati subjek geografi, lalu aku menyenanginya. Apatah lagi aku sering mendapat markah yang agak baik untuk subjek ini. Makanya, Cikgu Malik sering juga memberi perhatian kepadaku. Dia banyak memberikan inspirasi kepadaku untuk menjadi pelajar yang cemerlang ketika itu.

Ketika di zaman universiti di UM, aku mengkagumi cara pengajaran Puan Hanizah. Dia seorang yang jujur membantu. Tidak berkira soal masanya yang banyak tergunakan untuk kami yang banyak bermain ketika itu. Aku tahu kesabarannya kerap teruji, namun dia seorang pendidik yang cekal yang tidak dimamah kejemuan dalam usahanya menghulur bantu. Dia banyak memotivasikan sehinggakan aku kerap merasa bersalah apabila punya niat untuk memonteng kelasnya.

Selain yang tersebutkan ini, bukan bererti guru-guru lain tidak membuat sebarang sumbangan. Tidak sama sekali sekali. Semuanya menyumbang dengan cara yang tersendiri. Cuma mungkin yang tersebutkan ini memberikan ingatan yang sedikit besar dalam kenangan yang lalu itu.

Ermmm... buat kamu guru yang kerap membakar diri demi menerangi mereka yang lain, aku kirimkan rasakan terima kasih yang paling telus buat kamu. Teruskan membantu anak bangsa untuk menjadi berguna. Selamat Hari Guru.

[Perenah di-minta ayah supaya me-mileh profesyen per-guruan sa-bagai ker-jaya...]

Thursday, May 14, 2009

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN KELAHIRAN ~


Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Kamu
Allah Selamatkan Sahabat Mei
Allah Selamatkan Kamu...

Selamat hari jadi buat sahabat Mei. Mudah-mudahan yang terbaik buat kamu dalam segala apa yang kamu lalui dan rasai. Hidup ini ada bahagian masing-masing dan usah dikesali dengan apa yang pernah mendatangi. Hari-hari esok harus dilalui dengan rasa besar hati dan dilihat dengan gerak yang lebih positif. Untuk kamu, doa dari sahabat ini tidak pernah terhenti. Cuma pesanku hanya satu, lihatlah dengan mata hati dalam apa jua kesakitan yang mendiri.

Sepanjang yang aku kenali sebagai sahabat selama kurang lebih 5 tahun yang lalu, sahabat mei ini orangnya tidak gemarkan sambutan untuk hari ulangtahun kelahirannya. Bukan tidak menghargai orang-orang dekat dengannya yang mahu merai hari dia menjadi kesayangan, cuma kata kata sahabat ini, pada hari istimewa ini dia lebih suka duduk bersendiri di katil biliknya. Mensyukuri kesempurnaan fizikal yang diberikan Tuhan kepadanya, menadah tangan kerana masih diberi nafas untuk terus hidup di muka bumi dan meletak tangan ke dahi untuk memikirkan hidup hari esoknya. Itu semua mahu dilakukan secara sendirian. Justeru, ramai yang menghormati mahunya itu.

Siang tadi aku sempat di hujung talian dengannya. Tidak lama... kerana dia berada di situasi yang begitu bingar dengan urusan pekerjaannya. Justeru beberapa minit tadi ia bersambung.

"Amin.. tq... cuma i prbetulkan motivasinya... x mahu murah rezeki... kerana ALLAH telah mmberi rezeki yg mahal pd hamba2nya... syukur. jadi kenapa kita kita perlu berdoa yang murah... sama2 la kita dirahmati pada terbitnya matahari hari ini... "

Aku tersenyum panjang dengan reaksinya pada ucapanku terdahulu yang menutur ucap "mudah-mudahan dimurahkan rezeki". Aku sengaja berkata begitu kerana tahu dia akan bereaksi begitu. Sahabat ini orangnya sangat bijak untuk kata-kata yang begitu. Justeru, jangan mudah bermain kata dengannya. Jika dilihat kepada luarannya, tiada yang tersangka dia seorang yang hebat dan bijak dalam soal yang satu itu. Kamu tidak percaya? Yaa... mereka yang mengenalinya juga tidak percaya. Kenalilah lagi..

Aku katakan lagi kepadanya, tuturnya yang masih sama seperti mana beberapa tahun dulu itu meyakinkan aku yang dia masih sahabat yang sama yang pernah aku kenali dulu. Dia ketawa besar kerana dia juga faham apa yang cuba aku maksudkan. Yaa.. dia masih sama. Cuma aku sahaja yang sering fikirkan sahabat ini telah jauh berubah seiring masa.

