Thursday, April 30, 2009

~ MEMILIH AKU UNTUK DIPIJAK ~


AKU tersenyum sahaja melihat tingkahnya. Sikap mementingkan diri dan menguasai jelas tergambar dek lakunya. Langsung tidak mahu membuat sebarang bincang. Apa sahaja katanya akan menjadi kata putus walaupun kesannya bukan hanya ia yang menangung.

Aku cuba memberikan pendapat tetapi bagai biasa aku tidak berhasrat untuk bangkit untuk mempertahankan pendapat itu walaupun ia punya kewajaran. Tidak ada untungnya berbuat demikian kerana teman ini bukan jenis yang mahu menerima atau mendengar suara orang lain.

Situasi serupa berlaku sebentar tadi. Rakan ini membuat putus tentang beberapa perkara. Apa yang diputuskan itu mengundang risiko yang buat kami ketika itu. Aku dan seorang lagi rakan memandang antara satu sama lain. Cuba memberikan pendapat tetapi pendapat itu ditolak mentah-mentah dengan alasan dia serba tahu. Rakan yang seorang lagi memberikan isyarat kepadaku supaya mempertahankan apa yang aku usulkan itu, namun aku menggelengkan kepala. Sudah ku kenal lagak rakan yang seorang itu. Justeru, tidak ada gunanya untuk bersuara.

Sudahnya, segala urusku terbengkalai. Yang patut didahulukan tersadai akibat rasa penting dirinya itu. Walhal apa yang dikejarnya itu tidak terusik sedikitpun. Beberapa kali aku melihat jam di tangan. Dia memerhatikan itu. Entah ada rasa bersalah pada dirinya atau tidak, aku kurang pasti. Pulangnya, aku gagal melaksanakan segala urus yang patut aku selesaikan siang ini kerana membantu rakan ini melunas misinya. Ermmm...

Dalam perjalanan pulang, sangkaku dia menghargai hulur bantu yang aku lakukan untuk dia dengan mengabaikan urus perluku, rupanya tidak. Situasi serupa membuat singgah. Dia masih dengan suara menguasainya. Sudahnya, perjalanan yang sepatutnya hanya kurang 40 minit itu menjadi hampir 120 minit. Aku yang paling tertempias dengan sikap menguasainya itu.

Sungguh aku lelah berdepan manusia begini. Apatah lagi dia rakan yang harus aku depani setiap hari dengan urusan pekerjaan yang semakin menyesak itu. Bukan merungut dek lelah pekerjaan, tetapi meresah dengan tingkah canggung yang semakin hari semakin membuat gejolak marah mahu keluar dari kepompongnya..

[Kalau tidak kukenang, dia sahabat... ermm...]

Wednesday, April 29, 2009

~ BERSELISIH TULISAN ~


KECILNYA hiruk-pikuk kota yang dikatakan besar ini. Semalam atau lebih tepatnya juga hari ini, aku berkenalan dengan seseorang yang sudah aku kenalnya terlebih dahulu melalui tulisannya. Tulisan bertembung tulisan, lalu dia mengenal aku tepat.

Aku menulis entri ni dengan senyum panjang, lucu terkenangkan bagaimana aku mohon kepadanya agar biar sahaja 'perkenalan' itu hanya dia dan aku sahaja yang tahu.

Tajam pengelihatan dan pengamatan dia. Justeru, begitu tepat dia melihat aku ada dalam tulisan itu. Mungkin juga dia bukan sebarang (pujian buat kamu yaa O.L.. dan mudah-mudahan bertemu apa yang di cari kamu sepanjang berada di sana yaa..)

[Sering di-kenal melalui tulesan... kerna jari-jari ini yang kerap mau ber-cherita...]

~ KECICIRIAN ~


ENTRI ini kutulis ketika menggunakan talian internet percuma di Matic, Jalan Ampang. Ketika ini aku sedang menunggu rakan pekerjaan yang mana telefon bimbitku tercicir di dalam keretanya yang kutumpangi dua jam sebelumnya dari ruang pekerjaan untuk ke MV (sepatutnya).

Selama dua hari berturut-turut aku melalui situasi serupa, keciciran telefon bimbit. Malam tadi juga begitu apabila aku yang sudah tiba di rumah ini terpaksa berpatah balik ke tempat pekerjaan gara-gara tercicir telefon bimbit di sana. Jam 9.00 malam kembali bergegas ke sana dan mujur belum teralih walau seincipun dari tempat ia dicicirkan. Hari ini ia berlaku sekali lagi... Aku yang sudah berada MV dengan urusan itu, terpaksa mengharung sesak jalan yang panjang dengan kenderaan membuat atur menuju ke Ampang, menjejak yang dicicirkan itu. ermm...

Saat berkongsi cerita itu bersama teman jiwa, lelaki ini mentertawakan aku. Katanya, barangkali aku ada berbuat silap atau mengguris hati sesiapa, justeru itu yang aku lalui. Atau tidakpun mengecilkan hatinya, lalu segeralah mengangkat jari sepuluh, memohon maaf untuk itu.

Aku turut membalas tawa kecilnya itu. Tetapi dalam ketika yang sama mengangguk tanda setuju. Aku menyedari tentang hal itu. Mungkin juga ia berlaku begitu kerana aku ada berbuat silap kepada orang lain. Ini kerana sebelumnya juga apabila situasi serupa berlaku, pasti ada kebetulan yang begitu.

Justeru, andai benar ia berlaku dengan situasi seperti itu, aku mohon maaf kepada mana-mana hati yang mungkin ada terguris rasa dengan tingkah, mahupun bahasaku. ermm..

[Apa lagi yang mau aku cicir-kan... ermm]

Tuesday, April 28, 2009

~ DEMI MATAHARI ~


DEMI MATAHARI
(petikan surah al syam)
by snada

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit berserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit berserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah subhanallah
Allah subhanallah
Allah subhanallah
Allah subhanallah

Allah mengilhamkan
Semua kefasikan dan ketakwaan
Beruntung bagi yang mensucikannya
Merugi bagi yang mengotorinya

Subhanallah...

[Ter-kenang visual sa-ekor burong besar ber-terbangan men-cari arah sa-tiap kali sesi hari baru ber-mula dalam kursos ESQ..]

Monday, April 27, 2009

~ MALANG MEMBUAT SINGGAH ~


Memulakan isnin dengan kesenyapan. Tiba di ruang pekerjaan, aku membuat urus sendiri. Sepatahpun tidak terkeluar bicara. Memang semakin banyak ‘emas’ yang membuat huni di mulut ini hari ke hari. Separuh hari matahari membuat condong, aku diperlu kepada urus di luar. Seperti terantai langkah kaki, aku membesar rasa malas dalam diri. Ermm…

Malang membuat singgah. Kala membuat perjalanan pulang dengan monorail dua gerabak itu, aku ditolak manusia rakus yang hanya mementing soal untung diri. Terdorong ke depan sehingga bahagian tepi kanan mukaku tercium tiang besi bahagian tengah gerabak. Aku memandang ke wajahnya, bukan mahu melepas marah tetapi mengingin simpati kerana bahagian kanan itu merupakan bahagian yang baru ‘terpulih’ setelah mendapat rawatan en doc beberapa minggu lalu. Ermm…

Usahkan mahu memohon maaf, menghulur simpati apatah lagi… menoleh ke arahku yang termangsa itupun dia tidak sudi. Huhuhuhu… Bongkak. Aku duduk dengan membuat diam sambil mengetap bibir. Aku tidak mahu melepas amarah yang mungkinnya akan mengundang ‘sakit’ yang lain. Lalu, aku alihkan perhatian dengan meneruskan pembacaan novel Luka yang masih berada di sisi.

Pulang ke rumah, menyiap segala yang perlu dan membersih diri, kelihatannya tompokkan lebam bertanda di bahagian sakit siang tadi. Mula berdenyut membuat kacau. Tidaklah sesakit mana, tetapi fikiran mula berkacau andai ia akan mengganggu rutin esok hari.. arghhh…

[Kalau sudah bongkak…]

Sunday, April 26, 2009

~ WALAU DENGAN APA NADA ~


"Lu Pikirlah Sendiri..." Ermm.. aku mengambilnya serius. Tidak mahu tahu apa nadanya, tetapi ia menguis rasa. Sungguh aku tidak senang dengan tuturan itu. Titik.

[Dari kerana tutur.... ermm...]

Saturday, April 25, 2009

~ TEATER PATUNG KERTAS 2 ~


Tiket untuk menyaksikan teater Patung Kertas yang sedang berlangsung di Auditorium Tunku Abd Rahman, Matic, kini sudah berada di tangan. Ermm.. tiba-tiba sahaja terkenang sahabat dekat yang begitu ingin menonton teater ini. Beberapa minggu lalu sebelum teater ini dipentaskan pun, dia awal-awal lagi mengingatkan aku tentang itu. Berkali-kali membuat pesan agar aku membawanya untuk menonton sekali.

Jujurnya, aku memangnya mahu membawanya menonton. Tidak sampai hati melihat pujuknya yang tidak pernah habis dek insiden teater Mimpi sedikit masa lalu. Namun, situasi tidak terjangka telah berlaku beberapa hari lalu. Sepertinya ribut kembali membuat singgah... ermmm... bukan itu yang terniat asal. Sungguh, aku tidak mahu ribut lagi.

Mengenang itu, aku membuat putus untuk menyimpan sahaja tiket teater ini. Biarlah sama-sama tidak menonton... adil begitu barangkali. Ermmm.. anggap sahaja bukan rezekiku untuk menonton teater ini.

[Koyak tampal.. koyak tampal.. koyak tampal... sudah-nya apa jadi yaa dengan baju itu?]

~ TEATER MAHSURI ~


Punya kesempatan yang baik sekali apabila berpeluang menonton teater Mahsuri pada hari pertama pementasannya. Sambutannya agak baik apabila ramai penonton yag mengisi tempat duduk di Panggung Sari, Istana Budaya itu. Pun begitu ia bukanlah kayu pengukur sebenar untuk pementasan pada hari berikutnya.

Usai menonton teater yang menampilkan pelakon Vanidah Imran sebagai pemeran utama ini, sahabat di sebelah pantas bertanya pendapatku tentang teater ini. Tidak perlu menunggu sepuluh minit untuk membuat fikir, aku menyuarakan pendapat jujurku. Sungguh aku langsung tidak rasa terkesan dengan teater ini. Bukan kerana ia tidak bagus tetapi tiada satu impak besar yang boleh membuatkan aku mengenang teater ini secara berpanjangan.

Namanya teater 'MAHSURI', tetapi siapa mahsuri yang diagung-agungkan oleh sejarah itu tidak diperincikan. Aku faham durasi teater ini yang hanya memakan masa selama 1 jam 20 minit (kurang lebih begitu) mungkin membataskan banyak perkara. Namun, itu bukanlah alasannya. Pengarah tidak boleh menganggap seisi penonton yang hadir menonton di Panggung Sari pada malam ini semuanya tahu tentang sejarah Mahsuri. Jika itu yang berada di fikiran sang pengarahnya, ternyata dia salah.

Katakan, aku tidak tahu tentang sejarah Mahsuri, tentu sahaja aku tertanya-tanya di manakah keistimewaan gadis bernama Mahsuri ini sehingga digilai oleh seluruh anak muda dan dicemburui oleh seluruh anak gadis di bumi Langkawi itu. Di dalam pementasan tadi, kelebihan Mahsuri langsung tidak ditonjolkan. Tidak terasa langsung istimewanya Mahsuri itu selain badannya yang tidak lut ditikam keris dan titisan darah putih yang dikeluarkan dari tubuhnya itu. Seolah-olah itu sahaja kelebihannya itu.. eermm..

Bagaimanapun, pujian harus aku berikan kepada pereka set pentasnya yang sangat menarik itu. Sungguhpun dengan kos yang minimal, rekaan pentasnya sangat indah yang hidup sekali dengan perjalanan cerita Mahsuri ini. Juga pujian untuk pemeran watak Wan Endah lakonan pelakon berkarisma, Azizah Mahzan. Biarpun hanya muncul untuk 2-3 babak, ternyata wataknya itu sungguh memberi kesan. Tidak ketinggalan juga barisan lagu-lagu ciptaan Iryanda Mulia Irwadi yang sangat-sangat kena dengan teater ini. Aku terbuai, aku terkesan dan aku terkusyuk dengan lagu-lagu ini. Tahniah untuk itu.

SINOPSIS MAHSURI

Mahsuri gadis cantik kelahiran Langkawi, dara pingitan Pandak Mayah dan Cik Alang. Cantik jelitanya menjadi buah mulut dan kecemburuan terutamanya kaun wanita. Mahsuri dikahwinkan dengan seorang pemuda dan pahlawan tempatan iaitu Wan Darus, adik kepada wakil Sultan di Langkawi, Wan yahya (atau dengan gelaran Datuk Pekerma Jaya), suami Wan mahura. Hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri hamil ketika Wan Darus keluar meninggalkan Langkawi untuk berperang dengan tentera Siam. Sepeninggalan beliau, Mahsuri tinggal bersama ibu bapanya. Deramang, seorang kembara telah singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi dan ibu bapa Mahsuri, sehingga mempelawa Deramang tinggal di rumahnya. Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan anma Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan mahura, kakak iparnya. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri melakukan hubungan sulit dengan Deramang. Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh oleh Datuk Pekerma Jaya setelah termakan hasuatan isterinya. Walaupun dipujuk dan dirayu ibu bapa Mahsuri, hukuman tetap dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa dosa. Sebelum mati, Mahsuri telah menyumpahi Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.

Lakonan yang paling cemerlang :
Azizah Mahzan @ wan Endah
Babak yang paling mengesankan :
Ketika Mahsuri sebak menyabarkan ayahnya supaya meredhai hukuman yang dikenakan ke atasnya.
Lagu yang paling menyentuh :
Lagu keluhan hati Mahsuri ketika mengiringi pemergian suaminya, Wan Darus

[Tahniah untok peng-arah, pelakun dan seluroh tenaga produksi yang men-jaya-kan teater Mahsuri yang penoh lagenda ini...]

Friday, April 24, 2009

~ HEY LADIES ~


HEY LADIES
by rossa

Sudah kubilang jangan terlalu yakin
Mulut lelaki banyak juga tak jujur
Bila sakit hati wanita bisanya nangis

Sudah ku bilang jangan terlalu cinta
Kalau patah hati siapa mau nolong
Seperti langit dan matahari tak bersatu lagi

Hey ladies jangan mau di bilang lemah
Kita juga bisa menipu dan menduakan
Bila wanita sudah beraksi dunia hancur

Hey ladies sekarang cinta pakai otak
Jangan mau rugi hati dan juga rugi waktu
Bila dia merayumu ingat semuanya bohong

Memanglah tak semua laki-laki busuk
Namun ladies tetaplah harus waspada
Semogalah kita semua akhirnya
Mendapatkan cinta yang tulus

Sudah kubilang jangan terlalu yakin
Mulut lelaki banyak juga tak jujur
Bila sakit hati wanita bisanya nangis

[Mau sa-tegoh prinsip Ibu Zain yang mem-besar hati..]

~ PERCAYA YANG TIDAK DIJUAL ~


Semalam aku dibongkar dua rahsia. Dari situasi berbeza, dari sahabat berbeza, dari kesakitan berbeza dan dari kekecewaan yang berbeza. Ermm... semuanya berlaku secara kebetulan dan hidup aku juga penuh dengan kebetulan. Apapun terima kasih buat kamu sahabat 'berprofail tinggi' dan sahabat kecil kerana menaruh kepercayaan yang tinggi kepadaku. Kepercayaan itu sungguh aku hargai walaupun menakutkan aku sesungguhnya.

BAHAGIAN SATU

Patutlah beberapa hari lalu sahabat berprofail tinggi ini beriya mahu kami mengisi masa dengan menghirup secawan coffee. Rupa-rupanya ada cerita yang mahu dikongsikan. Cerita besar, berat dan berprofail tinggi juga. Ermm... Justeru, kesempatan kami di layar skrin hari ini digunakan sebaiknya untuk meringan berat yang terpikul di bahu dan di hati barangkali.

Satu-persatu rahsia dirungkai. Benarlah kata orang, fitnah itu umpama membunuh. Justeru, bunuh sahajalah daripada membuat fitnah yang ternyata lebih menyakitkan zahir dan batin. Itu yang sahabat ini lalui beberapa hari terkebelakang ini. Paling menyedihkan apabila penyebar fitnah itu merupakan manusia yang dianggap 'malaikat' di mata yang lain.

Ermm.. sungguh, sahabat ini kental pada duduknya. Pelbagai dugaan duduk bersusun tangga, dia masih hidup bernafas sempurna. Andai aku yang tertimpa, entah bagaimana waras diri menjadi perhitungan. Justeru, aku kagum kepada kamu wahai sahabat. Tersisip juga doa agar kesabaran sentiasa membuat damping kepada kamu. Aku tuturkan dengan ikhlas.. ermm..

Siapa sangka dia menjadi mangsa kepada insan yang mungkin di mata manusia lain adalah manusia yang bersih tulus. Kenapa yaaa.. manusia selalu menilai buku pada kulitnya? Memilih sesuatu atas dasar indah dan cantiknya sahaja tanpa pedulik busuk isi dalamnya?? ermm...

BAHAGIAN 2

Tanpa dirancang, sebaik habis urus pekerjaan petang semalam, aku menghabiskan sedikit masa untuk menghirup secawan cofffee bersama sahabat kecil. Memanjang langkah pula untuk menikmati char kuetiaw kegemaran di tempat kegemaran. Sejak akhir-akhir ini aku semakin akrab dengan sahabat kecil ini. Dia adalah sahabat yang boleh diharapkan. Sahabat yang boleh dituju andai kita berada dalam kesulitan membuat himpit. Dia boleh menjadi sahabat susah dan senang. Itu kenyataan sepanjang bersahabat dengannya.

"Selama ni, aku bukan sakit.." Tiba-tiba dia membuka bual serius ketika dalam perjalanan untuk menghirup secawan coffee itu. Kebetulan pula kenderaan penuh sarat mengisi laluan. Aku menangkap butir bicaranya dengan tajam. Memandang terus ke wajahnya dengan penuh tanda tanya. Entah kenapa, ada sedikit debar. Dia tidak memandang ke arahku sebaliknya membuat tumpu kepada pemanduan. Namun, sebagai sahabatnya tentu sahaja aku dapat meneka rasa di dalam hatinya dengan riak bersalah yang terpancar pada sugulnya.

SK : Aku tak tahu kau ok ker tak bila tahu ni..
SK : sebenarnya... ermmm...
SK : aku tak nak cakap kat kau pasal hal ni
SK : sebab takut kau tak dpat terima
SK : tapi kau ni baik sangat,
SK : sejak tahu aku sakit,
SK : tiap2 hari kau tanya aku ok ker takk
SK : tiap2 kali jumpa kau akan tanya aku pergi doktor ker tak
SK : siap nk tolong teman semua..
SK : kau baik sangat kat aku
SK : sbb tu laa aku tak sampai hati nak tipu kau
SK : selama ni, aku bukan sakit.. tapi..
AKU : (Memandang wajahnya, menunggu tutur seterusnya dengan penuh tanda tanya. Aku tahu ada sesuatu yang berat mahu disampaikannya)
SK : Sebenarnya... aku .............. ermm...
SK : (Terdiam seketika.. menarik nafas seketika. Namun, masih tidak mahu memandang aku)
SK : Mesti kau tak sangka kann.. tapi itulah yang jadi
SK : Aku tahu lepas ni mesti kau tak nak kawan dengan aku dahh.. (dengan suara sedikit getar)
AKU : (Melongo mendengar pengakuannya)

Aku benar-benar hilang kata-kata. Aku memandang lagi wajahnya. Wajah yang penuh rasa serba salah itu. Ermm... siapa aku untuk menghukum atau menimbang segala tindak lakunya? Duduk aku sebagai seorang sahabat dan ia tetap pada duduk itu. Kalau kamu mahu mendengar jawapan yang jujur, tentu sahaja aku sangat kecewa dengan apa yang aku dengarkan ini. Namun, itu tidak bererti aku perlu membuangnya sebagai sahabat (seperti mana yang dia suarakan terlebih dahulu).

Hari ini sahabat kecil ini membongkar sejarah hidupnya. Dari awal usia 9 tahun ditinggalkan ayah dan ibu sehingga tercampak di bawah jagaan nenek, berdepan dengan cuka yang tersimbah anak-anak nenek yang tidak merestu dan tidak ketinggalan kenakalan yang tercetus selepas tekanan itu.

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Pun begitu, dalam ketika yang sama aku melihat betapa kuatnya jiwa sahabat kecil ini mendepani hidupnya. Andai aku yang tercampak untuk menelan segala kenyataan hidup yang begitu, belum tentu waras panjang menjadi damping.

Jujur aku katakan di sini, aku mungkin bernasib baik kerana sejak dari kecil, di bangku sekolah, di zaman kampus sehinggalah kehidupan bekerja hari ini, aku tidak terdedah dengan perkara-perkara berat seperti itu. Pun begitu, itu bukan bererti aku menganggap diri bersih putih sehinggakan menolak keras mereka yang bertentangan. Aku bersikap terbuka. Aku tetap sedar manusia itu tidak lekang dari melakukan kesilapan.

Justeru, segala yang menyinggah telinga ini lalu terhantar ke otak untuk membuat simpul sehingga hati melahir rasa, akan aku jadikan pelajaran buat diri.

[Aku tidak akan sama sekali meng-khianat rasa per-chaya yang ter-beri itu..]

Thursday, April 23, 2009

~ ANDAI ITU YANG MEMBUAT SENANG... ~


SEMALAM, AA mahu aku menyertainya dan beberapa orang rakan lain untuk meraikan sesuatu. Namun, aku menolaknya secara saksama kerana situasi tidak membuat selesa yang baik.

Lantaran menolak untuk menyertai 'membuat bising' di RB, The Gardens, sahabat itu sudah berkecil hati denganku. Entah apa yang ada di dalam kepalanya saat ni, aku kurang pasti. Namun, aku tahu penolakanku semalam itu menguis rasa kurang senang buatnya.

Sebagai balasannya, hari ini dia pula melakukan perkara serupa. Ermm...? Sungguh aku tertanya-tanya dengan tingkahnya yang sangat membuat canggung itu. Dipangkahnya janji yang terlebih dahulu dituturkan kepadaku semata-mata kerana mahu membalas penolakanku semalam... Dia memberi kecewa yang banyak hari ini.. Sungguh di luar sangka. ermmm...

Aku tidak menyuarakan apa-apa. Senyap sahaja. Begitu pun selalu aku. Tidak juga aku tunjukkan reaksi marah atau protes. Cuma terdetik dalam hati ucapan terima kasih andai tindak itu boleh membuatnya senang..

Wahai sahabat, aku menolak semalam bukan kerana tidak menghargai pelawaan kamu. Tetapi aku bukanlah jenis orang-orang yang 'bising' untuk menyertai kebisingan itu. Sudah kujelaskan dengan penuh hemah sekali. Mohon kamu mengerti...

[Aku terima balasan-nya andai benar balasan itu perelu buat-ku...]

Wednesday, April 22, 2009

~ SEDIKIT ADA DENGAN RASA ~


TAJUK ALBUM : Rossa
HARGA : RM29.90
LAGU-LAGU :
Hey Ladies, Hati Yang kau Sakiti, Terlanjur Cinta, Tega, Cerita Cinta, Keajaiban Cinta, Sakit Hatiku, Takkan Berpaling Dari-MU, Kecewa, Impas dan 1000 Malam.

Baru sahaja memiliki album yang terkandung lagu-lagu indah mengusik rasa ini. Rossa, pemilik vokal yang gemersik ini selalu sahaja mencuit rasa dengan penjiwaan lagunya. Beberapa hari terkebelakang ini, album ini membuat teman.

[Penyanyi genit ini khabar-nya bakal turon mem-buat per-sembahan di Kuala Lumpor awal Mei ini]

Tuesday, April 21, 2009

~ MENGHALA RIBUT LAGIKAH ? ~


Saling mencuit curiga, saling terasa. Justeru, bila lidah menghunus kata tajam membuat maksud, masing-masing menjadi diam dengan gelodak amarah yang membuat rasa. Sungguh tidak mahu dalam ribut lagi, tetapi kata-kata tajam tanpa paksi itu menghasil ribut juga. Ermm... mohon maaf buat kamu sahabat andai kita sama terpukul.

[Tidak mau lari lagi... dudok saja walau ter-pukol ribot kencang...]

Monday, April 20, 2009

~ LELAH YANG PANJANG ~


Meski lelah berbaki panjang selama tiga hari menghadiri kursus ESQ sejak jumaat lalu sehingga malam tadi, aku menggagahkan diri ke tempat pekerjaan. Tiada pilihan. Urus kerja yang menimbun bagai KLCC itu harus aku selesaikan sebelum Rabu. Justeru, mahu tidak mahu aku memegang tanggungjawab itu dengan mengetepikan lelah diri.

Pulang ke rumah mahu terus meletak lena hendaknya. Namun sesak jalan dek ratusan kenderaan yang membuat halang, aku hanya tiba ke rumah kurang lebih jam 9 malam walaupun meninggalkan ruang pekerjaan pada jam 6.

Beberapa hari hilang selera dek ‘urusan dan pesan en doc’ tempohari, aku separuh lemah. Kebetulan pula keseorangan di rumah lantaran kakak beberapa hari di kampung halaman keluarga abang rentetan ibu mertuanya sedang mendapat rawatan di hospital di sana.

Kebetulan Auntie Phia dan Ai yang ketika itu berada di MV menghubungiku untuk bertanya khabar dan sekaligus mempelawa untuk menyertai sedikit acara amal yang bakal dilangsungkan hujung minggu depan. Apa yang mengharukan, mereka membuat singgah ke rumah semata-mata untuk mengirimkan sedikit makanan kegemaran untukku. Apatah lagi mengetahui aku melalui tempoh ‘berpantang en doc’. Terima kasih auntie Phia.. juga Ai, sahabat yang sudah kuanggap seperti saudara sedarah sendiri.

