Thursday, March 12, 2009

~ HELAH DI DEPAN RUMAH ~


Dek kerana melayan penat dan marah kepada beberapa buah teksi malam tadi, aku tanpa sengaja telah memanjang lena. Sedar membuka mata, jam sudah menunjukkan jam 8.40 pagi… Owhh.. mati kali ini. Tentu sekali aku tidak akan muncul di ruang pejabat pada waktu ‘merah’ begini demi menjaga reputasi dan disiplin diri.

Justeru, aku membuat putus untuk mengambil cuti sahaja. Itu lebih barangkali daripada memalit keserongan manusia lain kepadaku. Aku kembali mahu meletak lena, namun mata sudah sesegar kuntum rose, tentu sahaja degil untuk membuat lelap. Sudahnya, aku membuat putus untuk kembali mengulang bacaan beberapa antologi puisi yang indah dalam simpananku. Puisi Indah Si Pari-Pari, My Heart, My Soul, My Passion, 68 Sonata Pohon Ginkgo dan Puisi Dari Jiwa.

Indah bacaan ini akhirnya kembali mengulit mimpi panjangku sehinggalah telefon bimbit bergetar beberapa kali. Sangkaku dari teman jiwa, sementelah lagi sudah beberapa hari dia berada di luar tanahair dengan hambatan urusannya itu.

Ermm.. rupa-rupanya silap. Nama BR menghiasi dada skrin. "Saya ada di bawah, kalau tidak keberatan mahu mempelawa secawan coffee.." Aku terkejut dan terus sahaja menjenguk ke bawah. Memang keretanya ada berkelibat di bawah. Ermmm... Dia selalu menggunakan taktik serupa untuk mengelakkan aku memberi sebarang alasan dengan niat penolakan. Yaa.. dia menang.. kerana aku tentu sahaja tidak sampai hati untuk menolak. Juga kerana aku benar-benar tidak punya alasan kerana BR tahu aku tidak ke tempat pekerjaan hari ini.

Sebenarnya beberapa hari lalu seorang sahabat juga membuat taktik yang serupa. Menunggu di depan rumah agar aku tidak mampu untuk menolak. Yaaa.. benarnya memang aku tidak sampai hati mahu menolak lagi kalau kesungguhan sudah sampai di depan rumah. Baiknya juga kerana kesungguhnya itu ribut terpulih.

Berbalik soal BR, kami menghabiskan masa separuh hari dengan duduk mengisi bual panjang sambil menghirup secawan coffee. Aku tidak tahu bagaimana dia ‘mencuri tulang’ dan boleh menghabiskan separuh hari bersamaku dengan pakaian pejabatnya itu. Namun, tidak pula aku membuat soal tentang itu.

[Menunggu di-depan romah lagi? ]

No comments: