Tuesday, March 31, 2009

~ MEMBEBAS RASA BERAT ~


Sebelum menulis di sini, aku seorang yang sangat jarang sekali mahu bercerita. Tentang apa sahaja, peribadi tentu sekali. Namun setelah beberapa tahun menulis di sini, aku mula tahu bagaimana mahu meluahkan dan membebaskan rasa yang ada dalam diri walaupun hanya sebahagian daripadanya.

Siang tadi, aku dengan kesempatan yang ada berdiri untuk membebaskan rasa dalam diri. Walaupun kata kadang-kala masih sukar untuk ditutur jelas kepada pemahaman yang terus, aku sedikit berani untuk melakukan.

Justeru, rasa marah dan kecil hati yang bersarang dalam diri beberapa hari lepas terhadap seseorang, aku lepaskan satu-satu. Aku mula belajar berterus-terang memberitahu apa yang telah membuatkan rasa terkilan dalam diri, juga apa yang telah membuat diri rasa dihambat rajuk yang panjang.

Aku tidak tahu bagaimana pihak yang menerima itu. Mungkin terkejut kerana aku sudah menutur 'rasa' dengan sedikit jelas berbanding sebelum ini di mana aku lebih senang memilih senyap. Lega.. yaa.. rasa itu menyelinap terus menyebarkan zarah-zarahnya ke seluruh tubuh badan apabila bebanan rasa marah dan kecil hati itu telah aku labuhkan.

[Menarek nafas untok satu cherita yang panjang..]

~ ANTARA LANTAI BISING DAN AMAN TENANG ~


Usai dengan urusan pekerjaan yang berlangsung di luar hari ini, rakan-rakan menganjurkan aku untuk menyertai mereka mengisi santai dengan berhibur di pusat karaoke yang kebetulan berada di ruang yang sama kala kami selesai dengan urus pekerjaan.

Tentu sekali itu bukan cara selalu aku mengisi santai. Namun, demi menghormati rakan-rakan yang beriya-iya mempelawa, aku menurut. Sekadar untuk menjaga hati mereka. Hanya 10 minit berada di situ, aku memohon diri hemah.

Aku menuruni satu lantai ke bawah dan menuju ke tempat kegemaran, gedung pembacaan The Borders. Di sini lebih memberi selesa buatku berbanding dengan mengisi kebisingan di lantai atas itu.

Mengambil buku pilihan dari tulisan Andrea Hirata, aku mencari ruang terbaik untuk menyelesakan diri dan menghabiskan bacaan buku tersebut. Dari jam 5 sehingga lebih kurang jam 7 juga berada di situ dengan rasa yang cukup aman dan menyenangkan.

ENCIK : Kenapa tak ikut kawan-kawan awak berhibur di atas?
AKU : Saya lebih terhibur di sini (senyum)
ENCIK : Oo ya ker.. (membalas dengan senyum juga)
AKU : Encik juga kenapa tidak berada di lantai atas?
ENCIK : Saya memang tak suka 'bising'.. (terus membelek-belek buku)
AKU : Ooo.. okk (tanpa menoleh ke arahnya)
ENCIK : Boleh saya duduk membaca di sini juga?
AKU : Silakan... (senyum)
AKU : Tetapi saya harus minta diri dahulu,
AKU : sahabat saya sudah siap siaga menunggu di lantai bawah..
AKU : Selamat membacanya yaa...
ENCIK : (Hanya mengangguk tanpa sebarang kata)

Aku meninggalkan ruang itu.

[Umpan-lah aku dengan Char Kue Tiaw di T.B.R ini dan aku belom perenah lagi mau me-nolak..]

Monday, March 30, 2009

~ MENGUIS CURIGA ~


Ermm... Apa yaa rasa kamu, andai sahabat dekat menguis rasa curiga terhadap kamu? Apa yaaa rasa kamu, jika kepercayaan kamu diletak di hujung kaki oleh manusia yang tidak terjangka kamu?

Senyum masih mampu untuk melebar andai curiga itu datang dari manusia asing di luar sana. Namun, rasa akan kelat apabila curiga itu datangnya dari sahabat dekat yang kenalnya bukan sehari empat..

Owhh.. ampun, aku terlalu sensitif barangkali apabila bercakap soal kepercayaan.

[Aku sensitif tidak ber-tempat barang-kali..]

Sunday, March 29, 2009

~ TERSASAR BIDANG ~


Bidang pekerjaan yang aku ceburi saat ini sebenarnya bukanlah pekerjaan yang aku cita-citakan. Malah tidak pernah juga terfikirkan aku akan mencari rezeki dalam bidang ini. Jujur aku katakan, rakan-rakan lamaku terutamanya ketika di sekolah atau uni, tiada seorang pun yang tahu tentang pekerjaanku kini. Tentu sekali mereka tidak menyangka dan tidak mahu percaya jika tahu aku di dalam bidang ini yang nyatanya bertentangan sekali dengan diriku.

Apapun, aku sudah semakin sebati dalam bidang pekerjaan ini. Segala dugaan dan cabaran itu rupa-rupanya dapat aku lalui dengan baik sekali. Malah, bidang pekerjaan ini jugalah yang banyak merobah aku daripada seorang pendiam dan senyap kepada seorang yang boleh diajak berbual walaupun masih tidak seperamah orang lain. Jika dulu, aku paling takut sekali untuk berdiri dan bercakap di depan orang ramai, kini tidak lagi. Aku boleh bercakap, berdebat dan berhujah dengan baik jika kena dengan keperluan. :)

Yang aku suka tentang pekerjaanku :
  • Melatih aku supaya menjadi lebih peramah
  • Berjumpa dan berkenalan dengan manusia yang berbeza setiap hari
  • Belajar untuk sentiasa mengambil hati orang lain
  • Menyelam sambil minum air.. yakni bekerja sambil meneruskan hobi dan kegemaranku
  • Sentiasa ingin didekati
  • Meningkatkan tahap keyakinan dan keberdikarian aku
  • Semakin mendekatan aku dengan bahan bacaan
  • Sentiasa cepat dan pantas dalam segala tindakan (walhal aku seorang yang agak lembab)
  • Menjadi lebih agresif dan tegas

Yang aku kurang suka tentang pekerjaanku :

  • Bekerja tidak tentu masa
  • Banyak kerja yang terpaksa di bawa pulang ke rumah
  • Berdepan dengan segala hal yang menyesakkan
  • Berdepan dengan manusia yang hipokrit
  • Terpaksa mengikut telunjuk keras en boss yang.. ermmm
  • Mendedahkan diri dengan banyak situasi yang aku sendiri kurang senangi
  • Tidak bebas
  • Terlalu susah untuk memohon cuti walaupun ada cuti tahunan
  • Melakukan sesuatu yang aku tidak ingin lakukan
  • Bercampur dan bergaul dengan golongan dari 'planet lain'...
  • Jauhhhhhhhhhhhhhhhh dari tempat kediaman.. ermm

[Aku mau tukar kerja men-jadi kerani, bolih?]

~ KATA ORANG ARIF ~


Kata orang arif :
Apabila engkau mendapat wang, belikan emas,
Jualkan emas itu, belikan intan,
Jualkan intan, belikan manikam,
Jualkan manikam, belikan ILMU
-Hikayat Munsyi Abdullah

[Sedang mem-beli ilmu tentang kehidopan yang serba payah ni..]

Saturday, March 28, 2009

~ TERHAMBAT WAKTU ~


Mengisi petang hari dengan menghirup secawan coffee bersama teman jiwa. Sekadar itu kerana kami terhambat waktu pada dampingan kali ini. Teman jiwa punya urus yang lebih perlu bersama keluarganya yang kebetulan ada sedikit upacara penting esok hari.

Kalau diikutkan perancangan, kami bercadang mahu ke utara semenanjung tanahair untuk melawat ibu dr jiwa. Lama aku tidak melawat ibu itu dan sekaligus menziarahi pusara arwah yag telah lama aku tinggalkan. Ermm... hasrat itu kami tangguhkan untuk seketika.

Juga hasrat untuk memintanya menemanku untuk menonton Konsert Orkestra Tradisional yang bakal berlangsung di pentas Panggung Sari, Istana Budaya. Ermmm.... lain ketika barangkali.

[Senyom dengan perobahan sa-orang sahabat yang kini men-jadi lebeh sensitif ter-hadap orang lain..]

Friday, March 27, 2009

~ TALENTIME FILEM KASIH SAYANG ~



Aku berkesempatan menonton filem talentime arahan Yasmin Ahmad pada hari pertama tayangannya, yakni semalam (9.30pm). Kesempatan itu wujud tanpa dirancang-rancang bersama sahabat june, sahabat dekat yang jaguh dalam soal debat filem-filem arahan pengarah idolaku ini.