Ermm... apapun, aku sentiasa mendoakan yang terbaik buat sahabat ini. Sungguh baju yang telah koyak dan terjahit semula ini, tidak pernah akan sama dengan keadaan asalnya. Biarlah kalau tidak akan sama pun asalkan baju itu masih elok untuk dipakai.

[Mau saling melupa-kan yang ter-koyak-2 itu.]

Wednesday, May 13, 2009

~ USTAZ BERPROFAIL TINGGI ~


Kebetulan barangkali. Aku benar-benar tanpa sengaja berkesempatan mengatur bual dengan seorang ustaz berprofail tinggi ini. Lama sudah aku mendengar tentang Ustaz yang seorang ini... puji-pujian tentunya kerana dia hebat dalam kata-kata dakwahnya... dia bijak membuat ceramahnya didengari... dia juga menjadi calon suami pilihan, biarpun hakikatnya dia telahpun beristeri dan merupakan bapa kepada empat anak. Aku mendengar tentang kehebatannya itu.

Justeru, aku mahu melihat puji-pujian itu dengan mata kepala sendiri.Aku bukan menguji, tetapi aku memerhati jelas. Ermm... Ustaz ini tidak mengalihkan pandangan kala mataku terpaku kepadanya. Yaa.. begitu. Dia melihat benar-benar aku dengan mata hitam dan putihnya itu. Aku sengaja mengangkat muka kerana padaku kejujuran itu dengan bertentang mata kala berbicara. Terkejut, kerana dia tetap dengan pandangannya, tidak mengalihkan walau sedikit. Ermm..

Atas sesuatu hal yang tidak terelakkan, aku ditolak menjadi perantara untuk sekali lagi mencari Ustaz ini bagi pihak orang lain atas kekusutan yang belum terleraikan. Tidak mengatur pertemuan tetapi cuma menghulur bual di hujung talian. Dia masih mengingat aku pada pertemuan minggu lalu walaupun ketika itu aku dalam kumpulan. Kuat betul ingatannya. Ermm.. Dia menambah warna. Kali ini lebih berani bergurau. Sesekali membahasakan diri 'aku' selain 'ana' yang menjadi kebiasaannya itu. Aku melongo. Ermm... begini rupanya dia yang sebenar. Tidaklah sebenar khabar cerita. Justeru, aku tidak terfikir mahu turut memuji dia.

Selepas dan sesudah, tafsirannya sedia membuat jawab. Ermmm... aku belajar sesuatu. Aku juga meminjam sesuatu.

[Men-chari hikmah yang di-ingat-kan Ustaz..]

Tuesday, May 12, 2009

~ MATAHARI TERBENAM DI PB ~










Aku tidak akan ketinggalan menyaksikan matahari terbenam andai ada keluangan seperti ini. Indah dan mengasyikkan. Tidak ramai yang mahu sabar menemaniku menikmati keindahan situasi ini.. Pun begitu, aku masih tidak mahu berganjak.. :)

[Demi Matahari.... ermm..]

Monday, May 11, 2009

~ MENADAH HANGAT ~


Tidak seperti selalu, kali ini aku seperti mahu mengambil cuti sahaja hari ini. Kurang selesa melihat Wajah sendiri yang 'terbakar' luar biasa. Namun, memikirkan Isnin adalah hari yang 'diharamkan' mengambil cuti kecuali untuk hal-hal yang darurat, aku tidak punya pilihan lain. Lagi-lagi kerjaaaaa..

"Eh kenapa dengan muka kau ni.."
"Merah muka sangat ni kenapa"
"Ehh kau buat apa 2-3 hari ini sampai muka kau jadi macam ni.."
"Laaa.. 3 hari aku tak tengok kau, dah gelap gelita macam ni muka kau.. pesal?"
"Pesal muka kau tu? Salah pakai kosmetik ker?" (lorrrr.. kosmetik pulak..)

Bukan pertama kali aku berendam air laut masin dan bersiar di panas pasir pantai itu.. tetapi tidak pernah 'terbakar' begini rupa.. Ermm... Cuaca barangkali...

[Mengelek chermin penoh setia..]

~ HARI INI SELEPAS HUJAN ~


HARI INI SELEPAS HUJAN
(Obsesi buat ibu-ibu yang merasa)

Hari ini selepas hujan…
Senyum ibu tercalar lagi
Anak ini galak menampar resahnya
Dia tidak pernah tanya mengapa
Nyatanya bersebab diatas kehendak

Hari ini selepas hujan…
Ibu melukis gelisah
Lantaran rasa dicuit lagi
Anak ini kering hati
Menghunus bicara tanpa mengenal budi
Menuding jari tidak hanya sekali
Menyalahkan mentari
Bila paginya tidak bersenyum lagi

Hari ini selepas hujan…
Ibu turut berhujan dihati
Pilu menghambat diri
Sebak mengikat rasa
Mengharap pelangi petang muncul lagi

Hari ini selepas hujan…
Tatkala rindu menjadi jemu
Tatkala duduk menghulur pilu
Salam datang bertalu
Kasih mengetuk pintu
Namun bicara ibu terkunci seribu
Pandangan ibu hanya disitu
Hanya kerana selepas hujan….