Namun dalam pada itu, perbualan dengan seorang sahabat di layar skrin membuat sedikit hiris. Mungkin aku terlalu sensitif, tetapi jujurnya aku tidak sukakan kata-katanya itu walaupun mungkin tujuannya sekadar gurauan cuma. Terhenti rasa dan selera dek kerana itu.

[Biar hilang selera, jangan hilang rasa… ermm..]

Sunday, April 19, 2009

~ TIDAK MAMPU MENAKUNG LAGI ~


Hari ini merupakan hari ketiga dan juga merupakan hari terakhir kursus ESQ yang dihadiri aku. Sepanjang tiga hari berkampung di sini, pelbagai rasa dan perkara telah aku lalui. Pengalaman yang tentu sahaja tidak mampu untuk aku tuturkan dengan kata-kata. Justeru, maafkan aku jika dapat berkongsi sesuatu tentang pengalaman itu dengan kamu di sini.

Hari pertama, aku cuba dengan sebaik mungkin untuk mengawal perasaan. Hari kedua aku gagahkan diri menahan tangis dari mengisi ruang. Namun, masuk hari ketiga aku sudah tidak mampu untuk bertahan lagi. Tatkala aku dipeluk oleh salah seorang peserta yang terlibat dengan tangisan panjang yang bergema seisi dewan sambil mengusap ubun-ubun kepalaku dalam keadaan bergelap-gelita, aku menjadi sangat sayu dan lemah segala. Entah dari mana datangnya tangisan itu, aku menangis semahu-mahunya. Umpama anak kecil yang mahu disusukan ibu.

Jujurnya, seperti yang pernah aku nyatakan di sini, aku agak degil dan keras hati orangnya. Setiap kali berdepan kekecewaan atau kesedihan yang panjang, aku sedaya mungkin cuba mengawal perasaan. Sedaya yang mampu cuba menahan tangis. Susah sekali kamu mahu melihat aku menangis.

Justeru, apabila air mata tertumpah bagai banjir melimpah besar pada sesi sebelah pagi tadi, aku merasa sangat luar biasa. Bererti, aku mengalami kesakitan perasaan yang maha dasyat barangkali. Ermm.. namun yang lucunya, seusai itu aku tiba-tiba menjadi malu apabila diperhatikan dalam situasi yang begitu. Malah, menyorokkan sebahagian wajah daripada satu-satunya peserta yang menyaksikan aku dalam keadaan yang begitu. Kurundukkan wajah tanapa mengangkat sedikitpun wajahnya dan sehingga usai dia tidak berpeluang langsung melihat wajahku.

Kepada rakan itu, aku mahu lafazkan rasa terima kasih ini kerana meminjamkan bahunya untuk mereda tangisku ketika itu. Dalam masa yang sama turut mahu memohon maaf kerana kami langsung tidak sempat berkenalan seperti mana orang lain kerana aku melarikan diri kerana malu bersituasi air mata begitu. Malu? Yaaa… itu aku.

Untuk kamu, andai punya kesempatan seperti ini, luangkankan sedikit masa kamu untuk menyertai kursus yang sangat memberi sesuatu ini. Aku pasti akan kembali menemukan apa yang hilang. Ia sangat luar biasa. Percaya aku.

[Terima kaseh penoh jujor untok Pak Aminul Rahman (aku jatoh chenta sama kamu pak), Pak Ariff dan Pak Andy se-laku pen-cheramah ESQ yang sangat ber-budi..]

Saturday, April 18, 2009

~ MEMINTA UNTUK JARANG MEMINTA ~


"Usah kamu meminta lagi.. kerana selagi kamu meminta, selagi itulah kamu akan sukar memperoleh..." itu yang selalu hati kecilku bisikkan. Memang benar, aku jarang sekali mahu meminta kecuali sangat dengan keperluan. Bukan hanya untuk perkara besar merentang, tetapi untuk hal-hal yang kecil juga, aku begitu duduknya.

Beberapa jam tadi, aku dalam sedikit kesulitan dan perlu kepada pertolongan. Aku memikir-mikir nama sahabat yang aku menaruh percaya selain teman jiwa yang tentunya berada jauh nun di selatan tanahair.

Aku memilih BR di senarai pertama. Memang dia sahabat yang mahu duduk bersama ketika susah dan senang. Justeru, aku tidak perlu risau tentang hal itu. Malangnya, beberapa jam tadi, dia punya hal yang mendesak dan benar-benar tidak dapat menghulur bantu. Aku menghubungi seorang lagi sahabat untuk menjadi ganti. Sahabat yang baru ku taruh semula percaya kepadanya. Telefon berdering sehingga terhenti bunyi. Tiada berjawab. Tiada yang menyambut di sana walaupun aku di sebelah sini sungguh mengharapkan panggilan itu dijawab. Ermm... aku benar memerlukan pertolongan kamu hari ini, sahabat..

Akhirnya siapa yang membuat bantu??? Seorang yang tidak terjangka. Seorang yang tidak aku minta bantunya dalam senarai percaya. Namun, dia rela hati dengan penuh ikhlas menghulur kerana dia tahu bagaimana rasa jika minta itu dihampakan walau atas apa alasannya. Apatah lagi untuk yang meminta-minta ini...

Ermmm... Benar, aku jarang sekali meminta-minta.. bukan bongkak atau sombong diri tetapi aku mungkin sukar sekali untuk berdepan saat hampa dan penolakan... Justeru, menghindar hampa dengan sengaja itu lebih baik barangkali.

[Ber-henti dari mem-buat minta]

Friday, April 17, 2009

~ MENCARI DIRI DENGAN ESQ ~


TAJUK : ESQ : Emotional Spritual, Quotient
KARYA : Ary Ginanjar Agustian
HALAMAN : 422

“Rahsia Sukses Mem-bangon Kecerdasan Emosi dan Spiritual…”

Awal pagi, aku memulakan hari dengan mengimpi yang indah-indah. Mengharapkan 17 April (yang juga bersamaan dengan hari ulangtahun kelahiran CK) ini memberikan yang membuat senang untuk diri.

Jujurnya, aku begitu teruja apabila diberi peluang mengenal diri dalam kursus ESQ, yang kini disebut-sebut banyak orang. Jujur juga, dalam masa yang sama atau lebih tepat lagi ketika di awal kursus ini diperkenalkan kepadaku, aku takut sekali jika terpilih untuk ESQ. Pada gambaran mata kasar setelah disampai-sampaikan oleh orang yang berbeza, ESQ itu bunyinya seperti menakutkan amat.

Aku yang tentunya sedar diri banyak yang kurang dan lompong sana sini dari segi pengisian spritualnya, menjadi semakin takut. Mana tidaknya, mereka yang menangis, dikatakan banyak dosa... mereka yang tidak menangis pula, katanya tidak mendapat hidayah. Justeru, mahu bagaimana yaa... Seolah-olahnya, menyertai kursus ini umpama untuk menguji diri sama ada memperoleh hidayah atau tidak.. Ermm...

Begitu gambaran salah diberikan kepadaku sebelum aku menjejakkan kaki di pada kursus ini pada hari pertama ini di Flamingo Hotel, Ampang, Kuala Lumpur. Kalau itu gambaran yang salah, yang benarnya bagaimana? Ermm... Aku tidak mahu mempengaruhi kamu untuk rasa seperti mana yang aku rasakan (pengalaman hari pertama ESQ). Justeru, yang terbaik buat kamu kalau benar ingin tahu apa untung dan lebihnya kursus kejiwaan ini, kamu harus merasainya sendiri dan bukan hanya dengar kepada cakap-cakap orang.

Yang aku bawa pulang hari ini? Pesan salah seorang trainers sebelum menutup majlis pada hari pertama ialah supaya bila pulang nanti, carilah ayah ibu, keluarga atau sesiapa sahaja yang dekat dengan kita untuk memohon kemaafan atas segala perbuatan. Ermm.. entah kenapa itu yang paling melekat selain yang banyak berkoyan tuturnya pada sesi pagi dan petang. Sejak sesi mengenang jasa ibu tadi lagi aku sudah tidak keruan.

Belum pun sempat sampai ke rumah, aku menghubungi ibu. Separuh menangis menyatakan rasa sayang yang besar buat ibu. Ibu jadi gamam, ibu jadi senyap akhirnya ketawa kecil dan kemudiannya berkali-kali usulkan soalan yang sama kepadaku, 'sihatkah' anak ibu pada hari ni? Ermm.. Jiwa aku sihat ibu, sihat sekali.

Berbalik soal tadi, ibu kehairanan kerana hari ini sahaja sudah 3 kali aku menghubunginya. Sekadar untuk berbual kosong dengannya. Ingatan keras terhadap ibu tiba-tiba menjelma dalam semangatku setelah ada satu sesi dalam kursus ini yang menghambat perasaan tersembunyi ini. Cerita tentang pengorbanan si ibu untuk segala demi anak... cerita tentang air mata ibu yang menjadi murah dek nakal anak yang membuat hantu dan sebagainya.