Bagai biasa, filem arahan Yasmin Ahmad sentiasa tampil dengan garapan cerita yang penuh dengan makna yang tersirat di sebalik paparan visualnya. Begitu jugalah yang ditampilkan melalui filem keempatnya ini, Talentime. Melalui filem ini, pengarah yang terkenal dengan sifat rendah dirinya ini mengetengahkan isu perhubungan sesama manusia yang merangkumi perhubungan dalam konteks kekeluargaan, persabahatan, cinta, kehidupan pelbagai kaum di negara kita ini.

Kelebihan Yasmin tentunya kepada kepekaannya dalam mengangkat realiti kehidupan masyarakat dalam kehidupan seharian. Pengkisahannya begitu dekat mudah menarik perhatian mereka yang menonton. Yasmin juga masih mengekalkan mainan emosi untuk memastikan keberkesanan mesej yang ingin disampaikan dan dia berjaya di situ.

Berlatar pertandingan mencari bakat di sebuah sekolah, Talentime bertumpu pada kehidupan dua buah keluarga. Satu, keluarga campuran Melayu-Inggeris, manakala satu lagi, sebuah keluarga India yang konservatif. Dua kehidupan ini kemudiannya bertembung apabila dua jiwa mula bersatu melalui cinta. Mahesh dan Melur mula mengenal cinta, namun atas soal prinsip dan sejarah silam, cinta mereka tidak direstui ibu Mahesh. Sementara Hafiz pula bertembung dengan perjuangan ibunya untuk terus hidup apabila telah disahkan mengidap penyakit kronik. Perngorbanan dan kasih sayang anak dan ibu yang dipaparkan dalam Talentime ini sangat menyentuh hati dan membuai rasa mereka yang menonton.

Aku sukakan Mahesh. Dia berjaya membawa aku masuk di dalam talentime untuk memahami perasaannya. Untuk duduk melihat apa yang dilaluinya. Tentu sekali aku tidak dapat melupakan babak selepas dia dipukul si ibu di depan Melur, kakak, makcik dan ibu Melur sendiri. "mak, jika mak mahu saya berhenti berjumpa dengannya, saya akan berhenti berjumpa dengannya. tapi mak kena ajar hati saya melupakannya... kerana hati saya tidak tahu bagaimana caranya" (bunyinya lebih kurang begitu). Babak itu sangat-sangat menyentuh hati.

Babak itu juga punya persamaan yang dekat dengan kisah realiti aku dan teman jiwa.. ermmm... Pernah satu ketika apabila memikirkan mahu ayah, aku cuba untuk melupakan teman jiwa. Namun, sehingga hari ini aku gagal untuk melakukannya kerana hati ini tidak tahu bagaimana caranya untuk melupakan lelaki yang sangat ku kasihi itu.......................

Begitu juga dengan babak ibu Hafiz yang sakit terlantar di katil hospital. Wajah umi terus bersilih ganti di mataku. Malah saat, watak Jit Murad menutur dialog kepada ibu Hafiz dengan mengatakan dia sengaja menunjukkan muka sakit semata-mata kerana mahu ibu Hafiz tahu, bukan bukan hanya dia seorang sahaja yang sakit, aku menitiskan airmata. Ermm... aku pernah melakukan perkara yang serupa dan umi menegurku tentang soal itu.

Pada kamu di luar sana, aku mencadangkan kamu mencari sedikit keluangan untuk menonton filem yang kusifatkan sebagai terbaik hasil buah tangan Yasmin Ahmad ini. Filem yang banyak mengangkat realiti kehidupan kita seharian. Tentu sekali dalam banyak babak yang diangkat itu ada satu babak yang punya persamaan dengan kita.

Untuk sahabat june, ambillah kata dan pesan dari ibu Bhavani (babak ketika Bhavani menunggu adiknya Mahesh mandi) untuk direnung-renungkan. Bukan untuk kamu sahaja, untuk aku dan mereka yang diluar sana juga. Ermmm..

Babak paling menyentuh :
Saat Mahesh merayu si ibu agar diajar hatinya untuk melupakan Melur
Pelakon paling memikat :

Adik Syafie Naswip @ Hafiz & Sukania Venugopal @ ibu Mahesh
Lagu yang paling melekat :
Ore Piya nyanyian Rahat Fathe Ali Khan
Situasi paling kerap mengundang senyum :
Karektor Cikgu Adibah

[Ermmm.. Yasmin Ahmad, kamu mem-buat manusia degil dan keras hati sa-perti aku ini me-nanges tanpa rasa malu... ermmm...]

Thursday, March 26, 2009

~ AKU CINTA KYRA ~


“Mencintai adalah hak aku, rasanya tidak berdosa jika aku terus menyimpan perasaan ini…”

TAJUK : Aku Cinta Kyra
KARYA : Ramlah Rashid
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 517
HARGA : RM18.90

[Me-nuntot hak dari yang berehak.. bagi-mana?]

Wednesday, March 25, 2009

~ RASA PERCAYA ITU USAH DIGADAI ~

(kredit foto : filem sayang you can dance)

Bercinta jarak jauh, memang banyak cabaran dan dugaannya. Aku akui itu. Pun begitu, andai ada sikap saling percaya itu tebal dalam ciri, pasti sahaja segala itu dapat diatasi dengan baik sekali. Apa guna jika duduk berdekatan atau duduk serumah sebantal sekalipun andai kepercayaan itu tergadai jauh merentas jarak???

Aku belajar dari pengalaman. Kisah sahabat dan pasangannya yang menggadai rasa percaya antara sesama mereka. Sudahnya segala gerak-geri terikat dengan curiga. Setiap saat dan ketika laporan harus terberi. Kemana pergi, harus dijelas dengan penuh inci. Ku kira hubungan suami isteri pun tidak begitu ketatnya peraturan seperti itu. Aku menggeleng kepala dan membayangkan bagaimana andai aku yang melalui itu.

Sungguhpun aku dan teman jiwa berjarak beratus batu, kami tidak melalui itu. Alhamdulillah rasa percaya itu mengatasi segala-segalanya. Masing-masing tetap ada ruang untuk mengisi sebahagian hari dengan perkara selain daripada hal kami berdua.

Menjadi kepantanganku jika aku dihubungi berselang jam sekadar untuk meminta laporan tentang apa yang sedang aku lakukan. Kecualilah ada hal besar yang sedang berlaku ketika itu. Namun, menjadi kepantanganku juga jika aku tidak dihubungi langsung selama satu hari untuk mendengar dan berkongsi tentang apa yang dilaluinya pada satu hari itu. Justeru, berpada-padalah. Baik dia mahupun aku, kami berpegang kepada soal itu.

Ermm... bagiku, jika kita tidak mempercayai pasangan kita itu bererti kita juga tidak menghormatinya. Mengikat kakinya semata-mata kerana rasa curiga menebal dalam diri. Dalam erti kata lain, kita memaksa dia.

Padaku, kalau mahu mengikat seseorang, ikatlah dia dengan sebuah kepercayaan. Ikatlah dia dengan rasa penuh hormat. Justeru, selamatlah rasa curiga daripada membuat damping... ermmm...

[Rasa per-chaya itu paleng besar untuk menutop rasa curiga... bukan dengan meng-ikat gerak..]

Tuesday, March 24, 2009

~ NYAMAN DALAM KALUT ~


Jumaat lepas, kami sekeluarga ke Bagan Lalang, Sepang untuk menikmati makanan laut di tempat kegemaran. Sedikit lewat dari kebiasaan kerana kakak perlu menghabiskan urusnya terlebih dahulu sebelum ke sana.

Bagai biasa, tempat pilihan kami sekeluarga itu juga menjadi pilihan ramai orang. Mungkin kerana keenakan masakannya, ramai yang memilih untuk berkunjung lagi selepas kali pertama membuat singgah, seperti mana yang kami sekeluarga lalui juga.

Nyaman sekali apabila dapat menjamah makanan dengan deru angin pantai yang menyentuh pipi. Seronok bila sesekali dapat berada dalam situasi yang begini indah dan nyaman. Namun, belum pun sempat makanan dipesan tiba di meja, kami sudah 3 kali beralih meja kerana hujan renyai mula menitik bumi. Bukan kami sahaja, tetapi mereka yang lain juga bertindak serupa untuk mencari teduh.

Akhirnya, kami berada di meja keempat dan tiada meja lain lagi yang kosong. Hujan semakin lebat... angin laut juga sama membuat kuat. Pemilik tempat itu juga sudah berhabis usaha untuk mengelakkan hujan dari terus membuat mandi kepada para pelanggan.

Akhirnya, kami dan para pelanggan yang lain berserah sahaja dengan apa yang berlaku. Hujan dan angin terlalu kuat sehingga bumbung yang lebar yang meneduhkan kami juga tetap tidak membuat cukup.

Sudahnya kami makan sahaja dalam keadaan yang santai seolah tiada apa yang sedang berlaku. Lucu tetapi benar. Angin membuat tari, kami tidak membuat endah. Makanan dijamah tetap dengan enak. Aku ketawa sendiri. Adik juga cukup suka dengan momen itu. Melalui situasi yang tidak pernah dilalui sebelum ini. Ia rupa-rupanya satu keadaan yang begitu menyeronokkan dan manis untuk dikenang.

[Senandung malam yang mem-buat lencon dalam indah]

Monday, March 23, 2009

~ BUKAN MEMILIH SENGSARA ~


Semalaman aku tidak dapat meletak lena kerana segar mata menjadi pendengar dan berkongsi rasa gerhana yang dilalui oleh seorang sahabat. Gerhana berkait soal hati dan perasaan. Kebetulan barangkali apabila berselang hari, aku didatangi 2 sahabat untuk 'meminjamkan bahu' ini untuk mereda tangis mereka.

Perbualan bermula di layar skrin dengan berkait soal pekerjaan yang panjang. Namun, sebagai seorang sahabat, tentu sahaja aku dapat mengesan tuturnya yang tidak bernada biasa itu. Berbuatlah gurau sebesar mana sekalipun, sebagai sahabat aku tetap tahu dia tidak dalam kondisi yang menyenangkan. Sedang aku bertanya akan duduk benar keadaannya saat itu, barulah terbongkar rasa gerhana yang sedang dilaluinya dengan keras itu.

Kami kemudiannya menyambung bual yang lebih panjang menerusi talian telefon. Rupa-rupanya dia sedang menangis di luar layar skrin itu. Ermm.. tetapi aku juga sebenarnya hampir menangis apabila mengetahui kebenaran cinta hatinya selama ini rupa-rupanya suami orang. Mungkin selama ini dia tidak bersedia untuk bercerita atau pada fikirnya aku akan menentangnya keras. Cuma pada malam ini dia membuka mulut bercerita. Itupun kerana luluh hatinya dek kejadian siang tadi yang membuat gelisah panjang.

Pada akal yang waras, tentu sahaja aku akan berkata 'tidak' untuk pilihan yang begini. Terang sekali dengan usia 23 tahun, dia terlalu janggal berada di sisi lelaki yang usianya benar-benar sebaya dengan sang bapa. Bukan dia tiada pilihan lain, tetapi dia memilih untuk pilihan ini.

Ermm.. Pun begitu, aku tidak menyalahkan dia. Soal hati dan perasaan tentunya bukan boleh kita aturkan mengikut mahu dan tidak mahu kita. Kalau ia mahu terjadi, maka ia terjadi juga. Justeru, aku faham situasinya yang tidak terjangkakan itu. Bayangkan juga andai kita berada di kasutnya juga.

Derita sahabat ini apabila dia terpaksa berkongsi kasih dan tentunya perlu akur adanya 'orang pertama' yang lebih berhak dan sah berbanding dirinya. Dia tiada hak dalam semua perkara untuk didahulukan. Aku tahu dia sangat-sangat jelas tentang soal itu. Namun dek kerana rasa cinta yang luar biasa itu, dia mengorbankan segala rasa untuk lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu. Begitupun selalu sang gadis kala mengecap cinta. Tidak orang lain, aku dan kamu juga begitu barangkali.

Namun, apabila luka beratur membuat tampar, tentu sahaja hati kalah mahu membuat kering. Justeru, tangis sendu yang membuat lepas tanda derita jiwa tidak tertanggung. Aku tidak menyokong, jauh sekali mahu menggalak. Cuma aku tidak mahu dia terusan dalam situasi tekanan menyesak begitu. Aku tidak mahu dia terus menyakitkan hatinya begitu dan tentunya dalam masa yang sama menyakitkan hati wanita lain juga.

S : Aku tk tahu apa yg kau akan pk ttg aku
S : lps kau tahu semua ni.
S : Mesti kau pk aku...
AKU : ermm.. Aku hanya pk, kau okk ker tak.. (aku memintas cakapnya terus)
S : (menangis penuh sedu sedan)
S : Aku tau aku bodoh... suka laki orang
S : Tapi kau ingat aku nk ker sumer nih?
S : Aku tak tahu.. (menangis lagi)
S : Semua org salahkan aku..
S : kenapa kau tk marah or kutuk aku jugak
S : tk payahlah nk amik ht aku
AKU : S, Aku tahu kau lebih tahu apa yg kau lakukan ini
S : (Masih menangis)

Sebenarnya rakan ini padaku tiada yang kurang. Rupa, pendidikan, pekerjaan dan semua yang dia miliki tiada yang kurang sedikit pun. Cuma mungkin dalam usia 23 tahun itu, hatinya belum ada pendirian yang betul untuk melihat sesuatu itu dengan lebih jauh. Lalu, apabila ada lelaki yang menumpahkan kasih sayang yang agung buatnya, maka kepada lelaki itulah yang dia pilih untuk dipersembahkan cintanya. Barangkali begitu... emm..

Sungguh, aku begitu sedih melihat esak tangisnya yang panjang dan parah itu. Sepanjang mengenal sahabat ini, ini merupakan kali pertama aku melihat dia dalam keadaan dan lemah dan penuh kekecewaan yang begini. Selalunya dia adalah sahabat yang lantang bersuara, bersemangat, ceria dan penuh gelak tawa. Dan hari ini aku melihat dirinya dari sisi yang lain.

Aku cuba menyelesakannya dan mereda tangisnya dengan sebaik mungkin. Aku tidak memarahinya, aku tidak mengecam atau menyindirnya sebaik tahu kedudukan cintanya. Tetapi... sungguh itu tidak bererti aku menyokong dia melukakan hati wanita lain yang lebih berhak. Biarlah saat ini dia menenangkan diri dahulu dan kami akan bercakap lagi mengenai hal ini kemudian nanti.

Terima kasih kerana memilih aku sebagai sahabat yang diberi percaya itu. Dan sebagai sahabat juga, tentu sahaja aku tidak mahu melihat dia terus-terusan tersungkur dalam rasa sengsara itu. ermm...

[Tiada siapa di-antara kita yang sengaja mau memileh sengsara..]

Sunday, March 22, 2009

~ TENTANG KEHIDUPAN ~


Kami memilih untuk menonton 'Tale Of Despereaux' dan 'Taken' secara berturutan. Begitu pun selalu jika kelapangan di depan mata. Bukan sekadar mencari senang tetapi mencari sesuatu untuk dikongsi sebagai pelajaran dalam hidup.

Tale Of Despereaux meminjam sesuatu yang aku katakan itu. Filem animasi yang banyak menolak akal fikirku untuk ‘bekerja’ membuat timbang tentang soal kemaafan yang diangkat menjadi tema.

Kemaafan untuk keberlangsungan sebuah perhubungan yang aman dengan senyum mengisi hari. Jika maaf menjadi keras membuat halang, hujan, matahari malah seisi alam akan turut muram menutup hari.

[Sahabat mei, aku terkenangkan kemaafan kamu]

Saturday, March 21, 2009

~ MENGEJAR YANG BUKAN MILIK ? ~


Aku tumpang simpati. Itu yang boleh aku katakan sebaik mendengar cerita panjang daripada seorang sahabat ini. Saat dia mengakhiri perhubungannya dengan kekasih hati suatu masa dahulu, aku menjadi pendengar setianya. Justeru hari ini, dia mencari aku untuk bercerita episod yang sama kaitnya dengan peristiwa lalu itu.

Kami mengatur bual dari jam 2 pagi sehingga jam 5 pagi. Itu pun kerana aku harus berhenti untuk bersiap ke tempat pekerjaan. Lelah menonton teater muzikal Ibu Zain malam tadi juga belum hilang.. ermm.. seketika pun aku tidak sempat meletak lena. 24 jam berjaga seawal membuka mata jam 4.50 pagi semalam. Apapun, aku baik-baik sahaja untuk mendengar dan membantu meringankan beban resah seorang sahabat.

MO : mmg aku tkejut giler tau psl ni. Rupa2nya dia yg rampas M.
MO : Selama ni aku tuduh M yg jahat dan main kayu 3.
AKU : y ?
MO : masa aku msh dgn M, hr2 dia anta emel cinta-rindu-dendam kt M.
MO : Itu blm msk msg & call lagik. Sedangkan dia tau aku msh dgn M.
MO : Siap sbt nama aku dlm emel tu.
MO : Ko tahu, dia blh ckp, dia tahu M dgn aku
MO : tp dia ttp cinta M apa nk jadi pun.
MO : Mmg kelas laa taktik dia. Bkn M jer, klu aku kat tmpt M pun,
MO : mayb aku pun akan terpengaruh dgn pujuk rayu dia.
AKU : Mana kau tahu semua ni?
AKU : Kan dah lama kejadian ni. Dah 3 thn lbh daa.
MO : KL ni bukan bsr pon AL. Kejahatan psti akan tbongkar juga akhirnya.
AKU : Ermm.. benda lama buat apa nk ingat lg?
MO : Bkn soal ingat tak ingat…
MO : dan bukan jugak aku nk kejar balik si M tu pun.
MO : Tp aku cuma tk sangka sbb prmpuan tu nmpak mcm baik.
MO : Selama ni, aku ingat M yg jahat yg cari psl.
AKU : Tk pahamm…
MO : Mmg aku dan M der prob waktu tuh kan… tp benda boleh settle.