[Senan-tiasa dengan rindu...]

Sunday, May 10, 2009

~ SELAMAT HARI IBU DENGAN PENUH RASA KASIH SAYANG ~


Tidakkan terucap penghargaan kasihku untuk seorang wanita bergelar ibu dengan hanya kata. Kenyataannya, dalam niat, dalam rasa, dalam gerak... yang bernama ibu ini duduknya sentiasa paling atas. Mungkin jarang terlafaz dengan kata, tetapi terlahir dari hati, begitu kerap sekali aku rasakan.

Untuk Ibu,
Momen yang paling indah kita lalui dalam beberapa hari ini yaa. Sungguh tidak aku katakan, tetapi kegembiraan aku saat di sisi ibu, seisi dunia dapat menghidu. Malah, bulan dan bintang juga turut mengirim senyum. Ibu yang aku kenal, orangnya pemurah. Dalam segala segi. Kasih sayangnya...tulang empat keratnya, senyum-tawanya, malah air matanya juga. Saat aku menjadi kemarahan ayah, ibulah yang bercucuran air mata, sedangkan aku keras menahan rasa. Saat aku senyap membuat rajuk, ibulah yang tidak lalu makan, sedangkan aku tidak memikir tentang itu. Apatah lagi kala aku bersimbah duka, bahunya yang sarat tergalas beban itulah yang dia pinjamkan untukku melepas rasa. Ermm... Aku sangat-sangat mahu mewarisi segala yang ada pada ibu...

Untuk Umi,
Doa untuk Umi tidak pernah terhenti. Mahu Umi terus mengecap rasa kasih yang tidak pernah berbelah-bagi ini. Mahu senyum Umi, mahu tawa Umi, mahu jelingan Umi, mahu cubitan marah Umi... dan... mahu juga duduk bercerita panjang dengan Umi seperti suatu masa dulu. Segera sembuh yaa Umi..

Untuk Mak
(Al Fatihah untuk arwah Dr Jiwa...) Mak, walaupun dr jiwa sudah lama pergi, mak bukan hilang segala-galanya. Mak masih punya seorang lagi anak yang 'terpinjam' ini. Erm... sebenarnya, tidak perlu meminjam lagi kerana anak ini akan selamanya menjadi milik Mak dengan izin-Nya. Seperti mana yang pernah di pesankan arwah, anak ini akan menjaga Mak sampai bila-bila. Insya-Allah... Jangan sesekali menganggap Mak menumpang... kerana yang menumpang adalah anak ini.. menumpang kasih sayang agung yang Mak miliki...

Untuk semua yang bergelar ibu, Selamat Hari Ibu dengan penuh kasih sayang. Doa kami teriring untuk ibu mudah-mudahan hidup aman, tenang dan membahagiakan. Doa ibu juga kami inginkan agar hidup kami sentosa, nyaman dan terpelihara diri.

[Selamat Hari Ibu juga untok 'Ibu Yang Cekal'... anak ibu itu, apa khabar yaa..]

~ TERKONGSI INDAH ~


Aku tidak pernah jemu melihat bintang.. aku juga tidak pernah bosan merenung laut. Lalu aku masih melakukan perkara yang sama menjadi kesukaan sepanjang tiga hari percutian yang tidak dirancang ini.

Menariknya, kali ini aku bukan bersama rakan-rakan, juga tidak teman jiwa. Tetapi percutian ini disertai kami satu keluarga. Aku tidak melihat bintang seorang diri... tidak juga menyaksikan matahari terbenam secara curi. Semuanya terkongsi, indah bukan.

Paling indah juga apabila sambutan hari ibu semalam turut diraikan dalam percutian ini. Aku tahu ibu gembira, kalau kamu mahu tahu, aku lagilah gembira saat melihat ibu gembira. Melihat ibu tersenyum, umpama melihat dunia yang tersenyum.

Banyak yang indah untuk percutian kali ini. Bukan sahaja indah bintang yang membuat kerdip, atau indah matahari terbit dan terbenam, tidak juga indah laut memberi nyaman.. tetapi indah kerana segalanya terakam bersama orang-orang yang aku cintai sepenuh hati.