Sepanjang satu hari kursus berlangsung, aku sekali pun tidak menitiskan air mata. Bukan tidak terkesan dengan kursus ini, bukan tidak mendapat hidayah... bukan, bukan semuanya. Yang benarnya aku turut menangis seperti mereka tetapi menangis dengan caraku sendiri. Cara senyap dan diam di dalam hati. Sebenarnya tangisan itulah yang paling kuat dengarnya, paling kuat jeritnya. Kuatnya itu barangkali boleh sahaja membuatkan sebuah empangan besar pecah memberi bahana kepada orang keliling...

[Spaghetti lipas.. ermm..]

~ TIDAK MEMBENAR LENA ~


Baring. Tidur. ermm.. Jaga. Tidur. Bangun... Baring. Ermm.. sungguh aku tidak dapat meletak lena. Serba tidak kena. Suhu badan terasa semakin meninggi. Segala gerak menjadi tidak selesa. Rahang kanan seperti membengkak dan terasa berdenyut-denyut. Ku kira mungkin kerana aku menjamah ABC tanpa silu siang tadi walhal tahu luka masih berbisa di situ. Ermm..

Sesekali bila mengetap bibir menahan nyilu itu, aku memandang pada pil yang dibekalkan di sisi kiri duduk skrin ini. Ermm... hanya memandang. Tidak mahu ia memberi kesan yang lebih teruk seperti mana selalu terjadi.

Risaunya bukan kepalang kerana jam 7.30 pagi esok aku harus sudah berada di dewan kursus ESQ. Tiada alasan. Dek kerana mata keras tidak membenar lena, aku memutus untuk berjaga sahaja.. hingga ke saat entri ini ditulis dan bersiap sebentar nanti untuk memulakan hari baru dan menyertai kursus tersebut.

[Meng-harap-kan agar yang dekat-2 mampu mem-baca senyap-ku]

Thursday, April 16, 2009

~ MALAS ~

(Inilah bentuk skru (1/2 cm panjang setiap satunya) yang dikeluarkan..
ermm.. entah berapa yang masih berbaki...)

Ermm... aku malas untuk ambil tahu apa kata doktor, aku malas untuk bertanya apa itu dan apa ini kepadanya. Tidak berminat. Aku hanya mengangguk-angguk bila dia menyebut beberapa nama ubat yang harus ku ambil sebelum berlalu pergi.

EN DOC : Dalam masa 2-3 hari ini, u cuba elakkan daripada mengambil makanan yang keras..
AKU : (Muka mengantuk dan tidak berperasaan)
EN DOC : Elak bukak mulut besar2 sbb tepi rahang u msh bengkak
EN DOC : Jangan ketawa banyak2 sangat 2-3 hari ni (tersenyum)
AKU : ermmm.... (mengangkat muka tepat memandang ke wajahnya)

Dua hari lalu, aku ke doktor. Mengeluarkan sebahagian lagi 'benda asing' yang menghuni tubuhku sejak sekian lama. Ermm... terhasil daripada kemalangan yang kulalui beberapa tahun lalu.

Dua hari ini juga aku demam kerana hal itu. Ermmm... tetapi tidak perlu berpantang makan seperti mana yang dipesan En Doc pun kerana aku memangnya hilang selera langsung sejak itu. Sekadar secawan milo untuk mengalas perut sudah cukup ku kira. Ermm.. tetapi hari ini seperti teringin benar untuk menjamah spaghetti 'lipas' (sekadar nama).

[Dua per-kara yang paling menggerunkan aku... ermmm... obat dan hospital..]

Wednesday, April 15, 2009

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN KELAHIRAN ~


Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan kamu semua...
Allah selamatkan kamu...

Mudah-mudahan dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan dipermudahkan dalam segaka urusan kehidupan. Berganjak hari dan usi ini diharapkan berganjak juga usaha untuk menjadi yang lebih baik buat diri, keluarga dan mereka yang berdamping dekat sama kamu.

RR,
Selamat hari jadi yaa pada 11 April lalu. Moga kamu tabah mendepani segala perit hidup yang kamu katakan dugaan itu. Sebagai sahabat, tentu sahaja yang baik-baik aku doakan buat kamu juga buat bayi yang kamu kandungkan itu. Mudah-mudahan ketabahan dan kesabaran itu akan tetap kekal berdamping kamu.

CK,
Selamat hari jadi buat kamu pada 17 April ini ya. Sudah besar, sudah bijak dan sudah tahu segala. Tetapi jangan digunakan yang tahu itu untuk sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada diri, keluarga dan agama kamu ya. AL doakan yang terbaik buat adik dalam peperiksaan akhir yang sedang kamu lalui. Kami semua mengharapkan hadiah yang lebih besar daripada kamu dari peperiksaan kali ini. Ingat yang lebih besar yaaa... kerana kamu juga memohon hadiah harijadi yang lebih besar dari kami.. :)

EJ,
Untuk kamu yang bakal menyambut hari ulang tahun kelahiran pada 19 April ini yaa... Kamu ini menjadi kesayangan. Tetapi sikap anak-anak kamu itu sering sahaja membuat ibu meletak tangan ke dahi. Tidak sabar mahu menunggu kamu dewasa dalam erti kata sebenarnya. Kamu yang bijak pandai, gunakanlah kebijaksanaan kamu itu untuk sesuatu yang menggembirakan hati ibu dan mereka yang berkeliling kamu. Panjang umur buat kamu. Yang terbaik juga untuk kamu yang aku pohon kala mengadap-NYA.

CHP,
Selamat hari jadi buat kamu pada 26 April ini. Jarang aku mengucapkan selamat hari jadi tepat harinya kepada kamu. Bukan kerana lupa tetapi kerana pada tepat waktu itu seringkali sahaja banyak hal yang membuat halang. Justeru, kali ini aku ingin mengirimkan ucap selamat lebih awal daripada yang sepatutnya. Panjang umur buat kamu. Juga moga mimpi yang kerap kamu tuturkan itu menjadi kenyataan. Aku menunggu saat itu.

SI KECIL,
Selamat hari jadi buat kamu si kecil pada 29 April ini yaa.. Selamat panjang umur buat si kecil yang comel dan menjadi kesayangan semua ini. Menjadi kesayangan sejak awal mengenal dunia. Mudah-mudahan membesarmu dengan budi pekerti yang tinggi. Menyanjung ibumu sehingga hujung nyawa di badan. Menjadi bijak pandai yang penuh kekaguman, menjaga tingkah dengan hemah yang terpuji…. Luv u si comel

[Ter-kenang lazim sambotan hari-jadi sahabat mei yang ter-sendiri..]

Tuesday, April 14, 2009

~ BEETHOVEN TETAP MEMBUAI ~


Beethoven terbaru yang menjadi milik 2 minggu lalu. Alunan yang sungguh membuat lekat terutamanya Simphony No. 5. Tidak pernah jemu untuk mendengar alunannya. Ada sahabat yang bertanya, di mana istimewanya pemuzik yang bisu dan pekak ini kepadaku. Jawabnya mudah sahabat, luangkan sedikit masa kamu untuk mendengar lagu-lagunya dan kamu akan perolehi jawapannya daripada situ.. :)

[Ter-kilan kerna maseh belom dapat mem-buat ganti atas ke-hilangan albom The Best Of Kitaro yang men-jadi ke-sayangan-ku semenjak sekian lama.. ermmm..]

Monday, April 13, 2009

~ DI TAG SIMPYLIFESARAH ~


Terima kasih untuk kamu yang meletakkan aku dalam senarai 'tag' terpilih kamu. Aku senyum dengan pilihan itu walaupun aku kurang pasti senyuman itu untuk apa. Maklum saja merasa tiada yang membuat istimewa. Hanya sekadar aku. Apapun, nahh.. aku berikan jawapan yang paling jujur buat kamu.

1. Apakah nama blog anda sekarang dan kenapa anda memilih nama itu?
JARI JARI BERCERITA. Mudah sahaja sebabnya. Aku bukan penutur yang aktif. Mulutku berat umpama ada emas di dalamnya. Justeru, jari-jariku lebih layak bercerita berbanding mulut yang hanya tahu tersipu malu-malu kucing. Begitu selalu aku yang tidak dikenali kamu.

2. Apakah link blog anda sekarang dan bagaimana boleh timbul idea untuk menamakannya seperti itu?
http://www.koishiemerah.blogspot.com/. Koishi itu asalnya dari perkataan Jepun yang bermaksud 'Sayangku'. Sejak dari kecil, aku begitu mengidolakan negara Jepun. Justeru, rakan baikku menamakan aku dengan nama itu sebagai gelaran atas kegilaanku. Merah pula adalah warna kegemaranku. Justeru, koishi + merah di satukan untuk melambangkan aku.