MO : Ingt tk dulu, aku citer kt ko yg M dh der pompuan lain.
MO : Aku salahkan M mati2..
MO : aku sakit hati bgai nk giler bile tahu dia ada org lain.
MO : Tp waktu tu aku sikitpun tak salahkan permpuan tuh,
MO : bg aku M yg memilih utk buat hal.
MO : Aku bersangka baik kt permpn tuh dan salahkan M.
MO : Tp skarang, baru aku tahu perempuan tu laa yg merancang semua.
AKU : Rncang apa pulak ni?
MO : Dia mmg rncang nk rampas M dan misinya tercapai.
MO : Aku tk sangka prmpn yg nmpak macam baik jer
MO : rupanya punya hati yg hitam.
MO : Sggup menyakitkan ht kaum sejenisnya
MO : utk kepentingannya sendiri.
MO : Aku sndiri x sanggup nk buat mcm tu walopun aku nih bkn baik sgt.
AKU : Ermm.. rampas ?
MO : Yupp... Hr2 anta msg pujuk rayu kt M.
MO : ayat2 yg mmg blh buat ko akan rs kasihan bila bc.
MO : Aku blh maafkan dia kalo dia tk tahu yg M dah ada aku.
MO : Atau M tipu dia kata msh solo,
MO : tapi dah terang2 dia tahu M dgn aku… dia tahu!!!
MO : Klu ko bc sumer yg dia tulis tuh,
MO : mesti ko pun skt ati dan tk sangka
MO : prmpuan yg nmpk macam baik tuh
MO : rupa-rupanya sebaliknya.. huhuhu..
AKU : Maksud ko, M tk salah?
MO : Bukan camtu… M tuh mmg salah sbb duk layan diaa…
MO : tp camana tk layan klu mcm tuh punya dia duk goda dan rayu M?
MO : Dia rayu secara senyap dan halus.
AKU : (Senyap)
AKU : ermm… tkpe laaa ada hikmah kot ngan per yg jadik ni..
MO : Hikmah… hikmah jugakk…
MO : tp aku harap, dia akan dpt blik apa yg dia dh buat kt aku.
MO : Wat goes around comes around.
MO : Dulu dia buat kt org,
MO : 1 day biar dia kena benda yg sama jugak
MO : atau lebih teruk drp yg dia buat kt aku.
MO : Aku hrp mulut aku masin..
AKU : Ermmm... Msg2 der bahagian hidup msg2..
AKU : so kita jalani bahagian masing22 tu..

[Karma. Me-mileh untok meluka-kan.... dan suatu masa nanti, kita juga akan ter-pileh untok di-luka-kan... Justeru, jangan di-dekat-kan diri dengan hal yang begitu..]

Friday, March 20, 2009

~ TEATER MUZIKAL IBU ZAIN II @ MATIC ~


Semenjak pementasannya bermula pada 13 Mac yang lalu, baru hari ini aku punya kesempatan untuk menontonnya Teater Muzikal Ibu Zain II (TMIZ) malam tadi. Bukan sengaja mahu menangguhkan tontonannya, namun seperti mana yang aku katakan di dalam entri yang lepas, urusan pekerjaan benar-benar menghimpit beberapa hari terkebelakang ini.

Justeru, keluangan yang kebetulan hari ini tentu sahaja tidak akan aku siakan. Lalu memenuh janji lama dengan sahabat june, sahabat dekatku yang baru sahaja mahu menjinakkan diri dalam dunia keteateran ini (barangkali… ermmm… atau bersebab lainnya.. ), aku ke Matic, Jalan Ampang, dengan penuh rasa besar hati.

Sungguhpun berpindah ke lokasi pementasan yang lebih kecil dan serba kurang berbanding di lokasi gah sebelum ini di Panggung Sari, Istana Budaya, TMIZ pada sorot pandanganku tetap jelas berdiri dengan cantik dan penuh bergaya di tempatnya yang tersendiri. Adalah tidak adil sama sekali jika mahu membandingkan TMIZ musim pertama di Istana Budaya dan TMIZ musim kedua di Matic ini.

TMIZ masih mengekalkan barisan pelakon yang sama. Justeru, kekesanan TMIZ itu masih sama dan tidak tercuit kalah. Malah di kentalkan lagi dengan kemunculan Natasha Hudson buat pertama kalinya di pentas teater. Turut membuat penampilan untuk musim kedua ini juga ialah Dato Jalaludin Hassan, Zulhairi Ibrahim (hero Teater Muzikal T. Pinkie) dan beberapa nama lain lagi termasuk pelakon kanak-kanak yang membawakan watak Ibu Zain sewaktu kanak-kanak kecil dan remaja.

Jujurnya ruang terhad di Matic memang membataskan banyak gerak mereka yang berperan. Namun, atas dasar kreativiti sang pengarah yang sentiasa memerah fikir untuk penyelesaian bagi segala yang membuat cela, pentas kecil itu berfungsi dengan baik mengikut yang diharap-atur. Aku bangga sekali dengan kreativiti penyelesaian pilihan mereka.

Ulasanku kali ini masih tidak jauh bezanya dengan ulasan pada pementasan musim pertama dahulu. Aku tetap tertarik dengan jalan ceritanya dan keberkesanan barisan pelakonnya terutamanya pemeran utama Ibu Zain itu sendiri, Liza Othman. Bayangkanlah bagaimana cantiknya dia memotretkan karektor Ibu Zain itu sehinggakan hati merasakan dia umpama jelmaan Ibu Zain. Dia benar-benar berjaya memberi gambaran tentang Ibu Zain. Seorang wanita yang lembut tetapi cukup tegas. Cekal dan berjiwa besar. Jika watak itu diberikan kepada pelakon lain, aku meragui kemampuannya akan menyamai atau mengatasi Liza Othman. Begitu kehebatan dia.

Apapun secara jujurnya aku merasa sungguh kecewa dengan sambutan penonton terhadap TMIZ ini. Sudahlah panggungnya kecil, yang kecil itupun tidak terisi tempat duduknya. Jelas sekali kekosongan itu. Aku merisik-risik juga kepada mereka yang berulang datang ke sini di sepanjang TMIZ dipentaskan sehingga malam tadi. Kata mereka, usaha terbaik telah dilakukan, namun apakan daya jika penonton tidak berminat untuk duduk menonton menelaah pengkisahan seorang tokoh wanita terbilang ini yang mungkin tiada unsur komersial seperti mana teater semasa yang lain.

Benar, glamornya jauh tidak setanding dengan PGL, publisitinya juga duduk di barisan belakang (barangkali) tetapi pengisiannya adalah yang paling sarat. Usai menonton pementasan ini umpama berhasil menelaah sebuah buku yang sarat dengan pelajaran yang memberi guna yang bukan sedikit. Percayalah, itu yang akan mereka pinjamkan kepada kamu melalui pementasan ini.

Justeru, andai ada dengan keluangan waktu, halakanlah perjalanan kamu ke Matic, Jalan Ampang untuk duduk sebentar menikmati TMIZ.

["Ya Tuhanku, janganlah digerakkan anggota badanku zahir dan batin melainkan yang Engkau dan Nabi Muhamad redhakan, ibu bapakan redhakan..." – petikan dialog doa Ibu Zain yang sangat membekas..]

Thursday, March 19, 2009

~ ALL EVER I WANTED : KELLY CLARKSON ~


Kelly Clarkson adalah antara penyanyi yang memikat pendengaran aku. Beberapa hari lalu, aku membawa pulang album terbarunya, All I Ever Wanted dari gedung muzik. Mendengar setiap satu lagu alunannya yang terasa begitu dekat.

Aku sukakan 'Save You', 'If No Want Listen', 'Impossible' dan lagu-lagu lain terkandung seperti My Life Would Such Without you, I Do Not Hook Up, Cry, Don't Let Me Stop You, All Ever I Wanted, Already Gone, If I Can't Have You, Whyyawannabring Me Down, Long Shot, Ready dan I Want You...

SAVE YOU
By Kelly Clarkson


I can tell i can tell
How much you hate this
And deep down inside
You know its killin' me
I can call wish you well
And try to change this
But nothin' i can say
Would change anything

Where was my sences
I left them all behind
Why did i turn way
Away

I wish i could save you
I wish i could say to you
Im not goin' nowhere
I wish i could say to you
Its going be alright
Its going be alright

Didnt mean didnt mean
To leave you stranded
Went away 'cause i
Didnt want face the truth
Reachin' out reach for me
Empty handed
You dont know if i care
Your tryin' to find the proof

There were times i wondered
Could i have eased your pain
Why did i turn away
Away

I wish i could save you
I wish i could say to you
Im not goin' nowhere
I wish i could say to you
Its going be alright
Its going be alright
Save you
I wish i could save you

We can pretend nothins changed
Pretend its all the same
And there will be no pain
Tonight

Its gonna be alright
Its gonna be alright
Save you
I wish i could save you
Im not goin' nowhere
I wish i could say to you
Its gonna be alright
Its gonna be alright
Save you
I wish i could save you
Its gonna be alright

[Ter-kenang Because You maseh lekat me-mahat angin sendu...]