Aku juga sudah kembali menulis setelah lama berhenti. Ku kira hampir setahun yang lalu. Tidak kerana rajuk tetapi dek kerana terhambat dengan urusan pekerjaan di tempat baru yang sering membuat kacau.

Selamat tinggal pantai BY... indah kamu banyak memberi ilham selain tenang yang terkecap aku sepanjang menghirup udara di sini. Aku mahu datang lagi. Justeru, gamitlah aku selalu dengan kenangan yang banyak ini. Mudah-mudahan kaki menjejak lagi mengiring ingat yang panjang ini.

[Mau me-minjam satu bintang pe-siser...]

Friday, May 08, 2009

~ MAHU NYAMAN ~


Satu-dua hari ini aku berada di luar hiruk-pikuk kota. Mahu melihat bintang nun di selatan tanahair. Mudah-mudahan mampu melupakan seketika serabut yang membuat simpul beberapa hari ini.

[Mahu meminjam satu bintang...]

Thursday, May 07, 2009

~ PETIKAN ARTIKEL YANG MENCUIT PANDANG ~


NASHA AZIZ ANTARA YANG MANIS & KELAT

Seronok bila sesekali dapat berbual dan bercerita panjang dengan pelakon dan model popular, Nasha Aziz ini. sikapnya tidak pernah berubah. Mengenalinya sejak dulu sehingga kini, dia tetap dengan dirinya yang menawan hati. Seorang yang merendah diri dan cukup berterus-terang orangnya. Banyak cerita yang terkongsi tanpa lokek. Itulah Nasha yang penulis kenali disebalik lensa kamera. Bertempat di Starbuck The Gardens, Mid Valley, Nasha meluangkan sedikit masanya untuk berkongsi ceritanya. Menariknya kali ini, kita tidak akan bercerita tentang dunia lakonannya tetapi tentang dunia modelling yang menjadi cinta pertamanya itu.

NASHA @ 1987-2008
Hehehe.. macam tak percaya jer saya dah jadi model untuk tempoh selama tu.. Jadi pelakon baru lagi.. Jiwa saya di pentas peragaan. Itu cinta pertama saya. Saya mula menceburi bidang ni ketika umur 17 tahun. Macam2 pengalaman yang saya lalui. Orang nampak jadi model nih senang jer. Ada rupa semua jalan. Tapi anggapan tu sebenarnya tak betul. Jadi model ni sama jer macam kerja2 lain. Perlukan usaha dan komitmen kerja yang besar. Kena study dan sentiada bersedia dengan tugasan.. Bukan setakat pakai baju dan catwalk macam tu jer. Ia juga ada tahap kesukarannya. Ada masa2nya yang membuatkan kita rasa sangat2 tercabar. Hanya orang yang benar2 kuat dan bersungguh2 sahaja yang mampu bertahan.

NASHA @ MODEL IDOLA
Terima kasih melihat saya dengan sesuatu yang positif. Semua orang pun mampu menggapai cita2 mereka jika ada usaha dan kesungguhan. Nak jadi model ni bukan senang. Kena ada keberanian. Bukan berani mati pakai apa sahaja yang disuruh. Tetapi berani kerja kuat dan bagi sepenuh komitmen. Berani berdepan dengan cakap2 dan pandangan orang terhadap kita. Maklumlah, kat sini kerjaya model masih lagi dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Model2 tidak begitu dihargai. Bayaran pun ciput sangat2. Terus-terang saya cakap, memang susah nak survive. So, kalau nak jadikan ia sebagai kerjaya tetap tu, kena ada semangat yang kuatlah…

NASHA @ KENANGAN
Kenangan yang paling saya tak dapat lupa ialah semasa pertama kali nak audition jadi model. Waktu tu diorang nak cari model untuk iklan Peter Stuyvasant. Waktu tu agency yang menguruskan semua tu adalah Tiara Jaquelina. Tahu apa jadi? Saya boleh cabut lari bila dapat tahu kena pakai swimming suit untuk audition tu. Hehehee.. Waktu tu saya konservatif sikit. Walaupun kat luar nampak saya macam ok jer, tapi dalam diri, saya masih konservatif. Lagi pula saya dah janji dengan mak saya, saya takkan buat benda2 yang memalukan mereka. So, waktu tu saya tak nak pakai swimming suit tu sebab nak jaga hati mereka. Saya tak menyesal pun lari sebab saya rasa tindakan saya tu betul. Tapi siapa sangka ada hikmah disebalik semua tu. Rupa-rupanya tindakan saya tu, dapat perhatian pihak agency. Diorang tetap mahu bagi peluang pada saya walaupun saya dah cabut lari… hehehe… saya dikecualikan pakai swimming suit tu.. Paling best juga, saya dipilih buat iklan tu.. Kat situlah saya mula membina kerjaya dalam bidang ni..

NASHA @ MANIS
Peluang untuk membuat peragaan di kota New York pada tahun 2004. Zang Toi bagi kepercayaan kepada saya untuk turut serta dalam satu acara peragaan yang besar di sana . Waktu mula2 dapat offer tu, excited jangan cakaplah. Semangat berkobar2. Maklumlah bukan senang model Melayu macam saya ni nak masuk sana. Tapi bila dah sampai sana, jumpa dengan model2 mat salleh kat sana, saya rasa rendah diri sangat2. Hehehe.. tiba2 sedar diri. Rasa macam tak layak sangat berada di kalangan diorang semua tu. Daya kesungguhan dan komitmen diorang sangat dasyat.. Diorang bukan jenis yang main2 dan perasan sendiri. Sangat professional.. Benda2 tu semua buat saya takut. Paling kelakar, saya boleh saya cakap kat Zang Toi, tak payahlah suruh saya catwalk dengan baju dia tu, biar saya jadi assistant dia jer. Tolong kemas2 baju… hahahha. Tapi bila dah kena ‘basuh’ dengan Zang Toi saya buat juga persembahan tu. Alhamdulillah semuanya berlangsung dengan baik jer. Itu yang paling manis dalam diari saya sebagai seorang modeling

NASHA @ KASUT 6 INCI
Jadi model memang kena biasakan diri pakai kasut tumit tinggi. Takde hallah semua itu sebab dah biasa kan. Tapi baru2 ni, saya dikejutkan oleh Zang Toi dalam satu majlis peragaan koleksi terbarunya sempena perasmian butik barunya di Pavillion. Dia mahukan saya catwalk dengan memakai kasut tinggi 6 inci. Huhuhu... serius saya tak pernah catwalk dengan kasut setinggi itu. Paling tinggi pun, kasut 3 ½ inci jer. Saya bukan apa, takut jatuh jer.. hehehe. Teringat kisah Top model Naomi Campbell yang terjatuh di pentas waktu catwalk dengan kasut 8 inci tu. Tapi dah memang kerja kan.. saya ambil jugalah cabaran ni. Catwalk dengan kasut 6 inci tu..... Huhuhu.. Mujurlah semuanya ok dan selamat..Alhamdulillah juga sepanjang 20 tahun lebih jadi model ni, tak pernah pulak saya jatuh tersungkur kerana kasut tumit tinggi.

NASHA @ RESIPI KEJAYAAN
Takde resepi apa2. Buat kerja kita dengan betul, itu yang penting. Kena ada semangat perjuangan dalam diri. Berusaha untuk dapatkan sesuatu hingga berjaya. Bukan mudah untuk mengecapi kejayaan. Sabar kena ada. Kalau skala kesabaran tu dikira 1-10, saya rasa berada di skala no.7. Itu juga nombor kegemaran saya. No. 7 yang saya simbolkan sebagai bentuk cangkul. Bermakna, kita kena mencangkul (berusaha) lebih kalau kita mahu berjaya.

(Kredit : Artikel Majalah BH)

[Ter-inspirasi dengan banyak isi tutor bual-nya...]

Wednesday, May 06, 2009

~ RAWAN ~


RAWAN
by azharina

Biar berjauhan namamu daku sebutkan
Cukup untuk mengisi
Sepi tika pilu menanti
Bukan bintang atau suria bisa menyinar ceria
Namun kau cahaya menerangi jiwa lara
Berperang dengan curiga di firasatku
Andai kau kembali merawat hati rindu

Ku bahagia pabila kau tiba
Kau lenyapkan rawan
Tak usah dikau pergi
Tak ingin lagi
Meruntun hiba dengan sesalan
Kini kuakui
Segala kemaafan kupohon kepadamu
Agar kau mengerti
Hanya cintamu yang terbaik untukku

Biar berjauhan namamu daku sebutkan
Cukup untuk mengisi
Sepi tika pilu menanti
Berperang dengan curiga di firasatku
Andai kau kembali merawat hati rindu

Ku bahagia pabila kau tiba
Kau lenyapkan rawan
Tak usah dikau pergi
Tak ingin lagi
Meruntun hiba dengan sesalan
Kini kuakui
Segala kemaafan kupohon kepadamu
Agar kau mengerti
Hanya cintamu yang terbaik untukku
Kau untukku

[Lelaki sepet ini menguji-uji aku dengan jaya-nya... ermm..]