3. Apakah 'method' dalam penulisan blog anda?
Aku tidaklah begitu tahu menulis. Ia hanya terjadi berdasarkan pemerhatian dan penyertaaan aku dalam sesuatu situasi yang berkait kehidupanku. Sesekali ia berbau peribadi.. sesekali ia tidak berbau apa-apa.. ermm..

4. Pernah terasa nak hapuskan blog anda? Sebabnya?
Buat masa ini belum ada rasa yang begitu. Kenapa? Kerana belum ada kenalan atau mereka yang dikelilingku tahu akan kewujudan blog ini (tolong yaaa.. kamu simpan rahsia ini... :) Justeru, jari-jariku masih bebas untuk bercerita di sini tanpa ada kekangan. Ermm... dan pula, kalau blog ini aku hapuskan, bagaimana mahu bercerita lagi? Mulutku masih ada 'emas' di dalamnya.. ermm..

5. Apakah pendapat anda mengenai blog kepada pemilik blog yang tag anda ini?
Ohh... cik anumz yaa.. aku tidak kenal dan tidak tahu siapa dia. Pertama kali dia membuat kunjungan dan meninggalkan komen di blog aku, aku dengan senang hati membuat kunjungan balas tanda perkenalan. Hari pertama, hari kedua... hari ketiga.... masuk minggu dan bulan, tanpa aku sedari, blognya menjadi bahan bacaan wajibku. Kenapa? Aku sedang mencari-cari jawapannya.. :) Hehehe... Terima kasih anumz, kamu sering mengecas sesuatu yang positif dalam fikiran dan semangatku.

[ :) Anumz, bolih aku tau mengapa aku ter-masok dalam tag kamu..?]

Sunday, April 12, 2009

~ ANGIN BUMI KENYALANG YANG MENDAMAI ~


Aku baru sahaja pulang dari bumi kenyalang. Ia berlaku tanpa diatur rancang. Sekadar menemani BR yang agak kecemasan untuk melawat rakan baiknya yang parah terlantar di hospital di sana kerana terlibat dengan kemalangan jalanraya.

Aku membuat keputusan kurang dari sepuluh minit untuk mengatakan 'ya' pada pelawaannya yang penuh mengharap pada malam khamis lalu. Dia jarang 'meminta'... dan bila sekali dia 'meminta', sukar sekali untuk aku berkata 'tidak'. Apatah lagi selama ini, dialah sahabat yang sentiasa ada saat sukar dan senangku. Lalu, kami terbang merentasi laut china selatan pada sabtunya dan kembali ke semenanjung tanahair sebentar tadi.

Sepanjang berada di sana, BR dapat menghidu kecamukanku. Walau tidak aku tuturkan dengan jelas, ternyata lelaki ini mudah memahami. Mungkin disebabkan itulah, aku begitu selesa bersahabat dengannya meski beberapa kali berbau cemburu teman jiwa.

Terima kasih BR kerana mengusulkan aku banyak perkara yang menyenangkan. Biarpun terbang kami ke bumi kenyalang ini bukan bertujuan untuk mengisi percutian, aku pulang dengan segar fikiran dan lapang dada.

[Sayang sekali tidak dapat merakam-kan saat matahari ter-benam di-sini semalam...]

Saturday, April 11, 2009

~ TUNGGU.. TUNGGU.. TUNGGU... ~

Minggu ini minggu yang banyak benar mengujiku. Berturut hari aku aku didamping lelah. Lelah kerana memujuk diri supaya bersabar mendepani soal-soal yang mengacah marah. Begitu minggu ini mengisi emosi yang sama.

Aku mengambil cuti separuh hari. Tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada urusan pekerjaan lantaran hati penuh kecamuk. Justeru, aku tidak mahu memberi tempias kepada orang lain diatas 'kesenyapan' yang begini dingin dari aku sejak sehari-dua terkebelakang ini.

Pun begitu, pada sebelah petangnya, seorang rakan mohon aku menghulur bantuan atas urusan pekerjaannya. Aku mengangguk apabila merasakan dia benar perlu kepada pertolongan itu. Janjinya pada jam 5.45 petang. Aku mengosongkan waktu untuk waktu itu dengan meninggalkan urus lain.

Ermmm..... apa yaa perlu aku rasa dan reaksikan jika dia hanya muncul dua jam selepas itu dengan alasan yang langsung tidak memberangsangkan?

[Men-jadi pe-nunggu gua mungkin lebeh baek.. ermm..]

Friday, April 10, 2009

~ TIGA CERITA, TIGA PENTAS, SATU TONTONAN ~

Hujung bulan ini, masaku mungkin sedikit terhambat dengan urus yang memerlu diri berada di beberapa lokasi. Tidak hanya soal urus pekerjan yang tidak pernah habis itu, tetapi juga berkait soal mahu dan liburan sendiri.

Aku tidak sabar mahu menonton tiga buah teater yang bakal dipentaskan pada tarikh yang berselang hari, di lokasi yang berbeza, pemeran yang berbeza, cerita yang tentunya berbeza juga. Jika kamu juga ada keinginan yang sama, sertailah aku untuk menjadi sebahagian penonton pada pementasan ketiga-tiga teater ini.


TAJUK TEATER :
Air Con
TARIKH PEMENTASAN :
16-19 April 2009
MASA :
8.30pm & 3.00pm
TEMPAT :
Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC)
PEMERAN :
Amerul Affendi, Zahiril Adzim, Dara Othman dll
HARGA TIKET :
RM27 (Pelajar) & RM47



TAJUK TEATER
:
Patung Kertas 2
TARIKH PEMENTASAN :
23 April - 03 Mei 2009
MASA :
8.30pm
TEMPAT :
Auditorium Tunku Abd Rahman, Matic (MTC), Jalan Ampang
PEMERAN :
Datuk Jalaludin Hassan, Ashraff Muslim, Ebby Yus dll
HARGA TIKET :
RM30 & RM50



TAJUK TEATER :
Mahsuri
TARIKH PEMENTASAN :
24-30 April 2009
MASA :
8.30pm
TEMPAT :
Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur
PEMERAN :

Vanidah Imran, Azizah Mahzan, Sabeera Shaik dll
HARGA TIKET :
RM30, RM50, RM70 & RM100

[Me-lengkap tontonan lima buah teater untok bulan April ini... ermm..]

~ DENGUS KASAR ~


Aku fikir, marah semalam sudah reda dalam senyap, tetapi rupa-rupanya ia masih ada. Hari ini aku hampir menjadi hilang sabar. Namun, Kesenyapan itu mungkin membuat selamat. Mahu meninggalkan yang bingar-bingar. Lari jauh.

Jam 5.30 petang tadi, aku selesai dengan urus pekerjaan di sekitar Damansara. Dalam kepalaku tiada lain, aku mahu pulang ke rumah segera. Tidak mahu lagi menghirup sesak dengan kekecamukan yang tebal. Aku mahu pulang ke rumah dan meletak lena dengan rehat tenang. Sungguh merasa kasihan kepada badan yang terdera keras beratus jam kebelakangan ini.

Pun begitu, hala tidak ditujukan ke rumah apabila aku harus menghormati mahu orang lain. Aku perlu menunggu sehingga jam 6.00 petang untuk menyedap rasa mereka. Aku sudi dengan rela hati. Jarum jam tepat ke angka 6.30 petang. Tiada bayang mahupun petanda memberi senyum. Aku sabar lagi sehingga tanah sudah menjadi gelap. Matahari sudah menyembah bumi. Ohh... aku masih sabar.

Jam 8.00 malam, aku mula tidak senang duduk. Sudah tidak mampu menarik nafas dengan senang. Mereka telah membuat rasa sabarku menjadi nipis. Usah permainkan aku dengan permainan begitu. Lalu aku membuat fikir kurang daripada 10 minit. Tidak mahu mempedulikan apa kata mereka ketika itu, aku membuat keras. Lalu aku menumpang teksi merah untuk terus menghalakan langkah ke rumah segera dari tempat itu untuk tidak memanjangkan turun-naik nafasku yang semakin laju itu.

Dari Damansara ke kediamanku, aku melalui perjalanan yang sangat menyesakkan sungguhpun sudah melepasi waktu puncak. Beberapa kali aku menukar mimpipun belum juga tiba ke destinasi tujuan. Pada mulanya novel Luka berada di tangan untuk mengisi keluangan perjalanan itu. Namun, tentu sahaja ia tidak memberi sebarang rasa kerana saat itu fikiranku bersimpul seratus dengan rasa yang penuh kecamuk.

Aku menutup novel hitam Luka itu dengan dengus kasar. Ternyata rasa tidak puas hati itu berada di samping. Diam senyap. Terkenang kemarahan semalam. Diam senyap. Terpalit pula kemarahan hari ini. Ermmm... bagaimana aku mahu membuat reaksi yaa...