Wednesday, March 18, 2009

~ WMR HITAM VS WSJ HITAM ~

(sekadar gambar hiasan..)

Menunggu BR yang sedikit kelewatan hari ini. Ada janji secawan coffee dengannya. Bukan kerana coffeenya, tetapi kerana memenuh janji pelawaan beberapa hari lalu. Lagi membuat senang, dia mahu membawaku ke Ampcorp Mall, Petaling Jaya untuk mencari CD-CD lama di sana.

Kala menunggu kelewatan itu, aku berdiri betul-betul bertentangan dengan WMR Hitam kesayanganku. Membelek keadaan fizikalnya dengan pandangan mata jauh. Banyak sekali kenangan yang dilalui oleh WMR Hitam ini. Aku senyum sendiri. Puas hati dengan keadaan WMR Hitam, aku mengalihkan pandangan lima langkah di sebelahnya. Kali ini ke arah WSJ Hitam yang baru menjadi milik. Kesibukanku benar-benar membuat halang untuk aku membeleknya dekat. Sekadar melepas pandang dari jauh sewaktu keluar dan pulang ke rumah. Betul... sehingga entri ini di tulis aku belum lagi punya kesempatan untuk berkenalan dengannya.

"Hitam lagi?" Soal teman jiwa yang pada mulanya berkecil hati kerana tidak menjadi orang pertama yang tahu tentang pemilikan WSJ ini tempohari. Aku mengangguk-ngangguk dengan senyum separuh meleret. "Hitam itu menawan"... Jawabku ringkas. Dia melepas tawa kecil saat mendengar jawapanku itu.

WMR Hitam mencipta kenangan terindah, WSJ Hitam pula bakal menciptakan yang lebih baik barangkali. Justeru, sungguh WSJ Hitam baru menjadi milik, aku sayang sekali mahu melepaskan WMR Hitam pergi. Justeru biar sahaja di situ. Sesekali aku akan membawanya bersiar-siar... Sesekali ya...

WSJ Hitam, kamu harus mengubah aku supaya menjadi lebih berani ya. Aku tidak mahu kamu menjadi kasihan seperti mana yang dilalui WMR Hitam. Nanti usai segala urus pekerjaan yang beratur ini, aku akan pergi kepadamu untuk menyapa dan berkenalan.

[Sekali lagi aku membuat fiker kurang dari sepuloh minet untuk pemilikan WSJ Hitam ini... huhuhu]

Tuesday, March 17, 2009

~ BENARKAH ISKANDAR BUKAN ZULQARNAIN ~

Usai membuat urus berkait soal pekerjaan, aku memutus untuk menyinggah di gedung pembacaan. Kesibukan dengan pelbagai urus pekerjaan yang mendesak, aku tidak lagi punya masa yang banyak untuk mengintai dari rak ke rak mencari bahan bacaan kegemaran.

Melirik jam pemberian teman jiwa di tangan, kelihatan seperti aku punya sedikit waktu sebelum meredah sesak kenderaan di perut jalan di luar itu. Laju sahaja kaki mengatur langkah. Aku menarik nafas lega apabila Kinokuniya dapatku singgahi.

Membelek dan memilih, akhirnya mata terhenti tumpu kepada sebuah buku bertajuk 'Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain', karya Afareez Abdul Razak Al-Hafiz. Dek kerana tajuknya, besar sekali rasa ingin tahu yang ada dalam diri. Mungkin kamu sudah terlebih dahulu menelaah buku ini dan mungkin aku sedikit ketinggalan kerana baru bertatap di mata hari ini.

Awal pembukaannya berkisah soal awal kehidupan manusia. Bermula secara ringkas dengan Nabi Adam S.A.W dan keturunan-keturunan manusia awal. Memasuki era Nabi Idris, Nuh, Lut dan Ibrahim. Pelbagai peristiwa menarik terangkum di dalamnya. Detik kamu dalam hati mungkin hanya akan berkata "oo... ooo.. oooo dan oooooo". Ermm.. Atau mungkin bukan detik 'kamu' tetapi detik hati aku barangkali.

Kenapa 'Dan Nabi Ibrahim' ??? Kerana aku punya masa yang sedikit untuk menghabiskan buku yang boleh tahan juga jumlah muka suratnya. Bukan berkira untuk membayar wang untuk buku itu tetapi aku juga perlu membayar wang kepada perkara lain yang tidak mungkin dapat diperolehi secara percuma seperti yang diperolehi dari ruang gedung pembacaan ini.

Justeru, jika ada keluangan serupa, aku sangat bercadang untuk menyambung pembacaan buku itu. Atau jika kamu yang terlebih dahulu membacanya, berkongsilah... Aku ingin benar tahu.

[Ter-kenang per-kenalan dengan sa-orang rakan istimewa cacat pendengaran dan per-tutoran di The Borders suatu masa dahulu.. dia kini tlah hilang..]

Monday, March 16, 2009

~ URUS YANG MENGHAMBAT ~

Dihambat dengan urusan pekerjaan yang menghambat dekat. Seawal pagi Isnin memulakan hari, juga pembuka minggu, aku terhidang dengan urusan pekerjaan setinggi KLCC. Begitu selalu lagaknya Isnin mengisi hari.

Pun begitu, mungkin tanpa tekanan daripada en boss, aku dapat membuat usai dalam kadar yang tidak terjangka juga. Lelah mengutip hari, namun tanggungjawab tergalas tentu sahaja bukan boleh dipindah milik mudah begitu sahaja. Prinsip itu tidak pernah kucicirkan.

Sejak akhir-akhir ini, kakak kerap sekali mohon aku berpindah bidang dan tempat pekerjaan. Disuakan aku dengan pelbagai permohonan pekerjaan baru. Aku diam. Aku senyum. Apa yang boleh aku katakan, takdir agaknya sudah menetapkan aku di sini. Justeru, rezekiku panjang di sini... di bidang yang tidak pernah dirancang olehku sebelum ini.

[Mau ber-tukar bidang dan pekerjaan.... merah juga dari bumi Kuala Lumpur]

Sunday, March 15, 2009

~ BILA HATI BERBICARA ~


“Dua mata saling bertatapan. Tiada kemesraan tetapi mengapa hati berbicara sesuatu yang amat sukar ditafsirkan oleh hati sendiri..”

TAJUK : Bila Hati Berbicara
KARYA : Antasya balkis
PENERBIT : Buku Prima Sdn Bhd
HALAMAN : 484
HARGA : RM18.90


[Bak kata Pak Samad Said, bicara yang senyap itu lebeh biseng sebenar-nya jika mampu di-dengar...]

Saturday, March 14, 2009

~ MOZART GREATEST HITS ~


Lama tidak punya kesempatan menjelajah gedung muzik. Justeru, hari ini dengan kesempatan yang ada, aku menghabiskan masa dengan membelek-belek CD album di rak Clasiccal yang menjadi kegemaran selalu. Membawa pulang Mozart Greatest Hits.

Tidak sabar menunggu tiba di rumah, aku memutarkan tersebih dahulu di kereta seorang kawan ini. Sudahnya, saat berurusan lainnya CD ini senyap di situ tanpa ada sedikit ingat. Nahh.. yang tinggal hanya kotak tanpa isinya...

[Sedeh mengenang kesah trages Mozart sa-waktu hayat-nya]

Friday, March 13, 2009

~ DAN SEBENARNYA ~


DAN... SEBENARNYA
by yuna

Oh bulan enggan melayan diriku lagi
Pabila air mata membasahi pipi
Dan lagu-lagu di radio
Seolah-oleh memerli aku
Pabila kau bersama yang lain

Adakah perasaan benci ini
Sebenarnya cinta
Yang masih bersemadi untukmu
Dan sebenarnya ku mengharapkan
Di sebalik senyumanmu itu
Kau juga merindui aku...

Ku anggap pura-pura ku bahagia
Ku enggan melihat kau bersama si dia
Oh ku akui cemburu
Mula menular dalam diri
Pabila kau bersama yang lain

Adakah perasaan benci ini
Sebenarnya cinta
Yang masih bersemadi untukmu
Dan sebenarnya ku mengharapkan
Di sebalik senyumanmu itu
Kau juga merindui aku...

Pabila kau merenung matanya
Ku rebah jatuh ke bumi
Di saat kau benar benar mahu pergi
Seperti ku bernafas dalam air

Adakah perasaan benci ini
Sebenarnya cinta
Yang masih bersemadi untukmu
Dan sebenarnya ku mengharapkan
Di sebalik senyumanmu itu
Kau juga merindui aku...
ooo...


Mungkin aku sedikit ketinggalan, tetapi jujurnya aku pertama kali mendengar lagu ini melalui blog OneLove. Mendengar, menyukai dan menyanyi. Salam penghargaan buat kamu OneLove.

[Ter-kenang tentang cherita bunga di-kuboran.. ermm..]