~ ANGKARA DENGKI KHIANAT ~

(sekadar foto hiasan)

Aku tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Namun, aku tetap mahu berkongsi sesuatu di ruang ini. Isnin lalu, aku dikhabarkan tentang kisah rakan setempat pekerjaan yang sedang sakit. Bukan sakit biasa, tetapi sakit yang tidak dapat dikesan sang doktor. Hampir tiga bulan demam-baik-demam-baik dan sejak awal minggu ini dia semakin lemah dan tidak bermaya. Beberapa rakan telahpun melawatnya yang terlantar di rumah, termasuk en boss besar dan en bos kecil.

Khabarnya berat badannya menurun begitu drastik. Jika selama ini dia dianggap ‘comel’ dek berat badannya yang sedikit ‘sihat’ itu, kini fizikalnya berbeza sekali. Dalam tempoh kurang seminggu berat badannya susut sebanyak 10kg sedangkan selama ini berat badannya sukar sekali mahu turun.

“Dah tinggal tulang. Kalau kau tengok dia mesti kau terkejut. Kesian sangat..”

Itu antara reaksi rakan-rakan yang melawatnya. Senovel cerita yang mereka bawakan tentang itu. Heboh satu tempat pekerjaan terkongsi. Khabar dari cerita mereka juga, rakan yang seorang ini terkena ‘buatan orang’.

Aku menarik nafas panjang. Sungguh aku tidak pernah ada pengalaman dalam soal yang begini. Tidak pernah dilalui oleh keluarga atau saudara-mara terdekat, rakan-taulan juga tidak melalui pengalaman seperti itu... (Alhamdulillah...). Justeru, aku tidak banyak tahu tentang soal-soal yang begini. Bukan tidak percaya tentangnya, cuma tidak banyak tahu dan tidak terdedah kepada itu..

Kata mereka lagi, ‘perbuatan’ itu dilakukan kepada rakan ini kerana dia dicemburui. Cemburu tentang apa, tidak pula aku suakan pertanyaan. Namun, kerana kecemburuan itulah, seorang manusia yang hitam hatinya ini sanggup menganiayai rakan ini. Sebegitu teruk dia dikerjakan tanpa ada rasa kemanusiaan.

Khabarnya, setelah gagal dengan en doc, dia merujuk kepada pakar perubatan tradisional. Mengejutkan, bila badannya dia katakan telah dimasukkan 19 ekor ‘jin’. Lalu menyebabkan dia sukar untuk meletak lena dan menyekat selera makannya keras. Sungguh.. terlopong aku mendengarnya. Antara percaya dan tidak... aku sendiri tidak tahu mahu berdiri di mana. Ia sesuatu yang baru buatku kerana sungguh aku tidak pernah mendengar cerita seperti ini kecuali di drama tv atau layar filem.

Ermmm... masih wujud yaa manusia hari ini yang sanggup bermain dengan kuasa iblis dan syaitan semata-mata mahu memenuh mahu hati? Menganiayai manusia lain tanpa sedikit rasa kemanusiaan? Aku tidak tahu sejauh mana kebenarannya tentang soal-soal yang begini (sihir, mahkluk halus, misteri dll) yang menimpa rakan setempat pekerjaan itu, namun itulah cerita yang mereka khabarkan.

Dalam perkembangan yang lain, aku juga turut mendapat khabar seseorang yang 'dikenali' mungkin juga oleh kamu kini sedang menderita dengan sakit yang sama. Suaranya hilang tiba-tiba tanpa alasan. Batuk tidak, sakit tidak... tetapi suara hilang. Apabila merujuk kepada orang alim agama dan diperjelaskan tentang duduk ceritanya, dia diberikan air penawar (air bacaan Yasin). Alhamdulillah dengan izin Allah, suaranya kembali pulih seperti sedia kala.

Justeru....
Pesanku pada diri, mudah-mudahan aku terhindar dari semua itu.
Pesanku pada kamu di luar sana, jauhi diri dari perbuatan syirik dan menyekutukan Allah.
Pesanku pada mereka yang punya hati yang busuk dan hitam itu, usah jualkan iman kamu kepada makhluk yang bakal membinasakan kamu....
Ermmm...
Yang dipesankan seseorang kepadaku dan ingin dikongsikan dengan kamu, “Janganlah mengecilkan hati, menyakitkan atau menganiayai antara sesama. Memelihara soal itu akan membuat hindar kepada soal iri, marah dan dendam. Jadikan senyum dan keikhlasan sebagai penawar paling mujarab..”

[Ramai orang ber-cakap tentang ‘Darul Syifa’ di-Bangi yang banyak mem-bantu... ermmm.. muhon teros di-bantu...]

Tuesday, May 05, 2009

~ MASIH ADA SISI PUTIHNYA ~


Sudah 5 hari memasuki bulan Mei.. dan aku terkenang sahabat Mei. Tiba-tiba sahaja terkenangkan sahabat ini. Terkenangkan 'baju yang koyak' yang mana tampalnya tidak pernah memberi selesa kepadaku lagi seperti mana asal duduknya.

Entah di mana kebetulannya, muncul seorang rakan membuka bual. Tentuya tentang sahabat Mei. Aku mendengar sahaja. Walaupun sepertinya, dia dekat dan banyak tahu tentang sahabat mei, aku tidak rasa dia mengenali dekat sahabat yang seorang itu. Lalu dia membuat kesimpulan berdasarkan mata kecilnya.

Aku tidak mengatakan sahabat yang seorang itu suci bersih peribadinya. Dia juga manusia biasa yang tidak lekang dari membuat kesalahan. Namun, lazim lumrah manusia yang lebih terdorong untuk melihat satu titik hitam berbanding selebar dunia ruang putihnya.

Lalu, canggung laku sahabat mei dihitung satu-satu. Aku tidak membela untuk benar kesalahan yang dilakukan oleh dia, aku cuma ingin bertanya tiada langsungkah kebaikan sisi putih yang ada pada sahabat yang seorang itu?

Andai benar dia sedang 'memusnah' dirinya, aku tetap akan doakan agar dia tidak termusnah sia-sia. Andai benar dia sedang membakar diri, aku mengaharapkan agar dia tidak rentung hangus. Biarlah yang musnah itu, egonya... biarlah yang hangus rentung itu adalah alpanya...

Aku mengharap agar masih tinggal sebahagian 'dirinya' yang asal. Justeru, sebagai sahabat aku masih mahu berpesan-pesan untuknya yang masih sahabat. Aku juga tidak mahu menahan marah lagi apabila orang memperkatakan yang 'sakit' tentahg sahabat sendiri. ermmm..

[Ku-gantong igo, demi dudok sa-buah per-sahabatan..]

Monday, May 04, 2009

~ TENTANG DIA ~


TENTANG DIA
(petikan puisi dari filem Tentang Dia )

Ada yang hilang ketika kau hilang
Hatiku, jiwaku,
Ada yang pergi ketika kau pergi
Senyumku, tawaku,
Hidupku ikut hilang bersamamu,
Cintaku ikut pergi bersamamu,
Sementara ku masih di sini

Kesedihan,
Tidak pernah membiarkan kebahagiaan datang sendirian
Ke dalam hidup manusia

Padahal, seringkali kita tidak cukup persediaan,
Untuk menikmatinya bersama
Begitu banyak rasa sakit
Dan kehilangan dalam hidup

Padahal, hidup terlalu singkat buat semua perasaan itu
Beruntunglah manusia..
Yang tahu apa yang mereka cari
Dan diberi cukup waktu untuk mencari...

[Yaa.. hidop ini ter-lalu singkat.. justeru, hargai yang kamu miliki... teman dekatmu, sahabat dekatmu, keluarga dekatmu... diri kamu yang paling dekat juga... ermm...]

~ DENGAN RASA CURIGA ~


Mungkin secara tidak sengaja, tetapi aku memerhatikan sahaja tingkahnya. Tidak pernah selama ini, dia memeriksa telefon bimbitku, tetapi hari ini dia melakukan itu. Dia terpandang aku memerhatikan tingkahnya.

AKU : Sudah mula mencurigai saya?
TEMAN JIWA : Ermm... Manalah tahu.. (balasnya bersahaja)
AKU : (Diam)
TEMAN JIWA : (Diam juga)

[Ter-kenang aruwah D.... yang perenah men-jadi mangsa per-tembongan ego teman jiwa.. ermm..]

Sunday, May 03, 2009

~ RINDU TERHENTI ~


RINDU TERHENTI
by tomok

Telahku tinggalkan
Memori Silamku itu
Tidak ku biarkan
Hidupku dibelit pilu

Walaupun duka menampar dada
Walau sepi mencalar hati
Rindu ku terhenti

Ku pinggirkan sayu
Yang merundum kalbuku
Kasih dulu ku biar berlalu

Ku pinggirkan lara
Yang bertaut di jiwa
Ku teruskan hidup tanpa dia

Padam nyala patah tumbuh
Hilangkan berganti
cinta tiba, cinta pergi
Biar di asal ku nanti

Ku lupakan mu jua di sini
Sedang kau pergi menjauhi

[Memang sudah ter-henti untok kamu...]

Saturday, May 02, 2009

~ TIDAK AKAN MEMBUAT BELA ~


SAAT bersiap untuk kembali semula ke hiruk-pikuk kota siang tadi, aku menerima satu panggilan telefon. Hanya sempat kudengar suara yang menyapa, namun tidak dapat dipastikan siapa yang empunya badan. Talian terputus. Mungkin line telefon di kawasan pesisir pantai itu tidak begitu baik. Malah ketika berbual dengan ibu di hujung talian semalam juga berkeadaan serupa.