Jarum jam hampir ke 11 malam, aku tiba selamat di depan rumah. Dengan rasa lelah yang terkumpul hebat, aku menghulurkan sekeping note biru kepada sang pemandu setelah melihat nombor yang tertera pada meter yang tersedia. Sang pemandu yang kelihatan agak tertekan dengan kesesakan berat yang kami lalui sepanjang perjalanan tadi. Arghhh.. jalan di hiruk-pikuk kota ini memangnya begitu di serata pelusok.

Sebaik melihat huluran note biru tersebut, sang pemandu yang usianya mungkin separuh abad itu tiba-tiba menjerit ke arahku. Tidak puas hati kerana aku menyusahkan dia untuk mengira-ngira wang baki untuk dipulang balik. Oohh.. aku hampir hilang sabar. Tolonglah encik.. tolong.. jangan sampai aku pula menggemakan suara yang senyap ini. Sudah banyak kesenyapan aku aku buat sepanjang hari ini untuk menutup rasa marah yang saling bertindih. Jangan kamu berikan ruang untuk rasa marah itu menyelinap keluar.

Duduk. Baring. Meletak tangan ke atas dahi. Bangun. Mandi. Mengerling telefon bimbit. Tidur. Bangun. Memeriksa telafon bimbit. Baring. Bangun. Menulis entri ini. ermm..

[Pinjam-kan masa kamu untok aku luah-kan amarah yang men-jadi raja ini. BR, di-mana kamu?]

Thursday, April 09, 2009

~ LUKA ~


TAJUK : Luka
KARYA : Tris Zainol
PENERBIT : Free Nature Sdn Bhd & S.K.I Production
HALAMAN : 207

“Cinta yang kamu kejar hanya ilusi luka. Lihatlah dengan mata hatimu. Nescaya kamu akan menjumpai cinta sejati yang kamu cari selama ini." Cinta itu sentiasa di sampingmu-aku!

[Bagai-mana kalau luka itu tidak mau semboh?]

Wednesday, April 08, 2009

~ MUSIM RIBUT ~


Angin monsun timur laut membuat lambai.. ermm... kalau sudah musim ribut, merasalah ribut itu walau tanpa rela. Begitu juga dilalui aku. Awal pagi tadi, sedikit salah faham menyinggah antara aku dan teman jiwa. Berpunca kecil dan berakhir besar.

Aku membuat rajuk kerana dia gagal memenuh janji. Dia pula mempertahankan situasinya yang terhambat urus kerja yang tidak tercapai akalnya barangkali. Aku cuba memahami dia sebagaimana dia pernah memahami aku. Namun, yang tidak terduga-duga begini tentu sahaja akan membuat bingar.

Sebaik mengakhiri pertengkaran di hujung talian, aku terus diam dan senyap. Namun, kesenyapan itu sebenarnya lebih bising daripada tutur yang bersuara itu. Aku menutup telefon bimbit dari awal pagi sehinggalah saat entri ini ditulis. Sangat mahu senyap.

Mood aku sangat-sangat tidak berada dalam keadaan baik hari ini. Ia mempengaruhi banyak urusanku dengan penuh bingar. Ermm... bila marah yang tidak dapat dilepaskan, tentu saja sesak akan membuat gejolak.

Aku terkenangkan BR, aku mengharapkan dia datang dengan kata yang menyenangkan. Aku tahu, dia sentiasa setia untuk menjadi pendengar kesenyapan sahabatnya ini. ermmm..

[Entah naseb siapa yang malang kerna meng-hubongi aku kala telefon ini aku senyap-kan. ]

Tuesday, April 07, 2009

~ KAPITAL MALL ~


Tanpa dirancang, aku akhirnya berada di ASWARA untuk menyaksikan teater Kapitall Mall. Sebuah teater eksperimen yang dipersembahkan oleh pelajar tahun kedua Fakulti Teater di bawah pimpianan En Namron. Berbanding Jamilah semalam, Kapital Mall jauh lebih menarik. Bukan mahu membuat perbandingan, cuma itu yang aku rasakan sepanjang duduk di kerusi menonton seawal jam 8.45 malam sehingga 10.00 malam itu.

Jalan cerita dan cara penyampaian ceritanya sangat menarik sekali. Mereka menyampaikan mesej dengan cara yang tersendiri tetapi mudah di kutip mereka yang memberi tumpu. Bukan itu sahaja, lakonan sebahagian besar para pelakonnya juga agak baik. Tahniah untuk usaha mereka dan para pensyarah juga tentunya yang banyak membantu mereka ini.

[Be-berapa kali juga perenah menyinggah di-blog en namron.. ermm..]

Monday, April 06, 2009

~ JAMILAH ~


Meluangkan sedikit masa untuk menonton manifestasi teater Jamilah di Auditorium Taman Budaya, Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur. Ia sekadar sebuah teater yang biasa-biasa sahaja dan tiada apa yang menarik tentangnya. Apa yang aku boleh katakan ia hanyalah percubaan yang baik untuk penggiat-penggiat baru yang mungkin baru sahaja mula berjinak-jinak dalam bidang ini. Mudah-mudahan selepas ini mereka akan lebih baik dan meningkatkan diri mengikut kemampuan dan kebolehan mereka.

Usai itu, aku menghalakan langkah ke Setiawangsa, melawat sahabat baik yang terlantar dek kesihatan yang tidak memberi baik. Hampir seminggu sahabat ini dalam keadaan begitu. Ermm... lain benar melihat keadaan yang letih lesu dan senyap begitu sedangkan selama ini dia merupakan seorang yang begitu aktif dan lincah orangnya. Harap dia cepat sembuh, banyak perkara yang mahu aku kongsikan bersama dia.

[Ter-kenang malam pem-bachaan puisi.. sebuah puisi untok sahabat]

Sunday, April 05, 2009

~ MATAHARI TERBENAM ~













Lama tidak punya kesempatan yang begini, merehatkan fikiran sambil melihat matahari terbenam. Dulu aku kerap melakukan aktiviti sebegini. Cuma sekarang dek hambatan kerja yang bertali arus, aku seakan terlupa tentangnya. Kali terakhir aku punya kesempatan yang begitu pada Oktober lalu ketika ke Borneo Dinawan Island, Sabah.

Tadi kebetulan dengan kesempatan yang ada, aku punya peluang itu. Peluang yang diberikan sebenarnya. Mengeheret WSJ buat pertama kalinya ke hujung P.K. Ermm.. Indah. Tenang. Nyaman. Aku sangat sukakannya. Justeru, di sini aku kongsikan foto-foto yang dibidik di sana. Mungkin tidak seberapa tetapi aku sangat-sangat sukakannya. Mudah-mudahan ada peluang serupa lagi...

[Mungkin mem-bilang bintang di-malam hari pula barang-kali.. ]

Saturday, April 04, 2009

~ KEPADA SATU PERMINTAAN ~


Aku jarang meminta, itu kenyataan tentang seorang aku. Bunyinya jika dibaca salah, maka salahlah segala penafsiran yang bakal disimpulkan kepada aku. Aku tahu itu. Namun, aku serahkan kepada hak kamu untuk membuat penafsiran tentang soal itu.

Aku sendiri kurang pasti kenapa aku mahu membicarakan tentang soal ini pada hari ini. Meminta yang aku maksudkan di sini, bukan sahaja dalam bentuk material yang boleh kamu lihat pandang tetapi ia lebih daripada itu.

Sedari kecil, aku merupakan anak yang jarang mahu meminta. Mungkin dek kerana itu, aku terlangsung menjadi anak yang berdikari berbanding adik-beradik yang lain. Bukan kerana sombong diri, tetapi kerana kecil diri yang kerap membuat ingat.

Aku jarang sekali membuat minta kepada ayah atau ibu. Ku terima sahaja dengan senang hati apa yang diberikan kepadaku. Tidak ada istilah tidak suka kerana aku pasti akan menjadikan ia sebaliknya apabila memperoleh menjadi milik.

Justeru bila tiba sekali aku membuat minta, sejuta kali aku dengan harap agar permintaan itu tidak ditolak. Permintaan yang bukan senang untuk aku keluarkan dari senyap. Ermm... untuk tahu kamu, permintaan aku selalunya menghentikan harapan. Situasi itulah yang membuatkan aku takut kepada sebuah permintaan. Dan rasa itu wujud sehingga hari ini.

Aku pernah membuat minta tentang soal teman jiwa kepada ayah.. dan tidak perlu aku sebutkan tentang harapannya di sini. Dek kerana melalui kehampaan yang serupa, aku membuat titik untuk membina harapan sendiri walau minta itu jauh dari angguk.

[Sa-malam, aku ter-lupa tentang kekangan minta itu. Aku ter-lupa. Sunggoh aku benar-2 ter-lupa. Justeru, rasa sahaja-lah...]