Thursday, March 12, 2009

~ HELAH DI DEPAN RUMAH ~


Dek kerana melayan penat dan marah kepada beberapa buah teksi malam tadi, aku tanpa sengaja telah memanjang lena. Sedar membuka mata, jam sudah menunjukkan jam 8.40 pagi… Owhh.. mati kali ini. Tentu sekali aku tidak akan muncul di ruang pejabat pada waktu ‘merah’ begini demi menjaga reputasi dan disiplin diri.

Justeru, aku membuat putus untuk mengambil cuti sahaja. Itu lebih barangkali daripada memalit keserongan manusia lain kepadaku. Aku kembali mahu meletak lena, namun mata sudah sesegar kuntum rose, tentu sahaja degil untuk membuat lelap. Sudahnya, aku membuat putus untuk kembali mengulang bacaan beberapa antologi puisi yang indah dalam simpananku. Puisi Indah Si Pari-Pari, My Heart, My Soul, My Passion, 68 Sonata Pohon Ginkgo dan Puisi Dari Jiwa.

Indah bacaan ini akhirnya kembali mengulit mimpi panjangku sehinggalah telefon bimbit bergetar beberapa kali. Sangkaku dari teman jiwa, sementelah lagi sudah beberapa hari dia berada di luar tanahair dengan hambatan urusannya itu.

Ermm.. rupa-rupanya silap. Nama BR menghiasi dada skrin. "Saya ada di bawah, kalau tidak keberatan mahu mempelawa secawan coffee.." Aku terkejut dan terus sahaja menjenguk ke bawah. Memang keretanya ada berkelibat di bawah. Ermmm... Dia selalu menggunakan taktik serupa untuk mengelakkan aku memberi sebarang alasan dengan niat penolakan. Yaa.. dia menang.. kerana aku tentu sahaja tidak sampai hati untuk menolak. Juga kerana aku benar-benar tidak punya alasan kerana BR tahu aku tidak ke tempat pekerjaan hari ini.

Sebenarnya beberapa hari lalu seorang sahabat juga membuat taktik yang serupa. Menunggu di depan rumah agar aku tidak mampu untuk menolak. Yaaa.. benarnya memang aku tidak sampai hati mahu menolak lagi kalau kesungguhan sudah sampai di depan rumah. Baiknya juga kerana kesungguhnya itu ribut terpulih.

Berbalik soal BR, kami menghabiskan masa separuh hari dengan duduk mengisi bual panjang sambil menghirup secawan coffee. Aku tidak tahu bagaimana dia ‘mencuri tulang’ dan boleh menghabiskan separuh hari bersamaku dengan pakaian pejabatnya itu. Namun, tidak pula aku membuat soal tentang itu.

[Menunggu di-depan romah lagi? ]

Wednesday, March 11, 2009

~ TIADA TAJUK ~


Kalau mengikut perancangan asal, selepas habis waktu pekerjaan aku mahu mengisi waktu dengan menonton teater bersama seorang sahabat ini. Tidak membuat sebarang janji, tetapi dia menggantung harap yang tinggi agar aku menyertainya.

Namun, lain orang yang mengharap, lain orang pula yang aku penuhi permintaan. Tidak dirancangkan, aku bersetuju menghirup secawan coffee bersama sahabat dekat. Itupun setelah dia siap siaga menunggu aku usai membuat urus soal pekerjaan. Sanggup pula merentas perjalanan yang panjang dan bersesak-sesak di perut jalan sekadar untuk secawan coffee… ermm.. itu selalunya bukan dia.

Dek kerana itu, aku membatalkan hasrat menonton. Sahabat yang seorang itu sedikit dengan rajuk. Kecil hati juga barangkali. Justeru, aku membuat janji untuk menggantikan tontonan itu pada hujung minggu ini.

Sekitar 9.40 malam, aku terpacak di kaki jalan MV, menunggu teksi untuk menyambung perjalanan pulang ke rumah. Pada waktu begini??? Yaa.. aku tahu tidak banyak teksi yang sudi menumpangkan aku ke kediamanku di BK pada waktu yang begini. Sudahnya jam tepat menunjukkan ke pukul 11.20 malam, aku masih lagi keras berdiri di sini. Sakit hati dengan sikap kebanyakan pemandu teksi yang bongkak dan menjengkelkan.

Tiba-tiba telefon bimbitku bergetar dan nama sahabat tadi tertera di skrin. Asal tujuannya untuk menyampai salam si penganjur buatku yang gagal hadir meluang masa seketika tadi. Ermm.. namun, beberapa minit kemudiannya, dia muncul di depan mukaku untuk menjemput dan menumpangkan aku ke rumah apabila mengetahui aku masih terkial-kial berlokasi di MV untuk pulang ke rumah. Ermmmmmmmmm….

[Terima kaseh untok yang sering muncol kala aku memerlu pada bantu… ermm..]

Tuesday, March 10, 2009

~ SIRAH JUNJUNGAN, TAHAJUD CINTA ~


Lama aku tunggukan pementasan ini gara-gara kecewa melepaskan peluang itu pada tahun lalu. Alhamdulillah, pada hari ini yang juga merupakan hari pertama pementasan teater Sirah Junjungan hasil garapan pengarah tersohor, Erma Fatima ini, aku berpeluang untuk duduk menonton pengkisahan baginda Rasulullah S.A.W ini.

Tahajud Cinta.. besar ertinya kepada yang benar memahami. Bukan sebarang cinta, bukan semudah biasa.. Ia paling agung dalam hati dalam jiwa. Kamu hanya akan rasa dengan mata hati kamu. Kamu hanya akan faham dengan debar degup jantung kamu. Ermm..

Aku senyap memaham pengkisahan yang pernah disejarahkan terlebih dahulu melalui penceritaan dan pembacaanku sebelum ini. Malu untuk aku katakan di sini, sejarah itu banyak yang sudah tertinggal dan tercicir olehku. Aku menangis mengenangkan keciciran yang banyak itu. Aku juga menangis kerana malam ini keciciran itu kembali ditemui sedikit dan membukit.

Pementasan malam tadi amat indah dalam pandang dan rasa hati. Pemilihan set dan propsnya menjadi tarikan yang tersendiri buat yang menonton. Kaabahnya yang indah, kota Mekahnya dan segala yang didepankan mengundang rasa yang hanya difahami hati sendiri barangkali. Era itu seolah hidup di depan mata. Visual yang dipaparkan menerusi layar skrin juga membantu pengkisahan menjadi lebih menarik. Antaranya saat tentera Abrahah dan tentera Quraisy bertempur, secara simboliknya Allah telah menurunkan burung-burung Ababil untuk memberi bantuan dengan membaling batu keras ke arah tentera Abrahah.

Keperibadian baginda Rasul S.A.W tentu sekali tidak terbanding taranya. Keimanannya, ketakwaannya, kesabarannya, ketaatannya dan segala tentang baginda dikisahkan dengan baik sekali untuk difahami. Juga memberi lihat Abu Lahab membuat angkara, menyaksikan Bilal bin Rabah direjam keras, apatah lagi hamba abdi dan wanita tidak berdosa dizalimi tanpa belas, hati mana mampu menahan tanpa tangis membuat lerai?

Justeru, selain sejarah yang tidak terubah itu, aku salamkan tahniah buat kerja keras dan kesungguhan besar yang diberikan pengarah. Barisan pelakon yang mengujakan, serta tenaga produksi yang menyumbangkan kelancaran. Segalanya dilihat ‘hidup’ dan mencuri rasa mereka yang menonton.

Babak yang paling membekas, tentu sekali saat baginda Rasulullah S.A.W wafat. Suasananya amat terasa sekali. Sebak yang ditahan itu tidak mampu dibendung lagi. Lalu tangis laju menghujan diri. Itu rasa yang paling ikhlas saat itu.

Ermmm.. barangkali sebak itu diinjak-injak juga dek alunan lagu-lagu yang menusuk rasa seperti Asmaul Husna, Nabi Anak Yatim, Ya Rasulullah Salamun 'Alaik, Tala Al Badru, Labaikallah, Solla ‘Alaikallah, Ya Rasulullah dan selawat.

Sebelum pentas di tutup, aku sekali lagi kebanjiran air mata saat selawat ke atas baginda Rasulullah S.A.W dilafazkan secara beramai-ramai mengisi hening Panggung Sari, Istana Budaya. Sukar sekali untuk aku mengawal perasaan saat ini. Bukan aku sahaja, ku kira ramai juga yang bertingkah serupa ketika itu. Mengalirkan air mata dek tersentuhnya rasa dari dalam diri.

Kalau kamu berkejaran mahu menonton PGL The Musical tempohari, tidak salah jika kamu melakukan perkara serupa untuk teater ini bukan? Ermmm..

[Tiket ber-harga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150 buleh di-per-olihi di kanuter Box Office Istana Budaya..]