Tiga minit selepas talian itu terputus aku menerima satu SMS. Bunyinya agak keras. Menuduh kononnya aku telah lupa diri dan membuang sahabat. Aku dikatakan sengaja memutuskan talian telefon itu kerana tidak sudi bersapa dengan sahabat lama. Sahabat lama?? Aku kembali membaca text itu dengan penuh inci dan hati-hati. Cuba meneka, cuba mencari, cuba mengenal bahasanya.

Ermmm... akhirnya aku berjaya meneka. Rasanya tekaan itu tepat. Panggilan telefon dan SMS itu datangnya dari seorang sahabat lama dari sejarah sepuluh tahun lalu. Kurang pasti bagaimana dia mendapat telefon bimbitku, tetapi tuduhannya itu nyata tidak berasas sama sekali.

Aku tidak berhasrat untuk menghubunginya kembali untuk membuat penjelasan atau membetulkan anggapan salahnya itu. Sungguh aku tercuit dengan tutur kerasnya itu. Biarlah dia terus dengan anggapannya itu. Biar.

Aku tidak pernah berubah. Bagaimana dia mengenaliku sepuluh tahun yang lalu, begitu jugalah aku yang berdiri hari ini. Tidak pernah mahu membesar diri apatah lagi lupa di mana bumi ku pijak. Bukan itu yang diajarkan ibu kepadaku. Bukan itu yang hidup bernyawa dalam diriku. Sungguh ia tidak akan berlaku selagi waras ada dalam diri.

"Saya sedih punya sahabat seperti AL..." Ermm... Begitu kesimpulan yang dia lakukan. Tidakkah dia tahu, aku juga sedih membaca antara petikan text yang dia kirimkan ini. Hanya kerana situasi membuat halang kepada mahu, dia membuat simpul yang keras. Sedang dulu, dia juga bukan orang yang begini. Justeru, siapa yang berubah?

Namun, jika dia sudah memilih untuk dengan anggapan begitu, aku menerima dengan rasa terbuka. Biarlah masa dan keadaan sahaja yang menentukan. Aku tidak akan membuat sebarang pembelaan diri. Ermmm... Begitupun selalu aku.

[Terima kaseh untok kamu yang sudi men-jadi peguam bela setiap kali aku dalam per-tudohan..]

Friday, May 01, 2009

~ MELIHAT BINTANG DI LUAR HIRUK-PIKUK KOTA ~


LAMA aku tidak merasa suasana indah begini... dan semalam aku berpeluang dalam situasi itu. Usai urus pekerjaan yang membuat sesak di dada, aku keluar dari hiruk-pikuk kota menuju ke selatan daerah untuk menghirup udara segar lagi nyaman.

Paling menjadi mimpi untuk melihat bintang terhampar dilangit indah dari pesisir pantai dengan bunyi deru ombak memecah suasana. Bunyinya seperti aku ini 'penjiwa' orangnya. Tidak juga. Cuma kecintaanku lebih kepada keindahan sebegitu. Pada mulanya kami merancang untuk melihat matahari terbenam di tempat yang sama. Namun, dek kerana urus pekerjaan dan pertembungan ego seorang rakan yang kurang membuat senang semalam, aku terlewat banyak. Sudahnya matahari yang mahu diintai telah senyap mengatur mimpi.

Apapun, alhamdulillah.. hasrat untuk melihat bintang dari pesisir pantai itu menjadi kenyataan. Tuhan mengizinkan cuaca yang baik agar bintang tidak malu untuk bersua. Juga ombak yang membuat singgah di gigi pantai dengan salam penuh hemah.

Bayangkanlah betapa indahnya situasi yang selalunya hanya dalam mimpi itu. Aku menelentang ke langit luas untuk melihat kumpulan bintang yang memberi kerlip dengan beralaskan pasir pantai yang mulus. Leka sehingga jam tepat 4.15 pagi. Indah. Sungguh indah.

Jika tiada aral yang melintang membuat halang, hujung minggu ini aku akan melakukan perkara yang serupa sempena mengisi percutian yang dirancang lama. Juga di persisir pantai yang memang menjadi pilihan. Sungguh kebetulan juga, pada minggu seterusnya secara berturutan, aku juga berpeluang untuk menjejak pesisir pantai di selatan tanahair pula. Ermm.. tidak sabar menantikan saat itu. Yaa... kesemuanya pesisir pantai kerana kecintaanku lebih kepada itu.

[Sempat juga kek hari ulang-tahon di-tiup ombak nyaman]