Friday, April 03, 2009

~ BERLIMPAH HAMPA ~


Sungguh.... tidak tergambar rasa hampa yang membuat singgah pada hari ini. Dan.. aku benar-benar maksudkan kehampaan itu. Kehampaan yang aku rasakan sengaja untukku barangkali. Huh..

Sejak tahu tentang pementasan teater Mimpi yang diadaptasi dari karya Shakespeare bakal berlangsung di Istana Budaya, terus aku mengosongkan kelapangan untuk tujuan itu. Mahu melihat dengan mata hati karya manusia termasyhur itu dipentaskan.

Janji telah diatur cantik bersama rakan-rakan yang punya rasa cenderung yang sama untuk ke sana. Semuanya berjalan baik-baik sahaja. Namun, seketika tadi beberapa jam sebelum berlangsung, aku tiba-tiba merasakan untung juga kalau aku boleh menarik seorang sahabat untuk menonton pementasan ini. Mahu dia turut mengutip pelajaran yang sama dalam naskah yang indah ini untuk bahan hujahan kami yang kerap berdebat tentang soal kehidupan. Kebetulan juga, sejak akhir-akhir ini dia menyuakan rasa untuk menjinakkan diri dalam dunia pementasan. Aku cukup senang tentang itu.

Ermmm.... namun rasa teruja itu akhirnya bertukar hampa bila mana lain yang diharap, lain pula yang membuat duduk. Aku tersilap menilai lagi. Lagi??? Yaaa lagi untuk kali ini. Tidak perlu membuat penjelasan panjang lebar berkajang, bahasa geraknya saja sudah ku fahami. Tentu sahaja bukan untuk dua minggu. Berterbanganlah mimpi, hilang membuat lenyap dari pandang...

Sudahnya, aku tidak berkesempatan pun menjejakkan kaki ke Lambang Sari, Istana Budaya menonton pementasan Mimpi yang menghambat rasa penuh keinginan itu. Ermm..

[Jarang mau mem-buat minta, jika ia ter-jadi, arti-nya aku benar perlu kepada itu.. ermmm..]

~ KAMU DATANG YAA MIMPI.. ~


Seperti mana yang pernah aku kongsikan di sini, mimpi jarang sekali mahu membuat dekat padaku. Atau sememangnya aku ini menjadi pelupa pada mimpi, lalu aku merasakan mimpi tidak ada dekat denganku, sedangkan ia ada membuat singgah dalam lupaku.. ermm.. barangkali.

Membuka mata pada pagi ini membuat aku termenung panjang seketika. Sesekali dengan dengus nafas kasar yang masih bertutup bantal menelengkup muka. Aku bermimpi. Bermimpi tentang dua sahabat dekat di zaman anak-anak yang kali terakhir aku temui pada 17 tahun yang lalu. Yaa... 17 tahun dan sehingga kita kami tidak pernah bertatap wajah lagi sehinggalah pada pertemuan dalam mimpi malam tadi.

Seperti janji datangnya dengan kebetulan yang sama, membuat aku keras mahu mengingat yag lalu. Bukan pada yang manisnya sahaja tetapi segala yang terangkum di dalamnya. Tentu sahaja yang indah-indah membuat singgah dalam kehidupan mereka saat ini.

Ingatan lalu itu bersilih ganti berjalan membuat imbas umpama filem yang laju sedang berputar di pawagam. Apa yaaa mahu disampaikan dalam mimpi itu sehingga membuat aku terasa benar dengan kenangan lalu itu yaa?

[Oh mimpi... aku men-jadi gusar kepada sa-suatu yang patot-nya mem-buat indah kepadaku..]

Thursday, April 02, 2009

~ SANG PEMIMPI ~


“Sang pemimpi adalah sebuah lantunan kisah kehidupan yang cukup mempersona dan nescaya membuat anda percaya tentang tenaga cinta, tentang kekuatan mimpi dan pengorbanan. Malah lebih dari itu, akan membuat anda percaya kepada kekuasaan Tuhan. Andrea akan membawa anda berkelana dan menerobos sudut-sudut pemikiran hingga menemukan pandangan yang berbeza, malah luar biasa tentang nasib, tentang intelektual, kegembiraan yang meluap-luap, sekaligus kesedihan yang mengharu-biru..."

TAJUK : Sang Pemimpi (Trilogi Laskar Pelangi)
KARYA : Andrea Hirata
PENERBIT : PTS Litera Utama Sdn Bhd
HALAMAN : 227
HARGA : RM26.00

[Aku juga mau ber-mimpi... malang-nya mimpi jarang sekali mau mem-buat dekat... ermm..]

Wednesday, April 01, 2009

~ PADA 1 APRIL ~


Aku membuat gila di tempat pekerjaan. Berhujah keras dan akhirnya mencampakkan semua hasil tugasan tepat ke muka en boss. Sungguh dia benar-benar terpinga dengan situasi yang tidak terjangkakan itu. Aku meninggikan suara bak halilintar mengejutkan seisi ruang tempat ppekerjaan. Surat perletakan pekerjaan aku suakan, terbang umpama layang-layang diarah angin dan akhirnya singgah mendarat tepat ke muka en boss. Tanpa menoleh aku membuat ketegasan bak harimau pulang puas seusai membaham mangsa. Esok, aku pulang ke kampung dan bersetuju menjadi pengantin ciptaan ayah................................. APRIL FOOL!!! :) (Mohon kemaafan untuk sebuah cerita rekaan dan gurauan yang aku sendiripun tidak pernah dalam fikir untuk bermain begitu..)

April fool.. ermm.. suatu masa dulu, kala masih mengheret uniform sekolah, kerap juga aku terlibat dalam permainan rakan-rakan yang suka bermain dan bergurau kala kalendar menunjuk angka 1 dalam perkiraan bulan April ini. Ketika itu aku marah sekali kerana menganggap perbuatan seumpama itu sebagai membuli.

Aku tidak pernah menganggap ia sebagai kelucuan dalam gurauan. Justeru, mustahil juga untuk aku menyertai atau melakukan perkara yang sama atas alasan sebuah gurauan untuk rasa keseronokan. Bunyinya, aku ini seperti seorang yang serius sahaja mungkinnya. Ermm.. tidak juga.. cuma mungkin permainan April Fool yang dipilih rakan-rakanku ketika di bangku sekolah itu agak keras dan menyakitkan hati. Justeru, wujudlah persepsi yang begitu dariku untuk perbuatan yang seumpamanya.

April Fool juga membawa ingat aku kepada sebuah tragedi empat tahun lalu. Saat ketika beberapa jam mahu menjengah 1 April, aku berdepan tragedi yang tidak terjangka dalam rasa. Diragut keras sang rakus yang tiada rasa kemanusiaan dalam diri. Aku diragut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah usai urus pekerjaan. Aku terseret beberapa meter ke depan dan bag sandang yang setia menemani direntap keras membawa bersama segala isi yang ada di dalamnya. Darah membuat mandi, calar dan lebam menutup badan. Huh....

Tragedi malang itu berlaku bukan di tempat sunyi senyap yang memungkinkan kepada mudah perbuatan mereka tetapi betul-betul di depan tempat makan yang umatnya membuat penuh untuk sesi ketika itu. Aku di depan mata mereka... ermmm..

AKU : Awak, saya kena ragut (tersekat-sekat membuat tutur)
RAKAN : Heheheh.. yer ker.... baguslah
AKU : ??? (diam)
AKU : Sayaa..
RAKAN : Awak ragutlah plak orang yang ada kat situ..
AKU : ??? (terpinga-pinga)
RAKAN : Kim salam ngan peragut tuh yer..
RAKAN : Cakap kat dia, saya nk berkenalan ngan dia..
RAKAN : Ehhh chupp... dia ensem tak?

Aku masih terpinga-pinga dengan reaksi yang diberikan itu. Diam, senyap seketika. Abang membawaku membuat urus di balai polis berkaitan. Mujur aku masih mampu untuk bergerak dan membuat urus walaupun dalam keadaan yang sangat menyakitkan sekali.

Esoknya aku maklumkan kejadian itu kepada en boss dan menjelaskan tentang cuti sakit yang aku terpaksa gunakan itu. Selama dua hari aku hilang di tempat pekerjaan. Ketika itu bertalu rakan-rakan membuat dering pada telefon bimbitku untuk membuat tanya. Ketika itu, barulah aku mendapat jawapan.

Rupa-rupanya tragedi yang menimpaku itu disangkakan APRIL FOOL. Justeru, mereka semua sedikit pun tidak dengan rasa percaya dengan apa yang berlaku ke atasku itu. Malah cerita en boss juga pada mulanya juga diterima dengan rasa yang sama.. owhhhh....

[Usah dekat-kan aku dengan per-mainan April Fool... tulong... yaa..]