Monday, March 09, 2009

~ SALAM MAULIDUR RASUL ~


CAHAYA SELAWAT

Ya nabi salam alaika
Ya rasul salam alaika
Ya habib salam alaika
Solawatullah alaika

Ya rasul kau bawa cahaya
Menyinari alam buana
Bumi tandus
Subur kembali
Rasa gembira di hati

Lahirmu membawa rahmat
Memimpin ke jalan selamat
Akhlakmu yang sungguh memikat
Contoh buat seluruh umat

Mulianya pengorbananmu
Kebaikan yang kau seru

Biarpun halangan menimpa
Namun dirimu tetap tabah

Ya Muhammad yang berjasa
Quran dan sunnahlah pusaka
Menjadi panduan manusia
Untuk hidup aman sentosa


Maulidur Rasul yang jatuh pada pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w (S.A.W). Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah S.W.T. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad S.A.W kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah S.W.T terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah S.W.Ta akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah S.W.T.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Kredit Sumber : http://ms.wikipedia.org

[Mudah-mudahan terdekat kita dengan segala sunah yang ditinggalkan oleh Baginda..]

Sunday, March 08, 2009

~ TIDAK KERANA SEBUAH RAHSIA ~

Perahsia? Ermm.. mungkin juga. Setiap orang itu perlu mempunyai rahsianya sendiri. Begitu juga dengan aku. Aku punya rahsiaku sendiri. Tetapi tidaklah terlalu perahsia seperti mana yang kerap dikeluhkan rakan-rakan. Aku senyum sahaja setiap kali mereka memperkatakan tentang soal itu.

Eermm… sebenarnya mungkin kerana aku ini sedikit pendiam dan lebih senang membuat senyap dalam banyak perkara. Terkadang apa yang aku tidak kongsikan itu bukan kerana ia berstatus sebuah rahsia, tetapi kerana aku sememangnya tidak ringan mulut untuk bercerita jika tidak diusulkan tanya.. :)

Justeru, hanya mereka yang benar-benar dekat sahaja yang mengetahui banyak tentangku... Ini kerana mereka membuat tanya tanpa menunggu aku membuka cerita. Bagaimanapun, ia hanya terbilang dengan jari barangkali. Laman blog ini (sejak 2006) misalnya, kewujudannya tidak pernah dalam tahu mereka yang mengenaliku, sahabat dekat, keluarga mahupun teman jiwa sendiri. Yaa.. lelaki yang paling dekat denganku ini pun tidak tahu mengenai kewujudan blog ini.. :)

Aku tidak pernah merahsiakannya, cuma tidak bercerita tentangnya sahaja. Tetapi, mungkin lebih baik begitu barangkali kerana jariku ini boleh bercerita tentang apa sahaja yang melingkari hidup seharianku tanpa perlu merasa kekangan.

[Jika ada yang me-lehat aku sebagai sa-orang yang peramah, ber-arti dia sememang-nya dekat dengan-ku. Kerana tingkah itu hanya akan ter-jadi kepada mereka yang dekat sahaja..]

Saturday, March 07, 2009

~ CERITA DARI MATA ~


Seseorang telah memberi pinjam kepadaku kata-kata di bawah ini. Justeru, aku ingin berkongsi dengan kamu juga di sini.

"Kecantikan seorang wanita tidak terletak pada pakaian yang dipakainya.. atau susuk yang ia tampilkan atau bagaimana ia menyisir rambutnya.. TETAPI kecantikan seorang wanita itu terletak pada matanya kerana di situlah pintu hatinya.. tempat di mana CINTA itu ada.."

[Mata yang senan-tiasa ber-cherita]

~ SERIBU KALI SAYANG ~


“Mengapa kuteringat bila cuba melupa, kemenangis bila cuba tertawa…”

TAJUK : Seribu Kali Sayang
KARYA : Anis Ayuni
PENERBIT : Alaf 21 Sdn Bhd
HALAMAN : 528
HARGA : RM19.90

[Menafsir hati.. bukan dengan benar pandangan semata-mata... ermm..]

Friday, March 06, 2009

~ MEREDA RIBUT ~


Masih marah lagi? Masih kecil hati lagi? Jawapannya, YA. Mungkin apa yang terjadi sebelum ini amat-amat menguis rasa. Bukan tidak pernah merasa begitu, cuma mungkin kali ini paling membuat bekas. Rasa kecil hatiku terlalu meraja. Mungkin aku terlalu mengikut rasa hati lalu rajuk panjang yang membuat ganti.

Ermm... Apapun, tidak sekali-kali aku menolak maaf, jauh sekali menyimpan dendam. TIDAK. Cuma sebagai manusia biasa yang sudah beberapa kali berdepan situasi serupa daripada manusia yang sama, tentu sekali ia berlaku bukan dengan mudah. Jujur, memangnya aku seorang yang degil dan keras hati. Sikap buruk yang setiap hari cuba aku atasi. Cuba untuk berubah, tetapi ia seperti tidak diizinkan keadaaan sekeliling yang sering 'mencuit' agar aku bereaksi serupa. Bagaimanapun, aku tetap dengan usahaku. Berilah sedikit masa.

Kata seseorang kepadaku suatu masa dulu, aku terlalu memberatkan persahabatan sehingga sekecil perkara boleh menjadi sebesar alam kerana keberatan itu. Yaa... tentu sekali aku memberat persahabatan kerana persahabatan itulah harga yang paling mahal dengan rasa manusia. Kita juga pasti akan memilih sahabat yang bukan dari kalangan sembarangan kawan kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa ada rasa mahu menyumbang kebaikan buat sahabatnya yang lain juga.

Sekejap tadi, seorang sahabat mahu membetulkan ribut. Ermm.. Apa lagi yang mahu dibetulkan kerana ribut itu sudah mereda dengan baik dengan 'cara' begitu. Awalnya aku beralasan seribu (sebagai tanda protes) kerana penat untuk berdepan situasi serupa. Sebagaimana 'penatnya' teman jiwa yang menggelengkan kepala setiap kali aku berkongsi cerita tentang ribut yang sama. Yaa.. cerita yang sama, apa yang menariknya?

Pun begitu, kalau sudah namanya sahabat dekat tentu sahaja dia tahu lebih dan kurangku. Justeru, dia menggunakan yang 'kurang' itu untuk merobah 'alasanku'. Itulah kelebihan sahabat ini barangkali. Kesungguhannya aku hargai dengan rasa besar hati. Akhirnya, aku menurut untuk membuat reda. Melepas rasa marah yang panjang, apabila berpeluang menutur rasa kecil hati yang membuat punca ribut beberapa bulan dulu.

Mungkin sahabat yang seorang ini tidak tahu atau tidak percaya, tiada pembohongan dalam tuturku sepanjang mereda ribut seketika tadi. Mungkin, aku bukanlah seorang yang baik dalam memberi tutur yang mampu dengan mudah meyakinkan atau mempengaruhi orang lain, tetapi aku pasti untuk tidak mendekatkan diri dengan pembohongan.

Mudah-mudahan kali ini tiada lagi ribut serupa membuat singgah. Aku mahu menjadi sahabat yang baik dan aku juga perlukan sahabat yang baik. Biar persahabatan itu berlangsung dengan baik-baik juga.

Masih marah lagi? Masih kecil hati lagi? Jawapannya, TIDAK. Mungkin apa yang terjadi sebelum ini amat-amat menguis rasa. Namun kerana besarnya persahabatan, ia kembali terpulih. Berharap ia tidak terulang hingga membuat hujung pada sebuah persahabatan. Sahabat umpama harta besar yang tidakkan terjual mudah. Aku ingat kata-kata itu.

Apa yang berlaku hari ini aku kongsikan dengan teman jiwa. Dia melepas tawa kecilnya. Apa yang lucunya? Ermm...

"Orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada Tuhan. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Tuhan juga."

[Everyone hear what you say. Friends listen what you say. Best friends listen to what you don't say..]

Wednesday, March 04, 2009

~ BERKORBAN SEHINGGA TERKORBAN ~

Beberapa ketika sebelum menulis entri ini, aku bersendiri membuat fikir. Jauh ingatan menerawang kepada seseorang yang baru aku temui siang tadi. Kami mengatur bual panjang yang lebih daripada biasa. Justeru, kejujuran pertuturan itu lebih dirasakan berbanding sebelum ini yang hanya terfokus kepada soal pekerjaan.

Untuk pertama kalinya sejak mengenalinya dalam kemasyhurannya, aku melihat dia menitiskan air mata. Perbualan yang dimulai dengan gelak tawa dan gurau senda itu berakhir dengan duka membalut jiwanya.

Gadis manis yang penuh hemah ini meluah rasa kecewa besar apabila tingkahnya dibaca salah. Merah dibaca biru, tentunya mengundang keliru yang banyak dan mungkin bakal memalit hitam menutup rasa. Jika dulu dia tersanjung kerana hemah santunnya yang terpuji, dihormati kerana memapar contoh muslimah sejati, kini lain pula yang dilaluinya.

Berat untuk dia menutur di bibir, tetapi gelaran perempuan murahan dan perampas suami orang yang bertubi menyerangnya kiri dan kanan sangat menikam tajam hati wanitanya. Hanya mereka yang terdekat sahaja mengetahui duduk cerita sebenarnya, sedang manusia lain yang sedikit berjarak memegang fitnah itu dengan rasa percaya yang penuh. Tohmahan ini seolah memadam segala imej baik yang dimiliki dia.

Disebalik dugaan keras yang diterimanya itu, tidak siapa tahu bagaimana hati kecilnya menangis. Bagaimana dia berkorban untuk menutup kesalahan orang lain sehingga mengorbankan dirinya sendiri. Dia bukan perempuan murah, dia juga bukan perampas sesiapa, tetapi dia telah menjadi mangsa diatas kebaikannya yang dipergunakan.

Saat menutur soal maruahnya sebagai seorang wanita yang sejak dari kecil terdidik tebal dengan soal halal haram agama, dia menjadi sebak. Suaranya bergetar menahan sedih, sakit dan marah juga barangkali. Terdiam beberapa pasang mata yang memerhati apabila gadis yang cekal berdepan dugaan ini akhirnya berhujankan airmata.

"Orang tidak pernah tahu situasi sebenar saya. Orang tidak pernah tahu bagaimana jerih perih saya melawan segala tohmah untuk sebuah maruah. Orang juga tidak pernah tahu betapa saya terlalu banyak berkorban untuk orang lain sehingga mengorbankan diri saya. Demi Tuhan saya tidak berniat untuk membangkitkan soal ini kerana pengorbanan itu berlaku atas kejujuran dan keikhlasan saya. Tetapi, apabila soal maruah saya sebagai seorang wanita dipermainkan sewenangnya, saya tidak boleh terus duduk berdiam."

Ermm... benar. Kita hanya melihat dia secara luaran. Senyum dan kegembirannya. Dek kerana itulah kita mudah membuat penafsiran. Kita mudah meneka itu dan ini. Sedang pada hakikat dia menangis dengan pengorbanannya.

Aku bertanya dengan penuh terus-terang, kenapa tidak dia berhenti sahaja berkorban kalau itu sahajalah caranya yang mampu menolak tohmah yang datang menyerang.

"Saya dimalukan dan maruah saya dipermainkan. Tetapi itu tidak bermakna saya perlu melakukan perkara serupa kepada orang lain hanya kerana alasan itu. Saya tidak akan berhenti kerana saya mahu berdepan dengan kenyataan. Kenyataan yang saya tidak melakukan kesalahan seperti yang didakwa mereka."

Aku terdiam. Cuba meletakkan aku di dalam situasi yang didepaninya itu. Mampukah aku teguh berdiri seperti mana yang dilakukan dia saat ini? Ermmm...

Sepanjang dalam perjalanan pulang, aku berfikir tentang soal itu, malah ketika menulis entri ini juga aku masih mengingat tentang itu. Maafkan aku juga kerana sebelum ini hampir sahaja terpedaya dengan cakap-cakap yang menghasilkan pengaruh buatnya itu. Ermm... Begitu banyak aku pinjamkan dari dia sepanjang perbualan kami berlangsung tadi. Aku mahu mencontohi dia.

[Aku tidak ter-makan dengan segala tohmah itu... malah dia lebeh ter-sanjong dari biasa]

Tuesday, March 03, 2009

~ TIDAKKAN TERJUAL ~

Aku tidak pernah mencari, aku tidak pernah membongkar.. tetapi rahsia itu datang berdamping, mengongsi sesuatu yang disifatkan rahsia oleh tuan yang empunya. Aku menerima dan menyimpan kemas. Bukan dengan rasa kesukaan yang panjang, tetapi tergalas kebimbangan andai ia tercicir di luar tahu.

Hari ini, datang seseorang menguji kerahsiaan itu. Cuba mencungkil apa yang menjadi amanah buatku. Kebetulan si pemberi amanah kini dalam ribut denganku. Mungkin fikirnya kesempatan itu harus terguna dengan begitu jaya sekali.

Aku diam senyap. Tetapi dalam masa yang sama, mahu dengan riuh aku katakan, dia silap. Kepercayaan tidak pernah tergadai olehku biar gempa menempa alam. Mereka yang mengenaliku dekat, pasti cukup maklum akan hal itu.

Bukan sahaja sahabat, malah andai telah bertukar gelaran musuh sekalipun, rahsia itu tidakkan pernah terjual. Jutawan manapun, tidakkan mampu membeli nilai kepercayaan itu.

[Aku haus.. aku bosan. penipuan kamu itu telah mengusik kepantanganku...]

Monday, March 02, 2009

~ JANGAN ADA LELAH ~


Setelah sekian lama, aku mendapat perkembangan terbaru tentang umi. Khabarnya umi kini semakin uzur. Ternyata rawatan kemoterapi yang di lalui umi tidak banyak membantunya. Ermm.. mungkin juga kerana faktor usia umi.

Umi kini semakin menjadi penyenyap... Senyumnya sekadar di bibir dan sudah tidak sampai ke matanya seperti dulu lagi. Seolahnya sudah tidak bersemangat mahu hidup lagi.

Ermm... Katakan apa yang boleh kubantu, aku akan lakukan itu. Katakan apa yang boleh aku tukarkan, aku bersedia untuk itu. Katakan apa yang boleh aku tuturkan, akan aku ikhlaskan hati tanpa ragu...

Umi... jangan lelah dengan dugaan itu. Aku yakin umi mampu melawan sakit itu. Aku tahu umi masih mahu melihat aku lagi... juga anak-anak umi.. juga cucu-cucu umi... juga mereka yang berkeliling umi.

Ermm.........................................................

[Meng-ingat pesan umi hingga ke-mati]

Sunday, March 01, 2009

~ SELAMAT HARI ULANGTAHUN ~


Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan sahabat ini
Allah selamatkan kamu...

Awal minggu tempohari, dua orang sahabat menyambut hari ulangtahun mereka melihat dunia. Dua sahabat yang kedua namanya bermula dengan huruf 'S'. Kebetulan berselang dua hari, mereka meraikan hari ulangtahun kelahiran.

Sahabat 'S' yang asalnya Seremban yang menyambut hari ulangtahun kelahiran 22hb yang lalu, mohon kemaafan kerana aku benar-benar terlupa hari istimewa kamu itu. Bukan kerana hal yang lain-lainnya tetapi kerana keterlupaan aku yang terhambat dengan urusan kerja yang beratur panjang mengisi hari. Juga dengan hal-hal berat di tempat pekerjaan yang berlaku sepanjang minggu ini. Mungkin bunyinya seperti alasan menutup kesalahan (kalau ia satu kesalahan), tetapi itulah yang dilalui aku.

Doaku buat kamu agar terus melihat dunia ini dengan sesuatu yang positif buat diri. Berhentilah menuding jari dengan manusia keliling yang sering membuat kacau itu. Berdiri keras untuk menghala hidupmu dengan lebih jelas. Usah lagi memanja diri dengan mengharapkan kamu dipimpin terus. Lihat sahaja di mana kamu dipimpin hari ini? ermmm..

Dengan peralihan usia ke tahun yang baru ini, aku mengharapkan kamu menjadi semakin besar. Besar dalam segala-galanya. Bukan sahaja pada usia, tetapi jiwa... semangat... harapan, kehidupan dan segala-galanya. Usah kamu jadikan 'ketidak bernasib baik' kamu sebelum ini sebagai penghalang untuk kamu membuat langkah. Aku mahu melihat kamu menjadi manusia yang melihat hidup ini dengan lebih besar!

Sahabat 'S' yang asalnya Johor Bahru yang menyambut hari ulangtahun kelahiran 24hb yang lalu, mohon kemaafan kerana aku terlewat dua puluh jam membuat ucap selamat buat kamu seperti yang kamu rungutkan tempohari. Lebih membuat lucu, kamu menghubungiku pada pagi hari istimewamu itu tetapi kerana tidak keprihatinan aku terhadap itu, kita hanya menutur soal urus pekerjaan semata-mata. Aku berkejaran waktu dan aku tidak sempat mengalih perhatian selain urus pekerjaan ketika itu. Aku tahu kamu juga tahu situasiku ketika itu kerana kamu juga berkejaran soal yang serupa bukan.

Doaku agar kamu sukses dalam menggapai impian yang kamu ciptakan itu. Tiada yang mustahil apatah lagi dengan kesungguhan kamu itu. Sesekali aku ingin menjadi seperti kamu. Kental dan punya semangat yang tinggi untuk berdiri sehingga jelas dilihat orang. Kamu bangga menjadi diri kamu sendiri meski ada yang mahu melihat kamu menjadi lain. :)

Terima kasih buat kamu juga kerana sentiasa menghulurkan bantuan. "aghhh... kalau kau anggap aku ni kawan kau, kau takkan sebut pasal benda ni.." itu jawapan yang kamu sering tuturkan bila aku menyatakan penghargaan atas bantuanmu.

Kepada kedua kamu, mudah-mudahan kamu dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam segala urusan seharian.

[Teman jiwa tiba-tiba bertanyakan tentang sahabat dekat yang menyambut hari ulangtahun kelahirannya di bulan june.. ]